cerpen tapak tangan

kumpulan cerpen tapak tangan yang sudah lama ingin saya kongsikan – inilah karya-karya mutakhir saya bersama ilustrasi-ilustrasinya sekali – selamat memabaca.

Kalaulah kakiku tidak patah ketika berumur 12 tahun dahulu sudah tentu aku sekarang menjadi pemain bolasepak profesional. Paling tidak aku bermain di dalam Liga Inggeris bersama Kelab Bolasepak Manchester United berganding bahu dengan Wayne Rooney, Carlos Tevez dan Barbatov bahkan lebih handal daripada Christiano Ronaldo yang suka diving itu. Aku bersyukur juga sekarang kerana kakiku dipatahkan – tidak tahu apa yang mungkin berlaku jika aku menjadi pemain bintang jutawan antarabangsa di Manchester United FC – mungkin namaku Morshidi bertukar kepada yang lebih glamor seperti Mercedes; bapaku pula akan berdukacita kerana aku sudah sombong meninggalkan segala praktik ugama Islam.

Ketika berumur sepuluh tahun aku sudah bermain di dalam pasukan orang dewasa menjadi playmaker yang licik. Aku terkenal tetapi tidak boleh bermain dalam pasukan kebangsaan kerana umur yang tidak cukup. Semasa aku berumur 12 tahun ada seorang pemain baru yang menyertai pasukan kami (sudah tentulah ia seorang yang sudah dewasa). Ia terus saja menjadi sahabat karibku dan kami bersumpah menjadi teman baik sepanjang hayat walau apa pun terjadi. Beberapa hari selepas bersumpah inilah ia membinteh kakiku sehingga patah. Tentulah aku menangis kesakitan dan efeknya bagi seorang budak 12 tahun sangatlah hebat: aku jera malah trauma bermain bolasepak. Ia menghilangkan dirinya selepas itu sehingga sekarang aku tidak mendengar khabar-berita darinya.  

Aku masih ingat bahawa ia ada mengatakan kepada teman-teman sepasukan bahawa ia adalah seorang time-traveller yang berulang-alik dari masa hadapan ke masa kini dengan tugas-tugas tertentu yang agak berat juga – teman-teman menganggap ia cuma bergurau. Tentunya antara tugas beratnya itu ialah mematahkan kakiku agar aku terhalang dari menjadi superstar pemain bolasepak antarabangsa yang kufur dan murtad yang bakal mendukacitakan bapaku yang taat berugama. Semua ini aku teringat kembali setelah berulangkali membaca Surah Al-Kahfi beserta terjemahnya terutama pada ayat-ayat yang mengisahkan tentang pertemuan Nabi Musa Alaihissalam dengan seorang Hamba Allah yang dikurniai Allah ilmu laduni.

Kebetulan teman yang membinteh kakiku sehingga patah itu namanya Khidir.

Sabtu 18 April 2009

____________________________________________________________ 

 













Apabila melihat bentuk tubuhnya kita tahu ia ahli bina badan. Ia kelihatannya sihat. Jadi mengapa ia mahu berjumpa saya?

“Anu,” katanya,”boleh kita mengubati *apendisaitiskah?”

“Eh, apendisaitis – atu bapotong di hospital ganya tu wang,” kata saya.

“Iatah, atu inda kumau tu,” katanya.

“Si awang ani,” kata saya, “badan tagap inda patut takut kan bapotong.”

“Bukan takut,” katanya, “inda ku trust kan bapotong di Barunai ani.”

“Aaah,” kata saya. “Bapotong ke luar negeri macam mana?”

“Gayanya tapaksatah tu,” katanya.

 “Mahal bayarannya tu,” kata saya.

“Apa boleh buat,” katanya lalu meminta izin pergi.

Ini saya ingat kembali kerana tadi di internet saya terbaca berita luar negeri dangan gambarnya: mayat seorang lelaki tidak dikenali ditemui, organ di dalam tubuhnya semua hilang. Kemungkinan perbuatan sendiket gelap perdagangan organ manusia  (terjemahan saya).

*appendicitis

Khamis 24/7/2008

____________________________________________________________

     Selain menulis cerpen, saya juga tukang ubat penyakit zahir dan batin yang gagal disembuhi cara konvensional: misalnya dirasuk jin atau terkena pantak. Bawalah sebotol air reverse osmosis untuk saya jampi. InsyaAllah sembuh setelah diminum. Bermacam-macam penyakit telah Allah sembuhkan melalui saya.

    Inilah kali pertama saya menemui penyakit yang tidak masuk akal: seorang pemuda kacak datang kepada saya – umurnya sekitar duapuluh tahun.

    “Mohon ku diubati,” katanya.

    “Apa problem si awang kan?”

    “Aku inda mau bah muda miani.”

   “Eh, si awang ani, mengapa pulang?” kata saya. “Semua orang mau muda.”

   “Umurku sabanarnya lapanpuluh tahun,” katanya. “Dari umur limapuluh tahun kadiaku mengalami reverse ageing process – menjadi muda semula. Mula-mula memanglah suka ati tapi bila sudah batambah muda, my children start treating me like I’m one of their brats. My wife starts to be demanding inda sadar ia sudah tua – mantang-mantang aku jadi muda. And girls, pikir diurang aku ani bujang seumur bisdia…”

    “Eh kita ani, it is okey jua tu,” kata saya. Saya menggunakan ‘kita’ menyedari ia tua dari saya.

    “Mau kita kan tua macam kadiaku ani?”

    Ia mengangis teresak-esak mendengar soalan saya ini. Benar-benar ia tidak mahu jadi muda.

    “InsyaAllah,” kata saya, “tani bausaha Allahlah yang menyembuhkan. InsyaAllah.”

    Saya bertafakur – Al-Fatihah boleh dibaca dengan beberapa cara saya memohon petunjuk Allah cara manakah yang selulu untuk masalah ini. Saya tidak tahu apa-apa. Allah tahu segala-galanya.

    Semasa memberi air yang sudah dijampi saya sempat bertanya: “Kenapakan kita inda mau muda lagi?”

    “Takutku bah,” katanya. “Karang bila sudah jadi kanak-kanak tapaksa ku basakulah lagi tu.”

    Ia mula menangis lagi dan meraung: “INDA KUMAU BAH BALIK BASAKULAH ATU!”

selasa 15/7/2008

____________________________________________________________

Ia mengambil suratkhabar berharga lapanpuluh sen. Sambil memberi  wang not limapuluh ringgit ia berkata: “Sori ah taukeh, indada usin pacah.”

“Tak apa, tak apa,” kata taukeh. “Telima kasih ah.”

“Ya, sama-sama,” katanya baki yang diterimanya berjumlah $99.20 sen. Ia mengiranya semula ya betul $99.20 sen! Ragu-ragu ia berjalan dahinya sedikit berkerut. Sekarang ia tidak yakin apakah ia telah memberikan wang limapuluh ringgit ataukah seratus ringgit. Ia meyakinkan dirinya: ya, memang seratus ringgit. Tak perlu dipulangkan limapuluh ringgit ini. Tak perlu difikirkan lagi.

Ia merasa bahawa hari ini adalah hari yang baik sekali. Lalu ia pun berniat akan melakukan kebaikan. Di kedai kopi ia belanja beberapa orang temannya yang kebetulan minum di situ.

“Bah odartah apa saja,” katanya, “asal jangan labih limapuluh ringgit!”

       Keluar dari kedai kopi ini ia menyaksikan seorang lelaki merenggut beg tangan seorang perempuan tua. Ini juga peluang untuknya melakukan kebaikan.

“Pencuri! Pencuri!” pekik perempuan tua. “Pencuri!”

         Ia mengejar pencuri ini diikuti oleh beberpa orang lain yang juga memekik: “Pencuri!Pencuri!” Ia memecut laju masuk lorong keluar lorong. Orang lain jauh ketinggalan. Kakinya tersandul batu ia rebah. Pencuri lepas entah ke mana. Orang yang ikut mengejar menangkapnya. Memayok tangannya ke belakang. Beberapa orang sempat menumbuk mukanya sehingga biru lebam.

“Oi! Oi! Adoi!” ia memekik kesakitan. “Bukan aku pencuri!”

jumaat 11/7/2008

____________________________________________________________

Dengan mata yang tidak berkedip-kedip ia memandang perempuan ini. Inilah perempuan yang paling cantik, paling manja yang pernah melayaninya. Entah senghaja atau tidak perempuan kecil molek ini mengeselkan lengannya kepada lengannya sambil meletakkan minumannya dari sisi kirinya.

“Silahkan minum yaah,” kata perempuan ini, seolah-olah berbisik di telinganya, dengan senyuman yang manis. Lunak sekali suaranya ketika menyebut ‘yaah’ itu.

Kalau boleh ia ingin minum dan dilayani perempuan ini setiap hari. Rasanya ia ingin sekali berkahwin dengan perempuan ini, tidur bersama dan berkasih-sayang dengannya. Ia pun berkata kepada lelaki kawannya minum ini.

“Esok bawa ku lagi minum ka mari ah.”

“Bah mana sajatah kita – anu saja, awal-awal basadia pasal kan mengantar anak ka sekulah dulu.”

“Jangan kau lupa ah.”

“Inda kulupa tu InsyaAllah.”

“Nyaman bah minumannya di sini ani.”

Esoknya lelaki kawannya minum ini bersama anak singgah ke rumahnya awal pagi dan mendapatinya belum bersedia lagi. Ia cuma berkain sarong dan bersinglet sedang menikmati sarapan paginya.

“Eh, inda kita jadi ikut ke bandar?”

“Ke bandar?”

“Kita jua kan ke bandar minum di restoran.”

“Minum di restoran?”

“Lupatah kita tu.”

“Lupa apa?”

“Bah jalan tah kami dulu,” lalu lelaki ini menyalami dan mencium tangannya. “Lain kali saja kalau kita sudah ingat.”

Lelaki ini menyuruh anaknya menyalaminya juga. Anak kecil menyalaminya seperti yang pernah diajarkan kepadannya.

Di kereta anak kecil ini bertanya:

“Babah, berapakan umur atuk atu?”

“Eighty plus kali.”

jumaat 11/7/2008

____________________________________________________________

 

Ketika sudah tua bangka seperti ini – setiap hari yang berlalu saya merasa bertambah kerdil dan kecil. Saya sangat malu pada diri sendiri kerana pernah berani menganggap diri ini seorang penulis dan pernah pula merasa bangga kerana pencapaian yang tidaklah seberapa. Saya malu kerana masih merasa bangga diri dengan wujudnya website ini. Kerana itu setiap hari saya ingin menghilangkan diri saya, saya semakin mengecil dan terus mengecil dari hari yang sebelumnya hinggalah ketika ini saya sudah menjadi setitik noktah. Jika orang bertanya ke mana hilangnya mussidi? Jawablah begini bagi diri saya:

“Anu ya – dalam proses menjadi atom.”

 

 

khamis 10/7/2008

________________________________________________

mussidi

penulis brunei

biodata

LAHIR di Bandar Brunei (sekarang BSB) ibu negeri Negara Brunei Darussalam pada 22hb Jun 1955, Mussidi nama pena Hj Morshidi bin Hj Marsal, anak seorang Guru Besar, pada awal pendidikannya telah bersekolah di beberapa buah sekolah di keempat-empat buah daerah Negara Brunei Darussalam: – Sekolah Melayu.Kiudang di Daerah Tutong – 1961, – Sekolah Melayu. Sultan Hassan, Bangar di Daerah Temburong -1963, Sekolah Melayu Birau di Daerah Tutong -1964, Maktab Anthony Abell, Seria di Daerah Belait – 1966, dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin di Daerah Brunei Muara – 1974.

Pada tahun 1974 ia mendapat dermasiswa Kerajaan Brunei untuk melanjutkan pelajaran ke Dartington College of Arts, Totnes, Devon di United Kingdom dengan memperolehi Diploma of Art and Design in Education – 1977 dan Cert. of Special Studies in two-dimensional expression – 1978. Pada tahun 1988 kembali semula ke UK menuntut di Coventry Polytechnic mengikuti kursus setahun Postgraduate Diploma in Electronic Graphics.

Sekarang sudah bersara setelah berkhidmat sebagai perekabentuk kanan di Radio Television Brunei.  

MASALAH-MASALAH
hadiah pertama peraduan menulis cerpen sempena sambutan Israk Mikraj (1981) anjuran Jabatan Hal-Ehwal Ugama Brunei – dimuatkan dalam antologi bersama SUASANA (JHEU Brunei 1983)

SUASANA
hadiah kedua peraduan menulis cerpen sempena sambutan Israk Mikraj (1982) anjuran Jabatan Hal-Ehwal Ugama – dimuatkan dalam antologi bersama SUASANA (JHEU Brunei 1983)

SEORANG SUAMI, SEORANG ISTERI DAN BEBERAPA ORANG ANAK
Borneo Bulletin 12 Sept 1992 (hadiah pertama peraduan menulis cerpen QAF Holdings Berhad 1991)

MOYOK – Radio Brunei

semua cerpen adalah dilindungi akta Hak Cipta Terpelihara – sebarang penerbitan semula secara cetakan hendaklah dengan izin penulis – penerbitan semula secara siber cukup dengan menyebut laman web ini secara lengkap atau link : http://mussidi.googlepages.com.

 

nota ringkas
tentang cerpen-cerpen dalam koleksi ini

Cerpen “SUASANA”, “MASALAH-MASALAH”, “SEORANG SUAMI, SEORANG ISTERI DAN BEBERAPA ORANG ANAK” dan “MOYOK” naskah-naskahnya sudah tidak ada lagi di dalam simpanan saya. Jika ada di antara para pembaca menyimpannya saya sangat-sangat berbesar hati jika para pembaca memberikan salinannya (menge-melkan teksnya) kepada saya untuk saya masukkan ke dalam kumpulan ini pada masa akan datang. Cerpen kanak-kanak saya masukkan kemudian – InsyaAllah. “CERPEN CINTA”, Bahana Dis 1992 – adalah cerpen yang saya tulis menggunakan nama Heddasa.

Buat masa ini saya ‘berehat’ sebentar dari menulis cerpen namun otak saya tidak pernah ‘berehat’ dari memikirkan cerpen-cerpen yang bakal saya tulis nanti – ‘berhatnya’ saya dari menulis ‘tidak ada kena mengena dengan orang yang hidup maupun yang sudah mati’ atau ‘mogok seni’ atau ‘menyamal’ saya hanya sekadar letih dan terasa malas sekali mungkin ini berkait rapat dengan faktor usia.

Semasa muda-muda dan mula menulis saya merasakan saya perlu membuktikan diri saya dan saya jadi sangat prolifik sehingga boleh menghasilkan dua-tiga buah cerpen dalam sebulan tambahan pula ketika itu saya sedang menganggur. Sekarang ketika sudah tua-tua bangka begini saya merasakan tidak perlu membuktikan apa-apa.

Membaca semula cerpen-cerpen ini saya terfikir juga pada mulanya saya menulis secara lurus seperti ini:

SEMAUN merenung pintu bilik.

Dari bilik ini keluar seorang gadis remaja genit tanpa bibir tanpa mulut. Ia berjalan pantas, malu-malu tak menoleh-noleh kiri kanan. Tanpa bibir tanpa mulut ia sudah tidak lawa lagi.

(Jantung Berita Minggu – Singapura 28 Feb 1982)

Dua tahun kemudian (setelah banyak membaca majalah-majalah berbentuk ‘sastera’) saya menulis seperti ini:

MALAM SEPI dan cahaya suram di wad itu seperti mendamparkannya ke ruang masa silam. Masa-masa lalu seperti terapung-apung di awangan fikirannya. Itulah yang mau dielak: melayani fikiran dan kenangan. Alangkah baiknya pada saat-saat seperti itu jika ada cucu buat teman berbual.
(ARIK – Bahana Mac 1984)

AKU bagaikan mati. Jari-jemariku kaku. Jasadku terbelenggu dihimpit ruang sempit dan lidahku terbujur bagai mayat di dalam mulutku. Tembok kukuh di sekelilingku.Kucari-cari nafas di dalam dada. Tak ada. Kupekakan diri. Kudapati jantungku mati. Hatiku beku. Nadiku hilang denyut.
(LAWWAMAH – Bahana Nov 1986)

Kemudian pada satu hari ketika angin semilir berpuput mendesir, membuai gemeresik daun-daun, menyebarluaskan keharuman bunga-bunga liar yang sedang mekar, pada satu hari ketika matahari malu-malu menyinarkan cahayanya lalu pokok-pokok pun kehilangan bayang-bayang
(SAYAP – Bahana Mac 1987 )

Saya merasakan bahawa ‘opening’ cerpen Jantung adalah di antara yang sangat saya senangi.

‘Opening’ “Arik” sudah saya ubah di dalam kumpulan ini. ‘Opening’ “Lawwamah” sukar untuk saya ubah mungkin sifat cerpen ini secara keseluruhannya adalah abstrak. Saya ingin sekali mengubahnya – saya masih mencari-cari bentuk konkritnya – apa sebenarnya AKU bagaikan mati. Jari-jemariku kaku. Jasadku terbelenggu dihimpit ruang sempit dan lidahku terbujur bagai mayat di dalam mulutku. Tembok kukuh di sekelilingku. Kucari-cari nafas di dalam dada. Tak ada. Kupekakan diri. Kudapati jantungku mati. Hatiku beku. Nadiku hilang denyut” ini? Petikan dari “Sayap” juga saya ubah, saya sederhanakan sedikit.

Antara sebab-sebab saya menulis seperti ini ialah mungkin saya mahu ‘show off’ bahawa saya mampu mencipta bahasa ‘puitis’ atau ‘sensitif’, ‘berasonansi’, ‘berpersonifikasi’ dan sebagainya seperti kebanyakan cerpen-cerpen ‘sastera’ nusantara yang saya baca berbanding dengan cerpen “Jantung”, “Senyum”, “Punggung” di mana saya cuma mahu bercerita seadanya.

Konsep asal/awal saya menulis cerpen ialah saya cuma mahu bercerita tidak lebih dari itu. Kemudian pengaruh-pengaruh lain masuk dan saya mula lupa akan konsep asal/awal ini. Pengaruh-pengaruh tersebut antaranya ialah pengaruh cerpen “sastera” nusantara, realisme magis Amerika Latin (“Paranoia”, “Insomnia”, “Kawanmu”, “Anu” dll) dan cerpen-cerpen bersifat konseptual/formalistik/metafiksi yang sambil bercerita juga secara sedar (conscious) merujuk kepada dirinya sendiri untuk menyedarkan pembacanya bahawa ia hanyalah sedang membaca sebuah cerpen dan semuanya adalah tidak benar dan hanya berlaku di dalam sebuah cerpen berbeza dengan cerpen-cerpen konvensional di mana penulisnya cuba mengajak pembacanya mempercayai bahawa apa yang dibacanya adalah benar-benar sedang berlaku di depannya.

Termasuk dalam kategori cerpen konseptual/formalistik/ metafiksi ini antaranya ialah; “ADA ORANG TIDAK SUKA PADA SAYA DAN MELAKUKAN SESUATU YANG TIDAK SAYA SUKAI TERHADAP SAYA DI BELAKANG SAYA” – Bahana Okt 1996, “HON!” Bahana Jul 1997, “TANGGA” – Bahana Dis 1997, dan “NIPIS” – Bahana Jun 2003. Dengan “NIPIS” saya sudah mula kembali kepada konsep asal/awal saya – saya hanya hendak bercerita – unsur metafiksi saya selitkan cuma sebagai bahan kelakar:

“Assalamu alaikum, Tuan Haji!” katanya. “Haji Morshidikah ni?”

“Wa alaikum salam Tuan Haji Bujang,” kata saya. “Jauh jua sembahyang ani. Indada masjidkah di Sungai Liang atu?” Saya bergurau.

“Mengapatah Tuan Haji ani,” katanya ia tertawa sedikit. “Leper ni! Nipis!”

“Awu aku ni,” kata saya. “Tapi antah, nipistah ku hari ani. Jadi watak leper.”

“Eh, Tuan Haji ani,” katanya. “Ada-ada saja! Semua kan dibuat macam cerpen. Cerpen mutakhir Tuan Hajikah ni?”

 

Ya, “NIPIS” adalah cerpen mutakhir/terakhir saya buat masa ini.

Atas sebab budget dan pasaran terhad kumpulan ini tidak dapat saya terbitkan dalam bentuk buku juga kumpulan ini tidak dapat saya hadapkan ke penerbit atas alasan saya ingin mengekalkan penggunaan “ia” bagi orang ketiga (bukan “dia” yang standard digunakan masa kini – yang sudah pasti “ia” saya akan diubah kepada “dia”).

Selamat membaca.

 

KECOH

      Mastika Sept 1981

Cerpen yang ketiga saya hasilkan dan yang pertama sekali diterbitkan. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Mastika – kerana telah memberikan semangat kepada seorang penganggur. Tajuk asal cerpen ini ialah: MASS HISTERIA DI PASAR – SAWI BERHARGA $49.95 SEN SEKATI! Selain tajuk ini editor Mastika tidak mengedit sepatah kata pun dari cerpen ini. Apabila ia sudah diterbitkan saya menyedari terlalu banyak pembaziran kata yang tidak disenghajakan yang patut dibuang. Tentang tajuk KECOH yang diberikan Mastika sampai sekarang saya tidak tahu mengapa saya tidak terfikirkannya sendiri. KECOH (chaos) inilah hingga kini menjadi tema utama karya-karya saya. Sekali lagi terima kasih Mastika!

JANTUNG
Berita Minggu (Singapura) 28 Feb 1982

SEMAUN merenung pintu bilik.

Dari bilik ini keluar seorang gadis remaja genit tanpa bibir tanpa mulut. Ia berjalan pantas, malu-malu tak menoleh-noleh kiri kanan. Tanpa bibir tanpa mulut ia sudah tidak lawa lagi.

Bila tiba nombornya, Semaun masuk. Ia menutup pintu perlahan-lahan dan ternampak Doktor sedang menampal label pada botol yang di dalamnya ada sesuatu macam mulut montok yang bengkak dan pecah-pecah. Doktor menyuruhnya duduk dan bertanya apa yang dihidapinya.

Semaun menyeluk dada dan mengeluarkan jantungnya. Diletakkannya jantung ini di atas meja di depan Doktor. Jantung ini masih berdenyut. Doktor mengambil jantung itu, meniup-niup sedikit habuk yarig baru saja melekat, membelek-beleknya di bawah sinar lampu dengan mata yang kian menyepet. Kemudian ia mengangguk.

Jantung ini dibalutinya dengan tiga lapis kain nipis yang dilembapkan sedikit, kemudian diikatkan label padanya dan dimasukkan ke dalam peti sejuk. Doktor duduk semula di kerusi putarnya merenung Semaun seketika.

“Awak boleh pulang sekarang. “

“Tapi jantung saya. . . “

“Jangan susah. “

Dengan muka yang bersahaja Doktor mencakarayam sekeping resit dan memberikannya pada Semaun.

“Saya akan periksa, ” katanya. “Awak boleh datang minggu hadapan dan ambil jantung awak. “

Seminggu selepas ini Semaun datang. Mukanya sugul kerana sudah seminggu tidak dapat mengecap kenikmatan merokok. Ia menyeluk saku seluar mengeluarkan resit dan memberikannya pada Doktor.

Ketika ini Doktor sedang berdiri merenung ke luar jendela. Sebentar tadi ia menerima berita yang isterinya dan anaknya baru saja mati dalam nahas jalan raya dan ia belum lagi membulatkan fikiran bagaimana mahu menerima berita ini. Ia belum tahu apa yang harus difikirkan.

“. . . isteri dan anak tuan mati serta merta. . . ” ia diberitahu melalui telefon.

Ia nampak tenang saja.

Dengan malas ia duduk semula menyepet-nyepetkan matanya membaca cakar ayamnya sendiri. Kemudian ia mencapai sebuah fail dan membukanya pada muka sekian-sekian dan membaca catatan pemeriksaan.

Ia mengangkat kepala memandang Semaun dan membuka mulut tapi mengatupnya kembali dan tidak jadi bercakap.

Ia berpusing dan bangkit dari kerusi putarnya, berjalan ke arah peti sejuk. Membuka peti sejuk ini. Lebih setengah jam ia terbongkok-bongkok mencari jantung Semaun. Peti sejuk ini sarat. Ia merungut-rungut.

Memandangkan dirinya sudah lebih setengah jam duduk kegelisahan dan tldak dipedulikan, Semaun mula marah.

“Doktor!” pekiknya. “Kenapa dengan jantung saya?”

Doktor terus menyelongkar peti sejuk. Seperti seorang yang kelupaan diri ia melemparkan organ-organ ke atas lantai. Ia mengesat-ngesat peluh. Bertimbun usus-usus, hidung-hidung, telinga-telinga dan organ-organ lain yang seribu macam tak menentu bentuknya.

Ia menoleh pada Semaun sebentar memaksakan senyuman. Tangannya memegang buah dada yang sudah ditanggalkan bulat-bulat.

“Maafkan saya, ” katanya. “Saya memang selalu begini. Saya seorang doktor yang sibuk. Tiap-tiap hari ada saja orang yang sakit dan meninggalkan alat tubuh mereka di sini untuk pemeriksaan. Peti sejuk ini pun sudah padat dengan perut, jantung, hati, punggung, paru-paru -sebut apa saja!

Saya mau membeli sebuah peti sejuk lagi bagi menampung semua ini, tapi tahulah harga peti sejuk sudah naik lebih lima puluh peratus kerana kekucar-kaciran ekonomi antarabangsa. Jadi saya terpaksa bersabar dan menggunakan peti sejuk yang satu ini saja, yang sudah hampir rosak! Para pesakit kian hari kian bertambah juga!”

Doktor melihat-lihat buah dada yang dipegangnya ini. Kemudian melemparkannya. Buah dada ini masih ada bentuk cuma sudah ditulari barah. Ia kembali terbongkok-bongkok mencari.

Semaun yang baru saja bangun hendak bicara terduduk semula. Ia tidak ada peluang bercakap kerana Doktor kelihatan leka membongkar segala isi peti sejuk itu, tak sedar membaling alat-alat tubuh ke lantai sambil terus bercakap-cakap.

“Maafkan saya. Memang selalu begini, saya selalu terlupa.

Bila menghendaki sesuatu, sesuatu itu tau-tau saja sudah hilang. Jika tidak dikehedaki ia ada pula di depan mata. Baru saja kelmarin saya terpandang jantung awak – entah di mana kini. Tapi awak jangan khuatir!”

“Kenapa dengan jantung saya, Doktor?” Semaun sempat mencelah.

Doktor berfkir dua kali, mencerutkan bibir, mengecilkan mata memandang Semaun, mencari-cari perkataan yang sesuai, membuka mulut kemudian tidak jadi bercakap.

“Doktor mesti beritahu saya'”

“Tidak ada apa-apa. “

“Saya tidak percaya!”

“Jangan susah, jantung awak tidak apa-apa!”

Semaun menatap muka Doktor, mencungkil-cungkil jawapan. Syak hatinya kerana Doktor tidak mahu menerangkan. Ia terhindu sesuatu yang tidak baik tapi ia mahu memastikan.

Doktor mula melihat-lihat semula alat tubuh yang berlonggokan dan berselerakan di atas lantai, kalau-kalau jantung Semaun ada di situ. Mencapai itu ini yang bermacam-macam bentuk dan saiz: usus-usus yang bengkak dan pecah-pecah, lidah-lidah yang bengkak dan pecah-pecah, mulut-mulut yang bengkak dan pecah-pecah, telinga-telinga yang bengkak dan pecah-pecah, hidung-hidung yang bengkak dan pecah-pecah, punggung-punggung yang bengkak dan pecah-pecah, paru-paru yang benjgkak dan pecah-pecah, limpa-limpa yang bengkak dan pecah-pecah, jantung-jantung yang bengkak dan pecah-pecah, rahim-rahim yang bengkak dan pecah-pecah dan otak-otak yang bengkak dan pecah-pecah.

Ia hampir terlupa apa yang mau dicarinya.

“Segalanya bengkak dan pecah-pecah, ” katanya antara dengar dengan tidak. “Hidup ini berpenyakit. “

“Doktor!” Semaun mau bicara. “Bagaimana dengan. . . “

“Ya, ya!” Doktor memotong. “Saya tidak lupa. Saya masih mencari, cuma terlalai sebentar. Fikiran saya mudah saja hanyut melihat alat tubuh yang hitam berkedut tidak tentu bentuk rupa ini. Awak lihat ini!” Ia mencapai sesuatu. “Perut – sudah kembung, hampir-hampir pecah, penuh dengan sampah sarap dan foreign matter yang tidak perlu!”

Ia melontarkan perut ini ke tepi dan mencapai sesuatu lagi yang kebetulan sebatang alat kelamin yang bengkak dan pecah-pecah, dihumbankannya segera tanpa sepatah kata.

Ia menunujuk selonggok otak.

“Awak lihat itu, ” katanya. “Hampir-hampir setiap hari ada saja orang yang meninggalkan otak mereka di sini untuk diperiksa!”

Semaun mula merasa tidak sabar. Ia datang untuk mengambil dam mahu tahu mengenai jantungnya. Sudah berkaii-kali ia membuka tapi tidak ada kesempatan hendak mengeluarkan suara.

Ia memanjangkan leher mahu membaca fail yang masih terbuka di atas meja, tapi tulisan Doktor betul-betul cakar ayam, ia tidak dapat membacanya.

Doktor terus berbicara tanpa henti-henti:

“. . . selain dari otak, saya juga hampir tiap-tiap hari banyak menerima hati, perut, mata, telinga dan kadang-kadang ada yang menanggalkan dan meninggalkan semuanya itu sekali gus untuk diperiksa din awak tau kebanyakan mereka tidak pernah datang-datang lagi mengambil alat tubuh mereka itu semula, saya terpaksa membuangnya kerana tidak ada tempat menyimpan kerana peti sejuk ini sudah sarat dan saya tidak dapat membeli peti sejuk baru kerana harganya awak pun sudah tahu kerana keadaan dunia sekarang ini yang saya sendiri tidak tahu kerana orang yang tahu tiada yang datang memberitau saya dan mereka itu terus saja hidup tanpa hati, tanpa perut, tanpa mata, tanpa telinga, tanpa otak sewenang-wenangnya, kita pun tanpa tahu, tanpa sedar terusan saja bergaul dan berurusan dengan mereka itu mayat-mayat hidup zombies yang tidak ada otak, tidak ada hati, tidak ada perut, tidak ada mata, tidak ada telinga, entah tidak ada apa lagi dan hidup kita kian hari kian berbelit-belit olehnya, kian mencakarayam jadinya, mungkin kerana inilah penyakit yang tidak pernah ada jadi ada dan kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara ini adalah di luar kekuasaan kita, kita cuma goncang bahu tadah tangan berdoa dengan doa-doa yang tidak mustajab. . . “

Doktor berbicara terus dengan suara yang datar merangkumi bidang keagamaam, sistem pendidikan moden, politik ekonomi, perkauman, CIA, KGB, FBI, PBB, NATO, sejarah, falsafah, kesenian, psikologi, seni lukis, tasauf dan bolasepak tempatan. . .

Ia duduk berlunjur di atas lantai, bersandar pada peti sejuk, tidak bergerak-gerak kecuali mulutnya. Nafasnya turun naik perlahan, teratur dan mendatar.

Semaun mendengar dengan marung berharap Doktor akan sampai juga pada membicarakan tentang jantunnya. Menanti dengan tidak sabar. Ia mahu tahu dengan segera, tapi Doktor kian jauh terkeluar dari membicarakan tantang jantungnya ini.

Doktor sedang bercakap tentang pengadil bolasepak yang tidak adil, berat sebelah – pengadil itu sepatutnya tidak membenarkan tendangan penalti dalam satu perlawanan tidak lama dulu.

“. . . ini membuat saya kalah dalam pertaruhan, terkutuklah refree itu, mudah-mudahan ia mati dan masuk neraka jahanam. . . “

“Doktor!” pekik Semaun. “Saya tidak berminat dengan bolasepak! Jahanam dengan bolasepak!”

“Apa? Apa?” Doktor persis baru tersentak dari tidur. Kebingungan benar. “Apa? Apa?”

“Bagaimana dengan jantung saya, Doktor?”

“Jantung? Jantung apa?”

“Apa penyakit jantung saya?”

Doktor mengerut-ngerutkan rauka mengingat-ingat. Ia baru teringat tentang jantung ini. Ia juga teringat akan anak dan isterinya yang belum diizinkannya akan kematian mereka itu, meskipun mereka sudah mati. Mukanya jadi murung.

“Kenapa dengan jantung saya?” Semaun risau bercampur ragu melihat muka Doktor yang macam ditutupi bayang-bayang hitam ini.

“Apa penyakit jantung saya? Apa saya akan mati? Apa saya akan mati, Doktor?”

“Tidak! Tidak!” Doktor terpekik. “Tiada sesiapa yang akan mati! Awak tidak akan mati! Saya tidak akan mati! Isteri dan anak saya belum mati dan tidak akan mati! Saya tidak benarkan sesiapa mati!”

Semaun tidak terkeluarkan suara melihat Doktor secara mendadak saja berubah ini. Mengapa dengannya?

“Kita semua akan hidup untuk selama-lamanya!” kata Doktor. Suaranya agak keras. Kemudian nafasnya tersentak sekali. . . tersentak kedua kali.

Tangannya mencengkam-cengkam dada. Ia terjelapuk mati.

Tinggal Semaun kebingungan.

SENYUM
Berita Minggu (Singapura) 16 Mei 1982

BAHAWA senyum itu adalah harus, tak perlu diperbahas-bahaskan lagi.

Setiap orang berhak untuk senyum atau untuk tidak senyum. Jika ia sudah memutuskan untuk tidak senyum, orang lain mengapa mesti campur tangan?

Setiap orang berhenti dan bertanya padanya:

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

Memang sebelum ini, sejak dulu, ia tidak pernah tidak senyum. Di stesen bas ini publik sudah memaklumi ternpat duduknya: akan dikosongkan jika ia datang. Ia datang tepat jarn lapan pagi. Ia tidak pernah mungkir. Ia akan duduk dan senyum-senyum di situ sepanjang hari.

Senyumannya menampakkan barisan gigi yang tegak seperti soldadu-soldadu yang sedang menerima pemeriksaan barisan kehormat. Giginya sentiasa bersih.

Ia berkaca mata hitam dan bertali leher. Pakaiannya kemas.

Pernah seorang pemuda bertanya padanya begini:

“Apakah saudara digaji untuk senyum-senyum sepanjang hari?”

Meskipun ia merasakan satu perlian seperti ditamparkan ke mukanya, ia tetap senyum-senyum.

“Sudah lama berkerja sebagai Tukang Senyum ini?”

“Sudah dua puluh tahun, ” ia menjawab singkat.

“Saya sudah lama menganggur, ” kata pemuda ini. “Jika ada kekosongan di mana-mana, saya mau melamar kerja seperti ini. Saya tidak berkelulusan tinggi tapi saya boleh senyum seperti orang yang berkelulusan tinggi. Saya kira kerjanya pun tidak berat, apa lagi di stesen bas ini alasan-alasan untuk tersenyum-senyum sentiasa saja ada.”

Kemudian pemuda ini dengan suara rendah bertanya apa syarat-syarat yang perlu ada pada seorang Tukang Senyum.

Mula-mula ia enggan menjawab, tapi pemuda ini mendesak-desaknya. Mau tak mau ia menjawab juga:

“Dedikasi.”

Pemuda ini tidak puas hati dengan jawapan sesingkat, selumrah dan seumum ini. Ia mendesak lagi.

“Di samping dedikasi, kita mesti memiliki gigi yang rapi dan sentiasa digosok. Jika gigi kita lintang-pukang dan kekuning-kuningan, lebih baik kita jangan senyum.”

Pemuda ini mengangguk.

“Sebagai contoh – tengok gigi saya!”

“Ya, gigi saudara memang bersih dan rapi.”

“Dan kita mesti adil.”

“Adil?”

“Ya, adil.”

Pemuda ini merenungnya buat seketika, sedikit bingung, dan melanjutkan soalan:

“Setahu saya perkara adil-mengadili terletak di tangan Hakim. Penghakiman pula jarang sekali dilakukan dengan senyum-senyum. Saya belum pernah melihat Hakim tersenyum – as sober as a judge, kata orang. Pendeknya perkara hakim/adil-mengadili tak serasi dengan perkara senyum. Jadi bagaimana pula yang sebaliknya boleh cocok?”

“Maksud saya, ” ia menjawab. “Kita mesti senyum pada apa saja. Sama ada kita sedang memerhatikan orang-orang tua atau muda, atau budak-budak sekolah yang mundar-mandir ponteng dan merokok, atau lelaki berambut panjang atau gondol, atau gadis memakai jeans ketat atau apa saja kita mesti senyum-senyum. Pada yang jelik kita senyum, pada yang tak jelik juga kita mesti senyum-senyum. Alasan untuk senyum-senyum memang banyak terdapat di tempat-tempat publik: di stesen bas ini, di panggung-panggung wayang, di taman-taman bunga, di taman-taman peranginan, di tempat-tempat terbuka atau tertutup. Tapi Tukang Senyum yang baik mesti mampu senyum-senyum tanpa sebarang alasan.”

“Ohoo, ” pemuda ini mengangguk-angguk.

“Sebelum saudara bertanya lagi saya mau rnenerangkan bahawa kerja senyum-senyum ini saya lakukan tanpa gaji. Tegasnya saya senyum-senyum dengan sukarela.”

“Selama dua puluh tahun ini?” pemuda ini keheranan.

“Ya, saya senyum-senyum kerana Allah.”

Pemuda ini meninggalkannya dan tidak menampak-nampakkan dirinya lagi di stesen bas ini.

Itulah pertama kali ada orang mewawancaranya. Sejak itu orang membiarkannya saja: menerimanya sebagai sebahagian dari kewujudan mereka sehari-hari. Ia tidak menjadi persoalan besar tidak juga menjadi persoalan kecil mereka. Memadai ia ada, itu saja.

Ia terus senyum pada matahari, pada hujan, pada angin, pada udara karbon monoksida, pada sampah-sarap, pada puntung-puntung rokok, pada tukang sapu, pada bas-bas baru maupun usang, pada anjing yang berak atau kencing pada tiang, pada kucing yang lewat mengiau-ngiau kena sepak, pada bualan-bualan yang kebetulan hinggap di cupingnya sama ada tentang akhlak, politik antarabangsa, pendidikan, harga barang keperluan, kecurian atau rompakan, rogol, sukan, pembangunan, pro-kontra tentang isu-isu semasa yang sensitif atau tidak sensitif: ia tetap setia dan adil tersenyum.

Ia tersenyum melihat orang-orang tua berdiri di dalam bas sedangkan anak-anak muda enak-enak duduk. Ia tersenyum melihat orang meludah-ludah menerusi jendela bas. Ia tersenyum melihat anak-anak gadis didatangi pemuda-penuda dan mereka berunding-runding ria dengan suara lantang sambil minum Coke.

Ia tersenyum melihat mereka membuang tin minuman itu di atas simen. Ia tersenyum melihat orang-orang yang kelewatan bas, tersemput-semput membimbit barang dari kedai atau pasar atau tamu. Ia tersenyum melihat ibu-ibu yang mengandung sedangkan mereka masih mendukung seorang anak yang menangis dan seorang anak lagi yang masih kecil duduk murung di sisinya. Ia tersenyum melihat orang yang berdiri atau duduk memandang kosong ke depan atau ke bawah dengan sugul.

Jika ada pertengkaran atau keributan kecil tentang harga tiket bas, ia cuma akan tersenyum.

Jika seorang pemuda berjeans ketat, berbut mahal, berbau pewangi Brut, lewat dengan angkuh menghisap rokok Benson and Hedges atau dengan angkuh menyikat-nyikat rambut yang sudah sedia rapi dan lawa, ia pasti tersenyum.

Jika seorang pemudi lewat dengan fesyen terbaru dari Hong Kong atau Amerika, menonjolkan susuk tubuh yang gebu dan menggiurkan, yang berbau bedak wangi, bergincu dan bermekap seperti peragawati di dalam iklan TV ia pasti senyum.

Atau jika ia terlihat seorang pemuda berpakaian sederhana bersongkok atau seorang gadis berbaju kurung dan bertudung yang kelihatan kesepian dan keterasingan di tengah-tengah arus kesibukan yang memekakkan, ia pasti juga senyum.

Atau jika ia terlihat sesuatu yang keluar tajuk di stesen bas ini, seperti seorang Ubudiyyah yang lewat dengan tergesa-gesa; membilang biji-biji tasbih, beristighfar dan meminta perlindungan pada Tuhan Maha Kuasa dari godaan dan tipu-muslihat syaitan terkutuk dan direjam yang halus berkeliaran lagi tidak nampak,  ia pasti juga senyum dengan senyuman yang tidak berubah-ubah.

Ia senyum melihat orang senyum-senyum melihat ia senyum-senyum melihat mereka senyum-senyum melihat ia senyum-senyum melihat mereka…

Senyumannya tidak pernah membebankan sesiapa.

Tapi sekarang, setelah tiba-tiba berhenti senyum, ia menjadi beban pada otak orang yang lalu-lalang. Setiap orang bertanya padanya:

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

“Mengapa berhenti senyum?”

“Apa kami ini sudah tidak layak lagi untuk disenyum-senyumi?”

Ada yang memaksanya supaya senyum-senyum semula. Memperolok-olokkannya. Mereka menawarkan wang yang lumayan supaya ia senyum-senyum terus.

Seorang lelaki berlawak di depannya:

“Saya akan berikan isteri saya pada awak asalkan awak senyum-senyum semula. Ayuh senyum!”

Seorang wanita gemuk muncul dengan muka yang merah padam, lalu menarik telinga lelaki pelawak ini. Wanita gemuk ini terus rnemulas-mulas telinga lelaki ini dengan amat zalim – tidak berperikemanusiaan, disertai dengan seranahan yang bertubi-tubi. Dan seperti satu silap mata tiba-tiba saja di tangan wanita ini ada sepatu bertumit runcing.

Lelaki ini terpekik-pekik meminta ampun.

Semua orang tahu bahawa sepatu adalah khusus untuk kaki, tapi tidak pula terbatas kegunaannya: boleh saja digunakan untuk memukul kepala suami yang kurang ajar terhadap isteri – istimewa terhadap seorang isteri yang tidak cenderung untuk dipermain-mainkan.

Wanita gemuk meninggalkan stesen bas ini, menggerutu-gerutu meminta talak.

Lelaki malang ini bangun dengan kepala yang bonjol-bonjol dan lebam.

“Ini semua gara-gara awak berhenti senyum!” lelaki ini menyalahkan, menuding-nuding. Entah kerana malu sangat lelaki ini segera meninggalkan tempat ini.

Apabila lelaki itu sudah jauh, orang semua mula menyungging senyum.

Ia tetap enggan senyum.

Orang-orang yang baru turun dari bas, berhenti sebentar dan bertanya padanya:

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

“Mengapa tidak senyum-senyum lagi?”

Kerana sudah jengkel dan mau menghentikan gangguan dan pertanyaan seperti ini, ia menjawab juga akhirnya.

Begini:

“Sama ada saya mau senyum terus atau tidak adalah hal saya! Kamu semua apa peduli! Apa kamu tidak ada kerja lain? Kalau kamu mau kamu carilah orang lain untuk senyum-senyum pada kamu! Apa kamuu suka orang terus senyum-senyum pada kamu semua?”

Mereka diam mendengarkannya.

“Saya sudah bosan senyum-senyum!”

Ia terus bercakap tentang apa yang membosankannya satu-persatu sepanjang hari ini.

Seterusnya, setiap hari tepat jam lapan pagi, ia datang dan bermonolog di stesen bas ini tentang perkara-perkara yang membosankannya sehingga matahari terbenam dan sehingga kedengaran azan Maghrib.*

MUAL
Berita Minggu (Singapura) 1 Ogos 1982

SEEKOR anjing memberi salam kepadaku.

“Selamat sejahtera hai manusia gila!” katanya, lalu terus berak di depanku.

Rasanya mahu saja anjing ini kusepak. Tapi aku masih berperikemanusiaan. Bagaimanakah jika aku yang kena sepak ketika sedang buang air besar?

Aku jalan terus.

Carikan kertas di tapak tanganku sudah ronyok dan tulisan dakwat yang ada padanya pun sudah agak luntur terkena peluh kerana selalu saja kugenggam-genggam keluar masuk saku seluarku.

Aku terpandang wang syiling lima puluh sen di tepi jalan. Aku malas hendak memungutnya.

Lorong yang sedang kulalui ini ialah sebuah lorong yang sederhana lebarnya. Kanak-kanak ingusan berkejar-kejaran di tengah-tengah terik matahari, membawa perut-perut mereka yang membuncit. Mereka bermain tembak-menembak. Beberapa dari mereka bergelimpangan mati. Mereka mati dengan ragam-ragam yang tersendiri: terjelir lidah, terlentang, tertiarap, mendakap perut. Kemudian mereka serentak hidup semula dan terus tembak-menembak dengan riang.

“Tam! Tara!”

“Rat-tat-tat!”

“Arrrgh!”

Sudah berjam-jam aku melalui kawasan yang seperti kawasan setinggan ini. Terasa letih dan nafasku semput. Setiap langkah macam tambah membuntukan perasaan dan fikiran.

“Aku tidak mau mati,” mulutku berkata. Aku mengeluarkan lagi carikan kertas ini dan membacanya.

Carikan kertas ini telah kuperolehi dari seekor kerbau jantan yang telah menjumpaiku di depan bangunan Hospital Besar di ibu kota.

Aku masih ingat bagaimana kerbau ini menghulurkan kaki depannya kepadaku.

Mataku macam tersembul melihat tapak kakinya ini. Sedikit kotor. Aku belum pernah berjabat salam dengan seekor kerbau yang tapak kakinya kotor.

“Kau Sipolan?” tanyanya.

“Ya.”

“Sipolan bin Polan?”

“Ya. Kenapa?”

Kerbau ini diam dan merenungku seketika dengan tajam.

“Kau akan mati,” katanya selamba kemudian.

Suaraku enggan keluar.

“Sebulan dua bulan lagi kau matilah.”

Aku tidak tau apa lagi.

Kerbau ini menggoncang bahu dan mau meninggalkanku.

Tiba-tiba saja aku mendapati diriku merenggut lubang hidungnya.

Kerbau ini terpekik kesakitan.

“Aku cuma penyampai berita,” katanya.

“Aku tidak mau mati'” kataku.

“Itu aku tidak boleh tolong.”

“Aku tidak mau mati!”

Kerbau ini mendengus minta dilepaskan.

“Aku belum mau mati!” pekikku.

Ia bercerita tentang banyaknya orang yang belum mau rnati – dari orang yang tidak ada apa-apa hingga kepada presiden-presiden.

Aku tidak mau mendengar.

Ia bercakap panjang lebar bahawa orang mati goyang kaki di dalam kubur dan tidak payah bayar hutang tiap-tiap bulan.

“Aku tidak ada hutang!” pekikku.

“Kalau sudah mati kau tidak perlu fikir tentang cari makan,” katanya.

“Aku takut mati!”

“Bah, manusia tolol!” rengusnya.

Ia memberitahu kepadaku bahawa mati itu adalah perkara biasa – di sana sini manusia mati sewenang-wenangnya dengan alasan atau tanpa alasan dan aku cumalah seorang daripada orang-orang yang akan mati itu.

Ia rneminta supaya hidungnya dilepaskan.

Aku enggan.

Akhirnya ia memungut secarik kertas dan mendengus-dengus menulis sesuatu di atasnya.

“Kaucari alamat ini,” katanya.

Aku melepaskannya.

Kerbau ini pergi dan menghilang.

Perutku lapar dan aku merasa letih. Seorang makcik menahan langkah-langkahku.

“Sudah berhari-hari aku nampak kau mundar-mandir di lorong ini,” kata makcik ini. “Kau mencari siapa?”

Sudah berapa hari aku berada di Iorong ini sudah tidak penting lagi. Siapa atau apa yang kucari juga sudah tidak penting lagi. Yang pentingnya aku mesti terus mencari-cari. Tapi untuk menjawab aku mengunjukkan carikan kertas ini kepadanya.

“Aku tidak tau membaca,” kata makcik ini. “Tolong bacakan.”

“Rumah No. Kpclqgnb Jln. Yxcdrwhpklrb. “

Makcik ini terbelalak seolah-olah ia sedang berdepanan dengan seorang yang tidak siuman dan ia bergegas meninggalkan aku.

Tidak lama kemudian seorang budak mengekoriku. Aku berpaling menghadapinya. Ia merenungku dengan berawas-awas. Aku memandangnya lama-lama. Ia tersenyum dan aku membalas senyumannya. Aku duduk di tepi lorong ini dan menyeka peluh. Ia ikut duduk tapi dalam jarak yang waspada.

“Kau orang gila?” tanyanya.

“Aku tidak gila,” kataku.

“Kau mesti gila. Sudah sebulan lebih kau jalan-jalan di sini. “

“Aku baru saja datang pagi tadi atau mungkin petang kelmarin,” kataku.

“Kau memang orang gila. “

Aku melagak seperti orang gila yang hendak menelannya hidup-hidup. Ia tidak gentar.

“Aku juga mau jadi orang gila,” katanya.

“Pergi pulang ke rumah!”

“Aku tidak mau! Aku mau jadi orang gila!”

“Nanti kau kena marah oleh bapak dan emakmu,” kataku. “Mana bapak dan emakmu?”

“Emak sudah bapak ceraikan. Bapak di rumah, bergaduh dengan emak tiri. “

Ia mengais-ngais tanah.

Kepalaku mula terasa pening dan dadaku sesak. Buat seketika pemandanganku berkunang-kunang. Apabila keloyaan ini lenyap aku mendapati budak ini sudah berada di sisiku. Ia meniru cara cangkungku. Ia memicit-micit dahinya seperti orang pening. Kemudian ia membulatkan matanya dan memandang kosong ke depan. Aku tersenyum. Ia ikut tersenyum.

“Kau mencari apa?” tanyanya.

Aku memberikan carikan kertas yang sudah ronyok ini kepadanya. Ia memulangkannya: ia tidak tau membaca.

“Kau tidak pernah sekolah?”

“Apa ada di sekolah?”

“Kau boleh belajar membaca. “

“Lagi?”

“Mengira. “

“Ya?”

“Menulis. “

“Lagi?”

“Kau boleh belajar jadi manusia dan warga dunia yang baik, bertanggungjawab dan berjiwa besar. “

“Di sekolah mereka tidak ajar orang jadi gila?”

“Tidak. “

“Aku tidak mau bersekolah. “

Aku memandang kosong ke depan.

“Kau mencari apa?” ia bertanya. semula.

“Rumah No. Kplcqgnb Jln. Yxcdrwhpklrb. “

“Okey,” katanya. “Mari kita cari rumah ini. “

Malas pula aku hendak berganjak. Aku terus merenung ke depan. Budak ini ikut merenung ke depan, tangannya mengibas-ngibas lalat yang hinggap di mukanya. Akhirnya ia ikut seperti aku: lalat-lalat ini dibiarkan saja hinggap.

“Apa ada di rumah yang kaucari itu?”

Aku tidak tau. Tidak pernah aku “terfikirkan; carikan kertas ini kuperolehi pada saat genting ketika apa saja akan kuterima untuk kupegang. Aku tidak pernah memper-soalkannya. Aku diam. Budak ini terus mendesak-desakkan pertanyaannya sehingga kepalaku terasa pening.

“Sebuah kedai,” acuh tak acuh aku mereka-reka jawapan.

“Kedai apa?”

Aku telah menyangka ia akan diam dan berpuas hati.

“Kedai yang menjual segala-galanya,” aku menjawab dengan bengkeng.

“Menjual bawang?’

“Ya. “

“Condorde?”

“Ya. “

“Menjual kasut bolasepak juga?”

“Ya. “

Ia terus menyoal seperti itu, menyebut nama-nama benda satu-satu, yang mungkin cuma kebetulan melintas di kepalanya: tanah, rumah batu, bunga plastik, langit, rumput, hantu, bola, kapal, televisyen, senapang, kereta kebal, bom neutron, mee maggie. . .

Ia menarik nafas dan menyoal terus.

Akhirnya aku memekik: “Menjual segala-galanya!”

Budak ini raendekatkan dirinya lagi padaku sehingga lengannya menyentuh lenganku. Ia memegang pergelangan tanganku dengan lembut. Aku terdiam.

“Menjual segala-galanya?” tanyanya berbisik.

“Ya, segala-galanya,” aku terikut berbisik.

“Menjual gila juga?” bisiknya.

“Apa saja yang kaumau ada dijual di sana,” bisikku.

Aku malas hendak berfikir panjang-panjang. Tapi budak ini terus menyoal-nyoal. Aku mengeluh. Aku terpaksa terus mereka-reka jawapan yang panjang lebar sekadar mematikan pertanyaan-pertanyaannya. Ia mendengar dengan tekun.

Kedai ini adalah sebuah kedai yang tua, kataku. Penjualnya juga sudah tua tapi masih bertenaga. Ia membela janggut putih yang sangat panjang dan ia sentiasa saja mengunyah-ngunyah sesuatu. Pakaiannya serba hitam dari sutera ulat.

“Namanya?”

“Kpljmbt. “

Suasana di kedai ini sentiasa saja suram dan udaranya lembap dan sejuk. Di atas rak-rak terdapat beratus-ratus biji botol yang tersusun rapi. Setiap botol mempunyai label.

Orang tua ini duduk di satu sudut di atas bangku kayu. Ia sudah terlalu bongkok. Ia sudah seperti duduk seratus tahun di bangku itu. Ada bekas jaring labah-labah di kepalanya. Habuk-habuk melekat di kulitnya. Ia terbatuk kecil. Habuk-habuk berterbangan. Beberapa ekor tikus terkejut dan lari bersembunyi. Dan orang tua ini kembali seperti tunggul. Matanya tidak berkedip-kedip. Tikus-tikus keluar semula bermain-main di hujung kakinya.

Aku berhenti bercerita untuk mengambil nafas dan berfikir.

Budak ini memandang ke depan dengan mata yang membulat besar seolah-olah ia dapat melihat segala-galanya. Ia memegang pergelangan tanganku dengan erat.

“Di dalam botol-botol itu apa?”

“Entah, barangkali jiwa. “

“Jiwa apa?”

“Jiwa anjing, jiwa monyet, jiwa’ lembu, jiwa katak, jiwa ayam. . . . “

“Kau hendak membeli jiwa anjing?”

“Tidak!” aku memekik. “Aku seorang manusia!”

“Kalau orang dimasukkan dengan jiwa anjing. . . ?”

“Orang akan jadi macam anjing. “

“Monyet?”

“Jadi macam monyet. “

“Lembu?”

“Jadi macam lembu. “

Budak ini belum kehabisan pertanyaan.

Aku meneruskan dengan malas: di satu sudut ada sebiji botol besar yang berisi dengan kebuluran – lima puluh sen satu kilogram. Lima depa di kiri orang tua ini ada sebuah kotak besar yang berisi dengan pembaziran – lima puluh sen satu kilogram. Tiga depa di depan sebelah kiri orang tua ini ada beberapa biji botol besar berisi dengan pencemaran dan penyakit – lima puluh sen satu kilogram. Di sebelah kanannya, paling dekat sekali, ada sebiji tajau yang berukir indah dan antik berisi dengan peperangan – lima puluh sen satu kilogram.

Budak ini mengeluarkan wang syiling lima puluh sen.

“Semuanya lima puluh sen satu kilogram?” tanyanya. Ia melambung-lambungkan wang syiling ini. “Kenapa murah?”

“Jualan Penutup – Closing Down Sale. “

“Kenapa Jualan Penutup?”

“Dunia sudah hampir kiamat. “

“Kau hendak membeli apa?”

Aku menerangkan kepada budak ini bahawa aku akan mati tidak berapa lama lagi. Aku menceritakan kepadanya tentang perjumpaanku dengan seekor kerbau di depan bangunan Hospital Besar di ibu kota.

Ia mendengar dengan tekun. Matanya tidak berkedip-kedip. Mukanya dihurungi lalat.

“Tapi aku tidak mau mati. Dan untuk menyambung hayat aku terpaksa membeli nyawa. “

“Nyawa juga lima puluh sen satu kilogram, ya?’

Aku baru saja hendak menjawab apabila aku tersedar yang budak ini sudah tidak ada di sisiku lagi. Ia seolah-olah tidak pernah ada. Barangkali aku cuma bercakap-cakap seorang diri.

Suhu badanku terasa amat panas. Otakku macam diperah-perah dan kebas. Penglihatanku berkunang-kunang.

Aku terdengar salakan anjing.

Aku berdiri dan merasa mual.*

ALHAMDULILLAH! ALHAMDULILLAH!
Sarina Mac 1982
MACAM mana ini boleh berlaku?Mula-mula  Muntil  menyangka  tentu  saja  ada  kesilapan. Mungkinkah? Sebaik-baiknya didiamkan saja. Jika betul ada berlaku kesilapan, maka kesilapan itu mesti didiamkan kerana ia menguntungkan.Paling menguntungkan!Setelah berfikir lama-lama; menimbangkan itu ininya dan patut  tidak patutnya,  dia  berpendapat  bahawa  sebenarnya tidak  ada  kesilapan.  Apa  yang  berlaku  adalah  yang sepatutnya.

Akhirnya dia ketawa besar-besar.

“Muntil!  Muntil!”  katanya  pada  diri  sendiri.  “Tidak rugilah kau selama ini!”

Dia menepuk-nepuk peha dan ketawa sekuat-kuat hatinya. Sepuas-puas hatinya.

“Ha ha ha ha ! “

Jika para ustaz, ustazah, imam, mufti dan ulama itu betul, kenapa bumi belum juga menghimpitnya? Dan talkin sudah lama selesai dibacakan tapi Mungkar dan Nangkir belum juga datang menyoal dan memukulnya.

Liang lahadnya tidak juga berirambah sempit,  tidak juga bertambah luas. Jika dia boleh hidup semula, dia ingin benar hendak menempelak para ustaz,  ustazah,  imam,  mufti  dan ulama.

“Tidak ada apa-apa selepas mati!” dia memekik agar orang yang masih hidup dapat mendengarnya dan terus melakukan apa saja, tanpa ragu-ragu lagi,  tidak kira baik atau buruk, asalkan menyeronokkan dan menguntungkan.  “Tidak ada siksa kubur! Kita mati dan habis perkara!”

Muntil terus ketawa dan menepuk-nepuk peha.

“Ha ha ha! Untung! Untung!”

 

 

TIBA-TIBA sangkakala ditiup buat kali keduanya. Semua yang mati hidup semula dan berkumpul di padang Mahsyar.

Muntil terketar-ketar. Peluhnya berpercikan. Rasanya baru saja kelmarin dia mati. Hidup di dunia macam tidak pernah ada. Sekarang sudah Akhirat: dia akan disiksa.

Malang benar!

Para ustaz, usirazah,  imam, mufti dan ulama tidak silap rupa-rupanya!

Dia kelam-kabut memerintah seluruh anggota tubuhnya supaya diam.

“Jangan belot!” katanya. “Kamu semua jangan belot!”

“Taukeh jangan bimbang!” kata mulutnya tiba-tiba. “Ha ha ha! Semua boleh beres!”

Dia menampar mulutnya yang celupar itu.

“Haiah!” kata tapak Langannya pula. “Lu punya buah dada rnemang montoklah Julie Montok! Lu punya punggung syurgalah! Syurga!”

Dia  menyembunyikan  tapak  tangannya  itu  ke  belakang. Mengepal-ngepalkannya.

“Heh diam bah!” sergahnya. “Nanti Tuhan terdengar'”

“Haiah!” tapak tangannya terus bercakap-cakap. “You are my syurga Julie! My syurga!”

Kemudian dia  mencekik  lehernya kerana  tekaknya  terasa kering dan mula pula memekik-mekik.

“Beer! Beer! Wiski! Wiski!”

Dia terduduk.  Sesak nafas.  Matanya terkebil-kebil.  Dan dadanya berombak-ombak.

 

 

SEKONYONG-KONYONG keceluparan anggota- anggota tubuhnya itu jadi reda. Tangannya terasa seperti dipimpin di pergelangan oleh satu tenaga ghaib. Perasaannya tenteram dan sejuk. Dia dibawa mara melalui celah-celah orang yang berjejal-jejal dan beraneka ragam dan tabiat.

“Aku yang tolong menggugurkan bayi-bayi itu,” kedengaran sepasang tangan bercakap.

“Diam!” tangan itu kena tengking. “Kamu mau masuk Neraka hah? Kamu mau masuk Neraka?”

Matahari memancar terik sekali, tegak,  rendah di pusat langit. Bayang-bayang membuntar di tapak kaki.

Dia  dibawa  membelok  ke  kanan,   membelok  ke  kiri, kadang-kadang laju,  kadang-kadang  perlahan;  ditarik-tarik dan ditolak-tolak  sewenang-wenangnya,  kasar  tapi  kadang-kadang dipi-mpin dengan lembut  juga.  Maju  terus.  Nyaris-nyaris melanggar seorang pernuda.

“Bukan aku yang melakukannya!” pemuda itu terpekik. “Bukan aku!”

“Aku! Aku!” sahut alat kelaminnya. “Aku'”

Muntil sempat menoleh ke arahnya. Pemuda itu tersipu-sipu.

Jauh di depan Muntil terpandang satu sepanduk. Kian dekat kian nyata tulisan di sepanduk itu. Dia membacanya dengan dada yang gemuruh:

KUMPULAN ORANG YANG MASUK NERAKA

TANPA DIHISAB

Habislah kali ini! Mati! Mati!

Tapi dia hanya dibawa melewati kumpulan itu – semakin jauh ditinggalkan  di  belakang.  Akhirnya  sepanduk  itu  tidak keli-hatan lagi.

Benak Muntik penuh dengan tanda tanya.

Dia terus dibawa maju dan maju. Sekelilingnya ribut dengan keceluparan.

“Kurang  ajar!  Kurang  ajar!”  seorang  lelaki  gendut menyumpah-nyumpah,  bermandikan peluh,  menghentak-hentakkan penumbuknya sehingga biru lebam pada tanah. “Kamu bohong! Bohong!”

“211509!” kata  jari-jari peninjunya itu.  “Kalau menang boleh ambil cuti makan angin ke Haadyai!”

“Syok! Syok!” pekik batang tubuh seorang gadis. “Syook!”

“Celaka! Diam bah! Diam!”

Bibir gadis itu pucat biru menggeletar.

Muntil membiarkan dirinya dibawa maju terus – dia tidak tahu ke mana. Dia mendapat akal memejamkan mata bagi selebih perjalanan itu. Dia tidak mahu melihat apa-apa dan dia tidak mahu tahu ke mana dia hendak dibawa.

 

APABILA dirasakannya dia sudah sampai, dengan perlahan-lahan dia mencelikkan matanya semula.  Di  situ  sudah  terkumpul kira-kira   lima   ratus   orang   yang   kesemuanya   macam kebingungan. Dengan dada yang berdebar-debar Muntil membaca berulang-kali papan tanda di depannya:

ORANG-ORANG YANG MASUK SYURGA TANPA DIHISAB – KUMPULAN TERAKHIR

Dia bingung. Dia sepatutnya diseksa dan dicampakkan ke dalam Neraka tanpa dihisab. Dia tidak mengerti.

Dia berfikir  dalam-dalam dan kemudian tersenyum-senyum lebar, memandang kiri kanan, mencari kepastian.

“Ini sudah tentu kesilapan pentadbiran Akhirat,” katanya.

Gopoh-gopoh dia menutup mulutnya dengan tapak tangan dan menjeling kiri kanan. Diamkan saja, bisik hatinya. Kesilapan ini menguntungkan.

Amat menguntungkan.

 

 

 “SEMUA sudah ada di sini?” tanya Malaikat I.

“Ya,” jawab Malaikat II.

“Bagus!” kata Malaikat I. “Kita pun mau tau kenapa mereka ini masuk Syurga.”

“Tuhan tidak melakukan Kesilapan,” kata Malaikat II.

“Maha Suci Tuhan!” sahut Malaikat I. “Tuhan Maha Tahu!”

“Mereka ini sepatutnya masuk Neraka!”

“Tuhan Maha Tahu! Tuhan Maha Tahu!”

Muntil menolak-nolak untuk ke depan: lebih cepat masuk ke Syurga nanti. Dia sudah bersiap sedia untuk dahulu masuk.

Malaikat III tampil dan tanpa lengah-lengah lagi membaca-kan satu pernyataan:

“Maha Suci Tuhan! Maha Suci Tuhan! Maha Suci Tuhan yang segala   puji-pujian   hanyalah   Untuk-Nya!   Beruntunglah tuan-tuan dan puan-puan sekelian! Tuhan telah mengampunkan segala dosa, besar atau kecil yang telah kalian lakukan!”

“Maha Suci Tuhan! Maha Suci Tuhan!” kata Malaikat II.

“Tuhan Maha Pengampun!” sambut Malaikat I.

“Meskipun kalian leka melakukan dosa-dosa besar semasa hidup,  kalian  diampunkan  juga,”  sambung  Malaikat III, “kerana kalian telah juga banyak berjasa pada bangsa, negara dan tahanair kalian masing-masing!”

“Tuhan mengampunkan sesiapa saja yang dikehendaki-Nya!” sambut Malaikat 1 dan II.

Kebanyakan  mereka  yang  terpilih  itu  tunduk  dengan keheningan perasaan. Betapa pengampunan Tuhan itu tidak ada batasnya.

Muntil menyiku seorang lelaki gemuk di sisinya yang sedang mengurut-urut dada.

“Semasa hidupku,” bisik Muntil bangga, hidungnya kembang kempis, “aku telah banyak berjasa dan telah dianugerahkan gelaran oleh negara,  Datuk Jasa Berjasa pada Bangsa dan Negara Awg.Muntil bin Muntol!”

“Syyy Malaikat hendak bercakap!”

“Kau ada kena beri gelaran?”

“Syyy tidak ada,” jawab lelaki itu acuh tak acuh.

“Eh macam mana kau boleh terpilih?”

“Syyy!”

“Kau sepatutnya masuk Neraka!”

Lelaki itu tidak mahu melayaninya lagi.

“Kalian semua,”  Malaikat III  menyambung.  “Kalian  semua adalah terdiri dari orang yang kaya raya tapi kalian tidak naik haji. Tuhan sudah ampunkan!”

“Alhamdulillah!” sahut Malaikat 1 dan II.

“Kalian  juga  kedekut  mengeluarkan  zakat-zakat.  Tuhan ampunkan!”

“Alhamdulillah!”

“Alhamdulillah!”  orang  mula  ikut  menyahut  mencontohi Malaikat 1 dan II.

“Kalian semua sihat-sihat wal afiat tidak gastrik,  tapi kalian tidak berpuasa bulan Ramadan. Tuhan ampunkan!”

“Alhamdulillah! Alhamdulillah!”

“Kalian semua tidak pernah sembahyang lima waktu. Tuhan ampunkan!”

“Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!” Bergema.

“Kalian semua cuma tahu main Alhamdulillah-Alhamdulillah saja!”

“Alhamdulillah! Alhamdulillah!”

“Kalian semua tidak tahu menyebut Asyhadu alla ila ha illallah Wa asyhadu anna Muhammadar Rasullah!”

“Asadu…asadu…asadulaaah!”

Mereka menggeleng-gelengkan kepala.

‘ ‘Tuhan ampunkan”’

Malaikat III membuka lembaran pernyataan itu dan memandang ke depan hendak membaca terus.

Muntil memandangnya dengan jelik. Dia sudah lama menunggu hendak masuk Syurga. Tidak sabar lagi rasanya.

“Kalian,” kata Malaikat III.

“Buat  apa  dia memberi  ucapan panjang-panjang,”  Muntil merungut. “Aku sudah tau segala dosa-dosaku. Memang sengaja aku lakukan!”

“Alhamdulillah!” kata Malaikat 1 dan II.

“Aku mau masuk Surga cepat-cepatlah!”

“Ahhh sabar! Sabar!” kata lelaki di sisi Muntil.

“Kautau – di Syurga banyak bidadari.”

“Semasa di dunia kau belum puaskah lagi?”

“Belum!”

Malaikat III   memandang-mandang,   setelah   tidak   ada kedengaran orang bercakap-cakap lagi baru dia menyambung:

“Tapi kerana kalian telah berjasa pada bangsa dan negara, banyak berderma bakti, meskipun bukan kerana Allah. Tuhan ampunkan!”

“Hah,buat apa dia ulang-ulangi lagi!” celah Muntil.

“Sabar! Sabar!”

“Hoi!” pekik Muntil.  “Kita sudah puas  dengar  syarahan ugama di dunia! Semua sudah kita tau dan maklumi! Buat buang masa saja!”

“Kalian  semua  adalah  manusia  dan  tidak  sunyi  dari melakukan dosa-dosa…”

“Hoi! Panjang lagikah pidato itu?” Muntil mengacu-acukan tinjunya dengan geram.

Malaikat III   berhenti   membaca   –   berunding   dengan Malaikat 1 dan II.

Muntil bercekak pinggang memerhatikan mereka.

“Hoi!” pekiknya. “Jangan lama-lama miting! Kita mau masuk Syurga cepat-cepat!”

Malaikat III  lenyap  sebentar,  kemudian  muncul  semula dengan cahaya yang kemilau, senyum-senyum.

“Berita gembira! Berita gembira untuk kalian!” katanya. “Tuhan   telah   memperkenankan   supaya   syarahan   tidak diperpanjang-panjangkan  lagi.  Kalian  akan  dimasukkan  ke Syurga sekarang juga! “

“Bagus!” kata Muntil. “Segala pujian bagi Tuhan!”

“Nama kalian akan diumumkan menurut abjad  rumi kerana memang kalian tidak kenal abjad jawi. Tuhan ampunkan!”

“Celaka!” dengus Muntil. “Belum habis lagi!”

Nama-nama mula diteriakkan.  Mereka yang dberkenaan pun tunduk-tunduk, menitiskan air mata haru, masuk ke Syurga. Sebak benar.

“Benarlah Tuhan itu Maha Pengampun!  Benarlah Tuhan itu Maha Pengampun!” mereka mengulang-ulangi.

Muntil menunggu-nunggu namanya dipekikkan. Lama juga. Dia marah-marah apabila Malaikat III mula memasuki abjad E.

“Tidak hormat langsung!” gerutu Muntil. Dia cuba bersabar.

Akhirnya  Malaikat III  sampai  juga  pada  abjad  M.  Dia membaca dengan perlahan tapi lantang.

“Muntil bin Muntol!”

Muntil tidak berganjak.

“Muntil bin Muntol!”

Malaikat III, II dan 1 memandang-mandang, mencari-cari.

“Mana Muntil bin Muntol?”

Muntil melangkah ke depan. Mukanya merah padam.

“Tidak  hormat  langsung!  Tidak  hormat  langsung!”  dia merungut-rungut. “Dia fikir aku ini siapa?”

Tuh! Dia meludah. Tuh!Tuh!

Sabar! Sabar! Dia menyabarkan dirinya. Barangkali mereka belum tau!

“Awak Muntil bin Muntol?”

“Ya,” jawab Muntil kasar. “Tapi saya sudah bergelar Datuk – Datuk Jasa Berjasa pada Bangsa dan Negara Awang Muntil bin Muntol!”

Malaikat III menyemak dan meneliti list.

“Di dalam list ini cuma ditulis Muntil bin Muntol.”

“Saya  tidak  peduli!  Itu  mungkin  kecuaian  pentadbiran Akhirat! Saya telah banyak berjasa pada bangsa dan negara -kamu  tidak  tahukah?”  Muntil diam  sekejap.  “Siapa  saja termasuk Malaikat mesti hormat pada saya!”

Malaikat III terdiam.

“Saya tidak kira ini majlis formal atau informal, nama saya mesti disebut bersama title saya sekali!”

“Macam mana ini?” tanya Malaikat III pada Malaikat I.

“Hadapkan saja pada Tuhan,” jawab Malaikat I.

Malaikat II  lenyap  menghadap  Tuhan.  Beberapa  ketika kemudian kembali semula dengan cahaya sugul bersama Malaikat lain yang hitam legam dan tidak senyum-senyum.

Padang Mahsyar bergegar bila saja dia mendarat.  Pasir berkepul-kepul  naik  seperti  asap  tebal.  Bunyi  tarikan nafasnya  bergulung-gulung  seperti  ribut  dan guruh  tujuh puluh tujuh musim tengkujuh yang dikepalkan menjadi satu.

Dia menjalankan tugas tanpa sepatah kata.

ketika baru-baru menulis – kita merasa cukup senang dan bangga jika karya kita diterbitkan – itu sudah cukup. betulkah itu sudah cukup? cerpen ini saya tulis semasa saya menggangur – ketika saya sangat-sangat mengharap sedikit wang saku sekurang-kurangnya untuk membeli kertas taip dan belanja mengeposnya. cerpen ini diterbitkan (terima kasih, SARINA! ) dan hingga kini (sudah lebih dua puluh tahun) saya masih menunggu bayarannya!*

BETTY
Bahana April 1983
prologBETTY MEMAKAN habis satu mangkuk daging khas untuknya. Kemudian ia meminum susu sepuas hatinya. Susu dan daging adalah makanan kegemarannya sejak kecil lagi.Kemudian Betty pergi ke satu sudut; merehatkan diri. Menanti Marianne. Selalunya Marianne akan datang mengajaknya bermain.

Mereka akan bergembira bersama – merasa bahagia.

Betty sentiasa merasa gembira dan bahagia. Tetapi kebahagiaan lebih bererti jika dirasa bersama dengan orang kedua. Bersama Marianne – khasnya. Mereka akan bermain sepuas-puasnya, sehingga bosan. Bosan bermain, mereka akan berhenti. Dan ia akan duduk manja di pangkuan Marianne (semoga keadaan ini tidak berubah).

Tiba waktu makan, Marianne akan menyediakan daging dan susu untuknya.

Makanan sentiasa cukup dan tidak perlu difikir-fikirkan.

“Betty! Betty!”

Itu pun Marianne datang.

 

 

1

Setelah hampir tamat kontraknya, Tuan Peter Baldwin pun bersiap sedia untuk pulang ke negerinya. Tuan besar ini menyiapkan mana-mana fail atau hal yang perlu diselesaikan dan menjelaskan perkara-perkara itu dan ini. Begitu sibuk ia memberi penerangan-penerangan terakhir kepada bakal penggantinya, seorang pemuda setempat. Kemudian satu parti perpisahan diadakan untuknya. Kini semuanya sudah beres. Hati Tuan Peter Baldwin amat lapang. Senang-senang goyang kaki menghisap cerut; empat hari lagi ia akan berangkat dengan anaknya. Tiket kapal terbang sudah ditempah: kelas pertama. Isterinya telah lama diceraikannya dan peduli apa dengannya bersama lelaki barunya itu!

“Papa, bagaimana dengan Betty?” tanya anaknya.

“Oh! Aku terlupa tentang Betty?”

Tuan besar ini menampar dahi.

“Mengapa tidak kita bawa saja ia bersama?”

“Itu tidak boleh!”

“Kenapa tidak boleh?”

“Kerana itu tidak boleh, Marianne!” Tuan Peter Baldwin teringat akan Awang Karmun,  peonnya.  Pasti  ia suka menerima Betty.

 

2

Betty tinggal di rumah Awang Karmun. Rumah papan yang tidak berairkon.

Jagat memerhatinya sejak tadi dengan penuh harapan. Hari ini Jagat bertekad akan membuat approach lagi kepada Betty. Sekurang-kurangnya duduk dekat-dekat dengan Betty. Dan Betty mengapa ia begitu sukar untuk didekati? la mengelak dan mengelak tanda tidak mahu. Jagat tidak faham. Sama sekali tidak faham. Betina adalah untuk jantan. Dan jantan adalah untuk betina. Kewujudan yang telah menetapkan. Betty adalah betina dan ia adalah jantan. Jagat merenung Betty. Mereka belum berkenalan. Mereka mesti berkenalan. Jagat teringat bagaimana percubaannya untuk berkenalan selalu sahaja gagal. (Betty tidak mahu didekati). Ia hanya mendengar nama Betty dari mulut Awang Karmun. Tetapi ia akan bertanya juga namanya nanti. Sekadar formaliti.

Ah, ia harus bersabar. Masa akan menentukan. Perlahan-lahan. Betty pasti boleh dimilikinya nanti – akhirnya. Ia sanggup bertaruh! Betty memandang kosong kepadanya. Jagat terasa akan kekosongan pandangan Betty ini. (Atau ini adalah kerana ia sendiri yang merenung mata Betty). Sabar, ia harus bersabar terhadap Betty.

Betty tidak ingat sudah berapa hari ia tinggal di rumah Awang Karmun ini. Terlalu sunyi rasanya, ditokok pula dengan makannya yang jauh daripada cukup. Badannya pun sudah susut. Awang Karmun cuma asyik terbatuk-batuk di anak tangga. Bilakah ia akan memberinya makanan yang cukup – daging dan susu? Ah, betapa rindunya Betty pada anak Tuan Baldwin.

Di manakah kau Marianne? Kau tentu akan menangis jika melihat keadaanku sekarang.

“la sungguh cantik, ya Pa?”

“Kau jaga ia baik-baik, Marianne. Dan beri ia makan dengan cukup.”

“Dan aku akan menamakan ia … “

“Ya Marianne … ?”

“Gudrun … ? Ah tidak. Tidak sesuai … “

“Berikan ia nama Melayu, Marianne. Saloma misalnya?”

“Saloma?!  Saloma untuk nama kucing? Ha ha he he … “

Senyum merekah di bibir Betty.

Apakah senyum itu untukku? Jagat menghampiri Betty.

“Ehem!” sapanya.

Senyum Betty terus melebar. Matanya berkaca-kaca memandang kosong kepada Jagat. Jagat membalas senyuman ini.

“Kau sungguh cantik,” kata Jagat. (Jika boleh saat ini juga ia mahu memiliki diri Betty).

Betty teringat semasa ia kecil dahulu. Ia telah mundar-mandir terpisah jauh dari ibunya. Sesat, kusut dan lapar. Betapa ia merengek sepanjang hari di tepi sebuah  rumah  batu  yang besar. Sekelilingnya terlalu asing baginya. Kemudian ada tangan kecil mengangkatnya. Dan tangan ini mengusapnya dengan lembut. Hidupnya bahagia selepas itu. Makannya cukup – ada susu, ada daging.

“Betty … itu  nama yang bagus untuknya, ya Papa?”

“Ya Marianne, nama itu sesuai sungguh!”

“Ehem! Namamu siapa?” tanya Jagat.

Marianne kau bijak mencari nama untukku. Aku senang sekali dengan nama itu … “Betty … Betty … Betty … ” Betapa  sedapnya  disebut-sebut.

“Betty? Wah! Sungguh cantik dan moden namamu!” seru Jagat.

Betty tersentak. Lamunannya berkecai. Serentak itu juga ia tercium bau yang kurang enak dan terpandang akan Jagat. Betty melompat ke belakang. Kecut. Tekaknya mual.

“Eh! Jangan dekati aku!”

“Kau takut? Aku tidak jahat.”

“Jangan dekati aku! Jangan!”

Betty berundur terus. Loceng di lehernya berdenting-denting.

Jagat duduk. Ia khuatir Betty akan lari ketakutan. Jikalau ini terjadi akan hancurlah segala harapannya. Biarlah. Ia mesti bersabar. Perlahan-lahan.

Apabila Betty berhenti; duduk dan merenungnya, hati Jagat terasa lega.

Renungan Betty lama dan dalam sekali. Inilah pertama kali ia memandang Jagat seperti ini. Jagat tampan. Tetapi bau tubuhnya amat menjijikkan. Hidung Betty kembang kempis.

“Kau sungguh cantik,” kata jagat.

“Terima kasih, aku sangat senang dengan pujianmu itu. Kau juga tampan.”

Jagat kagum dengan kesantunan ini. Malah terlalu santun. Tidak pernah ia bersua betina seperti ini. Betina-betina lain tidak masuk dipuji sebaliknya mereka akan menempelak pedas. Memandangkan Betty mahu diajak bicara, ia pun menghampirinya.

“Tolonglah . . . jangan hampiri aku.”

“Baiklah. Aku akan duduk saja di sini.”

“Terimakasih.”

“Aku hairan kenapa kau takut padaku,” kata Jagat. “Kau membenci aku?”

“Namamu siapa?”

“Aku Jagat.”

“Sungguh gagah namamu!”

Jagat tambah kagum. Betapa liciknya ia menukar tajuk perbualan, Betty belum lagi menjawab soalannya. Jagat mulai sedar: Betty betina sophisticated. Tuannya yang lalu pasti dari kelas atasan. (Di kemudian hari Jagat tahu juga, Betty sendiri memberitahunya. Betty tidak membencinya cuma jijik pada bau tubuhnya).

“Dan namamu pun sungguh cantik. Juga kalung di lehermu itu. Bagus sungguh dentingnya,” kata Jagat.

“Oh. Terima kasih. Ini kalung loceng pemberian Marianne.”

Mereka saling pandang-memandang.

“Selama ini aku lihat kau sedih dan murung saja. Kenapa?”

Betty tunduk. Hatinya pilu mengingatkan keadaannya sekarang. Marianne tidak ada untuk membelainya. Inilah yang dirindukannya; hidup seperti dahulu, bersama Marianne, bermain dan bersuka ria dengan serba-serbi yang cukup, yang penting sekali perut sentiasa berisi.

“Kau susah hati agaknya?”

“Ya dan makanku di sini tidak pernah cukup.”

“Kau mesti ikut aku cari makan.”’

“Cari makan?”

“Ya, cari makan.”

“Maksudmu Awang Karmun tidak akan memberi daging dan susu?”

Jagat  tercengang. Jagat  berfikir sejenak dan ia tersenyum.

“Kau mesti belajar cari makan sendiri, Betty.”

“Cari makan sendiri?”

“Ya, cari makan sendiri.”

Betty tunduk. Diam.

Jagat memandang Betty dengan penuh keghairahan. Tidak ada lain di dalam kepalanya. Ah, sabar. Ia perlu bersabar. Nanti, Betty pasti akan bunting. Beranak banyak. Ia sanggup bertaruh sepuluh ekor tikus! Jika tidak jangan ia dipanggil jantan!

 

3

Panas membahang. Musim kemarau.

Betty terduduk keletihan. Tercungap-cungap. Jantungnya berdegup pantas. Mencari makan – mengapa terlalu susah? Ah, alangkah bagusnya jika hidup ini tidak perlu makan. Atau sekurang-kurangnya makanan disediakan pada waktu yang tetap. Ah, alangkah bagusnya jika tikus datang menyerahkan diri dan berkata, “Nah, kaumakanlah .aku, aku ini kan makanan aslimu.” Dan jika ia hendak minum, susu akan mengalir dan bertakung di depannya dan berkata, “Nah, kauminumlah aku.” Dan ia tidak perlu ke mana-mana mencari makan, menghadapi saingan dengan musuh. Dan alangkah bagusnya jika di kiri kanan adalah sahabat dan sanak saudara yang sentiasa memberi salam sejahtera dari hati yang luhur. Alangkah bagusnya jika anjing-anjing semuanya mati dari muka bumi ini – pupus sama sekali. Ah, memang susah mencari makan.

Segala-galanya susah sekarang. Dirinya pun sudah tidak terbela lagi. Kusut dan comot. Jika dahulu, Marianne ada untuk mengusap dan membersihkannya. Marianne ada untuk menyediakan makan minumnya. Segala-galanya Marianne. Hidupnya juga adalah untuk menghibur dan menemani Marianne. Loceng di lehernya akan berdenting-denting riang. Ah, keriangan silam adalah hantu-hantu yang lebih baik dilupakan sahaja.

Dan kini ia tercungap-cungap dikejar bahaya. Ngeri bergayut pada nyawanya. Setiap yang tidak dikenali dan mahu berkenalan mesti dihadapi dengan prasangka. Malah yang dikenali juga mesti dicurigai. Jagat sendiri adalah cuma sahabat semasa sama-sama mencari makan, tetapi ia adalah musuh setelah mendapat makanan. Apakah ia akan merampas makanan dari mulutnya?

“Ini adalah soal survival,” Jagat pernah menyatakan.

Dahulu ia tidak perlu khuatir apa-apa. Malah tidak perlu berfikir apa-apa. Marianne yang memikirkan semuanya.

Ingatannya macam terlempar pada ketika ia mula-mula dibawa masuk ke rumah Tuan Baldwin.

“la sungguh cantik, ya Pa?” kata Marianne.

“Kaujaga ia baik-baik Marianne. Dan beri ia makan dengan cukup.”

Keselamatan dan makanannya semuanya terjamin. Ah, alangkah bagusnya jika keselamatan dan makanan sentiasa terjamin.

Tetapi semua ini sudah menjadi hantu-hantu.

Betty menoleh kiri kanannya. Degup jantungnya masih resah. Ke mana Jagat? Sudah ditangkap anjingkah ia? Alangkah bagusnya jika anjing-anjing semua bertukar menjadi tikus.

Sekujur tubuhnya menjadi tegang. Bahaya lagi. Ia terdengar satu pergerakan berhampiran tempatnya bersembunyi. Bunyi daun-daun kering dipijak. Hidungnya kembang kempis. Anjing-anjing celaka itu lagikah? la terpaksa mematikan diri kerana dengan sedikit pergerakan sahaja loceng di lehernya akan berdenting riang menjemput mara (mungkin maut). Kemudian ia tercium bau yang dikenalinya dan menenangkan kecemasannya.

Jagat datang terengah-engah.

“Mereka sudah lari.”

“Mereka sudah lari?”

“Ya, mereka sudah lari.”

Lama mereka terdiam untuk melepaskan lelah dan kecemasan.

“Tidak selamat dengan duduk dan bersembunyi di tanah saja, Betty.”

“Jadi macam mana lagi?”

“Kau mesti panjat pokok.”

“Aku tidak pernah memanjat. Dan lagi, kepalaku akan pening jika duduk di tempat tinggi.”

Betty memandang Jagat. Betapa senangnya bercakap!

Mereka beredar dari sini.

 

4

(Untuk kesekian kalinya).

Betty: Aku suka bau tubuhmu, Jagat.

Jagat: Itu adalah kerana bau lubuhmu hampir sama dengan bau tubuhku.

Betty: Dulu aku amat jijik dengan bau tubuhmu.

Kini Betty mahu didekati.

Jagat sanggup bertaruh sepuluh ekor tikus yang gemuk-gemuk: Betty pasti akan menjadi miliknya dan beranak banyak. Dan terus beranak-pinak.

Kebahagiaan adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan. Kebahagiaan adalah sesuatu yang mesti dialami bersama untuk menikmatinya.

 

5

Tuan Peter Baldwin tidak lupa mengirim poskad kepada Awang Karmun. Mereka telah selamat sampai. Sudah lama. Tuan Peter Baldwin kini mengurus perusahaan menternak susu lembu di negerinya. Perusahaan keluarga. Ia mengambil alih tugas pengurus daripada bapanya.

Suatu ketika keuntungan mereka berlipat ganda.

“Tindakan yang tegas, itulah yang menjamin kejayaan!” kata Peter Baldwin sambil berjalan menuju ke jendela. Ia senyum bangga. Ia memandang pokok-pokok kayu di luar. Keseluruhannya tinggal rangka. Cahaya matahari seperti kebiru-biruan. Mengikut pengumuman radio pagi tadi, musim sejuk tahun ini adalah   diramalkan   paling   buruk. Sekarang pun ia terasa sejuk menikam sumsumnya. Iamengangan-angankan matahari yang sentiasa memancarkan cahaya keemas-emasan.

“Papa!”

“Apa lagi Marianne?”

“Aku hendakkan seekor kucing Papa.”

“Boleh Marianne, boleh.”

“Aku mau yang betina macam Betty.”

“Kalau betina mesti dimandulkan.”

“Tapi kenapa Papa?”

“Kerana ia mesti dimandulkan, Marianne!”

 

epilog

Matahari redup. Awan hitam kelihatan berengsot-engsot. Hujan akan turun lagi. Angin berpuput sayup dan dingin. Bersih dan segar seperti udara pagi.

Masa tidak akan terasa berlalunya jika tidak difikirkan. Tetapi umur tetap merangkak menuju ke kemoyokan. Mati menanti.

Tujuan hidup adalah tetap. Kewujudan menuntut: wajib membiak dan terus membiak. Beranak sebanyak-banyaknya. Jangan putus-putus. Mati beranak adalah syahid.

Jagat membawa Betty ke suatu kawasan berumput. Rumput-rumput ini berwarna hijau gelap. Daun-daun bekas ditimpa hujan.

Angin bertiup dingin.

Betty murung.

“Ini,” kata Jagat seperti kehilangan sabar terhadap Betty. “Ini! Ini! Pucuk rumput ini – kaumakan banyak-banyak! Aku kata kaumakan banyak-banyak, Betty! Kaufaham! Pucuk rumput ini akan mengubati kemandulanmu!”

Jagat beredar meninggalkan Betty.

Betty mahu menangis. Berapa banyak lagikah ia mesti memakan pucuk-pucuk rumput ini? Ubat bukanlah sesuatu yang amat digemari. Bilakah lagi kemandulan ini akan sembuh?

Apabila hujan mulai turun renyai-renyai, ia masih termangu di sini.

Dingin.

nota kecil: ini ialah cerpen kedua yang saya tulis – selepas menang hadiah pertama dengan cerpen Masalah-masalah saya menjadi bersemangat terus – terhasillah cerpen Betty ini. Saya hantar ke majalah Bahana – kerana tidak ada tempat lain untuk menghantarnya. Penerbitan Bahana ketika itu sangat lamban hampir-hampir satu tahun kebelakangan. Saya masih ingat bahawa saya mahu menulis sebuah cerpen yang simbolik tentang Brunei (orang-orangnya) yang tidak lama lagi akan mengisytiharkan ‘kemerdekaanya’ dari lindungan British.*

PUNGGUNG
      Berita Minggu (Singapura) 1 Januari 1984

PUNTUNG-PUNTUNG rokok bersepah-sepahan di hujung kakiku. Aku sedang berdiri di kaki lima deretan kedai di ibu kota menanti seorang gadis yang tidak kukenali. Gadis kelmarin.

Puntung rokok kubuang dan apinya kupadam dengan hujung tapak kasutku. Kunyalakan sebatang rokok yang baru lalu kusedut dalam-dalam dengan perlahan dan asapnya kuluahkan melalui lubang hidung dan mulutku.

Seorang pemuda kurus kering terbatuk-batuk di sisiku. Aku meminta maaf kepadanya kerana asap dari rokokku telah menganggu pernafasannya.

Ia beredar dari sini. Selang beberapa langkah seorang gadis menahannya bertanyakan sesuatu. Pemuda  ini menggelengkan kepala.

Gadis ini terus bertanya pada setiap orang yang ditemuinya. Dan setiap orang cuma menggeleng-gelengkan kepala.

Ialah gadis kelmarin, yang kunanti-nantikan ini. Akhirnya ia sampai juga padaku. Aku menenangkan perasaan dan menyelambakan air muka seberapa yang terdaya.

“Saudara,” katanya, suaranya begitu sugul dan runsing,”ada saudara ternampak punggung saya di mana-mana. Saya kehilangan punggung, saudara.”

Langit luas kupandang. Kebetulan tiga buah helikopter sedang lewat memekakkan telingaku. Kemudian kutatap muka gadis ini. Ia masih menunggu jawapan dariku.

Aku mengatur-atur jawapan di dalam kepala dengan perasaan yang tidak menentu. Aku tidak berani berterus terang. Jantungku berdegup gemuruh lintang-pukang. Aku menaruh hati padanya.

“Mari,” kataku dengan gagap, memberanikan diri. “Kita duduk-duduk dulu di kedai kopi.”

Ia menentang mataku bulat-bulat sambil mengetap-ngetap bibirnya. Kemudian ia memekikku:

“Apa kaufikir aku ini gadis murahan? Meskipun punggungku tidak ada – aku tidak semudah itu mau diajak duduk-duduk di kedai kopi!”

Ia segera meninggalkanku. Mukanya jelas menunjukkan bahawa ia merasa amat kesal dan tersinggung. Dan ia berjalan lebih pantas dari biasa.

Aku memarahi diriku dan sekali gus merasa malu. Awal-awal lagi aku sudah terlanjur dan bersifat kurang ajar. Aku belum kenal padanya dan ia belum kenal padaku, tapi aku sudah nekat mau mengajaknya duduk-duduk di kedai kopi.

Kemudian aku terfikir akan satu lagi kebodohanku: kenapa ia kuajak duduk-duduk – tanpa punggung sudah tentu ia tidak dapat duduk-duduk, meskipun ia mau. Terbayang di kepalaku betapa ia terpaksa berdiri sepanjang masa dan mungkin ia telah datang dengan menumpang bas dan terpaksa berdiri di sepanjang perjalanannya.

Ia sudah jauh, mengajukan pertanyaannya ini kepada beberapa orang pemuda kurus kering.

Aku memandang sekelilingku kerana aku merasa seperti ada satu keanehan yang terlalu licik untuk ditanggap. Kemudian aku baru menyedari bahawa pada hari ini terlalu banyak pemuda kurus kering berkeliaran.

Kemudian aku mendapati bahawa tidak ada seorang pun pemuda gemuk atau bertubuh sasa atau berbadan sederhana berjalan di mana-mana. Seperti sudah termaktub di Loh Mahfuz bahawa pada hari ini cuma pemuda-pemuda yang kurus kering saja akan bersiar-siar di ibu kota.

Mereka semua tidak melayani pertanyaan gadis yang tidak berpunggung ini. Biji mata mereka terlalu sibuk menyoroti gadis-gadis yang  berpunggung:  punggung-punggung yang beraneka bentuk, meramping di pinggang, dibalut kain halus yang bagus atau dipakaikan dengan jeans yang ketat.

Simpatiku adalah pada gadis yang tidak berpunggung ini. Ia sudah jauh di hujung sana. Langkah-langkahnya amat sayu dan tidak bermaya. Setiap orang yang ditanyainya cuma menggelengkan kapala.

“Ia seharusnya menjaga punggungnya itu dengan baik,” kata seorang lelaki di sisiku. “Jangan sampai hilang.”

“Ya,” sokong temannya.

“Kehidupan seorang gadis tidak akan bererti jika ia tidak mempunyai punggung.”

“Ya benar!”

“Sedangkan gadis-gadis lain berlumba-lumba ke sana ke mari membawa punggung yang amat molek!”

“Benar katamu itu! Kautau – aku mengahwini isteriku adalah semata-mata kerana ingin memiliki punggungnya yang amat molek dan montok itu.”

“Kau memang beruntung! Kautau – aku sangat mencintai punggung isterimu itu. Dan kelmarin aku bermain mata dengannya.”

“Sesungguhnyalah kau seorang sahabat yang kurang ajar!”

Kedua-dua mereka memerhatikan semula punggung-punggung yang sedang berkeliaran.

Entah atas urusan apa punggung-punggung ini berkeliaran – ini bukan pula urusanku untuk mengetahuinya. Aku cukup senang berdiri sebagai pemerhati saja.

Aku memerhatikan punggung-punggung ini dengan penuh perasaan cinta dan kasih sayang. Sebenarnya aku sangat mudah jatuh cinta: hatiku begitu rapuh. Dalam sehari paling tidak aku jatuh cinta sebanyak tiga puluh tiga kali. Dalam setahun purata aku jatuh cinta sebanyak 12,045 kali. Dan aku tidak pernah menyoal kenapa aku jadi seorang yang kurus kering. Dan lagi bukan aku seorang saja yang kurus kering.

“Terlalu banyak lelaki kurus kering hari ini,” kata lelaki di sisiku.

“Ya,” sahut temannya. “Termasuk kita berdua.”

Diam-diam aku beredar dari sini. Aku ada urusan penting yang harus kubereskan dengan gadis kehilangan punggung itu.

Aku mencari-carinya ke sana ke mari di tengah-tengah bahang matahari.

Mengapa tadi aku tidak berterus terang saja padanya?

Kelmarin aku telah jatuh cinta padanya dan aku mengekorinya di sepanjang jalan. Ia tidak menyedari akan perbuatanku itu dan aku pula seperti sudah terpukau oleh punggungnya yang melenggok molek dan penuh berisi itu.

Punggungnya itu terus melenggok dan melenggok dengan asyik.

Mataku tidak dapat kualihkan ke arah lain lagi. Aku terus menyusulinya.

Tiba-tiba saja punggungnya tanggal, melabuk jatuh dan bergolek-golek menuju ke arah kakiku. Aku jadi bodoh, sedangkan ia terus saja berjalan seolah-olah tidak ada apa-apa. Suaraku tersekat di kerongkong.

Apakah yang harus kubuat terhadap punggungnya yang berada di hujung kakiku?

Ia terus saja berjalan dengan cepat tanpa punggung.

Tentu saja di depan khalayak ramai tersebut kurang sopan bagiku mengejarnya sambil menggendong punggung yang molek dan penuh berisi. Dan aku tidak tergamak hendak memalukannya dengan memekik-mekik memanggilnya begini: “Tunggu saudari! Tunggu! Punggung saudari terjatuh!”

Aku sendiri juga akan ikut merasa malu. Tapi apakah yang harus kulakukan? Tentu saja aku tidak mau meninggalkan punggung semolek itu di tepi jalan: ada anjing-anjing liar berkeliaran yang memakan apa saja.

Dengan muka yang merah dan malu-malu sendiri aku memungut punggung itu. Lalu punggung itu kumasukkan ke dalam beg plastik bersama sekati daging lembu yang baru saja kubeli dari pasar.

Aku merasakan semacam ada seribu biji mata memerhatikan perbuatanku itu. Aku merasa rimas dan panas. Peluh mengalir di dahi dan di tengkukku. Dadaku sendat dengan perasaan yang tidak menentu.

Gadis itu sudah menghilangkan diri. Entah ke mana perginya.

Aku bergerak dari situ dengan langkah-langkah yang seperti dibuat-buat. Aku mencari-carinya. Aku mau memulangkan punggungnya dan terus berkenalan dan seterusnya bercinta-cintaan. Setelah letih mencari dan tidak berjumpa, aku pulang saja.

“Esok saja kukembalikan,” kataku dalam hati.

Punggung itu kuletakkan di dalam almari baju dengan hati-hati dan penuh kasih sayang.

Malam tadi aku tidak dapat tidur. Aku mempunyai keinginan setan terhadap punggung tersebut. Sepanjang malam aku bergelut dengan diri sendiri. Aku boleh berbuat apa saja terhadap punggung ini kerana aku seorang diri. Aku baring dan bangun berulang kali. Aku menyumpah-nyumpah diri sendiri antara rnau mengalah saja dengan tidak mau mengalah pada keinginan setan ini.

Dan setan seperti menjelma memenuhi ruang bilik tidurku menawarkan khidmat nasihatnya, menyuruhku supaya jangan mensia-siakan peluang emas seperti ini – peluang sekali saja seumur hidup ini. Aku seperti mendengar setan berkata: “Aku telah mengembara jauh dan dekat punggung ini adalah punggung yang termolek sekali di seluruh dunia dan di sepanjang zaman. Gunakan kesempatan ini! Sesungguhnya aku ini telah dilantik menjadi penasihatmu yang sebenar-benarnya!”

Dengan memohon perlindungan pada Tuhan Maha Kuasa aku bangun dan segera mengunci almari baju dan anak kuncinya, kulemparkan ke luar jendela. Dan jendela pula segera kututup rapat-rapat.

Aku terus juga bergelut dengan keinginan setan ini. Aku bangun dan keluar membawa lampu suluh. Jiran sebelah yang pulang lewat entah dari mesyuarat apa, menegurku.

“Mencari kunci almari bajuku,” kataku kepadanya.

“Pukul dua pagi begini?” ia menggeleng-gelengkan kepala.

Bagiku ia boleh saja menggeleng-gelengkan kepalanya sehingga hari kiamat jika ia mahu, kerana zaman ini zaman untuk menggeleng-gelengkan kepala pada apa saja.

Pagi ini ialah yang membanguniku, mengetuk-ngetuk pintu rumahku. Kepalaku terasa berat. Ia telah menjumpai kunciku di halaman rumahnya. Aku tidak sedar yang aku telah melemparkan kunci itu dengan kuat.

“Kau telah mencari-carinya di tempat yang salah,” katanya. “Dan di tengah-tengah malam buta pula.”

Pencarian sememangnya begitu: kita cuma berada di tempat yang betul apabila kita menjumpai apa yang kita cari-car. Dan sekarang aku berada di tempat yang salah dan telah berada di tempat-tempat yang salah: entah sudah berapa lama aku mencari-cari gadis ini.

Aku sudah letih ke sana ke mari. Aku berhenti berjalan. Berdiri mengesat peluh. Mengapa tadi aku tidak berterus terang saja kepadanya – bahawa punggungnya ada di rumahku.

“Saudara,” satu suara dari belakangku. “Punggung saya…”

Aku berpaling menghadapinya.

“Punggung saudari ada di rumahku,” kataku dengan segera. “Mari!”

Mukanya nampak begitu lesu menahan sendu dan kelopak matanya sebak. Ada bekas-bekas air mata di pipinya.

“Mari,” kataku dengan lembut. “Mari.”

Ia mengikut.

Di sepanjang perjalanan kami tidak berkata-kata. Aku tahu jika aku membuka mulut suaraku akan keluar dengan buruk. Aku benar-benar telah jatuh cinta padanya dan aku merasa terlalu gemuruh.

Tiba di rumah, aku terus saja ke bilik tidur. Punggung ini kukeluarkan dari almari bajuku dan kuserahkan kepadanya. Ia menyambutnya seperti tidak sabar-sabar lagi.

“Terima kasih,” katanya. Matanya berkaca-kaca. Airmatanya mengalir di pipinya. Ia menahan sendu. “Terima kasih.”

Ia memeluk dan mencium punggungnya ini sepuas hatinya dengan penuh haru. Kemudian ia mengangkat kepala dan memandangku.

“Bau daging lembu,” katanya.

“Ya,” kataku dan aku menerangkan dengan gagap kepadanya kenapa punggungnya ini berbau daging lembu.

Ia mengangguk faham. Ia menyuruhku supaya berpaling kerana ia mau memakai punggungnya ini semula. Ia mengambil masa yang agak lama. Diam-diam aku pergi.

Aku duduk-duduk di luar menghisap rokok, merancang-rancang mau membawanya melihat wayang dan barangkali di dalam kegelapan panggung aku akan mengajaknya kahwin.

Ia keluar melenggang-lenggokkan punggungnya tersipu-sipu malu.

Aku merasa seperti hendak mati – terpesona. Aku jadi gagap. Aku terpaku di tempat dudukku ini. Aku tidak berani membuka mulut dalam keadaan perasaan gemuruh seperti ini: aku malu suaraku akan keluar dengan buruk sekali. Sendi dan seluruh tubuhku terasa seperti lumpuh. Aku cuma memandangnya dengan hati yang berdebar-debar. Ia memiliki punggung yang paling cantik dan molek yang pernah kutemui – benarlah kata setan yang telah cuba merasukku.

“Terima kasih,” katanya, ia terus berlalu malu-malu.

Aku tidak pun berani menanyai namanya atau tempat tinggalnya, jauh sekali mengajaknya apa-apa. Tinggal aku seorang sendiri dan merasa begitu parah di hati. Aku terus merokok dan merokok.

Aku cuba memikirkan hal-hal lain untuk menghalau dadakan perasaan sepi ini. Aku bercakap-cakap seorang diri tentang apa saja yang terlintas di kepalaku.

Aku bercakap pada dinding tentang masalah hidup di zaman moden, tentang masalah dunia antarabangsa, masalah ekonomi, politik, moral dan agama. Aku bercakap tentang nilai-nilai baru di dalam kehidupan.

K

P

L

A

N

G

K

Aku terkejut. Bunyi yang dahsyat ini menerpaku seperti satu hempapan. Aku meluru ke jendela. Setiap orang berkejaran ke satu arah. Suasana jadi kelam-kabut. Riuh-rendah. Setiap orang mau dulu sarnpai ke tempat itu.

“Kereta berlanggar!”

“Kereta berlanggar!”

Aku berkejar ke tempat itu.

Perlanggaran ini tidaklah begitu teruk. Kedua-dua pemandu yang terlibat, pemuda-pemuda yang kurus kering, tidak apa-apa. Bahkan yang seorang sudah pun keluar dari keretanya.

“Mana kau punya mata hah? Mana?”

Pemandu kereta yang sebuah lagi masih termangu-mangu. Kemudian ia keluar menyahut tengkaran ini. Masing-masing tidak mau mengaku salah. Suara yang keluar dari mulut mereka kedengaran seperti bunyi kucing yang sedang bercakaran. Saling tuduh-menuduh.

“Pandang jalan raya!” pekik pemandu yang keretanya kena langgar, sambil menggenggam-genggam penumbuknya. “Jangan asyik memandang punggung saja!”

“Siapa kata aku asyik memandang punggung hah!” pekik pemandu yang seorang lagi. “Kau mau mati!”

Pertengkaran ini berlarutan. Aku sebenarnya tidak gemar mendengar tentang orang yang mau berbunuh-bunuhan, apalagi menyaksikan orang yang sedang berbunuh-bunuhan.

Aku berpaling ke arah lain.

Gadis itu – ia sudah jauh di sana melenggang-lenggokkan punggungnya yang molek, tidak mengendahkan dunia sekeliling yang sibuk berkerenah. Aku memerhatikannya sehingga ia hilang membelok ke tempat lain. Kemudian diam-diam aku beredar dari sini.

Waktu Zohor sudah hampir luput.

nota kecil: Saya terkejut juga apabila cerpen ini disiarkan oleh Berita Minggu dalam ruangan sastera khusus Brunei untuk memberikan penghormatan kepada penulis Brunei. Brunei baru saja mengisytiharkan kemerdekaanya tengah malam tadi. Satu kejutan yang menyenangkan bagi saya – satu penghormatan bagi seorang yang baru belajar menulis. Namun saya terasa lucu juga apabila PUNGGUNG dimuatkan dalam edisi khusus tersebut – mungkin lebih sesuai jika ada cerpen yang bertemakan perjuangan atau harapan – saya agak cuma saya seorang saja penulis dari Brunei yang menghatar karyanya ke Berita Minggu (Singapura). Punggung saya tulis sekadar untuk bercerita dan menghiburkan hati saya – premisnya sangat simple – apakah yang akan awda lakukan jika punggung seorang gadis cantik jatuh di depan awda? Maaf yah mungkin terlalu ‘sexist’ – tetapi saya seronok sekali menulis cerpen ini.

ARIK
Bahana Mac 1984
SUDAH LEWAT tengah malam. Lampu-lampu sudah dipadam kecuali sebiji lampu di kaunter wad dan cahaya lampu yang masih marak ini melimpah sedikit ke sini. Terdengar batuk-batuk kecil, bunyi nafas dilepaskan keluar dan dengkuran tidur pesakit lain. Berbaring seperti ini ketika tidak dapat tidur ia hanya memandang siling yang nampak seperti warna kelabu di dalam cahaya yang samar-samar ini. Ia teringat masa-masa lalu. Ia mengeleng-gelengkan kepalanya dan memandang ke arah lain. Alangkah baiknya pada saat-saat seperti ini jika ada cucu buat teman berbual. Betapa menghibur dakapan cucu.

Sudah lama menantunya tidak membawanya melawat. Sudah lupa barangkali. Tak mungkin.

“Bapa.”

“Ya?”

“Ini Mawar.”

“Bakal ibu baru kepada Amin.”

Bagaimana dengan ibu tirimu itu Amin? Atuk harap ia akan menjagamu dengan baik tidak seperti ibu-ibu tiri dalam cerita-cerita nenek kebayan.

“Kamu jagalah ia baik-baik.”

Jangan ia dipukul atau terlalu dikasari. Bersederhanalah membesarkannya. Dedahkan ia pada suasana yang sihat. Didik ia. Awasi kesihatannya. Jangan ia dibiarkan sakit tanpa dibawa segera berubat. Bawalah ia berubat kepada dukun dengan akar-akar pahit. Atau bawalah ia berubat kepada doktor dengan pil-pil atau ubat-ubat moden. Terpulanglah. Yang mana lebih kamu percayai. Asalkan ia kamu bawa berubat. Tapi jangan dicampur-adukkan kedua-duanya.

“Aku tidak mau ia apa-apa atau…”

Ke sana pula tujunya fikiran. Ingau tak tentu fasal. Merepek. Bukankah memikirkan perkara yang bukan-bukan hanya akan menjemput perkara yang bukan-bukan juga? Kenapa mati yang difikirkan – dan terhadap cucu pula?

Kematian diri sendirilah yang lebih patut diingat-ingat dan difikir-fikirkan.

Takut? Entah. Sukar untuk memahaminya. Ah, buat apa difikirkan. Setiap yang hidup akan mati. Tapi setiap yang hidup juga akan mengelak daripada mati. Mau hidup terus.

Dalam keadaan begini, masih bolehkah aku ini dikatakan hidup? Panjang lagikah umur ini?

Jika Tuhan menghendaki — Ia akan mangambil dan tiada tangan yang akan dapat menahan. Jika Tuhan menghendaki, Ia akan memberi dan tiada tangan yang akan dapat menolak.

“Atuk,”

“Ya Amin?”

“Atuk mesti cepat-cepat sembuh ya?”

“Atuk akan sembuh.”

“Janji?”

Dari dalam wad ini ia terdengar bunyi kereta melintas. Kemudian ia terdengar bunyi tiktok jam dinding di hujung wad. Ia memandang jam kecil di tepi katilnya – sudah pukul dua pagi. Lama sekali baru ia terdengar lagi bunyi kereta melintas. Sekali-sekala anjing menggonggong dan kedengaran seperti meraung.

Beberapa orang penghuni wad mengigau. Yang di sana. Yang di hujung. Dan yang di tengah-tengah. Apakah yang mereka mimpikan semasa anjing menggonggong tadi?

Jururawat datang semakin dekat kepadanya. Senyap-senyap.

“Pakcik tidak tidur?”

Soalan yang setiap malam diajukan. Suara tidak mau keluar untuk menjawab. Jururawat tentu sudah maklum. Memang sukar hendak lelap semula jika sudah terbangun.

Apa lagi yang dapat dilakukan setelah terjaga — selain dari berfikir dan berfikir dan berfikir? Berjalan-jalan? Mundar-mandir di luar wad? Semuanya ingin dilakukan. Tapi bagaimana? Hendak kencing pun perlu pada khidmat jururawat. Makan, minum, berak juga begitu.

Bila juga mata ini hendak lelap?

Pada waktu-waktu tertentu jururawat memberinya ubat. Setiap kali bentuk dan warna ubat-ubat ini bertukar baru, setiap kali itu jugalah harapan untuk sembuh menjadi baru. Harapan ini terus bersambung.

Ia akan sembuh!

Ia akan sembuh!

“Janji?”

“Atuk berjanji akan sembuh cepat-cepat!”

Inilah yang dapat dilakukan: terus berharap bahawa pada satu masa nanti ia pasti akan sembuh. Bebas dari jadi beban pada diri sendiri dan pada orang lain. Sementara itu, seperti halnya sekarang ini, apabila saja terjaga dari tidur, ia akan terus berfikir-fikir. Soal-soal yang remeh-temeh. Soal-soal yang berat-berat. Bagaimana kampung halaman? Sudah jauhkah berubah? Bagaimana Si Belang? Masih hidup atau sudah mati? Ah, kucing pula yang difikirkan. Bagaimana sawah bendang, kerbau, kebun kelapa? Dijaga dengan baikkah oleh menantu? Dikerjakannyakah tanah sawah atau dibiarkan saja rumput tumbuh?

Rindu benar rasanya hendak kembali ke pangkuan semua ini. Bergerak sebebas mungkin. Bekerja. Menebas. Memarun. Bekerja di sawah bendang yang berlumpurt. Dan pada waktu-waktu senja pula menambat kerbau.

Bergerak, bergerak dan bergerak! Mengeluarkan peluh.

Berpencak silat. Bermain gasing. Bermukun dan berjoget. Berkumpul dan mengendalikan kegiatan seperti ini. Ialah ketua. Siapakah yang menggantikannya sekarang? Betapa pesta-pesta tradisi seperti ini meniupkan semangat kebangsaan yang padu. Anak-anak muda jadi ghairah dan bersatu. Sedar akan harga bangsa. Siapa jaguh silat? Jaguh gasing? Jaguh mukun dan joget? Masihkah gendang dipalu dan gong dipukul?

Terlalu banyak yang ingin benar hendak dilakukan.

Kata menantunya pesta-pesta seperti ini sudah kian jarang diadakan.

“Bapa tidak ada pengganti.”

Memikirkan hal-hal seperti ini dan menggandingkannya dengan tubuhnya yang sudah bertahun-tahun lumpuh ini menjadikan dadanya sesak. Nafas mengap-mengap.

Ia memerintahkan supaya seluruh jasad meronta. Meronta! Mengerah-ngerahkan jari-jari supaya membentuk genggaman yang kepal. Memerintah supaya kaki-kaki menendang dan menerjang. Memekik dan memekik! Memerintah dan memerintah!

Jasadnya tidak patuh. Jari-jari tidak bergerak walau sedikit pun. Kaki-kaki terbujur tidak berguna. Mati. Seperti benda-benda asing yang ia tidak punya hak apa-apa. Namun ia terlalu sedar betapa sebenarnya semuanya ini bukanlah benda-benda asing, bahkan adalah dirinya sendiri.

Bergerak!

Meronta!

Bah! Jasad ini!

“Atuk.”

“Ya?”

“Bapa kata atuk dulu jaguh silat?”

“Nanti jika atuk sembuh, atuk akan ajar kau berpencak’.”

Dan lebih dari ini supaya kau tau kau siapa dan bangsa apa sebenarnya. Cuma jasad tolol ini sudah tidak mau digerak-gerakkan lagi.

Sial benar!

“Atuk akan sembuh!”

“Ya atuk akan sembuh!”

Paling sedih jika ilmu tidak dapat atau tidak sempat diturunkan kepada cucu.

Nazar: bila sembuh nanti ia akan bersedekah dan kenduri besar. Dan akan berpuasa sunat banyak-banyak.

“Bapa sudah terkena buatan orang. Lebih baik bawa berubat kepada dukun.”

Ingin rasanya hendak menjawab cakap menantunya ini. Tapi suara enggan keluar. Menyangkut di kerongkong. Apa suara juga akan mati? Dan ia cuma akan dapat melihat, mendengar dan menghidu? Terialu menyeksakan untuk difikirkan.

Berfikir dan berfikir dan berfikir tanpa dapat berbuat apa-apa menjadikan nafasnya singkat dan mengap-mengap, ia yang biasa bergerak bebas dan bertindak.

“Al…la…”

Apakah kewujudan seperti ini masih boleh dikatakan hidup atau apa? Atau bagaimana?

Berhentilah berfikir! Atau fikirkanlah hal-hal lain yang tidak menyesakkan dada. Yang melapangkan. Bukannya yang meng-gelapkan.

Mata tidak juga mau lelap.

“Bila atuk akan dikeluarkan?”

“Tidak lama lagi.”

“Benar? Atuk selalu kata begitu.”

“Mau tau mengapa atuk jadi lumpuh?”

“Atuk ceritalah. Biar Amin dengar.”

Dulu, bertahun-tahun lalu, ia terkena entah demam apa: seluruh tubuh panas dan ruam. Tiga hari tidak mau surut-surut. Air ramuan akar-akar yang pahit yang telah dibancuh sendiri sudah pun diminum. Suhu badan tetap panas. Cuma ruamnya saja yang reda.

Kemudian seorang doktor yang kebetulan merawat orang sakit di kampung itu diberitahu tentangnya. Doktor datang ke rumahnya. Memeriksa lidah dan kerongkongnya, mengambil suhu badannya; mendengar degup jantungnya dengan stetoskop; mencatat denyut nadinya; mencatat tekanan darahnya. Kemudian menyuntiknya di lengan kiri.

Bah! Doktor itu tidak faham bahasa Melayu!

Berkali-kali ia menerangkan yang ia baru meminum ubat kampung dan ubat kampung tidak boleh dicampuradukkan dengan ubat hospital.

“Bekas suntikan itu masih ada di lengan atuk hingga sekarang.”

Hingga sekarang kerap terbayang bagaimana jarum ini menusuk dagingnya. Ia yakin suntikan inilah yang membuatnya lumpuh.

Terasa dirinya seperti dikubur hidup-hidup.

Sial! Kenapa ia membiarkan saja doktor itu menyuntiknya. Sepatutnya ia menentang.

Mengapa difikirkan juga? Fikiran seperti ini tidak patut dilayan. Fikiran seperti ini hanya akan menambah rasa kesalnya. Hanya akan menambah rasa kecewa yang tidak dapat menolong apa-apa.

Ah, senyuman doktor itu terlalu sopan dan lembut. Gerak-gerinya terlalu licin dan halus. Dan datangnya juga dengan tujuan yang baik.

“Pakcik susah hendak tidur lagi?”

Jururawat senyum manis menatang semperit dengan dulang.

Tak perlu dijawab, kerana beginilah halnya setiap malam.

Jururawat menggoleknya supaya mengiring dan menyuntiknya di punggung.

Mengapa di situ? Mengapa tidak di lengan lagi? Ubat barukah itu?

Malu benar diperlakukan seperti ini – bekas seorang jaguh silat. Ia menyumpah-nyumpah di dalam hati kerana tidak kuasa berbuat apa-apa.

“Pakcik tidurlah dengan nyenyak lepas ini.”

… cucu sawah bendang kerbau kucing gendang silat gasing anjing ubat akar jarum suntikan jangan disuntik aku baru saja meminum ramuan akar mukun joget otak ini kacaunya gong cucu cucu nurse nurse … sesaknya … bagaimana ibu tirimu Amin … si Belang sudah matikah …”Al…lah…” Suara tidak terkeluarkan. Mengapa mulut ini tidak terbukakan dan lidah terbujur seperti sekujur mayat di dalamnya. Mengapa berat dan tidak mau digerak-gerakkan. Ubat tidur apa ini?

Masih waraskah fikiran?

“Ahh…”                                                 i

Siang. Entah sejak bila terjaga.

Para pelawat mulai datang. Bercakap-cakap dengan suara yang direndah-rendahkan, dibantu dengan gerak tangan.

Orang sakit menahan sakit. Diam mendengar. Orang sihat bercakap banyak.

Ia terdengar percakapan-percakapan tentang satu perayaan besar. Perayaan apa?

Jururawat senyum-senyum manis.

“Belum ada yang melawat lagi, pakcik?”

Belum. Sudah sebulan lebih tidak ada yang melawati. Pesanakan bukan ada. Anak tunggal. Bini sudah tiada: meninggal dunia melahirkan anak pertama. Perempuan yang juga meninggal dunia ketika melahirkan anak pertama: cucunya.

Ialah tempat cucunya ini memanjakan diri menagih perhatian dan hiburan jika menantunya terlalu sibuk..

“Cerita apa?”

“Sang Kancil!”

Atau Si Aloi. Dan kadang-kadang kedua-duanya dipertemukan di dalam sebuah cerita. Dan cucunya ketawa.

Kadang-kadang juga ia bercerita kisah nabi-nabi sehingga cucunya ini tertidur.

Bagaimana ia sekarang?

Menantunya sudah jarang-jarang datang membawanya melawat.

Bagaimana dengan ibu barumu Amin?

“Kamu jagalah ia baik-baik.”

“Mawar akan menjaga ia baik-baik, pak.”

“Sekali-sekala kamu bawalah ia melawat aku.”

Betapa menghiburkan dakapan cucu.

Sudah hampir pukul sebelas pagi.

Suasana sekitar yang sibuk tambah menyedarkan dirinya yang sudah bertahun-tahun mengharap akan sembuh. Ingin benar rasanya hendak sebebas itu.

Sampai bila penyakit ini mahu berterusan? Sampai bila?

Nauzubillah! Pada saat-saat fikiran dan perasaan tertekan seperti inilah syaitan mudah mengambil kesempatan untuk menyesatkan.

Tuhan menduga iman.

“Ya Allah Maha Pengasih Maha Penyayang, bahawa penyakit dan penderitaan yang menimpa diriku ini adalah sangat kecil sedangkan rahmat-Mu yang Engkau berikan adalah lebih dan tidak terkira banyaknya.”

Pejamkan mata perlahan. Tenangkan perasaan dan fikiran.

Ingat kisah Nabi Ayub? Penderitaan dan wabak yang menim-panya adalah maha dahsyat. Ulangi kisah itu di dalam kepala. Tak usah difikirkan yang lain-lain. Pernah pun kauceritakan kepada cucu untuk mendidiknya tentang kesabaran dan ketabahan.

“Apa yang terjadi kepada syaitan selepas itu tuk?”

“Syaitan berputus asa. Lari dan tidak mau mengacau lagi.”

“Nabi Ayub tuk!”

“Imannya bertambah kuat.”

“Iman atuk juga kuat ya?”

Ah cucu! Membuat orang tersenyum saja!

Kenapa menantunya tidak datang membawanya melawat? Rindu benar rasanya.

Betapa eratnya dakapan cucu setiap kali dibawa melawat. Terasa dakapan itu seperti ubat jiwa.

Sudah lama ia tidak merasakannya.

“Hanya ialah saja yang akan menyambung keturunanku.”

“Atuk mesti lekas-lekas sembuh tau?”

“Atuk berjanji akan cepat-cepat sembuh!”

Jikalah cucunya ada mendakapnya sekarang ini, akan terubat jua perasaan dan jiwa.

“Atuk!”

“Ah, betapa eratnya dakapan cucu!”

Beginilah ia akan membalas dakapan cucunya ini. Dan beginilah ia akan mengusap-usap rambut cucunya ini.

“Atuk sembuh, ya?”

“Panjangkan umurnya, ya Tuhan! Hanya ialah saja yang akan menyambung zuriatku.”

“Atuk bangun! Buka mata!”

Suara tidak mau keluar. Sudah lamakah ia mendakap-dakap dan mengusap-usap kepala cucunya ini? Sejak bila ia boleh menggerak-gerakkan tangan-tangan ini?

“Atuk mesti sembuh terus tau?”

Bila mereka datang?

“Tuk, emak kata atuk mesti sembuh!”

Emak yang kata? Baguslah. Kau gembira dengan emak barumu? Mana Ia? Ia tidak ikut?

“Emak tak ikut. Emak demam.”

Kaujagalah emakmu baik-baik Amin.

“Ada perayaan besar nanti, tuk, emak kata kita akan merdeka. Emak pesan suruh atuk sembuh sebelum merdeka. Atuk sembuh, ya?”

nota kecil: Cerpen ini saya tulis untuk menyertai peraduan menulis cerpen1982 anjuran DBP-Brunei. Cerpen ini tidak menang apa-apa hadiah. Saya telah menulisnya dengan serius dengan pretensi sastera – atau apa yang saya anggap sastera ketika itu. Setelah selesai menulisnya saya telah merasakan bahawa inilah karya terbagus saya – ia simbolik tentang Brunei yang akan merdeka. Apabila membacanya sekarang saya merasa malu juga – apakah sebenarnya niat saya? Secara jujur saya katakan saya hendak “bersastera” atau apa yang saya anggap “bersastera” maka terciptalah cerpen yang bahasanya terlalu dibuat-buat dan tidak natural baik teks utamanya lebih-lebih lagi dialognya. Saya sudah mulai lupa konsep asal menulis saya iaitu “saya sekadar mahu bercerita secepat mungkin”. Opening cerpen ini telah saya ubah gaya bahasanya: dari gaya bahasa “bersastera” kepada gaya bahasa bercerita. Cerpen ini dimuatkan di dalam antologi bersama Rantau Utara – DBP Brunei 1989 (jika ada para pembaca ingin mencheck opening asalnya).

BAYANG-BAYANG
Berita Minggu (Singapura) 1982(?)

FIRASAT APAKAH ini?

Aku seolah-olah saja tidak wujud. Berkali-kali aku terpaksa melompat dan menepi untuk mengelak diri daripada dilanggar orang yang lalu-lalang. Barangkali mereka terlalu sibuk sehingga mereka tidak nampak padaku yang sedang berdiri di sini.

Kemudian aku terfikir bahawa aku juga jika terlalu sibuk mengejar sesuatu, maka orang lain tidak lagi wujud bagi diriku. Yang ada cuma aku dan apa yang kukejar.

“Hoi!”

“Kau butakah?”

“Tuli hah!”

Lelaki yang kupekik itu berjalan terus. Ia seperti tidak nampak padaku dan tidak mendengar pekikanku itu. Ia hampir-hampir saja melanggarku. Mujur aku cepat mengelak.

Aku terpandang sebiji tin coke. Tin coke kutendang sekuat tenaga ke arah lelaki itu. Tin coke itu tidak bergerak. Tin coke kutendang lagi. Ia masih tidak bergerak-gerak. Kutendang dan kutendang lagi. Tin coke itu tetap juga di situ. Aku berundur sepuluh langkah, kemudian aku berlari dengan kencang ke arah tin itu dan terus menendangnya. Aku terjelepuk  atas belakangku. Tin coke itu masih juga tidak terpelanting.

Aku memandang tin coke itu dengan penuh tandatanya. Apakah tin itu sebenarnya tidak ada? Aku membaca tulisan tercetak pada tin itu. Kuteliti warna dan grafiknya. Aku mencangkung dan mernandang bayang-bayangnya. Entah sudah berapa lama aku bertafakur memandang baying-. bayang tin ini, tau-tau saja aku sudah menjadi tertarik hati setiap bayang-bayang.

Diam-diam dan dengan penuh minat kupandang baying-bayang orang yang lalu-lalang. Orang gemuk mempunyai bayang-bayang yang besar dan lebar; yang kurus mempunyai bayang-bayang yang kurus; yang pendek mempunyai bayang-bayang yang pendek; yang tinggi mempunyai bayang-bayang yang panjang. Setiap orang menyusuli atau disusuli bayang-bayang.

Aku menghampiri seorang lelaki yang sudah lama berdiri menunggu. Bayang-bayangnya memanjang ke arahku.

“Saudara,” tegurku dengan santun. ” Apakah saudara sedar yang saudara memiliki bayang-bayang?”

Ia tidak peduli padaku.

“Bayang-bayang saudara dipijak orang-orang yang lalu-lalang.” Aku memberitahunya. “Apakah saudara tidak marah?”

Menoleh padaku pun ia tidak.

“Hari sudah tua dan bayang-bayang saudara sudah pun jauh lebih panjang daripada saudara sendiri,” kataku. “Apakah saudara sedang menunggu seorang kekasih yang bayang-bayangnya belum juga kelihatan?”

Ia berpaling dan meludah ke arahku. Aku sempat mengelak.

“Saudara!” pekikku. “Apakah saudara juga seperti bayangbayang: ada mata tidak melihat; ada telinga tidak mendengar?”

Aku meninggalkannya dengan perasaan marah.

Aku kembali pada tin coke. Dengan spontan kutendang tin coke

itu. Tin coke itu masih di situ-situ juga. Bayang-bayangnya kian

bertambah panjang .

Aku duduk.

Tiada seorang pun orang-orang yang lalu-lalang peduli akan kelakuanku ini. Mereka kelihatannya amat sibuk: lewat dengan pantas bersama bayang-bayang mereka.

Tiba-tiba ada bayang-bayang besar menimpaku. Kudongakkan kepala. Aku terpandang seorang makcik. Kupintas jalannya dengan cepat.

“Tunggu dulu makcik! Tunggu dulu!” kataku. Aku berjalan terundur-undur di depannya. Kudepakan kedua belah tanganku. “Apakah makcik tidak merasa lelah dan berat mengheret bayang-bayang makciit yang besar itu?”

Ia terus berjalan seolah-olah ia tidak mempunyai baying-bayang yang besar. Aku terpaksa menepi memberi laluan kepadanya. Sebelum aku sempat berbuat apa-apa, satu lagi bayang-bayang menutupi tubuhku. Seorang gadis jelita yang mengghairahkan melintas di depanku. Aku mengejarnya.

“Saudari!” seruku. “Bayang-bayang saudari telah lalu di auratku. Apakah saudari tidak merasa apa-apa?”

Ia tidak peduli padaku.

Apabila aku berpaling, pandanganku terserempak dengan kelibat bapaku di celah-celah orang yang berpusu-pusu ke sana ke mari. Kucari bayang-bayangnya. Langkah-langkahnya amat pantas. Kulihat mukanya sugul bercampur cemas. Ia berjalan terus di depanku seolah-olah ia tidak nampak padaku. Aku tidak sempat melihat bayang-bayangnya dengan teliti.

Dialah yang telah mengajarku tentang bayang-bayang semasa aku masih kecil lagi.

“Kau mempunyai bayang-bayang kerana kau wujud!” katanya. “Jika kau merasakan dirimu wujud, kau akan bertambah yakin pada dirimu sendiri dan menjadi tegas dalam setiap tindak tandukmu. Jika kau merasakan dirimu tiada maka orang lain dengan sendirinya akan meniadakan kau!”

Selepas itu, aku masih ingat, hampir-hampir setiap pagi aku membelakangi matahari dan melihat bayang-bayangku yang panjang: aku bergerak, bayang-bayangku hidup; aku mernbatu bayang-bayangku mati. Aku menjadi sangat kenal pada bayang-bayangku, meski aku hanya melihat sebahagian kecil daripadanya. Dan aku merasa dengan penuh sedar bahawa aku ini ada.

“Kita perlu sering menyedarkan diri kita bahawa kita ada,” bapaku mengingatkan. “Kerana kita dengan mudah saja boleh ditiadakan oleh keadaan sekeliling yang sibuk. ”

Di celah-celah kesibukan di sekelilingku ini aku terlihat seorang lelaki tua. Aku kenal padanya. Ia seorang yang gila. Ia juga kenal padaku. Dari jauh ia sudah memandangku dengan tajam dan penuh kebencian.

Aku sudah tau apa yang akan dikatanya padaku.

Mungkin dengan mulut yang berbusa-busa ia akan mengatakan bahawa akulah yang telah menjadikannya gila, bahawa akulah yang telah menjatuhkannya dengan meniadakan akan kewujudannya; bahawa akulah yang telah merampas isteri mudanya; bahawa akulah yang telah menodai kesucian anak daranya; bahawa akulah yang telah meracuni moral anak-anak lelakinya sehingga mereka benci dan lupa padanya; bahawa akulah yang telah menjahanamkan perniagaannya sehingga ia tidak memiliki apa-apa lagi; bahawa akulah yang telah …

“Kau tidak wujud!”

Aku tersentak. Rupa-rupanya ia sudah berada di depanku dengan jari telunjuknya diacu-acukan ke mukaku.

“Dulu kau memperlakukan aku sekehendak hatimu sehingga aku jadi seperti ini,” katanya. “Tapi sekarang kau tidak punya kuasa apa-apa lagi. Kau sudah tidak wujud!”

“Kaulah yang tidak wujud,” kataku. Kutunjal dahinya.

Ia terundur setapak. Goyah.

“Kurang ajar kau!” jeritnya. “Kusumpah kau! Kusumpah kau tergantung-gantung di antara langit dengan bumi!”

“Sumpahlah sekehendak hatimu,” kataku. ” Aku tidak dimakan sumpahan orang yang tidak wujud!”

“Kaulah yang tidak wujud!” bentaknya.

“Aku wujud!” kataku tegas.

“Jika kau benar-benar wujud,” katanya dengan perlahan dan dengan nada mengejek, “cuba kautendang tin coke itu!”

Aku merasa gusar dan tercabar. Aku baru saja hendak menendang tin coke itu ke mukanya apabila aku teringat peristiwa aku cuba menendang tin itu awal-awal tadi.

“Tin coke itu tidak wujud!” kataku dengan kasar.

Lelaki tua gila itu tertawa menyeringai padaku. Giginya nampak kekuning-kuningan dan sangat menjijikkan. Bayangbayangnya memanjang ke belakang .

Aku memandang tin coke itu. Bayang-bayangnya juga sudah tersangat panjang. Matahari tidak lama lagi akan terbenam.

“Mana bayang-bayangmu?” tanya orang tua gila itu.

Aku terpinga-pinga mencari bayang-bayangku.

Orang ramai menggiat-giat lelaki tua gila itu. Mereka bersorak dan bayang-bayang mereka berpadu dalam gerakan yang kacau.

Perhatian mereka hanya tertumpu padanya. Padaku sedikit pun mereka tidak peduli – seolah-olah orang tua gila itu hanya bercakap-cakap dan memekik-mekik  seorang diri.

“Bayang-bayangnya tidak ada,” laung orang tua gila itu, diikuti dengan tawanya yang terbahak-bahak. Ia terus meninggalkan aku.

Orang ramai mula bubar. Aku memerhatikan mereka pergi. Aku tertunggu-tunggu kiranya ada di antara mereka yang mahu bercakap denganku tentang orang tua gila itu. Tiada sesiapa pun mengendahkanku bahkan aku terpaksa pula menepi untuk memberi laluan kepada mereka.

Lampu elektrik di tepi jalan sudah lama dipasang. Aku berdiri di bawah cahaya. Tapi bayang-bayangku tidak ada. Kuperhatikan bayang-bayang orang yang lalu-lalang di depanku. Kemudian aku berlari dari satu cahaya ke satu cahaya mencari bayang-bayangku. Aku bertanya pada setiap orang yang kutemui kalau-kalau mereka ada ternampak bayang-bayangku. Tiada siapa yang peduli. Mereka jalan terus.

Aku menyusuri jalan raya dari satu tiang elektrik ke satu tiang elektrik. Aku memasuki lorong-lorong yang gelap dan sempit. Ke mana saja aku pergi bayang-bayangku tidak ada. Sehingga -larut malam aku masih lagi merayau-rayau . Jalan-jalan raya sudah mula jadi lengang dan sepi.

Aku duduk di tepi jalan dengan lagak seorang mabuk. Seekor anjing berhenti berlari anak dan menggonggong padaku. Gonggongannya panjang dan menyeramkan. Cepat-cepat aku beredar dari situ.

Seorang polis ronda nyaris-nyaris melanggarku. Aku mengelak ke tepi.

Butakah dia? Bayang-bayangnya kian pendek apabila ia melewati bawah lampu elektrik.

Tapi bayang-bayangku di mana? Dengan langkah-langkah yang lemah aku menapak pulang. Aku sengaja mengambil jalan yang berliku-liku dan jauh dengan harapan bahawa aku akan terserempak dengan bayang-bayangku.

Di dalam perjalanan pulang itu aku terjumpa dengan dua buah kereta yang remuk. Aku memeriksa kereta-kereta yang kemalangan itu. Aku mengenali sebuah daripada kereta itu adalah kepunyaan isteriku.

Tiba-tiba aku merasa cemas. Segala yang berlaku pada sepanjang hari: perihal orang ramai yang tidak peduii padaku; perihal orang tua gila yang menyumpahku dan bayang-bayangku yang hilang – semuanya kembali menerpa benakku. Aku percaya semuanya itu adalah firasat-firasat buruk bagi kemalangan ini.

Satu perasaan berat bergayut di hatiku. Apa-apakah isteriku? Ia sendirikah atau anakku yang telah memandu kereta ini?  Mungkin kedua-dua mereka terlibat di dalam kemalangan yang teruk ini.

Dari keadaan kedua-dua buah kereta yang remuk ini aku yakin jika bukan isteriku, pasti anakku yang mati.

Aku teringat muka bapaku yang sugul. Mungkin kerana terlalu tergesa-gesa mencariku membuat ia tidak nampak padaku.

Aku berkejar ke rumah. Kuikuti jalan yang paling singkat.

Rumahku yang besar itu masih terang-benderang. Barangkali mereka menungguku. Pintu depan masih terbuka lebar. Aku masuk dengan segera.

Aku terpaku: isteriku ada di situ begitu juga anakku, bapaku, emakku dan sanak saudaraku yang dekat – mereka semuanya sedang berjaga menunggui mayat.

“Siapa yang mati?” tanyaku.

Mereka tidak menjawab soalanku.

“Siapa mati?”

“Siapa mati?”

Mereka masih tidak peduli padaku. Mereka masih tidak sedar akan kehadiranku – barangkali kerana terlalu diselubungi kesedihan.

Isteriku bangun dengan perlahan dan membuka tutup mayat. Kemudian ia rebah pengsan. Emak segera merawatnya.

Aku mengamat-amati wajah mayat itu. Raut dan mimik mukanya seperti ia belum rela dan bersedia untuk mati. Wajah ini kurenung lama-lama. Beransur-ansur aku mula dapat mengecamnya.

Aku memandang sekelilingku mencari kepastian. Aku meneliti setiap orang yang hadir di situ sehingga kepada bayang-bayang mereka.

Aku memandang mayat ini lagi. Meskipun mayat ini dalam keadaan terbaring namun ia masih memiliki bayang-bayang.

Perasaanku gemuruh. Aku sangat kenal pada bayang-bayang itu walaupun aku hanya dapat melihat sebahagian kecil daripadanya.

Mendadak sendiku menjadi lemah dan gementar. Aku terjelepok: masa, ruang dan segala peristiwa seperti berputar ligat di sekelilingku.

Aku menjerit meminta tolong.

KOPIAH

Bahana Ogos 1984

BAGI SEBUAH pekan kecil yang sejak dulu sentiasa saja aman, minggu ini dirasakan seperti terlalu banyak yang berlaku.Sebuah pabrik besar baru saja terbakar menyebabkan banyak orang kehilangan kerja. Pada hari berikutnya pula anak-anak muda dan para guru merasa tertampar dengan keputusan peperiksaan yang diumumkan di suratkhabar:  tiada seorang pun di pekan ini yang lulus. Dan akhir sekali ialah tentang kematian Mawarti yang tidak bersebab.

“Dia tidak sepatutnya mati,” sungut seorang pemuda kurus berkacamata putih.

“Ya,” sokong seorang lelaki gemuk berambut ikal.

“Gadis yang cantik dan manis sepertinya tidak sepatutnya mati.”

“Ya, lebih banyak lagi gadis lain yang layak mati!”

Di kedai kopi, keriangan sudah seperti tidak wujud lagi: setiap orang kelihatan tunduk-tunduk merawat perasaan, amat tidak sudi disapa dan cepat merasa jengkel jika diusik.

Ketika inilah Pak Seman, ayah Mawarti, kini sebatang kara, masuk selamba seolah-olah tidak ada apa yang berlaku padanya: seperti tidak ada kematian dalam keluarganya. Ia datang mahu mengambil kopiah buruknya yang tertinggal di kedai kopi ini.

Sebelum ini, kopiah ini tidak pernah tertanggal dari kepalanya. Kopiah ini telah dibelinya khusus untuk majlis kematian isterinya dua puluh tahun yang  lalu. Sejak itu ia jadi seorang yang amat sederhana dan tidak begitu endah pada apa pun juga kecuali pada temakan ayamnya. Dia digelar Pak Seman Kopiah. Dia pula amat senang dengan gelaran ini.

Ketika melangkah masuk ke kedai kopi ini tiada siapa yang menyapanya, tidak seperti selalu. Beberapa orang hanya menoleh saja ke arahnya dengan pandangan yang begitu khusus untuk orang asing.

“Mana kopiahku?” tanyanya pada seorang pelayan.

Pelayan ia memandangnya dengan hairan.

“Kopiahku yang tertinggal di sini, mana?”

Pelayan ini memandangnya dari atas ke bawah beberapa kali. Pak Seman merasa tidak senang. Pelayan ini terus mengamat-amatinya; merenung dengan tajam pada kepalanya.

“Pak cik ini siapa?”

“Kopiahku mana?”

“Pak cik ini siapa?”

“Kau jangan main-mainkan aku!”

“Saya tak kenal….”

“Jangan main-mainkan aku!” bentak Pak Seman. “Aku ini sudah tua!”

Pelayan ini terdiam. Kemudian merasa tersinggung.

“Pak cik, ” katanya. “Saya tidak pernah mempermainkan orang-orang tua. Saya hormat pada mereka!”

“Habis – mana kopiahku?”

Pelayan ini merenungnya lama-lama, kemudian memanggil beberapa orang pelayan lain. Nyatanya mereka juga tidak tahu-menahu tentang kopiah itu. Masing-masing juga menyatakan tidak kenal akan Pak Seman.

“Pak cik seolah-olah sudah kenal akan kami,” kata seorang daripada mereka. “Saya ingin tahu pak cik ini siapa?”

“Kamu semua memang mahu mempermain-mainkan aku!”

“Pak cik mahu minum apa?”

“Mana kopiahku?” pekik Pak Seman. “Mana?”

Para pelanggan lain yang pada mulanya memerhati dari jauh saja, sekarang sudah ada yang mengerumun mahu campur tangan. Atau sekurang-kurangnya mahu tahu secara lebih dekat lagi.

Pak Seman menumbuk-numbuk meja dengan marah.

“Kopiahku mana? Mana?”

“Kopiah pakcik itu macam mana bentuk rupanya?”

“Mustahil kamu tidak tahu!” Berdentum meja ditumbuknya. “Kamu semua memang kurang ajar! Mahu mempermain-mainkan orang tua!”

Dia menunjuk-nunjuk setiap muka dengan radang. Dia merasa berhak untuk marah pada setiap orang yang berada di situ. Dia yakin yang kopiahnya tersebut telah disembunyikan orang dan sekarang mereka mahu memperolok-olokkannya. Kopiah itu mempunyai nilai sentimental dan juga ia telah menjadikan kopiah itu sebagai dompet. Ada wang seribu ringgit di dalam kopiah itu. Wang yang sekian lama dihimpun hasil dari temakan ayamnya (yang sekarang ini sudah tidak berapa laku – setiap orang sudah macam memiliki ayam sendiri, tambahan pula setiap hujung minggu ayam-ayamnya selalu dicuri biawak).

“Kamu semua memang kurang ajar!” pekik Pak Seman. “Mana kopiahku?”

Semua orang terdiam mendengar pekikan ini. Terkejut.

Kemudian seorang lelaki berambut panjang tampil. Amat marah.

“Pak cik jangan senang-senang saja menuduh kami ini kurang ajar.” Lelaki  ini menunjal dahi Pak Seman.”Sebaik-baiknya pak cik memperkenalkan diri pak cik dulu, kemudian paparkan satu persatu akan kebiadaban kami – baru pak cik boleh menuduh kami kurang ajar!”

“Misalnya saya,” ujar seorang lelaki gendut, yang baru sedar bahawa ia juga tidak mahu ketinggalan merasa tersinggung. “Saya tidak mewakili sesiapa – saya memang kurang ajar. Saya suka mencuri ayam. Setiap hujung minggu saya mencuri ayam. Tapi adakah saya kurang ajar pada pak cik? Nyatanya tidak kerana saya tidak pernah mencuri ayam pak cik. Saya tidak tahu di mana pak cik tinggal atau pak cik memelihara ayam atau tidak? Jadi apakah hak pak cik menuduh saya ini kurang ajar? Hanya Pak Seman Kopiah sajalah yang patut mengatakan saya ini kurang ajar kerana saya selalu mencuri ayamnya. Dan pak cik bukannya Pak Seman Kopiah – jadi mengapa pula pak cik yang memandai-mandai mengatakan saya ini kurang ajar?”

Pak Seman jadi terpinga-pinga, hairan dan bingung. Benar-benarkah mereka ini tidak mengenalinya lagi? Ataupun mereka berpura-pura tidak kenal kerana mereka telah mengambil kopiahnya? Dia tidak berani bangun.

“Saya juga kalau mahu dikira ada berbuat salah pada Pak Seman Kopiah tapi bukan kepada pak cik,” kata seorang pemuda yang matanya kuyu. “Saya menyintai dan selalu mengorat anak daranya, Si Mawarti, tapi ia sudah mati. Ah, apa akan jadi pada saya!”

“Eh, kau juga menyintai Mawarti?” Pemuda kurus berkaca mata putih memandang pemuda bermata kuyu ini. “Mula-mula saya menyangka cuma saya seorang saja yang pandai mengorat anak Pak Seman Kopiah itu dan mencuri ayamnya. Kita memang kurang ajar. Tapi pak cik ini bukannya Pak Seman Kopiah dan ia tidak patut mengatakan kita kurang ajar!”

“Saya juga selalu mengusik Si Mawarti anak Pak Seman Kopiah itu.” Lelaki gemuk berambut ikal tampil ke depan. “Dan saya juga ada mengambil ayamnya tanpa izin. Saya kira ia sebagai meminjam saja. Saya memiliki banyak ayam betina tapi tidak ada ayam jantan walaupun seekor. Adakah patut saya memelihara ayam betina saja? Ayam-ayam betina itu akan mati tua tanpa bertelur. Kerana itulah saya mengambil ayam jantan Pak Seman Kopiah. Ini belum boleh dikatakan kurang ajar – cuma barangkali kurang ajar sementara waktu saja. Tapi pak cik ini telah menuduh saya padahal pak cik bukan Pak Seman Kopiah. Mujur saya ini seorang penyabar – saya sedia memaafkan pak cik.”

Mendengar kata-kata lelaki gemuk ini perasaan orang ramai mulai reda: mereka sudah mahu bersabar dan melupakan saja hal ini. Mereka sudah hendak kembali ke tempat masing-masing. Bersabar itulah yang lebih baik dan tidak banyak membuang waktu. Banyak hal lain yang lebih patut difikirkan.

Pak Seman semakin bingung.

Belum pun sempat mereka kembali ke tempat duduk, seorang lelaki botak muncul dengan marah-marah.

“Saya bukan orang yang penyabar!” pekiknya. Otot di pipinya tegang. “Dan saya tidak akan memaafkan pak cik! Pak cik telah menuduh saya kurang ajar!” Lelaki ini mengambil nafas dan memandang setiap muka. “Kita semua telah dituduhnya kurang ajar!”

Perasaan dan semangat marah orang ramai membuak kembali. Mereka telah dituduh kurang ajar – jadi mengapa mesti bersabar saja? Itukan dayus namanya?

“Meskipun diugut,” sambung lelaki ini. “Saya tidak akan mengaku yang saya pernah mencuri ayam Pak Seman Kopiah. Tapi kerana inilah pula saya ini yang paling kurang ajar – kerana memang benar setiap hujung minggu saya mencuri ayam Pak Seman Kopiah dan saya juga menaruh hati terhadap anaknya Si Mawarti dan selalu mengusiknya. Tapi pak cik bukannya Pak Seman Kopiah. Pakcik orang asing di sini, mengapa dengan tiba-tiba saja menuduh kami penduduk pekan ini kurang ajar?”

Tuan punya kedai kopi ini yang dari tadi diam memerhatikan keadaan juga tidak mahu ketinggalan.

“Saya tidak tahu sama ada ini dikira kurang ajar atau tidak,” katanya. “Saya juga ada mencuri ayam Pak Seman Kopiah, tapi saya membalasnya dengan memberinya potongan harga istimewa jika ia makan tengah hari di sini dan memesan daging ayam. Dia selalu berterima kasih atas kemurahan saya itu. Jika ia dikira kurang ajar maka saya cuma kurang ajar kepada Pak Seman Kopiah saja. Pak cik bukannya Pak Seman Kopiah, jadi tidak ada hak menuduh saya yang tidak patut-patut! Tapi tak apalah, saya maafkan pak cik. Saya seorang yang penyabar.”

Pak Seman yang masih terduduk bertambah bingung.

Semangat orang ramai yang meluap-luap kembali surut. Mereka mahu bersabar dan memaafkan saja. Buat apa sibuk dan marah-marah. Tapi semangat marah kembali dikobarkan apabila seorang lelaki lain muncul marah-marah dan enggan bersabar. Ketika lelaki ini berundur seorang lelaki lain pula muncul menyatakan yang ia mahu memaafkan dan mahu bersabar. Kemudian seorang lagi muncul menyatakan tidak mahu memaafkan.

Orang ramai jadi bengkeng dan serba salah.

“Sekejap mahu marah!”

“Sekejap mahu bersabar!”

“Bah, macam mana ini?”

“Apa kita mesti marah pada pak cik ini atau tidak?” kata lelaki botak seolah-olah mahu mencari kata putus di dalam sebuah mesyuarat persatuan.

“Pak cik ini telah menuduh kita ini kurang ajar,” ujar lelaki gendut merungut. “Soalnya sekarang bukanlah mahu marah atau mahu bersabar tapi membela diri!”

Orang ramai mengangguk-angguk membenarkan.

Pak Seman memandang dari satu muka ke satu muka – tidak terkeluarkan suara. Bingung benar. Dahinya berkerut-kerut. Mengapa mereka bercakap mengenainya tapi seolah-olah bukan kepadanya? Apa benar mereka sudah tidak mengenalinya lagi kerana ia tidak berkopiah? Dia merasa dirinya seperti sedang berada di satu tempat yang asing, bukan di pekan kecil yang dikenalinya.

Ia memandang lelaki gendut yang sedang bercakap ketika ini.

“Dia bukannya Pak Seman Kopiah.” Lelaki gendut ini menuding-nuding ke arahnya. “Kita mesti membela diri!”

Orang-orang yang belum lagi membela diri mula tampil ke depan seorang lepas seorang. Seperti orang-orang yang terdahulu, mereka jua mengaku diri kurang ajar kepada Pak Seman Kopiah – pernah mencuri ayamnya dan mengorat anaknya Si Mawarti.

“Kami cuma kurang ajar pada Pak Seman Kopiah. Pak cik ini bukannya ia – mengapa mesti menengking kami?”

Pak Seman termangu-mangu, cuba memahami apa yang sedang berlaku. Ia memandang seorang anak muda yang dari tadi terus-menerus memerhatikannya. Pak Seman tahu bahawa anak muda ini ialah kekasih Si Mawarti. Ia berharap anak muda ini akan mengatakan kenal padanya.

Anak muda ini kelihatan seperti ragu-ragu. Cuma ia seorang saja yang belum ikut campur. Semua mata mulai memandang ke arahnya. Pandangan orang ramai terasa seperti mahu memaksanya membela diri. Suasana tiba-tiba jadi sepi yang tidak menyenangkan.

“Hei!” Tiba-tiba ada orang memekik. “Bila lagi kau mahu membela dirimu, hah?”

Anak muda ini mula ditarik ke depan. Dengan muka yang merah tersipu-sipu ia membuka ucapannya dengan memberi salam.

“Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.” Dia diam sebentar.

Orang ramai tidak menyahut salamnya ini.

“Saya tidak berpengalaman dalam hidup,” katanya setelah mengumpulkan fikiran sejenak. “Jadi saya belum pernah berbuat kurang ajar. Tapi malam nanti, saya berjanji, akan mencari pengalaman. Saya akan mencuri seekor dua ayam Pak Seman Kopiah dan jadi seorang yang kurang ajar seperti orang-orang lain juga.”

Dia diam sambil mengambil nafas dan memandang orang-orang di kelilingnya. Semua mata masih tertumpu kepadanya. Senyap sunyi.

“Tapi pak cik ini telah menuduh saya kurang ajar sedangkan saya belum lagi melakukan pekerjaan yang kurang ajar itu.”

Ia diberikan tepukan gemuruh.

“Benar! Benar!”

“Ya! Ya!”

“Bagus sekali!”

Anak muda senyum tersengih. Tiba-tiba saja ia merasa begitu yakin pada dirinya sendiri, di depan orang yang sebanyak itu.

“Sekian terima kasih,” katanya. “Wa billahi taufik wal hi….”

“Diam!” Pak Seman menjerit dengan kuat sambil ia bangun. “Akulah Pak Seman Kopiah yang kamu sekalian katakan itu! Ayamku yang kalian curi, Mawartiku kalian orat!”

Orang-orang ini tersentak ketawa mengejek.

“Pak cik ini sudah gila! Berani mengaku dirinya Pak Seman Kopiah. Mana kopiahnya?” Tuan punya kedai membentak.

“Aku datang mahu mencari kopiahku.” Pak Seman memandang muka tuan punya kedai ini dengan mata yang tajam. “Kamu semua berpura-pura tidak mengenali aku!”

Pak Seman telah ditolak oleh salah seorang yang berdiri berhampiran dengannya. Dia terhuyung tapi cepat tegak lurus. Dia memberangus.

Tuan punya kedai ini datang berdiri di depannya – menentang kedua biji matanya.

“Mula-mula,” katanya sengaja dengan lembut, hampir saja berirama dan berlagu, “pak cik menuduh kami ini kurang ajar, kemudian pak cik mendakwa diri sebagai Pak Seman Kopiah – apa pak cik fikir kami ini tak kenal pada Pak Seman Kopiah itu?”

“Ya,” sokong lelaki berambut panjang sambil menjuihkan bibimya. “Apa pak cik fikir kami ini boleh ditipu atau diperbodoh-bodohkan begitu?”

“Benar!” Lelaki gemuk berambut ikal pun menapak ke depan. Ia mengacu-acukan penumbuknya. “Mungkin kami ini kurang ajar! Tapi kami tidak bodoh!”

“Itu benar!” Ada orang memekik di belakang. Anak muda kekasih Mawarti melangkah ke depan dengan penuh keyakinan diri. “Apa sekarang ia menuduh kita ini bodoh?”

“Ya, kira-kira begitulah,” jawab tuan punya kedai dengan sikap mengejek.

Anak muda ini jadi berang.

Pak Seman baru saja hendak membuka mulut apabila satu tamparan hinggap di pipinya. Dia tersungkur. Dia segera kena angkat dan kena tekan semula.

“Saya tidak suka dikatakan bodoh,” kata anak muda ini. “Memang saya ini tidak pernah lulus periksa tapi saya tidak bodoh. Cuma soalan-soalan peperiksaan terlalu susah. Pak cik sendiri pun tidak akan dapat menjawabnya. Kalaupun benar saya ini bodoh, ia soal peribadi dan sesiapa pun tak ada hak untuk mengatakan saya ini bodoh – kecuali kalau saya memberi keizinan untuknya mengatakan saya ini bodoh!”

Anak muda ini ingin memberikan satu lagi tamparan tapi ia dihalang oleh tuan punya kedai.

Buat seketika suasana jadi senyap dan tegang. Pak Seman tidak terkata-kata kerana masih terkejut oleh tamparan yang tidak diduganya. Pipinya terasa seperti terbakar.

Seorang lelaki tiba-tiba tertolak ke depan.

“Saya,” katanya ragu-ragu, “juga tidak bodoh.”

Lelaki ini tidak dapat meneruskan kata-katanya ia tunduk merah muka dan undur dengan senyap.

“Benar, ia tidak bodoh!” Seorang pemuda menerangkan. “Cuma malu, tapi itu bukan salahnya. Saya juga tidak lulus periksa dan saya tidak bodoh. Soalannya terlalu susah sehingga kepala saya bingung dibuatnya!”

“Ya.” Ada seorang menyokongnya di belakang. “Setiap peperiksaan memang begitu – yang sungguh-sungguh di baca tidak keluar. Yang tidak dibaca saja yang keluar. Bagaimana mahu lulus?”

“Peperiksaan tidak penting!” pekik anak muda kekasih Si Mawarti. “Yang pentingnya pak cik ini telah sewenang-wenangnya menuduh kita ini semuanya bodoh!”

Seorang guru tiba-tiba muncul.

“Siapa kata peperiksaan tidak penting?” bentaknya. “Apa kamu sudah adakan kajian dalam hal ini?”

Pak Seman semakin bingung.

“Belum!” ujar lelaki gemuk berambut ikal. “Tapi cikgu patut adakan satu simposium.”

“Ya.” Lelaki kurus berkaca mata putih menyokong. “Seeloknya simposium itu janganlah diadakan di kedai kopi.”

“Apa buruknya dengan kedai kopi saya ini!” pekik tuan punya kedai merasa tersinggung. Tapi suaranya tidak ada yang mempedulikan.

“Saya sanggup angkat senapang demi pendirian saya,” ujar seorang lelaki.

“Ya, buat apa ambil periksa?” Ada seorang menyokong di belakang.

“Kita tidak juga akan masuk syurga dengan menduduki peperiksaan-peperiksaan!” kata lelaki kurus berkaca mata putih.

“Diam!” pekik Pak Seman sambil menumbuk meja. Dia sudah bangun dan merasa kuat kembali kerana melihat orang-orang ini sudah bertelagah sesama sendiri. Ia teringat pada kopiahnya, pada duit di dalam kopiah tersebut. “Kamu semua tidak akan masuk syurga jika kopiahku tidak dipulangkan!”

Orang semua terdiam dan memandang kepadanya dengan terkejut.

“Apakah dengan kopiah saja kita boleh masuk syurga?” tanya lelaki berambut panjang.

“Benar!” ujar Pak Seman. “Sebab kopiahku itulah kamu kacau-bilau seperti ini.”

Semua orang terus terdiam

“Akulah Pak Seman Kopiah,” katanya lagi. “Ini kad pengenalanku.”

Tuan punya kedai mengambil kad pengenalan ini dengan kasar seperti merampas.

“Ini bukan kad pengenalan pak cik,” katanya, lalu memasukkan kad pengenalan tersebut ke dalam saku seluarnya sendiri. “Ini Pak Seman Kopiah yang punya!”

“Tapi akulah Pak Seman Kopiah!” pekik Pak Seman. “Aku!”

“Pak cik,” kata tuan punya kedai dengan lembut. “Saya tidak tau kenapa pak cik mencuri kad pengenalan Pak Seman Kopiah. Tapi tak apalah – kita lupakan saja hal itu dan pak cik pulang saja dari mana pak cik datang.”

“Tapi akulah Pak Seman Kopiah! Aku!”

Pemuda kurus berkaca mata putih maju mendekatinya dengan gaya seorang yang terpelajar.

“Pak cik,” katanya dengan perlahan sambil membetulkan kedudukan kaca matanya. “Mula-mula pak cik menuduh kami ini kurang ajar, kemudian bodoh, kemudian mengatakan kami ini tidak masuk syurga. Jadinya kami ini adalah orang-orang yang kurang ajar lagi bodoh dan tidak masuk syurga. Pak cik ini siapa sebenamya?”

Pak Seman menjegilkan matanya kepada pemuda ini. Matanya yang tua dengan gelambir kulit di sekelilingnya ini agak menakutkan kalau ditenung dekat-dekat. Pemuda ini mundur beberapa langkah.

“Kami mengenal Pak Seman Kopiah dan ia sudah menjadi darah daging kehidupan kami di pekan ini – setidak-tidaknya sekali kami pernah mencuri ayam-ayamnya dan jatuh cinta pada anaknya Si Mawarti yang tidak patut mati,” ujar lelaki gemuk berambut ikal.

“Saya sendiri setakat ini telah mencuri lima ekor ayamnya dan ia percaya apabila saya katakan di pekan ini memang terdapat banyak biawak,” kata pemuda kurus berkaca mata putih.

“Kami sangat kenal akan Pak Seman Kopiah itu dan tidak mungkin keliru. Tapi pak cik ini siapa? Kami tidak pernah tengok sebelum ini. Pak cik tiba-tiba saja muncul dan memekik-mekik mengaku Pak Seman Kopiah, yang anehnya telah menggunakan kad pengenalan Pak Seman Kopiah pula untuk meyakinkan kami. Hanya orang gila saja yang akan percaya pada pak cik. Dan kami tidak gila!”

Pemuda kurus berkaca mata putih ini lalu diam tiba-tiba apabila melihat Pak Seman menjegilkan mata padanya. Sambil memandang kepala-kepala yang membisu di kelilingnya, ia seperti mahu menghilangkan gugupnya lalu mengeluarkan rokok. Dia menghisap dan menghembus asap rokok ini seperti orang yang takutkan sesuatu. Tangannya terketar-ketar.

Sebiji kepala tersembul dari celah-celah kepala-kepala yang membisu. Kepala anak muda kekasih Si Mawarti.

“Saya kurang faham – apa ia sekarang menuduh kita ini semuanya gila?” tanyanya.

Pemuda kurus berkaca mata putih menyuruhnya supaya diam saja.

“Jangan persulitkan lagi hal yang sudah sulit. Kita tidak mahu hal ini meleret-leret keluar tajuk,” katanya. “Tapi jangan khuatir, kita ini tidak gila selagi kita tidak mengakui ia ini Pak Seman Kopiah!”

Seorang lelaki yang berhampiran dengan Pak Seman Kopiah berkata: “Sangat menarik juga bila saya fikirkan, kenapa pak cik mahu jadi Pak Seman Kopiah, sedangkan ia itu seorang yang kami anggap dungu dan pendiam yang percaya ayam-ayamnya dicuri biawak. Saya sendiri ada mencuri ayamnya itu dan saya ini bukannya biawak.”

Pak Seman terduduk dan mulai merasa lemah. Dia menghembuskan nafas panjang-panjang. Tidak terlintas di fikirannya, selama ini, bahawa ia dianggap dungu. Dia memandang lelaki yang bercakap ini. Kemudian ia tunduk seolah-olah fikirannya terlalu buntu ketika ini.

“Apa pak cik sudah bosan hidup sebagai manusia normal?” sambung lelaki ini. “Dan mahu jadi Pak Seman Kopiah pula?” Kalau pak cik mahu menyamar jadi Pak Seman Kopiah – sekurang-kurangnya pakailah kopiah buruk.”

“Aku bukan mahu jadi Pak Seman Kopiah,” kata Pak Seman. “Akulah Pak Seman Kopiah! Cuma kopiahku sudah hilang.”

“Apalah besar sangat kopiah buruk seperti itu?”

Semua orang ketawa dan menganggapnya lucu seperti seorang pelawak.

“Barangkali kamu semua sengaja pura-pura tidak mengenali aku – sebab kamu semua sudah habiskan duitku yang tersimpan di dalam kopiah itu!”

“Apa?” Lelaki ini terkejut. “Duit?”

“Ya, duit! Seribu ringgit banyaknya,” kata Pak Seman. Mereka tidak ketawa lagi. Tetapi pandang-memandang antara satu sama lain dengan mata yang menuduh.

Kemudian semua mata berpusat kepada pelayan kedai yang pertama.

“Saya tidak mengambil kopiah itu,” ujar pelayan ini dengan rasa takut.

“Mesti kau yang mengambilnya!” bentak lelaki botak. “Kaulah yang memulakan ini semua!”

“Mungkin juga kau sendiri,” balas pelayan ini. “Mana wang seribu ringgit itu?”

Lelaki botak terdiam tiba-tiba. Semua mata memandang ke arahnya. Dengan takut ia mundur setapak.

“Mungkin kamu semua yang mengambilnya,” katanya sambil menunjuk-nunjuk sembarangan. “Jangan aku yang dituduh!”

Seperti sepakat orang ramai mengepungnya kerana dialah yang mula-mula sekali membuat tuduhan seolah-olah takut dirinya dituduh. Mereka kian mendekatinya. Tiba-tiba satu penumbuk hinggap dimukanya. Lelaki botak tersungkur. Orang ramai menerkamnya berebut-rebut mahu mencari wang seribu ringgit disembunyikan. Apabila wang tidak dapat mereka jumpai mereka mengalihkan sasaran kepada yang lain.

“Mana wang itu?”

“Mana?”

“Tolong!”

Suasana gamat dengan pekikan dan bunyi kerusi meja rebah dan cawan-cawan jatuh pecah.

Pak Seman duduk memerhatikan saja kejadian ini.

Keadaan reda apabila seorang tua sebaya Pak Seman masuk dan duduk di meja tetap Pak Seman. Ia berkopiah buruk. Dengan air muka yang amat bodoh, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Ia memesan kopi 0. Lepas itu ia diam dan mengira wang not ringgit yang banyak yang dikeluarkannya dari kopiah buruknya. Kemudian ia tersenyum-senyum.

Orang ramai kembali ke tempat duduk masing-masing, tunduk-tunduk dengan muka yang diselambakan seolah-olah mereka mahu melupakan saja kejadian gamat sebentar tadi.

Senyap.

Tuan punya kedai melurus-luruskan bajunya yang sudah kumuh. Dia memberikan kad pengenalan Pak Seman kepada orang tua ini.

“Pekan ini banyak biawak,” kata orang tua ini, masih tersenyum-senyum dungu. Kemudian ia diam.

“Mahu makan apa?” tanya tuan punya kedai dengan lembut. “Seperti biasa – ayam?”

Orang tua ini mengangguk.

Pak Seman terlompong menyaksikan semua ini. Tiba-tiba ia bangkit dan mencekik orang tua ini. Tapi ia dengan cepat kena leraikan. Ia kena seret dan kena angkat lalu kena campak ke luar.

Terpekik-pekik.

“Ceh!” sergah tuan punya kedai. “Di sini bukan tempat mencekik orang tak tentu fasal!”

Pak Seman terjelumpuk di luar. Ia terlihat anak muda kekasih Mawarti bercakap-cakap mesra dengan orang tua itu. Fikirannya mulai terasa lemah dan ia sempat berfikir barangkali ia bukannya Pak Seman Kopiah dan orang tua itulah sebenamya Pak Seman Kopiah. Dia meraba-raba kepalanya yang tidak berkopiah.

“Sial!” pekiknya. “Kalau aku ini bukan aku – aku ini siapa lagi?”

Terus-menerus ia meraba kepalanya. Rambutnya bertambah kusut.

SENGATAN

Bahana Mac 1985

1ADAM ke hutan mencari kayu untuk membaiki reban ayamnya yang sudah hampir roboh. Ia memerlukan kayu-kayu yang lurus untuk dijadikan tiang. Kayu-kayu di sini banyak yang bengkok daripada yang lurus. Buat seketika dibandingkannya kayu-kayu ini dengan manusia: yang lurus-lurus itulah yang bagus dijadikan tiang. Kemudian fikiran ini lenyap seperti asap rokok. Adam mula bekerja.

Azamnya mahu mencari kayu-kayu yang lurus sebanyak mana yang ada di kawasan ini, kemudian ia akan beredar ke kawasan lain. Biar lebih jangan kurang, fikirnya. Selebih kayu-kayu ini nanti akan digunakannya untuk menggantikan tiang-tiang pagar yang sudah mumut dan bermacam-macam kegunaan yang lain.

Sebelum berangkat, ia sudah berniat akan bekerja keras sehari suntuk. Sambil berbuat-buat sibuk seperti ini ia mahu mencari ketenangan.

Kayu-kayu yang sudah ditebangnya ini dikumpulkannya di satu tempat. Peluh bercucuran dari tubuhnya. Adam berehat sebentar. Ia membuka butang-butang bajunya dan meminta-minta di dalam hatinya agar angin bertiup. Kemudian ia menyalakan sebatang rokok. Rokoknya hanya tinggal sebatang ini saja lagi. Petang nanti ia akan membeli rokok: kerja-kerja ini perlu dibereskan dulu. Begitu ia membuat ketetapan. Tetapi ia ragu-ragu juga seketika sama ada dapat bertahan tanpa merokok sampai ke petang atau tidak. Ia menyedut rokoknya dalam-dalam. Asap rokok dihembusnya dengan perlahan.

Asap dari rokoknya ini, ia berharap akan menghalau nyamuk-nyamuk yang sedang mengerumuninya. Asap rokoknya ini menipis dan lenyap. Nyamuk-nyamuk kian banyak; beberapa ekor mati ditamparnya. Kemudian ia membiarkan saja nyamuk-nyamuk ini menghisap darahnya. Adam segera menghabiskan rokoknya dan kembali bekerja.

Kicauan burung dan bunyi-bunyi unggas tenggelam oleh ketekunannya bekerja. Ia mencari pohon-pohon yang lurus; menebangnya; menetak dahan-dahan dan ranting-ranting, sehingga kayu-kayu ini kelihatan bersih. Adam bekerja terus-menerus, hanya sekali-sekala ia berhenti untuk menyeka peluh.

Beberapa kali ia mengeluh antara dengar dengan tidak. Fikiran tidak juga mahu tenang. Adam mengerutkan dahi.

Sialkukah atau biniku? Hal yang satu ini sering kali dengan tidak sengaja timbul apabila bertemu dengan kawan-kawan lama yang sudah berlaki atau berbini dan beranak-pinak.

Kelmarin ia bertemu dengan seorang daripada mereka.

“Apa khabarmu sekarang Adam?”

“Ah, bagus-bagus saja.”

“Tinggal di mana?”

“Di Kampung Anu.”

“Kampung Anu?”

“Kampung biniku.”

“Sudah lama? Anak-anak mana?”

Sudah lima tahun berumahtangga, fikir Adam, anak seorang pun belum ada. Sial siapa?

Ia bekerja terus dan tidak mahu memikirkannya.

Ketika inilah seekor tebuan hinggap dan menyengatnya di hidung.

“Aduh!”

Parang dicampakkannya. Ia memicit hidungnya. Ia menarik nafas dari mulutnya. Dalam-dalam. Menahannya. Kemudian melepaskannya bersama satu keluhan.

“Celaka!”

Panas benar hatinya. Jika dapat tebuan ini hendak di-tangkapnya dan dipenyeknya hingga hancur. Ia mencari-cari tebuan ini dengan matanya. Tebuan ini sudah menghilang. Juga ia tidak ternampak sarang tebuan di mana-mana pun di kawasan ini. Tebuan ini datang seekor dan dengan senyap-senyap.

Hidungnya kian berdenyut dan menusuk-nusuk bisanya.

Adam memaki-maki tebuan ini di dalam hatinya.

Hatinya geram benar: tebuan ini lepas begitu saja.

“Sial!”

Adam mengambil parang yang telah dicampakkannya dan mula mencantas dahan-dahan kayu yang baru tumbang di-tebangnya.

Ia menetak dan menetak melepaskan geram hatinya.

Tetakannya seperti terbang ke sana sini. Tidak menentu.

Satu daripada tetakan ini sesat dan terkena kakinya.

Adam terduduk. Mukanya berkerut menahan kesakitan.

Ia memeriksa luka di kakinya ini. Tidak dalam.

Luka ini dibalutnya dengan sapu tangan yang sudah lusuh.

Adam merungut-rungut di dalam hati. Ketiadaan rokok pada saat-saat seperti ini, suasana rimas dan nyamuk yang sentiasa mengerumuninya menambahkan kesakitan di dalam dadanya. Ia mencari-cari sasaran.

“Tuh!” ludahnya.

Adam menghentikan kerjanya setakat ini. Ia mengambil parangnya dan melangkah pulang dengan hati yang sakit. Apa sialnya hari ini.

Akukah yang sial?

“Celaka!” sumpahnya di sepanjang perjalanan pulang.

2

DALAM perjalanan pulang dari membeli-belah di tamu, Bibah terserempak dengan Said.

Said bertanya padanya sama ada ia mahu dihantarkan pulang dengan kereta atau tidak.

Bibah mengangguk dan senyum. Semasa senyum ini ia membayangkan dirinya sebagai wanita yang mempunyai daya tarikan yang hebat. Said membawanya ke kereta yang terletak tidak berapa jauh. Said mengambil barang-barang Bibah lalu menaruh barang-barang ini ke dalam bonet kereta. Kemudian bonet ini ditutupnya. Berdentum.

Said memandu keretanya dengan kelajuan yang sederhana sahaja dan kadangkala sengaja dipandunya dengan perlahan. Sepanjang perjalanan ini mereka berbual-bual mesra dan penuh dengan tawa dan senyuman.

Betapa pendeknya perjalanan, fikir Said. Dan betapa singkatnya waktu di dalam pertemuan kembali yang seperti ini. Tiba-tiba saja mereka sudah sampai. Ketika membuka bonet dan menghulurkan barang-barang kepada Bibah, Said bertanya kalau-kalau mereka boleh bertemu lagi, bukan pertemuan yang singkat tapi pertemuan yang seperti dulu-dulu.

Bibah berfikir sebentar kemudian mehjawab:

“Tengah hari ini. Tempat biasa dulu.”

Mereka sama-sama terkenang akan tempat itu.

“Bawah pokok cempedak,” kata Said separuh kepada diri sendiri.

“Ya,” kata Bibah.

“Kita sudah lama tidak bertukar-tukar khabar,” kata Said.

“Ah . . .!”

3

KHABAR cepat saja tersebar di kampung kecil yang berpenduduk ramai seperti Kampung Anu. Khabar ini melompat dari mulut ke mulut. Khabar ini melompat dari jendela ke jendela. Dan khabar ini seperti menunggang angin yang sedang bertiup ketika ini; singgah dari telinga ke telinga. Kampung Anu gempar.

Sesampai Adam di Balai Polis, ia mendapati berita ini rupanya telah mendahuluinya. Adam menyeka peluh. Ia merasa aneh dan perasaan ini seperti sayup-sayup jauh di dalam dirinya. Kenapa fikirannya tenang dan hatinya lapang saja?

Di sebuah kawasan lapang yang dijadikan gelanggang, se-kumpulan budak berhenti bermain. Mereka menengar tekun. Seorang budak tersemput-semput membawa berita. Peluh mengalir di dahi dan di pipinya.

“Begini,” kata budak ini, menggayakan dengan bengis. “Begini cara Adam menetak Said!”

Ia mendecuskan tentang kencangnya tetakan ini. Kemudian apabila tetakan ini dikiranya sudah mengenai sasarannya, ia membunyikannya dengan terang dan singkat:

Tak!

Parang ini diletak Adam di depan polis. Parang ini masih berdarah. Ia menyerahkan diri.

“Hati saya puas,” kata Adam. “Encik juga akan bertindak seperti saya.”

Ia menceritakan selurus-lurusnya.

Kemudian Adam berfikir apakah ia akan ditahan lama di sini atau ia akan dibenarkan pulang ke rumah di Kampung Anu. Ah, apalah guna difikir-fikirkan, katanya dalam hati. Ia akan menerima apa saja ketetapan polis atau siapa saja yang memegang kuasa.

Sial! Sumpahnya tiba-tiba dalam hati. Akan retakkah rumahtanggaku?

Di sebuah rumahtangga di Kampung Anu, seorang suami memandang isterinya dengan curiga. Apakah isterinya juga seperti Bibah? Dalam diam-diam menyimpan lelaki lain? Ia tidak tahu. Berkerut-kerut dahinya. Ia tambah merasakan bahawa perkara ini adalah serba mungkin. Betapa ia teringat isterinya ini adakalanya seperti seorang yang sedang menyimpan rahsia – seperti ia juga.

Dan tatkala lima orang anaknya lewat berkejaran didepannya, ia mengerutkan dahi. Anak-anaknyakah ini kesemuanya? Atau mungkin seorang dua adalah hasil perhubungan sulit isterinya dengan lelaki lain. Ia tiba-tiba merasa cemburu. Huh! Ia tiba-tiba tersedar, betapa karutnya akal apabila di dalam keraguan. Jikalah dengan perkahwinan ia diberi kuasa oleh Ilahi untuk dapat membaca fikiran isterinya dan begitu juga isterinya . .. ah hapuslah kecurigaan. Dan tidak mungkin mereka akan sengaja mencari rahsia untuk disimpan.

Ia membayangkan dirinya sebagai Adam. Apakah ia akan menetak isterinya juga? Jika aku ini Adam, katanya dalam hati, tentu Bibah juga kutetak. Ia memandang isterinya. Isterinya merasa kurang senang dengan pandangan aneh ini, lantas menghilang diri ke dapur; diam-diam mencari sesuatu guna menyibukkan diri sambil berdoa di dalam hati semoga rumahtangganya dijauhi darpada bala dan sebarang ujian. Si suami tidak faham: kenapa Adam tidak menetak Bibah?

Bibah lari ke rumah bapanya. Ia ngeri mengingatkan peristiwa ini: bagaimana ia dan Said terdengar bunyi tapak kaki; bagaimana Said berdiri mahu melarikan diri; bagaimana Adam melompat dan menetak belakang Said, kemudian menetak lagi – kena pada lengan Said.

“Kalau aku ini Adam,” tengking bapanya. “Tentu kau juga kutetak!”

Bibah tambah ngeri: wajah Adam macam melekat di matanya. Bengis. Tidak pemah ia melihat Adam sebengis ini. Said tersungkur. Parang Adam berlumuran darah.

“Itulah kau,” tengking bapanya lagi. “Sudah lima tahun berlaki, main gatal juga dengan Said!”

Said dimasukkan ke bilik rawatan kecemasan. Semasa diusung masuk pandangannya sudah pinar dan kabur. Doktor dan jururawat terus menjalankan tugas. Lampu merah dipasang di luar.

Dengan cepat baju Said digunting. Luka tetakan Adam ini sepanjang sepuluh inci dan sedalam dua inci. Di lengannya luka ini sepanjang lima inci dan sedalam satu inci.

Darah terus membuak-buak keluar.

Sebelum pengsan, bibir Said terbuka seperti lepas menyebut nama Bibah.

Bibah menangis. Tangisannya tersekat-sekat. Bapanya belum berhenti memarahinya.

“Kalau aku ini Adam, memang kau mampus kutetak!”

Bibah mengesat air mata. Ia tidak menyangka Adam akan bertindak sebengis ini. Ia mengutuk Adam. Ia mengutuk diri sendiri. Ia mengutuk Said juga. Apa jadahnya hari ini?

Ia teringat bagaimana ia melompat ke arah Adam, dengan sekuat tenaga merampas parang dari tangan Adam sebelum ia sempat menyerang lagi. Dilempamya parang ini jauh-jauh. Bibah teringat bagaimana ia menyerang Adam dengan kuku dan penumbuknya. Kekuatannya mengejutkannya sendiri. Ia tidak tahu dari mana datangnya tenaga ini. Said juga bangun dan ikut menyerang Adam dengan sebatang kayu.

Bibah terbayang bagaimana darah Said membuak dan ber-percikkan semasa menyerang Adam.

Bibah memejamkan mata rapat-rapat. Ia cuba melenyapkan gambaran-gambaran yang menerpa.

“Kau buat kami malu saja! Nasib baik kau belum ada anak!”

Setiap kata bapanya ini seperti menendang gegendang telinganya. Alangkah bagusnya jika bapanya ini tiba-tiba saja jadi bisu. Atau ia sendiri tiba-tiba saja jadi pekak. Bibah ingin menyumbat lubang telinganya. Tengkingan bapanya ini menyakitkan kepalanya.

“Kami cuma berbual-bual…,” serak-serak Bibah membela diri.

“Hah! Berbual-bual di bawah pokok cempedak di dalam hutan? Hah!” Bapanya geleng-geleng kepala.

“Adam . . .,” kata Bibah rendah. Cakapnya ini mati di sini. Tergantung-gantung.

Bapanya terdiam; tertunggu-tunggu mahu mendengar terus. Tapi Bibah terus-menerus mendiamkan diri.

Bagaimana Said? Bibah mengerutkan wajah. Tapi cepat-cepat ia tidak mahu memikirkannya.

“Itulah kau Bibah,” amarah bapanya mulai menurun. “Nasib baik kau tidak ditetak Adam.”

Adam bertanya pada polis sama ada ia akan dihukum atau tidak. Ia bertanya dengan tenang. Polis menjawab bahawa yang tentunya ia akan ditahan ataupun ia akan dibebaskan dengan ikatan jaminan. Kata Adam ia rela ditahan. Kemudian ia diam.

Ia teringat bagaimana ia hampir saja menetak Bibah. Ia terkejut dengan kekuatan Bibah. Ia tambah kaget lagi apabila Said, yang sudah parah ditetaknya ikut menyerangnya. Ia berfikir-fikir dari manakah mereka mendapat kekuatan luar biasa ini – dari malaikat ataupun dari syaitan?

Adam teringat bagaimana ia bersusah-payah melepaskan diri dari serangan mereka ini untuk mengambil parangnya. Dan ia bersiap sedia hendak menyerang lagi. Tapi ia telah segera tersedar, cukuplah, hatinya sudah puas.

Ia sanggup memikul apa saja hukuman, Adam menyatakan kepada polis. Polis memberikannya secangkir kopi. Adam minum dengan tenang. Seorang daripada mereka mengatakan dengan suara yang amat rendah, seolah-olah ia tidak mahu ada orang lain yang mendengarnya, bahawa tindakannya ini meskipun salah, adalah patut – tapi undang-undang adalah undang-undang dan ia akan dihukum.

“Apa boleh buat,” kata polis ini. “Awak bersabar sajalah.”

Adam ingin tahu berapa lamakah ia akan ditahan di sini. Ia bertanya pada polis. Ia juga bertanya tentang bentuk hukumannya nanti.

“Awak akan dibicarakan dulu,” kata polis.

Polis ini menerangkan dengan ringkas tentang hal-hal yang harus diketahuinya dan hak-haknya di dalam pembicaraan.

Adam mengangguk. Ia memandang sekelilingnya. Ia memandang cahaya yang masuk dari jendela. Ia memandang pokok kayu di luar. Ia memandang lantai yang berkilat dan bersih. Ia memandang kipas yang berputar-putar; meja-meja; kertas-kertas yang tersusun rapi di atasnya; telefon yang berwama hitam.

Ia terdengar telefon berdering di dalam dan kedengaran telefon ini diangkat.

Ia memandang pada kasut-kasut polis; pakaian seragam mereka, nombor-nombor mereka; ia memerhatikan cara mereka berjalan dan bercakap sesama sendiri.

Ia mencatat secara mental: semuanya teratur dan kemas.

Ia merasa sedikit asing berada di tempat yang sekemas ini. Kemudian ia cuba melenyapkan perasaan yang tidak menyenangkan ini dengan memikirkan hal lain. Ia ingin benar hendak tahu bagaimana kesudahan Said. Perasaannya bertambah tidak senang lalu ia cuba melenyapkan perasaan ini juga. Ia memandang polis yang sedang menghampirinya dan membawakannya secangkir kopi lagi. Bunyi lekap-lekup sepatu polis ini seperti bergema di dalam kepalanya.

Adam menyambut kopi ini. Masih terlalu panas. Ia meniup permukaannya kemudian minum seteguk dua.

Polis ini memberitahunya:

“Said mati. Awak telah membunuh Said.”

Adam diam. Ia terus meminum kopi yang masih terlalu panas ini sekaligus habis. Polis memandangnya dengan tercengang. Adam menghulurkan cangkir yang sudah kosong ini kepadanya dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kemudian ia meminta sebatang rokok: rokok jenis apa saja. Ia teringat hendak membeli rokok.

Ia memandang-mandang sekelilinghya dengan kosong.

Kemudian ia termangu beberapa jenak.

Seperti sebuah kisah yang bermain di kepalanya betapa remehnya pembunuhan; betapa senangnya untuk terbunuh; dan betapa senangnya ia menjadi seorang pembunuh. Dan mengapa ia tidak merasakan apa-apa? Buat seketika ia terlihat dirinya duduk di sini dengan bahu yang terlentok dan kepala yang tunduk, pakaian basahan yang lusuh dan buruk.

Akukah itu?

Kemudian fikirannya kembali tidak tahu apa yang harus difikirkan lagi.

Polis memberikannya sebatang rokok dan tolong menyalakannya. Adam menyedut rokok ini dalam-dalam.

Kemudian dia mengucapkan terima kasih.

Polis ini merenung muka Adam dalam-dalam. Kemudian bertanya kenapa hidungnya bengkak. Adam menjawab dengan mendatar:

“Disengat tebuan.”

TUK TAMIR

Bahana Julai 1985

MULA-MULA Tuk Tamir cuma main-main saja. Tapi kemudian ternyata ia terpikat sendiri pada fikirannya ini.Dang Sara, penjaja kuih dari rumah ke rumah, seorang perempuan separuh umur yang seba tahu tentang kehidupan di Kampung Anu ini, jadi kaget. Ia memandang muka tua Tuk Tarair yang kelihatan seperti retak kerana terlalu banyak kedutnya itu. Tuk Tamir tersengih menampakkan giginya yang ronggak, hitam dan kekuning-kuningan.

“Apa salahnya,” kata Tuk Tamir dengan perlahan. “Isteriku sudah tiga bulan meninggal dunia kerana tua. Aku ini juga sudah tua. Entah paling lama setahun dua lagi mungkin aku pula yang mati. Dan aku belum punya anak. Apa salahnya kalau aku beristeri lagi bagi mendapatkan anak untuk menyambung kewujudanku di dunia ini.”

Tuk Tamir diam setagal memikirkan kata-kata yang baru saja dilafazkannya sendiri itu. Terasa betul juga cakap-nya ini mengapa ia tidak terfikirkannya lebih awal lagi. Terfikir pula ia betapa akan jadi sia-sianya hidup ini jika ia mati tanpa meninggalkan seorang waris.

“Memang tak patut kalau aku mati seperti ini,” katanya lebih kepada diri sendiri daripada kepada Dang Sara yang masih iam kerana belum pulih dari kekagetannya. Ketika bercakap itulah Tuk Tamir tiba-tiba teringat pada almarhumah isterinya Siti Fatma. Dulu Siti Fatma sering mencadangkan supaya ia kahwin satu lagi. Tapi cadangan isterinya yang kurus-kering ini ditolaknya bulat-bulat.

“Janganlah kau menyalah-nyalahkan dirimu yang kurus-kering itu,Fatma,” katanya dengan lembut tapi tegas. “Aku cukup bahagia walau tanpa anak.”

Tapi sekarang ternyata cadangan almarhumah isterinya itu patut sangat dituruti sejak dulu lagi.

Tuk Tamir menatap muka Dang Sara lama-lama sehingga Dang Sara merasa tidak senang dan terpaksa tunduk.

“Almarhumah isteriku tidak keberatan,” kata Tuk Tamir. “Apa pendapat Dang Sara?”

Dang Sara tidak menjawab terus. Ia memandang muka Tuk Tamir dengan pandangan yang ragu-ragu.

“Aku tak faham apa maksud Tuk,” kata Dang Sara dengan rendah. “Tapi kalau maksud Tuk Tamir hendak mengambil aku ini jadi isteri,aku menolak atas alasan aku ini sudah tua dan tak mungkin dapat memberikan anak.”

“Bukan itu maksudku,” tukas Tuk Tamir. “Maksudku apa pendapat Dang Sara kalau aku beri-steri lagi?”

“Tuk Tamir nak beli kuih apa?” Dang Sara mengelak dari menjawab.

“Kuih apa saja – lima ringgit,” kata Tuk Tamir.”Hendak kubawa ke masjid malam nanti.”

Dang Sara ternyata tidak dapat menahan diri dari menceritakan perbualannya dengan Tuk Tamir ini kepada penduduk kampung yang membeli kuih darinya. Ramai yang tidak percaya pada ceritanya itu. Ada yang menyatakan pada Dang Sara yang Tuk Tamir itu sudah terlampau tua dan tak mungkin ia mempunyai fikiran dan keinginan seperti itu lagi. Dan tak mungkin juga Tuk Tamir tidak sedar akan ketidakmampuannya. Dang Sara dituduh tukang pandai buat cerita.

Dang Sara mati-matian mempertahankan ceritanya itu.

“Jangan beli kuihku kalau aku bercakap bohong.” kata-nya. “Kalau Cak percaya tanya saja pada Tuk Tamir sendiri.”

Pada sebelah petang selepas sembahyang Maghrib beberapa orang penduduk kampung datang menjenguk Tuk Tamir bertanyakan apa benar tidaknya cerita Dang Sara ini.

“Dang Sara bercakap benar,” Tuk Tamir menjawab dengan amat selamba. “Dan aku sebenarnya mencari seorang gadis yang subur di bawah umur dua puluh lima.”

Orang-orang yang datang ini terdiam; tidak tahu apa yang hendak dicakapkan atau ditanyakan lagi. Sekali-sekala mereka memandang dengan ragu muka orang tua ini. Jika orang tua ini mempunyai cicit, tentu saja cicitnya ini sekarang sudah berumur pertengahan dua puluhan. Apakah orang tua ini sedar apa yang telah dicakapkannya?

Tuk Tamir tersenyum-senyum sambil meramas-ramas janggutnya yang sejemput yang sudah beruban.

Setelah orang-orang ini pulang Tuk Tamir bersalin pakaian hendak ke masjid kerana waktu Isyak sudah hampir masuk.

Ketika ia melangkah ke perkarangan masjid bilal sudah selesai mengalunkan bang. Tuk Tamir terbatuk-batuk kecil. Tidak ada sesiapa yang menyapanya. Cuma ada beberapa orang jemaah tersenyum-senyum sendirian memandangnya.

Tuk Tamir meletakkan kuih-kuih yang dibawanya di satu sudut masjid ini bersama kuih-muih dan minuman hangat yang telah dibawa oleh para jemaah lain.

Sesudah sembahyang Isyak para jemaah duduk berbual-bual di serambi masjid sambil minum-minum. Mereka bercakap-cakap tentang kedai kerjasama di kampung yang kian maju; tentang pendidikan anak-anak; tentang rancangan kerajaan hendak membangunkan masjid baru di kampung ini. Mereka berbincang tentang langkah-langkah bagaimana hendak menarik minat anak-anak muda kepada masjid.

Di masjid inilah kebanyakan masalah kampung diselesaikan.

Tuk Tamir mendiamkan diri saja. Sekali-sekala ia mengangguk-anggukkan kepalanya sekadar tanda yang ia sedang mendengar apa yang sedang dibincangkan. Pada tempat-tempat yang lucu ketika orang lain ketawa berdekah-dekah, Tuk Tamir curna tersenyum-senyum. Ia merasakan bahawa mereka sengaja tidak mahu bercakap tentang dirinya.

“Apa kamu sudah mendengar khabar yang aku hendak beristeri lagi?” Ia tiba-tiba bertanya setelah sekian lama menunggu saat yang sesuai.

Suasana masjid jadi sunyi.

“Tuk,” kata Tuan Imam sambil memandang muka orang tua ini. “Aku tidak pernah mahu percaya pada khabar-khabar gila yang seperti itu.”

“Khabar itu benar,” kata Tuk Tamir dengan arnat selamba. Tidak ada riak-riak sebarang perasaan pada air mukanya seolah-olah hal ini hanyalah satu perkara biasa saja. “Mengapa pula Tuan Imam menganggap khabar itu satu khabar yang gila?”

Tuan Imam diam. Ia memandang-mandang muka para jemaah lain, kemudian ia memandang muka Tuk Tamir dengan penuh tanda tanya seolah-olah menuntut keterangan lebih lanjut lagi.

“Aku masih kuat,” kata Tuk Tamir. “Meskipun umurku sudah lanjut dan mataku sudah rabun tapi aku masih kuat. Dan niatku adalah suci. Aku mahu seorang anak untuk menyambung keturunan.”

Tuan Imam berfikir dalam-dalam sambil merenung muka tua Tuk Tamir yang nampak begitu tenang. Suara Tuk Tamir kedengaran begitu bersungguh-sungguh.

“Dan anakku itu nanti akan kunamakan Mohd.Soleh atau Siti Soleha. Seperti namanya juga aku mahu ia jadi seorang yang salih. Seorang pemimpin dan pengembang agama Islam yang ulung yang membawa berkat ke mana saja ia melangkah,” Tuk Tamir diam sebentar. “Itulah yang mahu kutinggalkan bila aku mati nanti.”

“Tapi sipakah yang akan mahu jadi isteri seorang yang sudah lanjut usianya?” tanya Tuan Imarn. “Kudengar Tuk Tamir mau mencari gadis muda berumur duapuluh lima tahun ke bawah?”

“Itu juga benar,” kata Tuk Tamir. “Apa salahnya kalau ada yang mahu?”

“Tapi soalnya siapa yang akan mahu. Barangkali kecuali kalau dengan paksaan.” Tuan Imam membuka hujahnya. “Tapi sekarang zaman moden. Tidak ada perkahwinan yang boleh dipaksa-paksakan.”

Tuk Tamir mendengar dengan tenang. Ia merapikan lagi silanya, kemudian membongkok ke depan sambil merapatkan kedua tapak tangannya.

“Anak-anak muda zaman sekarang adalah angkatan yang bebas. Bebas bergaul. Bebas mencari pasangan,” sambung Tuan Imam. “Tuk akan kalah bersaing dengan mereka.” .

Tuk Tamir merenung muka Tuan Imam dengan tajam. Para jemaah lain tidak ada yang menyampuk.

Tuan Imam menyungging senyum.

“Aku sedar aku ini sudah tua,” kata Tuk Tamir. “Dan aku datang di sini bukan untuk main-main. Aku datang di sini untuk mendengar apa pandangan kamu walaupun aku aku sudah membulatkan fikiranku.”

Tuan Imam diam meskipun ia merasakan masih banyak lagi yang perlu dinyatakannya tentang generasi muda yang sudah begitu lama tersimpan di dalam dadanya yang menanti-nantikan saat untuk diluahkan.

“Tuk Tamir,” kata Tuan Imam setelah berfikir sekejap. “Gadis manakah yang ada hati pada Tuk?”

“Begini,” kata Tuk Tamir. “Aku bukannya mengharapkan cinta, apalagi cinta keremaja-remajaan sifatnya. Aku cuma mahukan seorang anak dari benih dan darah dagingku. Seorang gadis yang bijak merancang masa depannya dan faham akan kehendakku ini tentu tidak akan keberatan jadi isteriku. Dan kamu semua tentu tahu bahawa harta dan tanahku banyak cuma aku belum mempunyai pewaris.”

“Entahlah Tuk,” kata Tuan Imam sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Nampaknya Tuk amat bersungguh-sungguh.”

“Kamu pun tahu umurku sudah lanjut – paling lama mungkin dua tahun saja lagi aku akan hidup.” Tuk Tamir bercakap dengan perlahan. “Masaku singkat, tapi sebelum mati aku mahu mendapat anak penyambung zuriat.”

Kata-kata Tuk Tamir ini jadi bualan penduduk Kampung Anu ini. Selama dua minggu lebih ianya hangat diperkatakan. Barangkali setiap orang sudah tahu tentang hal ini. Tuk Tamir tidak pula berselindung-selindung mengenai hasratnya ini. Setiap pertanyaan dijawabnya dengan berterus-terang. Ada yang mengatakan ia sudah lali, tak sedar umur sudah lanjut. Ada yang ragu-ragu tentang kemempuan tenaga batinnya. Tapi Tuk Tamir tetap dengan kebulatan fikirannya itu, mati-matian mempertahankan tentang kekuatan dan kemampuannya. Akhirnya orang bosan juga bercakap tentang perkara ini. Banyak hal-hal lain yang lebih menarik untuk dikatakan dan dibincangkan.

Ketika keadaan sudah reda itulah Dang Sara yang tahu segala-galanya datang mengunjungi Tuk Tamir.

“Tuk,” kata Dang Sara dengan tenang. “Ada seorang gadis yang mahu jadi isteri Tuk.”

Tuk Tamir melangui kasau. Menyedut paipnya dalam-dalam. Kemudian paip ini diketuk-ketuknya di atas lantai. Paip ini diisinya dengan tembakau baru.

“Berapa umurnya?” tanyanya. Ia tidak bertanya nama kerana ia merasakan nama tidak lagi penting bagi orang tua sepertinya.

“Lapan belas tahun,” jawab Dang Sara.

“Dang Sara mempermain-mainkan aku?”

“Demi Allah! Gadis itu bersedia jadi isteri Tuk,” jelas Dang Sara. “Keluarganya juga tidak keberatan.”

“Gadis muda gila manakah yang mahu jadi isteri seorang tua nyanyuk sepertiku ini?” tanya Tuk Tamir.

“Gadis moden,” jawab Dang sara berseloroh. “Ia telah lari dari rumah kerana tidak tahan pada kongkongan ibu bapa. Berkerja di bandar tapi sekarang sudah berhenti dan pulang mengurung diri di rumah.”

“Demi Allah, kau tidak mempermain-mainkan aku?”

“Demi Allah, aku bercakap benar!”

Tuk Tamir berfikir sebentar.

“Masaku singkat,” katanya kemudian. “Entah esok lusa aku mati. Dang Sara, kalau benar cakapmu ini, kau tolong pinangkan ia untukku.”

“Gadis itu dan keluarganya tidak mau pada upacara pinang meminang,” Dang Sara menerangkan. “Terus saja pada akad nikah.”

“Demi Allah!”

“Demi Allah!” Dang Sara bersungguh-sungguh. “Mereka juga tidak mahu pada upacara persandingan. Besok lusa kalau Tuk tidak ada halangan – akad nikah boleh dilangsungkan.”

Tuk Tamir terdiam.

“Tuk jangan terkejut,” Dang Sara meneruskan cakapnya . “Sekarang zaman moden. Kita tidak dapat menyangka apa yang boleh berlaku. Kita ini sudah tua dan ketinggalan zaman. Anak-anak dan cucu-cucu kita sudah jauh ke depan. Kita tidak dapat membaca fikiran mereka lagi dan tidak dapat meramal tindak-tanduk mereka. Kadang-kadang tindak-tanduk mereka itu pelik-pelik belaka.”

“Gadis itu benar-benar mau jadi isteriku?” Tuk Tamir masih ragu-ragu. “Gilakah dia?”

Dang Sara menerangkan lebih lanjut lagi tentang gadis yang sedia berkorban itu. Siapa dia, siapa keluarganya, latarbelakang dan sejarah hidupnya. Dang Sara yang tahu segala-galanya itu menjelaskan sejelas-jelasnya.

Tuk Tamir tidak banyak bercakap. Ia mendengar sambil berfikir.

“Aku setuju saja,” kata Tuk Tamir selesai saja Dang Sara bercakap.

Tuk Tamir ke masjid. Selepas sembahyang Isyak ia mengumumkan akan perihal dirinya itu.

“Aku akan menikah,” katanya dengan penuh selamba. Ia memandang muka Tuan Imam.

Tuan Imam mengedutkan kening dan kemudian tunduk.

“Dengan siapa?” ada orang bertanya.

“Dengan anak Tuan Imam,” Tuk Tamir senyum.

Semua mata menumpu pada Tuan Imam, meminta penjelasan.

“Memang benar,” kata Tuan Imam. “Anakku yang hilang dulu, diam-diam sudah pulang. Sekarang ia mengurung diri di rumah dan sudah bertaubat. Ia mau berbuat baik dan sanggup jadi isteri Tuk Tamir. Ia sudah memikirkannya masak-masak.”

Tiga minggu selepas akad nikah yang dilangsungkan secara sederhana di rumah Tuan Imam itu, isteri Tuk Tamir ini pun selamat melahirkan anak yang comel dan sihat. Tuk Tamir menghadapi hal ini dengan tenang seolah-olah tidak ada apa-apa yang pelik berlaku.

Penduduk kampung jadi heboh. Ada yang datang ke rurmah Tuk Tamir untuk meninjau perkara ini lebih dekat lagi. Tapi tidak ada yang berani bertanya terus terang. Mereka cuma berani bertanya tentang kesihatan Tuk Tamir. Tuk Tamir menjawab bahawa ia merasa amat sihat dan rasa-rasanya umurnya akan dipanjangkan Tuhan sekurang-kurang-nya sehingga isterinya ini suci untuk digauli kembali.

Kali ini Dang Sara yang serba tahu tidak mahu memberitahu apa yang diketahuinya.

Akhirnya ada juga orang yang berani bertanya pada Tuk Tamir bagaimana isterinya, anak Tuan Imam itu, yang baru tiga minggu dinikahinya itu boleh melahirkan anak.

Tuk Tamir hanya senyum.

Tapi Tuan Imam gelabah dibuatnya. Nama baik keluarganya dan nama baiknya sebagai Tuan Imam mulai dipersoalkan orang. Kemudian tenang-tenang ia melaporkan hal anak kandungnya itu untuk dihadapkan ke Mahkamah Syariah.

Tuk Tamir hanya duduk-duduk di ambang pintu rumahnya.

“Di akhir zaman ini,” katanya dengan pasrah, “hal-hal luar biasa pun sudah jadi biasa.”

BEBAL

Bahana November 1985

JUDIN merasa tersinggung dengan pertanyaan Pak Budin.”Pak Budin memperli saya?” tanya Judin. “Saya bukan orang senang-senang. Saya tidak pernah menghutangi sesiapa tapi sayalah yang banyak berhutang yang sampai sekarang belum saya bayar-bayar lagi.”

“Jangan salah faham,” Pak Budin merendahkan suaranya sedikit agar Judin bertenang. Sarut suaranya. “Buat apa aku mau memperli kau? Kau bukan ada berhutang dariku? Bahkan aku cuma menyatakan bahawa aku merasa seperti aku ada berhutang $1,000 padamu. Aku bertanya kerana aku ragu-ragu sama ada aku telah benar-benar berhutang padamu atau aku cuma telah bermimpi berhutang padamu. Itu saja. Aku sama sekali tidak berniat hendak menyinggung perasaanmu.”

“Tapi Pak Budin seolah-olah menyindir saya yang banyak hutang ini,” Judin memandang tepat ke muka Pak Budin.

“Jadi aku hanya bermimpi,” kata Pak Budin, rendah sekali suaranya, seolah-olah ia hanya bercakap untuk meyakinkan dirinya sendiri.

“Itu bukan urusan saya,” kata Judin masih dengan nada tersinggung. Mukanya yang hitam ini kelihatan marung sangat. Di atas dahinya yang luas ini terjuntai-juntai sepintal rambut yang basah oleh keringat. “Seperti kata saya tadi,” sambungnya. “Saya ini orang susah-susah. Saya tidak akan mampu menghutangi sesiapa tapi sayalah yang banyak berhutang yang sampai sekarang belum saya bayar-bayar lagi. Dan saya tidak suka disindir-sindir tentang hutang-hutang saya itu. Saya sedar akan diri saya!”

Tapi kini sudah tiga kali Judin datang menagih hutang tersebut. Mula-mula ia menagih secara berlembut-lembut. Kemudian ia beransur-ansur jadi seperti rnengugut dan tidak sabar. Pak Budin mengakui di dalam hati bahawa ia sendirilah yang gatal mulut. Ia sepatutnya tak usah bising-bising. Ia tahu Judin – meskipun batang tubuhnya tidak setegap batang tubuh Damong Tukang Pukul Kampung Anu ini – kalau boleh tiada sesiapa yang mahu bermusuh-musuhan dengannya. Ia amat sensitif. Kalau bertindak tidak akan berfikir panjang-panjang. Ia pernah menakik kerbau Damong hanyalah kerana Damong mengatakan ia kaki judi dan kebetulan pula kerbau ini berak di kawasan rumahnya.

Inilah yang ditimbang-timbangkan Pak Budin.

“Tapi aku hanya bermimpi berhutang padamu.”

“Tidak, Pak Budin telah benar-benar berhutang dari saya. Bukan bermimpi!”

Pak Budin cuba menyoroti kembali apa yang telah berlaku. Tidak ada yang jelas di dalam kepalanya yang sudah mula beruban ini. Ia masih merasa ragu-ragu. Menurut Judin ia telah berhutang lima bulan dahulu dan mengikut perjanjiannya hutang ini sepatutnya sudah dijelaskan lima hari yang lalu. Barangkali benar juga.

Barangkali?

Ah, rasa-rasanya ia cuma bermimpi. Mimpi kadangkala terasa seperti benar – kesannya terbawa-bawa hingga ketika jaga. Judin hanya mahu mengambil kesempatan.

“Memang benar saya telah mengatakan yang saya tidak pernah menghutangi sesiapa. Tapi setelah saya fikirkan kembali saya pun teringat bahawa Pak Budin memang ada berhutang $1,000 dari saya. Saya akui saya sendiri juga kadangkala merasa kabur tentang hutang-hutang saya. Saya ingat-ingat lupa – lalu terbawa-bawa ke dalam tidur. Tau-tau saja saya sudah jadi amat ragu-ragu apakah saya telah benar-benar berhutang atau saya cuma telah mimpi berhutang.”

Pak Budin ingat dan masih terbayang Judin mengangguk-anggukkan kepala dengan serius ketika melahirkan hujah-hujahnya ini. Pintalan rambut yang terjuntai-juntai di atas dahinya terayun-ayun. Sekali-sekala ketika berhenti di hujung ayat ia mengurut-urut dagunya yang ditumbuhi sejemput janggut kasar.

“Saya hanya mahu wang pokok. Saya tidak meminta bunganya!”

Inilah yang diceritakan Pak Budin kepada Tuan Penghulu. Tuan Penghulu mengikutinya dari awal hingga akhir. Seperti kelazimannya ia tidak membuka mulut sehinggalah anak buahnya ini habis membuat aduan.

Ia diam buat beberapa ketika. Begitu juga Pak Budin. Bunyi. kipas angin yang berputar di atas kepala menimbulkan perasaan lengang di bilik tamu ini. Sekali-sekala kedengaran bunyi deru kenderaan yang melintas di jalan raya di depan rumah.

Sudah hampir tengah hari.

“Saya tidak tahu apa yang hendak saya katakan atau fikirkan,” kata Tuan Penghulu dengan perlahan. Kening sebelah kirinya bergerak-gerak kecil ke bawah.

Pak Budin menatap muka Tuan Penghulu. Tuan Penghulu ini jauh lebih muda darinya. Rambutnya masih hitam dan lebat. Kerut-kerut di dahinya belum begitu jelas kelihatan. Ia merasa kecewa juga mendengar kata-kata Tuan Penghulu ini. Bukan ini yang diharap-harapkannya.

Judin akan menagih hutang ini.

“Aku cuma mimpi berhutang padanya,” kata Pak Budin.

“Barangkali Pak Budin telah benar-benar berhutang padanya,” kata Tuan Penghulu. Ketika berkata-kata ini ia memandang muka Pak Budin yang sudah banyak kedut-kedunya. Sukar benar menafsir muka ini seolah-olah saja ia sedang membaca tulisan cakar ayam.

Di samping kerbau lembu yang dibiarkan berkeliaran menceroboh kebun-kebun, masalah hutang inilah yang sering diadukan kepadanya. Selalunya masalah ini membabitkan Judin sebagai orang yang enggan membayar hutang.

Inilah kali pertama ia mendengar Judin sebagai penagih hutang. Tapi ia tidaklah begitu hairan kerana di Kg.Anu ini apa saja boleh berlaku: orang tua kahwin dengan gadis belasan tahun; orang bergaji rendah tapi hidupnya mewah berkerita dua tiga buah dan sebagainya sehingga BPR sibuk membuat penyiasatan; pembunuhan pernah berlaku; anak-anak gadis hilang dari rumah; anak lelaki kena rasuk syaitan terpekik-pekik hingga ke tengah malam; perbuatan sumbang yang menyebabkan hujan panas turun tujuh hari berturut-turut.

Tanam-tanaman dan binatang-binatang ternakan juga tidak ketingalan membuat gara-gara: ada kerbau bertanduk tiga; pokok kelapa bercabang dua; kambing kembar siam; pohon pepaya berbuah lebat, seratus satu biji, yang semuanya betul-betul berbentuk seperti buah dada, sehingga sibuk media-media tempatan membuat liputan.

“Kalau hendak melihat tanda-tanda kiamat datanglah ke Kg.Anu,” ia pernah mensyorkan kepada seorang ketua kampung ketika menghadiri mesyuarat bulanan penghulu-penghulu dan ketua-ketua Kampung. Walaupun ia bercakap ketika waktu rehat minum dan dengan nada berjenaka pula tapi jauh di dalam hatinya ia membenarkan kata-kata ini.

Ia memandang muka Pak Budin. Meskipun muka ini dipenuhi kedut-kedut namun kali ini ia dapat juga membaca kekecewaan yang terbayang di situ.

“Pak Budin hanya mimpi berhutang padanya?”

“Ya,seribu ringgit.”

“Dan ia menagih hutang itu?”

“Ya.”

“Baiklah,” kata Tuan Penghulu dengan tegas, “Saya akan pergi berjumpa dengan Judin.”

Ia sentiasa sedar di kampung ini ada Tukang Pukul yang bernama Damong yang boleh menyelesaikan segala macam masalah, besar atau kecil, asal sanggup mengeluarkan sedikit wang sebagai upah. Ia tidak mahu sesiapa mengadu hal pada Damong. Terhadap Damong Tukang Pukul ini ia tidak dapat bertindak apa-apa kerana Damong terlalu bebal. Dan ia dapat memahami bahawa di dalam kebebalan Damong ini ada semacam satu kemurnian atau keikhlasan yang seolah-olah menyatakan jadi Tukang Pukul inilah alasan kelahirannya dan kewujudannya di dunia.

Kadangkala ia merasakan keinsafannya tentang kebebalan ini amat membataskan tugas-tugasnya sebagai Penghulu Kampung. Ingin rasanya ia pura-pura tidak faham agar dapat bertindak terhadap orang-orang bebal.

“Pak Budin pulanglah dulu,” katanya. “Saya akan selesaikan perkara ini.”

Judin datang juga menagih hutang ini. Pak Budin merasa amat terganggu.

“Kau mengugut aku, Judin?”

“Saya tidak suka main kasar,” kata Judin. “Tapi kenapa Pak Budin laporkan hal ini kepada Tuan Penghulu? Ini adalah hal Pak Budin dengan saya.”

“Aku tak ada hal dengan kau,” kata Pak Budin setelah jalannya disangga Judin.

“Pak Budin enggan membayar hutang itu?”

“Hutang apa?” tanya Pak Budin. “Aku hanya bermimpi berhutang padamu.”

“Itu cuma perasaan Pak Budin,” kata Judin. “Saya tidak mahu rugi $1,000.”

“Kau tak ada bukti hitam putih yang aku berhutang padamu,” kata Pak Budin.

“Saya akan ambil tindakan!”

Inilah yang diceritakan Pak Budin kepada Damong.

Damong mendengar sambil menganggukkan keplanya yang berambut nipis, ikal dan berminyak ini. Ia duduk bersila dengan belakangnya ditegakkan. Kedua-dua lengannya diletakkan di atas lutut. Tubuhnya yang besar, tegap dan berlagas ini berbau keringat.

“Saya cuma mengambil upah menolong orang yang teraniaya,” Damong memulakan cakap. Ada sisa-sisa makanan melekat di celah-celah giginya. “Upah yang saya pinta tertakluk atas kemampuan masing-masing. Orang kaya saya pinta lebih dari orang miskin. Tapi paling rendah saya pinta $20 saja. Dulu $10 – sekarang sudah naik. Tunai atau hutang terpulanglah. Ada hitam putih atau tidak saya tak kisah. Tapi belum pernah ada orang mahu berhutang wang dengan saya.”

“Aku sendiri tidak suka berhutang,” jelas Pak Budin kepada Damong. “Aku telah berjumpa Tuan Penghulu – ia telah berjanji hendak berjumpa Judin. Tapi Judin telah datang lagi menagih hutang itu sedangkan aku cuma bermimpi berhutang padanya. Katanya ia akan datang lagi. Kautau Judin – kalau membuat tindakan ia tidak pernah berfikir panjang-panjang.”

“Ya, saya faham. Khabarnya ia kalah berjudi lagi,” kata Damong. Suaranya amat parau. Ia mengipas-ngipas senaskhah surat-khabar yang sudah lusuh pada tubuhnya yang berkeringat ini . “Pak Budin serahkan saja hal ini kepada saya. Saya akan uruskan. Upahnya bayar kemudian. Saya tidak minta banyak asal jangan kurang $20 sudahlah, tapi kalau lebih saya akan terima dengan besar hati – harga untuk hidup sekarang ini sudah kian mahal.”

Damong menyandarkan belakangnya pada dinding. Ia tersenyum. Sudah lama tidak ada orang mengadu dan meminta khidmatnya untuk menyelesaikan sebarang masalah.

“Tuan Penghulu tidak suka saya jadi tukang pukul,” kata Damong kepada Pak Budin. Bibirnya yang tebal ini bergetar seperti getah. “Saya pun tidak suka jadi tukang pukul tapi itulah saya. Saya telah dilahirkan dengan bakat tertentu. Dan saya sentiasa sedia berkhidmat untuk masyarakat yang teraniaya.”

Pak Budin menganggukkan kepala.

“Aku tidak suka main kasar,” katanya lebih kepada diri sendiri daripada kepada Damong.

Damong mengangkat kepala. Merasa sedikit tersinggung. Ia masih dapat menangkap kata-kata Pak Budin ini.

“Tapi main kasar itu selalu mendatangkan hasil daripada berlemah-lembut macam pondan,” kata Damong memandang tajam ke muka Pak Budin. “Pondan sendiri pun kadangkala main kasar. Kalau tak percaya cuba-cubalah menghina dan menyinggung perasaan mereka!”

Pak Budin cepat-cepat meminta diri.

Damong melangui kasau. Ia berfikir lama-lama. Kemudian ia bangun cepat-cepat bersiap sedia hendak keluar. Ketika ia bersedia-sedia inilah Tuan Penghulu datang.

“Saya hendak ke rumah Judin,” kata Damong berterus-terang. “Ada hutang hendak dijelaskan!”

“Hutang Pak Budin?” tanya Tuan Penghulu. “Ia datang mengadu padamu?”

“Tidak,” kata Damong, “bukan pasal itu.”

Tuan Penghulu cuba raembaca muka Damong. Muka ini kelihatannya kosong seperti kertas yang belum bertulis apa-apa.

“Saya baru teringat,” kata Damong, “kerbau saya pernah ditetaknya.”

Tuan Penghulu sedar yang bercakap tenang-tenang ini bukannya Damong tapi adalah kebebalannya. Dan Judin sama juga bebalnya.

Ia melangkah cepat-cepat dari sini dengan hati yang berat menuju ke Balai Polis. Kalau dapat rasanya ia tidak mahu melaporkan perkara ini. Tapi ia amat kenal dengan Damong. Dan ia juga tahu siapa Judin.

“Sama-sama bebal,” katanya. Ia merungut-rungut kenapa Balai Polis ini tiba-tiba saja terasa amat jauh. Dan kenapa tidak ada kereta melintas untuk ditahan dan tolong membawanya segera ke situ? Dan ke mana perginya penduduk-penduduk kampung – anak-anak buahnya?

Ia melewati rumah Pak Budin. Pintunya terlambah-lambah dan sekelilingnya lengang.

“Pak Budin pun sama juga,” rungutnya. “Bebal!”

Ia sampai juga di Balai Polis dengan nafas yang tercungap-cungap. Rasanya ia seperti baru saja menamatkan satu marathon tanpa sebarang latihan.

Ia terheran-heran: anak-anak buahnya berkerumun di sini. Membuat bising. Darahnya tiba-tiba menerpa naik ke muka: sebuah mobil polis memecut laju. Keluar. Sirennya memekik panjang.

Ia sempat melihat kelibat Judin. Judin terbaring di kerusi belakang. Mengerang-ngerang.

Damong sudah mendahuluinyakah? Ah, tak mungkin! Bagai-mana Damong boleh bertindak secepat ini? Ia bukannya sakti.

Ia menjenguk ke dalam balai. Ia terlihat Pak Budin. Pak Budin sedang disoal sisat.

“Aku bukan pondan,” ia terdengar Pak Budin bersuara sedikit tinggi. “Ia yang datang mencari bala. Kalau orang main kasar takkanlah aku hendak berlemah-lembut pula!”

Belum sempat ia mengeluh, belum sempat ia menggeleng-gelengkan kepala, anak-anak buahnya tiba-tiba menjadi tambah huru-hara, bising, terjenguk-jenguk, berkejaran keluar.

Dari tempatnya berdiri ini, ia terlihat asap hitam yang tebal, berkepul-kepul naik dari arah rumah Judin.

Matahari terlindung dan menjadi redup kekuning-kuningan seketika.

“Celaka Damong!” Tuan Penghulu menggigit bibir dan menggeleng-gelengkan kepala. Kenapa kesedaran ini selalunya datang terlewat – ketika semuanya sudah tidak dapat diundur-undurkan lagi?

Aku pun sama juga, gerutunya di dalam hati dengan amat kesal. Seperti ubat yang terlalu pahit untuk ditelan, terlalu sukar baginya menahan suaranya dari terlepas keluar.

“Bebal!” katanya.

HIJAB-HIJAB DAN SEBUAH PERUMPAMAAN

Bahana Julai 1986

ANJING ini menggusarkan Dagang. Sama saja sama ada ia menyergahnya atau tidak, anjing ini tetap duduk tersingap-singap dengan lidah yang terjulur-julur di luar kebunnya ini.Dagang menanggalkan kopiah buruknya. Kopiah ini disangkutkannya pada paku yang terpacak di pokok mangga. Ia menggaru-garu kepalanya yang sudah beruban ini yang terasa gatal kerana berpeluh. Rimas.

Ia kembali menyergah anjing ini.

“Anjing degil,” gerutunya. Mukanya yang sudah berkedut ini bertambah lagi kedutnya kerana perasaan jelik yang bersarang di hatinya. Ia membaling sebiji kelapa buruk ke arah anjing ini.

Setiap hari ia melihat anjing ini di situ. Gambaran seekor anjing yang tersingap-singap dengan lidah terjulur-julur seperti sudah melekat di benaknya. Ke mana saja ia pergi gambaran yang hodoh ini membuntutinya seperti bayang-bayang. Inilah yang sangat-sangat tidak menyenangkan hatinya dan menyebabkannya benci pada anjing yang tidak melakukan apa-apa yang merosakkan selain dari duduk di luar kebunnya tersingap-singap dengan lidah yang terjulur-julur.

Matahari semakin tinggi. Kicauan burung-burung sudah kian berkurangan. Tidak ada apa-apa yang penting di lakukannya cuma memungut beherapa biji kelapa tua yang gugur, memarun kemudian duduk-duduk menghisap paip. Pokok-pokok mangga sudah lama tidak berbuah. Agaknya pokok-pokok ini sudah tua seperti dirinya juga. Sedarkah pokok-pokok ini bahawa mereka telah bersama-sama menjadi tua? fikir Dagang. Selepas ketuaan adalah kematian.

Ia cepat-cepat bingkas dari duduknya dan terus mengasah parang. Parang ini masih tajam.

Kemudian parang ini disarungkannya semula. Terlintas di hatinya agar Safwan datang menjenguknya ketika ia merasa bosan seperti ini. Dihalakannya pandangannya jauh-jauh ke jalan raya. Jalan raya lengang: anak-anak muda semuanya sudah keluar ke bandar bekerja.

“Heeyah!”

“Syuuuh!”

Dengan suara parau ia menyergah anjing ini lagi.

Sebuah kereta berhenti di depan kebunnya. Dagang cepat-cepat mencapai kopiahnya dan memakainya segera. Ia memandang adiknya, Haji Ahim, keluar dari kereta ini. Rumah adiknya cuma suku batu dari rumahnya dan kebunnya ini.

“Emak mula sakit-sakit lagi,” kata Haji Ahim. “Abang sudah lama tidak menjenguk-jenguknya.”

“Nantilah aku akan ke rumahmu menjenguknya,” Dagang sedar nada suaranya ini tidaklah begitu meyakinkan. Malas benar rasanya ia hendak pergi ke rumah adiknya ini. Mula-mula orang tua ini memang tinggal di rumahnya, tapi kerana ia sendiri juga sudah tua dan tidak larat hendak menjaganya, orang tua ini pun dipindahkan ke rumah adiknya. Haji Ahim mempunyai anak yang banyak yang boleh membantu.

Sebelum pergi dari situ Haji Ahim bercakap-cakap sedikit dan menasihatinya. Nasihat dari seorang adik kepada seorang abang.

Dagang memandang kereta yang dipandu adiknya ini perlahan-lahan pergi. Safwan tidak ada di dalamnya.

Ia kembali ke tempat duduknya dan terpandang akan anjing di luar kebun. Hatinya tidak senang. Tidak ada yang menyenangkannya: anjing ini, Haji Ahim dan emak yang sudah terlampau lanjut usianya – semuanya meresahkan. Juga dirinya yang kian dimamah ketuaan.

Kebunnya ini pun tidak dapat memberikannya ketenangan. Hanya sekadar memberikannya sesuatu untuk dikerjakan: beberapa pohon pokok kelapa dan mangga yang rata-ratanya sudah tua. Hasilnya tidak seberapa. Ia pun tidaklah memerlukan hasil dari kebun ini. Wang pencennya saja sudah cukup dan wang simpanannya masih banyak di bank. Pernah ia terfikir hendak membeli tanah dengan wang ini. Tapi untuk apa? Ia tidak mempunyai isteri dan anak untuk diwariskan tanah ini nanti.

Haji Ahim telah mensyorkan supaya ia naik haji saja dan bertaubat di Baitullah.

“Abang sudah lama meninggalkan sembahyang,” kata adiknya ini.

Ia ingat dulu ia memang tekun beribadat, semasa muda-muda dulu tidak pernah tanggal kopiah. Hingga sekarang pun kopiah ini tidak tanggal dari kepalanya meskipun ia sudah tidak lagi rajin beribadat.

Haji Ahim selalu mcngingatkannya tentang betapa ia sudah tua dan tentang betapa sudah singkatnya masa. Bila-bila masa saja maut holeh menyambar.

“Tentang emak yang sangat panjang umurnya itu,” sambung Haji Ahim, “Kita mesti memikirkan dan merenunginya kerana ia sudah mencapai tahap musihah yang mungkin hersebab dari anak-anaknya sendiri. Kita anak-anaknya pun merasa sengat terbeban kerana ketuaanya itu.”

Haji Ahim tidak pernah menyenangkan hatinya sama seperti anjing di luar kebunnya ini.

Adiknya ini terlalu suka berkhutbah, seolah-olah hanya cakapnya saja yang lurus. Cakap orang lain tidak. Seolah-olah ia seorang saja yang tahu hukum-hukum. Orang lain tidak. Hanya cakapnya yang layak didengar. Cakap orang lain tidak.

Setiap kali ia pergi ke rumah adiknya ini telinganya akan diasak dengan khutbah. Bertubi-tubi. Tiada lain yang diperkatakannya – syurga, neraka, neraka, neraka! Kadangkala ia merasa betul-betul tersinggung diperlakukan seperti oleh seorang adik. Dan selalunya ia tidak mendapat peluang untuk memintas arus khutbah adiknya ini, untuk menyatakan pandangannya sendiri. Atau kalau ada peluang pun hanya setelah fikirannya sudah terialu kebas untuk melahirkan hujah-hujah. Akhirnya ia akan pergi dari situ dengan perasaan sebal tanpa sepatah kata.

Ke mana hendak dituju kalau tidak ke kebun? Dan yang pertama-tama dilihatnya ialah anjing yang sial ini. Anjing ini tersingap-singap dengan lidahnya terjulur-julur. Lihat saja usul anjing itu: kurus kering, kbtor, berkutu dan berkudis. Jika disergah ia tetap duduk di situ dengan lidah yang terjulur-julur. Jika tidak disergah pun ia tetap juga duduk di situ dengan lidah yang terjulur-julur. Bertambah jengkel hatinya. Tujuannya ke kebun ini bukan apa – hanya untuk menenteramkan perasaan.

Ia ke rumah adiknya pula hanyalah pasal kebun ini. Tapi ia jarang-jarang mendapat kesempatan untuk membincangkan tentang perkara ini. Atau kalau ada kesempatan bercakap pun hanya akan diputar adiknya ke arah lain. Adiknya akan selajur berdakwah.

“Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan tentang kebun kita di akhirat,” kata adiknya. “Ampit bahagiankah atau tidak?”

Mula dari situ adiknya ini pun terus bercakap tentang Jannatu Naim yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, dengan pohon-pohon rendang yang berbuah lebat sepanjang masa. Sudah adakah bahagian atau belum?

Kemudian adiknya ini membeberkan tentang neraka, neraka, neraka – yang di dalamnya tumbuh pokok zaqqum. Itukah bahagian yang akan diterima?

“Dan abang datang hendak bercakap tentang kebun kelapa dan mangga abang yang sudah tidak mendatangkan apa-apa hasil itu?” soal adiknya.

“Ahim,” ia memintas dengan lembut. “Aku hendak mewakafkannya untuk surau atau rumah ibadat kalau kau tidak berguna tanahku itu untuk anak-anakmu. Kau mempunyai anak yang banyak.”

Haji Ahim terdiam. Lama sekali adiknya ini berfikir. Dahi berkerut-kerut memerah otak. Kemudian jawapan yang diberikannya pula separuh berupa khutbah juga.

“Memang benar anakku banyak,” ujar adiknya ini dengan perlahan. “Tapi harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Amalan-amalan yang kekal lagi salih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhan serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Terasa pula tujuannya seperti diperkecil-kecilkan oleh seorang adik. Ia sedar adiknya ini bermaksud baik; terus-menerus tanpa jemu-jemu mendakwahnya. Tiada siapa yang menggajinya berdakwah seperti ini. Apa yang diperkatakan adiknya ini pun bukanlah perkara-perkara baru yang tidak diketahuinya sendiri. Perkara-perkara asas dan hal-hal yang boleh difikirkan sendiri jika ia mahu.

“Sudah banyak surau didirikan di tepi-tepi jalan.” hujah adiknya. “Tapi jarang-jarang dihuni orang. Abang mesti betul-betul menjadi ahli ibadat kalau mahu wakaf abang itu mendatangkan berkat. Kalau tidak abang hanya akan menambahkan sebuah lagi rumah ibadat yang kosong dan gelap seperti gua.”

Jadi sekarang kebun ini hendak dibuat apa? Tidak ada waris selain adiknya ini. Lainlah kalau ia mempunyai isteri dan anak. Adiknya ini seperti tidak minat langsung terhadap tanah ini.

Hendak mewakafkannya pun hati sudah tawar – kalau sudah begitu kata adiknya.

Hendak kembali beribadat sangat berat pula rasanya, lebih-lebih lagi ketika umur sudah lanjut seperti sekarang ini. Sudah terlanjur. Malas pula rasanya. Sendi-sendi sudah berkarat menjadi tempat pertapaan iblis. Apabila ia memikirkan bahawa bukan ia seorang saja yang berat beribadat terasa lega juga sedikit: ia tidak akan masuk neraka seorang diri.

“Entahlah,” keluhnya dengan berat. Ia tahu kelegaan ini cumalah satu kepalsuan yang sengaja diada-adakannya.

Ia naik saksi bahawa tiada yang disembah melainkan Allah. Ia naik saksi bahawa Muhammad Sollallahu ‘alaihi wasalam itu rasul Allah. Ia sedar kewajipannya tapi fardu lima waktu itu rasanya sangat membebankan dan sunah-sunah nabi itu pula terlalu menuntut tenaga dan kesabaran. Puasa bulan Ramadan pula amat menyiksakan. Zakat-zakat pun sudah tidak terkeluarkan lagi. Ia sedar ia mempunyai wang di bank yang sudah wajib dikeluarkan zakatnya. Wang simpanannya ini sudah berjumlah tiga ratus ribu ringgit lebih. Hendak naik haji tiga puluh kali pun boleh jika mahu.

Ia tidak pernah berniat hendak memiliki wang yang sebanyak ini. Wang ini terkumpul dengan tidak sengaja kerana ia bukanlah seorang yang suka berbelanja besar. Tapi wang ini sekarang hendak dibuat apa? Anak tidak ada. Barangkali itulah yang sangat-sangat mengecewakan hatinya dan menjadikannya merasa amat terkilan.

Ia mahu bahawa susah senang, suka duka, gembira kecewa itu semuanya sama saja pada hakikatnya – dugaan kepada manusia untuk menguji siapa yang paling baik amalnya: siapa yang bersyukur siapa yang tidak. Siapa yang bersabar, siapa yang tidak.

Tapi kenapa Haji Ahim mempunyai anak dua puluh orang. Sedangkan ia tidak mempunyai sesiapa? Hajah Sufiah, isteri adiknya ini pula bekas mata airnya. Itulah celakanya apabila usia sudah lanjut dan fikiran sibuk-sibuk datang meminta perhatian. Terasa pula hodohnya dan memalukan.

Ke mana hendak dituju, lari dari fikiran yang memalukan dan nyanyuk seperti itu? Ke kebun. Di kebun tiada lain yang itu – itu juga dilihat: pokok-pokok kelapa yang sudah tua dan pokok-pokok mangga yang sudah tidak berbuah lagi.

Dan paling menjengkelkan sekali anjing ini. Jika disergah ia tetap tersingap-singap menjelir-kan lidahnya. Jika dibiarkan pun samajuga. Gambaran itulah yang melekat di benaknya ke mana-mana ia pergi. Kepalanya yang sudah beruban ini rasanya sudah tidak larat lagi hendak menangis apa-apa yang tidak diingini. Barangkali inilah sebahagian dari tanda-tanda kelalian.

Ia akan menjadi beban. Kepada siapa lagi kalau tidak kepada anak-anak adiknya. Jika perasaan boleh dipercayai, rasanya ia akan hidup lebih lama lagi, melampaui usia seratus tahun. Seperti kata adiknya, sesiapa yang berbuat dosa akan dilanjutkan umurnya agar ia terus berbuat dosa, lalu dibenarkanlah neraka ke atasnya. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan berbuat amal salih.

“Ngah cepat! Nenek sakit kuat!”

Arus fikirannya terputus. Saf-wan datang.

“Nenek sakit kuat, Ngah,” ulang Safwan.

Ia tidak gelabah mendengar berita ini. Hanyalah perkara biasa: orang tua ini selalu saja sakit tenat. Entah sudah berapa puluh kali. Mula-mula dulu mereka menyangka beliau itu sudah sampai masanya. Tapi ia pulih seperti biasa dengan keletihan yang kian bertambah. Kemudian ia akan sakit tenat lagi.

“Bagaimana keadaan nenekmu itu, Safwan?” tanya Dagang.

“Teruk Ngah,” kata Safwan. “Nenek tergolek-golek di atas lantai macam melawan kesakitan yang amat sangat. Nenek menyebut-nyebut napia Ngah.”

Nazak, fikir Dagang. Barang-kali sudah tiba masanya.

Ia memandang Safwan yang berumur dua belas tahun ini. Bentuk mukanya bulat iras-iras bentuk muka ibunya, Hajah Sufiah, semasa muda-muda dulu. Anak inilah dari sekian banyak anak adiknya, yang selalu men-jenguknya. Menemaninya bercerita. Tapi anak inilah juga yang kelihatannya akan menyambung pembawaan bapanya yang suka berdakwah. Suka menegur hal-hal yang tidak betul.

“Kenapa Ngah suka memakai kopiah tapi tidak sembahyang?” Safwan pernah bertanya. “Kopiah itu pun sudah buruk – belilah yang baru.”

Budak-budak memang celupar. Kalaulah yang bercakap ini bukannya Safwan yang selalu menjenguknya dan menemaninya bercerita, sudah tentu budak ini diherdiknya. Dan juga diam-diam ia sudah mengangkat anak ini sebagai anaknya sendiri.

Orang ramai sudah berkumpul di rumah adiknya. Orang tua itu sudah meninggal. Yang melintas di kepala Dagang ketika ini ialah hakikat yang tidak menyenangkan: dialah yang akan menggantikan tempat orang tua ini dengan kenyanyukan dan kelalian. Bibit-bibitnya sudah pun nampak dan dapat dirasakan sendiri. Beban ketuaan.

Di tengah-tengah orang ramai ini perasaannya jadi tidak menentu. Apa yang hendak dibuat? Mahu ikut orang membaca Yaasin terasa benar kekoknya. Ia pun sudah lama tidak membaca ayat-ayat suci. Entah masih lancar atau tidak. la pusing sana pusing sini. Resah dan tidak masuk majlis.

Ketika jenazah disembahyangkan ia cuma berdiri di luar. Bingung dan asing seperti baru datang dari dunia lain.

Sejak kematian ini ia jarang-jarang lagi ke rumah adiknya. Adiknya ini pun sudah tidak sekerasdulumendakwahnya. Kini cuma sekadarnya saja. Tunduk-tunduk dan hormat pada seorang abang.

Safwan masih rajin menjenguknya, sama ada di kebun atau di rumah. Kadang-kadang Safwan bermalam di rumahnya itu: mengaji, sembahyang Isyak dan Subuh di situ.

Halus suaranya membaca ayat-ayat suci. Kitab Al-Quran yang dibacanya ini naskhah yang ada di rumahnya ini juga, yang sudah lama mengumpul habuk. Ia mendengar Safwan membaca begitu perlahan dan berhenti terlalu lama pada setiap penghujung ayat.

Sudah lama ia tidak begitu peduli hendak mendengar orang membaca ayat-ayat suci. Jadi inilah taktik baru adiknya ini fikir Dagang. Ia mula pula merasa tidak senang pada Safwan. Tapi ia sedar juga fikiran ini tidak lain datangnya dari kelalian. Ia cuba melawan kelalian ini dari terus-menerus menguasai dirinya.

“Kenapa Safwan suka di sini?” ia bertanya. Ketika bertanya ini ia tidak memandang muka budak ini.

“Di sini sunyi,” Safwan menjawab spontan. “Di sana hingar, Ada tv dua buah, ada video, ada radio, ada hifi. Bising!”

“Bapamu tidak marah pada abang-abangmu yang membuat bising itu?”

“Marah,” kata Safwan. “Kalau bapa marah – rumah itu rasanya macam hendak kiamat. Ngah pun selalu dimarahi bapa.”

“Ia bukan marah. Cuma menasihati.”

“Tapi Ngah tidak mahu mendengar nasihatnya. Kenapa?”

“Entahlah Safwan,” jawab Dagang dengan malas. “Barangkali Ngah ini sudah terlalu tua dan lali. Orang lali selalunya keras kepala dan tidak mahu mendengar cakap.”

“Jadi Ngah ini keras kepalalah?” Selamba saja Safwan menyoal. “Sama macam abang-abang di rumah.”

Dagang tergelak. Kalaulah yang bercakap ini bukannya Safwan, entah ia akan merasa tersinggung juga.

Safwanlah yang menjenguknya di kebun pada pagi hari Ahad membawa kopiah baru di tangannya.

“Buang kopiah buruk Ngah. Ini kopiah baru. Barangkali Ngah akan mulai sembahyang kalau memakainya,” kata Safwan bersahaja.

Dagang menerima saja kopiah ini. Kalau tidak terpaksa pula memberi alasan. Mungkin Safwan akan membebel itu ini. Sayang sekali kalau ia menjadi benci pula pada Safwan nanti.

Ia melihat Safwan menghalau anjing di luar kebun. Anjing ini tidak mahu lari. Kemudian Safwan merenung anjing ini. Ia seperti mengingat-ingat sesuatu.

“Anjing itu sama seperti anjing yang disebutkan di dalam Al-Quran,” kata Safwan kepadanya.

Seperti dirinya, Safwan juga dihantui oleh gambaran anjing ini. Tidak habis-habis ia bercakap tentang anjing ini dan anjing yang disebutkan di dalam Al-Quran.

“Betul-betul sama,” kata Safwan penuh semangat.

Malam ini ia melihat Safwan sibuk membelek halaman-halaman kitab Al-Quran. Jadi itulah yang dibaca Safwan setiap kali bermalam di situ – Al Quran dan terjemahannya. Disangkanya budak ini membaca kosong saja: sekadar membaca dengan suara yang lembut dan berlagu. Patutlah ia berhenti lama disetiap penghujung ayat – berhenti untuk membaca ertinya.

Ketika ia berfikir itulah Safwan menghampiri menunjukkan sepotong ayat.

Gemuruh perasaannya membaca ayat ini. Diulang-ulanginya seperti tidak mahu percaya sambil berfikir dalam-dalam.

Selama ini yang menghalang-halanginya dari mendapat ketenangan adalah dirinya. Yang dibencinya tanpa sedar adalah dirinya. Tiba-tiba ia merasakan selapis hijab tersingkap.

Ia terlihat nafsunya. Ia terlihat keinginan-keinginannya yang tidak terpenuhi. Ia terlihat ego dirinya. Ia terlihat akalnya. Ia terlihat kebenciannya. Ia terlihat ketidakpuasan hatinya. Ia terlihat seribu satu macam tabiat dirinya. Ia terlihat bagaimana semua ini menjadi hijab yang berlapis-lapis menutupi matanya dari melihat sebuah perumpamaan tentang dirinya yang terpampang di depannya selama ini.

Dengan jelas terbayang di kepalanya gambaran anjing yang sangat dibencinya ini.

Ia membaca terjemahan ayat ini lagi:

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tapi ia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya sama seperti anjing – jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya, dan jika kamu membiarkannya diulurkan lidahnya juga. Demikian itu perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Kami ceritakanlah kisah-kisah agar mereka berfikir.

Dagang berfikir dalam-dalam.

Safwan tercengang-cengang melihatnya sembahyang pada malam ini. Ia cuba memikirkan bagaimana Nghanya ini boleh tiba-tiba berubah dengan hanya membaca terjemahan ayat 176 dari surah Al-A’raaf yang telah ditunjukkannya ini. Ia ingin bertanya padanya tapi ia tidak tahan berjaga menunggu Ngahnya ini siap. Ia tertidur.

Dagang masih di sejadah.

(hadiah pertama peraduan mengarang cerpen sempena 25 tahun peraduan membaca Al-Quran peringkat negara 1985 JHEU)

DABAT
Bahana Mac 1986

PETANG DIA disambar petir itu tidak akan dilupai Dabat sampai bila-bila. Ia terjerembap menyembah bumi, kemudian bangun terhuyung-hayang, kepalanya kebas dan pandangannya berpinar-pinar, langkahnya terketar-ketar sepanjang jalan. Ia meramas-ramas rambutnya dan menyangkanya sudah terbakar kerana rasanya terlalu asing.Ketika tiba di pekarangan rumah ia terlihat jirannya berlari mendapatkannya. Meskipun pandangannya masih berpinar-pinar dan jirannya itu kelihatan seperti bertukar-tukar warna antara biru, ungu tua dan kelabu, Dabat dapat mengagak yang jirannya itu di dalam kecemasan.

“Anakku terjatuh dan patah kaki,” kata jirannya dengan tercungap-cungap, bibirnya yang kecil itu terketar-ketar tidak menentu. “Keretaku pula rosak untuk membawanya ke hospital.”

Dabat, dengan kepala yang masih kebas, mengikuti saja jirannya itu untuk menengok anak yang patah kaki. Ia mahu memberitahu jirannya itu yang ia baru saja dipanah petir, tapi ia kehilangan perkataan untuk menyatakannya.

Ia pernah mendengar khabar ada orang mati dipanah petir, ada yang terbakar setengah badan, ada yang hangus menjadi abu dan semuanya itu, ia percaya, adalah tanda-tanda kemurkaan Tuhan; tapi ia cuma merasa kebas hingga suara tangisan anak jirannya itu kedengaran sayup-sayup jauh di telinganya yang nipis tapi besar bentuknya itu, meskipun ia sudah betul-betul berdepanan dengannya. Budak itu macam bapanya juga kelihatan seperti bertukar-tukar warna antara biru, ungu tua dan kelabu.

Dabat duduk mencangkung di depannya dan memegang kaki yang patah itu dengan bingung seolah-olah ia baru pernah melihat kaki seorang budak dan terlalu sukar mencari perkataan untuk menamai dan mengenalinya. Ia mengusap-usap kaki yang patah itu dengan lembut beberapa kali; budak itu tiba-tiba berhenti menangis lalu berdiri dan berlari: kakinya sudah tidak patah lagi.

Dabat pergi dari situ dengan perasaan yang bertambah bingung, langkah-langkahnya masih goyah, meninggalkan jirannya terpaku kehairanan.

Malam itu, pada kira-kira pukul sepuluh setengah, jirannya itu datang memapah seorang pesanak yang sudah tiga tahun menderita. Setelah berbual-bual sedikit secara am tentang itu-ininya dunia, ekonomi dan politik antarabangsa, penyakit aids, malapetaka di sana sini, tanpa sedikit pun menyentuh peristiwa petang tadi, jirannya itu pun dengan penuh sopan dan dengan suara yang perlahan tapi amat jelas, menerangkan hajatnya bertandang mengganggunya lewat-lewat malam seperti itu: membawa pesanaknya yang didatangkan dad jauh untuk berubat.

“Tolonglah,” pinta jirannya itu dengan merendah diri. “Ia telah lama menderita lumpuh sebelah badan terkena buatan orang.”

Dabat menolak permintaan itu dengan mengatakan bahawa ia bukannya dukun dan tidak pernah dan tidak akan percaya pada ilmu kedukunan kerana ia telah terdidik dengan ilmu-ilmu moden, sains dan logika, dan perkara-perkara karut tidak mempunyai tempat di dalam kepalanya.

Tapi jirannya itu berkeras dengan lembut dan tidak mahu meninggalkan rumah itu sehinggalah pesanaknya itu dirawat. Ia mengungkit peristiwa petang tadi, bagaimana ia melihat Dabat mengusap-usap kaki anaknya yang patah dan kaki itu dengan sertamerta sembuh. Ia menekankan yang ia menyaksikan dengan matanya sendiri bukan mendengar cerita dari orang lain.

“Tapi kaki anakmu itu sememangnya tidak patah,” kata Dabat sambil memandang wajah jirannya itu, matanya yang besar itu disepetkan sedikit. Kalauiah bukan kerana kedut-kedut di muka itu, mahu saja rasanya ia menyuruhnya supaya pulang saja.

Dabat memicit-micit matanya; berfikir dan mencari akal. Ia merasa sedikit bengkeng kerana disogokkan dengan sesuatu yang tidak masuk akalnya lewat-lewat malam seperti itu, ketika ia sudah merasa mengantuk.

“Tolonglah!”

“Bukan aku tidak mahu menolong,” kata Dabat sambil meraba-raba dagunya yang sentiasa bercukur bersih. “Sememangnya aku tidak boleh mendong kerana aku bukan dukun seperti yang kausangkakan itu. Tengoklah mukaku ini – aku tidak mempunyai perawakan seorang dukun!”

“Tolonglah,” pinta jirannya lagi, disertai dengan wajah yang sayu. “Urutlah atau usaplah tubuh pesanakku ini sepertimana kau telah mengurut kaki anakku yang patah itu.”

Kerana terdesak, Dabat melakukan seperti yang dipinta, dan pesanak jirannya itu sembuh serta-merta. Dengan gembira kedua-dua mereka mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan mereka tidak lupa menyedekahkan lima puluh ringgit kepadanya. Dabat menolak-nolak pemberian itu kerana, katanya, ia sudah memiliki pekerjaan yang agak lumayan juga gajinya: ia tidak berhak menerima sedekah.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi, ketika Dabat tergesa-gesa hendak pergi bekerja, pesanak jirannya itu datang dalam keadaan letih, seolah-olah ia telah berjaga sepanjang malam dan baru tiba dari satu perjalanan yang amat jauh, menuntun seorang lelaki tua untuk bertemu dengannya.

“Tolonglah,” kata pesanak jirannya itu. “Ini bapaku yang kubawa dari jauh. Matanya buta kedua belah.”

“Tapi aku bukan.. .” Ah, tidak guna ia meneruskan cakap, fikir Dabat sambil mengusai-usai tali lehernya. Dalam keadaan tergesa-gesa begitu yang paling tidak diingininya ialah gangguan.

Dengan acuh tak acuh, sekadar untuk memuaskan hati pesanak jirannya itu dan untuk tidak membuang-buang waktu, ia menyentuh kedua belah mata orang tua itu dengan hujung jarijarinya, lalu kedua-dua belah mata yang buta itu menjadi celik dan dapat melihat dengan jelas.

Petang itu sekembalinya dari bekerja, Dabat mendapati halaman rumahnya dibanjiri oleh beratus-ratus orang manusia yang menanti-nanti akan kepulangannya dengan tidak sabar, dan bilangan mereka kian bertambah setiap minit. Dengan sebulat suara mereka berazam tidak akan krganjak dari situ sehinggalah mereka menerima rawatan.

“Aku bukan dukun!” pekik Dabat. Urat lehernya timbul. “Dan aku tidak percaya pada ilmu kedukunan!”

Seorang lelaki yang menghidap sopak rnenarik tangan Dabat lalu menggosok-gosokkan tapak tangan itu pada anggota tubuhnya yang sudah bertahun-tahun menderita. Penyakit sopaknya sembuh serta-merta dengan disaksikan oleh beratus-ratus biji mata. Lelaki itu kena seret ke belakang kerana telah memotong giliran orang-orang yang telah lebih dahulu datang.

Dabat tidak dapat mengelak diri dari melayani orang-orang yang banyak itu. Lepas seorang, seorang lagi menghadapi; yang berkurap tiba-tiba licin dan halus kulitnya, yang pekak mendengar semula, yang merana terus sembuh dan lupa pada buah hati yang dirampas orang, yang cacat aka1 serta-merta menjadi normal dan bijak, yang bisu terus menyanyi dengan suara yang merdu, yang berbisul kempis bisulnya, yang lemah tenaga batin tiba-tiba tersenyum-senyum girang dengan ghairah, yang tak mahu hamil terus loya termuntah-muntah di situ juga: tanpa putus-putus ia merawat, mengusap, mengurut, meniup dan menampar penyakit mereka, sampai jauh malam, menyecah ke subuh, hingga terbit matahari dan sepanjang hari keesokannya; ia cuma dapat mencuri-curi waktu rehat yang sebentar-sebentar di antara pergi dan datangnya seorang pesakit. Untuk tidak menggalakkan mereka berubat dengannya ia memulai setiap rawatan dengan pernyataan bahawa ia bukannya dukun dan tidak percaya pada ilmu kedukunan yang tidak saintifik itu, yang bercanggah dengan ilmuilmu moden dan logika yang ia telah terdidik sejak kecil lagi.

Untuk tambah tidak menggalakkan mereka lagi ia telah menetapkan bayaran bagi setiap rawatan terlebih dahulu dengan sesuka hatinya: penyakit ini seratus empat puluh ringgit, penyakit itu lima puluh ringgit, penyakit orang kaya ini lima ratus ringgit, penyakit orang tua itu lapan puluh ringgit, untuk sifilis seribu ringgit, tapi orang-orang yang telah menderita sakit bertahuntahun itu menilai bahawa kesihatan itu lebih penting dari wang ringgit yang beribu-ribu.

Mereka terus datang tanpa putus-putus, memaksa dan mendesaknya memberi rawatan dengan tidak mengira sama ada ia letih atau tidak. Dalam seminggu itu ia telah merawat lebih tiga ribu orang, dan tiga ribu orang itu pulang men yebar-nyebarkan tentang dirinya, yang mendatangkan lagi tiga ribu orang pesakit baru berduyunduyun.

Siapa yang tidak mahu sembuh dari sakit dengan serta-merta setelah bertahun-tahun menderita?

Sekeliling rumahnya jadi sesak dengan pondok-pondok kecil yang didirikan dengan spontan, sibuk dengan pesakit-pesakit yang keluar masuk sementara menanti giliran, yang datang sehelai sepinggang tapi membawa wang yang banyak. Penduduk kampung yang bijak mengambil kesempatan membuka pondok-pondok kecil di tepi jalan raya berdekatan, menjual air tebu dan minuman-minuman ringan dengan keuntungan yang berlipat ganda.

Pada waktu malam kawasan itu terang benderang dengan cahaya dari lampu-lampu gas, lebih sibuk dan lebih hingar daripada waktu siang, seolah-olah satu pesta sedang berlangsung. Oleh kerana waktu itu musim hujan, halaman rumahnya menjadi becak dan berlumpur.

Setelah tanpa putus-putus menghadapi orang-orang yang sakit tenat itu, adalah dengan perasaan yang amat hairan Dabat menerima kedatangan tiga orang lelaki berpakaian kemas, bersongkok; dengan batang tubuh yang sihat-sihat. Mereka membesi salam padanya dan ia menjawab salam mereka itu dan terus menerangkan bahawa ia bukannya seorang dukun dan tidak percaya pada ilmu kedukunan; bahawa ia terdidik dengan ilmuilmu moden, sains dan logika: ia tidak berkuasa menyembuhkan sebarang penyakit.

“Adalah tidak logik dengan hanya menyentuh anggota yang berpenyakit lalu penyakit itu sembuh serta-merta!” jelas Dabat sambil membongkokkan dirinya sedikit. Ia memandang mereka dengan mata yang menusuk tajam. “Tapi untuk tidak membuang waktu – kamu sakit apa? Kamu kelihatannya sihat-sihat belaka. Ah, barangkali kamu mahu lebih sihat daripada sekarang ini. Mari, biar aku merawati kamu, untung-untung hajat kamu itu terkabul. Tapi aku bukan dukun. Tanganku yang membuat gara-gara ini hanyalah penyebab dan tidak berkuasa memberi bekas!”

“Ya, ya hanya Allah yang berkuasa memberi bekas,” kata seorang dari orang-orang yang bersongkok itu. “Kami ini pegawai-pegawai agama yang ditugaskan untuk membuat penyiasatan – mana tahu ilmu yang kauamalkan ini adalah dari ajaran sesat!”

“Aku tidak percaya pada ilmu yang tidak saintifik,” kata Dabat sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Aku bukan dukun dan tidak suka pada apa yang kulakukan ini kerana ia tidak logik dan tidak masuk pada akalku! Aku tidak mahu meneruskan pekerjaan ini. Aku sudah mempunyai pekerjaan yang munasabah dan bergaji lumayan!”

Pegawai-pegawai agama itu kebingungan sebentar.

“Aku tidak setuju dengan apa yang kulakukan hi,” tegas Dabat. “Aku hanya terpaksa. Orang-orang ramai itu tidak mahu pergi selagi aku belum merawat mereka!”

Kemudian ia menceritakan tentang bagaimana bermulanya semua itu – petang ia dipanah petir.

Ceritanya ini telah dengar oleh beberapa orang yang berada di luar dan cerita itu dengan sekelip mata tersebar luas dari mulut ke mulut sehingga beberapa hari kemudian tersebar pula berita-berita tentang beberapa orang pemuda yang mati disembar petir. Tiba pada penghujung minggu itu bilangan kematian akibat dipanah petir mencapai jumlah lima puluh orang. Belum ada seorang pun berjaya menjadi Dabat kedua.

Pegawai-pegawai agama itu kembali tanpa dapat berbuat apaapa. Tak ada bukti yang Dabat mengamalkan sebarang ajaran sesat.

Dabat terus terpaksa merawat segala macam penyakit dengan tidak meminta sebarang bayaran lagi kerana taktik itu gagal mencegah orang-orang dari terus mengunjunginya, tapi ia terus saja diberi wang yang agak lumayan juga.

Setelah beberapa bulan tidak melaporkan diri di pejabat, ia menerima surat pemecatan dari jawatannya. Hal itu ditenggelami oleh perasaan leganya apabila ia mendapati bilangan pesakitnya kian hari kian berkurangan dan yang datang itu pun hanyalah orang-orang yang menghidapi penyakit ringan, yang sudah bosan menelan pil-pil yang tidak mujarab yang dikeluarkan oleh klinik-klinik di sana sini.

Sekali lagi dengan perasaan yang amat hairan Dabat menerima kedatangan seorang lelaki berpakaian kemas yang berbadan sihat, berdahi luas, bermata cerah, berperawakan pintar dan tegas. Lelaki yang berumur dalam lingkungan empat puluhan itu mengadu bahawa tengkuknya yang besar itu menghidapi sejenis penyakit yang menyebabkan kepalanya mengangguk-angguk setiap minit sama ada ia sedang tidur atau jaga.

“Bayangkanlah,” kata lelaki itu dengan nada suara yang sangat berwibawa. “Betapa seksanya kau jika terpaksa mengangguk-anggukkan kepalamu sebanyak 1,440 kali dalam sehari untuk seumur hidupmu. Aku sudah sengal mengangguk-anggukkan kepalaku. Aku terpaksa mengangguk-anggukkan kepalaku juga sekalipun aku sebenarnya amat tidaksetuju tentang sesuatu perkara itu.”

Setelah enam jam tanpa putus-putus mengurut dan mengusap tengkuk lelaki itu, sehingga peluhnya berpercikkan dan sehingga lelaki itu mula menampakkan tanda-tanda tidak senang kerana tengkuknya diperlakukan sewenang-wenang tapi kepalanya masih tetap mengangguk-angguk setiap minit, Dabat mulai terfikir bahawa tengkuk lelaki itu sebenarnya tidak menghidapi apa-apa. Dengan fikirannya yang telah terdidik dengan ilmu-ilmu moden sains, dan logika itu Dabat merumuskan sebuah teori yang terus dikemukakannya kepada lelaki itu.

“Keolahan tengkuk saudara ini hanyalah simptom bagi satu penyakit yang lain,” kata Dabat dengan serius. “Merawat simptom tidak akan menyembuhkan penyakit yang sebenar kerana simptom itu hanyalah akibat – kita mesti merawat sebabnya. Mari, biar saya sentuh kepala saudara kerana jiwa itu letaknya di dalam kepala. Saudara sebeharnya sakit jiwa!”

Secepat kilat lelaki itu berpaling dan menampar mulut yang celupar itu. Dabat tersungkur di atas lantai. Lelaki itu memiliki tapak tangan yang besar dan tebal.

“Tiada sesiapa yang boleh mengatakan aku sakit jiwa!” pekik lelaki itu. “Kaulah yang sakit jiwa berlagak jadi dukun mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain!”

Dabat memalit darah yang mengalir dari mulutnya. Ia baru tersedar (dan kesedaran itu selalunya datang terlewat) bahawa kebenaran itu jika terlalu pahit untuk ditelan akan diludahkan pada orang yang mengatakannya disertai dengan kekasaran fizikal.

Lelaki itu pergi dari situ dengan marah-marah.

Untuk memuaskan hatinya yang panas, Dabat menjenguk ke luar pintu dan memekik pada lelaki yang masih belum jauh itu.

“Saya boleh merawat jiwa saudara yang sakit itu kalau saudara mau! Dengan percuma!”

Lelaki itu berpaling ke belakang dan meludah dengan kasar kemudian mengangguk-anggukkan kepalanya dan terus pergi dari situ.

Dabat masuk semula. Bibirnya terasa pedih dan sakit.

“Aku bukan dukun,” rungutnya. “Tapi oranglah yang senghaja datang berubat padaku.”

Apabila ia menengok mukanya di dalam cermin ia mendapati mukanya sudah memiiiki seratus peratus perawakan seorang dukun, dengan janggut yang liar, mata yang merah, rambut yang kasar dan kering tidak seperti asalnya – lembut dan lurus.

Ia meraba-raba bibirnya yang luka dan berdarah itu dengan hujung jarinya. Bibir itu serta-merta sembuh tanpa meninggalkan sebarang parut.

“Ah, aku sudah menjadi dukun,” katanya sendirian. Suaranya pun sudah berubah. “Sama ada aku percaya atau tidak, aku sudah menjadi seorang dukun.”

AMBILLAH

Bahana September 1986

MULA-MULA ORANG-ORANG miskinlah yang datang atas panggilan Dang Ambun setiap malam untuk mengaminkan doa yang dibacakan oleh orang alim dan untuk dijamu makan dengan makanan yang hanya pernah mereka dengar sebelum ini dan mereka disedekahkan seketul emas tiap seorang sebelum pulang, yang mereka terima dengan malu-malu dan ragu-ragu kerana belum pernah memegang benda semewah ini.”Ambillah.” Dang Ambun terpaksa mendesakkan ketul emas ini ke telapak tangan mereka seorang demi seorang sambil menahan pedih pilu di hatinya mengenangkan anaknya yang belarai jauh.

Berita kemurahan hatinya ini, bahawa setiap orang yang datang mengaminkan doa untuk anaknya akan disedekahkan seketul emas, mula tersebar luas di darat dan di laut sehingga orang mulai datang, mula-mula sedikit kemudian berduyun-duyun setiap hari tanpa perlu dijemput lagi, ke rumah besar di tengah-tengah Kampong Ayer ini, dengan perahu yang sarat dengan penumpang atau berkayuh seorang diri dengan jumpung buruk dan ada yang berenang menyeberangi Sungai Brunei ini sehingga jiran sebelah-menyebelah merasa risau melihat keadaan ini dan menasihatinya supaya hubaya-hubaya dalam menabur-naburkan sedekahnya kepada orang ramai yang terus-menerus datang tak kira hujan atau panas.

“Mereka hanya mau mengambil kesempatan,” kata jiran-jirannya.

Tapi Dang Ambun cuma menjawab bahawa hanya dengan doa yang diaminkan oleh orang-orang susah yang datang ini sajalah anaknya Si Manis akan selamat di dalam pelaraiannya dan hanya dengan bersedekah seperti ini sajalah hatinya akan tenteram. Sejak hari itu ia tidak mahu mendengar nasihat sesiapa lagi dan ia lebih banyak mendiamkan diri merawat perasaan pilunya. Cakapnya hanya sepatah:

“Ambillah,” katanya dengan sedih sambil terus menghulurkan sedekah dan mengesat matanya dengan perca sutera meskipun air matanya sudah lama kering sejak sepurnama anaknya pergi dengan jong besar yang sarat dengan barang-barang yang akan diniagakan ke negeri orang untuk menambah kekayaan dan mencari isteri secantik Puteri Laila Menchanai, meninggalkannya seorang diri kadangkala berhari-hari lupa makan dan mandi sehingga rambutnya kusut dan pakaiannya kumal, sentiasa memasang telinga kalau-kalau ada berita tentang anaknya ini, yang dibawa oleh orang-orang yang terus datang untuk mengambil sedekah darinya dan bukan datang untuk mengaminkan doanya lagi yang mulai menyangkanya sudah kurang siuman terus-menerus menaburkan harta bendanya seperti ini.

“Ambillah!”

“Ambillah!”

“Ambillah!”

Orang terus datang beramai-ramai mengambil sedekah darinya dan nyanyat datang lagi. Orang-orang tua dipapah, anak-anak kecil dituntun, berbaris tanpa putus di sepanjang titian pail dari setiap penjuru menuju ke rumah besar tujuh pintu ini, sehingga titian tua ini bergoyang-goyang kerana hampir-hampir tidak mampu memikul beban yang kian bertambah, yang menyebabkan para wanita berkeriau takut tercampak ke dalam air dan para lelaki dengan kambang lebih heboh menenteramkan mereka, menyuruh setiap orang supaya bertenang, bertenang, bertenang dan jangan tergopoh-gapah kerana harta peninggalan suami Dang Ambun, tujuh gedung di laut tujuh gedung di darat tidak akan habis dalam dua tiga hari ini dan jangan susah kerana anaknya Si Manis belum akan pulang buat beberapa pumama lagi untuk menghentikan kedermawan ibunya ini dan setiap orang pasti akan ampit bahagian dan kepada sesiapa yang sudah menerima sedekah pergilah cepat-cepat kerana masih ramai lagi orang yang menanti peluang pada kesempatan yang jarang-jarang berlaku seperti ini.

“Ambillah!”

“Ambillah!”

“Ambillah!”

Lelaki berbaris di sebelah kiri, perempuan di sebelah kanan dan kanak-kanak di tengah-tengah, sibuk bercakap memuji akan kemurahan Dang Ambun menabur harta kepada orang-orang susah dan berbisik-bisik kenapa tidak banyak lagi hartawan menjadi tak siuman sepertinya, sehingga Dang Ambun yang pendengarannya kian hari kian bertambah tajam akibat terlalu mengintai-intai dengar kalau-kalau ada berita tentang Si Manis, merasa amat terkilan dan lebih sedih lagi memikirkan gelagat mereka yang kehilangan pertimbangan akal kerana ghairah sangat hendak mendapatkan harta sedekah darinya, mereka yang sepatutnya menghiburkannya atau sekurang- kurangnya memahami akan kepiluan dan kerinduannya terhadap anak tunggalnya yang entah bila akan pulangnya dan kenapa tidak muncul seorang wira dari beratus-ratus orang yang datang ini untuk membela dan melindunginya dari dirinya sendiri yang kehilangan daya upaya dipukul rindu dan pilu dan dari terus-menerus diambil kesempatan kerana orang-orang yang datang ini sudah bukan lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan yang datang untuk mengaminkan doanya kerana ia sudah berhenti berdoa kecuali di dalam hati, akan tetapi mereka adalah orang-orang senang berpura-pura susah, orang-orang kaya berpakaian miskin, orang-orang muda berpura-pura tua, orang-orang tua berpura-pura uzur, orang-orang kuat berlagak lemah, orang-orang seratus kali datang berpura-pura baru pertama kali datang, orang-orang pertama kali datang bertekad akan datang seratus kali lagi, orang-orang yang tidak tahu apa-apa berpura-pura tahu segala-galanya, orang-orang yang tahu apa yang berlaku berpura-pura tak tahu apa-apa kerana mereka tahu bahawa berlagak bodoh itu kadangkala lebih menguntungkan daripada berlagak pandai, dan orang-orang asing mencelah di sana sini me-nyamar menjadi orang-orang tempatan mencuri kesempatan mengaut hartanya sewenang-wenang tapi ia tidak dapat berbuat apa-apa kerana setiap kali memikirkan hal ini rasa pilu dan rindu kian memudar hilang sedangkan pilu dan rindu ini sajalah penyambung antara ia dengan anaknya Si Manis yang belarai jauh ke negeri orang dari Sambas ke Filipina dari Laut Jawa ke Laut Cina, dengan jong besar mengembara mencari kemasyhuran setanding Nakhoda Ragam, mencari isteri secantik Puteri Laila Mencanai, meskipun gadis-gaids cantik amat banyak di negeri sendiri, berniaga mengaut keuntungan dan menambah kekayaan yang tidak akan pernah cukup walaupun harta tujuh gedung di darat tujuh gedung di laut peninggalan suaminya yang mad dibunuh penyamun semasa mengembara dan belarai membawa barang-barang dagangan dari satu tempat ke satu tempat dengan ketokohan seorang ahli pemiagaan yang berwibawa yang kini dijejaki dan diwarisi oleh anaknya Si Manis, kekayaan yang menjadi iri hati setiap orang ini sudah melebihi dari cukup untuk mereka dua beranak hidup mewah seribu musim tanpa perlu melakukan apa-apa kerja, tanpa anaknya ini perlu belarai ke mana-mana meninggalkan ia seorang diri menanggung rindu dan pilu, berdoa dan bersedekah terus-menerus menabur harta dan wang beribu-ribu perak sehingga orang datang beramai-ramai mengambil kesempatan, dan ia enggan berbuat apa-apa selain dari membiarkan saja mereka seperti ini dan membiarkan perasan rindunaya kepada anak kesayangannya ini tidak akan memudar hilang, meskipun ia merasa perlu bangkit untuk membetulkan yang pincang dan menyedarkan mereka dengan panjang lebar betapa tamak pada harta benda dan kekayaan itu punca keruntuhan tatasusila dan hidup bermasyarakat dan punca kehancuran manusia di mana-mana, tapi kata-kata yang keluar dari mulutnya hanyalah patah perkataan yang sama:

Ambillah.

Ambillah.

Ambillah.

Emas, perak, permata berpeti-peti ada di bilik sana; beras, garam, gula berguni-guni cari di hujung itu; pakaian sutera ulat dari Negeri China dan kain batik dari Jawa yang belum pernah dipakainya dan tak akan habis dipakainya untuk berpuluh-puluh musim lagi itu angkutlah semuanya; periuk belanga dari perak dan tembaga yang masih baru dan berkilau, permaidani tebal berwama-wami buatan Parsi dan India, kasut dari kulit kijang beratus pasang, senjata api panjang dan pendek, laras satu atau dua beratus pucuk, keris seribu kelok berhulukan ukiran cantik dari gading tak retak seribu bilah untuk berbunuh-bunuhan, kapal layar, tongkang, jong dan perahu berpuluh-puluh buah peninggalan suaminya, di perairan Brunei, yang masih penuh dengan barang dagangan yang tidak sempat diniagakan, ambillah kesemuanya, dan jangan lupa harta tujuh gedung di darat, tanah beratus-ratus ekar, lembu dan kerbau beribu-ribu ekor, sehingga orang kian giat mengambil habuan masing-masing, berebut-rebut takut tidak ampit, bergaduh, tipu-menipu, ugut-mengugut, tindas-menindas kerana inilah saja masanya mereka berpeluang melampias nafsu ingin pada kekayaan yang telah sekian lama terpendam dan tertekan oleh kesukaran-kesukaran yang tidak dapat mereka atasi dan kerana sumber kemewahan yang mereka kauti ini kian hari kelihatan kian berkurangan dan pasti akan habis pada satu hari nanti sedangkan kemewahan, harta dan kekayaan tidak akan pernah mencukupi sampai bila-bila; orang miskin banyak yang menjadi senang dan belum puas dengan kesenangan itu, orang yang sedia senang tak tahan hati melihat ada orang lain yang lebih kaya, dan orang kaya tak mahu kalah ikut serta tanpa segan-silu mengambil sedekah yang ditabur-taburkan ini kerana mereka lebih awal tahu bahawa kekayaan itu berjalan seiringan dengan kekuasaan: siapa yang lebih kaya ialah yang lebih berkuasa menentukan itu ini di dalam hidup ini, menghukum atau membatalkan hukuman, menekankan undang-undang kepada orang ini dan tidak kepada orang itu, sehingga Dang Ambun kadangkala merasa sedih lalu tiba-tiba meraung menangis melihat semua ini dan kadangkala merasa amat lucu juga lalu tertawa kuat-kuat sehingga gigi-gigi emasnya dan kerongkongnya jelas nampak dan budak-budak bertempiaran lari dan berterjunan ke dalam sungai kerana takut dan orang-orang dewasa kini yakin bahawa ia sudah seratus peratus tak siuman.

Dang Ambun kadangkala tersenyum-senyum sendirian memikirkan bahawa bagi orang siuman orang gila itu gila dan bagi orang gila orang siuman itu gila dan ia jadi seperti ini hanyalah kerana anak tunggal kesayangannya belarai jauh berdagang mencari dan menambah harta kekayaan dan orang ramai menjadi seperti ini hanyalah kerana terlalu ghairah mahu menambah harta benda masing-masing dari harta kekayaan yang disedekahkan dan ditabur-taburkannya ini.

“Ambillah!”

“Ambillah!”

Diambillah segala harta bendanya sampai kepada perhiasan-perhiasan dinding, ukiran-ukiran kayu di depan pintu, segala perabot: katil, almari dan peti-peti yang sudah ternganga kosong, bahkan perca sutera yang dipakainya mengesat mata yang sudah kering dan merah pun diambil orang, habis kikis kesemuanya dan ia hanya mampu termangu di suatu sudut dengan hanya berpakaian sehelai sepinggang, memandang keadaan keliling yang lengang, dengan gerakan kepala yang amat perlahan dan sayu, dengan mata yang hanya berkerlip sekali-sekala, sunyi dan sepi, tidak ada orang yang mahu datang lagi, kalaupun ada mereka hanya menjenguk sebentar kemudian pergi dengan kecewa kerana tiada apa-apa lagi yang dapat diambil dan ia pun sedar bahawa sudah habislah hartanya: tiada apa-apa lagi yang hendak disedekahkan; tapi ada lagi sekeluarga datang menyatakan bahawa mereka baru sampai dari jauh, dari luar negeri dan hendak bermastautin di Kampong Ayer ini, bertanyakan kalau-kalau rumah besar tujuh pintu ini hendak disedekahkan.

“Ambillah” kata Dang Ambun.

Dengan jumpung buruk yang hanya muat seorang, ia berkayuh pindah ke sebuah rumah tua yang sudah tidak dihuni lagi, yang atapnya miris waktu hujan dan lapang tak berdinding di sana sini, menyedari bahawa setiap hari mulai saat ini, ia akan terpaksa berkayuh ke pelabuhan kerana orang tidak akan menjenguknya lagi membawa berita tentang anaknya Si Manis.

Di pelabuhan ini ia duduk, kadangkala berhari-hari tidak pulang ke rumah. Tubuhnya kian hari kian kurus dan kelihatan amat tua. Rambutnya dibiarkan terburai menggerbang dan kusut. Pakaiannya koyak dan bertampal-tampal di sana sini.

Dengan pendengarannya yang sudah amat tajam ia mendapat tahu bahawa anaknya kini sudah berjaya menjadi seorang saudagar muda yang kaya-raya terkenal ke ceruk rantau ke seluruh Nusantara, ke empat-empat penjuru mata angin. Tak menyesallah ia menabur-naburkan harta bendanya bersedekah sehingga ia menjadi papa kedana seperti ini, tapi ia merasa amat terkilan apabila mendengar ada orang mengatakan bahawa anaknya, yang kini sudah dikenali sebagai Nakhoda Manis ini akan menjadi seperti Si Tanggang di Tanah Melayu atau seperti Malim Kundang di Tanah Jawa yang baru-baru ini ketulahan, kerana malu mengakui ibunya sendiri yang compang-camping macam pengemis di depan isterinya, seorang gadis jelita yang berhias dari kepala hingga ke kaki dengan emas permata yang berkilauan, anak seorang saudagar kaya; hanya bezanya Si Tanggang dan Malim Kundang berasal dari keluarga miskin, merantau kemudian menjadi kaya, tetapi ia, Si Manis, berasal dari orang kaya merantau dan jadi bertambah kaya, kerana kata mereka, bukankah kekayaan dan kemewahan itu apabila sudah mendarah daging akan menyebabkan seseorang itu cepat hilang pertimbangan kemanusiaannya dan menjadi bongkak melulu.

“Si Manis akan mengarahkan anak-anak buahnya menghalau ibunya yang melarat itu.”

“Dan cepat-cepat akan membongkar sauh untuk belayar semula.” Mereka mengandaikan.

Dang Ambun merasa sedih dan kadangkala risau mendengar perbualan mereka. Bagaimana jika ramalan-ramalan mereka ini menjadi benar dan anaknya ini tulah menjadi batu, kerana di Brunei belum ada lagi anak yang ketulahan seperti di Tanah Melayu dan Jawa, untuk menjadi pengajaran kepada anak-anak muda yang belarai jauh dan kembali membawa harta kekayaan dan isteri jelita berbangsa asing, ambung terhadap ibu sendiri yang mengandunginya selama sembilan bulan, berpantang mengongkong segala keinginan dan kemudian mengidam benda-benda aneh yang di luar musim dan sukar didapati, melahirkannya dengan susah dan sakit, tulah kerana ia tidak menghalalkan kepadanya air susunya yang telah membesarkannya, dunia dan akhirat?

Kemudian ia terfikir bahawa setelah mereka mengambil habis hartanya, kini mereka hendak mengambil anaknya pula dengan membuat andaian-andaian dan mereka-reka cerita yang ia tidak akan mengakui Si Manis sebagai anak kandungnya lagi, yang amat memilukan dan mengecutkan hatinya kerana hanya Si Manis ini sajalah yang tinggal menjadi miliknya, yang bakal menjaga dan memeliharanya kemudian.

Kadangkala ia ketawa, kurang pasti sendiri apakah ia masih siuman atau tidak apabila melintas fikirannya bahawa apa yang telah dan akan menimpanya ini adalah tak benar, tak pernah dan tak akan berlaku, tapi semuanya hanyalah cerita-cerita yang direka-reka tentang dirinya dan anaknya yang didengarnya di pelabuhan ini, semuanya hanyalah sebuah dongengan yang akan dipertuturkan dari generasi ke generasi.

LAWWAMAH

Bahana November 1986

AKU bagaikan mati. Jari-jemariku kaku. Jasadku terbelenggu dihimpit ruang sempit dan lidahku terbujur bagai mayat di dalam mulutku. Tembok kukuh di sekelilingku.Kucari-cari nafas di dalam dada. Tak ada. Kupekakan diri. Kudapati jantungku mati. Hatiku beku. Nadiku hilang denyut.

Matikah aku? Tapi dari mana datangnya perkataan-perkataan ini? Dari mana datangnya pertanyaan-pertanyaan ini? Siapa yang berkata-kata – akukah?  Siapa yang bertanya-tanya  – akukah?

Siapa aku?

Akukah aku?

Kuketuk pintu hati meminta jawapan. Hati membeku terus: keras dan hitam. Kubuka mata – gelap yang pekat menutupi pemandanganku: aku tak nampak diriku.

Sudah butakah aku? Atau hatikukah yang buta? Akan lebih butakah aku di Akhirat dan lebih tersesatkah jalanku?

Kujenguk ke dalam diri.  Aku terlihat  seribu aku sibuk dengan sejuta urusan,  berkejaran ke sana ke mari dengan nafas yang sudah tersemput-semput,  dengan kaki-kaki yang menderap melangkah cepat, dengan tangan-tangan yang bergerak melimbai  pantas.  Tiada  seorang  aku  yang  tidak  berbuat sesuatu.

Sekumpulan aku menungkat  langit membina  pencakar  alam seribu tingkat, sekumpulan aku mandi keringat mengorek bumi seribu batu lalu kukatakan Allahlah yang berkuasa di langit dan di bumi, milik-Nyalah segala apa yang ada di antara kedua-duanya. Sekumpulan aku ria memuja diri setinggi-tinggi, melangkah megah dan angkuh,  sekumpulan aku mengampumuja seorang aku yang lain lalu kukatakan  segala  puji-pujian hanyalah untuk Allah, Dialah yang meninggikan darjat dan merendahkannya. Sekumpulan aku mengumpul dan mengira laba dengan rakus sehingga lupa diri lalu kukatakan kepunyaan Allahlah segala kekayaan, Dialah yang berkuasa memberi dan menahan  rezeki  kepada  sesiapa  yang  dikehendaki-Nya  dan kepada-Nyalah akan kembali segala sesuatu. Sekumpulan aku berlumba-lumba  menghias  diri  dengan  emas  permata  lalu kukatakan sebaik-baik perhiasan ialah takwa yang  ada di dalam dadamu.  Sekumpulan aku diam-diam melakukan mungkar lalu kukatakan tiadalah yang tersembunyi dari pengetahuan Allah,  Dia maha melihat  segala  sesuatu.  Sekumpulan  aku menuruti hawa nafsu semahu-mahu lalu kukatakan bahawa musuh yang paling utama kaulawan ialah nafsu yang ada di dalam tubuhmu.

Tiba-tiba  seribu  aku  menyerbu  dengan  mata  terbelalak marah.  Mengacu-acukan  penumbuk  ke  udara.  Memekik  dan membentak menggegarkan suasana.  Gegaran yang menjalar ke perut  bumi  lalu  menjelma  semula  menjadi  gempa  yang menggoncangkan  lalu  ranap-sujudlah  seribu  bangunan  dan aku-aku membengis  seribu kali  ganda menempik mengatakan bahawa  kesialan  yang  menimpa  mereka  itu  adalah  kerana peringatan-peringatanku.

Aku-aku membentak marah:  “Jika kau tidak berhenti dari memberi peringatan-peringatan nescaya kau kami rejam. Dan kau pasti akan mendapat siksa yang amat pedih dari kami'”

Lalu  kuserukan:  “Orang-orang  zalim  akan  dikembalikan kepada Allah. Lalu Allah menyiksanya dengan azab yang tidak ada taranya!”

Aku memandang aku-aku yang mula mengepungku dari segenap jurusan. Tangan-tangan mereka sedia terangkat mau memukul. Seribu muka berkedut bengis mengasak-asak dan seribu pasang mat berapi menusukku dari setiap penjuru.

“Dunia ini adalah hak milik kami'”

“Kami tidak akan menolak kelazatan-kelazatannya!”

“Segala kemewahan dan kesenangan adalah dari usaha dan kekuatan ilmu kami!”

“Peringatan-peringatanmu hanya akan membawa kesialan!”

“Kesialan  yang  menimpa  kamu  adalah  dari  perbuatan-perbuatan tangan kamu sendiri,” kataku dengan lantang. “Kamu memuja diri dan nafsu. Kamu menyembah bumi dengan segala isi-isinya!”

“Kami tidak mau mendengar peringatan-peringatanmu!”

Lalu kuserukan kepada mereka tentang bagaimana Allah telah bertindak terhadap kaum Aad dari kota Iram yang membina bangunan-bangunan tinggi yang belum pernah diciptakan di mana-mana. Dan terhadap kaum Tsamud yang membelah batu-batu di  lembah.  Dan  terhadap  Firaun yang memiliki  bangunan-bangunan yang hebat, yang melanggar batas dan banyak berbuat kerosakan. Lalu ditimpakan ke atas mereka deraan berbagai azab!

Seruanku tenggelam oleh gegak-gempita luapan amarah aku-aku. Suara-suara mereka bergema riuh berbaur dengan pekikan dan maki hamun.

Seorang aku melangkah megah ke tengah mendepaniku. Kulihat pakaiannya diperbuat daripada sutera yang mahal. Jam tangan dan pen di kocek bajunya  bersalut  emas.  Tubuhnya  penuh berisi. Perutnya gendut.

“Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di  dunia saja,” katanya dengan mata yang bersinar-sinar. “Kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa!”

Aku-aku  bersorak  memenangkannya.  Mereka  memekik-mekik mengatakan bahawa tiadalah mereka memerlukan sesiapa selain dari diri mereka sendiri.

Lalu kukatakan: “Syaitan telah menguasai diri kamu, maka ia telah melupakan kamu dari mengingat Allah!”

Aku-aku menyerbu, menyergah sambil melontarkan batu ke arahku. Aku mencari jalan keluar dari aku-aku yang dikuasai amarah. Kepungan mereka kian menghimpit.

Tiba-tiba dari satu penjuru seorang aku merempuh masuk dan kemudian dengan tenang mangangkat tangan menyuruh setiap aku supaya bertenang dan mengatakan bahawa mereka semua sudah jauh tersesat.

“Dengarkanlah  peringatan-peringatannya,”  katanya  dengan perlahan. Mukanya jernih seolah-olah diterangi oleh cahaya halus. Pakaiannya dari suf kasar yang putih bersih.

Perhatian aku-aku beralih ke arahnya. Dia terus bercakap tanpa gentar akan aku-aku yang kian marah meluap-luap.

“Kau juga sepertinya,” kata aku-aku. “Kau hendak merampas segala kelazatan dan kemewahan yang kami nikmati.”

“Kami rela memberikan  sebahagian daripadanya kepadamu, asalkan kau pergi dari sini!” kata yang lain.

“Kami akan memberikan emas kepadamu!”

“Rumah besar!”

“Kedudukan tinggi!”

“Wang dan kekayaan!”

Dia memandang mereka  semua  dengan  sepi.  Angin  lembut menyapu mukanya bersih.

“Aku  tidak  berkehendakan  selain  dari  apa  yang  telah dikurniakan Allah kepadaku,” katanya.  “Tiadalah aku akan mengikuti  kamu  menyembah  hawa  nafsu  dan  harta  benda. Tiadalah kedua-duanya itu akan dapat memberi syafaat, tidak pula memberi pertolongan kepadaku jika Allah menghendaki kemudaratan ke atasku!”

Tiba-tiba   mereka   melompat   menyerbunya   serentak memuntahkan tempikan dan maki hamun.

“Bunuh!”

“Jangan biarkan dia hidup!”

Mereka membunuhnya sebelum aku sempat berbuat apa-apa. Mereka mencengkam tubuhnya. Mereka memotong-motong dagingnya hingga berkecai. Mereka mengeluarkan jantung dan hatinya, mengunyah-ngunyahnya lalu menghamburkannya ke atas tanah. Kemudian  mereka  berpaling  membuat  kepungan,  memandangku dengan mata-mata yang bersinar merah dahaga darah.

Seketul batu besar melayang mengenai kepalaku. Aku tersungkur. Seribu aku menyerang. Menerkam dan mencengkam.

“Allah!”

Mereka  mengheretku  dengan  kekerasan  dan  kebengisan: bersorak riuh-rendah.

“Mari ikut kami!”

“Mari!”

“Akan kami perlihatkan kepadamu segala kemewahan-kemewahan yang kaubenci itu!”

“Aku tidak membenci kemewahan,” kataku. “Tapi bermegah-megah kerana banyak harta dan pengikut telah menjadikan kamu lalai!”

Seribu aku menerkam tindih bertindih di atasku.  Hiruk-pikuk dengan amcaman mau membunuh,  amat  benci  mendengar peringatan-peringatanku. Aku merasa seperti dihimpit bebanan yang berat. Jasadku tidak dapat kugerak-gerakkan lagi.

Kupejam mata rapat-rapat. Kusebut nama Tuhan – seratus, seribu, sejuta kali. Kubisik terus nama-Nya dengan halus.

Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah. Allah.

Keheningan  turun  seperti  gerimis.  Rintik-rintik  halus lembut menyirami hati.

Kehirukpikukan ancaman aku-aku menjadi  senyap.  Bebanan himpitan melayang hilang.  Sakit  dan pedih  luka-luka  di tubuhku lenyap.

Kurasa diriku ringan dan terapung-apung seperti gumpalan awan yang kemudian menjadi angin dingin yang amat kencang, yang  menimpa  kaum  Aad  selama  tujuh  malam  lapan  hari terus-menerus, dan mereka mati bergelimpangan seakan-akan tunggul-tunggul korma yang telah kosong.

Aku menjadi guruh yang keras dan dahsyat, yang meranapkan kaum Tsamud.  Jadilah mereka seperti rumput-rumput kering kandang binatang.

Aku  menjadi  tongkat  yang  memukul  lautan.  Terbelahlah lautan dan tiap-tiap belahan seperti gunung besar,  yang menenggelamkan Firaun berserta pengikut-pengikutnya.

Aku  kembali  ke  dalam  diriku  dan  mendapati  aku-aku berkaparan dan bergelimpangan mati,  yang  selamat  sempat bertempiaran lari.

Tembok  kukuh  runtuh.  Belenggu  membelit  jasad  terbuka lepas.  Jari-jemariku bergerak.  Ruang menjadi  lapang dan terang. Nafas kembali ke dalam dada. Denyut pulang ke nadi.

Aku sujud pada Ilahi.

Tiada tuhan melainkan Allah.

SAYAP

Bahana Mac 1987

KECUALI KEDUA-DUA sayapnya ini, keseluruhan tubuh Sarkawi adalah manusia. Sehinggalah pagi tadi, ia hanyalah seorang lelaki biasa pertengahan umur, yang selalu sakit-sakit. Rambutnya sudah menipis di tengah-tengah kepala dan disembunyikannya hampir-hampir sepanjang masa dengan memakai songkok yang menjadikannya kelihatan sedikit warak ditambah lagi dengan perawakannya yang lembut dan murah dengan senyuman dan sama sekali tidak pernah bersungut tentang keadaannya – ia kadangkala dengan secara terbuka pula memuji segala-galanya sehingga orang yang mendengamya akan merasa yakin ketika ini bahawa mereka bukan sedang tinggal di bumi, di Kampong Anu, tapi di syurga di mana mereka boleh meminta apa saja, dengan hanya memikirkannya – semua kemahuan jatuh dari langit seperti hujan.”Kadangkala,” kata Syakinah isterinya, “ia akan seolah-olah berkata bahawa kehidupan sekarang ini mengalahkan kehidupan di syurga!”

“Memang kehidupan di dunia ini tidak seratus peratus memuaskan bagi setengah-setengah orang,” kata Sarkawi kepada isterinya ini pada satu hari. Syakinah yang masih kelihatan muda ini sudah merasa bosan. “Tapi itu bukan bererti kita tidak boleh bersyukur.”

Siapakah yang lebih berwibawa untuk berkata seperti ini selain dari Sarkawi yang berkaca mata putih, berdahi tinggi dan luas ini? Hampir separuh dari umumya telah dihabiskan dengan berbaring di atas katil kerana kerapkali jatuh sakit, sejak dari berumur dua belas tahun selepas berkhatan dan selepas secara rasmi diisytiharkan sebagai anak jantan yang mempunyai fikiran-fikiran sendiri dan diberitahu bahawa mulai saat ini tidak ada lagi alasan dan dalih-dalih; ia bertanggungjawab sepenuhnya di atas segala perbuatannya. Ketika kesan bius sudah mulai hilang dan bisa khatannya ini mulai terasa, bapanya telah memberitahu, antara berjenaka dengan tidak, bahawa jika sekiranya ia menyebabkan seorang gadis hamil di luar nikah maka ia sendirilah yang akan memikul hukumnya.

“Kau bebas berfikir dan menggunakan fikiranmu itu,” sambung bapanya kemudian dengan serius. “Mulai sekarang aku izinkan kau menjawab balik dan mendebat cakapku jika kau tidak bersetuju!”

Tapi Sarkawi tidak pernah mendebat bapanya ini atau orang lain walaupun di dalam hal-hal yang paling tidak disetujuinya kerana katanya jika ada seratus orang berbincang tentang satu perkara maka sudah tentu ke seratus-seratus orang ini akan mempertahankan pendapat masing-masing, yang besar kemungkinannya saling bercanggahan pula.

“Setiap orang akan merasakan dirinya betul dan orang lain kesemuanya silap,” katanya. “Akhimya semua orang betul dan semua orang silap dan setiap orang kemudian akan tunduk pada siapa saja yang paling kuat gertaknya.” la sudah lama menjadi orang yang tidak pernah bertengkar, sentiasa menghormati fikiran orang lain dan sudah siap sedia untuk menganggukkan kepala jika inilah yang dikehendaki darinya.

“Sehingga kadangkala,” kata Syakinah semasa berbual dengan peradian perempuannya ketika mereka membanding-banding dan bercakap tentang suami masing-masing. “la kelihatan sudah pun bersetuju sebelum orang bercakap lagi.”

“Tapi ia seorang suami yang baik bukan?”

“Ya,” jawab Syakinah menundukkan kepalanya sedikit. la juga seorang isteri yang baik, sedapat-dapatnya tolong membantu dalam menyarai perbelanjaan sekeluarga. “Cuma saja ia kerap jatuh sakit.”

Pertama kali Sarkawi jatuh sakit, sebulan selepas berkhatan dan diistihyarkan anak jantan yang mampu membuntingkan anak dara orang dengan nikah atau tanpa nikah, ia terlantar di atas katil selama tiga ratus hari terus-menerus. Cuma matanya yang bergerak. Sepuluh orang doktor dan dukun telah dipanggil berganti-ganti, yang merumuskan sepuluh macam diagnosis yang berbeza-beza dan bertentangan antara satu dengan yang lain dan menderanya dengan sepuluh jenis rawatan yang berat-berat apabila rawatan permulaan tidak mendatangkan kesan: lengannya disuntik dengan sepuluh jenis ubat sepuluh kali sehari selama sepuluh hari berturut-turut oleh seorang doktor yang tidak pernah berputus asa, ia diberi minum ramuan pahit dari akar dan daun yang hanya diketahui oleh dukun yang berguru dengan orang-orang bunian, seorang doktor lain yang merasa kewibawaannya tercabar telah memberikannya seribu jenis pil yang boleh menyembuhkan seribu jenis penyakit dengan harapan satu daripadanya akan menyembuhkan Sarkawi, seorang pakar jiwa merawatnya secara ‘electro-convulsive therapy’ dengan seratus wayar yang membawa kejutan-kejutan elektrik untuk ditujukan ke otak dilekatkan pada saraf-saraf di kepala dan di kedua-dua pelipisnya kerana ia percaya bahawa kesemua penyakit di dunia ini adalah berbentuk psikosis dan berpunca daripada otak, tapi kesemua ini dihadapinya dengan kekebalan dan kerelaan yang total, menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada mereka dan menyetujui apa saja yang mereka lakukan dan katakan: disuruh mengiring ia mengiring, disuruh meniarap ia meniarap, disuruh menelentang ia menelentang. Kadangkala pada masa-masa ia mampu bercakap sedikit-sedikit ia akan memuji mereka. la akan bercakap tentang masa hadapannya dan tentang kehidupan keseluruhannya dengan penuh harapan walaupun para doktor ini sudah meramalkan bahawa ia akan mati bila-bila masa saja sekarang ini atau paling tidak ia akan lumpuh untuk selama-lamanya. la tidak mati tidak juga lumpuh. la bangun dari katilnya ini dan berjalan ke kamar mandi sambil bersiul-siul dan berlagu seolah-olah ia selama ini sentiasa saja sihat walafiat.

Tapi penyakitnya ini tidak pernah sembuh terus. Sebilangan doktor mengatakan bahawa penyakitnya ini penyakit turun-temurun tapi bapa, nenek, datuk dan moyangnya adalah kesemuanya orang-orang yang sihat dan mati kerana umur tua. la jatuh sakit setiap dua atau tiga tahun sekali, kadangkala terbaring di atas katil selama sebulan atau dua bulan sehingga akhimya ketika berumur lima puluh tahun ia terlantar selama dua tahun terus-menerus tubuhnya kian hari kian kurus sehingga tulang-tulang pelvik dan rusuknya menonjol keluar dan dapat dikira satu-satu, kedua-dua skapula terjungkit-jungkit di belakangnya, tapi ia tidak pernah bersungut walau senafas keluhan pun, sentiasa bersedia mendengar nasihat dan cakap orang-orang yang melawatnya walaupun akan terpaksa dengan bersusah payah menganggukkan kepala dan kadangkala terpaksa pula mengeluarkan suara sekadar untuk mengatakan ‘ya’ supaya orang-orang tahu bahawa ia mendengar dan bersetuju tentang apa saja yang mereka katakan, sehinggalah pada satu hari ia tidak dapat bergerak apalagi bersuara; bibirnya pucat biru, kedua-dua matanya terperosok ke dalam, kedua-dua baris giginya yang putih sentiasa nampak, mukanya tidak lebih dan tidak kurang seperti tengkorak.

Syakinah isterinya yang sabar dan taat setia ini pun yakin bahawa ia akan mati bila-bila masa saja sekarang. Anak-anaknya bersilih ganti menunggu di sisi katilnya, sentiasa bersedia untuk menjadi orang pertama menyebarkan berita baik ini kerana kedatangan maut lebih dialu-alukan daripada melihat ia terus-menerus terapung-apung di antara hidup dan mati ini.

“Tapi ia tidak mati,” kata Syakinah kepada para wartawan yang datang berduyun-duyun ke rumahnya ini. “Sebaliknya sepasang sayap tumbuh di belakangnya.”

Sayap-sayap ini tumbuh bertepatan di atas kedua-dua skapulanya. Sejak hari ini Sarkawi mulai makan dengan lahap, sembilan puluh sembilan pinggan sekali duduk, tiga kali sehari dan tetap tidak pernah merasa kenyang, setiap hari menyuruh anak-anaknya membelikannya berpuluh-puluh kilogram daging, ikan dan apa saja yang dapat dimakan dan terima kasih kepada kemakmuran yang mengizinkan semua ini, sehingga dalam masa seminggu saja tubuhnya sudah mula dibaluti isi dan keadaannya kembali seperti biasa dengan dahi tinggi dan luas malah penglihatannya pun turut baik boleh melihat dengan jelas berkilometer jauhnya tanpa perlu memakai kaca mata lagi, pipinya sudah tembam dan ia tidak pernah sakit-sakit lagi selepas ini sehinggalah ia mati tua, cuma saja kakinya yang patah pada satu hari tidak pernah mahu sembuh betul-betul dan terpaksa dibawanya bersama hingga ke liang lahad, tapi buat pertama kali di dalam hidupnya ia merasa seperti hendak memaki dan menghalau setiap orang yang datang berduyun-duyun hendak menjenguknya seolah-olah saja mereka pernah melihat sayap sebelum ini.

“Ya, ini sayap,” katanya. “S. A. Y. A. P.”

Mereka berebut-rebut mahu memegangnya untuk memastikan apakah sayap-sayap ini benar atau palsu. Setiap hari sayap ini terus membesar sehinggalah ia mencapai kira-kira tiga meter lebamya jika dibentangkan dari hujung ke hujung dan menjadi masalah besar kerana bukan saja sekarang ia sudah tidak dapat lagi memakai baju-baju kegemarannya tapi juga ia amat berat sehingga Sarkawi terpaksa berjalan terbongkok-bongkok. Mandi juga menjadi masalah untuk membasahi sayap ini saja sudah mengambil masa yang lama, bulu-bulunya terpaksa dibersihkan satu persatu, kalau tidak hama dan kutu akan bersarang di situ yang gatalnya seluruh perbendaharaan kata tidak mampu untuk menerangkan dan ia terpaksa menunggu dua kali ganda lebih lama untuk bulu-bulu sayapnya ini kering. Dan untuk memburukkan keadaan lagi ia tidak pernah ditinggalkan bersendirian, ada saja orang yang mengikutinya ke sana ke mari mengawasinya ketika makan, tidur, mandi bahkan ada yang berjaya menengoknya ketika berak, merakamkan kesemua ini dengan kamera video yang lengkap dengan lensa mikro close-up untuk menunjukkan dengan jelas tulang-tulang dan urat-urat pada sayapnya ini, dan alat perakam suara sterofonik supaya bunyi-bunyian, dari tarikan nafasnya hingga kepada derap langkahnya, dapat dirakam dan dimainkan semula dengan tepat, kesemuanya untuk kepentingan orang-orang yang tidak dapat datang menyaksikan sendiri dan juga untuk rekod saintifik.

Seratus buah filem dibuat tentangnya yang sebahagiannya mendapat award dipesta-pesta filem, seratus orang mahasiswa mendapat Ph.D dengan menjadikannya sebagai bahan studi, novel-novel ditulis dan menjadi beseler antarabangsa dan diharamkan di seratus buah negeri yang menganggap sayap sebagai satu simbol yang amat subversif, sajak-sajak dicipta dan kemudian dan kemudian dijadikan lagu-lagu popular yang dinyanyikan di dalam berbagai-bagai bahasa di seluruh dunia oleh anak-anak muda yang berjiwa idealis yang bersedia mati demi mempertahankan idealisme mereka dan buat pertama kali di dalam hidup ini merasakan bahawa mereka mempunyai perjuangan dan tujuan sehingga ada yang ditekan dan dipenjara kerana idea-idea mereka, sementara itu Sarkawi sendiri sudah lama jemu dan jengkel dengan sayapnya dan untuk melepaskan geram ia mula mengejar siapa saja yang datang menjenguknya dengan penyapu, beberapa orang cedera parah dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

“Bangsat kamu semua!” la akan memekik. “Kamu fikir aku ini apa? Binatang?”

Tapi ini tidak pernah menghentikan orang-orang yang datang bahkan bilangannya semakin bertambah kerana mereka menyangka semua ini sebagai satu perkembangan baru yang mesti diawasi. Tiba-tiba saja kamera-kamera sekuriti dipasang di setiap sudut di setiap bilik untuk mengikuti setiap pergerakan-pergerakannya, dengan mikrofon-mikrofon tersembunyi dilekatkan di dinding-dinding dan van monitor-tv di tepi jalan raya dengan sepuluh orang juruteknik yang bersilih ganti berjaga siang dan malam.

Untuk menghiburkan hatinya dan untuk mencuba-cuba, Sarkawi sekali-sekala mengepak-ngepakkan sayapnya ini sambil berlari termengah-mengah keliling rumah, memeranjatkan dan menakutkan burung-burung yang tidak pernah melihat manusia yang bukan juga manusia dan burung yang bukan juga burung, sehingga Syakinah terpaksa menghentikannya kerana seorang tua, lebih-lebih lagi suaminya sendiri, terkejar-kejar seperti ini bukanlah satu pemandangan yang siuman. Tapi Sarkawi tidak pernah berhenti mencuba sambil mereka-reka permainan dan latihan-latihan baru dengan sayapnya. Sementara di puncak-puncak pokok kayu yang tertinggi, burung-burung bertenggekan menonton pertunjukan ini, rinsak sekali-sekala apabila Sarkawi menebarkan sayapnya lebar-lebar dan kelihatan seperti helang raksasa.

Kemudian pada satu hari ketika angin bertiup perlahan, daun-daun bergeselan, bau harum bunga-bunga liar yang sedang mekar tersebar luas, pada satu hari ketika matahari dilindungi awan lalu pokok-pokok pun lenyap bayang-bayangnya, suasana menjadi redup dan suhu udara menjadi sedikit dingin dan anak-anak muda pun tiba-tiba menjadi rindu tak tentu fasal, pada suatu hari ketika burung-burung tidak berkicau-kicau seolah-olah tidak mahu mencemari ketenteraman alam dengan circipan-circipan, anjing tiba-tiba merasa bersaudara dengan kucing dan kucing tiba-tiba merasa bersaudara dengan tikus, pada satu hari ketika setiap orang menjadi enggan melakukan apa-apa kecuali berbaring-baring dengan penuh yakin bahawa tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku, ketika inilah Sarkawi mengumpulkan keberaniannya lalu terjun dari beranda sambil mengepak-ngepakkan sayapnya.

Beranda ini tidaklah berapa tinggi cuma empat meter, tapi ia melabuk jatuh seperti nangka buruk dan patah kakinya.

Bunyi labuk jatuhnya sudah cukup untuk mengejutkan cacing-cacing di dalam tanah. Erangan sakitnya nyaring dan memanjang. Burung-burung terkejut lalu berterbangan dari puncak-puncak pokok. Anjing menyalak-nyalak dan kucing melompat tinggi, bulu tengkuknya berdiri.

Jeritannya ini seolah-olah bukan berpunca dari kakinya yang patah tapi dari sesuatu yang sudah sekian lama dipendamkannya.

“Aaaaaaaaaaaaargh!”

Orang ramai meluru ke sini dari setiap penjuru dan mendapati Sarkawi tertelungkup di atas tanah dengan kedua-dua sayapnya remuk di sana sini menggeletar terbentang dari hujung ke hujung, terkapah-kapah.

Kumpulan-kumpulan baru para saintis luar negeri, wartawan, penulis, penyajak dan anak-anak muda yang tiba-tiba menjadi peka melihat segala kejadian sebagai simbol tentang sesuatu terus datang beramai-ramai dan polis meronda-ronda kawasan ini dua puluh empat jam sehari untuk memastikan keamanan terkawal rapi dan tidak ada dari anak-anak muda yang kelihatannya sudah bosan hidup senang, makan disuapi dan berak dicucikan, membuat kacau dan berani secara terang-terangan mentafsirkan peristiwa ini sebagai satu realiti politik yang perlu direvolusikan.

Syakinah, seorang suri rumah biasa yang terdidik dengan sopan santun wanita timur dan sentiasa menghormati orang-orang yang datang, walau macam mana pun masih juga seorang manusia yang memerlukan tidur, ketenteraman dan masa untuk bersendirian dengan suaminya ini, pada suatu hari kerana sudah sanak singgan lehernya, menarik kesemua kamera-kamera sekuriti, mikrofon-mikrofon tersembunyi dan memusnahkannya satu-satu dan menghalau setiap orang dari rumah ini dengan batang penyapu berserta sumpah seranah dan memekik-mekik menyatakan perasaannya, yang selama ini tiada sesiapa yang mahu ambil tahu, bahawa ia tidak faham mengapa orang harus sibuk-sibuk tentang sayap suaminya ini.

“Bukan saja ia tidak dapat terbang dengan sayapnya yang bodoh itu!” katanya. “la sudah menjadi beban dan halangan bagi setiap pergerakannya!”

Tiba-tiba polis berpakaian awam, yang cekap menghidu komen-komen yang dapat diintrepretasikan sebagai berbau politik, campurtangan dan menggarinya keluar dari rumah ini. Mereka cukup terlatih dalam bergerak secara diam-diam dan tiada siapa sedar akan kehadiran mereka sehinggalah mereka bertindak dengan mengejut.

JANGAAAN!

Bahana Mei 1987

MAYAT WANITA tak berkepala ini diusung ke rumah Samin. Kerana terlalu terburu-buru, pemuda-pemuda yang menemuinya di tebing sungai terlupa menutupi mayat yang bertelanjang bulat ini dengan kain atau apa saja yang boleh digunakan untuk tujuan ini. Mayat ini belum busuk, masih segar-bugar, basah dan bersih dicuci air sungai, putih gebu dipancar matahari pagi. Penduduk-penduduk kampung yang tinggal di kiri kanan jalan raya mula-mula merasa amat ngeri melihat jasad yang tidak berkepala ini, kemudjan mereka merasa simpati atas apa yang menimpanya dan mereka ikut mengusungnya sepanjang jalan ke hujung kampung ke rumah Samin. Tidak ada sesiapa yang terfikir hendak menutup jasad yang bertelanjang bulat ini.Orang-orang yang ikut mengusungnya kian bertambah, mencurah-curah dari kiri kanan sehingga terjadi satu perarakan besar yang hampir-hampir keseluruhannya terdiri dari kaum lelaki tua dan muda. Ada anak-anak kecil yang meronta-ronta dari pegangan ibunya mau ikut perarakan ini. Para ibu dan para wanita tidak pernah menyangka bahawa bilangan penduduk lelaki amat ramai seperti ini. Selama ini mereka telah merasakan kesuntukan kaum lelaki tapi sekarang kampung ini seolah-olah saja dibanjiri oleh mereka dan bilangan mereka terus bertambah mencurah-curah melimpahi jalan raya menghalang kelancaran lalulintas kenderaan. Hon kereta bersahut-sahutan. Para pemandu yang terpandang mayat tak berkepala ini, berhenti di tepi jalan lalu keluar ikut berarak, meninggalkan isteri masing-masing termangu-mangu di dalarn kereta.

Perarakan ini bergerak perlahan. Mereka berganti-ganti mengusung mayat ini. Setiap orang menanti giliran dengan sabar. Ketika bertukar ganti mereka melakukannya dengan amat lambat sambil melayan perasaan masing-masing.

Tidak, isteri Samin ini belum layak mati: ia terlalu muda dan cantik pula. Kematiannya adalah satu kesilapan yang amat besar dan sia-sia. Saminlah yang sepatutnya mati dan setiap orang mungkin akan mendapat peluang menggantikan tempatnya. Ia tidak patut mati! Tapi para wanita dan kaum ibu merasa senang jika yang mati ini benar-benar isteri Samin yang digilai setiap lelaki sehingga mereka tidak mahu memandang wanita lain walaupun isteri mereka sendiri. Tapi bagairnana jika yang kena usung ini bukannya isteri Samin. Alangkah kecewanya, dan mereka akan terus berada di bawah bayang-bayang wanita cantik ini. Mayat yang tak berkepala ini boleh jadi saja mayat wanita lain. Mereka harus memastikannya dahulu sebelum bersenang hati. Merekalah yang mula-mula sekali menimbulkan keraguan-keraguan yang kemudian merebak ke seluruh perarakan ini.

Ini isteri Samin!

Bukan!

Isteri Samin!

Bukan!

Tapi para lelaki sepakat dan berkeras menganggap mayat ini mayat isteri Samin. Jasad yang cantik tak berkepala tapi masih segar-bugar ini tak layak dimiliki oleh wanita lain kecuali isteri Samin. Alangkah sayangnya ia kini sudah mati. Mereka terus mengusungnya dengan perlahan sambil melayani fikiran dan mengenang pertama kali ia datang ke kampung ini dengan muka yang cerah dan berseri-seri sehingga mereka menyangkanya bukan manusia tapi bidadari atau puteri bunian, bertanyakan di mana ruman Samin. Hari pertama itu samalah seperti hari ini para lelaki mencurah-curah dari kiri kanan menjadi satu perarakan tapi mereka tidak terus ke rumah Samin, senghaja melambat-lambatkan perjalanan, membelok ke kiri, membelok ke kanan, singgah di rumah ini, tapi ini bukan rumah Sarnin, rumah Samin sudah terlepas di belakang, berpaling semula, tapi rumah Samin di sana, membuat apa saja alasan untuk melambat-lambatkan sampai ke tempat tujuan, tapi mukanya tetap cerah berseri-seri tersenyum manis seolah-olah hal seperti ini perkara biasa dan tidak perlu diingaukan sangat, dengan lembut menyatakan mustahil sungguh tiada sesiapa yang tahu di mana rumah Samin. Mereka hampir-hampir gugup tapi cepat-cepat menanyakan Samin yang mana satu dan tiba-tiba saja setiap lelaki bernama Samin dan mengajaknya ke rumah.

“Sumpah, nama saya Samin!”

Ia cuma tertawa kecil yang menyebabkan setiap orang diam menyerapkan tawanya yang sedap didengar ini ke dalam hati dan jiwa; dan seekor burung jatuh dari langit malu kerana tidak memiliki suara semerdu ini, seorang lelaki dalam lingkungan umur lima puluhan diserang penyakit jantung dan sebelum menghembuskan nafas sempat membuat pengakuan bahawa ia tidak pernah menyintai isterinya yang kurus melengkung beranak sepuluh itu

Dalam kesibukan masing-masing mengakui bernama Samin ini, mereka tidak terfikir hendak bertanya siapa namanya atau siapa ia dan dari mana ia datang, hingga sekarang mereka tidak tahu siapa ia sebenarnya. Tapi mereka sedar bahawa inilah yang sebaiknya: kecantikannya tidak perlu diberi nama kerana nama hanya akan mengongkong atau menghodohkannya. Mereka cuma menyangka yang ia sudah semestinya adik bongsu Samin yang sudah bertahun-tahun bercerai dengannya dan mereka menaruh seribu harapan dan hampir-hampir tidak percaya apabila mendapati ia sebenarnya isteri Samin, tertanya-tanya di dalam hati bagaimana wanita secantik ini boleh tertarik pada orang seperti Samin, dan merasa seperti dikecewakan tanpa sebab yang munasabah. Mereka membenci semua wanita selepas ini.

“Hei! Kamu semua sudah gilakah?” Tiba-tiba seorang lelaki tua berjanggut dan berserban putih mencelah masuk ke dalam perarakan. “Tubuh wanita wajib ditutup keseluruhannya kerana ia boleh mendatangkan pesona dan huru-hara yang besar!”

Dua orang pemuda berbadan tegap memegang kedua-dua belah lengan lelaki tua ini lalu mengangkatnya keluar dari perarakan dan menerangkan dengan lembut bahawa orang-orang tua bongkok yang sudah berjanggut dan sudah berserban pula tak usah sibuk-sibuk, lebih baik duduk berehat di rumah saja, mengingati mati, biarlah hal-hal seperti ini diurus oleh orang-orang muda yang masih berdarah hangat.

“Kamu semua sudah gila!” pekik lelaki tua ini. “A’uzubillah – aku berlindung dari godaan wanita-wanita yang sampai mati pun masih menggoda!”

Mereka terus mengusung jasad yang tak berkepala ini, seperti tadi mereka berpura-pura tidak tahu di mana rumah Samin, berbisik-bisik bertanya sesama sendiri dan menjawab sendiri entah di mana rumah Samin.

“Mustahil kamu tidak tahu di mana rumah Samin.”

“Samin yang mana satu?”

Mereka cuba meniru tawanya yang kecil yang masih menggelenyar di seluruh jiwa dan hati mereka sehingga burung-burung yang mendengar mereka merasa ingin hidup seribu tahun lagi kerana bersyukur tidak memiliki suara-suara yang hodoh seperti itu. Mereka merasa bersalah dan amat kesal kerana mencemari tawanya dengan cuba menirunya. Mereka terus maju dengan murung, kemudian berpatah balik, membelok ke kanan, membelok ke kiri. Untuk melambat-lambatkan lagi, mereka menyoal-nyoal semula apakah tubuh tak berkepala ini benar-benar isteri Samin. Alangkah bodoh dan sia-sianya jika mayat ini mayat wanita lain – mereka telah membazir-bazirkan tenaga dan perasaan.

Isteri Samin!

Bukan!

Isteri Samin!

Bukan!

Seorang pemuda berambut panjang dan betjanggut sejemput bercerita bahawa beberapa hari yang lalu Samin telah datang kepadanya memberitahu yang isterinya sudah tiga hari tidak pulang-pulang sejak pergi ke hutan mencari sayur pakis.

“Kamu tahu,” katanya bersungguh-sungguh. “Aku memarahi Samin seolah-olah isterinya itu isteriku dan tanggungjawabku. Kamu bayangkanlah wanita cantik seperti itu dibiarkan masuk hutan seorang diri mencari sayur adakah patut? Sudah tentu tidak patut! Hal ini kuceritakan kepada isteriku dan kamu tahu apa katanya? Katanya aku ini sudah gilakan isteri orang! Benar aku tidak menafikan. Alangkah cemburunya dia! Aku yakin isteriku itulah yang mencantas kepala wanita yang tidak berdosa ini!”

Pemuda ini tunduk dan memejamkan matanya sebentar kemudian mengangkat kepala dengan perlahan. Halkumnya bergerak turun naik sekali.

“Tapi akulah yang bersalah,” katanya. “Aku telah menyebabkan isteriku cemburu dan bertindak kejam!”

Kemudian masing-masing mereka tidak mahu ketinggalan bercerita, cerita yang sama diulang-ulangi dengan sedikit variasi, ditambah dan dikurangi di sana sini, betapa Samin datang atau mereka mendatangi Samin yang mengadu kehilangan isteri, kemudian mereka menceritakan bagaimana cemburunya isteri-isteri mereka apabila mereka saban waktu hanya memikirkan tentang isteri Samin. Mereka menolak cerita tentang isteri Samin pergi ke hutan mencari sayur pakis kerana wanita secantik itu tidak layak mengerjakan kerja kasar yang mengeluarkan peluh bahkan sayur pakis itu sendirilah yang tunduk berjalan menyerahkan diri kepadanya dengan penuh kerelaan untuk dijadikan makanannya. Betapa untungnya sayur pakis itu menjadi sebahagian dari nadi wanita secantik itu! Tidak, isteri Samin tidak pernah pergi ke hutan untuk mencari sayur pakis tapi ia telah melenyapkan dirinya seperti selalu pada waktu-waktu tertentu ketika Samin memenuhi giliran isteri tuanya yang tinggal di kampung lain.

“Ketika itulah isteri-isteri kita mengambil kesempatan mencantas kepalanya. Jasad tak berkepala inilah mayat isteri Samin yang malang itu.”

“Ya, ini isteri Samin bukan orang lain lagi!”

Seorang wanita muda bertubuh sederhana mewakili para isteri membantah bahawa mereka tidak pernah mencantas kepala sesiapa kerana kerja sembelih menyembelih adalah khusus kerja kaum lelaki walaupun sekarang ini zaman hak sarna rata dan perempuan mempunyai peluang yang adil membuat kerja lelaki tapi mereka masih juga perempuan yang dibatasi oleh perasaan-perasaan halus dan sensitif yang boleh merasakan seratus kali ngeri daripada ngeri yang dirasakan oleb kaum lelaki.

“Ya, kami cemburu,” sambung wanita ini sambil menekan kedua-dua belah tapak tangannya ke atas dada dengan lembut. “Tapi itu tandanya kami sangat-sangat cinta kepada kamu suami-suami kami. Apakah salah bagi seorang isteri menyintai suaminya? Apakah salah kalau kami mengambil berat akan hal diri kamu yang tergila-gilakan isteri orang itu? Dan sudah tiba masanya tubuh wanita yang menggoda kamu itu ditutup dengan kain atau sesuatu!”

Dua orang pemuda berbadan tegap memegang kedua-dua belah lengan wanita ini dan mengangkatnya ke luar dari perarakan dan menerangkan bahawa menutup tubuh wanita adalah urusan kaum lelaki walaupun sekarang zaman hak sama rata.

“Kaum wanita tak usah turut campur. Kami maafkan kamu kerana cemburu. Pergilah dengan aman!”

Mereka meneruskan perarakan sambil melambat-lambatkannya mencipta alasan dan cerita; tenggelam dan hanyut dibawa arus perasaan Sehingga hampir petang baharulah mereka tiba di perkarangan rurnah Samin di hujung kampung, tapi Samin belum pulang lagi. Seperti mula-mula dulu mereka akan berhujan berembun di sini menunggu akan kepulangannya. Mereka tahu Samin belum pulang sekurang-kuaangnya buat beberapa hari lagi. Mereka tidak akan tidur. Mereka tidak akan makan. Mereka akan terus mencipta cerita untuk meyakinkan diri yang mayat tak berkepala ini mayat wanita yang mereka puja-puja meskipun jauh di dalam hati, mereka sedar yang mereka masih ragu-ragu, takut dan malu yang mereka telah mensia-siakan perasaan dan tenaga memuja satu kesilapan yang hanya holeh ditentukan oleh Samin sendiri.

Ini isteri Samin!

Bukan!

Ini isteri Samin!

Bukan!

Tapi Samin datang juga pada malam ini, pulang dari menjaja dari kampung ke kampung dengan sebuah kereta buruk, dengan muka yang letih dirnamah usia lirna puluh lirna tahun, daging-daging kendur seperti bergayutan di keliling tubuhnya yang kurang bersenam, rambut di kepalanya nipis dan memutih, dengan janggut yang kusut-masai di dagunya, dengan suara yang amat longgar bertanyakan tentang apa yang berlaku. Ia termangu-mangu mendengar keterangan yang datang dari sekelilingnya yang tidak dapat ditanggapi dengan jelas. Kemudian ia dipimpin ke tempat mayat tak berkepala ini.

“Ini isterimu. Kepalanya sudah dicantas oleh isteri-isteri kami yang cemburu!”

Samin mengatakan bahawa ia sudah terlalu tua untuk menghapi hal-hal seperti ini – dan siapa wanita muda tak berkepala ini? Kenapa dibiarkan tanpa ditutup?

“Jadi ini bukan isterirnu?”

Samin meneliti jasad tak herkepala ini, sambil menggaru-garu kepalanya mengatakan yang ia sendiri tidak pasti tapi kemudian dengan yakin mengatakan bahawa ini bukan isterinya. Dengan serentak mereka menyerbunya, mendesak-desak supaya ia mengakui saja jasad tak berkepala ini mayat isterinya yang telah mereka puja-puja selama ini, yang tidak layak menjadi isteri seorang tua sepertinya, yang menyebabkan isteri-isteri mereka cemburu dan kelihatan hodoh dan kerdil.

Para wanita juga tidak ketinggalan ikut serta mengugut dan mengancamnya jika ia tidak rnahu membenarkan apa yang mereka katakan dan ceritakan – mereka mengakui bahawa merekalah yang telah mencantas kepala wanita ini supaya mereka boleh bersenang hati.

“Memang henar sembelih menyembelih adalah keija lelaki tapi kami juga boleh melakukanya jika kami benar-benar rnahu dan kami akan melakukannya lagi jika perlu!”

Samin tidak rnahu membenarkan mereka, menuduh mereka mengada-adakan cerita-cerita bohong yang kemudian mereka percayai sendiri dan ingin mereka percayai terus-menerus dan memaksa orang lain mempercayainya. Dan lagi ia tidak akan dapat memastikan yang jasad tak berkepala ini mayat isterinya.

“Kerana aku tidak pernah melihat batang tubuh isteriku dengan jelas,” katanya dengan suara yang amat longgar. “Aku tidak akan dapat mengenali tubuhnya kalau kepalanya tidak ada.

“Walau apa sekalipun – ini tetap mayat isterimu!”

“Bukan!”

“Isterirnu!”

“Bukan!”

Samin tersungkur kena pukul. Ia dikeroyok bertubi-tubi. Ia memekik meminta tolong tapi tetap enggan membenarkan mereka meskipun mereka mengancam hendak mencantas kepalanya. Ketika mereka sibuk merusuh inilah lelaki tua berjanggut dan berserban putih, terbongkok-bongkok berjengket senyap-senyap membawa selimut dan menutupi mayat wanita telanjang tak berkepala ini. Kemudian ia pergi dari situ. Tiba-tiba setiap orang terhenti dan seperti baru tersedar dari mabuk, bangun diam-diam mengusai pakaian mereka yang kumuh dan tak menentu. Sekeliling mereka terasa begitu hening dan aman sehingga bunyi unggas-unggas malam dan dan daun bergeselan dihembus angin hegitu jelas kedengaran satu-satu. Apabila, di bawah sinar bulan yang samar-samar ini, kelihatan seorang pemuda rnenghampiri mayat wanita tak berkepala ini dan mau menyelak selimut yang menutupinya, Samin memekik dengan kuat dan panjang:

“JANGAAAN!”

INSOMNIA

Bahana September 1987

SYAHMINAN TIDAK terkejut apabila lembu jantan berumur sepuluh tahun lebih, berwama coklat, bertanduk runcing yang mampu menembusi perut sesiapa saja ini, pada suatu pagi ketika matahari redup dan angin bertiup perlahan ke arah mukanya, berlari-lari anak mengejarnya sambil memanggil-manggil namanya, bertutur dalam bahasa Melayu yang amat fasih yang cukup untuk memalukan orang-orang Melayu yang sejak kecil berpendidikan Inggeris yang telor lidahnya apabila bercakap dalam bahasa ibunda sendiri.”Tuan Syahminan! Tuan Syahminan!” kata lembu jantan ini dengan sopan tapi jelas. “Tunggu saya sebentar Tuan Syahminan.”

Hampir-hampir sepuluh tahun ia telah mengajar lembu ini bercakap sehingga isteri dan anak-anaknya berputus asa, menganggapnya sudah gila yang tidak dapat diubat-ubati lagi.

“Setiap pagi sebelum membuat pekerjaan lain ia akan pergi ke kandang lembunya ini,” kata Hajah Russimah kepada seorang dukun yang suka pada sebarang cabaran, yang pernah berguru dengan orang-orang bunian. “Ia bercakap dengan lembunya ini berjam-jam lamanya dan kadangkala sampai sehari suntuk seolah-olah saja lembu itu manusia!”

Dukun terhandal ini telah menilik di dalam semangkuk air embun dara sehingga matanya terasa amat pedih. Setelah setengah jam menghembus-hembuskan air ini, nafasnya hampir-hampir terputus, sambil menegang-negangkan matanya ia masih belum nampak apa-apa kecuali bayang-bayangnya sendiri. Jika ada sesuatu yang paling dibencinya ketika menilik-nilik air ialah melihat mukanya sendiri yang kelihatan yang amat hodoh ini.

“Ia tidak juga siuman dan tidak juga gila,” katanya menyembunyikan nada berputus asanya. Kewibawaannya tercabar. Air embun semangkuk ini diserahkannya saja kepada Hajah Russimah untuk diberi minum pada Syahminan dan ia terus pulang dengan fikiran murung, menimbang-nimbang sama ada mahu meneruskan kehidupannya sebagai dukun dan menghadapi risiko-risiko yang mencabar seperti ini lagi: rupa-rupanya masih ada rahsia yang tidak dapat ditilik-tilik walaupun dengan air embun dara malam Jumaat yang mubarak.

Mula-mula Hajah Russimah cuba memikirkan kata-kata dukun ini, tidak juga siuman tidak juga gila, mungkin saja ada makna tersembunyi yang minta ditafsirkan, tapi akhimya sambil tersenyum kecil, ia mengatakan pada diri sendiri bahawa manusia jika merasa terdesak untuk mengatakan sesuatu demi mempertahankan kewibawaan akan mengatakan yang pada lahimya kedengaran amat bermakna tapi tidak bererti apa-apa.

Kecuali kelakuannya terhadap lembu ini, suaminya ini adalah seorang lelaki biasa dengan dahi yang luas dan tinggi, dengan rambut sedikit lasak di tengah-tengah kepala yang tidak bemiat hendak menyem-bunyikan dengan memakai songkok atau apa-apa, seorang lelaki yang wajahnya jelas menggambarkan watak seorang intelektual yang telah mengkaji seribu buah buku dan berpendapat bahawa Plato dengan republiknya hanyalah merepek dan satu temberang besar, seorang lelaki yang mempunyai banyak buah fikiran yang mahu dikatakan dan diluahkan, yang jika dipendamkan bukan saja akan menjadi satu kesia-siaan tapi juga akan menjadi punca tekaan jiwa.

Tapi Syahminan tidak pernah mahu mengeluarkan buah-buah fikirannya sejak berumur duabelas tahun selepas dikhatan dan diisytiharkan sudah dewasa dan mempunyai kebebasan penuh untuk menyatakan fikiran dan pendapat sendiri, bukan kerana ia dilahirkan bisu atau suaranya tiba-tiba hilang, ia memiliki suara yang jelas, normal dan khusus dapat dikenali sebagai suaranya sendiri dan tidak mungkin akan dikelirukan dengan suara orang lain, tapi kerana ia tidak ada platform untuk bercakap, kalau ada pun, cakapnya akan ditapis terlebih dahulu atau ia akan diberi skrip dan bebas bercakap sebebas-bebasnya berdasarkan skrip telah disediakan ini dan juga kerana ia telah banyak melihat dan faham bahawa syarat-syarat utama untuk bersuara dan untuk suara itu diambil perhatian ialah seseorang itu mestilah memiliki kekuasaan, nama dan paling tidak kekayaan untuk menimbulkan rasa hormat dan gerun, dan penting sekali seseorang itu sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak diucapkan. Kesemua ini tidak dimilikinya, kecuali nama tapi nama pada yang tak benama; sekali pandang pada mukanya seorang sudah dapat tahu yang ia cumalah seorang lelaki biasa yang cakapnya tidak perlu terlampau sangat dipedulikan walaupun pada sunnahnya semua manusia ini diciptakan sama rata dalam sama-sama memiliki akal dan fikiran untuk membuat keputusan-keputusan, memiliki hak-hak yang sama untuk hidup dan dalam menjalani kehidupan sehari-harian, memiliki hak-hak kebebasan yang sama untuk membuat pemilihan-pemilihan, memiliki hak-hak peluang yang sama dalam mendapatkan sedikit harta dan kesenangan, dan sama-sama mempunyai kewajipan untuk tidak melanggar hak-hak orang lain.

Ia hanya akan membuka mulut untuk mengisi perut.

“Kerana,” katanya, “keadaan telah memaksakan bahawa perut itu lebih penting untuk dijaga!”

Bertahun-tahun lamanya ia mendiamkan diri, bercakap sekadar yang perlu untuk menunjukkan bahawa ia tidak bisu, mencatu perkataan dari seratus sehari sehinggalah kepada sepuluh sehari dan kemudian akhimya kepada lima sehari dan sekiranya hari ini ia tersasul bercakap lebih dengan enam atau tujuh patah perkataan, maka esok ia hanya akan bercakap dengan empat atau tiga patah perkataan, dan mendapati bahawa manusia sebenamya boleh saja hidup terus tanpa bercakap, tapi ia juga mendapati dirinya semakin lebih peka, seluruh inderianya menjadi seperti pintu-pintu yang terbuka luas, otaknya menjadi seperti span yang menyerap segala-galanya tanpa diskriminasi, berlegar dan berputar ligat tanpa henti-hentinya – fikiran-fikirannya terus-menerus terkumpul tanpa dikeluarkan, otaknya sepanjang masa ligat dan liar sehingga kepalanya terasa sentiasa panas dan matanya merah darah diserang insomnia, tidak dapat tidur kadangkala sampai berbulan-bulan terus-menerus kerana ia takut jika ia memejamkan matanya fikiran-fikiran ini akan menjelma menjadi mimpi-mimpi yang amat buruk dan menakutkan – pada malam-malam seperti inilah ketika setiap orang sedang tidur nyenyak mati seperti batang kayu ia akan mundar-mandir seribu kali di dalam gelap melayani fikiran, kadangkala tidak pasti sendiri apakah ia sedang mundar-mandir di dalam fikirannya atau ia sedang mundar-mandir bersama-sama fikirannya atau ia akan menjadi ragu-ragu tentang kewujudannya sendiri kerana dengan sekian ramainya orang yang tidur nyenyak ia boleh jadi saja hanyalah sebuah mimpi buruk salah seorang dari mereka dan ia ingin supaya siapa saja yang kurang ajar sangat sedang memimpikannya ini cepat-cepat terjaga untuk menamatkan segala-galanya, atau kadangkala ia akan menghabiskan masa dengan membaca buku-buku tebal yang hanya akan menambah sendat kepalanya sehingga pada satu hari ketika ia sudah mencapai umur empat puluh tahun, umur ketika setiap orang mencapai puncak kematangan, umur ketika segala-galanya terlalu sukar untuk dirombak dan diubah-ubah, umur ketika tiada sesiapa yang mahu diajar-ajari dan dinasihat-nasihati lagi, umur ketika setiap kau semuanya salah kerana hanya aku saja yang betul, ia mendapati kulit di tengah-tengah kepalanya yang lasak, kepalanya yang terasa penuh, kepalanya yang amat berat ini merekah; dengan hujung jari-jarinya yang terketar-ketar ia meraba-raba tempat yang merekah ini dan merasakan bahawa, celakanya, tidak dapat tidak, ia mesti berbuat sesuatu dengan segera kerana jika ia terus menambah dan memendamkan fikiran-fikirannya, kepalanya ini pasti akan pecan berkecai.

“la akan meletup!” katanya. “Seperti bom!”

Pada hari inilah ia membeli seekor akan lembu dan tanpa tangguh-tangguh lagi terus mencurahkan segala isi kepalanya yang sudah bertahun-tahun lamanya terpendam ini. la berbicara tentang politik, ekonomi, agama, kebudayaan, falsafah dan segala sikap dan tabiat manusia yang telah disaksikannya selama ini. la selajur mengajar anak lembu ini bercakap.

“Orang tidak akan mendengar cakapku,” katanya. ‘Tapi orang akan mendengar cakapmu.”

Lembu ini hanyalah seekor lembu biasa yang bertungau di telinganya, tanpa ada tanda-tanda istimewa untuk menunjukkan bahawa ia mempunyai akal: seekor lembu yang mudah didapati di mana-mana. Syahminan membelinya dengan harga yang amat murah kerana ketika itu ia kelihatan lemah dan kurang sihat tapi ia membelanya dengan baik, menyediakan sebuah kandang yang menjadi iri hati setiap pentemak lembu, berlantaikan simen halus yang sentiasa dibersihkan tiga kali sehari, berpaip air yang dipasang dengan penapis supaya airnya tidak lagi mempunyai rasa klorin, berlampu elektrik supaya ia dapat membacakan buku-buku yang tebal kepada lembunya dan dirinya sendiri dengan nada suara mendatar sepanjang malam untuk mengisi waktu-waktu insomnianya, dengan api kecil di satu sudut khas sentiasa marak untuk menghangatkan sekeliling dan menyebarkan asap memburu rangit-rangit, sementara lembunya ini terus tidur nyenyak membiarkan bunyi kocakan air sungai yang berdekatan masuk ke dalam mimpinya.

Kadangkala orang-orang kampung datang menjenguknya di sini bertanyakan khabar atau apa yang sedang dibuatnya dan ia akan menjawab ringkas, masih terikat pada pencatuan perkataan apabila bercakap dengan manusia, bahawa ia sedang mengajar ilmu falsafah pada lembunya ini atau ia sedang mengajamya bercakap lalu mereka pun meninggalkannya dengan perasaan geli dan puas kerana dugaan mereka ternyata betul bahawa jawapan seperti inilah yang akan mereka terima dan bahawa orang gila ini adalah sumber hiburan yang percuma, sementara Syahminan akan menyoroti mereka dengan pandangan yang selamba sambil memikir-mikirkan betapa senangnya untuk menyukakan hati orang.

“Kau tau,” katanya kepada lembu yang sedang memimpikan sebuah ladang hijau yang luas untuk bermain-main dan bergerak bebas. “Seseorang itu hanya perlu menyatakan apa orang lain ingin dan suka dengar.”

Siapakah yang menyangka lembu ini pandai bercakap kecuali Syahminan? la sama sekali tidaklah terperanjat apabila lembu ini memanggil-manggil namanya sambil berlari-lari anak pada pagi yang aman di tepi sungai yang mengalir tenang ini. la sentiasa menganggap bahawa semua binatang boleh bercakap dalam bahasa manusia, bahawa mereka mempunyai akal fikiran, cuma saja mereka tidak mahu menggunakannya dan mengeksploitasikannya kerena mereka secara tabiat sudah merasa senang dan me-rasa lebih selamat dengan hanya bergantung pada instinct lebih-lebih lagi apabila hidup di tengah-tengah manusia yang tak terhenti-henti bercakap yang tak mahu mendengar cakap-cakap orang lain kerana takut mengakui bahawa ada orang lain lagi yang lebih bijak. la hanya merasa hairan kenapa lembu ini tiba-tiba saja mengambil keputusan untuk bercakap.

Sepuluh tahun adalah jangka waktu yang singkat bagi manusia: seorang budak yang berusia sepuluh tahun masih dikira mentah dan hijau lagi, tapi bagi seekor lembu adalah hampir-hampir keseluruhan umur hidupannya: sepuluh tahun bertahan dengan berlagak bodoh, sepuluh tahun ia mendungu, sepuluh tahun tidak pernah merungut, sepuluh tahun menyerahkan segala keputusan tentang hidupannya pada tuannya, sepuluh tahun menganggukkan kepala tidak pernah membantah, sepuluh tahun membuka mata membuka telinga, sepuluh tahun membiarkan hidungnya dicucuk ditarik-tarik ke sana ke mari, sepuluh tahun hidup di kandang makan disuap, sepuluh tahun memendam rasa mengimpikan sebuah ladang luas berumput hijau segar sejauh mata memandang tempat berlari dan bergerak bebas, sepuluh tahun dengan rela akan menghadapkan lehemya bila-bila masa saja untuk disembelih jika itulah yang dikehendaki.

Hajah Russimah tidak pernah terperanjat seumur hidupnya sebelum ini. Ketika itu ia sedang menjemur sepuluh baldi pakaian yang baru disasah di halaman rumah, apabila lembu ini memandang langit yang cerah, matahari memancar terik, memberitahunya dengan penuh bersahaja bahawa hujan akan turun.

“Jangan kau percaya pada apa yang kaulihat,” jelas lembu itu. “Langit mungkin cerah tapi hujan akan turun. Aku sudah pun dapat merasakannya di tulang sum-sumku.”

Hajah Russimah berlari masuk ke dalam rumah, menggigil, peluh dingin membasahi tubuhnya yang berisi ini, berfikir-fikir sambil cuba menangguh-nangguhkan kebenaran apakah ia sudah tidak siuman lagi seperti suaminya, sementara di luar hujan panas mulai turun menimpa atap zink menerbitkan bunyi derap yang bising. la terlihat lembu ini berlusir menyorok di bawah rumah.

“Bukankah sudah kuberitahu hari akan hujan,” kata lembu ini lagi. la duduk di situ sambil mengunyah-nguyah rumput.

Hajah Russimah tersandar di dinding, tercungap-cungap, mukanya yang cerah dan bujur telur ini jadi pucat, dikelilingi oleh anak-anaknya yang kesemuanya sudah besar berakal.

“Bukan bapamu saja yang gila,” katanya dengan suara yang terketar-ketar. “Aku juga sudah gila!”

Tapi ia merasa lega kerana kebetulan ada orang lain, yang bukan suaminya, yang juga telah mendengar lembu ini bercakap, dan orang ini sedang mencangkung di bawah rumah tercengang-cengang: ialah yang bertanggungjawab menyebarkan berita ini, bersumpah atas nama Tuhan yang menjadikan segala apa yang ada di langit dan di bumi bahawa ia tidak berbohong, sehingga sebelum tiba waktu petang seluruh kampung sudah pun tahu dan orang ramai mula mengerumuni lembu ini menyoalnya dengan seribu pertanyaan yang dijawabnya tanpa ragu-ragu, dengan sabar berulang kali menerangkan bahawa semua binatang boleh bercakap dan berfikir seperti manusia cuma saja mereka telah sepakat bersumpah membuat undang-undang untuk membodohkan diri supaya tidak perlu memikirkan hal-hal berat seperti pendidikan, ekonomi, politik dan peperangan dan juga mereka tidak mahu bersaing dengan manusia. Biarlah manusia yang mengendalikan bumi ini.

“Tapi aku telah membuat keputusan untuk melanggar sumpah. Biarlah binatang-binatang lain membisu, tapi jangan kamu percaya pada mereka: mereka sebenamya tidak bodoh, mereka cuma mahu mengelak diri dari menggunakan otak, menyerahkan aktiviti berfikir kepada manusia,” kata-nya. “Aku fikir sudah sampailah masanya bagi giliran binatang untuk menguasai bumi ini.”

Keesokan harinya seluruh negara mengetahuinya. Orang ramai mulai datang mencurah-curah ke situ setiap hari. Jalanraya menuju ke Kampong Anu ini menjadi sesak, orang ramai berhimpit-himpit seperti yang belum pernah mereka lakukan sebelum ini, hingar-bingar, melaung, memanggil lantang, cepat, cepat, ada lembu pandai bercakap dan cakapnya lebih berakal dari cakap manusia, dari cucu kepada anak, dari anak kepada bapa, dari bapa kepada nenek, dari nenek kepada datuk, dari datuk kepada moyang: yang tempang datang bertongkat, yang buta teraba-raba, yang tuli asyik bertanya, yang kecil menyelat di celah-celah, yang pendek ter-tinjau-tinjau, yang jarak bertolak-tolakan sehingga berjalan kaki adalah lebih cepat daripada menaiki kereta, kenderaan berbaris sepanjang sepuluh kilometer ke utara dan sepuluh kilometer ke selatan. Krew televisyen berkejar ke situ bersama wartawan terbaiknya dan mereka mengambil masa enam jam untuk sampai ke kandang lembu ini kerana keadaan yang terlampau sesak, dan enam jam lagi untuk keluar dari situ.

“Apa benarkah semua binatang boleh bercakap?” tanya wartawan yang telah pernah mewawancarai lebih dari lima ratus orang tokoh kenamaan dan pemimpin dalam dan luar negeri.

“Lebih dari itu,” jawab lembu. “Kami lebih bijak daripada manusia.”

“Saudara tak yakin bahawa lembu boleh jadi pemimpin dunia?” soal lembu ini balik.

“Telah sampai pada pengetahuan saya bahawa saudara berhajat hendak menjadi pemimpin masyarakat,” kata wartawan ini lagi sedikit ragu-ragu ketika menyebut perkataan saudara kepada lembu ini. “Apakah itu juga benar?”

Wawancara ini disiarkan secara penuh ke seluruh negeri melalui kaca televisyen yang tidak pernah berbohong dengan disaksikan oleh beribu-ribu orang yang pada hari berikutnya ikut berduyun-duyun pergi ke situ, untuk menyaksikan dengan mata kepala sendiri; ada yang berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama menjemput lembu ini untuk jadi tetamu khas, kalau boleh memberi ucapan di majlis-majlis pembukaan rasmi, makan malam dan perkahwinan, yang terpaksa ditolaknya dengan memberikan alasan yang ditekannya berulang kali, mengapa mesti sibuk-sibuk tidak ada apa-apa istimewanya lembu boleh bercakap kerana semua binatang boleh bercakap.

“Cubalah sendiri bercakap dengan apa saja binatang-binatang ternakan kamu.” la mengesyorkan.

Hampir-hampir setiap orang menjumpainya semula pada hari-hari berikutnya dengan mengatakan bahawa mereka telah cuba bercakap dengan binatang-binatang peliharaan mereka; orang Melayu bercakap dengan kucing, ayam, lembu, kerbau dan kambing; orang Cina dengan anjing-anjing dan babi-babi mereka, tapi binatang-binatang ini, jika ada apa-apa pun, cuma kelihatan lebih bodoh dari biasa.

“Itu hanyalah kerana mereka mahu terus membodohkan diri hingga ke hari kiamat,” jawab lembu ini. “Mereka sudah terbiasa hidup senang tanpa perlu berfikir dengan segala-galanya disediakan oleh manusia walaupun semuanya hanyalah untuk kepentingan manusia sendiri. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah menjadi hamba abdi, bukan kepada manusia sebenamya, tapi kepada sikap dan cara pemikiran mereka sendiri.”

Pada waktu malam kawasan kandang ini terang-benderang. Pondok-pondok menjual minuman ringan dan kuih-muih hangat muncul di sana sini, jual beli berlaku dengan cepat dan pantas tanpa tawar-menawar, banyak orang menjadi kaya mendadak, hampir-hampir tak terlayan lagi tali arus manusia yang datang dan pergi – setiap orang mahu mendengar lembu bercakap. Kanak-kanak berkejaran ke sana ke mari, berjaga dan ada yang terpesona sehingga pukul dua pagi seolah-olah tidak sekolah, tentu saja banyak hal yang tidak diajarkan oleh guru-guru yang menganggap mereka semua bodoh seperti lembu: sekarang mereka tahu bahawa lembu itu tidak bodoh.

Kemudian pada malam ketika keadaan sedikit reda, penjaja minum minuman sudah lama berpanyap hanya tinggal beberapa orang saja lagi yang masih mundar-mandir menghisap rokok, angin bertiup dingin, daun-daun mendesir bergesel-geselan menerbitkan bunyi yang menggerisik-gerisik di dalam samar-samar cahaya bulan, sekali-sekala kedengaran bunyi kocakan ikan di permukaan air sungai yang mengalir senyap, dari tepi rimba yang penuh rahsia seekor lembu jantan liar berwama hitam mengamuk, menjungkirbalikkan segala apa yang berada di dalam laluannya dan merempuh ke kandang simen, tanduknya yang runcing menembusi perut lembu Syah-minan yang mengerang sakit membelah malam mengoyak mimpi-mimpi orang yang sedang enak-enak tidur.

Darah memancut membasahi bumi.

“Lembu membunuh lembu!”

“Lembu membunuh lembu!”

“Lembu membunuh lembu!”

Orang ramai berkejaran: gempar menyaksikan peristiwa ini. Ada yang menggosok-gosok mata untuk memastikan apakah mereka sebenamya sedang bermimpi atau tidak.

Secepat datangnya, secepat itu pula perginya, setelah tugasnya selesai, lembu jantan liar berwama hitam menghilang ke dalam rimba yang gelap.

Syahminan, yang sejak lembunya mula bercakap, baru saja dapat menikmati tidur yang pulas, tiba-tiba terjaga, matanya terbuka lebar seolah-olah ia tidak pernah tertidur sepincing pun dan selepas ini seumur hidupnya ia tidak dapat tidur-tidur lagi memikirkan dan menafsirkan kejadian ini, kadang-kala tidak pasti apakah segala-galanya ini hanyalah halusinasi dari insomnianya yang tegar.

FITNATUL KUBRA

Dewan Budaya (DBP – KL Malaysia) Ogos 1988

TUAN HAJI SABTU merasa sungguh terkilan mengapa ia yang sudah tua berumur dalam lingkungan lima puluhan tahun ini, yang sudah lama hidup beramal dan menghafal surah-surah panjang di dalam Al-Quran sehingga tidak mempunyai masa untuk pekara-pekara lain, memperdalami ilmu tauhid dari kitab-kitab yang tersusun rapi, karangan ulama-ulama besar dahulu dan sekarang, di biliknya yang dilarang keras orang lain memasukinya kerana di sini juga ada kitab-kitab yang sukar difahami dan mudah disalahertikan oleh orang-orang awam yang ilmunya setohor air Sungai Kg. Anu pada musim kemarau, karya-karya Muhyiddin ibn Al’Arabi dan Mansur Al-Hallaj, sehingga ia boleh berhujah dengan lidah yang fasih tentang ilmu-ilmu makrifat dan hakikat sambil menyebut-nyebut nama Fariduddin Attar, Saadi As-Siraz, Jaialuddin Rumi, Muhammad Abdul Jabbar An-Nafri dan Abdul Qadir Jailani, seolah-olah mereka ini sedang berada di sisinya, yang dikaguminya kerana di samping kedalaman ilmu mereka, mereka juga memiliki keramat yang hebat-hebat yang alangkah bagusnya jika ia juga memilikinya untuk menggemparkan dan mengkagumkan setiap orang tentang betapa tinggi ilmu di dadanya, mengapa ia yang sangat digalati dan dilahirkan pada bulan Ramadan yang mubarak ini tidak menjadi pilihan Tuhan?Ia merungut di dalam hati mengapa Abu Daud yang hanya hafal Qulhu, yang tidak pernah kelihatan beramal panjang-panjang, yang hanya membaca kitab fiqeh yang nipis karangan ustaz tempatan yang tidak pernah ke mana-mana ini tiba-tiba saja memiliki keramat-keramat yang hebat yang hanya patut dimiliki oleh para Wali Allah yang telah mencapai maqam yang paling tinggi?

Tidak! Tidak semudah ini untuk mejadi Wali Allah, katanya kepada diri sendiri, kerana jika ada orang yang lebih layak di kampung ini pastilah dirinya yang sudah lama beramal, bertasbih dan bertahmid memuji Tuhan yang Maha Esa, sejak dari baligh dahulu hinggalah sekarang, sentiasa terkumat-kamit membilang biji-biji tasbih ke mana saja ia pergi. Tidak! Keramat Abu Daud ini pastilah hanya keramat khadim yang besar kemungkinannya berasal dari jin-jin kafir atau syaitan terkutuk yang tercipta daripada api, yang hanya mahu menipu dan menyesatkan cucu-cicit Nabi Adam ‘Alaihissalam, bukannya keramat Wali Allah!

Hal inilah yang diberitahunya kepada penduduk kampung su-paya berhati-hati dalam memuliakan sesorang itu, agar kemuliaan ini jangan sekali-kali diberikan kepada orang yang tidak berhak menerimanya kerana dunia pada akhir zaman ini sudah sarat dengan orang-orang yang tidak mulia tapi terus-menerus dimuliakan dan orang-orang yang mulia selalu saja direndah-rendahkan mertabatnya, yang hanya akan menjadi penyakit di dalam dada masyarakat.

“Kerana mutiara sekalipun jika dibenamkan ke dalam lumpur, akan tetap tinggi nilainya,” katanya. “Dan debu-debu walau setinggi-langit melayangnya akan tetap tidak berharga.”

Penduduk kampung, tua muda, berpelajaran atau tidak, terus juga berduyun-duyun berjumpa Abu Daud yang doanya seratus peratus makbul dan sentuhan tangannya boleh menyembuhkan penyakit yang paling degil sekali di dunia ini, tapi kata mereka, mereka datang bukanlah kerana ingin hendak melihat keramat-keramat hebat Abu Daud, kerana Abu Daud sendiri telah menjelaskan bahawa ia sebenarnya tidak berkuasa apa-apa te-tapi segala-galanya adalah perbuatan Allah, samalah seperti yang difirmankan-Nya di dalam Surah Al-Anfal tentang kemenangan tentera umat Islam yang sedikit menentang bala tentera Musyrikin yang berlipat ganda bilangannya: Falam taqtuluuhum walaakinnallaha qatalahum, wamaa ramaita izramaita walaakinnallaha ramaa = Maka sebenarnya bukan kamu yang membunuh, akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar. Mereka datang adalah lebih kerana duduk berdekatan dengan Abu Daud sambil mendengar cakapnya membawa ketenangan jiwa dan fikiran kepada mereka dan lagi Abu Daud tidak pernah bercakap tentang hal-hal yang sukar difahami yang membelit fikiran dan memeningkan kepala. Ia hanya mengajar mereka menghalusi bacaan surah Al-Fatehah dan surah-surah lazim yang pendek dan kitabnya hanyalah Muqaddam yang nipis.

Memang, kata Tuan Haji Sabtu di dalam hati dengan mulut yang terkatup rapat sehingga berkedut-kedut tepi bibirnya, kerana ia tidak hafal surah-surah yang lebih panjang dari yang terkandung di dalam Juz ‘Amma itu.

Di masjid, pada waktu maghrib dan isyak, penduduk kampung lebih suka berimamkan Abu Daud yang sembahyangnya hanya sekejap sehingga Tuan Haji Sabtu bermufarrakah kerana tidak sikap sembahyang seperti ini, lalu sembahyang sendiri-sendiri membaca dengan suara yang jelas dan berlagu surah yang panjang selepas Al-Fatehah – Surah Yaasin pada rakaat yang pertama dan surah Ar-Rahman pada rakaat yang kedua, dan kerana katanya pada diri sendiri, di kampung ini ia hanya layak mejadi imam dan tidak afdal baginya menjadi makmum pada sesiapa lebih-lebih lagi pada Abu Daud yang tidak hafal Surah Yaasin itu.

Ia tidak pernah menyangka yang Abu Daud akan mencapai maqam yang tertinggi itu, jika benarlah seperti apa yang dilihatnya dan didengarnya sekarang ini, bagaimana pada satu hari ia melihat Abu Daud mengoyak-ngoyak besi kereta yang kemek kemalangan teruk bertembung dengan sebuah trak mengangkut batu, untuk menyelamatkan seorang bayi yang menangis terperangkap di dalamnya: besi yang keras itu kelihatan sungguh lembut di kedua-dua belah tangannya yang kosong, tapi ia tidak hendak percaya pada penglihatannya ini kerana penglihatan itu juga mampu menipu dan lagi ia hanya melihat dari jarak jauh dengan terjenguk-jenguk dan selebihnya ia mendengar cerita dari orang-orang lain yang jahil tentang keramat wali Allah yang sebenarnya. Penglihatan jangan per-caya cuma zahir; pendengaran jangan percaya, hanya cerita; tapi siasat lebih dulu baru buat keputusan. Tapi memang benar kehadiran Abu Daud membawa ketenangan dan ketenteraman sehingga udara hangat yang lesu menjadi bayu yang dingin dan segar, nyaman dan berbau kasturi dan tutur katanya sentiasa lembut dan buah cakapnya hanyalah hal-hal biasa – cara-cara berwuduk yang betul atau paling tinggi ia hanya menyeru supaya setiap orang taat pada perintah Allah dan Rasul-Nya yang boleh difahami oleh budak-budak yang belum mumaiyiz.

Ia cuba mengajak Abu Daud membicarakan kitab Fusus Al-Hikam tapi Abu Daud tunduk malu-malu mengatakan yang ia tidak pernah mendengar nama kitab seperti itu, apalagi membacanya, yang ia tahu hanyalah kitab-kitab kecil yang nipis yang digunakan untuk mengajar murid-murid darjah tiga sekolah ugama dan itu pun kitab-kitab lama yang sudah tidak terpakai lagi sekarang ini.

Tuan Haji Sabtu tersenyum lebar dan kemudian bercakap se-cara ringkas tentang riwayat hidup Muhyiddin Ibn Al’Arabi dan dengan panjang lebar tentang keramat-keramatnya dan kitab-kitabnya terutama sekali Fusus Al-Hikam yang termasyhur itu. Ia terus berbicara tentang zat Allah, tentang Hakikat al-Hakaik dan Hakikat al-Muhammadiyah atau Al-Kasyf al-Ilahi sehingga orang-orang yang mendengarnya bercakap seperti ini terlangap-langap tidak faham apa-apa dan mereka yakin bahawa Tuan Haji Sabtu sendiri pun tidak faham apa-apa yang dicakapkannya itu. Ia mengatakan bahawa apa yang dicakapkannya ini adalah ilmu yang tinggi yang memang sukar untuk difahami oleh orang-orang awam.

“Ialah Al-Syaikh Al-Akbar,” katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala dengan perlahan dan serius. Tangan kanannya tak lepas-lepas dari memegang biji-biji tasbih. “Seorang Wali Allah yang karya-karyanya hanya mampu dibicarakan oleh para Wali Allah yang lain.”

Suasana di masjid tua menjadi sunyi dan sepi seketika.

Apabila melihat Abu Daud seperti orang yang kebingungan saja ini, bibir Tuan Haji Sabtu yang nipis ini terbuka renggang sehingga gigi-giginya yang putih jelas nampak; ia mengurut-urut  janggutnya  yang  tebal  dan  putih, tersenyum-senyum seperti ini sambil terus menatap muka Abu Daud yang terus tunduk malu-malu tapi ia dapat juga mengesan satu kejernihan, ketenangan dan keheningan pada wajah ini yang menuntut supaya ia yang sudah tua berpuluh-puluh tahun beramal dan mengharap akan mencapai taraf keramat Wali Allah ini tunduk memuliakan dan mengiktiraf akan kewalian anak muda yang berumur dalam lingkungan tiga puluh tahun ini, yang berpendidikan rendah, yang hanya bekerja sebagai kuli, tukang sapu di ‘Guntur Industri Baja Cemerlang’ di Kampung Anu yang masih dikelilingi bukit-bukau dan hutan tebal ini.

Perasaan serba salah inilah yang memadamkan senyumannya. Dengan hati yang tambah terkilan ia berpaling menghadap ke arah kiblat, membilang-bilang biji tasbih, menyambung zikir yang telah diamalkannya sejak berpuluh-puluh tahun, zikir yang dipetiknya dari kitab-kitab para Wali Allah, yang istimewa, yang tidak sama dengan zikir-zikir biasa yang diamalkan oleh kebanyakan orang. Ia seolah-olah tidak akan berganjak dari masjid ini sampai bila-bila atau sehingga persoalan dirinya ini terjawab: mengapa Abu Daud yang tidak ada apa-apa itu dan tidak ia yang berilmu tinggi ini?

Semakin kuat ia beramal seperti ini semakin hampa pula perasaan hatinya, seolah-olah segala amalannya tidak diterima Tuhan. Semakin kuat ia beramal semakin bertambah pula keramat yang ada pada Abu Daud yang kini sudah boleh berjalan di atas air seperti yang diceritakan orang tentang bagaimana pada satu petang Abu Daud berlari di atas permukaan sungai Kampung Anu yang pada musim landas airnya sentiasa deras dan dalam untuk menyelamatkan seorang budak yang cacat anggota yang tenggelam-timbul memekik meminta tolong dan bagaimana pada satu hari Abu Daud masuk ke dalam api untuk menyelamatkan seorang perempuan tua yang kebakaran rumah; tapi apabila ia memandang wajah Abu Daud, ia mendapati pemuda ini tidak menampakkan apa-apa kehebatan: terlalu biasa dengan senyuman yang amat bodoh, tidak seperti dirinya yang sentiasa berjubah putih, dengan biji mata yang menusuk tajam dan bibir yang sentiasa terkumat-kamit sehingga janggutnya bergerak-gerak sepanjang masa.

Adakalanya ia ingin hendak tunduk memuliakan Abu Daud dan mengiktirafnya sebagai seorang Wali Allah, seperti orang-orang lain juga tapi jika ini yang dilakukannya bererti amalannya yang panjang-panjang ini dan ilmu-ilmunya yang tinggi yang amat sukar difahami ini semuanya kosong belaka; bererti amalan-amalan yang berpuluh-puluh tahun dan ilmu-ilmu yang ditimba dari beratus-ratus buah kitab menjadi seperti debu-debu kering yang akan berterbangan apabila ditiup angin; dan bukankah ia pernah pada beberapa malam, ketika setiap orang sedang tidur nyenyak, diam-diam pergi menyiasat ke rumah Abu Daud dan mendapati Abu Daud hanya beramal dengan sederhana – terlalu sederhana – siapa saja pun boleh beramal seperti itu dan menjadi Wali Allah yang memiliki keramat-keramat yang maha hebat dan menjadi orang-orang yang benar-benar mulia, bukan sekadar yang dimuliakan dan dunia akan menjadi lebih aman: tidak ada lagi perebutan kuasa dan pangkat, tidak ada lagi ketamakan pada harta benda, jenayah dan rasuah terhapus kesemuanya kerana setiap orang sudah mejadi Wali Allah, jujur, amanah, reda akan kedudukan dan keadaan diri; orang-orang atasan sentiasa merendah diri, tidak ambung pada orang-orang bawahan; orang-orang bawahan pula hormat kepada mereka tanpa kepura-puraan dan tanpa dipaksa-paksa; anak-anak muda hormat pada orang-orang tua dan orang-orang tua tidak lagi khuatir akan keselamatan anak-anak dara mereka sehingga syaitan dan iblis merungut-rungut di setiap penjuru alam, berputus asa dan menganggur, kerana manusia sudah tidak lagi panjang angan-angan dan sudah tidak lagi dapat mereka goda dengan segala macam kelazatan dan keindahan hawa nafsu. Tidak! Bukan semudah ini untuk menjadi Wali Allah! Syaitan dan iblis tidak pernah menganggur dan manusia tidak akan pernah puas walaupun bumi sampai hancur berkecai. Jika ia menghormati Abu Daud se-bagai seorang Wali Allah bererti ia juga seperti orang-orang lain yang berpendidikan rendah di Kampung Anu ini sedangkan sebenarnya ilmunya jauh lebih tinggi dari sesiapa pun sehingga sekiranya ia bercakap tentang Hakikat al-Hakaik selama tujuh hari tujuh malam tanpa putus-putus nescaya tidak akan habis meskipun ditokok-tambah lagi dengan tujuh hari tujuh malam yang baru terus-menerus.

Aku lebih mulia dari ia, katanya di dalam hati, kerana aku telah lebih dahulu dan lebih lama beramal dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Ketika ia berfikir dan berperasaan seperti inilah ia teringat kisah iblis di dalam Al-Quran, yang enggan sujud pada Nabi Adam ‘alaihissalam kerana ia yang dijadikan daripada api itu lebih mulia dari Adam yang dijadikan daripada tanah liat; dan bukankah iblis sebelum kejatuhannya adalah lebih tinggi amalnya dan lebih mulia kedudukannya dari para Malaikat keseluruhannya, sehingga ia tidak nampak yang lain selain dari Allah. Tapi ketika ia dengan angkuh mengatakan “Aku lebih mulia dari ia”, ia menjadi tidak nampak pada yang lain selain dari dirinya sendiri dan laknat Allah jatuh ke atas pundak-pundaknya dan terpaksa dipikulnya hingga ke akhir zaman.

Iblis adalah iblis; aku adalah aku dan Abu Daud adalah Abu Daud. Urusan dan qadar masing-masing telah pun ditetapkan sebelum segala-galanya ada. Dengan fikiran seperti ini dan dengan perasaan yang amat hampa terhadap diri sendiri kerana setelah berpuluh-puluh tahun beramal barulah sekarang ia menyedari bahawa dirinya sebenarnya ujub, seperti ujubnya iblis, Tuan Haji Sabtu tanpa diketahui oleh sesiapa masuk ke dalam hutan tebal mengasingkan diri dari masyarakat, meninggalkan anak bini, kitab-kitab dan segala-galanya, dan hanya akan kembali setelah mencapai kesempurnaan spiritual, sehinggalah beberapa tahun kemudian beberapa orang pemuda yang tersesat di perut rimba ini menemuinya.

Ia sekarang sudah jauh berubah, dengan rambut dan janggut yang amat panjang, mata yang tajam dan liar, masih memegang tasbih, jubahnya masih jubah yang dahulu tapi tetap putih bersih, bertafakur di tepi wasai di sebuah lembah yang dikelilingi pohon-pohon rimbun, yang hanya akan ditemui oleh orang-orang yang tersesat. Mukanya siapa yang memandang akan terpandang muka sendiri dan jika ditatap lama-lama akan terlihat rahsia kejadian alam dan jika terus direnung akan tersingkap segala ilmu rahsia kekuasaan yang ada di langit dan di bumi dan yang terkandung di antara kedua-duanya

Ia, sebelum sesiapa sempat memetik sesuatu dari rahsia atas rahsia ini, tanpa suara akan memberi amaran bahawa ia adalah fitnatul-kubra, cubaan besar bagi sesiapa yang menemuinya, seperti Harut dan Marut yang mengajarkan ilmu sihir di Babil.

Sekali-sekala orang-orang yang tersesat akan menemuinya dan sempat memetik ilmu rahsia dari mukanya lalu kembali ke tengah-tengah masyarakat: ada yang memilih dan membawa balik ilmu yang baik, ada yang memilih dan membawa balik ilmu yang jahat, yang semuanya hanyalah kerana manusia telah dibekalkan dan dipertanggungjawabkan dengan kebebasan untuk membuat pemilihan semasa hidup di dunia yang sebentar yang ada baik ada jahatnya, sebelum hidup di akhirat yang kekal abadi yang ada syorga ada nerakanya.

nota kecil: Cerpen ini saya hantar untuk majalah Bahana tetapi Pak Lah (Tuan Haji Abdullah Hussain – ketua editor Bahana ketika itu menghantarnya ke Dewan Budaya – DBP-KL dengan rekomendasi untuk disiarkan.)

BUKIT

Bahana Okt 1988

Sejak kecil, setiap hari, aku melihat Pak Ali menyorong basikalnya naik bukit kemudian pada esoknya ia akan turun meluncur laju pergi bekerja di kebunnya dan hanya akan kembali pada waktu petang menyorong basikalnya ini lagi naik bukit hanya untuk meluncur turun lagi pada esoknya.Tidak ada apa-apa yang nampak istimewa tentang Pak Ali: ia agaknya seperti orang-orang lain juga menjalani hidupnya sehari-hari tanpa banyak cakap, mencari makan, tidur, pastinya bergurau senda dengan isteri, mungkin sekali-sekala bertegang dengan anak yang tidak mengerti diajar, mungkin seperti kau dan aku ditimpa masalah dan terlepas daripada masalah untuk menghadapi masalah yang baru, namun gambaran ia menyorong basikalnya naik bukit dengan payah untuk esoknya turun lagi meluncur laju ini melekat di dalam kepalaku sehingga aku dewasa dan terlepas dari tanggungan kedua-dua orang tuaku, berulang-alik bekerja makan gaji di bandar.

Apa yang aku nampak sejak aku kecil ia tidak banyak berubah kecuali mukanya semakin tua dan anaknya semakin ramai: ia tetap setiap petang menyorong basikalnya naik bukit – rumahnya di atas bukit yang sederhana tingginya tetapi cukup melelahkan juga untuk didaki. Aku pernah ke situ beberapa kali untuk memenuhi panggilan bertahlil bagi arwah anak perempuannya yang telah meninggal dunia kerana penyakit cacar. Pernah aku duduk di sisinya tetapi aku tidak tahu bagaimana hendak bertanya soalan-soalan yang yang ada di dalam fikiranku, aku hanya dapat memandang-memandang ruang dalam rumahnya yang serba sederhana, mengamat-amati sebuah almari kecil berisi sebuah Al-Quran, sepasang kacamata putih dan beberapa buah kitab lama yang sudah pudar wama kulitnya sambil bergeser-geser kecil dari duduk silaku, kurang senang memikirkan pertanyaan-pertanyaanku sendiri sementara ia kelihatan sentiasa tenang dan aman seolah-olah bukan ia yang setiap hari menyorong basikal naik bukit, turun bukit dan naik bukit lagi itu dan aku akhimya aku mencapai kotak rokok lalu merokok meskipun aku tidak tahu dan sangat benci merokok.

Gambaran ia menyorong basikalnya naik bukit dan turun bukit untuk naik bukit untuk turun bukit lagi ini selalu saja kufikir-fikirkan setiap hari ketika aku melangkahkan kaki-kakiku, dua puluh langkah menuju ke pintu, daun pintu kubuka, aku melangkah keluar, pintu kutup dan kukunci, apakah ia pernah mengira berapa kali ia telah menyurung basikalnya itu turun naik bukit, aku berada di beranda memandang anak-anak tangga yang aku sentiasa ragu-ragu tentang bilangannya, kadang-kadang aku mendapati jumlahnya dua puluh dua kadang-kadang dua puluh tiga, aku turun, empat puluh langkah menuju ke kereta, rumput yang selama ini hijau sudah ada yang kering mati di sana sini, batu kerikil bertaburan ada yang bulat dan ada yang runcing – mungkin batu-batu kerikil yang sama di tempat yang sama seperti yang kulihat kelmarin, kelmarin bahari dan mungkin juga esok, lusa dan lusa tulat, kertas-kertas kotak koyak menjadi sampah, ada bunga raya yang merah mekar di tepi garaj, hujung kasutku menendang debu, sudah berhari-hari tidak hujan, apakah yang sedang difikirkanya ketika menolak basikalnya naik bukit yang berdebu ataukah ia tidak perhan berfikir tentang apa-apa – segala gerak lakunya semuanya otomatis, aku sampai di kereta, pintu kubuka, aku masuk, pintu kututup, enjin kereta kuhidupkan, sementara enjin ini panas aku memandang tali leher yang ampai-ampai di atas kerusi penumpang seperti ular hitam lalu memakainya tanpa fikir melilitkannya ke leherku seperti tali gantung dan aku pun memandu kereta di jalan raya berwarna kelabu, hati-hati memandang dan kadang-kadang mengira-ngira garis-garis putih di tengah-tengahnya tetapi hitunganku tidak pernah sampai dua ratus aku sudah pun kehilangan kiraan kerana fikiranku kembali kepada orang tua yang menyorong basikal naik bukit untuk meluncur turun esoknya lagi, tidakkah ia merasa jemu mengulangi perbuatan yang sama setiap hari untuk seumur hidupnya dan jika ia mati aku sudah dapat membayangkan bahawa anaknya ke cucunya ke cicitnya akan menyambung perlakuan ini sehingga ke hari kiamat, empat puluh minit aku memandu ke bandar, setiap hari menghadapi jalan raya yang sesak, aku menaruh kereta di kawasan letak kereta di tempat yang sama seperti kelmarin dan hari-hari yang lalu, di tempat yang sama untuk hari-hari yang akan mendatang, barangkali ia sebenamya seorang yang tolol yang tidak ingau pada apa-apa, tetapi juga barangkali ia telah menemui kebijaksanaan yang telah mengangkat dirinya lebih tinggi daripada kehidupan sehingga tidak ada apa-apa yang tidak dapat diterimanya dan dihadapinya dengan tenang, aku keluar, menutup dan mengunci pintu kereta, melangkah tiga puluh langkah masuk ke bangunan besar berbentuk kotak dan pada waktu petang aku keluar kotak melangkah lagi tiga puluh langkah membuka pintu dan masuk ke dalam kotak kecil lalu memandu di atas jalan raya yang sama, bersama-sama kotak-kotak kecil yang lain pulang ke rumah – sebuah kotak, masuk ke bilik – kotak di dalam kotak, semata-mata untuk mengulangi segala-galanya lagi pada esok hari, lusa, lusa tulat dan seterusnya selagi aku hidup dan darah mengalir di dalam tubuhku, memandang pemandangan yang sama seperti pagi tadi, kelmarin dan esok dan aku sampai di rumah di dalam keadaan yang letih dan lesu seolah-olah selepas mendaki bukit dengan kesedaran bahawa aku akan terpaksa turun dan naik lagi semula untuk turun lagi dan naik lagi seperti satu hukuman, seperti satu sumpahan yang mesti dipikul; tidakkah aku juga seperti Pak Ali dengan basikal dan sebuah bukit dan gambaran inilah yang terus terbayang-bayang di mataku, kadangkala aku terlihat akulah yang menyorong basikal yang entah bila pula ia bertukar menjadi batu besar yang bundar yang kutolak naik ke puncak bukit dengan payah dan bukit ini entah bila pula bertukar menjadi gunung yang sebaik-baik saja aku sampai di puncaknya tenagaku habis dan batu bundar besar ini pun terlepas dari tanganku dan ia bergolek ke bawah dan aku mengejarnya seperti orang gila dan aku menolaknya lagi naik ke puncak dan terlepas semula bergolek ke bawah dan aku mengejarnya lagi seperti orang gila berulang kali … batu besar yang bundar yang kutolak naik ke puncak gunung dengan payah yang sebaik-baik saja aku sampai di puncaknya tenagaku habis dan batu bundar besar ini pun terlepas dari tanganku dan ia bergolek ke bawah ….

Setiap pagi ketika aku memandu ke pejabat aku melihat Pak Ali menunggang basikalnya meluncur laju dan pada petangnya ketika aku pulang kerja aku melihat ia lagi menyorong basikalnya dengan payah naik bukit dan esoknya ia menunggang basikalnya meluncur laju lagi dan akan kembali pada waktu petang menyorong basikalnya ini lagi naik bukit untuk meluncur turun lagi pada esoknya …

GEMALA

Bahana Disember 1988

OLEH sebab Pak Sabtu seorang yang jujur, apabila ia menjumpai gemala yang bersinar-sinar ini ia terus membawanya kepada tuannya, Awang Saiful, walaupun di dalam hatinya ia ingin benar hendak memilikinya kerana bukan setiap hari seseorang itu boleh menemui benda berharga seperti ini. Ia menenangkan hatinya yang macam melonjak-lonjak amat gembira ini kerana ia teringat bahawa ia cumalah seorang tukang kebun yang tidak mempunyai apa-apa dan gemala ini ditemuinya di kebun tuannya ini, jadi ia tidak ada hak terhadap benda ini. Tuan tanahlah yang lebih berhak walaupun ia sebenarnya boleh saja diam-diam menyimpannya.Gemala ini bulat sebesar ibu jari, berkilat seolah-olah diperbuat daripada cahaya. Ia menjumpainya di belakang rumah tuannya ini. Rumah tuannya ini sebuah rumah batu yang besar dengan kebun bunga di halaman depan dan sebuah kebun sayur kecil di kawasan belakang. Kebun sayur ini adalah atas usul dan permintaan Pak Sabtu sendiri kerana katanya, selurus-lurusnya, kepada tuannya yang kaya yang jika ia mahu boleh membeli pasar sayur dan ikan di Gadong itu, ia akan berasa amat bodoh menghabiskan tenaga tuanya ini dengan berkebun bunga, walaupun ia digaji dengan cukup.

“Kerana tuan,” katanya, “bunga tidak boleh dimakan.”

Awang Saiful, penduduk kampung memanggilnya Tuan Saiful yang sentiasa kelihatan kemas ini sudah lebih seratus kali mengingatkan tukang kebunnya ini supaya jangan memanggilnya dengan bertuan-tuan kerana Tuhan yang menjadikan ia adalah Tuhan yang sama. Tuhan yang Satu, cuma rezeki saja yang berbeza dan rezeki itu pun daripada Tuhan yang Satu. Jadi tidak ada apa-apa yang hendak dibesar-besarkan kecuali Tuhan yang menjadikan semuanya ini. Oleh kerana sayangnya kepada tukang kebun ini ia bersetuju saja: bukan senang mencari tukang kebun seperti Pak Sabtu yang jujur, berterus terang dan yang rajinnya boleh menanam bunga atau apa saja dengan subur di celah-celah batu, yang mengenali dan memberi setiap tanamannya dengan nama-nama peribadi; bunga cempaka dan di sebelah kanan itu – Liau Kaca namanya dan yang di sebelah kiri Dang Sumur dan ada seratus nama lagi yang telah diciptakannya.

“Pak Sabtu buatlah apa yang disukai,” kata Awang Saiful, “asalkan bapak jangan mengabaikan kebun bunga, tugas rasmi bapak itu.”

Setiap hari selepas mengurus kebun bunga, Pak Sabtu akan pergi ke belakang untuk mengurus kebung sayur yang kecil ini. Berdekatan dengan kebun sayur inilah ia menjumpai gemala ini.

Pagi ini seperti pagi-pagi yang lain, cuma daun-daun rumput masih basah kerana hujan turun sekejap pada waktu subuh, matahari memancar dan mula terasa bahangnya, Pak Sabtu terserempak dengan sederet bangkai semut hitam dan merah. Ia mengikuti deretan ini dengan perasaan hairan kerana seingatnya ia tidak ada melakukan peracunan serangga pada hari sebelumnya dan semut-semut ini tidak mempunyai alasan untuk mati seperti ini. Di hujung deretan bangkai-bangkai semut ini, di tepi kebun sayur berdekatan dengan selonggok timbunan daun-daun, akar-akar dan rumput-rumput kering, ia ternampak beratus-ratus ekor semut merah dan hitam sedang bertempur. Daripada banyaknya bilangan yang sudah bergelimpangan mereka tentunya bertempur sampai mati. Pak Sabtu menyangka bahawa dunia tidak lama lagi akan kiamat atau sekurang-kurangnya sesuatu yang buruk akan berlaku. Bukankah dulu sebelum Perang Dunia Kedua ada cerita sekumpulan katak bertempur, kemudian seminggu selepas itu peperangan dunia pun tercetus dan ada lagi beberapa cerita seperti ini yang teringat olehnya. Ini bukan yang didengarnya tapi benar-benar berlaku. Ia masih ingat dan tidak mungkin akan lupa pada dua ekor ular yang bergelut di halaman rumahnya, oleh kerana kedua-duanya memiliki taring yang beracun keduanya pun mati. Dua minggu selepas itu ketika peristiwa ini mulai dilupakan, pemberontakan 1962 pun berlaku. Di tengah-tengah pertempuran ini tertindih di bawah sehelai daun kering ada benda yang bersinar-sinar.

Seperti mengenal indung atau anak sendiri ia terus yakin bahawa benda ini adalah gemala, tidak lain dan bukan lain lagi adalah gemala, meskipun ia sama sekali belum pernah menengok gemala, dan semut-semut ini sedang bertarung sampai mati untuk memilikinya. Tanpa berlengah-lengah lagi Pak Sabtu membongkok, hampir terjatuh kupiah buruknya ke tanah, sambil meminta maaf pada semut-semut yang sedang asyik bertempur ini, berbunuh-bunuhlah kamu terus tapi aku akan mengambil untung, lalu memungut gemala ini kerana ini sudah memang adat dunia, maafkan aku tentera-tentera semut! Gemala ini ditaruhnya baik-baik ke dalam lipatan perca yang sudah buruk lusuh tapi masih bersih lalu dimasukkannya ke dalam saku seluarnya. Cahaya dari batu gemala ini betul-betul tertutup dan semut-semut ini tiba-tiba berhenti bertem-pur lalu bubar sambil memungut dan membawa mayat rakan-rakan mereka lari dari situ. Alasan untuk berbunuh-bunuhan sudah tidak ada lagi. Mereka seperti lupa dan bingung kenapa mereka bertempur sebentar tadi. Kami tidak tahu kenapa kami berbunuh-bunuhan, hai orang tua, mungkin berbunuh-bunuhan itu hanyalah satu tabiat.

Oleh sebab Awang Saiful dengan dahinya yang luas ini adalah manusia biasa dan gemala ini adalah benda luar biasa dan disogokkan pula kepadanya seperti ini, ia terus saja mahu memilikinya walaupun ia sedar bahawa Pak Sabtulah yang lebih berhak menyimpannya, walaupun isterinya Hajah Sainah jelas sedikit ragu-ragu kerana percaya benda seperti gemala ini hanya berhak disimpan oleh orang yang menemuinya saja.

“Pak Sabtu memang benar,” kata Awang Saiful dengan cepat. Mukanya jelas menampakkan kegembiraan bercampur sedikit ke-khuatiran, takut kalau-kalau tukang kebunnya ini akan mengubah fikiran; manusia mana yang tidak berkehendakkan benda yang bersinar-sinar seperti itu? “Pak Sabtu memang benar, batu gemala ini adalah hak saya kerana ia dijumpai di kawasan tanah saya.”

Tukang kebun yang sudah tua ini menghulurkan batu yang bersmar-sinar ini kepada tuannya dengan muka selamba. Apa boleh buat takdir telah menentukan yang ia telah menemui gemala ini di tanah orang lain dan ia telah ditentukan sebagai orang yang amat jujur, apa boleh buat. Ia berasa sedikit kesal kerana mencuri batu ini daripada semut-semut itu tapi apabila ia teringat bahawa semut-semut itu berhenti berbunuh-bunuhan kerana batu ini sudah diambil ia berasa senang hati, berasa seperti telah melakukan sesuatu yang amat baik pada hari ini, berasa seperti telah menyelamatkan beribu-ribu jiwa daripada terbunuh dan lagi ada sesuatu yang dapat dipelajari daripada peristiwa ini yang dapat ditanggapinya dengan jelas; pada tahap yang paling bawah sekali berbunuh-bunuhan itu hanya akan menguntungkan orang lain, pada lapisan kedua ia nampak batu gemala ini adalah harta kekayaan dan segala yang mengasyikkan dan semut-semut itu adalah keghairahan hawa nafsu. Pada lapisan yang ketiga pula ia nampak bahawa batu gemala ini adalah cahaya kebenaran yang mesti dimiliki dan dipertahankan walaupun dengan pengorbanan jiwa, dan juga ia nampak bahawa peristiwa ini adalah dugaan terhadap kejujurannya. Semua ini rasanya sudah cukup baginya untuk hari ini, tidak apa jika batu gemala ini tidak menjadi miliknya dan lagi ia ingat bahawa setiap apa pun di dunia ini, selonggok batu yang jatuh di atas ribaanku dan selonggok emas permata yang jatuh di atas ribaan tuan adalah datangnya daripada Allah Yang Satu dan tetap milik Allah Yang Satu dan nilainya yang sebenar bergantung kepada keadaan yang kepada siapa ia dikurniakan.

“Tuan, ambillah,” katanya.

“Ya, ini adalah hak saya,” kata Awang Saiful. Selalunya ia akan menegur tukang kebunnya ini jika ia masih bertuan-tuan dengannya tapi kali ini ia teriupa.

Cahaya dari batu gemala ini memancar ajaib seperti jarum-jarum berkilat bersih dan berwarna-warni. Batu ajaib ini sudah tentu akan ditaruh pada satu tempat yang dikira selamat tapi dapat ditonton oleh sesiapa saja yang datang berkunjung ke rumah ini. Awang Saiful sudah mempunyai rencana untuk batu ajaib ini. Gemala ini akan disimpan di dalam kotak kaca yang akan ditem-pahnya khusus untuk ini. Ia terbayang bagaimana benda-benda berharga seperti ini dipamerkan di muzium-muzium antarabangsa yang pernah dilawatinya, inilah yang akan ditirunya. Gemala ini akan dipamerkan di tengah-tengah ruang tamu. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, tuan-tuan dan puan-puan yang datang dari jauh dan dekat, tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan saksikanlah bagaimana cahayanya memancar-mancar menyilaukan mata. Inilah gemala semut yang hanya dapat dimiliki oleh orang-orang yang jujur dan dengan itu saksikanlah juga bahawa harta-harta yang ada di dalam rumah ini adalah semuanya bersih daripada kemaksiatan. Jangan ada sesiapa yang berniat jahat hendak mencuri batu ini kerana ia dikawal rapi dengan alat-alat elektronik yang boleh membunuh serta-merta!

Bagaimana berita tentang batu ajaib ini tersebar dengan meluas pada hari itu juga ke seluruh kampung hanya Dang Sara penjaja kuih dari rumah ke rumah saja yang tahu. Dang Sara memiliki telinga yang tajam seakan-akan boleh mendengar apa yang sedang orang lain fikirkan dan dialah tuan punya lidah yang sentiasa sibuk.

“Sumpah, jangan beli kuihku kalau aku berbohong,” katanya. “Batu itu dijumpai oleh Pak Sabtu tapi telah diambil oleh tuannya, Awang Saiful, yang sudah sedia kaya itu.”

Pak Sabtulah yang membetulkan berita ini apabila tohmah dan rasa tidak puas hati orang kampung mulai timbul, tidak batu ini bukan diambil oleh tuannya yang baik hati ini tapi sebenarnya telah diserahkan kepadanya, tapi siapakah yang mahu percaya? Batu gemala ini tetap hak Pak Sabtu; mereka yakin bahawa Awang Saiful telah merampasnya dan kemudian mereka menuduh Pak Sabtu telah mereka-reka cerita palsu untuk menutup keburukan tuannya itu supaya ia dapat bekerja terus di situ. Orang-orang seperti Tuan Saiful ini boleh berbuat apa saja, kata mereka. Hidup ini penuh dengan putar belit dan mereka, kata mereka, bukan bodoh. Mereka mula bercerita apa yang mereka yakini berlaku sebenarnya. Pak Sabtu hanya mendengar sambil matanya berkebil-kebil dan bibirnya tersenyum-senyum kecil. Ia berfikir bahawa dunia ini sudah tua dan ia juga sudah tua. Peristiwa-peristiwa berlaku dan terus berlaku, dan segalanya kelihatan seperti berbelit-belit dan penuh dengan masalah, tapi pada dasarnya tidak banyak perubahan yang berlaku: sejak dahulu manusia suka bercerita dan mereka-reka cerita di sekitar sesuatu peristiwa jika cerita sebenarnya tidak seperti yang difikirkan atau diyakini; bukan susah awang-awang, dayang-dayang, anak-anak dan cucu-cucu yang dikasihi sekalian, cerita-cerita baru boleh direka dan kemudian diulangi cerita sampai beribu-ribu kali kemudian ditulis hitam putih dan ia akan menjadi sejarah yang tidak perlu dipertikai-tikaikan lagi. Dan pakcik ini orang biasa, awang-awang, dayang-dayang, anak-anak dan cucu-cucu yang dikasihi sekalian, juga orang-orang biasa, dan hidup ini pun sejak dari dulu lagi sentiasa biasa-biasa saja!

“Batu gemala itu dirampas oleh Tuan Saiful,” kata mereka. Mereka sudah sepakat tentang dasar cerita yang sebenarnya, de-tailnya. mungkin berbeza di antara seorang dengan yang lain.

“Batu itu saya berikan kepadanya,” ulang Pak Sabtu, “itulah yang sebenarnya.”

“Kami tak percaya. Kami tahu, kami faham yang Pak Sabtu seorang yang penyabar, yang tidak suka membuat hal. Perkara seperti ini yang tidak boleh dibiarkan berlaku dan didiamkan! Apakah kerana ia bergelar seorang tuan ia boleh berbuat sesuka hatinya?”

Inilah bagaimana mulanya keributan berlaku di Kampung Anu yang seribu lebih penduduknya ini. Dari kedai kopi tempat mereka berbincang ini mereka berarak ke rumah Awang Saiful. Yang tidak tahu hujung pangkalnya ikut saja kerana hidup di dunia ini terlalu singkat untuk menyiasat dan bertanya panjang-panjang, kerana kalau kau ketinggalan kau akan ketinggalan terus; sesuatu peris-tiwa itu tidak akan menunggu kehadiranmu. Marilah tuan-tuan dan puan-puan, bapak-bapak dan nenek-nenek, mari kita ke rumah Tuan Saiful, kami dengar mereka hendak mengajarnya dan kamu budak-budak yang belum cukup umur, yang belum bersunat pergi bermain jauh-jauh kerana ini adalah urusan orang tua-tua. Ya, ini adalah urusan orang tua-tua yang sudah cukup akal.

Mereka sampai di rumah Awang Saiful. Mereka menolak pintu pagar yang kebetulan tidak berkunci ketika ini. Pagar besi bercat hitam ini berkeriut mungkin kerana terlalu berat dan tidak diberi minyak. Mereka berkumpul di halaman yang subur dengan pokok-pokok bunga yang dikerumuni oleh kupu-kupu berwarna-warni, tua dan muda riuh-rendah memprotes dengan suara-suara lantang me-mekikkan bahawa sekarang bukan zaman penyamun, bukan lagi zaman rampas-merampas, bukan lagi zaman tuan-tuan tanah berkuasa mutlak, bukan lagi zaman untuk menunjuk-nunjukkan kekuasaan. Tuan yang terhormat, sekarang zaman bertamadun, zaman setiap orang yang jarih-jarih sudah mempunyai hak sama dan gemala ini adalah lambang hak orang yang jarih-jarih dan mereka ini semuanya adalah orang yang jarih-jarih.

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

“K.ami mahu gemala!”

Kupu-kupu lenyap dari taman bunga ini walaupun madu masih belum puas dihirup dan debunga masih banyak yang perlu dikumpulkan dan disebarkan agar kehidupan di taman bunga ini terus berputar seperti berputarnya alam, agar kuntum-kuntum akan terus kembang mekar, tapi tuan-tuan dan puan-puan, khalifah di muka bnmi, kami mohon diri kerana urusan kami tidaklah sepenting urusan tuan-tuan dan puan-puan sekalian dan kepak kami ini terialu kecil dan kami ini terlalu kerdil sedangkan tangan tuan-tuan dan puan-puan para khalifah di muka bumi sekalian itu saja sudah cukup besar dan boleh melumatkan kami. Jangan susah, kami akan kembali meneruskan tugas kami sebaik-baik saja urusan tuan-tuan dan puan-puan yang amat penting ini selesai. Silakan dengan hormatnya!

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

Satu jeritan kesakitan yang nyaring, jeritan anak damit, terdengar dari arah rumah batu besar ini yang diikuti kemudian oleh jerit pekik pertengkaran, suara Awang Saiful, suara isterinya, suara anak-anaknya, tangisan anaknya yang bongsu yang baru saja berumur empat tahun, yang baru saja ditempelengnya, kecil-kecil sudah pandai menginginkan benda-benda berharga yang berkilauan. Tidakkah cukup ibunya saja yang menghendaki batu gemala ini, ibunya yang awal-awal tadi ragu-ragu tentang haknya memiliki gemala ini, sekarang sudah mula menagih dan merayu jika kau benar-benar sayang padaku hadiahkanlah saja batu gemala itu padaku; dan anak-anaknya yang berumur sepuluh, tiga belas dan empat belas tahun yang baru pulang dari sekolah tiba-tiba hilang lelah apabila melihat cahaya dari batu gemala ini, segar lalu bertengkar, masing-masing meminta batu bercahaya ini kerana akulah yang dulu nampak batu ini, akulah yang dulu masuk rumah ini tadi, siapa dulu dialah yang punya, tapi akulah yang dulu nampak bukan kau kerana aku sudah nampak cahayanya sejak dari luar pagar lagi, tidak, kamu berdua bohong kerana tadi kamu berdua bercakap tiada lain hanyalah lapar, lapar, lapar sedangkan aku diam-diam saja kerana aku terpegun pada satu cahaya yang memancar-mancar dari dalam rumah kita ini jadi bagaimanakah kamu boleh mengatakan yang kamulah yang dulu nampak batu ini sedangkan yang kamu fikirkan tadi tidak lain hanyalah makan, makan, makan? Dengar kamu semua, anak-anak kebanggaanku yang besar panjang, yang berakal, yang bertuah, batu ini bukan sebarang batu. Inilah gemala semut yang penuh hikmat yang bukan boleh didapati dan dibeli di kedai-kedai emas tapi hanya dijumpai oleh orang-orang yang jujur, hanya berhak dimiliki oleh orang-orang yang jujur seperti bapamu ini dan kamu semua janganlah panjang angan-angan kerana gemala ini tidak akan kuberikan kepada sesiapa. Akulah yang akan menyimpannya; tapi anak-anak yang dikasihi, yang sebelum ini setahunya tidak pernah bergaduh ini cuma berhenti bertengkar sekejap kemudian mereka menyambung pekik-memekik semula kerana mereka teringat jika bapa mereka ini sudah tiada siapakah yang akan berhak mewarisi batu bersinar-sinar ini; siapa lagi sudah tentulah aku dan bukan kau kerana akulah anak yang mempunyai seribu alasan!

Awang Saiful yang selama ini tidak pemah marah-marah apalagi kepada anak-anak, darah daging sendiri, kerana dulu semasa kecil, mungkin sudah lebih empat puluh tahun, ia sudah hampir-hampir lupa, ia suka marah-marah dan ia pernah marah pada seorang kawan sepermainan yang lebih tua, yang lebih besar tubuhnya daripada dia. Mereka telah berselisih pendapat tentang sesuatu hal ketika bermain guli; kawannya ini marah balik padanya berserta dengan satu penumbuk kencang tepat ke mukanya. Ia tersungkur di atas tanah, ia terasa ada darah mengalir dari bibirnya, sakitnya ia hampir-hampir saja hendak menangis kerana sebilah giginya patah dan sebilah lagi bergoyang-goyang tapi ada orang mengajarnya berulangkali bahawa anak jantan pantang menangis. Ia berasa kesal kerana tidak ada orang yang mengajarnya dan ia terpaksa belajar sendiri secara praktik bahawa jika ia boleh marah-marah, orang lain juga boleh marah-marah. Sekarang ketika ahli-ahli keluarganya hingar-bingar merebutkan batu gemala ini ia berasa seperti gunung berapi yang telah tidur seribu tahun yang hanya menunggu saat hendak meledak, ketika inilah anaknya yang bongsu yang berumur empat tahun merengek-rengek, menghentak-hentakkan kaki meminta benda yang bersinar-sinar ini, rengekannya amat menyakitkan telinga. Dengan satu tempeleng saja anak kecil ini melayang ke dinding menjerit nyaring dan terus menangis tapi terus juga tidak jera merengek-rengek meminta batu ini.

Awang Saiful meluru keluar dari rumah yang berserabut itu; jika ia terus menunggu di situ mungkin ada orang yang akan mati dibunuhnya, syaitan terkutuk! Ia masih lagi memegang batu gemala yang cahayanya terus bersinar-sinar ini. Ia menengok sekejap batu yang hangat di tapak tangannya, barangkali batu ini bukan gemala penuh hikmat tapi telur iblis yang membawa sial.

Di luar, di taman bunga, sudah lebih seratus orang berkumpul dan bilangannya terus bertambah, kehadiran mereka baru saja disedarinya setelah ia merenggut pandangannya dari batu yang menyilaukan ini.

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

Jadi mereka juga mahukan telur iblis ini! Barangkali inilah telur yang disogokkan iblis kepada Nabi Idris alaihisalam ketika ia sedang menjahit-jahit baju, bertanya apakah Tuhan yang menjadikannya itu berkuasa memasukkan seluruh alam ke dalam telur yang kecil ini; ya, ya boleh, seperti berkuasanya Allah membutakan matamu dengan jarum yang halus ini! Barangkali pancaran-pancaran cahaya dari batu ini hanya akan membutakan mata seperti butanya sebelah mata iblis.

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

“Kami mahu gemala!”

Batu ini dilemparnya ke arah orang yang berkumpul ini. Nah, inilah gemala yang tuan-tuan dan puan-puan pekikpekikkan itu! Tuan-tuan dan puan-puan silakan ambil! Mudah-mudahan ada manfaatnya. Mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya, lebih seratus orang berlompatan menjunam seperti terjun ke dalam air, cuma saja tempat ini bukanlah air tapi simen yang sudah bertahun-tahun keras, tapi jangan khuatir kerana simen ini tidaklah sekeras kepala tuan-tuan dan puan-puan.

“Gemala itu aku punya!”

“Aku mahu gemala!”

“Gemalaku!”

Sepuluh orang patah tangan, sepuluh orang patah kaki, sepuluh orang luka-luka di kepala, sepuluh orang hampir-hampir tercungkil biji mata; patah kaki, patah tangan, luka-luka di kepala dan biji-biji mata yang hampir-hampir tercungkil semuanya belum cukup parah lagi. Inilah kesempatan untuk berbunuh-bunuhan, peristiwa seperti ini jarang-jarang berlaku dua kali, hoi! Mari sini, sudah lama aku teringin hendak mencekik lehermu; kalaulah tidak Pak Sabtu datang tenang-tenang dan tersenyum-senyum, kalaulah tidak Pak Sabtu terlihat benda bersinar-sinar di bawah tindihan tubuh-tubuh yang sedang bergelut ini, kalaulah tidak batu ini tiba-tiba terpelanting dan bergolek ke arahnya, orang tua pungutlah aku cepat-cepat, kalaulah tidak Pak Sabtu memungut batu ini dan memasukkannya ke dalam lipatan percanya dan memasukkannya ke dalam saku seluarnya dan kelaulah tidak cahayanya tertutup sama sekali, mereka mahu saja meneruskan pergelutan ini.

Mereka bubar sambil memapah rakan-rakan mereka yang tercedera keluar dari kawasan ini, maafkan kami tuan, kami tak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, barangkali semuanya ini hanyalah tabiat hidup.

Pak Sabtu beredar ke belakang rumah untuk mengambil peralatan berkebun bunga, dahan-dahan Liau Kaca dan Dang Sumur ada yang patah dan perlu dirawat segera, terima kasih orang tua, kami ini cumalah tumbuh-tumbuhan penghias taman yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Angin yang bertiup terasa sedikit dingin, langit redup, barangkali hujan akan turun malam nanti.

Matahari seperti biasa akan terbenam tidak lama lagi dan malam akan menggantikannya, kemudian tanpa dipinta-pinta besok akan tiba.

“Kita ini semuanya orang biasa,” kata Pak Sabtu sendirian. “Dan hidup ini pun biasa-biasa saja.”

BERITA PERDANA

Bahana Julai 1989

AKU BANGUN pada awal-awal subuh seperti selalu, bersiap sedia untuk melakukan tugas-tugasku pada hari ini. Aku menarik nafas kemudian menggeliat-geliatkan tubuh dan tanganku sambil tersenyum-senyum lebar. Fikiranku lapang dan aku merasa aman barangkali semuanya ini hanyalah kerana aku telah tertidur nyenyak. Sambil bersiul-siul kecil aku melangkahkan kakiku untuk ke kamar mandi. Aku terpandang kucing jantanku sedang mengejar seekor tikus, dunia seperti biasa-biasa saja, jika bukan kita yang dikejar – kitalah yang mengejar, kejar ia belang, kejar ia sampai dapat untuk sarapanmu, jika bukan kita jadi mangsa – kitalah yang memangsa. Kucing jantan yang seekor ini tidak pernah memberi ampun pada tikus. Kucing-kucingku yang lain tidak begitu ambil endah tentang tikus, mereka cuma sesekali menggerak-gerakkan hidung, oh ada bau tikus, dan kemudian memalingkan kepala lalu dengan malas berbaring semula, peduli apa, kami hanya akan makan tikus jika ia dihidangkan dan dimasak kari. Kucing-kucing akhir zaman.Jasadku terasa segar selepas mandi dan aku seperti terdengar zikir air memuji-muji Tuhan pencipta alam kerana telah memberi mereka peluang berkhidmat dan berbakti kepada salah seorang dari khalifah di muka bumi, ini dicampur dengan rasa lapang di kepala dan senang di hatiku menyebabkan aku merasa sedikit aneh. Tidak ada alasan mengapa aku mesti merasa tenang dan aman seperti ini kerana kerja-kerjaku di pejabat masih banyak yang belum siap dan ada beberapa masalah yang perlu dibetulkan – jika pun masalah tidak ada maka kita sendirilah yang mesti mencari masalah kerana masalah besar hidup di dunia ini ialah hidup yang tiada bermasalah.Barangkali rasa tenang yang aneh yang kurasakan ini hanyalah kerana aku tahu bahawa dunia dan alam ini adalah biasa-biasa saja seperti selalu, berputar mengikut manzilah-manzilah yang telah ditetapkan, taat pada peraturan-peraturan yang telah ditentukan – ya dunia biasa-biasa saja – tiada ada yang harus dikhuatir-khuatiri.

Satu perasaan baru muncul di hatiku, perasaan kasih sayang: aku tiba-tiba merasa kasih pada seluruh manusia dan jika aku memiliki harta yang banyak nescaya akanaku bahagi-bahagikan kesemuanya pada saat ini juga, ambillah kerana aku kasih kepada kamu semua, hai sesama manusia! Ketika aku berperasaan seperti inilah kucing jantanku si belang yang tidak pernah memberi ampun pada tikus itu merempuh di celah-celah kakiku, iadikejar tikus. Mulutku ternganga-nganga, kepalaku berpaling ikut ke mana tujunya lari si belang.Belang kau sudah jadi pengecut! Tetaplah sudah bahawa hidup ini seperti biasa-biasa saja kerana tiada apapun yang boleh dipercayai dan diharap-harapkan sangat: jika alam berputar mengikut ketetapan-ketetapan maka hidup yang mengisi raung alam ini pula tidak pernah tetap barangkali inilah yang dikatakan equilibrium. Ketidaktetapan di dalam ketetapan dan ketetapan pada ketidaktetapan.Wallahuaklam.

Setelah aku selesai menunaikan fardu subuh dan memberi salamke kanan kiriku, berzikir dan bertasbih bersama udara dan udara pagi sehingga matahari terbit, berdoa bagi kesejahteraan seluruh umat manusia yang kukasihi aku pun bersiap sedia untuk menikmati sarapan dan untuk pergi ke bandar bekerja di sebuah pejabat kerajaan. Aku mengenakan kemeja putih berlengan panjang, seluar hitam dan tali leher dan tali pinggang kelabu.

Aku turun ke bawah dengan langkah dan nafas yang teratur sambil tersenyum-senyum, rumahku dua tingkat, di tingkat bawah inilah kami sekeluarga bersarapan dan di satu sudut aku terlihat ahli-ahli keluargaku sedang mengerumuni sesuatu.Aku pergi ke situ untuk meninjau.Mereka sedang memerhatikan si belang, kucing jantan yang sangat antitikus.

Kucing jantan ini sedang bermain-main dengan beberapa ekor tikus.Mesra benar mereka.Aku pun ikut tercengang-cengang tapi kemudian cepat-cepat mengambil kamera untuk merakamkan kejadian yang jarang-jarang berlaku ini.Aku memilih satu sudut yang kukira menarik dari segi komposisi: si belang yang sedang berbaring mengiring di sebelah kanan tubuhnya melengkungi ruang kanan dan atas frem gambar, di atas kepalanya yang sedikit terangkat ada seekor tikus duduk tenang, kaki depan si belang terhulur pasif, di hujung kaki ini ada dua ekor tikus menghadapinya, jalur sinar matahari dari jendela jatuh tepat pada kepala seekor tikus yang sedang bermain-main dengan ekor si belang. Aku mengambil beberapa syot lagi.

Setelah selesai sarapan yang terasa lebih sedap dari biasa meskipun sarapan ini adalah lebih kurang saja seperti sarapan-sarapan pada hari-hari yang lain, aku melangkah keluar, matahari dan langit redup seperti menyapaku dengan lembut selamat pagi khalifah di muka bumi, kami telah dititahkan untuk berlembut-lembut pada hari ini, lalu angin pun bertiup dengan perlahan dan terasa nyaman di seluruh tubuhku dan seolah-olah membisik-bisik “Alhamdulillah” di telingaku dan tiba-tiba hatiku seperti ditarik-tarik lembut, aku pun menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan beg wang kemudian memanggil kesemua ahli keluargaku dengan lembut dan penuh kasih sayang lalu membahagi-bahagikan wang ini sehingga habis: ini adalah sesuatu yang jarang-jarang sekali aku lakukan. Tidak apa, aku akan mengeluarkan wang lagi di bank nanti.

Dengan hati yang lapang aku pun pergi ke pejabat, walaupun aku sudah sekian lama bekerja namun pada pagi ini memandu ke bandar terasa seperti satu pengalaman yang amat baru.Bunyi enjin keretaku halus dan licin dan kedengaran seperti bisikan zikir “Allah-Allah-Allah Huuuu…”.Sepanjang jalan tidak ada masalah walaupun kereta amat banyak, setiap pemandu dengan senang hati bertolak ansur, lori-lori meminggir ke tepi mempersilakan kenderaan-kenderaan kecil lalu dulu kerana mereka maklum bahawa tiada sesiapa yang siuman fikirannya yang cukup akalnya suka membuntuti kenderaan berat seperti lori. Tanda-tanda lalulintas di tepi jalan dipatuhi dengan sepenuh-penuhnya.Di persimpangan-persimpangan jalan di ibu kota yang sesak para pemandu tersenyum-senyum panjang dan manis menperlihatkan gigi-gigi yang putih, ada yang tersenyum sehingga menampakkan gusi, selalunya kenderaan dipandu oleh muka-muka masam, muka-muka marung ditampar syaitan dan mereka seolah-olah tidak pernah menyedarinya, pada waktu-waktu seperti ini aku pernah memandang mukaku di cermin lalu cepat-cepat memohon perlindungan Tuhan semesta alam kerana tidak syak lagi mukaku juga telah ditampar syaitan terkutuk sehingga aku hampir-hampir tidak dapat mengenali mukaku sendiri, tapi pada pagi ini mereka saling berbalas-balas senyuman menyebarkan dan memanjangkan kasih sayang, memberi laluan kepada sesiapa saja yang memerlukannya dan tidak ada sesiapa yang mahu mengambil kesempatan menyelit di celah-celah yang rumit, siapa yang dulu – dulu, siapa yang kemudian – kemudian; anak-anak muda berdarah segar memainkan lagu-lagu kegemaran mereka kecil-kecil cukup sekadar mereka saja yang mendengarnya kerana mereka sedar bahawa tidak semua orang gemar lagu-lagu pop yang nyaring dan melagur-lagur bunyinya itu; sepanjang jalan aku tidak mendengar bunyi hon kereta walau sekali pun, semuanya telah digantikan dengan sahut-sahutan salam yang tulus ikhlas.

Assalamualaikum.

Waalaikumussalam.

Mudah-mudahan rezekimu luas.

Dan engkau juga.

Siapakah yang menyangka bahawa aku akanbertemu dengan Saiful bin Abdul Hamid pada pagi ini. Seperti hidup ini yang biasa-biasa saja, begitu juga aku adalah manusia yang biasa-biasa saja.Aku mempunyai kegemaran dan kebencian, aku mempunyai kawan rapat dan musuh ketat dan Saiful bin Abdul Hamid yang kurus dan berambut lurus adalah kawan rapat yang telah jadi musuh ketatku, kerana, ini kisah lama, ia telah merampas Siti Rahmah yang berambut panjang menyecah bahu, yang demi cintaku padanya aku sanggup merenangi lautan api dan meredahi ladang onak, wallahuaklam, Saiful bin Abdul Hamid yang telah kusumpah hidup seribu tahun dan aku telah mengupah seorang yang pandai dan berilmu untuk menyantaunya dengan sejuta bisa-bisaan agar hidupnya yang seribu tahun itu sentiasa di dalam penyeksaan zahir dan batin, walaupun khabarnya ia terus saja sihat walafiat, barangkali orang yang pandai dan berilmu itu hanyalah penipu besar, tapi tak apa kerana hatiku sekarang sedang dicambahi rasa kasih sayang sesama manusia, maafkan aku Saiful kerana sudah sekian lama aku mengelak diri dari bertembung denganmu kerana setiap kali aku memandang mukamu aku rasa seperti hendak menempeleng mukamu itu, aku sepatutnya sudah lama memaafkanmu; akulah yang menyalaminya dahulu dan ia menjawab salamku dengan panjang dan penuh.

Dengan perasaan haru aku menjemputnya supaya datang ke rumah nanti.

“Bawalah Siti dan anak-anakmu,” kataku.

“Insya Allah.” Iaberjanji akan datang malam nanti. “Kami sekeluarga akan mengunjungimu.Masya Allah, kita benar-benar sudah lama tidak bertemu.”

Memang benar katanya ini – Negara Brunei Darussalam yang makmur ini bukanlah besar sangat, penduduknya pula hanyalah beberapa orang saja: Saiful yang merampas Siti, yang wallahuaklam, demi cintaku padanya aku sanggup membina jambatan emas dan jambatan perak sebagai bukti, tinggal sekampung denganku dan rumahnya cuma sepalaungan saja jauhnya; entah bagaimana selama sepuluh tahun aku mampu mengelak diri dari bertemu muka dengannya – permusuhan dan bersakit-sakit hati memang mencerai-beraikan manusia, kamu datanglah semua malam ini kita akan kembali eratkan silaturahim dan ramah mesra.

Di pejabat aku disambut oleh muka-muka manisdan aku menyahut salam yang datang dari sekelilingku sambil ada beberapa orang yang dengan muka yang berseri-seri bercerita beberapa hal kecil tapi menggembirakan. Apabila radio kecil salah seorang pekerja menyiarkan berita perdana kami semua menumpukan pendengaran sepenuhnya.

Tiada sesiapa yang dapat memahami sepenuhnya apa yang sedang berlaku di seluruh dunia, radio ini mengkhabarkan bahawa Presiden Amerika Syarikat dan Pemimpin USSR, dua kuasa besar yang boleh menghancurkan dunia dengan hanya menekan punat kecil, sudah saling faham-memahami dan tidak lagi curiga-mencurigai, mereka telah sepakat dan sedang mengumpulkan kesemua jenis missiles, bom nuklir, peluru berpandu dan segala jenis senjata api untuk dibinasakan dan mengambil langkah menghapuskan kerjaya tentera; Presiden Amerika Syarikat dilaporkan sebagai berkata bahawa askar-askarnya akan diberikan cangkul.

“Saya akan kerahkan mereka supaya bercucuk tanam,” katanya.Pemimpin Russia yang tidak pernah mahu kalah juga dilaporkan akanmemberikan cangkul pada tentera-tenteranya.

“Saya akan kerahkan mereka supaya berkebun bunga,” katanya.Sejam kemudian satu berita yang memeranjatkan disiarkan: kepala gereja telah mengisytiharkan dirinya memeluk agama Islam dan menyeru seluruh umat Nasrani supaya mengikuti jejaknya kerana Injil yang mereka gunakan sekarang sudah seratus peratus tidak asli lagi, ia secara berterus-terang mengakui demi kepentingan diri dan kedudukan telah menyembunyikan kebenaran tentang Nabi Muhammad s.a.w., lalu ia membacakan petikan ayat dari Injil Bernabas yang sejak dulu diharamkan oleh para paderi yang terdahulu. Pengisytiharan yang samadiikuti kemudian oleh para pendeta Yahudi dan Israel juga memberikan cangkul pada askar-askarnya untuk bercucuk tanam dan membantu saudara-saudara mereka membangunkan semula Palestin yang hampir-hampir musnah, dimulai dengan kerja-kerja pembaikan Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis.

Syafiee bin Abdul Malik yang hampir-hampir lasak kepalanya, teman sepejabat yang tidak pernah merasa bersalah seumur hidupnya, yang dari jauh mendengar berita dari radio ini tiba-tiba kulihat datang tertunduk-tunduk menyerahkan sebatang pensel kepadaku.

“Ini penselmu yang kupinjam sepuluh tahun yang lalu,” katanya.

Aku melihat benda yang bentuknya sudah macam tahi tikus ini: luncit di kedua-dua hujungnya.

“Nanti aku gantikan dengan pensel yang baru,” katanya.

“Tak usahlah,” kataku.”Aku halalkan dunia dan akhirat.”

Aku teringat sesuatu lalu membuka laci mejaku dan isinya macam menempalak ke mukaku: aku tidak menyangka bagaimana harta-harta orang lain boleh berada di sini, bagaimana barang-barang Abdul Hamid, Nassier, Zaiton, Siti Hawa, Hajah Latifah, Hussain, Saat, Abdullah, Makruf boleh berada di sini – dalam laci ini? Satu undang-undang patut diadakan untuk mencegah amalan pinjam-meminjam sewenang-wenang kerana iahampir-hampir sama dengan mencuri; mula-mula kita meminjam kemudian kita menangguh-nangguh hendak memulangkannya dan terus terlupa bahawa kita pernah meminjam sesuatu dan akhirnya benda-benda ini kita akui sebagai milik sendiri. Aku, seperti Syafiee, memulangkan benda-benda ini kepada pemiliknya yang hak tapi mereka dengan muka yang manispenuh keikhlasan tapi tegas menolaknya.

“Tak usahlah.Aku halalkan dunia dan akhirat.”

“Tak usahlah.Aku halalkan dunia dan akhirat.”

“Tak usahlah.Aku halalkan dunia dan akhirat.”

“Jika kami betul-betul memerlukannya selama ini tentulah kami akan mencari-carinya tapi sudah lima tahun benda-benda itu berada di lacimu dan kami tidak pernah merasa akan kehilangan apa-apa.”

Terima kasih semua, kamulah kawan-kawanku yang baik, mudah-mudahan umur kamu panjang dan rezeki kamu murah.Aku menjemput mereka semua, supaya datang ke rumah nanti.

“Bawalah anak bini dan suami, kita bergaul mesra.”

Mereka semua berjanji akandatang.

“Insya-Allah,” kata Syafiee yang rumahnya di hujung dunia itu.

Negara-negara maju yang kaya raya pada tengah hari hari ini serentak mengumumkan bahawa segala pinjaman yang mereka berikan kepada negara-negara miskin sekarang sudah dikira langsai dan ini baru langkah pertama dalam rangka bantuan secara global yang bakal mereka hulurkan.

“Kerana,” kata mereka, “jika kami memerlukan wang itu sudah tentu kami tidak akan mampu meminjamkannya kepada negara-negara tersebut.”

Para pemimpin negara miskin pun mengumumkan yang mereka akanmenggunakan bantuan ini untuk memajukan negara dan bukan untuk diri mereka dan ahli-ahli keluarga mereka sendiri saja.

Sepanjang hari ini pada setiap jam radio hanya menyiarkan berita-berita baik, berita-berita yang menggembirakan dan menyenangkan hati: para pemberontak di negara-negara yang dilanda kekacauan politik sudah berdamai dengan pemerintah dan berjanji akan menyokong setiap rancangan kerajaan dan pemerintah berjanji akan mendengar segala kritikan dengan hati yang terbuka demi kepentingan semua kerana bukankah rakyat dan kerajaan itu adalah satu sebenarnya; di Afrika Selatan rakyat kulit hitam dan putih mengadakan kahwin campur beramai-ramai, lebih sepuluh ribu pasangan mengambil bahagian; sekumpulan saintis yang secara diam-diam membuat penyelidikan mengisytiharkan bahawa mereka telah menemui sejenis bakteria yang boleh membunuh kuman AIDS yang menakutkan itu dan pengisytiharan mereka ini lebih bernada ugama dari saintifik, Tuhan semesta alam telah mengampuni kita semua, kita hendaklah bersyukur kerana ini marilah kita kembali ke jalan yang benar kepada kehidupan yang siuman dan pergaulan yang alamiah, halal dan sihat; para jutawan secara diam-diam berlumba-lumba mendermakan bahan-bahan makanan dan pakaian kepada negara-negara yang dilanda kebuluran dan selajur melabur di negara-negara tersebut bukan kerana hendak mencari untung tapi dengan ikhlas hendak membantu kerana kau adalah manusia, aku adalah manusia, kita semua adalah manusia, mari kita hapuskan kemiskinan di seluruh dunia; penjara-penjara dilanda kemuraman kerana banduan-banduan menangis menyesali perbuatan-perbuatan mereka meskipun pihak-pihak berkuasa telah mengampunkan mereka, bebaslah kamu hari ini, pergilah bertemu semula dengan sanak saudara dan ahli-ahli keluarga kamu tapi mereka tidak mahu bebas, hukumlah kami, bunuhlah aku kerana aku telah membunuh, potonglah tanganku kerana aku telah mencuri, penjaralah aku seumur hidup kerana kesalahan-kesalahanku yang tidak terampunkan.

Siaran televisyen diawalkan dari biasa kerana radio sudah tidak dapat lagi menampung kesemua berita-berita baik yang datang mencurah-curah seperti hujan rahmat dari langit ini; kesatuan-kesatuan sekerja, parti-parti politik dan segala macam pertubuhan dibubarkan kerana semuanya ini hanya akan mempuak-puakkan manusia; imam-imam golongan Syiah diberitakan membakar segala kitab Al-Kaafi mereka dan menggantikannya dengan Sahih-Ul-Bukhari dengan sebenar-benarnya dan bukan kerana taqiyyah; tepat pada pukul tiga petang para pemimpin seluruh dunia mengumumkan bahawa dunia ini kepunyaan semua dan dengan ini sempadan-sempadan negeri semuanya dihapuskan: upacara-upacara pembakaran pasport diadakan secara besar-besaran di seluruh dunia di Kremlin, New York, Tokyo, London, Beijing dan disiarkan secara langsung melalui satelit ke seluruh dunia, apinya menjulang ke langit, asapnya tersebar merata-rata ditiup angin yang bertiup perlahan dan lembut, kita semua adalah manusia dan manusia ini kesemuanya adalah satu.

Hidup manusia!

Hidup manusia!

Hidup manusia!

Televisyen sesekali menyiarkan gambar-gambar hidup binatang-binatang maging bercampur dengan binatang-binatang maun yang biasanya jadi makanan mereka: di tamanhaiwan di Afrika Tengah singa didapati makan rumput bersama anak-anak kuda belang, harimau minum air bersama rusa, musang makan nasi bersama ayam.

Petang ini kembali dari pejabat, beberapa ekor ayam berlari-lari mendapatkanku, menghulur-hulurkan leher mereka, sembelihlah kami, kami dijadikan untuk kepentingan manusia, tapi aku sudah tidak berselera hendak makan daging.

Malam ini setiap sahabat yang kujemput kesemuanya datang seperti yang mereka janjikan.Syafieelah yang paling awal, ia datang bersama enam orang anaknya dan dua orang isteri yang manis-manis berjalan bergimbaran, Saiful bersama Siti Rahmah dan sepuluh orang anak – tiga pasang darinya kembar, aku terus mengaku bersaudara dengannya dan anak-anaknya ini adalah kuanggap anak-anakku juga, tapi jangan khuatir, isterinya itu tetaplah isterinya walaupn ia bekas kekasihku yang demi cintaku padanya aku sanggup merenangi lautan api dan meredahi ladang onak dan apabila kami selidik-selidiki antara kami semua, Abdul Hamid, Nassier, Zaiton, Siti Hawa, Hajah Latifah, Hussain, Saat, Abdullah, Makruf yang datang bersama ahli-ahli keluarga masing-masing, kami dapati bahawa kami semua adalah bersaudara, jika tidak nenek kami yang berpupu dua atau satu, datuk kamilah yang bersepupuan, jika tidak datuk maka moyang datuk kamilah yang adik-beradik dan majlis yang serba sederhana ini berakhir dengan masing-masing mempererat silaturahim dengan mesra dan kasih sayang.

Saiful setelah sekian lama kami dipisahkan oleh permusuhan, bersama keluarga menerima baik pelawaanku untuk bermalam di rumahku.

Sebelum aku pergi tidur aku telah mempastikan bahawa tetamu-tetamuku ini iaitu sahabat karibku, Saiful berserta ahli-ahli keluarganya, kesemuanya selesa, aman dan damai.

Salam untukmu.

Salam untukku.

Salam untuk dunia.

Salam untuk dunia.

Salam untuk kita semua.

Aku pun tidur dengan nyenyak. Aku mimpi berada di taman indah, tamanyang mengalir sungai-sungai di dalamnya, pohon-pohon rimbun berbuah lebat, angin bertiup perlahan menyebarkan kewangian bunga-bunga mawar dan tanjung, menulis puisi-puisi kasih sayang, tentang kehijauan daun dan kicauan burung.

Pada pukul tiga pagi aku terbangun, jika ada sesuatu yang tetap tentulah sesuatu ini ialah ketidaktetapan kehidupan di dunia ini dalam segala aspeknya, di satu sudut aku terpandang kucing jantanku sedang memakan lahap beberapa ekor tikus dan jangan tanyaperasaan apa yang sedang menyelinap dan berada di dalam dadaku kerana ada musuh ketat yang sedang tidur di dalam rumahku!

Aku teringat kata-kata para pendeta bahawa tidur adalah sahabat karib kepada maut.Aku buru-buru bangun.

Satu ledakan yang kuat mengejutkanku. Bergegar rumahku.Ledakan demi ledakan menyusul kemudian.Aku meluru ke luar, langit keseluruhannya berwarna merah saga, apimenjulang-julang dan asap berkepul-kepul di mana-mana. Sudah tentu ada manusia yang mencipta bom-bom baru yang lebih kuat dari bom-bom yang terdahulu yang telah dimusnahkan dan buru-buru mencubanya.

Saiful bin Abdul Hamid bergegas-gegas keluar dari rumahku dengan disusuli oleh isteri dan anak-anaknya. Mereka pergi tanpa sepatah kata.

Aku tidak akan memandang mereka dan aku tidak akan berkata apa-apa dan esok baru saja bermula.

RAJA IKAN

Bahana Jun 1990

SIAPA YANGtidak sayang pada isteri?Hari ini tidak apa apa-apa yang istimewanya, sama saja seperti hari-hari lain di Kampung Anu yang sudah sekian lama tidak ada apa-apa yang berlaku, oleh kerana merasa sedikit tersinggung oleh isterinya Nurlaila, cahaya malam, tapi pada masa yang sama pula merasa terlalu sayang padanya, Said pergi memancing membawa perasaannya yang bercampur-baur ini, bersama anaknya Syafik yang baru berumur tujuh tahun yang pintarnya pintar orang berumur tujuh puluh tahun. Pada hari yang biasa-biasa saja inilah ia belurih seekor ikan, yang tidak ada yang mustahil di dalam dunia ini, seekor ikan yang pandai bercakap, “Lepaskan aku tuan! Lepaskan aku!” pohon ikan ini, “akulah raja segala ikan turun-temurun sejak zaman Nabi Sulaiman.”

“Jangan dilepaskan, pak! Jangan!” Syafik mencegah.

Mohd.Said, orang memanggilnya Said saja, hanyalah seorang lelaki biasa yang tidak begitu menonjol dalam apa-apa bidang pun. Di dalam apa-apa perkumpulan ataupun mesyuarat kehadirannya tidak begitu dirasakan – ia layaknya seperti seorang halimunan. Ia dilahirkan dari keluarga yang hidupnya tidak juga susah dan tidak juga senang. Ia mula bersekolah dari sekolah rendah Melayu ke sekolah menengah Inggeris dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan semuanya ini katanya hanyalah kerana ia memiliki nasib yang baik dan tidak pernah bekerja terlalu keras untuk mendapatkan kelulusan profesional, segulung sijil yang diperolehinya sekarang ini.

“Kerana itu,” katanya kepada kawan-kawan sepajabat, “aku bersyukur kepada Allah dan aku tidak akan mencari yang lebih dari apa-apa yang kudapti sekarang ini dan jika kamu mahu mencari kedudukan, pangkat dan gaji yang lebih – persilakan dengan hormatnya, persilakan tuan-tuan dan puan-puan, persilakan – aku akan berdiri di tepi saja. Jangan khuatir aku tidak akan kacau daun!”

Apabila ia bercakap suaranya amat rendah seolah-olah memberitahu jika kamu mahu mendengar cakapku dengarlah dan jika tidak pun tidak apa kerana dunia tidak akan kiamat kerananya. Jika boleh ia tidak mahu bercakap hal-hal seperti ini kalaulah tidak kerana kawannya ini menggiat-giatkannya.

“Said,” kata mereka, “kaulah yang paling lama bekerja di seksyen ini tapi kedudukanmu sama juga seperti mula-mula kaumasuk kerja dahulu. Tidakkah kau merasa iri melihat kami yang dulunya di bawahmu tapi kini sudah bergaji lebih tinggi dari kau?”

“Tidak,” katanya sepatah saja. Tapi kadangkala ia terfikir juga mengapa ia dijadikan seperti ini sentiasa suka merendah diri dan terlalu sederhana dalam pegangan hidup. Barangkali benar juga kata kawan-kawannya bahawa ia ini terlalu lurus, terlalu berlurus dalam semua hal kerana kata mereka jika kau mahu cepat dan mudah naik pangkat kau mestilah tahu sikit-sikit putar belit. Barangkali ia cuma terlalu setia pada pegangan hidup, jika sudah cukup bersyukurlah dan janganlah meminta lebih, sudah cukuplah gajinya yang seribu lebih ini, jika kurang bawalah bersabar kerana susah senang ada pada masa-masanya.

Ia mempunyai perawakan yang sentiasa tenang dengan rambut yang disikat lurus ke belakang memaparkan dahi yang luas. Dahi ini apabila dipancar matahari akan kelihatan berkilat.

“Aku tidak terlalu memilih kedudukan dalam hidup,” katanya kepada kawan-kawan yang tidak ada kerja lain selain suka menggiat-giatnya dan mengumpat-umpat orang yang lebih tinggi pangkat dan gajinya. “Apa yang kudapat itulah yang kudapat dan apa yang tidak kudapat itulah yang tidak kudapat.”

Kata-kata yang sama ini jugalah yang digunakan apabila isterinya mula mempersoalkan dan menyindir-nyindir tentang pangkat dan kedudukannya.

Isterinya Nurlaila, cahaya malam, berkulit cerah dan banyak orang mengatakan betapa cantiknya ia, untung kalau aku dapat isteri seperti ini tapi bukankah isteri orang itu selalunya cantik dan isteri sendiri wallahuaklam saja dan bukankah suami orang itu selalunya segak dan suami sendiri itu wallahuaklam saja dan lembu akan berkata bahawa rumput di ladang sebelah sana itu lebih hijau dan sedap kelihatannya dari rumput di ladang sebelah sini tapi maaf kita tidak dapat pergi ke sana kerana ada pagar yang tidak dapat dilompat-lompati menghalang tapi Said seperti katanya tidaklah terlalu memilih cantik atau tidak cantik kerana kecantikan lahiriah itu tidak boleh dipegang sangat, ia akan pudar bersama usia. Jika ada orang membisikkan ke telinganya tentang betapa kagumnya mereka akan kecantikan isterinya ini, Said hanya akan menengadahkan kepalanya sedikit ke langit lalu dengan senyum kecil berkata: “Alhamdulillah, Tuhan menganugerahkan yang cantik untukku!”

Ketika merasa tersinggung seperti inilah ia selalu mengenang-ngenang pertama kali ia bertemu dengan Nurlaila pada suatu pagi yang dingin, embun masih terapung-apung di udara ditiup angin lembut, gemersik daun-daun, burung-burung berkicau, ayam jantan berkokok menyapa malaikat lalu, matahari masih rendah dan cahayanya belum begitu terasa panasnya, di tebing sungai Kampung Anu yang berpusar-pusar mengalir menghanyutkan ranting-ranting, dahan-dahan dan daun-daun mati jauh, jauh keluar, sungai yang berada di belakang rumahnya. Pagi ini ia duduk bertinggung berbungkus dengan selimut menghirup udara pagi sambil merenung arus yang deras dengan penuh perasaan seakan-akan melepas satu kerinduan apabila ia terpandang Nurlaila berjalan perlahan dengan pakaian tidur dan berbungkus dengan selimut tidak jauh darinya membawa sebuah kotak, barangkali kotak kasut ia mula mengagak, yang memang kotak kasut, dan gerak-gerinya kelihatan amat sayu sekali, amat sayu sehingga sesiapa yang terpandang padanya ketika ini tentu akan merasa sendu sedikit sendu di ulu hati.

Said yang pada lazimnya amat pemalu, yang jika boleh ia mahu jadi halimun, tidak nampak, di depan setiap wanita yang ditemuinya, pemalu yang turun-temurun dari datuk nenek, pada pagi ini terlupa malu kerana sendu di ulu hatinya lalu menghampiri Nurlaila.

“Kucingku,” kata Nurlaila dengan sedih sambil membuka tutup kotak kasut ini. “Ia sudah mati.”

“Mati?” tanya Said. Ia pun mengeluarkan bangkai kucing ini dari kotak kasut dan mengusap-usap bulunya.

Mereka diam seribu tahun.

“Ia seekor kucing yang cantik,” kata Nurlaila dengan suara yang rendah.

“Ya, ia seekor kucing yang cantik.”

“Tapi ia sudah mati sekarang.”

“Ya, ia sudah mati sekarang.”

“Kerana ajalnya sudah tiba.”

“Ya, kerana ajalnya sudah tiba.”

“Dan aku tidak sepatutnya terlalu bersedih.”

“Ya, kau tidak sepatutnya terlalu bersedih.”

“Kerana ia cuma seekor kucing.”

“Ya kerana ia cuma seekor kucing.”

Mereka diam lagi untuk seribu tahun. Kemudian Said tanpa segan silu, lupa pada malu turun-temurunnya yang jika ada gadis manis tersenyum padanya ia akan menoleh ke kiri ke kanan ke belakang untuk mempastikan bahawa senyuman ini ditujukan untuknya, memimpin Nurulaila ke bibir air, kemudian dengan tangan yang sebelah lagi memegang kedua-dua belah kaki belakang bangkai kucing yang cantik ini lalu menghayun-hayunkannya dan menghumbankannya sepenuh tenaga jauh ke tengah-tengah sungai ini.

Mereka tercegat di situ, burung-burung tiba-tiba berhenti berkicau, ayam jantan berhenti berkokok, matahari tetap dengan sinarnya yang lembut, angin pagi berdesus gemersik bertiup pada daun-daun pokok yang rimbun, beberapa helai rambut Nurlaila yang panjang terbuai-buai ditiup angin lembut ini, mereka dalam diam yang memanjang memerhatikan bangkai kuciang yang cantik ini hanyut, hanyut dibawa arus, jauh- jauh sehingga ia hilang dari pandangan.

“Hanyut ia dibawa rus,” kata Nurlaila. Kemudian dengan tersenyum-senyum lembut, seolah-olah kesedihannya sebentar tadi sudah lenyap hanyut bersama dibawa arus, ia memandang Said.

Ketika itulah Said merasakan dan tahu dengan yakin bahawa inilah perempuan yang bakal menjadi isterinyanya, yang bakal menjadi teman seumur hidupnya, yang bakal berat sama dipikul ringan sama dijinjing dan kasih sama dirasa, walau apa pun terjadi pada dunia, suka atau tidak kerana sudah tertulis di dalam takdir inilah perempuan yang akan mengongsi hidup dengannya. Nurlaila sepuluh tahun muda darinya.

Tapi siapakah yang sempurna di dalam hidup ini, Nurlaila, cahaya malam isteri yang cantik dan taap pada suami, setelah sekian lama hidup bersamanya, pada suatu hari yang tidak ada apa-apa masalahnya dengan dunia ini merasa kurang sabar, sedikit kuang sabar melihat suaminya ini. Sepuluh tahun ia mengongsi hidup, berkongsi takdir dengan suaminya ini, suaminya ini tetap seperti itu itu juga, tidak ada perubahan apa-apa tidak seperti suami si anu dan si anu yang sekarang sudah memiliki rumah yang besar dan kedudukan yang boleh dibangga-banggakan, suami si anu dan si anu itu dulu seperti mereka juga malah lebih rendah kedudukannya, tapi lihatlah, lihatlah mereka sekarang! “Abang terlalu lurus, ” kata Nurlaila sambil menjahit sebasang baju yang sudah sebulan lebih belum siap-siap lagi itu yang Insya-Allah akan siap pada tahun hadapan.

Said tiba-tiba tertawa. Ini perkara kecil saja tapi ia tetap merasa tersinggung dan dengan tertawa inilah ia menutupi perasaan tersinggungnya ini. Paling tidak disukainya apabila ia dibanding-banding dengan suami si anu dan si anu oleh isteri sendiri, isteri yang amat disayang-sayang. Abang terlalu lurus itu boleh saja bermakna abang mesti bengkok. Barangkali juga ia mesti bengkok. Kemudian ia memanggil anaknya yang bungsu; melalui Nurlaila, Tuhan telah mengurniakan mereka enam orang anak.

“Syafik!” panggil Said. “Kau ambil joran kail bapa. Kauikut bapa memancing di sungai!” Syafik memang suka dibawa memancing di sungai. Di samping anak yang bungsu yang selalu menjadi kemanjaan ia juga seorang budak yang petah bercakap. Jika ia bercakap ia seolah-olah tahu apa yang dicakapkannya, ia seolah-olah tahu semua hal di bawah langit.

Memancing memang sudah menjadi kegemaran Said lebih-lebih lagi semasa ia masih bujang dulu. Seorang sahabat yang pintar telah menganalisa kegemarannya ini mengikut teori Freud. Katanya sebagai seorang lelaki normal tentulah ia mempunyai keinginan atau nafsu terhadap perempuan tapi keinginan ini tertekan dan terpendam oleh sifat malunya yang turun-temurun ini lalu menjelma secara simbolik di dalam kegemaran memancingnya. Joran kail ini tidak lain adalah lambang phallik baginya yang dihulurkannya panjang-panjang yang ada umpan di hujungnya, ikan itulah wanita yang ia terasa amat malu hendak menghadapi, makanlah ikan, makan, ada umpan sedap di hujung joran, dan sungai ini adalah gelora nafsu syahwatnya yang ditenungnya dengan penuh kerinduan, setiap kali ada tarikan pada hujung kailnya ia akan merasa seronok. Keseronokan itulah yang ingin diulang-ulanginya. Seperti yang diramalkan oleh sahabatnya yang pintar ini, setelah ia beristeri kegemaran memancingnya ini hari demi hari kian berkurangan, benarlah ikan yang sebenarnya sudah tertangkap, sehingga akhirnya keinginan memancing ikan ini cuma timbul sekali-sekala dan ini pun hanyalah ketika isterinya, cahaya malam, Nurlaila mempersoalkan kenapa ia tidak seperti suami si anu yang sudah tinggi gaji dan pangkatnya, mengapa ia tidak macam suami si anu yang memiliki dua buah rumah batu besar dua tingkat. Tapi siapakah yang sempurna di dunia ini? Tidak juga ia atau isterinya, jadi tidak ada gunanya melayani semua ini. Lebih baik memancing ikan. Apabila ia mengajak anaknya Syafik untuk menemaninya memancing ikan ini ia seolah-olah secara simbolik melaungkan tanpa ragu-ragu akan keinginannya yang terpendam:

“Syafik, kautemani bapa mencari perempuan baru!”

Pada hari seperti inilah ia keluar bersama Syafik memancing di sungai Kampung Anu dan belurih ikan yang pandai bercakap ini.

Ikan ini sebesar anak ikan yu, tapi jika dipandang dari depan ia kelihatan seperti ikan karuk, dilihat dari atas ia seperti ikan merah dan ekornya seperti ekor ikan emas. Walaupun ketika ini sudah pukul lima petang, langit amat cerah seolah-olah sisa siang masih panjang lagi dan banyak hal yang boleh berlaku.

“Tuan khalifah di muka bumi,” kata ikan ini, “saya mempunyai anak bini dan rakyat jelata hendak ditadbir. Lepaskanlah saya tuan.”

Said baru saja hendak melepaskan ikan ini apabila Syafik menghalangnya.

“Kita buat perjanjian dulu dengannya sebelum kita melepaskannya,” kata Syafik. “Bapak ini terlalu lurus sangat.”

Anak bertuah! Umur baru tujuh tahun ia sudah pun kedengaran seperti ibunya. Tapi Said melepaskan saja ikan ini tanpa syarat. Ikan ini terus menyelam meninggalkan butir-butir buih di permukaan air. Tiba-tiba hari menjadi sunyi, burung-burung berhenti berkicau dan matahari diselindungi awan, ikan ini timbul kembali.

“Mintalah apa-apa hajat,” kata ikan ini. “Insya-Allah berkat daulat yang ada pada diriku, akan terkabul semuanya!”

Said sendiri tidaklah mempunyai apa-apa hajat yang mendesak. Hidup ini sduah cukup segala-galanya – apa lagi yang hendak dipintanya: ia sudah mempunyai isteri yang cantik, anak-anak yang amat menyenangkan hati, sebuah rumah yang selesa tempat berlindung, ada beberapa ekar tanah pusaka yang akan diwariskan kepada anak-anak dan pendapatan yang mencukupi yang insya-Allah mereka anak-beranak tidak akan mati kelaparan, tapi ia amat sayang pada cahaya malam, Nurlaila, isterinya yang cantik ini, walau apa pun ia tetap menyayangi Nurlaila kerana siapalah yang sempurna di dunia ini dan jika ia sendiri yang tersinggung oleh kata-kata Nurlaila ini adalah kerana ia sendiri terlalu perasa, telalu sensitif dan bukanlah bulat-bulat salah Nurlaila, setiap orang mempunyai kekuatan dan kelemahannya masing-masing. Kasihnya pada Nurlaila tetap seperti pertama kali ia menemuinya di tebing sungai ini dulu semasa ia menghumbankan bangkai kucing ke tengah-tengah arus yang deras.

“Dialah isteriku sepanjang hayat. Dan aku sayang padanya.”

Untuk isteri yang dikasihi inilah ia menyatakan hajatnya pada ikan ini. Begitulah bagaimana Mohd.Said yang bergaji seribu lebih ini tiba-tiba memiliki dua buah rumah batu yang besar dan tersergam indah di Kampung Anu ini dan inilah bagaimana mulanya untuk selama berbulan-bulan orang datang mengunjunginya untuk melihat-lihat kedua-dua buah rumah batu ini yang mesti dilihat dengan mata kepala sendiri untuk dipercayai, lantainya dari mar-mar yang sejuk berkilat dan mereka tercangang-cengang dan tiba-tiba teringat akan istana Nabi Sulaiman a.s., barangkali beginilah perasaan Ratu Syeba ketika mula-mula melangkahkan kakinya memasuki istana ini, lalu mereka menyingsing seluar atau gaun apabila berjalan di atasnya kerana menyangkanya air, besarnya rumah-rumah ini masing-masing memiliki beratus-ratus batang tiang, beratus-ratus buah jendela dan beratus-ratus buah pintu sehingga hampir-hampir mustahil untuk masuk dan keluar melalu pintu yang sama, dengan koridor yang seperti lorong bersimpang-siur menuju ke bilik-bilik yang tiada siapa yang dapat memastikan berapa bilanganya dan orang-orang ini pun bertanya padanya bagaimana ia memperolehi wang untuk mendirikan rumah-rumah ini sedangkan gajinya cuma seribu lebih saja dan rumah-rumah ini tiap sebuah sudah pasti berjuta-juta ringgit belanja membangunkanya ditambah lagi dengan perabot-perabot dan hiasan dalamnya yang tidak satu pun ada terjual di kedai-kedai tempatan, mereka tertanya-tanya apakah ia memiliki apa-apa perniagaan yang membolehkannya mendapat untung berjuta-juta ringgit ini.

Ia pun menceritakan cerita ini dari awal hingga akhir kepada mereka dan cerita ini jugalah yang diceritakannya kepada pegawai-pegawai dari Biro Pencegah Rasuah apabila mereka datang untuk menyiasat, tapi siapakah yang waras fikirannya, yang terdidik dengan ilmu-ilmu sains, hendak percaya cerita-cerita seperti ini.

“Ini semua cerita dongeng datuk nenek,” kata mereka.

Untuk selama sebulan lebih ia digantung dari jawatannya, sementara penyelidikan yang menyeluruh dan teliti dibuat mengenainya dan ia menjadi sibuk menjawab soal selidik yang dihadapkan padanya, memancing-mancingnya seolah-olah ia ini seekor ikan, raja segala ikan, dengan soalan-soalan yang berbelit-belit sehingga ia merasakan bahawa soalan-soalan ini sebenarnya bukanlah soalan tapi adalah umpan yang menyembunyikan mata kail tapi tiada sesiapa yang dapat membuktikan bahawa ia telah melakukan sebarang penyelewengan kerana ia mepunyai rekod-rekod yang bersih, datang kerja tepat pada waktu dan pulang sedikit lewat dan kerja semua beres, ia tidak mempunyai perniagaan gelap sama ada atas nama isterinya atau atas nama Ali Baba, dan Nurlaila ini – ia isterinya yang baik, gemar menjahit dan sebagainya dan ini pun hanyalah untuk mengisi masa lapang untuk menyenang-nyenangkan hati dan untuk keperluan keluarga saja, untuk pakaian hari raya tahun hadapan insya-Allah, sama sekali bukan dengan tujuan perniagaan, jika untuk perniagaan pun ia tidak akan kaya berjuta-juta ringgit kerananya, dan bukankah gajinya suah mencukupi untuk mereka hidup sekeluarga, tapi pada masa yang sama tiada sesiapa yang tidak berprasangka bahawa ia telah melakukan penyelewengan kerana siapakah yang bergaji seribu lebih yang sanggup mendirikan dua buah rumah batu yang besar yang berjuta-juta ringgit harganya jika tidak ada sesuatu yang tidak beres?

“Rumah-rumah itu tidak sepadan dengan gajinya,” kata mereka.

Jika ada orang bertanya, ia tidak pernah bosan mengulang-ulangi cerita ini, cerita bagaimana ia telah belurih memancing seekor ikan, raja segala ikan, siapa hendak percaya – alhamdulillah, siapa tidak hendak percaya – biarkan saja, dunia tidak akan kiamat kerananya, sambil menekankan bahawa ia sendiri tidaklah mempunyai apa-apa hajat besar di dalam hidup ini selain dari hidup dengan sederhana.

“Tapi aku sangat sayang pada isteriku,” kata Said, “rumah-rumah inilah lambang kasih sayangku itu. Kamu cakaplah apa yang kamu suka.”

PARANOIA

Bahana Jun 1990

…. ketika ia menamatkan cerita ini seperti dalam satu nafas yang amat lega, lega yang cuma sebentar kerana mukanya tiba-tiba pucat melihat bapanya, Haji Syamsuddin, berdiri di pintu dengan rupa yang bengis tapi tenang-tenang melangkah menghampirinya dan sebelum ia sempat berbuat apa-apa, tangan bapanya yang tetap besar, tetap lebar dan berat ini melayang ke pipinya dan ia, Syamsiah, ibu yang sudah beranak lima ini tersungkur di atas lantai di depan mata anak-anak yang kesemuanya ketakutan, berterais menangis, memecah keheningan malam, hingar-bingar memanggil emak meraka yang merangkak dan bangun dengan goyah, kemudian berjalan seolah-olah tak ada apa-apa, seolah-olah pukulan bapanya ini tidak mendatangkan kesan sedikitpun, seolah-olah pipinya tidak perit, seolah-olah telinganya tidak berdengung, berjalan menuju ke tempat tidur, berbaring mengiring menyembunyikan sebelah pipinya yang biru lebam, berfikir-fikir hendak tidur selama-lamanya dan sekarang ketika berbaring mengiring seperti ini, Syamsiah mengulang-ulangi lagi cerita ini di dalam kepalanya, mengulang-ulangi lagi mengingati tentang Syahrir, adiknya, yang sudah hampir tiga puluh tahun tidur dengan pulas, siang dan malam, berbaring dengan mata yang pejam lembut-lembut seolah-olah ia akan terbangun pada bila-bila masa saja, terkejut oleh bunyi sehalus bunyi jarum jatuh tapi ia tidak pernah, walau sekalipun dalam masa hampir tiga puluh tahun ini terbangun, air mukanya sentiasa kelihatan seperti hendak terjaga dan ketika ini nafasnya pun, seperti satu keluhan yang lahir dari jauh ke dalam lubuk jiwanya, akan menghembus dengan kuat sehingga kain langsir di tepi jendela berdekatan dengan tempatnya tidur akan bergoyang-goyang, lalu setiap orang di rumah ini akan berkejar ke situ, terjenguk-jenguk di pintu, yang kecil menyelat di celah-celah kaki, menahan nafas dengan dada berdebar-debar memandang Syahrir menukar posisi tidurnya dari menelentang kepada bertiarap atau dari mengiring di sebelah kiri ke sebelah kanan, barangkali sekarang ia akan bangun, barangkali, dan sekiranya ia bangun apakah ia akan mengenali mereka semua, kakak dan adik-adiknya yang ada yang lahir setelah ia memulakan tidurnya yang panjang ini dan juga anak-anak mereka yang masih kecil-kecil lagi yang apabila ada majlis keramaian seperti perkahwinan di rumah ini ketika setiap orang sibuk menguruskan itu ini dan tiada sesiapa memerhatikan, akan mencuri masuk ke ruang tidurnya ini lalu bermain-main membuat bising di sisinya, di sisi Syahrir, tangah mereka yang setiap hari tubuhnya membesar dan membesar dan membesar sehingga sekarang ia kelihatan seperti gergasi yang tidur nyenyak, yang apabila saja permainan ini menjadi rancak mereka akan lupa segala-galanya lalu berkuda atau duduk bersila di atas perutnya yang lebar, yang turun naik dengan perlahan, ber-pura-pura sedang menaiki sebuah kapal besar yang sedang melayari lautan luas atau kadangkala apabila Syahrir tidur menelungkup mereka akan mendepakan kedua-dua belah tangannya lalu berebut-rebut duduk di atas belakangnya berpura-pura menaiki sebuah kapal terbang perang menem-bak segala apa yang ada di dalam laluannya, mulut-mulut mereka bising meniru bunyi letupan senapang dan bom sehingga nenek mereka Haji Syamsuddin ayah kepada Syahrir berkejar ke situ memekik menyuruh mereka keluar, keluar, keluar, pergi bermain jauh-jauh, memekik kenapa budak-budak ini tidak boleh dibiarkan bersendirian sekejap pun dan kenapa mereka suka membuat kacau seolah-olah saja dunia ini belum kacau lagi, urat lehemya tegang, mukanya pucat, lebih takut daripada marah kerana jika ada yang paling dikhuatirinya di dunia ini ialah ter-bangunnya Syahrir, anaknya yang tidak pernah mahu dimaafkannya ini, anak yang becok mulut berani mengajar orang tua-tua, anak yang tiada sesiapa, tiada sesiapa yang dibenarkan membanguninya, walau Syamsiah, anak tertua yang cakapnya lebih dipakai daripada cakap anak-anak yang lain, yang sekarang ini sudah beranak lima, apalagi adik-adiknya, Syamsul, Syahrulbariyah, Tajulmuluk, Syarif Ahmad yang kesemuanya sudah ber-isteri atau bersuami dan beranak-pinak, mereka semua telah pernah ber-usaha membanguninya, memanggil doktor dan dukun untuk berbuat se-suatu tapi mereka cuma mendapati bahawa Syahrir tidak sakit apa-apa, degup jantungnya normal, tekanan darahnya normal, suhu badannya normal, lebih sihat dari orang yang sihat yang pernah mereka ketahui, cuma saja pertumbuhan tubuhnya amat cepat dan pesat, ia akan terus membesar dan membesar, kedua-dua belah kakinya terjulur-julur keluar pintu sehingga Haji Syamsuddin merasa bengkeng kerana sudah hampir-hampir seratus kali tersandung, kerana sudah berpuluh-puluh kali terje-rembab di atas mukanya sendiri dan tiada sesiapa yang dibenarkan men-tertawakannya kerana di rumah besar dua tingkat, rumah besar yang serba mewah, televisyen di setiap bilik, rumah besar yang tiada sesiapa akan mati kelaparan di dalamnya, rumah besar di tepi sungai yang mengalir tenang ini tiada apa-apa yang boleh dianggap lucu betapa lucu sekalipun, tidak, tiada sesiapa dibenarkan tertawa, lalu ia mengarahkan dengan suara yang garau, dengan telunjuk yang keras supaya Syahrir, yang ketika ini panjangnya dari kepala hingga ke hujung kaki sudah mencapai lapan kaki, dadanya sudah mencapai lebar tiga kaki seolah-olah memberitahu kepada bapanya ini bahawa anaknya yang dianggap derhaka ini mungkin telah berjaya dihalangi dan didiamkan dari menyatakan hak dan kebenaran dirinya, ia akan terus juga membesar dan membesar dan tidak akan berhenti membesar walaupun sudah mencapai umur dua puluh, tiga puluh, empat puluh kaki panjang, enam, tujuh, lapan kaki lebar, meng-arahkan dengan tegas, sekarang juga, dengan segera, supaya ia dipin-dahkan ke sana, sana, ke ruang belakang di mana jika ia mahu berdegil hendak terus membesar – biarkan saja dan sama sekali jangan, jangan ia dibanguni, jangan, tapi Syamsiah, Syamsul, Syahrulbariah, Tajulmuluk, Syarif Ahmad cuba juga membanguninya dengan sembunyi-sembunyi, membisik di telinganya yang nipis dan lebar ini, bangun Syahrir, bangun, kau sudah terlalu lama tidur, kami amat rindu akan jagamu, kami ingin mendengar bunyi suaramu, tapi Haji Syamsuddin, seorang bapa yang tidak pernah pudar-pudar menghendaki setiap anak menuruti telunjuknya, se-orang bapa yang cakapnya tidak boleh dibantah-bantah, seorang bapa yang tidak mahu kewibawaannya dicabar-cabar, seorang bapa yang percaya semua cakapnya adalah benar dan setiap cadangannya mestilah dijalankan oleh setiap anak tanpa perlu disuruh-suruh, dan jangan ada sesiapa cuba memandai-mandai membuat keputusan sendiri-sendiri, seorang bapa yang sentiasa curiga pada anak-anaknya ini, seperti sentiasa berada di mana-mana, telinganya seperti berada di setiap dinding, matanya di setiap tiang, di setiap sudut, mendengar setiap bisikan, memerhati setiap gerakan be-tapa rahsia sekalipun, betapa tersembunyi sekalipun sehingga mereka semua, anak-anaknya, tidak dapat melakukan apa-apa tanpa diketahuinya, tanpa merasa was-was, menerima bahang kemarahannya yang sudah dapat dirasakan walaupun ia tidak meluahkannya, bahang kemarahan yang akan terus terapung-apung di setiap ruang udara rumah ini seperti asap tebal yang degil menyesakkan nafas untuk berbulan-bulan lamanya, ba-hang kemarahan yang menyebabkan bunga-bunga cempaka, bunga-bunga raya, bunga-bunga mawar di halaman rumah tidak jadi kembang mekar lalu kuncup jatuh berguguran, pokok-pokok mangga, pokok-pokok pisang di belakang rumah tidak jadi berbuah kerana kumbang-kumbang yang membawa debunga lari ke tempat lain, ayam jantan takut berkokok, bumng takut b’erkicau, anjing takut menyalak, dan Syamsiah, Syamsul, Syahrulbariyah, Tajulmuluk, Syarif Ahmad, untuk melegakan suasana, untuk menyamankan rasa akan menjadi anak-anak yang amat patuh, paling taat, paling baik, paling hormat, tunduk menganggukkan kepala pada walau apa sekalipun, ya bapa, benar bapa, benar, apa ia bapa, ya bapa kami akan lakukan sekarang juga, kalau boleh melakukan segala-galanya sebelum diarahkan – cepat-cepat menaruh dinding angin untuk menyembunyikan Syahrir dari pandangannya, menengkumuskannya seperti mayat dari hujung kepala ke hujung kaki – hujung kedua-dua belah kakinya yang mengingkari, yang melawan segala fitrah alam kerana terus juga memanjang terjulur-julur mengejek segala usaha untuk menyembunyikan-nya, lalu mereka, supaya bapa mereka ini tidak akan marah-marah lagi, untuk selama bertahun-tahun hanya akan bercakap tentang perkara yang bagus-bagus, perkara yang baik-baik, perkara yang indah-indah, tak apa kalau semuanya ini hanya bohong belaka, asal aman, asal bahagia, atau paling berani, tentang harga barang-barang keperluan harian, harga beras dan gula, harga ikan dan sayur, tapi siapa peduli tentang semua ini – murah mahal tidak menjadi persoalan penting – wang ada bertimbun-timbun yang bukan saja disedekahkan pada fakir miskin bahkan pada saudagar besar luar negeri pun dihulurkan derma, atau mereka akan bercakap tentang cuaca yang hanya wallahualam, sedaya upaya cuba menghapuskan Syahrir dari ingatan, menyorokkannya jauh, jauh, jauh di satu sudut di dalam kepala mereka di mana ia tidak akan dapat dipanggil-panggil keluar lagi untuk dijadikan bahan perbualan kerana bapa mereka Haji Syamsuddin yang mampu menggertak kebenaran bertukar menjadi kebohongan dan kebohongan menjadi kebenaran itu melarang keras, tiada sesiapa, tiada sesiapa dibenarkan bercakap tentang Syahrir anak der-haka ini, yang Syamsiah tidak faham bagaimana bapanya ini, setelah ber-puluh-puluh tahun, masih juga tidak mahu memaafkannya, terus diburu, terus dibayangi ketakutan akan terbangunnya Syahrir, yang walau apa usaha sekalipun mereka masih tidak dapat melupakannya, lebih-lebih lagi Haji Syamsuddin kerana bagaimanakah ia akan dapat melupakannya jika anaknya ini terus juga membesar, membesar, yang nafasnya, bunyi kuruh tidurnya pada masa-masa tertentu di tengah-tengah malam kedengaran mendengus seperti satu keluhan marah yang mendalam dan Haji Syamsuddin tidak dapat tidur-tidur lagi hingga ke pagi atau kalaupun ia berjaya melelapkan matanya ia hanya akan didatangi mimpi-mimpi buruk: kaki-kaki Syahrir yang panjang terjulur-julur ini seperti berada di mana-mana di dalam mimpinya ini dan ia terjerembab, jatuh tersandung seribu, sejuta kali di atas mukanya sendiri, hidungnya berdarah, darah yang tidak henti-henti keluar, naik, naik, naik melewati paras lehemya, menenggelam-kannya sehingga ia tidak dapat bernafas dan terpaksa memekik kuat agar terjaga dari mimpi buruk ini dan dengan secepat kilat terpaksa menutup mulut sendiri takut kalau pekikan ini akan membangunkan Syahrir, lalu Syamsiah dan Syahrulbariyah berkejar ke situ untuk menengok apa yang berlaku pada bapa mereka ini, yang pada pagi-pagi seperti ini kelihatan dua kali lebih tua dari umurnya yang sebenar, dahi berkedut seribu, pucat dan berpeluh, berfikir-fikir barangkali ada baiknya jika Syahrir dibanguni saja untuk menghentikan perasaan ketakutan ini, perasaan ketakutan yang bodoh tidak berasas ini, barangkali jika ia terbangun ia tidak akan menjadi penentang kewibawaannya, tidak akan menjadi seorang anak yang berontak, tapi lihat, lihat itu – tubuhnya terus membesar dan membesar, dan sial, kenapa kamu biarkan anak-anak kecil bermain-main di situ – bawa mereka jauh-jauh, lalu cucu-cucunya ini pun berpusu-pusu lari bukan kerana takut tapi lebih kerana tidak tahan mendengar orang tua ini terpekik-pekik, menegang urat leher, seolah-olah mereka ini semuanya pekak, tidak faham bagaimana seorang bapa boleh jadi begitu takut pada anak sendiri lebih-lebih lagi yang tidur nyenyak seperti Syahrir, tangah mereka ini, yang perawakannya tetap bertahan seperti muka seorang budak walaupun tubuhnya terus membesar dengan liar, tidak terkawal, dan mereka meminta, menagih cerita tentang apa yang terjadi pada tangah mereka ini yang menyebabkannya tidur panjang seperti ini lalu Syamsiah, seorang ibu yang terlalu sibuk sepanjang hari mengums rumah tangga, seorang ibu yang sudah bosan dengan kerenah anak-anak yang menagih cerita ini, seorang ibu yang sudah tidak tahan lagi memendam cerita ini kerana ia sudah menjadi racun di dalam darah dagingnya, pada suatu malam yang sunyi, pada suatu malam yang aman, pada suatu malam ketika cahaya bulan meluncur bersama embun di atas daun-daun pokok pisang dan rumput yang terbuai-buai lembut disapa angin yang berpuput silir-semilir, pada suatu malam ketika kelip-kelip berkeliran di celah-celah dahan dan daun bermain cahaya, lalu Syamsiah mengumpul anak-anaknya, anak-anak Syamsul, anak-anak Syahmlbariyah, anak-anak Tajulmuluk, anak-anak Syarif Ahmad, kesemua bersama emak-emak dan bapak-bapak mereka yang juga tidak tahu perkara sebenamya kerana mereka lahir hanya setelah Syahrir memulakan tidurnya yang pan-jang, untuk mendengar cerita yang hanya akan diceritakannya sekali saja ini, cerita yang akan diceritakannya dengan suara berbisik penuh waspada tentang bagaimana pada suatu hari ketika berumur dua belas tahun, selepas dikhatan, selepas diistihyarkan anak jantan, Syahrir telah berbantah dengan bapanya tentang satu keputusan maktamad yang telah dibuat mengenai masa depannya, satu perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan sederhana dan bijaksana, tapi Syahrir telah mengalahkan bapanya ini dengan petah dan lancar menyatakan haknya dalam melahirkan pendapat mengenai apa saja keputusan tentang dirinya dan tiada sesiapa berhak menentukan itu ini tanpa persetujuannya, menentukan itu ini di belakangnya kerana bukankah ia sudah besar, sudah dikhatan, sudah sepatutnya diberi peluang bebas untuk berlatih berfikir sendiri sehingga Haji Syamsuddin terpukul, terdiam, Haji Syamsuddin yang selama ini cakapnya tidak pernah dibantah-bantah apalagi oleh seorang budak yang baru bemmur duabelas tahun yang masih belum kering hingus di hidungnya, bayangkan saja seorang bapa yang keras sepertinya dicabar kewibawaannya oleh seorang anak kecil, yang Syamsiah sendiri tidak pernah menyangka bahawa adiknya ini begitu berani menentangnya sedangkan ia yang sudah berumur empat belas tahun ketika itu jangankan melawan memandang muka bapanya ini pun ia takut-takut, jangankan ia – almarhumah ibunya sendiri tidak berani membantah, dan pada hari itu hanya mampu memandang bapanya yang bangun perlahan-lahan, bangun tenang-tanang, tangannya yang besar, lebar dan berat ini melayang ke pipi Syahrir dan Syamsiah memejamkan mata, terasa seperti pipinya yang perit, terasa seperti telinganya yang berdengung dan apabila ia membuka matanya semula ia terlihat Syahrir adiknya ini merangkak dan bangun dengan goyah kemudian seperti tidak ada apa-apa, seperti pukulan bapanya ini tidak memberikan kesan apa-apa, seolah-olah dia, Syahrir adiknya ini, tidak merasa-kan seperti ada urat pecah atau terputus di dalam kepalanya akibat pukulan ini, ia berjalan tenang menuju ke tempat tidur dan berbaring mengiring menyembunyikan pipinya yang biru lebam, menyamal, berpura-pura tidur lalu terus tertidur tanpa bangun-bangun lagi dengan tubuhnya terus membesar tanpa makan tanpa minum hingga sekarang ini, saat ini, ketika ia menamatkan cerita seperti dalam satu nafas yang amat lega, lega yang cuma sebentar kerana mukanya tiba-tiba pucat melihat bapanya Haji Syamsuddin berdiri di pintu dengan rupa yang bengis tapi tenang-tenang melangkah menghampirinya dan sebelum ia sempat berbuat apa-apa, tangan bapanya yang tetap besar, tetap lebar dan berat ini melayang ke pipinya dan ia Syamsiah ibu yang sudah beranak lima ini tersungkur di atas lantai di depan mata anak-anak yang kesemuanya ketakutan, berterais menangis, memecah keheningan malam, hingar-bingar memanggil emak mereka yang merangkak dan bangun dengan goyah, kemudian berjalan seolah-olah tak ada apa-apa, seolah-olah pukulan bapanya ini tidak mendatangkan kesan sedikit pun, seolah-olah pipinya tidak perit, seolah-olah telinganya tidak berdengung, berjalan menuju ke tempat tidur, berbaring mengiring menyembunyikan sebelah pipinya yang biru lebam, berfikir-fikir hendak tidur terus untuk selama-lamanya seperti Syahrir yang membiarkan labah-labah menganyamjaring-jaring di tubuhnya, yang membiarkan debu-debu hinggap di kulitnya yang tiada sesiapa dibenarkan dan tiada sesiapa berani membersihkannya selagi bapanya ini masih ada di sini, diam-diam mengulang-ulangi cerita ini semula di dalam kepalanya dari awal hingga akhir, semua ini berlaku hanyalah kerana di rumah ini tiada sesiapa, tiada sesiapa dibenarkan bercakap tentang Syahrir apalagi bercerita panjang lebar seperti ini – tiada sesiapa!

PERGELUTAN

Bahana Sept 1990

AKU KELUAR dari bilik tidurku ini dalam keadaan yang parah. Pakaianku koyak rabak, kuyup dengan darah dan peluh, melekat kulitku. Tubuhku penuh dengan luka-luka yang dalam menampakkan tulang yang putih. Di sana sini dagingku tersayat dan terjuntai-juntai menitiskan darah.Aku melangkah dengan goyah sementara tangan kananku memegang seketul daging yang telah terputus dari paha kiriku. Daging ini kupegang kejap-kejap seolah-olah daging inilah nyawaku yang kukhuatiri akan terlepas dari genggamanku. Dengan bersusah payah aku akhirnya sampai juga di depan lif di tingkat seratus satu rumah pangsa tempat aku menyewa ini.

“Selamat pagi saudara.” Ada suara menegurku dari belakang.

Aku menjawab ucap selamat ini dengan terpaksa sambil menoleh untuk mengetahui dari siapa datangnya gangguan ini; Ah, jiranku, penghuni No.101-99B sebelah flatku, ia disusuli oleh seorang wanita, mungkin isterinya dan mungkin saja bukan, aku tak tahu nama mereka – apakah mereka tahu namaku? Mereka menggelarku manusia yang membenci diri sendiri. Inilah kali ke sekian mereka melihat aku seperti ini: mereka kelihatan sudah lali dan tidak hairan lagi mendapati diriku seperti ini.

“Buaya itu masih berada di bilik tidur saudara?” tanya wanita yang selalu saja bersama jiranku ini.

“Ya,” kataku. “Saya bertarung dengannya dari tengah malam sampai ke pagi.”

“Kami tahu,” kata jiranku ini. “Kami terdengar keributan dari bilik tidur saudara itu. Ah, kata kami, Si Anu No.101-100B itu bertarung dengan buaya itu lagi! Pasti ia akan parah besok pagi. Kami tidak menyangka saudara akan separah ini.”

“Dan kami mengalami kesukaran untuk tidur seterusnya,” potong si wanita. “Dan kemudian saya mendapat mimpi buruk. Saya masih merasa mengantuk dan letih sekarang.”

“Saya minta maaf,” kataku. “Semuanya tidak dapat dielak. Kehidupan sememangnya begini, walaupun kita dipisahkan oleh tembok-tembok simen yang tebal dan diam di kotak-kotak peribadi tapi kesan dari kehadiran masing-masing masih dapat lagi dirasakan dan terasa mengganggu pula. Ah, satu hari nanti kemajuan akan berjaya mencipta tembok yang tak tembus lalu kehidupan saudara tidak akan mengganggu kehidupan saya, kehidupan saya tidak akan mengganggu kehidupan saudara tapi buat sementara itu maafkanlah saya.”

“Ah, itu tak apa.” Mereka tersenyum. “Kami faham. Saudara perlu pertolongan?”

“Ah, tidak.”

“Benarkanlah kami menghantar saudara ke hospital.”

“Terima kasih sajalah,” kataku. “Saya akan berjalan kaki. Hospital itu bukannya jauh sangat. Tubuh saya ini terlalu kotor dengan darah untuk menumpang kenderaan saudara.”

Kemudian jiranku ini bertanya apakah aku masih membenci diriku.

“Bahkan.” Aku memberitahunya. “Kebencian ini kian hari kian memuncak.”

Aku menerangkan dengan detail. Jiranku ini mendengar dengan selamba. Sesekali ia memandang wanita bersamanya ini dan mereka saling bertukar-tukar senyuman dan ini bukanlah kali pertama mereka mendengarku mencela diri. Mereka seolah-olah mendapat hiburan percuma dan ini sudah semestinya sebagai imbangan kepada gangguan yang telah mereka hadapi semalam, ini sajalah hubunganku dengan mereka. Hanya pada waktu-waktu seperti ini sajalah kami bertegur sapa dengan percuma, dengan bahasa yang penuh hormat, bersaya-saya dan bersaudara-saudara kerana sama-sama saling merasa tidak senang. Pada waktu-waktu lain ketika tidak ada apa-apa, sesiapa yang menyapa dahulu dimestikan membayar bagi setiap perkataan yang sama-sama digunakan selepas itu untuk berbual-bual mengikut tarif yang akan ditentukan oleh orang yang disapa untuk diajak berbual ini, yang sudah tentunya terlalu sibuk untuk diajak berbual-bual. Inilah kod bahasa kami dan peraturan bertegur sapa di rumah pangsa seribu tingkat ini.

Aku terpaksa terus memberikan mereka hiburan ini, aku terpaksa melayan bualan mereka kerana tidur mereka telah terganggu olehku semalam dan dengan sendirinya mereka mempunyai hak untuk menentukan sampai mana harus berbual-bual percuma denganku dalam tajuk apa saja yang mereka kehendaki: seperti yang mereka mahu, aku bercakap tentang apa saja yang kumiliki – semuanya kucela dan kuperkatakan dengan kejengkelan yang cuma dibatasi oleh ketidakmampuanku untuk menyatakan perasaanku yang sebenar.

Aku tidak tahu mengapa aku mesti membenci diri sendiri. Aku cuma ingat bahawa setelah sekian lamanya aku hidup, setelah sekian lamanya nadiku berdenyut dan jantungku berdegup, setelah sekian lamanya segala kehendak dan keinginanku betapa besar atau kecil, berkat kemakmuran dan kekayaan negeri yang terus-menerus melimpah-ruah yang terpalit juga sedikit pada diriku, semuanya kuturuti dan aku merasa bahawa hidupku sudah cukup sempurna, aku merasakan bahawa inilah hidupku dan aku tidak perlu mempersoalkan apa-apa, tiba-tiba saja pada suatu pagi yang tidak ada apa-apa salahnya dengan dunia ini, aku terbangun dan merasa benci pada apa saja yang dapat kulihat di bilik tidurku yang lengkap dengan alat-alat dan perabot-perabot mutakhir.

Aku benci pada suis lampu kawalan jauh, aku benci pada alat penghawa dingin penyegar udara, aku benci pada jam quartz di dinding, aku benci pada lampu meja, aku benci pada televisyen 3D dan peti tv ini kuhempaskan ke lantai, aku benci pada alat (laser) video. Dan kebencianku ini merebak pada apa-apa yang tidak dapat kulihat yang hanya kuketahui ada menjadi sebahagian dari hidupku, kebencianku ini perlahan-lahan menjalar dan memusat pada diriku sendiri.

Aku benci pada kakiku, aku benci pada lututku, aku benci pada pahaku, aku benci pada alat kelaminku, aku benci pada perutku, aku benci pada dadaku, aku benci pada lidahku, aku benci pada hatiku, aku benci pada mataku, aku benci pada hidungku, aku benci pada kepalaku, aku benci pada … aku benci pada …

Ketika perasaan benci ini memuncak pada keseluruhan wujudku inilah aku terasa dan terdengar satu pergerakan di satu sudut bilik tidurku ini.

Aku mendekati benda ini dan ternyata ia seekor buaya. Belum sempat aku berfikir apa-apa, buaya ini sudah melibaskan ekornya pada tubuhku. Aku terpelanting ke belakang, terhumban ke tembok batu yang keras dan tebal. Terlalu pantas ia bergerak. Sebelah kakiku sudah pun berada di dalam rahangnya. Aku diseret lalu dihempas-hempaskannya. Dengan sekuat tenaga aku menarik kakiku ini, di sana sini dagingku terkoyak dan terputus. Darah membuak keluar. Secepat kilat pula buaya ini menyambar kakiku yang sebelah lagi.

Aku bertarung terus dengannya dan merasa akan menang meskipun aku sudah teruk dan parah.

Pertarungan ini dan pertarungan-pertarungan selanjutnya hanya berhenti apabila aku melarikan diri. Inilah yang menebalkan lagi perasaan jengkel dan benciku.

Buaya ini terus diam di bilik tidurku ini, seolah-olah di sinilah, di tingkat seratus satu di rumah pangsa seribu tingkat inilah tempat kediamannya sejak dunia ini diciptakan. Sejak pertarungan pertama, buaya ini hanya memandangku dengan dingin seolah-olah aku ini bukan lawannya dan patut dianggap sebagai kentut saja.

Akulah yang memulakan pertarungan-pertarungan yang selanjutnya kerana tidak tahan akan pandangan dingin buaya ini yang kurasa sungguh-sungguh menghinakan. Aku menentangnya dengan berbagai-bagai taktik dan tipu helah dan buaya ini membalas penentanganku seadanya saja. Pun begitu kecederaan yang kuterima jauh lebih parah dari pertarungan yang sebelumnya.

“Mengapa buaya itu tidak kaulaporkan saja kepada pihak yang berkuasa – polis misalnya?” tanya jiranku yang takut rugi kalau hiburan percuma ini akan tamat dengan cepat. Ia memandang daging yang kupegang kejap dengan tangan kananku. “Aku percaya mereka bersedia menolongmu menangkap buaya itu.”

Sudah berkali-kali ia menyarankan yang sedemikian. Aku tidak pernah bersetuju. Alasanku: buaya ini adalah urusanku yang mesti kuhadapi sendiri kerana pertolongan orang lain hanyalah bererti kekalahan bagi diriku dan kemenangan pada buaya ini. Tiada sesiapa kubenarkan campur tangan dalam menentang atau menangkapnya.

Aku meneliti luka-luka di tubuhku, darahku sudah banyak yang terbuang tapi aku masih merasa mampu untuk sembuh dan memulakan pertarungan baru.

Di hospital aku hanya dirawat sebagai pesakit luar. Doktor dan jururawat sudah biasa akan keadaanku ini: bahawa betapa pun parahnya aku, aku akan sembuh segera tanpa banyak bicara.

“Inilah keistimewaanmu,” kata doktor sambil menjahit luka lebar di lenganku. “Kau cepat sembuh. Tentang daging paha kirimu itu, aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya. Buang sajalah – habis bicara! Atau barangkali ada baiknya kalau kaububuhi racun dan berikan pada buaya celaka itu. Biar dimakannya!”

Mendengar saranan dari doktor ini aku bertambah benci pada diri sendiri. Ia seorang doktor yang pintar. Mengapa mesti orang lain dan bukan aku yang memikirkannya dahulu? Dan lagi doktor ini sepatutnya tidak terlalu banyak cakap kerana aku bukanlah seorang yang kaya yang mampu untuk membayar setiap perkataan yang digunakannya untuk menyenangkan hatiku. Aku mencari-cari alasan buat menolak saranan bijaksana ini. Ah, otakku ini sudah tidak berfungsi dengan baik lagi dan buaya ini jika ia mengetahui akan keadaanku ini dan jika ia boleh berkata-kata sudah tentu akan mengejekku:

“Kaulah kentut yang nyanyuk!”

Berhari-hari aku berfikir dan luka-luka di tubuhku sudah kian sembuh. Masanya sudah hampir tiba bagiku untuk memulakan pertarungan baru dengan buaya ini: sama sekali aku tidak akan membiarkannya terus diam di bilik tidurku ini dan aku tidak akan merelakan diriku, fikiranku, perasaanku terus-menerus menjadi hamba abdi pada kehadirannya.

Akhirnya aku memutuskan untuk meracuni buaya ini seperti yang telah disarankan oleh doktor yang pintar.

Aku membeli racun. Racun ini kucampurbaurkan dengan sepuluh kilogram daging lembu, kemudian aku memasukkan pecah-pecahan kaca ke dalamnya.

“Apa yang akan kaulakukan pada bangkai buaya itu nanti,” tanya jiranku yang sungguh optimis ini ketika melihat aku begitu tekun menyiapkan persediaan-persediaan – ini satu pertanda yang baik buaya ini sudah pun digambarkan sebagai bangkai.

“Nantilah,” kataku. “Apabila buaya itu berjaya kutangkap ia akan kupamerkan untuk tontonan orang ramai dengan percuma.”

Memang ramai juga orang yang beria-ia mahu menengok buaya ini, ada yang menawarkan bayaran, tapi semuanya kutolak tanpa memberikan sebarang alasan kerana aku sendiri tidak pasti sama ada cakap-cakap mereka, soalan-soalan mereka ini jujur atau cuma main-main dan cuma mahu mencari hiburan percuma. Cuba fikirkan baik-baik – bagaimanakah mereka boleh menerima dengan biasa-biasa saja bahawa seekor buaya boleh berada di tingkat seratus satu ini? Ah, mungkin saja aku ini bodoh bukankah tidak ada undand-undang atau peraturan yang mengatakan bahawa buaya tidak boleh berada di tingkat seratus satu di sebuah rumah pangsa seribu tingkat? Dan ini fakta kedua yang lebih menentukan: bahawa buaya telah diisytiharkan pupus sejak sedekad yang lalu (Apakah mereka sudah lupa?) kerana sungai-sungai di seluruh dunia sudah dijadikan saluran najis industri, paya-paya sudah disimen dan di atasnya didirikan berjuta-juta bangunan batu beribu-ribu tingkat dan aku hanyalah seorang dari berlaksa-laksa manusia yang menghuni di dalamnya.

Untuk selama beberapa hari aku memberikan buaya ini daging-daging yang tidak beracun. Mula-mula buaya ini memandang dengan curiga pada daging yang kuhumbankan padanya. Perlahan-lahan ia merayap mendekati daging ini – disentuhnya dengan hujung hidungnya. Setelah menunggu beberapa detik barulah ia memakannya. Kemudian buaya ini kembali ke tempatnya di sudut bilik tidurku ini.

Aku memandangnya. Buat seketika pandangan kami bertembung. Aku terlihat sekilas senyuman lalu di bibirnya kemudian ia berpaling dan tidur mendengkur.

Ini satu altematif: aku boleh saja membiarkan buaya ini diam di bilikku dan aku memberinya makan daging setiap hari, melayani kehadirannya ini – tapi sayang, aku baru saja merasa hendak menang dan harinya sudah tiba bagiku melemparkan padanya daging beracun yang sudah lama kusimpan di peti ais ini.

Dan pada suatu pagi yang tidak ada apa-apa salahnya dengan dunia ini, aku pun melemparkan daging ini padanya.

Nah, makanlah jantung hatiku, si malai-malai, si intan payung, makanlah! Inilah daging khusus dan istimewa kusediakan untukmu!

Secepat kilat ia menyambar daging ini.

Tidak lama lagi ia akan mati.

Dan seperti satu kejutan elektrik aku melompat cuba merampas kembali daging beracun yang boleh membunuh sebatalion askar yang sudah berada di dalam mulut buaya ini. Tanpa peduli pakaianku yang koyak, darah yang berpercikan, dagingku yang luka-luka, terputus dan berpelantingan, sakit yang perit, aku terus bergelut. Jasadku terasa seakan-akan hancur berkecai dan aku hanya tinggal roh dan jiwa dan kali ini aku bertarung demi keselamatan buaya ini sendiri, aku tidak faham mengapa aku melakukan ini, aku tidak faham: aku tidak mahu buaya ini mati. Tidak, aku tidak mahu ia mati! Aku menarik kepalaku sekuat-kuat tenaga dari rahang buaya ini, kakiku terbujur putus berlumuran darah di satu sudut, tangan kananku putus terkapar-kapar dekat pintu.

Aku tidak mahu buaya ini mati dan aku sendiri tidak faham mengapa aku mesti melakukan ini. Daging beracun akan kurebut kembali!

Aku sempat melihat sekeping kulit kepalaku yang telah terpelanting dan jatuh di atas sebiji piring seperti sekerat daging yang berbulu-bulu dekat secawan teh sarapan pagi yang tidak sempat kuminum.

Pandanganku mula berpinar-pinar. Peluh dan darah mengalir masuk ke dalam kelopak mataku. Jam quartz di dinding kelihatan mencair lembut.

Aku meneruskan pertarunganku.

muka utamaprofil penulisan

cerpen pilihan

nota ringkas

wawancara

nota kecil: Pergelutan menang hadiah saguhati peraduan menulis cerpen 1989 anjuran DBP – Brunei. Ia dihasilkan lebih awal dari tahun tersebut dan asalnya hendak saya hantar ke majalah Bahana tetapi saya mendapat tahu akan ada satu peraduan menulis cerpen tidak lama lagi. Walaupun pada dasarnya saya sudah tidak berminat lagi untuk menyertai peraduan saya terkilan juga kerana tiada pemenang pertama dalam peraduan ini. Peraduan menulis cerpen 1982 juga tidak ada pemenang pertama. Pergelutan dimasukkan di dalam antologi PERGELUTAN HIDUP – DBP Brunei 1992.

ISTIDRAJ

Borneo Bulletin 1 Januari 1991

 TUAN IMAM, Ustaz Sadikin dan para jemaah cukup merasa gerun mendengar kata-kata Haji Zainal sehingga mereka terdiam dan kaku di dalam sila masing-masing dan sehingga nyamuk yang pada mulanya tadi amat mengganggu kini sudah tidak mereka rasakan apa-apa lagi. Suasana tiba-tiba menjadi mati dan amat sunyi.Mereka diam seperti ini buat beberapa ketika dan Ustaz Sadikin teringat kisah Mansur Al-Hallaj yang dihukum pancung oleh para Ulama kerana mengatakan “Anal-Haq!” dan mengakui dirinya sudah bersatu dengan Tuhan tapi ini dapat dimakluminya kerana ia tahu Mansur Al-Hallaj ialah seorang Sufi yang fana, tenggelam dan mabuk di dalam kelazatan zikir sehingga tidak sedar lagi tentang apa yang tercetus oleh hati dan lidahnya dan juga bahasa dan kata-kata amat terbatas baginya untuk mengungkapkan pengalaman fananya ini, sedangkan Haji Zainal pula cumalah seorang lelaki di dalam lingkungan umur tiga puluhan yang berdahi luas tanpa kedut yang datang sekali-sekala untuk membuang masa bermain dengan kata-kata, mengganggu ketenteraman dan keheningan masjid ini, kali ini dengan suara yang amat lantang mengakui dirinya nabi yang wajib ditaati, yang telah diberikan beberapa mukjizat dan membawa ajaran-ajaran baru untuk sekelian manusia pada zaman serba maju dan sibuk ini.

Para jemaah bersurai tanpa sepatah kata pada malam ini seolah-olah kata-kata Haji Zainal terlah menjadikan mereka bisu dan telah menggentarkan seluruh perbendaharaan kata yang mereka miliki dan setiap perkataan enggan menjenguk keluar dari tenggorokan. Mereka meninggalkannya seorang diri di masjid ini.

Setelah berikir sebentar Haji Zainal merasakan yang ia Lidak bersalah apa-apa kerana ia hanya bergurau, cuma orang orang lain saja yang salah tanggap, ketika inilah satu gambaran terpampang di depannya: ia terlihat dengan jelas ruang tamu rumah Tuan Imam, dengan peti televisyen dan alat pemain pita video terletak kemas di satu sudut, dua buah almari penuh berisi dengan barang-barang perhiasan dan di dinding tergantung gambar-gambar keluarga. Ia terlihat Tuan Imam, Ustaz Sadikin dan beberapa orang jemaah lain duduk bermuzakarah membincangkan tentang dirinya sama ada mahu menghukumnya murtad kerana mengakui dirinya nabi dan seterusnya melaporkan hal ini kepada pihak-pihak tertentu atau mengasingkannya untuk sekian-sekian waktu dengan menaruh harapan yang ia akan menyatakan taubatnya dan mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan bersaksi.

Dua orang jemaah diutus ke rumahnya untuk memberitahu isterinya.

“Kerana,” kata Tuan Imam dengan perlahan dan berat, “dia sudah tidak halal lagi bagi isterinya.”

“Tapi kamu tau aku cuma main-main!” Haji Zainal hampir-hampir terpekik dan gambaran ini terus lenyap dan ia mendapati dirinya masih berada di masjid yang terang-benderang dengan cahaya lampu elektrik.

Gambaran ini dilupakannya sehinggalah ia tiba di halaman rumahnya dan terlihat dua orang utusan Tuan Imam baru saja menuruni tangga dan isterinya berada di ambang pintu tunduk dengan muka yang sayu. Kedua-dua utusan ini sama seperti yang tergambar tadi: berbaju melayu dan berkain sarung, seorang berkopiah hitam dan yang seorang lagi berketayap putih. Mereka menyingkir ke tepi apabila bertembung dengannya, muka mereka serius, hanya menjawab “Wa alaikum” saja apabila ia memberi salam.

Malam ini isterinya tidur dekat buaian di mana anak damit mereka yang berumur satu tahun sedang tidur nyenyak. Haji Zainal tidak bertanya kenapa kerana ia sudah tahu sebabnya dan mungkin saja isterinya ini akan memberi alasan lain, berbohong penuh diplomasi. agar perasaannya tidak tersinggung, dari mengatakan pekara yang sebenarnya bahawa ia sudah murtad mengakui di.rinya nabi dan sudah tidak halal lagi baginya.

Ia terbangun tengah malam seluruh tubuhnya menggeletar berpeluh dingin dan isterinya yang tidak dapat melelapkan mata menghampiri dan menyelimutinya dengan sayu kemudian kembali berbaring semula dekat buaian anak damit. Ketika inilah ia terdengar anak damit mereka yang berumur satu tahun ini bercakap memberitahu ibunya yang bapanya ini telah benar-benar menjadi nabi bakal membawa ajaran-ajaran baru khusus untuk manusia akhir zaman yang sibuk dengan sejuta urusan. Haji Zainal terus menggeletar dan isterinya dengan panik menyelimutinya dengan sepuluh lapis kain selimut dan bersegera pergi ke jendela yang separuh terbuka untuk menutupinya dan terlihat bulan mengembang penuh terbelah dua buat beberapa ketika kemudian bercantum semula. Ia berpaling dan mendapati suaminya duduk bersila di atas kati.l dengan sepuluh lapis kain selimut menutupi tubuhnya, kepalanya menghayun ke kiri ke kanan dengan pantas, mengulang-ulangi mengatakan dirinya nabi dengan suara yang rendah seperti orang yang sedang berzikir terkumat-kamit hingga ke subuh bilamana lengan kirinya memancar putih, lalu mengatakan bahawa ini adalah satu dari tanda-tanda kenabiannya selain dari bulan yang terbelah dua, bayi kecil mereka yang tiba-tiba pandai bercakap dan gambaran jelas di masjid yang belum diceritakannya kepada sesiapa itu.

“Akan ada lagi beberapa tanda-tanda yang lain, ” katanya kepada isterinya yang masih ragu-ragu.

Pagi ini seluruh kampung menjadi heboh apabila seekor lembu tua yang terkenal selalu sakit-sakit, kepunyaan Pak Ali, tiba-tiba berlari-lari si-hat dari hujung kampung ke hujung kampung ini, memekik-mekik dengan jelas mengatakan yang Haji Zainal sudah menjadi nabi. Lembu ini ditangkap oleh Tuan Iman dan Ustaz Sadikin lalu diikat pada pohon simpur di depan rumah Haji Zainal. Penduduk kampung mencurah-curah berkumpul di sitru menyaksikan sendiri dengan mata dan mendengar sendiri dengan telinga masing-masing akan keajaiban ini, berbincang sama ada mahu mempercayainya atau tidak kerana mungkin saja semuanya ini ‘trick’ tapi jika benar lembu ini telah pandai bercakap barangkali mereka akan mempercayai juga kata-katanya. Mereka memeriksa lembu ini dengan teliti dengan apa saja cara yang terfi-kirkan oleh mereka dan mendapati tidak ada sebarang ‘trick’ lalu mensyorkan supaya lembu yang masih tersingap-singap mengatakan Haji Zainal sudah menjadi nabi ini dimuliakan dengan sepatutnya, dengan mengalungi leher dan tanduknya dengan bunga-bungaan harum semerbak dan diberi minum air yang belum bercampur klorin dari perigi yang jernih kemudian dilepaskan ke dalam kebun yang paling subur di kampung ini untuk makan sebebas-bebasnya dan mengisytiharkan yang lembu ini sudah bukan monopoli orang perseorangan lagi tapi. sudah menjadi milik umum, tanpa mempedulikan protes Pak Ali yang tidak mahu lembu ini dijadikan milik awam kerana lembu ini adalah hadiah almarhumah isLerinya yang meninggal dunia sepuluh tahun yang lalu kepadanya. Kemudian mereka pergi berjumpa dengan Haji Zainal yang sudah sedia menunggu dengan sila yang rapi di ruang tamu rumahnya dan sudah sedia bercerita bagaimana pada mulanya ia cuma main-main tapi kemudian ia telah menerima beberapa tanda-tanda yang ia sendiri tidak boleh mengingkarinya, lalu ia pun mengangkat tangan kirinya dan tangan ini tiba-tiba memancar putih menyebabkan setiap orang tunduk kesilauan.

Semakin ramai orang mempercayainya semaki-n bertambah pula akan keajaiban dan kebolehannya. Ia sudah boleh membaca fikiran setiap orang yang berada di sekelilingnya hingga kepada rahsia-rahsia yang mereka sendiri sudah lupakan, ia boleh meneka dengan tepat harta benda yang mereka miliki: berapa buah peti televisyen dan alat pita video, mesin jahit dan mesin penyuci kain, segala emas dan wang yang mereka simpan. Menjelang hujung minggu ini ia sudah boleh membengkokkan besi dengan tenungan mata, terapung-apung tiga meter di udara, berjalan di atas air, melenyapkan dirinya dan muncul semula di tempat lain, memperbanyakkan dirinya, berjalan menembusi dinding dan apa saja yang dipinta untuk membuktikan akan kebenarannya.

Pekarangan rumahnya terpaksa disiangi dan diperluas untuk menampung beratus-ratus orang yang terus datang, khemah-khemah terpaksa didirikan di merata kawasan dan masih juga tidak mencukupi. Masjid-masjid di seluruh negara menjadi lengang dan kosong kerana hampir-hampir setiap orang sudah bertumpu ke situ untuk menyaksikan keajaiban dan kekuasaan yang dibawa oleh Haji Zainal. Tuan-tuan Imam bersembahyang dengan hanya dua tiga orang makmum yang masih setia.

Pegawai-pegawai ugama yang dikerahkan untuk membuat penyiasatan dan menyediakan laporan yang lengkap dengan sebeberapa segera mendapati orang-orang di situ sudah mula menjual dan menyebarkan gambar-gambar polaroid seekor lembu tua yang dihiasi dengan bunga-bungaan untuk dijadikan tangkal dan azimat penghalau hantu syaitan, riang dan gembira menerima ajaran-ajaran yang sudah mula dikeluarkan oleh Haji Zainal yang amat berkenan di hati mereka -memansuhkan sembahyang lima waktu cukup dengan hanya mengetahui hukum tatacaranya saja tanpa beramal dan ini pun hanyalah harus; membatalkan hukum berpuasa dan menghapuskan zakat untuk selama-lamanya; ibadat haji pula cukup dengan hanya meniatkan ‘Aku naik haji’ tanpa perlu melangkahkan kaki ke mana-raana dan boleh dikerjakan seratus kali dalam sehari. Pegawai-pegawai ugama ini pulang dengan bukti-bukti yang cukup untuk mengisytiharkan yang Haji Zainal sudah murtad. Sebelum pergi mereka sempat berdakwah mengatakan tidak ada nabi sesudah Nabi Muhammad s.a.w., yang ada cumalah nabi-nabi palsu yang akan menyesatkan umat manusia tapi dakwah mereka tidak diterima kerana mereka tidak dapat berjalan di atas air atau terapung-apung tiga meter di udara atau berjalan menembusi dinding.

Apabila mereka kembali lagi beberapa hari- kemudian, lengkap dengan alat-alat pembesar suara, dengan waran untuk menangkap Haji Zainal untuk didakwa kerana mengakui dirinya nabi, mereka mendapati orang-orang di situ kesemuanya mengaku diri masing-masing sebagai nabi, membatalkan segala hukum-hakam: menghalalkan judi, minuman keras dan makanan-makanan dan daging-daging impot yang selama ini dikira sebagai syubhat, rasuah dan riba dalam bentuk apa jua pun, sama ada insurans nyawa atau faedah bank; mengharuskan pergaulan bebas dan pendedahan aurat lelaki dan perempuan untuk diperagakan dan dipertontonkan di televisyen atau di mana-mana – masing-masing dengan ajarannya dan buat pertama kali di dalam hidup ini mendapati diri mereka memiliki sedikit kekuasaan hebat: seperti. yang dimiliki Haji Zainal yang kini sudah jauh terkedepan yang sudah boleh mengadakan segala macam barang-barang kemudahan, pakaian-pakaian yang mahal, komputer, kereta sport, rumah-rumah besar dari tiada kepada ada.

Pegawai-pegawai ugama mula memberi syarahan dengan alat pembesar suara menerangkan bahawa mereka semua sudah tersesat dan mengatakan bahawa kuasa-kuasa yang mereka miliki ini bukanlah mukjizat seperti yang mereka anggap tapi adalah dugaan-dugaan yang boleh membinasakan mereka semua, dengan memberikan tamsil jika Tuhan hendak membinasakan semut, semut ini akan diberikan sayap lalu ia terbang, menganggap dirinya sudah memiliki kelebihan, terbang menghampiri cahaya lalu terjatuh ke dalam api membakar diri. Syarahan mereka tidak diendahkan. Kemudian mereka cuba menarik perhatian orang ramai dengan mengadakan tayangan gambar melayu pada malam hari di padang sekolah, di atas layar putih yang lebar, yang akan dihentikan di pertengahan cerita untuk memberi syarahan. Mereka ditertawakan kerana semua ini adalah ‘trick’ kuno zaman kuratu kerana mereka semua sudah memiliki peti tv 60×48 sentimeter berserta dengan alat pemain pita video yang termahal dan mereka boleh menonton filem-filem terbaru yang belum bertapis yang amat menyeronokkan tanpa sebarang gangguan di pertengahan cerita.

Ketika inilah Haji Zainal muncul bercakap dengan lantang tanpa alat pembesar suara, menjanjikan kesenangan kepada setiap orang. Ia sudah boleh menjadikan padi berbuah seratus kali setahun, pohon buah berbuah di luar musim, sayur-sayur negeri sejuk tumbuh subur di khatulistiwa, binatang-binatang ternakan membiak tanpa hubungan jenis dan segala macam perkara yang mampu difikirkan.

Caranya bercakap dengan gerak tangan yang tegas, tekanan suara yang bagus dan bersemangat, dengan sinar mata yang menusuk tajam memukau dan menjadikan setiap orang diam mendengar dengan khusyuk sehingga pegawai-pegawai ungama terpaksa pergi meninggalkan tempat ini kerana takut terpengaruh dan terpukau sama.

Setelah mereka pergi Haji Zainal mengangkat kedua-dua belah tangannya tinggi-tinggi dan membuka mulut besar-besar lalu mengisytiharkan dirinya sebagai tuhan dengan suara yang paling lantang bergaung ke dalam setiap kepala para pengikutnya, sehingga bumi mereka rasakan seperti bergoncang dan bukit-bukau seolah-olah hendak runtuh, yang kemudian mereka dengan tiba-tiba ikut mengangkat kedua-dua belah tangan dan mengisytiharkan diri masing-masing sebagai tuhan kerana jika ada manusia lain mengakui dirinya tuhan kenapa mereka tidak.

Haji Zainal tergegau kerana tidak menyangka para pengikutnya akan berbuat demikian, yang kini sudah mula bertelingkah: masing-masing menuntut minta disembah dan masing-masing tidak mahu menyembah. Saling paksa-memaksa dan laknat-melaknati dan tidak lama kemudian saling pukul-memukul untuk menentukan siapa yang tidak mati atau apa-apa ialah tuhan. Lima puluh orang mati, seratus orang cedera parah dan masih ada beratus-ratus orang lain lagi yang tidak mahu kalah, tapi Haji Zainal dengan akalnya yang amat panjang meredakan suasana dengan mengatakan bahawa mereka semua adalah tuhan bagi diri masing-masing dan tidak perlu menyembah atau disembah oleh sesiapa kecuali diri sendiri.

“Sesat!” kata Tuan Imam.

Ia datang bersama Ustaz Sadikin dan Pak Ali. Tuan Imam dan Ustaz Sadikin, setelah sekian lama bertafakur di masjid, mahu mencabar Haji Zainal. Pak Ali cuma mahu menuntut kembali lembunya yang sudah dijadikan milik awam ini.

“Kamu semua sudah sesat!” pekik Tuan Imam. “Tidak ada nabi sesudah Nabi Muhammad s.a.w.!”

“Tidak ada tuhan selain Allah!” seru Ustaz Sadikin.

Haji Zainal tampil menyanggah dengan mengatakan bahawa ialah nabi dan telah pun menjadi tuhan dan mereka berdua sudah jauh ketinggalan zaman dan sudah masanya tunduk pada ajaran-ajarannya seperti orang-orang lain yang kini sebilangannya sudah memi.liki kuasa-kuasa ghaib yang boleh raenukarkan malam menjadi siang, boleh melihat hal-hal yang berlaku di tempat lain dan boleh mengulang-tayangkan dan membekukannya seperti filem atau boleh bergerak dengan pantas dari satu tempat ke satu tempat dalam masa yang amat singkat sehingga mereka seolah-olah berada di beberapa tempat dalam satu masa atau boleh memusnahkan dan meletupkan apa saja dari jarak jauh, kutub utara, misalnya, dari kutub selatan, dengan hanya sekali menggerakkan jari telunjuk.

“Semua ini adalah kekuatan sebagai tanda-tanda kebenaran kami!” kata Haji Zainal dengan lantang. “Dari nabi kami telah menjadi tuhan!”

Tuan Imam dan Ustaz Sadikin beristighfar dan mencabar jika mereka berani untuk sama-sama membuktikan siapa yang benar.

“Mari kita panggil isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, anak-anak kami dan anak-anak kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu. Kemudian marilah kita bermubahalah – mendoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, kita minta supaya azab dan laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta!”

Malam ini tiba-tiba menjadi amat sunyi. Semuanya seperti terbungkam dan mati.

Kemudian di bawah sinar bulan yang suram ini Pak Ali melangkah perlahan menuju ke arah pondok di mana lembunya ditambat dan membawa lembu ini pergi, melintasi Haji Zainal dan para pengikutnya yang terus tunduk dan membisu.

ANU

Bahana Jun 1991

SEORANG ANAK muda bertahi lalat di bibir yang apabila bercakap akan me-mulakan cakapnya dengan anu ini tidak kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang sudah mati, anak muda bertahi lalat di bibir yang kemudian akan terus bercakap tanpa henti-henti sepanjang hari, bercakap terus-menerus, mengulang-ulangi lagi apa yang telah dicakapkannya kerana katanya dia dilahirkan dengan dua pasang lidah, seperti biasa-biasanya pagi-pagi lagi pergi dengan langkah-langkah pantas ke kedai kopi kepunyaan bapanya di kampung kelahirannya ini, sebuah kampung di tepi sungai, sebuah kampung yang berbukit-bukau, sebuah kampung yang dikelilingi hutan hijau, sebuah kampung yang jauh dari bandar, sebuah kampung yang hampir-hampir menjadi pekan, sebuah kampung yang kaya dengan kebun buah-buahan, sebuah kampung yang masih bertahan dengan ladang-ladang padi, sebuah kampung yang aman makmur, sebuah kampung yang mempunyai sekolah menengah sendiri, sebuah kampung yang memiliki sekolah rendah sendiri, sebuah kampung yang ada tadikanya sendiri, sebuah kampung yang mempunyai klinik sendiri, sebuah kampung yang memiliki masjid sendiri, sebuah kampung yang menjadi penghubung ke kampung-kampung ulu, sebuah kampung yang sungainya sudah tidak berapa lagi digunakan sebagai alat penghubung, sebuah kampung yang sebatang jalan raya lurus bertar baru siap dibina menuju ke ulu dan menuju ke bandar besar, sebuah kampung yang sudah memiliki bekalan api elektrik, sebuah kampung yang sudah menerima bekalan air paip, sebuah kampung yang baru saja menerima perkhidmatan telefon, sebuah kampung yang terletak di tengah-tengah menjadi pusat bagi kampung-kampung di sekeliling, sebuah kampung yang mengadakan pasar tamu pada setiap hujung minggu, sebuah kampung yang menjadi tumpuan, sebuah kampung yang dirancang akan dibina sebuah taman peranginan yang terbesar di seluruh negeri, sebuah kampung yang bukit-bukaunya sudah mula digondolkan, yang bukit- bukaunya mula diruntuhkan, yang bukit-bukaunya mula diratakan, sebuah kampung yang hutan hijaunya sudah mula disiangi, sebuah kampung yang seperti diserang greda dan jentolak dan kuli-kuli kontrak, sebuah kampung yang sentiasa sibuk, sentiasa sibuk, sentiasa sibuk, sebuah kampung yang penduduk-penduduknya sentiasa sibuk, sentiasa sibuk, sentiasa sibuk, penduduk-penduduk yang bekerja sendiri, penduduk-penduduk yang bekerja dengan syarikat swasta, penduduk-penduduk yang bekerja dengan kerajaan, penduduk-penduduk yang menganggur, penduduk-penduduk yang berkereta, penduduk-penduduk yang berbasikal, penduduk-penduduk yang berjalan kaki penduduk-penduduk yang rajin berpersatuan, penduduk-penduduk yang aktif, penduduk-penduduk yang banyak cakap, penduduk-penduduk yang suka bertekak leher mempertahankan pendirian masing-masing, penduduk-penduduk yang apabila bercakap mata mereka menjadi bersinar-sinar galak, penduduk-penduduk yang tidak pernah duduk aman, penduduk-penduduk yang tidak mahu membabaukan diri, penduduk-penduduk yang tidak mahu menerima apa-apa tanpa mempersoalkannya, penduduk-penduduk yang sentiasa bergolak fikirannya, kerana jika kau boleh berfikir maka aku juga boleh berfikir, penduduk-penduduk kampung yang pernah pada satu ketika dulu memohon bagi pemecatan penghulunya dan memohon menggantikannya dengan orang lain semata-mata kerana penghulu itu seorang tukang angguk di dalam mesyuarat-mesyuarat, penduduk-penduduk kampung yang walaupun suka bertekak leher tapi tetap mahu saling hormat-menghormati, penduduk-penduduk kampung yang lelaki, penduduk-penduduk kampung yang perempuan sama-sama mempunyai hak, sama-sama memberi hak untuk bercakap kepada sesiapa dari yang paling bijak kepada yang paling tolol agar tiada idea yang baik yang dapat dipakai terpendam begitu saja kerana orang-orang perseorangan itu ahli penduduk kampung, penduduk-penduduk kampung itu ahli penduduk daerah, penduduk-penduduk daerah itu ahli penduduk negeri, penduduk-penduduk negeri itu ahli penduduk rantau, penduduk-penduduk rantau itu ahli penduduk dunia dan kita semua adalah sama-sama warga dunia, sama-sama diam di bumi ini, kita semua sama-sama ada hak, kerana kata mereka begitulah mereka membangun kampung ini, kampung yang membangun dengan aman, kampung yang membangun dengan pesat, kampung yang digalati kampung-kampung lain, kampung yang ada guru-guru dedikasi di dalamnya, kampung yang ada penulis, kampung yang ada penyair, kampung yang ada pemidato, kampung yang ada pelukis, kampung yang ada ahli-ahli fikimya sendiri, sebuah kampung yang pada suatu hari yang aman tenteram, pada suatu hari yang baik-baik, pada suatu hari yang paginya embun tebal bersama asap terapung-apung rendah menanti angin yang tidak kunjung-kunjung bertiup, pada suatu hari yang panas, pada suatu hari yang debu-debu kering lambat mendap ke tanah apabila kenderaan-kenderaan berat lalu menggegarkan bumi, pada suatu hari yang biasa-biasa, pada suatu hari yang seperti hari-hari lain di musim panas, seorang anak muda bertahi lalat di bibir tiba dengan langkah-langkah pantas seolah-olah dia sudah terlambat sampai di kedai kopi ini, seorang anak muda yang paling lantang suaranya di kampung ini apabila bercakap, seorang anak muda yang apabila bercakap akan memulakan cakapnya dengan anu ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang sudah mati, seorang anak muda yang mudah terlepas cakap, seorang anak muda yang tidak peduli apa yang dicakapkan, cakap-cakap yang disenangi, cakap-cakap yang tidak disenangi, seorang anak muda yang setiap hari mempersoalkan apa saja yang terlintas di kepalanya untuk dijadikan tajuk perbincangan dengan siapa saja yang mahu berbincang, seorang anak muda yang tiada lain kerjanya sepanjang hari duduk-duduk, bercakap-cakap di kedai kopi, mengulang-ulangi lagi apa yang telah dicakapkannya kerana tuan-tuan dan puan-puan aku dilahirkan dengan dua pasang lidah, kerana tuan-tuan dan puan-puan kedai kopi ini, kedai kopi bapaku, pada hari ini berbual-bual rancak dengan dua orang lelaki bertali leher, dua orang lelaki berkaca mata hitam, dua orang lelaki berpakaian kemas, dua orang lelaki yang sentiasa tersenyum-senyum lembut, dua orang lelaki yang belum pernah terlihat singgah di kampung ini sebelum ini, dua orang lelaki yang gerak-gerinya penuh keyakinan dan wibawa, dua orang lelaki yang dengan tekun mendengar bualan anak muda bertahi lalat di bibir yang sedang mempersoalkan apa saja yang terlintas di kepalanya untuk dijadikan tajuk perbincangan dengan siapa saja yang mahu berbincang, mempersoalkan itu ini yang di langit, yang di bumi, yang di antara kedua-duanya, yang di sungai, yang di laut, yang di darat, yang di udara, dua orang lelaki yang datang lagi pada besoknya, dua orang lelaki yang datang lagi pada lusanya. Ketika buat pertama kalinya dalam sebulan ini hujan turun, hujan turun mula-mula renyai-renyai kemudian hujan turun dengan lebat membasahi bumi yang kering, menyegarkan daun-daun, burung-burung berkicau, katak-katak melaungkan suaranya, ikan-ikan keli berkocak di paya-paya, air bertakung di lopak-lopak, debu-debu tidak berterbangan lagi, angin menghembus sejuk dan lembut, cacing-cacing tanah melingkar keluar dari dalam tanah, air-air kuning meluncur menghakis bukit-bukit yang baru diruntuh, hujan lebat yang turun selama lima jam terus-menerus, hujan lebat yang tiba-tiba berhenti pada petang ini hampir-hampir serentak dengan ledakan halilintar di petala langit kemudian buat pertama kalinya dalam berpuluh-puluh tahun kampung ini menjadi sunyi sepi dan di kedai kopi kepunyaan bapa anak muda bertahi lalat di bibir setiap orang terhenti bercakap, setiap orang terfana mendengar dengan jelas decak seekor cicak di siling, mungkin decak yang paling panjang dalam sejarah dunia, cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak ak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cakcak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak cak, decak yang terus-menerus selama setengah jam lebih, setengah jam lebih bilamana tiada sesiapa beredar dari tempat duduknya, setengah jam lebih bilamana setiap orang hanya mengangguk-angguk memandang kosong keluar jendela pada daun-daun hijau yang bergoyang-goyang menitiskan butir-butir sisa air hujan setengah jam lebih jentolak dan greda di bukit sana tidak berbunyi, setengah jam lebih tiada kenderaan melintas di jalan raya yang baru ditar dan apabila decak ini berhenti cicak itu jatuh ke lantai mati kesangalan, dengan keempat-empat kakinya ke atas, ekornya tercerai dari tubuh, ekor yang terkuai-kuai sebentar kemudian kaku, kemudian setiap orang mula menyedari yang anak muda bertahi lalat di bibir dan dua orang lelaki berkaca mata hitam, anak muda bertahi lalat di bibir dan dua orang lelaki berpakaian kemas, anak muda bertahi lalat di bibir dan dua orang lelaki yang sentiasa tersenyum-senyum lembut, anak muda bertahi lalat di bibir dan dua orang lelaki yang gerak-gerinya penuh keyakinan dan wibawa, anak muda bertahi lalat di bibir dan dua orang lelaki yang singgah tiga hari berturut-turut sudah tidak ada di kedai kopi ini, dan buat pertama kali mereka merasakan kehilangan anak muda bertahi lalat di bibir ini walaupun ia bukan seorang yang penting di kampung ini, walaupun cakap-cakapnya sembilan puluh sembilan peratus tidak ada apa-apa yang perlu diberi perhatian serius, walaupun cakap-cakapnya sembilan puluh sembilan peratus hanyalah pengulangan cakap-cakapnya yang dahulu dan dia tidak lain hanyalah si tolol yang lucu di kampung ini, seperti juga di kampung-kampung lain yang memiliki si tolol yang lucunya sendiri, mereka bising semula di kedai kopi ini memperkatakan ke mana perginya anak muda bertahi lalat di bibir kerana sekarang sudah hampir sejam lebih ia tidak timbul-timbul, sudah hampir sejam lebih suaranya tidak kedengaran suaranya dan bukankah ia tidak pernah meninggalkan kedai kopi ini, bukankah ia tidak pernah meninggalkan kampung ini untuk ke mana-mana tanpa mengumumkannya secara besar-besaran terlebih dahulu, tapi pada malam ini ketika orang risau memikirkan akan kehilangannya, ketika orang tidak tahu apa hendak dicakapkan lagi, anak muda bertahi lalat di bibir, panjang umumya, tidak perlu khuatir, tidak perlu khuatir apa-apa, muncul juga dengan langkah-langkah longlai ketika kedai kopi ini hendak ditutup, tapi kali ini ia tidak banyak cakap, tapi kali ini ia kelihatannya terlalu letih hendak bercakap walaupun ia ditanya bertubi-tubi oleh bapanya; walaupun ia ditanya bertubi-tubi oleh orang-orang yang masih ada lagi di kedai kopi ini, mengapa ia berdiam diri saja bukankah ia sendiri yang pernah mengatakan yang ia dilahirkan dengan dua pasang lidah dan untuk pertama kalinya ia menyatakan ia sudah bosan dengan soalan-soalan, anu ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang sudah mati pergi jahanam semuanya, ia sihat sejahtera tidak ada apa-apa yang penting berlaku, orang-orang itu, dua orang lelaki bertalileher, dua orang lelaki berkacamata hitam, dua orang lelaki berpakaian kemas, dua orang lelaki yang sentiasa tersenyum-senyum lembut, dua orang lelaki yang gerak-gerinya penuh keyakinan dan wibawa, yang menjadi tanda tanya setiap orang itu katanya adalah kawan-kawannya dari bandar yang telah menawarkannya untuk menjalankan satu pekerjaan yang boleh mendatangkan keuntungan yang akan menambahkan kemakmuran kampung kita ini lagi, dan kamu apa kamu tahu, aku menerima tawaran itu kerana dari aku banyak bercakap bukankah lebih baik aku melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah, cakap yang amat menyenangkan hati bapanya, seorang bapa yang sudah tua, seorang bapa yang sudah puas berdoa agar anaknya yang hanya seorang ini akan mengubah corak hidup dari banyak bercakap kepada banyak berbuat sesuatu kerana siapa saja boleh bercakap walaupun bercakap itu tidaklah sesenang yang dianggap kerana ada orang yang gugup dan ada yang sama sekali tidak berani bercakap, seorang bapa yang puas berdoa dan mengadu pada Tuhan pencipta seluruh alam mengapa anaknya yang sudah besar berakal ini tidak macam anak si anu yang bisu tapi rajin dan boleh membuat bermacam-macam kerja, suruh saja ia akan patuh melakukannya, sekarang doanya makbul, alhamdulillah, mungkin tiada seorang bapa pun yang lebih gembira dari dirinya, alhamdulillah, mungkin tiada seorang bapa pun lebih bahagia dari dirinya, alhamdululah, dan dia tambah bahagia lagi apabila tiga hari kemudian anaknya ini menerima beberapa buah bungkusan besar, sekarang ia tahu anaknya ini bercakap benar, seratus peratus benar, bukan lagi anak yang sembilan puluh sembilan peratus cakapnya main-main, dan inilah bagaimana mulanya anaknya ini membuka toko buku yang hanyalah sebuah ruang kecil di kedai kopi ini berniaga menjual majalah-majalah, buku-buku hiburan, novel-novel cinta remaja dan popular yang dibekalkan dari bandar, diimport dari luar negeri, novel-novel cinta remaja, buku-buku hiburan, majalah-majalah popular yang penuh dengan gambar-gambar menarik berwama-wami yang cukup untuk menyihatkan mata yang hampir-hampir rabun, buku-buku hiburan, majalah-majalah popular yang boleh menjadikan orang-orang yang tidak lancar membaca lancar membaca dalam masa yang singkat saja dan mana-mana majalah yang tidak laku akan dikumpulkannya untuk beberapa bulan dan kemudian disimpan di satu sudut di setiap meja di kedai kopi ini, bacalah tuan-tuan dan puan-puan, bacalah dengan percuma dengan ihsan dari Toko Buku Aman Makmur, silakan baca dengan penuh hormatnya, datuk-datuk, nenek-nenek, bapak-bapak, emak-emak, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik, anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit, bacalah, inilah bagaimana mulanya penduduk-penduduk kampung mengenal artis-artis hiburan, inilah bagaimana mulanya perbualan harian penduduk-penduduk kampung beransur-ansur mengalih ke situ, inilah bagaimana mulanya dan dalam masa beberapa tahun saja setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit hanya bercakap dan membincangkan tentang bintang-bintang filem, setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit hanya bercakap dan membincangkan tentang penyanyi-penyanyi pujaan mereka, setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit sanggup bertekak leher mempertahankan bintang-bintang pujaan mereka, setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit tahu kontroversi hidup artis-artis hiburan pujaan mereka, tahu kisah-kisah cinta, tahu skandal-skandal artis-artis hiburan pujaan mereka, setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit yang lelaki, yang perempuan sama saja, setiap kali ada penyanyi atau pelakon remaja baru posternya akan ditampal pada dinding kedai kopi ini agar setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit akan jatuh cinta dan memuja-mujanya, dan mereka dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada cucu kepada cicit dengan ghairah akan berkerumun menatap poster-poster ini, sementara anak muda bertahi lalat di bibir yang tidak mahu bercakap-cakap lagi ini pada masa-masa luangnya mula menulis-nulis dengan tekun dalam sebuah buku yang tebal, dengan tekun sehingga setiap orang dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit tertanya-tanya apa yang ditulis si tolol lucu yang tidak lucu lagi ini tapi ia tidak pernah mahu manjawab kerana ini bukan urusan kamu, kerana ini bukan urusan datuk nenek kamu, apa kamu tahu anu ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang sudah mad, aku bebas berbuat apa yang aku mahu tanpa perlu disoal siasat, tapi pada suatu hari yang baik-baik, pada suatu hari yang tidak panas tidak juga sejuk tapi sederhana diantara kedua-duanya, pada suatu hari langit cerah, matahari redup dan bulan juga kelihatan di siang hari, pada suatu hari yang sunyi kerana setiap orang bercui kecuali kedai kopi ini, pada suatu hari yang aman tenteram, air sungai mengalir tenang, pohon-pohon rimbun kelihatan lebih hijau dari hari-hari lain, kupu-kupu terbang ke sna ke mari dari bunga ke bunga, anu ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang sudah mati ia menjawab juga soalan ini, aku tahu akulah si tolol yang tidak lucu lagi, peduli apa semua ini, ia menjawab dengan penuh perasaan seolah-olah inilah erti hidupnya, seolah-olah ia dilahirkan untuk tujuan ini, seolah-olah ia diwujudkan di dunia ini untuk mengucapkan kata-kata ini dan cakap-cakap yang dahulu hanyalah latihan-latihan bercakap, setelah memberitahu apa yang sedang ditulis-tulisnya ia tidak berkata apa-apa lagi dan setiap orang terdiam seketika mendengar dengan jelas decak singkat seekor decak di siling cak cak dan dalam masa beberapa tahun saja setiap orang di kampung ini dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit apabila bercakap akan bercakap dengan sayu, dan setiap orang di kampung ini dari datuk kepada nenek kepada bapa kepada anak kepada cucu kepada cicit apabila bercakap akan bercakap dengan mata yang kuyu penuh rindu seolah-olah mereka sentiasa sedang dilamun cinta dan mereka hidup bahagia turun-temurun untuk selama-lamanya hanya sekali-sekala mereka tersedar tentang anak muda yang sudah tidak lagi bercakap-cakap duduk di sudut kedai kopi sedang menulis-nulis sesuatu dengan tekun lalu soalan yang sama akan ditanyakan lagi kepadanya cuma setelah umurnya kian meningkat ia menjawab dengan lembut dan tidak marah-marah lagi, ia menjawab dengan senyuman yang manis sekali dalam dunia, anu ini tidak ada kena-mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahu pun yang sudah madi, tahi lalat di bibimya menambah manis lagi senyuman ini, katanya ia sedang menulis cerita: “Anu, cerita asmara.”

LEVITASI

Bahana September 1991

LELAKI berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun, berpakaian kemas, mengangkat kepala dari suratkhabar lalu memandang kelilingnya, ada tiga buah almari kayu penuh dengan buku, buku-buku tebal dan buku-buku nipis, di atas sebuah almari, penuh dengan barang-barang perhiasan gelas dan cawan terletak sebuah radio besar, di sisi radio ini merayap seekor lipas, di siling ada dua ekor cicak sedang berkejar-kejaran, di satu sudut ia terlihat dua orang anak-anak kecilnya berumur empat dan lima tahun sedang bermain dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik sementara isterinya, seorang wanita berambut panjang menyecah bahu, ia dapat melihat dari kerusi tempat duduknya itu, sedang menyediakan minuman petang hari Ahad, kemudian ia memandang pada dinding pada beberapa buah gambar hitam putih dan gambar berwarna berbingkai: gambar-gambar ayah dan ibunya, gambar-gambar ayah dan ibu isterinya dan sebuah gambar nenek lelakinya dan sebuah gambar perkahwinan – kesemuanya sudah kekuning-kuningan warnanya dan bingkainya diperbuat daripada kayu, kacanya dihinggapi habuk, sarang labah-labah dan telur lipas, dan kemudian sambil menguap ia memandang ke luar jendela pada jalan raya berbatu kerikil, matahari memancar panas, seorang lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun, pakaian dibasahi peluh, ada sebilah parang di pinggangnya, berjalan dengan perlahan – perlahan sekali, tangan kanannya memegang seekor pelanduk terhayun-hayun sudah mati, melangkah menuju ke rumah di tepi jalan raya berbatu kerikil, lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun tersebut terus masuk ke rumahnya menuju ke dapur lalu menguliti pelanduk, memotong-motong daging pelanduk tersebut, kemudian memberikan potongan-potongan daging pelanduk tersebut kepada isterinya untuk lauk makan malam dan setelah selesai semua ini ia pun pergi ke ruang depan rumah lalu bersandar pada dinding melunjurkan kedua-dua kakinya menggulung sigup daun lalu menghisapnya dan menghembuskan asap berkepul-kepul melalui kedua-dua lubang hidungnya sambil memandang kelilingnya dan di satu sudut ia terlihat dua orang anak-anak kecilnya berumur empat dan lima tahun sedang bermain dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik sementara isterinya seorang wanita berkulit cerah, ia dapat melihat dari tempat duduknya itu, sedang menyediakan minuman petang hari Ahad, kemudian ia memandang pada dinding pada beberapa gambar hitam putih dan gambar berwarna berbingkai: gambar-gambar ayah dan ibunya, gambar-gambar keluarga isterinya dan sebuah gambar nenek lelakinya dan sebuah gambar perkahwinan dan kesemua gambar-gambar tersebut sudah kekuning-kuningan warnanya dan bingkainya diperbuat daripada kayu, kacanya dihinggapi habuk, tahi cicak, sarang labah-labah dan telur lipas kemudian sambil menguap ia memandang ke luar pintu pada jalan raya berbatu kerikil, matahari memancar panas, seorang lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun, berpakaian kemas sedang menuntun seorang anak berumur lima tahun dan menjinjing sebuah beg kertas diikuti isterinya seorang wanita berbaju kurung mendukung seorang anak berumur empat tahun, mereka sekeluarga berjalan perlahan, perlahan sekali menuju ke rumah di tepi jalan raya berbatu kerikil dan apabila saja mereka sampai ke rumah tersebut lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun pun menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan kunci dan terus membuka pintu rumah dan anak berumur lima tahun masuk dahulu diikuti oleh anak berumur empat tahun sebaik-baik saja ia diturunkan oleh ibunya dari dukungan, kemudian wanita berbaju kurung pun masuk diikuti oleh lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun berpakaian kemas berjalan terus menuju ke dapur sementara anak-anak mereka sudah pun duduk-duduk bermain dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik di satu sudut di bawah gambar-gambar hitam putih dan gambar-gambar berwarna berbingkai kayu: gambar seorang lelaki tua, gambar seorang lelaki dan wanita, gambar ramai sebuah keluarga – bingkai dan kaca gambar-gambar tersebut sudah dihinggapi debu, sarang labah-labah, telur lipas dan tahi cicak dan lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun berpakaian kemas memberikan beg kertas pada wanita berbaju kurung sambil berpesan supaya memasak daging kerbau ini untuk lauk makan malam nanti lalu ia pun melangkah menuju ke ruang tamu dan duduk di atas sebuah kerusi kayu mengambil suratkhabar di atas meja, mengipas-ngipas dirinya dengan suratkhabar ini sebentar sebelum membacanya, ia sempat melihat dua buah almari penuh dengan buku, buku-buku tebal, buku-buku nipis, sebuah radio besar terletak di atas sebuah almari penuh dengan barang-barang perhiasan, gelas dan cawan dan seekor lipas sedang makan robekan kertas buruk, dari tempat duduknya ini ia dapat melihat isterinya di dapur sedang menyediakan minuman petang hari Ahad, ia mengeluarkan sebatang rokok Benson & Hedges memarakkannya lalu menghisapnya, sambil menguap ia memandang ke luar jendela pada jalan raya berbatu kerikil di depan rumah, matahari memancar panas, sebuah kereta hitam lewat, debu-debu berterbangan kemudian mendap ke tanah semula, seorang lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun berpakaian kemas bersama dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur empat dan lima tahun dan seorang wanita bermuka bujur berjalan perlahan, perlahan sekali menuju ke sebuah rumah di tepi jalan raya berbatu kerikil, lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun menguap lagi beberapa kali kemudian memabaca suratkhabar sambil melunjurkan kedua-dua kakinya, sambil menghisap sigup daun nipah kemudian ia memerhatikan isterinya membawa minuman petang hari Ahad, minuman ini diletakkan di atas meja, teh O dan sedikit pisang goreng, lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun mengambil secawan kopi lalu meminumnya dengan perlahan sebelum ini ia terlebih dahulu menaruh rokok Benson & Hedges pada bekas pembuang abuk rokok, lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun ini kemudian meletakkan cawan teh O ini di atas dulang di atas lantai kemudian memandang kedua-dua anaknya di satu sudut bermain dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik, ia meletakkan suratkhabar di atas meja apabila isterinya keluar dari dapur membawa sedulang minuman petang hari Ahad bersama sedikit cucur pisang dan sambil minum segelas susu segar ia memandang keluar tingkap pada jalan raya berbatu kerikil, seorang lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun berpakaian kemas, berjalan perlahan, perlahan sekali menuju ke rumahnya di tepi jalan raya berbatu kerikil di mana isteri dan dua orang anaknya, seorang lelaki, seorang perempuan sedang menunggu dan anak-anak ini sudah pasti sedang bermain-main dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik di bawah gambar-gambar hitam putih dan gambar-gambar berwarna berbingkai: sebuah gambar ayah dan ibunya, dan sebuah gambar keluarga isterinya dan sebuah gambar nenek lelakinya dan sebuah gambar perkahwinan dan sebuah gambar sebuah keluarga dan sebuah gambar abangnya dan sebuah gambar datuknya dan sebuah gambar keluarga sepupunya dan sebuah gambar adik bungsunya dan sebuah gambar ramai bersama kawan-kawan sekerja dan sebuah gambar anak-anaknya dan sebuah gambar neneknya dan sebuah gambar abang bapanya dan sebuah gambar kedua-dua anaknya sedang bermain-main dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik dan kesemua gambar-gambar tersebut sudah kekuning-kuningan warnaya dan bingkainya diperbuat daripada kayu, kacanya dihinggapi habuk, tahi cicak, sarang labah-labah dan telur lipas, dan sebuah jam dinding, detik jarum saatnya hampir-hampir tidak kedengaran, halus tapi tetap jelas kedengaran saat demi saat, segala-galanya cukup, tidak lebih tidak kurang tidak ada apa-apa hendak diingau-ingaukan lagi segala-galanya cukup, segala-galanya, lelaki berdahi luas berambut nipis, berumur dalam lingkungan empat puluh tahun pun menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap dan menguap kemudian ia mengambil suratkhabar lalu membacanya, ada sebuah gambar hitam putih seorang lelaki berbadan besar duduk bersila terapung-apung tiga meter dari bumi, semasa kecil dulu ia pernah terlihat gambar-gambar seperti ini dan mempunyai keinginan untuk dapat melakukannya sendiri lalu mencubanya beberapa kali semasa remajanya sambil mengumumkan ke sana sini bahawa musuh utama manusia ialah graviti, tarikan bumi, kita mesti bebas dari tarikan bumi ini untuk mendapatkan kebebasan sebenarnya jika tidak kita akan seperti kelmarin dan kelmarin bahari dan hari-hari sebelumnya mengulang-ulangi setiap gerak laku hari-hari dengan sedikit variasi supaya tidak ketara seperti satu pengulangan tapi walau apa jua pun tetap juga pengulangan-pengulangan dan oleh kerana ia tidak pernah berjaya membebaskan dirinya dari tarikan bumi, tidak pernah berjaya mengapung-apungkan dirinya ia cuba melupakannya saja sehinggalah sekarang petang hari Ahad ini ia bangun dari kerusi meletakkan suratkhabar ini kembali di atas meja kemudian pergi ke tengah-tengah ruang duduk bersila memejamkan mata rapat-rapat, mengetapkan kedua-dua bibirnya, seluruh tubuhnya termasuk dadanya tidak bergerak-gerak, menahan nafas selama lebih kurang setengah jam lebih, dahinya berpeluh, pelipisnya berpeluh, belakangnya berpeluh,, menahan nafas terus menahan nafas, warna mukanya menjadi merah kemudian bertukar menjadi biru, kemudain perlahan-lahan lelaki berdahi luas berambut nipis berumur dalam lingkungan empat puluh tahun ini mula terapung-apung, terapung-apung di udara dan terus terapung naik, kepalanya acap pada siling dan bertahan di situ selama tiga minit, selama tiga minit sambil memekik-mekik saya bebas, saya bebas, menyebabkan wanita berambut panjang menyecah bahu berkejar ke situ dan wanita berbaju kurung ini pun ternganga-nganga memerhatikannya bersama dua orang anak kecil masing-masing berumur empat dan lima tahun, saya bebas, bebas, bebas, bebas, bebas, bebas, BEBAS! kemudian ia melabuk jatuh ia atas lantai, badannya basah oleh peluh, terlayah-layah, tangannya terketar-ketar sebentar, kemudian kaku dan keras tidak bergerak-gerak lagi dan wanita bermuka bujur berlari mendapatkannya lalu menggerak-gerakkannya beberapa kali sebelum wanita berkulit cerah ini mula menangis teresak-esak dan sebentar kemudian wanita berambut panjang menyecah bahu ini pun rebah pengsan dan dua orang anak kecil ini meninggalkan wanita berbaju kurung ini untuk kembali bermain dengan barang-barang permainan diperbuat daripada plastik di bawah gambar-gambar berbingkai kayu, berdebu, bersarang labah-labah, bertahi cicak dan bertelur lipas.

OH!

Bahana Disember 1991

“SABRIAH?””Ya aku Sabriah tapi kau ini siapa?”

“Cubalah teka.”

“Ya/ aku macam ingat-ingat lupa siapa kau.”

“Mari aku tolong angkat dan humbankan beg-beg sampah itu. Banyak juga beg-beg sampahmu ini. Aku pula secara kebetulan terbawa sampah dari Layong hingga ke sini. Apa khabarnya Mohd. Ali?”

“Terima kasih, tapi aku tidak dapat meneka kau ini siapa?”

“Sobri kawan Mohd.Ali, masih ingat lagi?”

“Sobri? Ooh, Sobri yang pendiam dan pemalu itu – ya, ya sekarang baru aku ingat. Dulu kau pernah bertanya ke mana Mohd.Ali pergi.”

“Itu tujuh tahun yang lalu dan kau masih ingat yang itu?”

“Ya aku masih ingat kerana suaramu gementar dan mukamu merah seperti itulah pertama kali kau bercakap dengan seorang perempuan. Dan itulah pertama kali dan penghabisan kau bercakap dengan aku. Tapi sekarang kau sudah menjadi orang senang dengan kereta Mercedez dan tak sangka sudah berubah dan tidak pemalu lagi.”

“Ah, tidaklah. Aku tetap pemalu seperti dulu cuma umurku saja yang tidak tetap – semakin tua!”

“Kita semua seperti itu – semakin tua. Cuma bezanya kau lelaki dan aku perempuan…”

“Sekarang zaman kemajuan lelaki dan perempuan sama saja.”

“Ya memang benar sekarang zaman kemajuan tapi kau silap lelaki semakin tua semakin berminyak tapi perempuan semakin tua semakin gersang.”

“Ha! Ha! Ha! Itu aku tidak tahu tapi kau apa khabar sekarang? Kau tidak banyak berubah -rupamu tetap nampak muda.”

“Terima kasih. Aku baik-baik saja.”

“Barangkali kau sudah mempunyai anak. Anak itu tentu rupanya imbas-imbas kau dan Mohd. Ali.”

“Aku tidak jadi berkahwin dengan Mohd.Ali.”

“Jika kau tidak suka bercakap tentang itu barangkali lebih baik kita tukar tajuk cerita?”

“Tidak apa – walaupun aku sebenarnya memang tidak suka mengenang kisah-kisah lama aku akan ceritakan juga kerana kau belum tahu kisahnya dan aku perlu menceritakannya untuk melapangkan perasaanku.”

“Ya berceritalah terus – mudah-mudahan dadamu akan lapang. Ahli-ahli jiwa sependapat bahawa jika ada sesuatu mengganggu perasaan kita maka hendaklah kita mengeluarkannya dari dalam dada kita dengan menceri takannya.”

“Ya memang benar cakapmu.”

“Berceritalah terus tentang – apa yang terjadi di antara kau dengan Mohd.Ali yang sial itu.”

“Mengapa kaukatakan ia sial?”

“Kau tidak jadi berkahwin dengannya bukan? Kau bergaduh dengannya bukan?”

“la meninggal dunia.”

“Meninggal dunia? Mohd Ali yang periang itu sudah meninggal dunia?”

“Apa kau fikir orang periang itu akan hidup selama-lamanya?”

“Begitulah, orang periang jarang sekali diserang penyakit.”

“Apa kau fikir orang hanya mati kerana penyakit?”

“Benar. Benar. Orang mati dengan sebab-sebab yang bermacam-macam dan kadangkala dengan sebab-sebab yang tidak masuk akal seperti kawanku seorang doktor falsafah pendidikan. la seorang yang pintar dan berwibawa fikirannya tapi matinya mati yang bodoh. la mati tertelan sebiji guli kaca.”

“Segala-galanya adalah takdir.”

“Begitulah, segala-galanya adalah takdir.”

“Mohd.Ali mati kerana kemalangan jalan raya.”

“Itu satu kematian yang biasa di negeri ini… tapi kau tidak apa-apa?”

“Aku tidak bersamanya ketika itu.”

“Alhamdulillah. Kau memang ditakdirkan selamat.”

“Aku bersama sepupuku yang perempuan. Kami sedang menuju Jerudong – ke pantai. Hari itu sungguh tenang sekali. Langit kelihatan biru. Aku ingat ada angin yang bertiup perlahan.”

“Ya selalunya hal-hal buruk menimpa kita berlaku pada waktu-waktu yang paling tidak kita sangka-sangka – pada waktu bila kita menyangka hanya perkara baik-baik akan berlaku.”

“Memang benar cakapmu. Kemalangan itu berlaku tepat seperti yang kaukatakan itu. Ketika itu aku sedang memikirkan – perkara yang baik-baik. Aku sedang membayangkan pakaian pengantin yang cantik dan segala macam hal-hal perkahwinan dan suasana kegembiraan apabila dua buah kereta berjuntun-juntun memotong kami dengan laju. Kelajuan kami cuma 60 kilometer sejam.”

“Begitulah sekarang ini dan itulah kegemaran anak-anak muda. Berlumba-lumba dan memotong dengan berjuntun-juntun. Sebenamya mereka itu sudah cukup amal ibadat kerana itu mereka tidak takut mati dan kalau mati mereka mati dengan senang hati dan akan terus saja masuk syurga. Mohd.Ali, semoga rohnya dicucuri rahmat, memandu kereta yang mana?”

“la memandu kereta yang kedua itulah. Kereta yang pertama sempat masuk ke lorong asal. Tapi Aimullah Mohd. Ali tidak sempat dan keretanya berlanggar dengan kereta yang datang dari hadapan. Kemalangan itu berlaku di depan mataku. Kami berhenti di tepi jalan raya. Aku berlari untuk mendapatkannya. la mati serta-merta. Keretanya remuk teruk. Kepalanya pecah dan otaknya hancur keluar. Dadanya dibenam serpihan besi dan kaca. Darah di mana-mana. Tali perutnya terburai keluar dan sebahagiannya tergantung di dahan sepohon pokok yang berdekatan menitiskan darah. Kau masih ingat Normah bukan?”

“Normah, kawan rapatmu itu?”

“Ya, aku dan Mohd.Ali pernah mencadangkan kepadanya supaya cuba-cuba mendampingimu tapi ia menolak kerana katanya ia mempunyai pilihan dan rancangan lain, lagipun perhatianmu seperti ke tempat lain. Aku dapat merasakan seperti kautujukan kepadaku pula.”

“Begitulah sebenamya. Kaulah pilihanku malangnya kau teman wanita kawanku. Tapi mengapa dengan Normah?”

“Dialah dengan Aimullah Mohd.Ali berlanggar itu.”

“Lailahaillallah!”

“Kepalanya terputus!”

“Masya-Allah!”

“Terpelanting seratus meter dari keretanya itu! Tubuhnya berkecai. Darah, najis dan cebisan-cebisan dagingnya berhamburan di atas jalan raya Jerudong itu. Aku ternampak anggota sulitnya di atas rumput di tepi longkang di sisi selonggok najis anjing.”

“Itulah takdir. Setiap orang akan mati tentunya, tapi bila, di mana dan bagaimana matinya hanya Tuhan saja yang tahu dan kita tidak perlu terus-menerus bersedih.”

“Memang benar kau. Mereka mati tapi kita terus hidup. Aku akan berhenti bersedih.”

“Ya begitulah. Mereka mati dan kita terus hidup.”

“Ya, mereka mati dan kita terus hidup.”

“Aku pernah mendengar yang orang mati kemalangan dan bukan untuk maksiat itu adala syahid. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mereka ditempatkan di dalam syurga. Al-Fatihah!”

2.

“Tujuh tahun kita tidak berjumpa-jumpa.”

“Begitulah, tujuh tahun! Memang lama.”

“Dan kau tidak pernah mengirim surat atau poskad selama kau berada di luar negeri itu. Kaulah sahabat yang sangat baik dan ingat pada kawan!”

“Maafkan aku. Aku terlalu sibuk belajar sehingga tertunda-tunda untuk melakukannya.”

“Memang betul – jika kita terlalu sibuk kita akan menunda-nunda sesuatu itu dan akhimya terus terlupa.”

“Tentu banyak yang berlaku di sini selama aku berada di luar negeri. Dan ini siapa? Anak-anakmu?”

“Ini Saiful anak yang pertama dan ini Sumarni anak kedua dan ini Lizawati anak yang bongsu dan isteriku sekarang mengandung lagi. Aku pun juga terikut-ikut mengandung!”

“Ya banyak lelaki seperti itu. Isterik labu perut sembilan bulan, si lelaki labu perut semur hidup!”

“Kau bagaimana? Berapa orang sudah anak?”

“Aku masih bujang lagi.”

“Masih bujang? Tapi perutmu itu seperti mengandung tiga bulan. Cepat-cepatlah kahwin. Kahwin itu baik.”

“Jadi, orang bujang itu tidak baik?”

“Bukan itu maksudku. Masudku kahwin itu lebih baik.”

“Aku terlalu sibuk. Di mungkin aku akan melanjutkan pelajaran lagi untuk mengambil Masters dan Ph.D. Tidak ada masa untuk mencari perempuan. Lagipun kan jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan.”

“Tapi janganlah terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk hidup. Kita belajar dan bekerja untuk hidup bukan hidup semata-mata untuk belajar dan bekerja. Ada tuntutan-tuntuta lain yang alamiah yang mesti diberi perhatian juga.”

“Dulu cakapmu tidak pernah serius. Sekarang kau sudah berubah. Kau lebih berakal sekarang.”

“Ha! Ha! Ha’ Hidup berumahtangga itulah universiti yang tertinggi sekali. Jika kau dapat isteri yang baik berbahagialah kau dan jika kau dapat isteri yang cerewet kau akan jadi seorang ahli falsafah.”

“Yalah – aku akan kahwin cepat-cepat nanti! Kau tak usah sibuk. Jangan pula kau yang tidak datang apabila dijemput nanti.”

“Tadi mula-mula tadi aku lihat kau terkejut apabila ternampak aku – kenapa?”

“Ha! Ha! Aku sangka kau sudah mati! Betul-betul aku sangka kau sudah mati?”

“Siapa yang membawa berita yang aku sudah mati itu?”

“Sabriah. Aku bertemu dengannya di tempat pembuangan sampah di Kampung Kilanas.”

“Apa saja katanya tentang kematianku itu?”

“Katanya kau, Aimullah Mohd.Ali mati teruk berlanggar kereta! Aku sudahpun hadiahkan kau bacaan Al-Fatihah.”

“Terima kasih. Aku putus dengan Sabriah. Kau masih ingat Normah teman rapat Sabriah? Kami pernah cuba menjodoh-jodohkan kau dengan Normah tapi Normah yang tidak mahu dan kau macam tidak ada minat langsung dan kau macam ada menaruh hati pada Sabriah pula.”

“Ya, Sabriah ada menceritakan itu.kepadaku.”

“Sabriah dan Normah bergaduh. Puncanya aku. Sabriah menuduh Normah cuba merampas aku dari tangannya. Aku cuma berbual-bual dengan Normah. Sabriah meraum muka Normah sedangkan ia itu teman rapatnya juga. Normah tidak melawan. Dan aku menjadi tawar hati terhadap Sabriah dan akhirnya aku putuskan terus. Itulah apa yang dapat dilakukan oleh cemburu.”

“Cemburu itu tandanya sayang.”

“Memang betul, tapi cemburu seperti itu tandanya bodoh! Tapi barangkali sekarang ia sudah berakal. Dan ia akan berakal lagi jika ia berumahtangga – mengapa kau tidak cuba-cuba memikataya?”

“Jadi ia masih bujang lagi?”

“Ya. Kaucuba-cubalah.”

“Ya, mengapa tidak kalau ia belum berlaki lagi? Cuma saja, secara terus-terang, perasaanku terhadapnya tidaklah seghairah dulu, rupa dan umurnya pun sudah tidak muda lagi.”

“Kau pun sudah tidak muda lagi.”

“Ya begitulah. Aku kira aku masih ada menaruh hati sedikit padanya. la masih lawa walaupun tidak macam dulu, putih dan berambut panjang lurus hingga ke bahu. Lagipun aku kasihan juga padanya. Di tempat pembuangan sampah itu ia mengadu padaku dengan linangan air mata. la benar-benar sedih atas kematianmu itu. Aku akan cuba mencarinya nanti.”

“Baguslah tu!”

“Aku terpaksa jalan sekarang. Kita sudah bercerita panjang. Maaf, aku ini selalu saja sibuk. Kita mesti berjumpa iagi.”

“Ya kita mesti berjumpa lagi. Kau pula janganlah terlalu sibuk. Luangkanlah masa untuk – hidup. Datang-datanglah ke rumahku Wisma Bahagia di Kampung Mulaut.”

“Insya-Allah aku akan cuba. Isterimu mana?”

“la sedang membeli-belah di sebelah itu, aku malas hendak ikut apalagi dengan anak-anak tiga orang ini, jadi aku berjanji menunggunya di sini.”

“Isterimu itu siapa?”

“Normah. Normah yang kami cuba jodohkan dengan kau dulu itu.”

3.

“Memang benar – dari jauh sudah aku menyangka kereta Mercedez itu kau punya. Kau membuang sampah di sini lagi? Kau cuti?”

“Begitulah, aku sudah lama mahu ingin menemuimu tapi kau susah dicari. Jadi aku mengambil keputusan untuk datang ke tempat pembuangan sampah di Kilanas ini setiap hari minggu. Tapi bila itu gagal juga, aku pun mengambil cuti sebulan dan datang ke sini setiap hari sehinggalah hari ini kau akhimya muncul juga.”

“Ya, aku selalu nampak keretamu berada di sini setiap pagi. Tapi aku tak sangka yang kau mahu berjumpa denganku. Aku sangka kau tentu membuang sampah. Banyak benar sampahnya dan rajin benar ia menjaga kebersihan – setiap hari ke tempat pembuangan sampah – itulah yang aku fikirkan apabila aku terlihat Mercedezmu di sini setiap pagi itu. Aku pun mahu berjumpa denganmu juga dan kebetulan aku off hari ini kerana itu aku datang ke mari berpura-pura hendak membuang sampah.”

“Kau mau jumpa aku?”

“Aku mau minta maaf kerana berbohong padamu tempoh hari. Aku terfikir mengapa aku mesti berbohong padamu sedangkan kau seorang lelaki yang baik.”

“Itu aku faham. Setiap hari kita melakukan pembohongan sama ada pada orang lain atau pada diri sendiri dan itu hanyalah kerana kebenaran itu selalunya amat pahit untuk ditelan.”

“Memang benar cakapmu. Hampir sepanjang masa orang berbohong dan jika kebohongan-kebohongan itu dapat dikumpulkan – dunia ini tidak akan cukup tempat untuk menampung kesemuanya.”

“Kita semua berdosa kerana berbohong. Orang-orang jahat berbohong, orang-orang baik pun adakalanya berbohong! Ada bohong yang dikatakan bohong sunat. Berbohong paling senang dilakukan – ia kita lakukan dengan natural sekali. Dan ia selalunya amat menyenangkan hati kita, cuma saja kesenangan itu sebentar dan sementara.”

“Tapi kali ini aku mahu bercakap benar padamu tentang Mohd. Ali. Aku tidak mahu berselindung-selindung lagi semoga dadaku akan bertambah lapang.”

“Aku faham perasaanmu.”

“Mohd.Ali sebenarnya bukan mati kemalangan jalan raya, ia mati membunuh diri. Seorang yang aku sanjung, kasihi dan percayai tau-tau mati kerana kebodohan sendiri. la mati kufur dan masuk neraka jahanam. Aku sungguh malu mempunyai kekasih sepertinya. la dipenjarakan kerana menyelewengkan duit kerajaan untuk membangunkan rumah di Kampong Mulaut. la mati membunuh diri di dalam penjara. Aku diberitahu yang ia menikam lehemya dengan berus gigi yang dipatahkannya. la mati kufur dan masuk neraka jahanam. la tidak mati kerana kemalangan jalan raya, cerita itu cuma kureka-reka saja kerana malu untuk memberitahu hal yang sebenarnya.”

“Tapi bagaimana dengan Normah yang kaukatakan dulu berlanggar dengan Mohd. Ali itu?”

“Normah? Oh ya, Normah – ia telah bercinta dengan seorang pelancong Eropah yang singgah seminggu di Brunei.”

“Kemudian pelancong itu meninggalkan Normah sambil berjanji akan datang lagi tapi ia tidak pernah datang kembali dan Normah pun merana dan patah hati?”

“Ya, memang benar cakapmu itu tapi bagaimana kautahu?”

“Normah pun merana dan patah hati tapi bukan itu saja…”

“Normah mendapati dirinya mengandung anak di luar nikah bukan? Manusia memang mudah lupa pada moral.”

“Ya, ya memang benar cakapmu itu! Bagaimana kau tahu semua ini, Sobri?”

“Dan kemudian ia merasa amat malu?”

“Memang benar cakapmu. Lalu ia membunuh diri.”

“Dengan meminum racun rumput paraquat? Kebodohan di atas kebodohan.”

“Memang benar cakapmu. la mati kufur dan masuk neraka jahanam. Aku sangka kau belum tahu cerita yang sebenamya.”

“Mohd. Ali dan Normah biarkan mereka.”

“Benar, memang benar cakapmu itu. Biarkanlah mereka. Mereka berdua sudah mati dan mati dengan bodoh dan kedua-duanya masuk neraka jaha-nam. Kita yang tinggal ini masih hidup.”

“Ya begitulah. Kita masih hidup dan mesti hidup dengan bijak. Tapi kau sebenarnya – bagaimana sekarang.”

“Aku akan terus seperti ini kerana selepas apa yang terjadi pada dua orang yang amat rapat dan amat kupercayai itu aku mendapati diriku amat sukar untuk percaya pada sesiapa lagi walau diriku sendiri.”

“Aku harap kau sebenamya berbohong sekarang. Sudah lama aku menunggu akan kedatanganmu hari ini. Dan aku pun sudah semakin berumur sekarang tapi perasaanku terhadapmu sama seperti dulu.”

“Oh!”

BUJANG SI GANDAM

Bahana Julai 1992

“Taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktakta ktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktak taktaktak taktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak tak taktaktaktaktaktaktak-taktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak sepanjang hari ini jurutaip berbadan kecil bermisai tebal ini akan bekerja lagi. Karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain.Sekarang ia sedang sarapan pagi, secawan teh dan sedikit ubi kayu rebus yang disediakan oleh isterinya yang sedang mengandung tiga bulan, jurutaip berbadan kecil bermisai tebal mengucap “alhamdulillah” dan sebelum pergi bekerja berpesan-pesan pada isterinya yang sudah dua kali mengandung tidak jadi, katanya:

“Jaga diri baik-baik. Jangan mengangkat-angkat barang barat. Barangkali abang mulih akhir pasal karaja banyak di pejabat.” Karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain.

Jurutaip berbadan kecil bermisai tebal berkemeja putih, sebatang pen di poket baju, berseluar panjang hitam sekarang bergegas-gegas berjalan berlimbai, indada masa kan mengatur langkah lagi, indada masa kan mengatur limbai lagi, salah langkah salah limbai, slahtah tu. indada masa kan mengulang-ulangi, ke beranda rumah memakai kasut lalu turun tangga ke tanah bergegas-gegas berjalan berlimbai, indada masa kan mengatur langkah lagi, indada masa kan mengatur limbai lagi, salah langkah salah limbai, salahtah tu, indada masa kan mengulang-ulangi, masuk ke kereta, sebuah kereta lama yang kalau rosak dibaiki sendiri, kalau garit catnya dibiarkan garit, kalau picak badannya dibiarkan picak. Sebelum bertolak ia mengangkat tangan melambai pada isterinya, jaga dirimu baik-baik mudah-mudahan saja jadi kali ani, yang setiap pagi pasti memerhatikannya dari jendela depan rumah, rumah kecil berdinding papan tidak bercat, beratap zink merah bertagar, berjendela lima: di depan dua buah, di kanan sebuah, di kiri sebuah, di belakang sebuah menghadap kebun sayur kecil tiga batas, sebatas timun, sebatas kacang panjang, sebatas bayam merah.

Sekarang, seperti setiap pagi hari berkerja, ketika embun masih terapung-apung rendah (kalau musim berembun), ketika burung-burung masih rinsak bercicau bercicip bercicap dan ayam masih berkokok, jurutaip berbadan kecil bermisai tebal memandu kereta di jalan raya yang belum lagi sibuk, melintasi rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu, sekali-sekala memandang ke kiri pada rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu dan pokok-pokok kayu yang diketahui namanya dan tidak diketahui namanya dan sekali-sekala memandang ke kanan pada rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu dan pokok-pokok kayu yang diketahui namanya dan tidak diketahui namanya untuk menghilangkan rasa pedih di mata kerana kalau kaumemandang ke hadapan saja pada garis-garis putih di tengah-tengah jalan raya sepanjang masa mata pasti akan letih dan leher pasti akan tegang. Sekali-sekala ada kereta mengikut di belakang dengan dekat menanti dan mencari peluang hendak memotong sekejap membelok ke lorong sebelah kanan seperti menyubuk-nyubuk sekejap masuk semula ke lorong sebelah kiri sekejap membelok ke lorong sebelah kanan seperti menyubuk-nyubuk dan apabila jalan raya di depan lapang terus memandu laju dan memotong dan ada yang sempat mengehon peep peep padanya dan jurutaip berbadan kecil bermisai tebal menaulih ke kanan sekejap maafku jua, keretaku ani inda dapat dipandu laju-laju kalau kan memotong, memotongtah. Jurutaip berbadan kecil bermisai tebal terus memandu dengan perlahan empat puluh lima kilo-meter sejam menuju ke pejabat di sebuah bangunan besar tujuh tingkat – bangunan batu berpuluh-puluh bilik, berpuluh-puluh pintu, beratus-ratus jendela dan ialah di antara yang paling awal datang.

Sudah lama ia berkerja di sini barangkali sudah lebih dua puluh tahun sebagai jurutaip sejak ia berumur belasan tahun dan ialah yang paling bawah sekali kedudukannya, indada lagi orang lain kan bisdia suruh-suruh. Meja bekerjanya berada di pisuk berdekatan dengan jendela. Meja ini sebuah meja kayu yang sudah lama dan sepatutnya sudah diganti tapi tiada sesiapa terfikir hendak menggantikannya dengan yang baru. Di atas meja ini ada sebuah mesin taip Remington jenis lama berwarna gelap, besar dan berat yang lakap-lakap lapis luaranya di sana sini tapi masih bersih dan cukup terpelihara yang digunakannya sejak mula-mula bekerja hinggalah sekarang.

Taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktak taktak taktaktaktak taktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktak taktak taktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktak taktak taktaktaktak taktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktak taktak taktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktaktak taktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktak taktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak tak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktak taktak taktaktaktak taktak taktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktak taktaktaktaktaktaktak taktaktak taktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktak taktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktaktaktaktak-taktak taktaktaktaktaktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktak taktaktaktaktaktaktak taktaktaktak taktaktaktaktaktaktak. Di sinilah ia bekerja menaip dari pagi hingga ke petang – karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain. Oleh kerana ia sudah lama bekerja sebagai jurutaip ia diakui sebagai jurutaip terpantas di Negara Brunei Darussalam ini walaupun ia tidak pernah mengakuinya dan orang amat sukar hendak menemui kesilapan taip pada kerja-kerjanya – karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain – ia akan menaip bersih menyalin dengan tepat segala naskah tulisan tangan atau naskah yang bertaip yang baru dibetulkan dan minta ditaip bersih yang diserahkan kepadanya dari huruf ke huruf, salah eja diikut, tak salah eja diikut, salah tanda baca diikut, tak salah tanda baca diikut – disalin seperti yang diserahkan.

Dahulu pernah juga ia diberi satu tugas untuk memperbaiki dan membetulkan sebuah minit ringkas – mula-mula sebutir peluh jatuh dari dahinya ke atas kertas minit tersebut, kemudian tapak tangannya mula berpeluh dan tidak lama kemudian seluruh belakangnya basah oleh peluh dan akhirnya ia menggeleng-gelengkan kepala, bingungku inda bapatut karaja ani, lalu menyalin minit tersebut dari huruf ke huruf, salah eja diikut, tak salah eja diikut, salah tanda baca diikut, tak salah tanda baca diikut kemudian berjalan berlimbai, indada masa kan mengatur langkah lagi, indada masa kan mengatur limbai lagi, salah langkah salah limbai, salahtah tu, indada masa kan mengulang-ulangi, membawa minit asal dan minit yang baru ditaipnya ini dan menyerahkannya kepada ketuanya sambil berkata:

“Saya ani dilahirkan untuk menyalin saja – atu ganya tau saya.”

Sejak itu ia tidak diberikan tugas lain selain menyalin menaip bersih segala surat-surat, minit-minit, laporan-laporan dan apa saja yang perlu disalin dan ditaip dari huruf ke huruf, salah eja diikut, tak salah eja diikut, salah tanda baca diikut, tak salah tanda baca diikut. Ia memulai kerjanya dengan memeriksa-meriksa mesin taip ini, melap dan meniup habuk jika ada habuk melekat, membaca huruf-huruf, nombor-nombor, simbol-simbol dan tanda-tanda baca yang ada: merasa sedih melihat huruf B dan nombor 8 dua beradik kembar hampir serupa terpisah jauh; tersipu-sipu dan kadang-kadang merah muka melihat huruf Y dan X dan setiap kali ia menekan kedua-dua huruf itu pastilah ia merasakan seperti setiap orang sedang tersenyum-senyum memerhatikannya; paling digemarinya huruf I ringkas dan tidak banyak bicara; huruf W menyebabkabnya ketawa kecil kerana ia terbayang perempuan tua yang sudah lanjut buah dadanya. Sebelum mula menaip ia akan menggerak-gerakkan jarinya, menyenam-nyenamkannya, dan sebaik-baik saja ia mula menaip ia tidak akan berhenti sehinggalah tengah hari kerana kerjanya banyak – karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain – ia berkerja dengan diam, hujung jari-jari seperti bersatu dengan mesin taip ini, sekali-sekala mukanya sedih, sekali-sekala ia tersipu-sipu dan kadang-kadang merah muka, sekali-sekala mukanya kelihatan girang, sekali-sekala mukanya serius, sekali-sekala mukanya tenang, sekali-sekala ia kelihatan bahagia sekali, sekali-sekala ia tertawa kecil dan setiap kali ia menekan huruf Z badannya akan meliuk ke kiri ke kanan geli seperti di geletek dan ia terus menyalin menaip seperti ini, kepalanya memandang ke kanan, membaca huruf demi huruf, jari-jarinya mengetik huruf demi huruf secepat yang terdaya tanpa berhenti kecuali ketika membuka lembaran baru yang hendak di taip dan ketika memasukkan kertas baru ke dalam mesin taip dan pada tengah hari apabila ia mengangkat kepalanya untuk melihat antah apa lagi karaja-karaja baru yang ku kana bagi yang ditugaskan kepadanya kerana semasa menaip ia tidak akan peduli pada kelilingnya, orang datang dan pergi mengambil atau menghantar kerja-kerja baru – karaja batimbun-timbun, karaja inda barancang, bakumpul-kumpul, balum siap yang lama datang lagi yang baru empat lima macam yang walau apa pun terpaksa diterima pasal orang jaih-jaih macam kitani indada pilihan lain, ia mendapati di dalam tray ada tiga buah laporan yang tebal-tebal, sebuah lima ratus muka, sebuah lagi empat ratus lima puluh muka dan sebuah lagi tiga ratus muka untuk ditaip bersih dan minit yang menyertai laporan-laporan ini menyatakan kerja-kerja ini mesti siap sebelum lima belas haribulan ini dan hari ini sudah tiga belas haribulan – bamati karaja kali ani ganya Bujang Sigandam Awang Si Kanak Bujang Simaliwala yang sanggup membuat dan ia jatuh, jurutaip berbadan kecil bermisai tebal ini, pengsan di tepi meja kayu yang sudah lama dan sepatutnya sudah diganti tapi tiada sesiapa terfikir hendak menggantikannya dengan yang baru dan ia tidak tahu berapa lama ia tidak sedarkan diri atau apakah sekarang ia sudah betul-betul sedarkan diri, atau ia tidak pernah pengsan dan ia bukan dari orang-orang remeh yang tidak ada pilihan langsung antah barangkali semua ani ganya patuturan, semuanya inda banar kerana ia sekarang berada di hospital di wad kelas pertama duduk di sisi isterinya yang baru saja melahirkan anak. Isterinya ini yang baru mengandung tiga bulan. Isterinya ini yang sudah dua kali mengandung tidak jadi. Alhamdulillah, anugeraha Tuhan. Membari inda kan pacaya. Baru tiga bulan batian udah tia beranak. Di luar wad, di koridor, ada beratus-ratus orang mahu menziarahi dan melihat anak yang baru lahir ini. Bertolak-tolakkan dari moyot sampai ke moyang, dari moyang sampai ke datuk, dari datuk sampai ke nenek, dari nenek sampai ke ayah, dari ayah sampai ke anak, dari anak sampai ke cucu, dari cucu sampai ke cicit, dari cicit sampai ke antah. Anggota-anggota polis dipanggil untuk mengawal keadaan. Berita tersebar cepat bahawa isterinya yang baru mengandung tiga bulan ini, isterinya yang sudah dua kali mengandung tidak jadi ini telah melahirkan anak yang elok rupanya, bercahaya-cahaya mukanya, halus putih kulitnya, cukup dengan barut emasnya, cukup dengan gelang kakinya, cukup dengan gelang tangannya, cukup dengan pedang bermata tujuh, cukup dengan pakaian tujuh persalinan berkilau-kilauan yang bukan dari bumi. Untuk mengawal keadaan mereka dihantar pulang ke kampung melintasi rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu, sekali-sekala memandang ke kiri pada rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu dan pokok-pokok kayu yang diketahui namanya dan tidak diketahui namanya dan sekali-sekala memandang ke kanan pada rumah-rumah batu dan rumah-rumah kayu dan pokok-pokok kayu yang diketahui namanya dan tidak diketahui namanya, ke rumah kecil berdinding papan tidak bercat, beratap zink merah bertagar, berjendela lima: di depan dua buah, di kanan sebuah, di kiri sebuah, di belakang sebuah menghadap kebun sayur kecil tiga batas, sebatas timun, sebatas kacang panjang, sebatas bayam merah.

Di sini, di halaman depan rumah ini, mereka berjalan menggendong anak kecil ini, bejalan dengan sigatnya, berjalan behatur langkah, bebuang limbai, limbai kanan sambangan lalu, limbai kiri alang menari, salah limbai diulangi, salah langkah diunduri, indatah susah hidup kita kali ani dang, indatah lagi kitani diulun-ulun, kalau diulun pun inda apa, anak kitani dapat membantu, bukan sabarang anak yang kauberanakkan ani dang, bukan asalnya si pugut, bukan asalnya si balan, asalnya turun dari langit mambalah ke bumi, bah oi baritahku apa saja karaja, jangan karaja yang alang-alang, bukan ku jua bacakap basar mun ganya membuat jambatan amas jambatan perak, dui sahari dapat siap, menuju ke rumah kecil mula-mula rumah ani kan kutukar jadi astana mahligai berdinding papan tidak bercat, beratap zink merah bertagar, berjendela lima: di depan dua buah, di kanan sebuah, di kiri sebuah, di belakang sebuah menghadap kebun sayur kecil dan kabun ani kan kujadikan taman indah sejuta bunga tiga batas, sebatas timun, sebatas kacang panjang, sebatas bayam merah. Di sini di halaman rumah ini sudah ramai orang dan orang-orang ani kan kujadikan pengiring dan pengawal astana mahligai menunggu setelah mendengar berita yang tersebar cepat bahawa isterinya yang baru mengandung tiga bulan ini, isterinya yang sudah dua kali mengandung tidak jadi ini telah melahirkan anak yang elok rupanya, bercahaya-cahaya mukanya, halus putih kulitnya, cukup dengan barut emasnya, cukup dengan gelang kakinya, cukup dengan gelang tangannya, cukup dengan pedang bermata tujuh, cukup dengan pakaian tujuh persalinan berkilau-kilauan yang bukan dari bumi. Bertolak-tolakkan dari moyot sampai ke moyang, dari moyang sampai ke datuk, dari datuk sampai ke nenek, dari nenek sampai ke ayah, dari ayah sampai ke anak, dari anak sampai ke cucu, dari cucu sampai ke cicit, dari cicit sampai ke antah hendak melihat anak ini yang lahir cukup dengan barut emasnya, cukup dengan gelang kakinya, cukup dengan gelang tangannya, cukup dengan pedang bermata tujuh, cukup dengan pakaian tujuh persalinan berkilau-kilauan yang bukan dari dunia ini.

“Alhamdulillah.”

PAYAH

Borneo Bulletin 15 Ogos 1992

 “SUSAH.”Sekarang mereka sudah pun dikurniakan dengan lima orang anak yang sihat-sihat. Sudah sepuluh tahun Syafinah bersuamikan Matnor. Ia sendirilah yang memilih Matnor dari sekian banyak lelaki. Jika wanita lain tidak mungkin mereka mahu memilih Matnor.

Apa yang ada pada Matnor? Ia seorang lelaki yang paling sederhana, kalau kau bertemu dengannya pastilah kau menyangka ia seorang yang bodoh – tapi kesederhanaanya tidaklah sampai kepada bodoh.

“Bukan kupalui kan kamu tipu-tipu.”

Rupanya tidaklah berapa sangat, pakaian pula hanya dua tiga pasang saja dan itu pun yang murah-murah. Ke sana ke mari ia tidak gemar memakai kasut cuma memakai selipar jepun yang dipakainya sehingga putus baru membeli yang baharu. Ia memang tidak bergaya. Secara logiknya orang seperti ini tentulah mempunyai wang simpanan yang banyak kerana terlalu kedekut berbelanja untuk diri sendiri – tapi tidak Matnor ia seorang yang suka berbelanja tapi pada barang-barang makanan yang menjamin kesihatan ia tidak pernah jatuh sakit seumur hidupnya:

“Eksen pun kalau tasirok-sirok ingus ke sana ke mari, inda bapaidah!”

Dan ia suka bersedekah. Simpan wang?

“Bahapa kan manaruh usin kalau kan dibelanjakan jua? Lagi pun nilainya inda pandai naik – turuntah ganya. Baiktah dibelanjakan awal-awal. Indada kan diingau-ingaukan lagi.”

Pendidikannya juga sederhana setakat – tingkatan empat dan ia tidak mahu meneruskan pelajarannya.

“Kerana orang pandai-pandai sudah banyak, pasal atu dunia ani sudah kan hancur.”

Tidak mungkin ada wanita lain yang mahukan lelaki seperti ini. Jadi banyak orang tertanya-tanya mengapa Syafinah yang moden namanya ini memilih Matnor yang namanya pun sudah fesyen lama. Syafinah ini mukanya bujur putih dan halus licin kulitnya. Pakaiannya sedap mata memandang tidak terlalu sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Peramah pada sesiapa saja dan siapa saja asal lelaki pasti akan jatuh cinta padanya pada teguran dan pandang pertama. Sepatah kita bercakap akan disambutnya dengan sepuluh patah kata. Baru berjumpa sudah seperti orang kenal sejak lama. Cuma saja Syafinah ini penyemburu. Sudah seratus orang teman lelakinya sebelum ia bersuamikan Matnor termasuk semasa ia masih di bangku sekolah lagi ketika berumur empat belas tahun lebih. Keseratus-seratus orang ini diputuskan hubungan hanya kerana alasan-alasan yang kecil seperti mereka telah menyebut nama perempuan lain di depannya atau ia mendengar ada perempuan lain menyebut nama teman lelakinya ini, atau teman lelakinya ini menegur atau senyum pada perempuan lain semasa mereka sama-sama bersiar-siar di pantai misalnya atau di mana-mana saja.

Apabila ia memutuskan hubungannya dengan teman lelaki yang ke seratus kerana teman lelakinya ini memuji kejelitaan Imelda Marcos, bekas wanita pertama Filipina, yang memiliki dua ribu lima ratus pasang kasut itu, Syafinah bersumpah teman lelaki yang ke seratus satu nanti akan dijadikanya suaminya.

“Aku inda mahu main-main lagi,” katanya kepada seorang kawan. “Aku akan mencari laki-laki yang indada bini-bini lain kan baguna.”

Selama tujuh tahun ia mencari lelaki seperti ini dan selama tujuh tahun ini banyaklah lelaki yang tidak dilayaninya dan banyaklah lelaki yang segak dan kacak kecewa dan ia pun selama tujuh tahun ini merasakan betapa membosankan hidup tanpa teman lelaki. Akhirnya ia menemui lelaki yang dicari-carinya pada pagi hari Ahad di tempat pembuangan sampah berdepanan dengan Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kampung Kilanas di Jalan Tutong. Sekali pandang saja ia sudah menetapkan bahawa inilah lelaki yang dikehendakinya – mudah-mudahan saja ia masih bujang. Inda patut ada bini-bini kan baguna laki-laki ani. Mereka kebetulan sama-sama membuang sampah di situ. Cuaca redup saja barangkali hujan sekejap lagi akan turun. Semasa ia mengangkat beg-beg plastik hitam dari bonet belakang ia nampak lelaki ini memandangnya dengan tersenyum. Ia pun membalas senyuman ini.

“Bah tolongtah kumengangkat sampah ani,” kata Syafinah dengan nada ringan dan ramah seolah-olah mereka sudah seratus tahun kenal. “Apa senyum-senyum ani?”

“Lawa bah kau atu dang!” kata lelaki ini.

“Sadarku pulang tu muaku ani lawa,” kata Syafinah.

“Kau atu, jangan marah ah – aku ani suka berterus-terang – inda barapa lawa apalagi senyum-senyum macam atu. Baik pulang kaumenolong aku mengangkat sampah ani – sanang pulang hatiku.”

“Sadarku pulang tu – muaku ani inda lawa,” kata lelaki ini. “Tapi kalau ku inda senyum pun inda jua bini-bini baguna, kalau kusenyum pun inda jua bini-bini kan baguna! Jadi baiktah kusenyum pasal senyum atu sunat – bapahala juaku.”

“Banar pulang tu ustaz – senyum atu sunat -bapahala,” kata Syafinah. “Jadi bujang tah kau ani – inda baanak inda babini?”

“Siapa jua kan baguna aku ani,” kata lelaki ini. “Puas sudah kumengunjar bini.”

“Atu inda pulang menghairankan tu. Maafku jua.”

“Ada bini-bini yang – paling bida sekali yang indada laki-laki baguna, kami sama-sama kenal – tau kau apa katanya?”

“Apatah katanya?”

“Matnoor – daripada kubalakikan kau bah, baiktah kubalakikan ambok!”

“Lucu jua tu ah,” Syafinah ketawa kecil. “Tapi membari jauh hati jua tu.”

“Awu membari jauh hati pulang tu. Ganya aku ani sadarku jua kan diriku – apa boleh buat andang sudah diri macam ani. Tu nah, cuba kualiat, macam ani kan banyak langau di sini ani – saekong pun inda bagunakan aku. Kata langau, Matnoor daripada kami hinggap arah kau baik kami hinggap arah tai!”

Syafinah ketawa kecil lagi.

“Antik namamu atu.”

“Matnor bin Hj Matassan! Kau siapa namamu?”

“Syafinah binti Syafiee.”

“Lawa namamu atu macam orangnya jua.”

“Sadarku pulang yang aku ani lawa.”

“Balaki kau sudah? ”

“Balum eh.”

“Tapi bakawan lalaki sudah?”

“Seratus orang sudah.”

“Banyak tu!”

“Banyak tah tu tapi semuanya putus! Aku ani terlampau penyemburu banar bah, pasal atu tah indada yang kakal.”

“Atu payah tu banar! Lelaki macam mana yang kauunjar ani?”

“Lelaki yang indada bini-bini baguna.”

“Atu dang – indada lain aku ganya tu!”

“Bah tolongtah kumengangkat sampah ani Wang Matnor, kalau kau kan baguna kadiaku.”

“Andang macam anikah kau ni dang?”

“Macam apa?”

“Ani bah, balum kenal sudah tah macam orang kenal seratus tahun.”

“Awu memangnya macam ani sejak lahir,” kata Syafinah. “Di mana kautinggal kan Matnor?”

“Dalam utan.”

“Banar-banar bah – bukan kumain-main.”

Setelah didesak barulah Matnor memberitahu alamatnya lengkap dengan nombor simpang dan poskod.

“Kirim-kirimku saja kad raya.”

“Stail lama tu. Jua batah lagi kan Hari Raya. Hari Minggu dapan kudatang ke rumahmu.”

“Datangtah.”

Hujan mulai turun renyai-renyai dan kemudian menjadi lebat diikuti dengan kilat, petir, guruh dan ribut.

Matnor terperanjat besar apabila Syafinah – mengunjunginya pada hari yang dijanjikannya. Ia – samasekali tidak menyangka bahawa Syafinah bersungguh-sungguh. Ada jua bini-bini macam ani dalam dunia ani. Lawa tapi antah barangkali setangah tiang. Tidak pernah seumur – hidupnya ia dikunjungi perempuan. Ibunya terkejut. Bapanya terkejut. Kakaknya terkejut. Abangnya terkejut. Adik-adiknya terkejut. Mula-mula mereka menyangka bidadari ini tersalah rumah dan tersalah orang. Matnorlah yang menjemput Syafinah masuk sementara ahli-ahli keluarganya tercengang-cengang.

Syafinah masuk dengan perlahan dan memberikan senyuman pada setiap orang. Ia melihat semua ahli rumah ini sihat-sihat belaka tidak kurus tidak gemuk. Rumah ini kemas tidak banyak perhiasan. Walaupun jendela-jendelanya semua terbuka lebar tidak ada seekor lalat atau langau atau nyamuk pun yang masuk.

Ibu Matnor, Hjh Tipah yang sudah tua ini mempersilakan Syafinah duduk dan menyuruh adik Matnor yang perempuan ke dapur menyediakan minuman.

“Jangantah susah-susah bu bagas minum sudah aku ani.”

“Si dayang ani dari mana?” tanya Hjh Tipah.

“Dari sana bu, dari Kampung Tanjung Bunut.”

“Jauh tu.”

“Janjiku arah si Matnor kan kamari hari ani. Iatah kudatang ani. Awu jauh pulang ni sini ani.”

“Awu dayang rumah kami ani dalam hutan. Jarang-jarang orang kan datang.”

Hjh.Tipah kemudian memandang anaknya Matnor dan bertanya tanpa selindung-selindung:

“Di mana kaubalurih bini-bini ani, Matnor?”

“Di tampat pembuangan sampah ma, di Kilanas.”

Syafinah tersenyum-senyum.

“Banar tu bu. Di sana kami bajumpa.”

“Kaupugai kali sudah anak ani, Matnor?”

“Indada ma eh! Aku ani walaupun pakai ilmu pugai, ilmu pamanis masih jua orang inda baguna – mambuat dosa saja.”

“Banar kata si Matnor atu bu.”

Selepas ini hampir-hampir sepanjang tahun Syafinah mengunjungi Matnor pada setiap hari Ahad dan juga kadang-kadang pada hari Jumaat. Ia sudah ada di rumah Matnor sejak pukul sembilan pagi dan ia teranah di sini sehingga ke petang. Bukan ia tidak merasa malu tapi perasaan malu ini terpaksa dilawannya kerana hajat yang lebih mendesak. Setiap kali ia hendak bertolak dari rumah ia selalu merasa ragu-ragu, malu benar rasanya tapi barangkali dalam dunia ini hanya seorang inilah lelaki yang dikehendakinya – lelaki yang tidak ada perempuan lain yang mahu. Ia menolong kakak dan adik-adik perempuan Matnor di dapur memasak, dengan mereka ia sentiasa ramah dan riang. Syafinah pula sekarang sudah biasa bercakap lepas saja. Tekadnya sudah tetap. Keluarga Matnor ini sudah dijadikannya keluarganya sendiri dan mereka pula sudah menerimanya dengan hati terbuka. Sekali-sekala ia menemani Hjh.Tipah dan Hj.Matassan melihat pokok buah-buahan di kebun sehingga mereka merasa ragu-ragu dan serba salah. Hj.Matassan banyak diam kerana ini memang sifatnya tapi Hjh.Tipah suka berterus-terang sama juga seperti Syafinah – dulu pun ialah yang mula membuka langkah kalau hendak diharapkan Hj.Matassan sampai bila-bila pun ia tidak akan bersuami.

“Macam ani dayang,” kata Hjh.Tipah. “Kami ani ingau jua kan kau ani. Kan kami larang kaudatang ka sini, sayang jua kami kan kau. Indungmu bah, baik diurang inda ta unjar-unjar kan kau?”

“Sebenarnya bu aku ani baguna kan si Matnor atu,” kata Syafinah berterus terang menekan perasaan malunya supaya jangan sampai mengganggu. “Aku ani bu, inda jua terlampau pamilih.”

“Atu dayang,” kata Hjh.Tipah, “kau atu, banartah inda pamilih!”

“Sebenarnya bu,” kata Syafinah lebih berterus-terang lagi tapi terasa merah juga pipinya, “aku ani kan minta pinang arah biskita untuk si Matnor atu tapi si Matnor atu macam inda pacaya aku baguna kadidia. Sudah kusuruh ia bapadah ka biskita pasal atu.”

“Indada pulang ia bunyi-bunyi arah kami,” kata Hjh.Tipah. “Banar-banar kau baguna ia atu kan? Inda kau menyasal karang? Inda lawa bah si Matnor atu.”

“Awu dang,” kata Hj.Matassan.

“Macam ani pa,” Syafinah mengalihkah perhatiannya pada Hj.Matassan. “Aku ani pa sudah seratus orang kawan lelakiku termasuk dua puluh orang tunang semuanya kuputuskan. Bapa dan mama pun sudah sangal. Inda lagi mau campur urusanku. Aku ani pa penyemburu basar. Penyemburu mati. Kalau tunangku atu menyabut saja nama bini-bini lain – indatah kubaguna kadidia lagi tu!”

“Awu dayang penyemburu banar kau atu.”

“Awu dang.”

“Ia tahtu pa, ia tahtu bu. Bila ku putus tunang yang penghabisan sekali basumpahtahku – laki-laki yang ke seratus satu ani, tatap sudah, kan kujadikan lakiku. Aku mau laki-laki yang indada bini-bini kan baguna.”

“Awu dang. Si Matnor ganya tu!”

“Walaupun ia baguna bini-bini lain – bini-bini lain indada kan baguna kadidia kecuali aku. Aku pun indada kan kucemburu-cemburui lagi.”

“Si Matnor tau sudah ia dayang?

“Tau ia tu bu. Takana aku banar-banar baguna kan kadidia atu, malu tah ia.”

“Laki-laki andangnya pamalu, dayang – inda dapat kan diharap,” kata Hjh.Tipah selamba. “Tu pa hajimu atu, sama tah macam kau ani – aku yang meminang kadidia atu dulu.”

“Awu dang.”

“Bapa mama pun sangal sudah kan aku ani – bakawan batunang sampai saratus orang, inda jua jadi-jadinya.”

“Awu dayang, mambari sangal pulang tu – seratus orang! Banyak bah tu!”

“Iatah kata bapa unjartah laki-laki yang indada bini-bini kan baguna asal saja sihat dan penyambayang.”

“Awu dang.”

“Pasal sihat,” kata Hjh.Tipah, “si Matnor atu sihat pulang tu. Inda pernah sakit dari damit.”

“Awu dang.”

Majlis perkahwinan Matnor dengan Syafinah diadakan dengan sederhana saja. Hanya dua ratus keping kad jemputan stenselan dihantar kepada sanak saudara dan kawan-kawan rapat tapi lebih dari lima ribu orang yang datang untuk menyaksikan majlis persandingan tersebut.

Kereta berbaris sehingga tiga kilometer di sepanjang jalan Tutong di kampung Tanjung Bunut. Orang-orang yang menyaksikan persandingan tersebut banyak yang secara terang-terangan menyatakan perasaan kecewa dan tidak faham dengan dunia ini. Banyak lelaki segak yang merasa terhina.

“Si Matnor pulang dipilihnya!”

Ada yang meramal bahawa perkahwinan ini tidak akan kekal bahagia, ada yang mendoakan agar perkahwinan ini hancur dan Syafinah akan menyesal besar lalu mencari ganti lelaki lain dan mereka mengharap diri merekalah yang akan dipilih dan mereka akan menolak sebagai membalas dendam biar ia menjanda sampai kiamat. Selepas majlis persandingan ini selesai ada tiga puluh kejadian kemalangan jalan raya berlaku di sana sini kesemuanya melibatkan lelaki bujang yang kacak dan segak yang berpakaian cara melayu. Sepuluh orang terbunuh serta-merta, lima orang mati dalam perjalanan menuju ke hospital dan tiga orang masih dalam keadaan koma hingga sekarang. Hanya seorang mengakui bahawa ia memandu dengan cara yang membahayakan kerana membawa rasa kecewa di hatinya dan ia menyalahkan dunia yang sukar untuk difahami – yang lain semuanya menyalahkan keadaan jalan raya yang berlopak-lopak dan berombak-ombak.

“Susah.”

Sekarang mereka sudah pun dikurniakan dengan lima orang anak yang sihat-sihat. Sudah sepuluh tahun Syafinah bersuamikan Matnor. Tidak ada masalah besar yang timbul cuma masalah-masalah kecil dan biasa yang segera diselesaikan dengan aman. Syafinah bersyukur. Matnor membahagiakannya zahir dan batin. Masalah perempuan lain yang hendak merebut Matnor darinya memang tidak ada bahkan banyak perempuan merasa lega apabila Matnor kahwin. Mereka tidak perlu lagi takut kalau-kalau bertemu jodoh dengannya. Laki-lakilah yang menjadi masalah. Banyak yang mahu menggoda Syafinah. Syafinah sedikit pun tidak tergoda. Bukankah ia telah bersusah-payah mencari lelaki ini sehingga sanggup membuang perasaan malu untuk mendapatkannya. Setiap hari ada saja lelaki datang ke rumah mereka di dalam hutan ini – Syafinah tinggal bersama keluarga Matnor – ada yang datang dari bandar, ada yang datang dari daerah lain, dari yang kaya-raya yang menawarkan mahligai dan rumah batu hinggalah kepada yang tidak ada apa-apa sekadar membawa perasaan cinta murni yang tulus ikhlas.

“Bahagia sudahku,” kata Syafinah. “Aga tah kamu mulih.”

Mereka pulang dengan muka yang kusut sambil memandu kereta dengan cara yang membahayakan.

Dan setiap hari ada saja kemalangan jalan raya berlaku di sana sini, ada yang mengakibatkan kematian, ada yang mengakibatkan cedera parah, ada yang cuma mengakibatkan cedera ringan dan setiap orang menyalahkan keadaan jalan raya yang berlopak-lopak dan berombak-ombak walaupun sebenarnya jalan raya-jalan raya tersebut mungkin sudah seratus kali ditar dan diperbaiki.

Matnor masih lagi dengan cara hidupnya yang lama dulu kalau ada perubahan pun cuma sedikit saja sekadar penyesuaian yang amat perlu bagi lelaki yang sudah berkeluarga – ia tetap dengan kesederhanaannya. Kemana ia pergi ia akan memberitahu Syafinah. Berahsia-rahsia pun ia tidak pernah – semuanya diberitahu pada Syafinah. Cakapnya semuanya lurus dan benar sehingga jika bergurau pun ia bercakap benar – dan bergurau – memang ia jarang-jarang bergurau kerana bergurau yang benar tidak begitu lucu. Jadi apabila Matnor pulang lewat pada suatu malam bulan penuh memberitahu kepadanya bahawa ia baru saja kahwin dengan orang bunian, Syafinah tidak tahu apa yang hendak dicakapkan. Ia tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak. Ia bukannya orang yang mudah percaya pada perkara-perkara seperti ini tapi suaminya ini orang yang lurus dan jarang pula bergurau.

“Orang bunian mana?” akhirnya ia bertanya dengan mendatar.

“Belalong.”

“Inda kupecaya.”

“Orang bunian beguna pada abang.”

“Inda kupecaya.”

“Tapulang tah tu,” kata Matnor. “Aku ani lai, inda pandai badusta.”

Syafinah tidak tahu hendak cemburu atau tidak. Perkara ini perlu difikirkan dengan mendalam terlebih dahulu. Buat sementara waktu cemburu terpaksa ditangguhkan. Selama beberapa hari ia bertanya ke sana sini tentang perkara ini. Ada orang percaya wujudnya orang bunian, ada orang tidak percaya dan ada orang yang separuh percaya dan separuh tidak. Akhirnya ia sendiri masih ragu-ragu. Orang-orang yang percaya itu tidak dapat membuktikan bahawa orang bunian itu ada. Orang-orang yang tidak percaya pula tidak juga dapat membuktikan bahawa orang bunian itu tidak ada dan ia tidak dapat memahami apa sebenarnya maksud orang-orang yang separuh percaya separuh tidak percaya itu.

Walaupun suaminya ini seorang yang lurus dan tidak mungkin berbohong ia masih juga sukar hendak percaya pada kewujudan orang bunian. Setiap malam bulan penuh Matnor keluar rumah. Subuh baru ia pulang. Syafinah setia menunggu tapi ia tidak tahu apa yang hendak dicakapkannya apabila suaminya ini pulang – hendak cemburu ia tidak tahu, tidak hendak cemburu – bertentangan pula dengan sifatnya yang amat penyemburu.

Syafinah bertanya pula pada isteri-isteri di kampung ini jika sekiranya suami mereka beristerikan orang bunian apakah mereka akan cemburu.

“Payah tu soalanmu atu.”

“Atu dayang inda kutahu.”

“Siasat daulu. Banar kah inda.”

“Kalau sekiranya laki kamu atu inda ragu-ragu lagi, banar-banar kawin dengan orang bunian, cemburu tah kamu tu?” tanya Syafinah.

“Antah!”

“Patutnya kau tau – kau yang kebilangan penyemburu atu.”

“Kalau manusia cemburu barabis kali ku ah? Tapi ani lain bah ni, kan cemburu inda jua kutau. Kan inda cemburu lain jua rasanya,” kata Syafinah.

“Mengapakan – lakimu kawin sama orang bunian?”

“Awu!”

“Karut tu. Mana ada orang bunian. Jangan-jangan bini-bini lain dangan lakimu atu kawin lagi.”

“Awu,” kata Syafinah. “Kalau kadapatan olehku bah – kuracun diurang dua-dua orang atu. Masuk penjara pun puas hati. Tapi bini-bini mana jua kan baguna si Matnor atu selain dari aku sendiri.”

“Banar jua.”

“Dipilih laki-laki kacak takut kana rampas,” kata Syafinah. “Dipilih orang macam Matnor ani – orang bunian tah pulang ikut tumpang kan baguna jua. Payah!”

“Apa dayang?”

“Payah! Hidup ani payah!”

CERPEN CINTA

Bahana Dis 1992

1.CERPEN Cinta Suci Murni, Cerpen Cintaku Jauh di Pulau, Cerpen Cinta di Bibir Saja, Cerpen Cinta Pandang Pertama, Cerpen Cinta di Gerai Malam, Cerpen Cinta Matamu Menusuk Kalbu, Cerpen Cinta Gadis Genit, Senjakala dan Pantai, Cerpen Cinta Rindu di Sana Rindu di Sini, Cerpen 1001 Cinta.

Aku berumur sepuluh tahun pertama kali aku bertemu dengan Cerpen Cinta. Aku belum tahu apa-apa ketika itu tapi aku telah beberapa kali mendengar tentang Cerpen Cinta. Aku tidak begitu ingat lagi, barangkali aku mendengarnya dari perbualan abangku dengan kawan-kawannya.

“Kita menemuinya di mana-mana saja sekarang ini.”

“Kita tidak dapat berbuat apa-apa.”

“Betul, tidak ada apa-apa yang dapat kita buat.”

“Cerpen Cinta.”

Kira-kira beginilah perbualan mereka. Memang mereka bercakap lebih panjang lagi kerana mereka ramai ketika itu dan memang juga mereka memperkatakannya lagi pada waktu-waktu lain tapi ini saja yang dapat kuingat. Abang mempunyai caranya yang tersendiri apabila bercakap tentang Cerpen Cinta dan caranya bercakap ini kemudian menjadi ikutan kawan-kawannya. Mereka selalunya datang ke rumah pada waktu petang. Mula-mula barangkali mereka bercakap tentang ekonomi negara, falsafah pendidikan, kebudayaan, politik dan banyak pekara lain dengan penuh semangat, kemudian mereka bercakap tentang Cerpen Cinta. Mereka bercakap dengan suara yang amat letih dan berputus asa seolah-olah Cerpen Cinta ini satu kuasa yang tidak dapat ditentang. Inilah kesan pertama yang dapat kuingat setiap kali mereka berbual-bual. Memang ketika itu aku tidak tahu apa-apa dan sekarang pun aku masih tidak tahu apa-apa – semuanya adalah kira-kira saja.

Aku bertemu Cerpen Cinta di Tepi Pantai pada satu petang yang redup. Cerpen Cinta di Tepi Pantai sedang duduk memerhatikan ombak bergulung-gulung menghempas pantai pecah berderai bagai kaca terhempas ke batu menjadi buih-buih putih. Wajahnya sayu penuh rindu kemudian aku terlihat manik-manik jernih mengalir dari kedua-dua kelopak matanya. Cerpen Cinta di Tepi Pantai membiarkan angin bertiup lembut membelai-belai wajah dan helai-helai rambutnya. Dedaun hijau melambai-lambai dan lelalang meliuk-liuk menari-nari dipuput angin silir-semilir. Beburung kembali terbang ke sarang dengan girang dan riang bersiul dan bernyanyi-nyanyi tapi aku di sini berduka nestapa. Sang suria bersiap-sedia hendak berlabuh di pelabuhan senja dan tirai malam beransur-ansur terburai.

“Oh,” keluh Cerpen Cinta di Tepi Pantai. “Sampai hatimu meninggalkan daku kesepian.”

Aku menghampiri dan duduk berdekatan dengan Cerpen Cinta di Tepi Pantai. Ketika itu aku masih budak-budak yang tidak tahu apa-apa dan sekarang aku sudah dewasa tapi aku masih juga tidak tahu apa-apa. Semua ini kutulis dari ingatanku – dengan kutambah di sana sini. Cerpen Cinta di Tepi Pantai memalingkan wajahnya ke arahku. Wajah ini sayu penuh rindu dan manik-manik jernih masih mengalir perlahan di kedua-dua pipinya yang halus putih.

“Biarlah derita ini kutanggung sendiri,” kata Cerpen Cinta di Tepi Pantai menahan sendu. Suaranya hampir-hampir tidak kedengaran.

“Kita pulang,” kata abang kepadaku.

Abangku memang begitu – ia tidak suka pada Cerpen Cinta.


2.

BAPAKU sudah tua. Ia tidak ada masa untuk memikirkan tentang Cerpen Cinta. Aku sendiri tidak tahu sama ada ia menyukainya atau tidak. Aku rasa ia memerhatikan juga Cerpen Cinta tapi ini cumalah kira-kiraku saja. Mungkin saja ia samasekali tidak peduli.

Jika Cerpen Cinta melintas di depannya, bapa mengangkat kepala melihat sebentar dan tersenyum, kemudian meneruskan apa saja yang sedang dilakukannya ketika itu. Pastilah ia memerhatikannya juga tapi barangkali tidak ada masa untuk memikirkannya kerana aku tidak pernah mendengar ia menyebut-nyebut tentang Cerpen Cinta.

Tidak, bapa memang pernah menyebut tentang Cerpen Cinta – sekali atau dua kali. Ia menampung cakap abang dan kawan-kawannya pada suatu petang.

“Cerpen Cinta itu selamat ia tidak mengganggu sesiapa,” begitu kira-kira kata bapa. “Kerana itu Cerpen Cinta dibiarkan ramai berkeliaran ke sana ke mari.”

“Kita menemuinya di mana-mana saja sekarang ini.”

“Kita tidak dapat berbuat apa-apa.”

“Betul, tidak ada apa-apa yang dapat kita buat.”

“Cerpen Cinta.”

Kata-kata bual ini memanglah sudah kutambah dan kuusai (aku ketika itu masih budak-budak yang tidak tahu apa-apa dan sekarang pun walau sudah dewasa aku masih tidak tahu apa-apa) tapi kira-kira begitulah perbualan mereka ini. Ketika itulah aku baru tahu bahawa Cerpen Cinta ini bukan satu tapi ramai bilangannya. Aku tidak tahu kenapa tapi aku merasa terhutang budi pada bapa kerana pengetahuan ini.

Kalau abang dan kawan-kawannya yang bercakap, Cerpen Cinta ini seolah-olah sebuah benda yang besar dan berkuasa.

Kalau bapa yang bercakap, Cerpen Cinta ini pula hanyalah satu yang selamat bahkan menjamin keselamatan.

“Biarkan Cerpen Cinta.”


3.

AKU bertemu lagi dengan Cerpen Cinta – kali ini di Lapangan Terbang Antarabangsa. Banyak manusia di Lapangan Terbang Antarabangsa ini, binatang pun ada juga, seekor dua anjing yang dibawa oleh manusia bangsa eropah. Manusia-manusia ini ada yang baru tiba dan ada yang hendak berangkat pergi, membimbit beg dan menyurung bagasi dengan troli. Ada yang masih menunggu kedatangan orang yang dihajati dan ada juga manusia yang sekadar meramaikan Lapangan Terbang Antarabangsa ini duduk berehat-rehat sambil memerhatikan manusia-manusia yang keluar masuk. Aku di sini cuma menemani abangku menghatar kawannya yang hendak belajar ke luar negeri. Ketika itu aku masih seorang budak kecil yang tidak tahu apa-apa dan sekarang pun setelah dewasa aku masih tidak tahu apa-apa, aku terdengar bunyi esak yang tertahan-tahan.

Terus saja aku dapat mengenali bahawa suara ini suara esakan Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa. Macamana aku dapat mengenali bahawa suara ini suara esakan Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa, memang sukar untuk diterangkan – barangkali cukuplah kita katakan bahawa inilah intuisi kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Tapi sekarang setelah dewasa aku masih tidak tahu apa-apa, barangkali boleh juga aku mengagak-agak bahawa Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa ini baru saja melepaskan buah hatinya pergi berlayar. Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa ini berbaju kurung merah jambu dengan corak bunga-bunga berwarna putih krim. Ia tidak bertudung wajahnya kelihatan ayu dengan rambutnya mengurai ke paras bahu. Kelopak matanya sebak digenangi air jernih. Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa dengan pergerakan yang perlahan layu dan sayu melap air jernih yang bergenang di kelopak matanya dengan tisu lembut biru muda.

“Ya Allah, ya Tuhanku, ya Rabbi,” aku terdengar Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa berdoa dengan berbisik, “Engkau selamatkanlah dia pergi dan kembali. Dialah, ya Allah, hanya dialah yang telah berjaya bersemi di hati ini. Lindungilah cinta suci ini ya Allah.”

Itu dahulu dan doa Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa ini adalah kira-kira saja. Aku tidak tahu apa yang terjadi pada Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa selepas itu tapi barangkali boleh juga aku membuat andaian: Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa dengan buah hatinya berjanji akan setia pada cinta suci mereka untuk selama-lamanya dan saling berpesan akan berkirim surat. Surat pun datang sepucuk seminggu melepas rindu di atas limapuluh helai kertas berbau wangi dengan kata-kata cinta wajahmu terbayang di bulan purnama, kukirim peluk ciumku pada angin lalu, cintaku padamu tetap suci bersih bagai salji, tanpa kau disisiku aku jadi sepi dan rindu, oh kekasihku!

Entah apa saja alasannya surat dari kekasih kian lama kian nipis tidak lagi limapuluh helai kertas dan terus kian berkurangan. Mula-mula berkurang dari seminggu sepucuk surat menjadi dua minggu sepucuk surat. Dari dua minggu sepucuk surat menjadi tiga minggu sepucuk surat dan bau wanginya pun sudah tidak sekuat mula-mulanya dahulu. Dari tiga minggu sepucuk surat menjadi sebulan sepucuk surat. Dari sebulan sepucuk surat menjadi satu semester sepucuk surat dari sepucuk surat menjadi sekeping poskad yang sekadar mengkhabarkan tentang cuaca. Akhirnya langsung tidak ada surat yang datang lagi dan Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa mula mensyaki sesuatu: buah hatinya, jantung hatinya, kekasihnya dirampas orang dan laki-laki tidak boleh dipegang janjinya, oh betapa merananya hati ini, kaulah pemusnah cinta suci kita tapi aku tetap akan menantimu dengan setia kerana hati ini tidak dapat lagi menerima cinta selain dari cintamu. Cintaku padamu adalah cinta pertama dan cinta untuk selama-lamanya.

Atau sebenarya Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa telah menerima sepucuk surat yang ringkas dari kekasihnya hanya setakat ini perhubungan kita, apa nak dikata jodoh tiada, maafkan aku kerana melukai hatimu.

Kekasih Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa tamat belajar dengan memperolehi kejayaan cemerlang ijazah kelas pertama. Ia kembali bersama kekasih barunya yang juga memiliki ijazah kelas pertama. Ia pulang tanpa memberitahu Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa, tapi Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa mengetahuinya juga dan menunggunya berpakaian seperti dahulu berbaju kurung merah jambu dengan corak bunga-bunga berwarna putih krim. Sebaik-baik saja ia terlihat kekasihnya muncul dari ruang ketibaan bersama kekasih barunya Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa menyambut mereka dengan penuh mesra dengan senyuman mengucapkan tahniah, tapi hatiku hanya Tuhan yang tahu terasa bagai disayat-sayat sembilu, malah ialah manusia yang kelihatan paling gembira di situ sehinggalah senyap-senyap dia mengundurkan diri, daku tersenyum menyembunyikan sedih pilu di hatiku dan biarlah daku bawa hati yang retak ini sendirian. Kuharap dikau bahagia disamping kekasihmu yang baru.

Di luar daku gembira di dalam daku sedih kecewa.

Kerana setianya pada cinta sucinya Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa menjadi anak dara tua sementara kekasihnya hidup bahagia beranak-pinak dengan kekasih barunya.

Semua ini cumalah andaianku saja kerana ketika itu aku masih budak-budak yang tidak tahu apa-apa dan sekarang pun walau aku sudah dewasa aku masih tidak tahu apa-apa – mungkin saja yang terjadi sebaliknya: Cerpen Cinta di Lapangan Terbang Antarabangsa bertemu atau berjaya merebut kembali buah hatinya dan mereka hidup bahagia untuk selama-lamanya atau beberapa kemungkinan lain tapi Cerpen Cinta di mana saja dia berada perlu pada sedu sedan itu, luka dan bisa, pedih peri kan daku tanggung sendiri dan daku tak sanggup hidup seribu tahun lagi.

Mungkin aku salah kerana aku sebenarnya tidak tahu apa-apa walaupun aku sudah dewasa sekarang.


4.

“CIS,” bentak abangku sambil menghunus keris lok sembilan puluh sembilannya. “Aku sudah sesak dengan kehadiran-kehadiran kamu.”

“Ha!Ha!Ha!” Cerpen Cinta tertawa. “Medan-medan di alam ini kami yang punya. Kamilah yang berkuasa.”

Cerpen Cinta memasang kuda-kuda. Abangku mula mengorak langkah membuka bunga silat.

“Kau bersedialah. Akan kucincang kau sehingga lumat!”

Di dalam mimpi ini, yang berhenti disitu, aku terbayang Cerpen Cinta sebagai lelaki sedangkan selama ini Cerpen Cinta yang pernah kutemui kesemuanya memiliki sifat perempuan, lembut, ayu dan sayu tapi aku masih budak-budak yang tidak tahu apa-apa dan sekarang pun setelah dewasa aku masih tidak tahu apa-apa. Kukira bapaku pun menganggap Cerpen Cinta ini perempuan (aku tidak tahu mungkin saja tidak) tapi abangku berpendapat yang lain.

“Tidak,” katanya. “Cerpen Cinta itu semuanya pondan!”

Abangku ini memang begini ia sangat berprasangka terhadap Cerpen Cinta dan pondan sedangkan Cerpen Cinta tidak berdosa apa-apa padanya dan kalau menurut pendapat bapa Cerpen Cinta ini selamat bahkan menjamin keselamatan dan pondan pula bukanlah salah mereka mereka jadi pondan.

Nasihat abang, kalau kau pada suatu hari pergi berkelah di tepi pantai dan kau terpandang Cerpen Cinta duduk termenung, jangan berfikir dua kali lagi carilah sepotong kayu yang besar. Kauhampiri Cerpen Cinta dari belakang, perlahan-lahan, senyap-senyap, apabila kau sudah dekat kauhayunkan kayu ini sekuat tenagamu tujukan ke kepala Cerpen Cinta biar ia jatuh terkapar-kapar di tepi pantai ini memandang ombak yang bukan lagi bergulung-gulung menghempas pantai tapi bergerak semakin mendekat dan semakin mendekat ke mukanya dan daun-daun bergoyang-goyang ke kiri ke kanan ke kiri ke kanan ditiup angin tidak lagi kelihatan seperti meliuk-liuk menari-nari dan burung tidak lagi kedengaran seperti bersiul dan bernyanyi riang ria, barangkali ia akan melihat langit itu langit dan matahari itu matahari yang sekarang berwarna merah kuning dan bukan lagi sang suria dan pelabuhan senja. Tidak lama lagi malam akan tiba dan malam tidak seperti mempunyai tirai yang hendak diburai. Tinggalkan ia sendiri di dalam gelap malam, terlayah-layah atau tertelungkup.

Atau kalau kau pada suatu hari pergi berjalan-jalan di taman bunga atau di mana saja dan dari jauh kau sudah ternampak Cerpen Cinta, buatlah seperti tidak ada apa-apa. Apabila kau sudah betul-betul dekat dan berdepan dengannya jangan buang masa lagi kau terus cekik ia biar lidahnya terjelir-jelir.

Atau kalau kau pada suatu hari berehat di Lapangan Terbang Antarabangsa dan terpandang Cerpen Cinta sedang mengesat-ngesat airmatanya, hampiri ia dari depan dan katakan kepadanya: “Orang tua bagak kalau menangis sangat hodoh rupanya.” Kemudian hayunkanlah tapak tanganmu (kiri atau kanan pilih yang lebih kuat) tujukan ke pipinya, kalau boleh ulangi sebanyak tiga kali, kiri kanan kiri.

Pek!Pek!Pek!

Atau kalau kau pada suatu hari bekerja di restoran dan ada Cerpen Cinta makan di situ, layanlah ia dengan baik dan bersopan santun, juga jangan lupa menaruh racun tikus di dalam supnya, biar ia pulang tercirit-birit dan muntah darah.

Atau kalau kau pada suatu hari terlihat Cerpen Cinta merayau-rayau di kawasan sekolah, tangkap ia cepat-cepat, payok, bungkus kepalanya dengan beg plastik hitam, gantung ia tunggang terbalik, kaki di atas, kepala di bawah, pada palang pintu gol bola sepak dan panggillah budak-budak untuk menendang bola ke arahnya.

Atau kalau kau pada suatu hari terlihat Cerpen Cinta di taman peranginan berpegangan tangan dengan kekasihnya seolah-olah dunia ini milik mereka, cepat-cepalah kau kembali ke keretamu, buka bonet belakang, ambil minyak benzin kemudian ikuti mereka. Mereka pasti akan mencari tempat duduk yang sunyi jauh dari orang ramai. Ketika mereka sudah asyik dan dunia ini mereka punya tuangilah minyak benzin ini ke atas mereka, hati-hatilah sedikit jangan sampai setitik pun benzin ini terkena pada dirimu, habiskan kesemuanya dan bakar mereka. Saksikanlah mereka bernari-nari di dalam api.

Itulah nasihat abangku. Kalau kau mahu kau boleh menelefon abangku minta nasihat-nasihat lain untuk Cerpen Cinta di Pejabat, Cerpen Cinta di Hospital, Cerpen Cinta di Universiti, Cerpen Cinta di Maktab Perguruan, Cerpen Cinta di Sekolah, Cerpen Cinta Terlarang, Cerpen Cinta Sepupu, Cerpen Cinta Tidak Setaraf, Cerpen Cinta Berlainan Agama, Cerpen Cinta Terhalang, Cerpen Cinta di Nippon Maru, Cerpen Cinta di Tepi Jalan, Cerpen Cinta di Pasar, Cerpen Cinta di Hotel, Cerpen Cinta di Kapal Terbang, Cerpen Cinta Belajar di Luar Negeri, Cerpen Cinta di Bawah Bulan Purnama, Cerpen Cinta di Perpustakaan, Cerpen Cinta di Sawah Padi, Cerpen Cinta di Desa Terpencil, Cerpen Cinta di Bandar, Cerpen Cinta di Suratkhabar, Cerpen Cinta di Majalah, Cerpen Cinta Remaja, Cerpen Cinta Dewasa, Cerpen Cinta Kanak-kanak, Cerpen Cinta Tiga Segi, Cerpen Cinta Kristal, Cerpen Cinta di Gelanggang Badminton, Cerpen Cinta Monyet, Cerpen Cinta di Pertemuan Cerpen Cinta Nusantara, Cerpen Cinta di Seminar Cerpen Cinta, Cerpen Cinta di Bengkel Cerpen Cinta…abangku pasti akan memberi nasihat yang dikehendaki dan kalau ia terlalu sesak nasihat digemarinya ialah:

“Cekik saja ia!”

Kerana inilah kalau aku bermimpi abangku, aku pasti bermimpi ia sedang bersilat dengan Cerpen Cinta.

Tapi memanglah kau tidak akan dapat berbuat apa-apa dan abangku ini hanyalah melepas geram saja. Cerpen Cinta tidak mengamalkan sebarang perancang keluarga, Cerpen Cinta lahir setiap saat.

“Kita menemuinya di mana-mana saja sekarang ini.”

“Kita tidak dapat berbuat apa-apa.”

“Betul, tidak ada apa-apa yang dapat kita buat.”

“Cerpen Cinta.”

Bapaku pula kalau dipinta nasihatnya akan selalu berkata:

“Biarkan Cerpen Cinta.”

Aku pula sejak dari budak-budak tidak tahu apa-apa sehinggalah sekarang, setelah dewasa, aku masih tidak tahu apa-apa, akulah si dungu yang tidak tahu apa-apa dan tidak layak memberikan apa-apa pendapat tapi aku boleh bercerita cerita yang diceritakan oleh si dungu yang tidak bermakna apa-apa.

HAJAT

Borneo Bulletin 22 Mei 1993

HASLAN menutup pintu keretanya. Berdentum.Pagi-pagi lagi untuk sarapan ia sudah dihidangkan dengan makanan kegemarannya yang sekarang ia sudah muak hendak memakannya.

Barangkali silap jua Haslan memberitahu makanan kegemarannya kepada isterinya yang disayangi ini dulu. Barangkali ada baiknya ia membiarkan saja isterinya ni mengagak-agak sendiri apa jenis masakan dan makanan yang digemarinya dan jika inilah yang dilakukannya dulu (dengan ia sendiri tidak memberi kerjasama) besar kemungkinan isterinya ini tidak akan tahu sampai akhir hayatnya kerana jenis masakan dan makanan yang digemarinya ialah yang simple – orang yang tidak berapa pandai memasak pun boleh menyediakannya – tidak perlu menonton rancangan Mari Memasak di tv. Sekarang semuanya sudah terlambat ia telah memberitahu isterinya jenis masakan dan makanan kegemarannya sejak mereka awal-awal kahwin lagi – inilah silapnya.

“Kamu kalau sudah babini nanti,” Haslan menasihati orang-orang bujang, semasa mereka menanti-nanti pelayan di restoran di bandar, “jangan baritau makanan kegemaran kamu arah bini kamu.”

“Mengapa?” kau akan bertanya kalau kau orang bujang.

“Jangan banyak soal,” Haslan akan menjawab. “Ikut saja nasihat orang bapengalaman – hampir tujuh tahun sudah aku babini ani. Masak sudah macam tujuh petala langit tujuh petala bumi.”

“Mau minum apa?” tanya pelayan yang baru datang.

“Apa ada?”

“Ini harri tada apa spesil punya – biasa-biasa saja!”

“Bagi saja teh sama roti kosong”

Sayang benar Haslan akan isterinya ini. Mereka pertama kali bertemu di depan tandas awam Pejabat Kendaraan Darat di Gadong. Ia ketika itu tergesa-gesa mahu kencing apabila perempuan cantik ini menahannya hendak meminjam pen. Dipinjamkannya saja pennya dan ia terus masuk tandas dan kencing (kerana tidak dapat ditahan-tahan lagi).

Selesai ia melepaskan hajatnya perempuan ini masih lagi berdiri di luar tandas awam ini borangnya belum siap diisi.

“Mengapa dang?”

“Aku ani kalau mengisi borang paling tah ku paning,” jawab perempuan cantik ini.

“Inda jua susah mengisi borang atu. Apanya yang susah?”

“Ani bah: Adakah kamu tidak bertangan atau berkaki…? Paningku kan menjawab. Dijawab ‘ada’ karang kana fikir cacat tah pulang. Aku ani inda jua cacat ni.”

“Awu kau atu lawa inda pulang cacat tu.”

“Kujawab ‘tidak’ karang takut lain tia juga artinya – takut tidak bertangan tidak berkaki pulang artinya – palis-palis!.”

“Kalaukan sanang dang, jangantah mengambil lesen memandu ani. Unjar saja laki. Ke sana ke mari kana drebarkan.”

“Kita ani jua ih. Indakan bini-bini mengunjar laki.”

“Aku ani bujang masih ni kalau kau kan mau. Cuma saja inda berapa lawa inda berapa handsome tapi betanggungjawab.”

“Lawa jua kita atu bah kalau direpair  sikit.”

Sampai sekarang isterinya ini tidak mempunyai lesen memandu kerana setiap kali menghadapi soalan: adakah kamu tidak berkaki atau bertangan?

Ia tidak sanggup hendak menjawabnya dan ia tidak mahu orang lain mengisi borang permohonan lesen memandu ini takut nanti tersalah jawab – palis-palis! .

Tidak lama selepas mereka kahwin isterinya bertanya jenis masakan dan makanan kegemarannya dan Haslan pun memberitahunya dengan senang hati.

“Sanang menyediakan tu,” kata isterinya ini. “Inda payah belajar memasak.”

Tapi sampai setengah tahun Haslan tertunggu-tunggu, isterinya ini tidak juga menyediakannya masakan dan makanan kegemarannya ini sehingga ia tidak tahan lagi dan terpaksa memintanya.

“Mana tia masakan kesukaanku yang kubaritahu kau atu?” katanya. “Labih satangah tahun sudah kitani kawin – tais jua liurku!”

“Kalau kubahajat basar,” jawab isterinya yang dikasihi ini, “barutahku kan menyediakan ka biskita.”

Inilah jenis masakan dan makanan kegemarannya: ambuyat cacah binjai, gulai pakis atau lambiding, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi dan isterinya akan menyediakan makanan ini mengikut besar kecil hajatnya. Kalau kecil hajatnya barulah Haslan merasa memakan gulai lambiding atau pakis. Kalau dibelikan sayur lambiding atau pakis isterinya tidak akan memasaknya kalau tidak ada hajat – macam-macam alasannya: lambiding atau pakis ini ada ulat dan tidak baik.

“Jangantah kita membali,” kata isterinya. “Kalau ku bahajat aku sendiri membali.”

Kalau hajatnya itu besar sedikit di samping gulai lambiding atau pakis ada pula tambahannya: rancah-rancah dengan sambal belacan. Jika ada abuyat cacah binjai, gulai pakis atau lambiding ada pula ulam kangkong sambal udang tentulah ia ada hajat yang besar – ambuyat tanpa cacah binjai saja sudah menandakan ada hajat besar belum lagi dicampur dengan gulai lambiding atau pakis – tapi ini belum pernah lagi. Hajat ini mesti ditunaikannya kalau tidak Haslan akan makan makanan inilah tengah hari dan petang setiap hari, jemu atau tidak jemu tidak kira lagi.

Biasanya isteri kesayangannya ini akan memerhatikannya makan hidangan kegemarannya ini sehingga habis. Memang sedap juga, sesuai benar dengan seleranya, tidak ada kurang tidak ada lebihnya – tepat seperti yang dikehendakinya tapi sayang sekali isterinya ini seorang yang tidak begitu banyak hajat jadi cuma sekali atau dua kali sajalah ia akan makan ambuyat dalam setahun. Selesai makan barulah isterinya memberitahu akan hajatnya.

“Cubatah kau selalu-selalu bahajat basar bah lai ih,” Haslan sendiri yang menawarkan. “Minta balikan amas kah. Cukup jua usinku ani.”

“Inda kubaminat kan amas,” kata isterinya. “Barat saja leher awu barat saya tangan kan dibawa ka sana ka mari.”

“Minta balikan intan permatakah.”

“Abis saja usin karang.”

“Minta balikan barliankah.”

“Inda kubaminat samua atu.”

“Minta balikan kain sutera memotong baju barukah.”

“Membazir saja tu. Banyak sudah bajuku. Baru-baru lagi tu inda habis bapakai,” kata isterinya. “Luantah kain baju bini-bini ani mahal-mahal – eh mambazir saja tu.”

“Inda kau ada apa-apa hajatkah?”

“Balum ku ada hajat lagi.”

Silap jua Haslan memberitahu makanan kegemarannya kepada isterinya yang disayangi ini dulu. Setelah sekian lamanya kahwin dan sekarang sudah beranak tiga orang belum pernah isterinya ini mempunyai hajat yang sangat besar jadi terkejut juga Haslan apabila pada suatu hari Jumaat makan tengah hari sekembalinya dari masjid di atas meja makan ada terihidang ambuyat cacah binjai ada pula gulai lambiding dan sejemput rancah-rancah dengan sambal belacan. Belum pernah ia menghadapi hidangan selengkap ini seumur hidupnya sebelum ini. Semua ini langis dimakannya.

“Basar hajatmu kali ani lai.”

“Awu basar.”

Isterinya ini tidak pula memberitahu apa hajatnya ini selepas makan dan pada Jumaat sekali lagi sekembalinya dari masjid  di atas meja makan ada terhidang ambuyat cacah binjai ada pula (kali ini) gulai pakis, ada pula sejemput rancah-rancah dengan sambal belacan dan tambahan baru ulam kangkong sambal udang dan rasanya lebih sedap dari Jumaat yang lepas. Semua ini langis dimakannya.

“Basar banartah hajatmu ani.”

“Awu basar banar.”

Isterinya belum juga memberitahu apa hajatnya yang besar benar ini.

Sekali lagi sekembalinya dari masjid pada hari Jumaat di atas meja makan ada terihidang ambuyat cacah binjai ada pula gulai lambiding dan gulai pakis (dua macam gulai sekali gus), ada pula ulam kangkong sambal udang, ada lagi rancah-rancah dengan sambal belacan dan, inilah yang ditunggu-tunggunya, ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi lebih sedap lagi dari dua Jumaat lalu dicampur – langis semuanya – berselera benar Haslan makan.

“Basar kacil hajatmu baritautah – Insyaallah kutunaikan!”

“Karangtah kumembaritau kita.”

Pada malam ini apabila anak-anak semuanya sudah tidur dan ia sendiri pun sudah kalat mata dan sudah masuk bawah selimut, isterinya, Hasiah, yang dikasihi ini mula bercakap dengan perlahan dan kalat matanya terus saja hilang ingin benar ia hendak tahu apa hajat besar isterinya ini.

“Selama ani,” kata isterinya, “hidupku sama kita bahagia. Segala-galanya cukup. Abang pun seorang laki yang betanggungjawab arah kaluarga. Anak-anak kitani ketiga- tiganya sempurna inda juga gauk inda jua taluan pandiam berkat pamadulian abang jua. Aku pun puas hati zahir dan batin – abang tau kehendak bini-bini. Kalau difikir-fikirkan abangtah laki-laki yang paling baik jadi laki – inda pamarah inda jua luan pendulur. Abang tah laki yang inda penggerusuh inda juga taluan lambat dan penyabar. Abang jua sudah mendidik aku dalam hal-hal ugama: aku dulu kalau datang bulan seminggu – dua bulan ku inda sembayang tapi masa ani kalau sambayang atu inda haram masa datang bulan atu pun ku mau sambayang – hatiku sudah sanang kan baibadat berkat sabar dan pimpinan abang jua. Abang tah laki yang sempurna. Bukan kumengumpat, laki orang lain atu ada saja kurangnya yang kudangar-dangar dari bini bisdia atu – pengorat main badminton sampai tangah malam – jauh lagi tu ke hujung negeri, inda tau mendidik anak, inda sabar membimbing bini, inda pandai alifbata speaking nya bukan main ambong ba you-you ba ai-ai – abang inda. Abang sederhana tapi bijaksana. Inda pernah satauku mengorat bibi-bini lain walaupun aku ani kurang sempurna dan banyak lagi bini-bini lain yang lawa-lawa.”

“Basar banartah hajatmu ani lai.”

“Awu basar ni. Kita dangartah dulu kurapakku ani,” kata isterinya. “Salama ani hidupku bahagia banar kerana kebaikan dan kesempurnaan abang. Kalau bini-bini diperintahkan sujud pada lakinya – inda kukabaratan sujud arah abang. Dangan hati yang sanang dan iklas kusujud. Abangtah laki yang baik budi pakarti dan baik pergaulannya dangan bini. Abang salalu sabar kalau kalakuanku inda baik sabagai bini yang banyak kurangnya.”

“Apatah hajatmu yang basar atu. Sadangtah mangampu ani.”

“Bukan jua kumengampu,” kata Hasiah dengan perlahan, “yang banarnya ni. Aku ani kadang-kadang inda tatunaikan hak abang. Kadang-kadang inda basukur dangan pambarian abang. Kadang-kadang inda taat perintah abang. Kadang-kadang keluar rumah dangan inda mambaritau abang. Kalau orang datang kusuruh masuk jua walaupun abang inda ada di rumah. Iatah aku ani inda barapa sampurna untuk dijadikan bini.”

“Baik jua bah kau atu lai ih kalau kan direpair  pun inda banyak,” kata Haslan. “Jangan jua luan merandah-randah diri ani.”

“Salama ani bahagia banarku mendapat laki yang baik,” kata Hasiah. “Tapi rasanya rugi jua kalau kabaikan abang atu aku saja yang marasai. Pada pandapatku, aku ani inda juga barapa pandai, tapi pada pandapatku kabaikan dan nikmat yang abang barikan arahku ani ada baiknya kalau kupanjangkan supaya orang lain pun ampit sedikit.”

“Jadi aku ani kan kaushare kan dangan orang lain?” tanya Haslan, hampir-hampir saja ia tertawa dengan pertanyaannya ini.

“Awu iatah tu maksudku,” jawab Hasiah.

“Kan kausuruh aku babini lagi?”

“Awu iatah tu maksudku,” kata Hasiah. “Ada sapupuku – admire  banar ia kan abang ani. Dulu pun sabalum kitani kawin ia masih balasan tahun umurnya tapi ia sudah sound-sound  – nyanya kalau ku inda baguna abang ani passing  saja arah ia – ia kan baguna – pikirku ia manyuluru. Tapi banar-banar rupanya ia. Si anu bah – si Suriah – tau jua abang tu selalu ia datang ka mari. Ari atu ia datang barunding – banar-banar ia maukah abang. Mula-mula aku inda kusetuju tapi sudah dipikir-pikirkan – apatah jua salahnya kan bamadu – aku ani pun ianda jua berapa talayan hajat abang.”

“Tau pulangku si Suriah atu tapi kau ani banar-banarkah ni atau main-main?.”

“Aku banar-banar pulang ni,” kata Hasiah. “Kabaikan abang atu dapat jua dikongsi-kongsikan. Lagipun bukannya arah orang lain sepupuku jua. Babuat baik ani mula-mula arah saudara sendiri kan? Tapakai kita tu si Suriah tu?”

“Aku tapakai pulang ku si Suriah atu,” kata Haslan. “Tapi pikir saja kau – kau yang kan bamadu ani. Inda kau manyasal karang kan?”

“Inda ku menyasal – aku yang menyuruh. Iatah hajatku tu.”

Hampir pukul satu pagi baru mereka selesai bercakap-cakap dan Haslan tidak dapat tidur hingga pukul dua pagi sementara isteri, Hasiah, tidur nenyak di sisinya, hajatnya sudah dipersetujui.

Haslan, seorang lelaki yang sudah hampir-hampir empat puluh lima tahun umurnya ini, tidak pernah menduga akan beristeri dua. Ia cuba membayangkan si Suriah: gadis ini masih muda barangkali baru berumur duapuluh dua tahun – cantik dan sederhana – lelaki tua macam aku mana yang inda mau bini-bini macam ani?  Tapi sanggupkah ia nanti berlaku adil? Payah kan adil tu. Lagi pun takut si Suriah atu sendiri yang manyasal karang – tua bah sudah aku ani – baanak damit lagi tu.

Walaupun atiku mau tapi balum tantu kusanggup babini dua.  Esok awal-awal pagi lagi ia memberitahu isterinya.

“Inda kusanggup babini dua,” katanya.

“Bah baiktah tu,” jawab isterinya, Hasiah, selamba tapi dapat juga dikesan nada kecewanya.

Tengah hari ini Haslan menghadapi meja makan. Di depannya sudah terhidang ambuyat cacah binjai ada pula gulai lambiding dan gulai pakis (dua macam gulai sekali gus), ada pula ulam kangkong sambal udang, ada lagi rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi. Dengan senyum dan berselera Haslan makan semua ini.

Langis.

Petang ini terhidang lagi di meja makan ambuyat cacah binjai ada pula gulai lambiding dan gulai pakis (dua macam gulai sekali gus), ada pula ulam kangkong sambal udang, ada lagi rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi.

“Banar-banar kau kan hajatmu ani.”

“Awu – inda kumain-main.”

Pada hari-hari berikutnya, setiap hari makan tengah hari dan petang terhidang lagi di meja makan ambuyat cacah binjai ada pula gulai lambiding dan gulai pakis (dua macam gulai sekali gus), ada pula ulam kangkong sambal udang, ada lagi rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi.

“Sudah tah lai ih. Aku inda kumau bamadu ani bah,” kata Haslan apabila melihat ambuyat cacah binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi di atas meja. Ayong benar ia melihat ambuyat cacah binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi di atas meja yang ia terpaksa makan juga kerana ia seorang yang benci pada pembaziran.

Setelah lebih seminggu tengah hari dan petang makan ambuyat cacah binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi, ke mana saja dilihatnya, ke dinding, ke langit, ke bumi, ke lantai, ke sungai sentiasa ambuyat cacah binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi ini yang terbayang-bayang, semasa tidur pun ia termimpi-mimpi jatuh di dalam lautan ambuyat yang dipermukaannya labui-labui binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi.

Apabila Hasiah pada suatu pagi menyediakan ambuyat cacah binjai, gulai lambiding dan gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah dengan sambal belacan dan ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi di atas meja untuk sarapan pagi Haslan sudah benar-benar tidak tahan lagi walau macam mana pun dimakannya juga sarapan pagi ini untuk mengelakkan pembaziran dan sabagai suami yang baik dan bertanggungjawab ia tidak juga marah.

“Sudah tah tu lai ih,” katanya. “Aku inda kusanggup bamadu ani bah.”

“Bah baiktah tu,” kata Hasiah. “Tangah hari karang makan ambuyat cacah binjai, gulai lambiding, gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah, sambal belacan, ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi lagi. Awu – inda kumain-main ni.”

“Inda kubalik makan karang,” kata Haslan. “Patang karang pun inda kumakan di rumah. Ka kampung ku sakajap. Lapas isya kubalik ka sini.”

Di kampung Haslan menghadapi ambuyat cacah binjai, gulai lambiding, gulai pakis, ulam kangkong sambal udang, rancah-rancah, sambal belacan, ikan bakar cacah kicap berbawang merah berlimau kasturi lagi.

“Si Hasiah menelepon tadi,” kata ibunya. “Nyanya kau kan kamari makan patang – kan makan ambuyat kalau ada ambuyat, di rumahmu indada ambuyat nyanya. Disuruhnya aku manyadiakan makanan ani.”

“Ma,” kata Haslan. “Aku ani lari dari ambuyat. Seminggu sudah ni kumakan ambuyat pagi patang tangah hari.”

“Eeh! Mari sangal tu hari-hari makan ambuyat,” kata ibunya.

“Ia tah kukamari ani kan makan nasi,” kata Haslan.

“Menyaya banar tah binimu atu,” kata ibunya. “Mangapa – bakalaie kamukah?”

“Bukan jua bakalaie, Ma,” kata Haslan. “Anu payah ku sikit biniku atu.”

“Ingat-ingat jua sikit,” kata ibunya. “Kamu ani baanak sudah. Pikirkan anak kamu atu – jangantah bakalaie-bakalaie ani.”

“Bukan jua bakalaie, Ma,” kata Haslan. “Si Hasiah atu – aku disuruhnya babini dua. Aku indaku sanggup kan babini dua.”

Terdiam ibunya kemudian ibunya ini tersenyum.

“Ada ia bacarita dulu, nyanya kau kan dijodohnya dangan sepupunya – siapa namanya? Si Suriah?”

“Awu lurus tah tu ma,” kata Haslan. “Disuruhnya aku kawin dangan si Suriah.”

“Agatah kaumulih,” kata ibunya. “Inda baik bah lari dari rumah ani. Tapi apa tah salahnya kalau binimu menyuruh kau babini dua – batambah jua cucuku lagi. Lagipun kau ani anak yang baik – pandai mengajar anak-anak – sayang kalau inda baanak banyak-banyak.”

“Bukan ku inda mau. Sadarku diriku ani. Tua sudah bah aku ani – inda kumampu kan babini muda. Cukup tah saorang bini.”

“Awu wang,” bapanya ikut masuk bercakap. “Banar nya mamamu atu. Setujuku tu – agatah kaumulih ka rumahmu. Ikutitah hajat binimu atu – apatah jua salahnya. Si Suriah atu pun anak yang baik jua. Salalu ia ka mari menolong mamamu ani. Baiktah jua ia kitani jadikan kaluarga kitani.”

“Inda kusanggup pa – bini-bini ani saorang cukup tah!”

“Kau ani tah,” kata bapanya. “Baik bah hajat binimu atu. Ada ia bacarita-carita arah mamamu atu – ia nya doktor inda dapat baanak lagi, tapi sayang jua nyanya kau atu laki yang baik, kalau baanak sedikit sia-sia saja – baiktah baanak banyak- banyak supaya banyak anak yang baik-baik dari banih yang baik-baik. Cuba kauliat kabanyakan lalaki babini labih saorang diurang atu inda layak babini sama sakali – anak badozen-dozen tapi inda tadidik – samseng kesemuanya buat kacau dunia saja! Bandingkan dangan anak-anakmu – jauh bezanya – anak-anakmu sempurna didikannya – tapi anakmu ganya tiga orang – inda cukup. Purihmu atu purih yang baik-baik jangan disia-siakan! Agatah kaumulih arah binimu atu turutitah saja hajatnya atu – hajatnya atu takandung hajatku jua tu – aku mau jua ku cucu yang baik-baik banyak-banyak.”

Hajat bini boleh saja ditolak tapi hajat indung susah sedikit hendak ditolak. Haslan tidak jadi makan – ia tidak sanggup mencium bau ambuyat.

“Manjangkau weh,” kata ibunya. “Kampunan karang. Siasiapun!”

“Seminggu-minggu kusudah makan ambuyat,” kata Haslan. “Cukup untuk saribu taun inda kukampunan lagi.”

Haslan pulang memandu keretanya dengan perlahan- lahan. Banarkan aku ani laki yang baik? Banarkan aku ani bapa yang baik pandai mendidik anak-anak? Tapi bapa atu banar jua – banyak lalaki babini labih seorang tapi sabanarnya inda layak babini samasekali – otak krook anak-anak pun krook. Buat kacau dunia saja. Tapi aku ani banarkan baik ni? Inda kubarani kan mamuji diri sandiri. Barangkali aku ani sadarhana saja – inda jua baik inda juga jahat! Bukan ku indakan mau babini dua apalagi bini sendiri yang menyuruh, si Suriah atu lagi lawabah tu, tapi takut ku diurang jua yang manyasal karang – aku jua yang susah kamudiannya dan anak-anak yang manarima akibatnya. Tapi kalau inda ditunaikan hajat biniku ani susah jua – bini-bini ani tah lagi sabanarnya bukan kaum yang lamah. Silap-silap abis kitani olehnya.  Ia singgah hendak makan di sebuah restoran di tepi jalan.

Di sini ia duduk dengan perasaan yang letih. Karang kumerunding lagi. Kalau dapat, dapattah tu kalau inda tapaksatah mengakun kalah saja. Nya bapa turutitah saja hajat binimu atu.

“Mau makan apa?”

“Apa ada?”

“Ini harri ada spesyel menu punya.”

“Aaa.”

“Itu orrang Berrunei suukka makan la.”

“Apa itu menu spesyel?”

“Itu ambbuiyat caccah binnjjai orrang Berrunai suuka makan la!”

Bapakattah bisdia sudah semua dalam dunia ani dangan biniku! Awu bapakattah bisdia semua dalam dunia ani! Susah!Susah!

BIBIR

Bahana September 1993

Pada pukul lima pagi posmen berhenti berdekatan dengan katilku. Enjin motosikalnya masih hidup degdegdegdegdegdegdegdeg bising memenuhi ruang bilik tidurku ini. Lampu motosikalnya terus menyala. Cahaya lampu inilah yang menerangi bilik tidurku ketika ini. Cahaya ini cukup terang dan menyilaukan mataku yang baru terjaga. Ia menghulurkan sebuah parcel. Aku bangun, masih memakai selimut. Subuh-subuh begini aku terasa amat sejuk.“Poslaju,” katanya dengan tersenyum. “Bungkusan untuk saudara. Sain sini!” Ia menghulurkan sehelai resit dan sebatang bolpen.

Aku menandatangani resit ini. Ia menyerahkan carboncopynya kepadaku kemudian ia memutar-mutar accelerator motosikalnya veroom-vrroom-vrroom, menekan hon dua kali peep-peep, lalu memandu keluar dari bilik tidurku ini. Bunyi motosikalnya semakin lama semakin jauh kemudian terus menghilang dan bilikku ini kembali gelap dan senyap.

Aku memasang lampu katil lalu membaca tulisan di atas parcel ini. Namaku tertulis di situ dengan tulisan tangan yang cantik. Ada bau wangi yang keluar dari parcel ini. Dari siapakah agaknya kiriman ini? Jarang sekali – ah tidak pernah aku menerima kiriman seperti ini – dengan tulisan tangan yang cantik dan berbau wangi pula. Selama hidupku yang sudah empat puluh tahun lebih ini aku hanya menerima surat-surat rasmi, bil-bil, dan surat-surat dari syarikat kad kridit menagih hutang yang semuanya menggunakan computer printout.

Di bilik no 101-100b, di tingkat seratus satu di rumah pangsa seribu tingkat ini aku tinggal bersendirian. Aku tidak kenal sesiapa dan orang-orang lain di sini pun tidak kenal padaku. Barangkali jika mereka hendak mengumpat tentangku kepada teman wanita atau teman lelaki mereka pastilah mereka cuma akan menamakan aku sebagai orang di bilik 101-100b itu seperti aku juga akan menamakan mereka dengan nombor bilik mereka Cuma saja aku tidak mempunyai teman wanita teman mengumpat mereka. Aku tidak mempunyai seorang kawan pun atau saudara mara atau sesiapa di sini atau di mana-mana. Aku telah lama membuat keputusan untuk hidup menyendiri, bekerja sendiri sekadar jangan membebankan sesiapa. Hidupku cukup aman selama ini – ya aku ada masalah sedikit dengan seekor buaya yang tiba-tiba muncul dan tidak mahu keluar dari bilik tidurku ini (tapi itu cerita lain).

Menerima parcel ini adalah sesuatu yang tidak kuduga sama sekali. Parcel ini sebesar kotak micro floppydisk yang mengandungi sepuluh diskettes 90mm. Aku membuka bungkusan luarnya: kotak kaca – di dalamnya ada sepasang bibir yang manis tersenyum-senyum padaku. Aku membaca surat yang menyertainya. Singkat saja isinya.

Saudara,

saya sudah lama mencintai saudara. Terimalah bibir saya ini. Jagalah ia baik-baik.

 

Xxx

jkplmbt.

Cinta! Perkataan inilah yang amat memuakkanku. Cinta itu tidak lebih hanyalah tahi. Cinta membuat orang bermata kuyu dan bercakap-cakap dengan suara yang berlagu seperti pondan yang punggungnya terasa berat yang melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri …Aku mengeronyok surat ini dan membuangnya ke dalam bakul sampah. Di situlah ia (dan semua surat cinta) sepatutnya berada untuk selama-lamanya.

Kotak kaca yang berisi bibir ini kuletakkan di para jendela. Aku tidak sampai hati pula hendak melemparkannya ke dalam bakul sampah. Sekurang-kurangnya kotak kaca berisi bibir ini boleh kugunakan sebagai penekan kertas nanti. Semasa aku meletakkannya bibir ini sudah tidak senyum lagi seolah-olah ia merasa sedih. Tidak mungkin ia telah terlihat aku mengeronyok surat yang menyertainya. Bibir tidak boleh melihat, hanya mata yang boleh melihat. Barangkali ia dapat merasakan perbuatanku itu tadi. Sekarang bibir ini mula tersedu-sedu. Kubiarkan ia tersedu-sedu di para jendela. Ia akan berhenti menangis – tiada sesiapa yang sanggup menangis terus-menerus. Setiap yang bermula akan berakhir juga.

Aku mahu menyambung tidurku. Sekarang baru pukul lima setengah pagi – dan sejuk pula. Kupadam lampu katilku. Aku menengkumuskan diriku dari hujung kepal ke hujung kaki.

Isk!Isk!Isk!

Isk!Isk!Isk!

Aku tidak peduli mula-mulanya tapi esakan bibir ini semakin menjadi-jadi. Aku bangun dan menyalakan lampu katil semula dan mengambil kotak kaca ini dari para jendela dan membawanya ke katil. Sekarang kotak kaca berisi bibir ini berada di atas tapak tangan kiriku. Aku membuka tutupnya dan memberitahu bibir ini supaya berhenti menangis dan jangan lagi teresak-esak.

“Aku mahu tidur,” kataku. “Aku perlu tidur – kau pun perlu tidur. Bagaimana aku hendak tidur kalau kau teresak-esak dan bagaimana pula kau hendak tidur kalau kau terus teresak-esak. Tiada sesiapa yang boleh tidur dalam keaadan seperti ini.”

Esakanya semakin reda dan kemudian terus berhenti. Agaknya ia mendengar juga cakapku atau mungkin saja ia memahami secara telepathi apa yang kumasudkan. Hanya telinga yang boleh mendengar. Apakah orang yang empunya bibir ini mendengar cakapku kerana ia masih memiliki telinga? Barangkali tidak. Barangkali ia hanya mengalami perasaan-perasaan: sedih, gembira, pilu, ria, haru dan sebagainya mengikut apa yang dialami bibir ini ketika ini. Apakah yang dibuatnya sekarang? Aku meneliti bibir ini. Ia kecil dan kelihatan masih mentah. Ada gincu terpalih di atasnya secara kurang sempurna. Aku mengambil tisu dan memalit gincu dari bibir ini – apakah agaknya warna sebenar bibir ini? Merah muda. Tidak mungkin bibir ini kepunyaan seorang wanita kerana bentuknya yang kecil dan warnanya yang masih segar. Aku percaya ia milik seorang gadis yang masih belia. Aku cuba membayangkan gadis ini dan dari bentuk bibirnya ini pastilah ia seorang gadis yang jelita juga. Bibir ini kuletakkan di atas telapak tanganku, terasa lembut dan rapuh seolah-olah ia akan kemek saja. Kudekatkan ia pada hidungku dan aku tercium bau chewing gum.

Gadis remaja ini dari jauh ia sudah tersenyum-senyum seolah-olah ia sudah kenal padaku. Ia mengunyah-ngunyah chewing gum. Aku tergesa-gesa hendak buang air kecil dan ia juga tergesa-gesa langkahnya (entah hendak apa?) dan kami bertemu di depan tandas awam. Tandas wanita dan tandas lelaki bersebelahan kedudukannya.

“Mau buang air kecil?” katanya. “Saya juga mau buang air kecil.”

Terlalu peramah gadis remaja ini. Barangkali umurnya baru enambelas tahun masuk ke tujuhbelas tahun. Ia mengunyah-ngunyah chewing gum. Aku tidak menjawab. Tidak ada masa untuk melayannya. Ia masuk ke jamban wanita dan aku masuk ke jamban lelaki, menolak pintu dalam masa yang sama dan barangkali buang air kecil pun dalam masa yang sama dan selesai dalam masa yang sama kerana apabila aku menarik pintu jamban untuk keluar ia juga melakukan perbuatan yang sama dan kami bertemu lagi di depan tandas awam ini.

“Sudah selesai?” katanya. “Saya juga sudah selesai buang air kecil.”

Ia tersenyum-senyum sambil mengunyah-ngunyah chewing gum. Apa yang hendak kujawab atau cakapkan? Beritahu kepadanya tentang air kencingku yang berwarna kuning dan terus berbual-bual tentang air kencing masing-masing yang berbau kimia dan ubat? Aku terus berjalan menuju ke tempatku dan agaknya ia juga berjalan menuju ke tempatnya.

“Jumpa lagi,” katanya.

Kami berjumpa lagi pada tengah hari di depan tandas awam ini.

“Saya mau buang air besar,” katanya masih juga mengunyah-ngunyah chewing gum. “Saudara juga mau buang air besar?”

Haruskah kujawab pertanyaannya ini? Ya, aku mahu berak tapi tidak pula perlu kuheboh-hebohkan untuk pengetahuan orang awam. Aku menolak pintu jamban dan ia juga menolak pintu jamban. Kami keluar sebaya lagi dan bertemu di depan tandas awam ini. Agaknya kami berak serentak dan selesai serentak juga.

Ia terus saja tersenyum-senyum padaku sambil mengunyah-ngunyah chewing gum. Ia memandang ke dalam mataku (kurasa).

“Saya selesai buang air besar,” katanya. “Saudara juga selesai buang air besar.”

Sebenarnya aku ingin juga hendak melayan cakapnya tapi apakah yang hendak kucakapkan? Hidup ini sudah jadi terlalu rumit sehingga tiada ada apa-apa yang mudah lagi hendak dibicarakan selain dari air kencing dan berak. Haruskah kuberitahu padanya sebagai basa-basi bahawa najisku tadi keras keadaannya dan baunya bau kimia dan ubat? Dan ia juga akan membicarakan hal yang sama dan aku akan memberi komen bahawa keadaan ini normal saja kerana kita semua telah banyak makan bahan-bahan kimia dan ubat-ubatan akibat pupusnya segala binatang dan tanam-tanaman sumber makanan asli dan aku akan bertanya pada gadis remaja ini apakah ia pernah buang air besar yang busuk baunya itu – inilah najis asli – dan sudah tentu ia akan menjawab bahawa ia tidak pernah kerana ia dilahirkan ketika makanan-makanan asli sudah keseluruhannya digantikan dengan bahan-bahan kimia.

“Air besar saya keras,” katanya. “Tadi saya makan Ph2D3, B4Sc2, BA2 (Hon10). Saudara bagaimana?”

Tidak perlu kujawab dan aku melangkah pergi.

“Kita jumpa lagi nanti, ya,” katanya dan ia pun melangkah pergi.

Kami bertemu lagi di sini di depan tandas awam ini setiap kali kencing atau berak. Jika aku seorang yang berhati rapuh sudah tentu aku akan jatuh cinta padanya tapi aku telah mengeluarkan hati dan jantungku dan meninggalkannya di rumah di dalam freezer, dan kedua-duanya sudah keras dan sejuk seperti ais: aku sudah bosan dengan hidup ini dan aku sudah tidak mahu merasakan apa-apa emosi lagi. Jauh sekali hendak jatuh cinta.

Aku memandang bibir di telapak tanganku ini lagi. Ia telah salah pilih orang. Misalnya aku ini seorang yang mudah jatuh cinta, pun ia masih sala pilih. Lihatlah mukaku dan dahiku yang penuh kedut ini, kepalaku yang botak di tengah-tengah, janggutku dan kumisku yang tidak pernah terurus dan jarang-jarang pula tumbuhnya ini, hidungku yang kemek ini. Aku kelihatan lebih tua daripada umurku yang sebenar. Mengapa ia mahu memilihku yang seumur dangan bapanya dan kelihatan tua seperti neneknya?

Aku mengambil keputusan untuk tidak menggunakan tandas awam ini lagi dan aku tidak pernah berjumpa ia lagi.

Sekarang bibir di telapak tanganku ini kelihatan seperti sedang tidur nenyak. Aku dapat merasakan hembusan nafasnya yang halus keluar masuk dai celah-celah bibirnya yang tidak rapat katupnya. Sekali-sekala ada senyuman seperti melintas di situ. Barangkali ia sedang bermimpi sesuatu yang indah ketika berada di telapak tanganku ini – telapak tangan orang yang dicintainya ini. Aku menyentuh munjung bibir ini dengan hujung jari telunjukku dengan lembut – ia terbuka sebentar kemudian kembali seperti asal.

Barangkali ia sedang bermimpi melayang-layang di udara tunggang terbali seperti sehelai kertas nipis, kemudian beransur-ansur menjadi rama-rama yang berwarna-warni. Barangkali ia seperti aku jug gemar pergi ke bilik bacaan Jabatan Binatang-binatang dan Tumbuh-tumbuhan Pupus, membaca dan melihat-lihat gambar-gambar hidup-hidupan yang sudah tidak ada lagi di dunia ini dan ia terbaca tentang rama-rama – mahkluk yang kecil dan molek itu. Barangkali ia selalu terlihat aku berada di bilik bacaan ini pada waktu-waktu rehat lantas ia pun jatuh cinta padaku yang sudah tua ini kerana orang-orang muda tidak gemar datang ke mari.

Bilik bacaan Jabatan Binatang-binatang dan Tumbuh-tumbuhan Pupus ini lebih gemar dikunjungi oleh orang-orang tua sepertiku yang merasa kehilangan sesuatu. Generasi muda sepertinya tidak mungkin merasa kehilangan apa-apa kerana mereka tidak pernah tahu apa sebenarnya yang telah hilang. Mungkin mereka (bilangannya sediktt sekali) datang ke mari hanya sekadar hendak memenuhi kuriositi mereka.

Bibir di telapak tanganku ini bergerak seolah-olah ia terbangun dari tidurnya. Aku terasa seperti ia sedang merenungku tapi kemudian ia seperti tidur semula. Sungguh bahagia ia kelihatannya.

Ia telah merampas tidurku.

Barangkali aku telah melakukan kesilapan besar dengan menolak cintanya. Bibir ini kuletakkan di atas bantalku. Aku bangun lantas menuju ke freezer, mengeluarkan hati dan jantungku. Dengan hati-hati aku membuka kertas tisu yang membungkus kedua-duanya dan memasukkan organ-organ ini ke dalam ketuhar glombang mikro. Hanya satu minit yang diperlukan untuk mencairkan kedua-duanya. Kubawa hati dan jantungku ke katil tidurku, di sini kumasukkan kedua-duanya semula ke dalam dadaku – hati-hati agar jangan tersalah letak. Dalam dadaku terasa hangat. Sekarang aku terasa seperti seribu emosi menyelinap ke dalam kalbuku. Aku merasa sedih. Aku merasa gembira. Aku merasa pilu. Aku merasa ria. Aku merasa haru dan sebagainya. Aku merasa kasih sayang terhadap sesma manusia. Aku merasa bahawa hidup ini adalah sama-sama memberi dan menerima, dan apabila kupandang bibir di atas bantalku ini aku merasa cinta, cinta yang amat mendalam dan ada manik-manik jernih menitis dari kelopak mataku.

”Maafkan aku,” kataku kepada bibir ini. Dadaku mulai sebak dan tidak lama kemudian aku mulai tersedu-sedu dan teresak-esak.

Isk! Isk! Isk!

Isk! Isk! Isk!

Bibir ini terjaga dari tidurnya. Aku mengambilnya dengan lembut dan penuh kasih sayang, meletakkannya di telapak tanganku. Aku memandangnya dengan mata yang kuyu. Hatiku penuh dengan perasaan cinta.

Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu. Aku cinta padamu.

Mulai sekarang aku akan sentiasa berada di sisimu. Akan kubawa dikau ke sana ke mari. Tidak, pada hari ini daku akan berada di bilik ini bersamamu untuk meraikan cinta kita yang baru berputik ini. Daku mahu dikau sentiasa dekat dengan daku.

Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku. Cinta di dadaku tidak dapat kubendung-bendung lagi. Dengan segera kutanggalkan bibirku dari mulutku dari mukaku (entah ke mana ia kulemparkan) dan kugantikan dengan bibir gadis remaja ini. Terasa sedikit kejutan apabila darahnya bercampur dengan darahku kemudian semuanya menjadi tenang. Bau lembut chewing gum masuk ke dalam lubang hidungku. Aku merasa bahagia. Aku tertidur dengan nyenyak bermimpi menjadi sehelai kertas nipis yang melayang-layang kemudian bertukar menjadi rama-rama yang berwarna-warni.

“Aku wujud,” aku melaung-laung ria. “Aku tidak jadi pupus!”

Aku bangun tiga jam kemudian dikejutkan oleh bunyi motosikal. Barangkali poslaju lagi, aku benar-benar berharap ia akan berhenti dan masuk ke bilik tidurku ini – tapi ia jalan terus. Bunyi enjin motosikalnya kian lama kian menjauh. Pun begitu aku tidaklah merasa kecewa. Aku menggeliat menghapuskan sisa kantuk dengan perasaan yang segar dan penuh harapan bahawa hidup ini masih bermakna bagiku, bahawa hidup ini adalah sebuah senyuman yang panjang. Bibir di mulutku terasa indah. Hatiku penuh perasaan cinta.

Aku bangun dan melangkah. Punggungku terasa berat, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri, melenggok ke kanan, melenggok ke kiri …

Aku melihat diriku di dalam cermin besar. Aku melihat mukaku dan dahiku yang masih juga penuh kedut ini. Aku melihat kepalaku yang masih juga botak di tengah-tengah ini. Aku melihat janggutku dan kumisku yang msih juga tidak pernah terurus dan jarang-jarang pula tumbuhnya ini. Aku melihat hidungku yang masih jgua kemek ini. Aku masih juga kelihatan lebih tua daripada umurku yang sebenar.

Tapi mataku … mataku sudah berubah – kedua-duanya sungguh kuyu sekarang … bibir di mulutku nampak segar dan mentah … dan punggungku … ah ia sudah lebar sedikit! Aku cuba bercakap-cakap … suaraku … suaraku kedengaran seperti berlagu.

Ah, aku telah jadi pondan!

Sial, aku telah jadi pondan!

Bibirku, mana bibirku?

Aku terlihat bibirku ampai-ampai di atas lantai di satu penjuru, pucat dan kering, di sisi buaya jahanan yang tidak juga mahu keluar-keluar dari bilik tidurku ini.

KAWANMU

Bahana Feb 1994

Tok toktok tok
Toktok tok tok
Tok tok toktokBukan juga aku yang membuka pintu, pada hari ketiga turunnya hujan panas ini, dan mendapati ada gergasi sedang berhujan panas di luar pintu ini.

Sekarang gergasi berkulit cerah berdahi luas ini duduk membelek-belek mukasurat-mukasurat buku panduan telefon di  sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua sementara di luar hujan panas masih turun barai-barai untuk hari ketujuhnya dan kelihatannya tidak akan teduh sampai bila-bila sementara di tingkat atas bapaku yang sudah tua berkurung di dalam biliknya barangkali menyalah-nyalahkan aku untuk semua ini.

Pada pagi hari ketiga turunnya hujan panas ini, ibu kalau ia masih hidup pastilah ia akan risau kerana ini satu pertanda tidak baik dan kita mesti berhati-hati, pastilah ia akan mengarahkan kami adik beradik menutup lubang besar tangki air agar air hujan panas tersebut tidak akan terkumpul, pada pagi hari ketiga turunnya hujan panas ini kami (aku dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja) terdengar ada ketukan di daun pintu.

Gergasi ini berkulit cerah berdahi luas.

Gergasi berkulit cerah berdahi luas tersenyum-senyum seolah-olah hari itu tidak hujan dan ia tidak basah. Bukan juga aku yang menyambut salam tangannya dan mengatakan bahawa ­ber­hujan apalagi berhujan panas tidak baik untuk sesiapa walaupun kau seorang gergasi. Bukan juga aku yang tertunduk-tunduk ­meng­ucapkan sila­kan masuk silakan masuk kepadanya dan aku juga tidak terpaksa menepi ke siring apabila gergasi ini merujuh masuk, mengiring dan tunduk sedikit kerana takut ­kepalanya tantuk pada palang pintu; aku bukan berada di ambang pintu ketika itu. Bukan juga aku yang ­ber­diam diri apabila melihat ia masuk tanpa membuka ­ka­sut­nya yang basah dan kotor lalu duduk di atas sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua dengan bajunya yang basah, seluarnya yang basah. Air hujan panas dari bajunya yang basah, seluarnya yang basah bertitisan di atas lantai, di atas sofa paling empuk khusus untuk bapa. Setelah sekian lama tiada sesiapa yang bercakap bukan juga aku yang akhirnya bertanya padanya ia mahu minum apa.

“Kopi, saya minum kopi!”

Bukan juga aku yang menyuruh adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja dengan berbisik supaya cepat-cepat pergi ke dapur menyediakan minuman kopi panas dan jangan lupa menghidangkan biskut atau kuih-kuih lain yang ada dan kalau boleh buatkanlah cucur udang atau pisang dan aku juga tidak nampak gergasi ini memandang dengan tersenyum-senyum akan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja pergi ke dapur. Bukan juga aku yang menyuruh adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja terus memanggil bapaku yang sudah tua di tingkat atas supaya turun ke bilik tamu di tingkat bawah ini untuk melayan sahabatnya gergasi berkulit cerah berdahi luas ini. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini kelihatan amat penting, sudah pastilah ia datang dari jauh dan mempunyai sesuatu urusan dengan bapaku yang sudah tua kerana bapaku yang sudah tua selalu saja berurusan dengan orang-orang penting. Bukan juga aku yang menyambut talam dari adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja lalu menghidangkan minuman kopi panas dan ­se­dikit kuih. Bukan juga aku yang ­mem­persilakan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini minum, minumlah dan buatlah rumah ini macam rumah saudara sendiri. Bukan juga aku yang memberitahu bahawa bapaku yang sudah tua akan turun sekejap lagi dan apabila bapaku yang sudah tua tidak juga turun-turun dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja memberitahu: “Baru kuingat bapa keluar kira-kira dua puluh minit tadi,” bukan juga aku yang memberitahu pada gergasi berkulit cerah berdahi luas ini bahawa bapa keluar dan tidak akan pulang buat beberapa jam lagi kerana begitulah bapa kalau ia ­ber­urusan dengan orang-orang penting ia tidak akan ada di rumah berjam-jam lamanya.

“Saya cuma singgah sebentar mahu berteduh.”

Bukan juga aku yang mengatakan: “Oo yah, saudara berehatlah di sini sementara menanti hujan teduh.” Bukan juga aku yang bercakap mesra dengan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini tentang hujan panas yang turun sejak dua hari yang lalu ini yang belum menampakkan tanda-tanda akan berhenti. Bukan juga aku yang meneruskan percakapan dan ­ke­mesraan walaupun gergasi berkulit cerah berdahi luas ini tidak menampak­kan minat hendak ­ber­bual (atau mungkin ia seorang yang pendiam). Bukan juga aku yang akhirnya bertanya ia siapa.

“Saya pengembara.”

Bukan juga aku yang bertanya:

“Berapa lama saudara akan berada di sini ini?”

“Saya belum menetapkan.”

Bukan juga aku yang mempelawanya tinggal saja di rumah ini buat sementara waktu kerana rumah ini ada beberapa buah bilik kosong untuk tetamu bapa yang kadang-kadang datang dari jauh. Bukan juga aku yang mengarahkan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja supaya ­meng­emaskan sebuah bilik.

“Saya suka bilik yang jendelanya menghadap ke jalan raya.”

Bukan juga aku yang mengarahkan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja supaya mengemaskan bilikku untuk gergasi berkulit cerah berdahi luas ini kerana hanya biliku itu saja yang jendelanya menghadap ke jalan raya. Di rumah yang sederhana besarnya ini ada enam buah bilik tidur kesemuanya dan hanya kami bertiga tinggal di sini. Sementara adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja mengemaskan bilik bukan juga aku yang terus bercakap-cakap dengan mesra tentang apa yang hendak dilihat di negeri ini, tidak banyak yang hendak dilihat tapi ini sebuah negeri kecil yang aman makmur. Bukan juga aku yang berbangga bahawa kita masih memi­liki sopan santun terhadap tetamu. Bukan juga aku yang bercakap dengan panjang lebar tentang budaya sopan santun kita ini dan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini lebih banyak diam dari ­bercakap, mengangguk-anggukkan kepalanya dan akhirnya ia tertidur sebentar dengan bajunya yang masih basah, seluarnya yang masih basah di atas sofa paling empuk khusus untuk bapa. Agaknya ia mengangguk-angguk tadi bukan lain tapi hanyalah kerana mengantuk.

Apabila gergasi berkulit cerah berdahi luas ini terjaga bukan juga aku yang membawanya ke bilik yang baru dikemas oleh adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja. Bukan juga aku yang menunjukkan di mana bilik air. Bukan juga aku yang menunjukkan di mana bilik mandi. Bukan juga aku yang menunjukkan di mana dapur dan saudara bebas menggunakannya. Bukan juga aku yang menunjukkan stor perkakas pertukangan kayu dan secara bergurau memberitahu saudara bebas menggunakannya juga. Bukan juga aku yang memberitahu bahawa aku dan bapa punya hobi bertukang kayu. Bukan juga aku yang berceri­ta bahawa aku gemar mereka dan membuat kotak-kotak kayu kecil yang comel (kerana sekarang ini zaman kotak) untuk puan-puan yang kaya menyimpan barang-barang kemas sementara bapa pula gemar mereka dan membuat model-model bahtera untuk perhiasan bilik-bilik tamu dan sebagai peringatan bahawa telah pernah terjadi satu banjir besar di ­se­luruh dunia pada zaman Nabi Nuh a.s. yang tercatat di dalam kitab-kitab suci hampir-hampir setiap agama.

“Jika tidak mengembara, saya pereka dan spesialis dalam membuat pintu.”

Bukan juga aku yang berkata: “Oo ya, saudara juga seorang tukang kayu.”

“Tapi bukan sebagai hobi.”

Bukan juga aku yang bertanya: “Saudara punya hobi?”

“Mengembara.”

Bukan juga aku yang merasa bodoh kerana soalan yang boleh dijawab sendiri itu.

Bukan juga aku yang mempersilakannya masuk ke dalam bilikku yang buat sementara waktu dipinjamkan kepadanya. Bukan juga aku yang nampak ia membaringkan tubuhnya yang besar di atas katilku dan ia terus terti­dur dengan kasutnya yang basah dan kotor, dengan baju­nya yang masih basah, dengan seluarnya yang masih basah.

Apabila bapaku yang sudah tua balik pada petang itu, hujan panas masih turun barai-barai, gergasi ­ber­kulit cerah berdahi luas ini sudah pun bangun. Ia sekarang sedang membaca suratkhabar di sofa paling empuk khusus untuk bapa. Kami, anak-anak bapa, tidak pernah mahu duduk di atas  sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua ini. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini masih berpakaian seperti tadi, dengan bajunya yang masih basah, dengan seluarnya yang masih basah, dengan kasutnya yang basah dan kotor, tidak pun mengangkat kepala apabila bapaku yang sudah tua masuk. Ia terus membaca suratkahbar ini.

Apabila bapaku yang sudah tua bertanya dengan suara yang kecil “Siapa tu?”, barulah aku benar-benar yakin bahawa gergasi berkulit cerah berdahi luas ini bukan sahabat bapa; bukan juga aku yang gopoh-gopoh menjawab dengan suara yang kecil: “Anu, kawanku – ia karaja dengan  circus. Masa ani ia cuti. Sini ia tidur.”

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini meletakkan suratkhabar di atas meja, barangkali baru sekarang ia sedar bahawa bapaku yang sudah tua sudah datang, lalu ia bangun dari  sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua dan menghulurkan tangannya kepada bapa.

“Tinggallah di sini,” ini kata bapa, “sampai habis cuti atau sampai bila-bila.”

“Terima kasih.”

“Buatlah seperti rumah sendiri,” ini kata bapa.

Bapa naik ke atas, “Mau mandi,” katanya. Tiada yang lebih diperlukan selain dari mandi untuk menyegarkan badan yang letih. Aku terdengar bapaku yang sudah tua naik tangga. Kemudian aku terdengar bunyi pintu dibuka. Kemudian aku terdengar bunyi pintu ditutup. Kemudian aku terdengar bunyi pergerakan-pergerakan. Kemudian aku terdengar bunyi pintu dibuka. Kemudian aku te­dengar bunyi pintu ditutup. Kemudian aku terdengar bunyi tapak kaki. Kemudian aku terdengar bunyi pintu dibuka. Kemudian aku terdengar bunyi pintu ditutup. Kemudian aku terdengar bunyi pintu dibuka dan namaku dipanggil. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini mengangkat kepala memandangku, dahinya berkerut-kerut, kemudian ia tersenyum dan terus membaca suratkhabar.

Aku cepat-cepat naik. Bapaku yang sudah tua menyuruhku masuk ke bilik air dan melihat ke dalam lubang jamban.

“Tai siapa ni – beria inda berpam?”

Najis yang besar bentuknya labui-labui di dalam lubang jamban ini mustahil kepunyaanku, najisku tidak pernah sebesar ini, jauh sekali pula kepunyaan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja yang bertubuh kecil, oleh kerana najis besar bentuknya ini bukan kepunyaan bapaku yang sudah tua tentu sekalilah ia kepunyaan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini, ialah yang berak tidak berpam, tapi bukan juga aku yang menjawab, “Aku. Kelupahan kumengepam tadi.”

Inilah satu-satunya ketulan najis manusia yang paling besar pernah kulihat dengan lilitan kira-kira tiga puluh sentimeter dan panjangnya juga kira-kira tiga puluh sentimeter (aku cuma mengagak-agak dengan pandangan saja).

Bukan juga aku yang mengepamnya berulang kali dan najis ini masih juga labui-labui. Bukan juga aku yang menyimbah lubang jamban ini dengan air yang berbaldi-baldi untuk menenggelamkan ketulan najis ini. Selepas lebih kurang lima belas minit bukan juga aku yang memberitahu bapaku yang sudah tua bahawa sekarang jamban ini sudah bersih dan bolehlah digunakan.

Inilah permulaan gangguan-gangguan yang kami terima di rumah sederhana besarnya ini. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini tidak banyak bercakap, ia hanya duduk di  sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua membelek-belek suratkhabar atau majalah dan bapaku yang sudah tua tidak mahu turun dari biliknya kerana tempat duduknya sudah diambil (agaknya ia menyalah-nyalahkan aku untuk semua ini). Semasa makan malam yang aku dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja sediakan sendiri kerana kami tidak mahu mengambil orang gaji, baharulah gergasi berkulit cerah berdahi luas ini memberitahu:

“Saya vegetarian.”

“Kami tidak tau bagaimana mau menyediakan makanan vegetarian,” kata adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja.

“Izinkan saya menggunakan dapur saudara saudari ini.”

“Ya silakan,” bukan juga aku yang berkata. “Buat­lah dapur ini seperti saudara yang punya.”

“Terima kasih.”

Ia mulalah menyediakan makan malamnya. Ia membuka almari dapur, menyelongkar isi-isinya dan mengasing-asingkan apa yang diperlukannya. Ia membuka pintu peti ais dan mengeluarkan semua sayur-sayuran yang ada memisah-misahkannya dan mengelompokkannya ke dalam dua kelompok. Kelompok sayur yang perlu dimasak dulu dan kelompok sayur yang boleh dimakan mentah-mentah. Pintu almari dapur dibiarkannya lambah-lambah dan pintu peti ais juga dibiarkannya lambah-lambah. Adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja bangun dari kerusi makannya berjalan menuju ke peti ais dan almari dapur dan menutup pintu-pintu tersebut. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini, apabila adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja kembali ke meja menyambung makan, membuka semula pintu peti ais dan pintu almari dapur pastilah ia masih belum selesai menyediakan makan malamnya. Bapaku yang sudah tua memandang ke arahku seolah-olah ia mahu mengatakan sesuatu tapi terus saja diam dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja tunduk sambil matanya mengerling ke arah gergasi berkulit cerah berdahi luas ini dan pada pintu almari dapur yang dibiarkan lambah-lambah dan pintu peti ais yang juga dibiarkan lambah-lambah, pastilah masih ada yang diperlukannya dari peti ais dan almari dapur ini.

Apabila gergasi berkulit cerah berdahi luas ini selesai menyediakan makan malamnya ia pun membawa makanannya duduk makan bersama kami sementara pintu almari dapur dan peti ais masih lambah-lambah (sayur-sayuran untuk kami makan lima hari kesemuanya habis dan setiap hari selepas itu kami terpaksa membeli sayur-sayuran yang lebih). Adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja bangun dari duduk untuk menutup pintu-pintu tersebut dan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini hanya tersenyum memandangnya.

Bapaku yang sudah tua bising lagi pada keesokan harinya, awal-awal subuh, di bilik air. Bukan juga sebab-sebab lain melainkan ada najis tidak berpam di dalam lubang jamban. Bukan juga aku yang cepat-cepat menengoknya. Bukan juga aku yang tanpa membuang masa membersihkan jamban tersebut menyimbahnya dengan air yang bebaldi-baldi.

“Luan jua kawanmu atu,” kata bapaku yang sudah tua.

Ketulan najis ini lebih besar dari yang kelmarin dan bapaku yang sudah tua tidak jadi buang air besar.

Sekarang gergasi berkulit cerah berdahi luas ini sedang menelefon. Apabila saja ia selesai menelefon ia pun memanggil kami, aku dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja duduk berunding dengannya dan ia menyuruh memanggil bapaku yang sudah tua yang berkurung di dalam biliknya di atas tapi ia tidak mahu turun kerana tempat duduknya  sofa paling empuk khusus untuknya sudah diambil (agaknya ia mahu terus menyalah-nyalahkan aku untuk semua ini).

“Nampaknya,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini, “saya akan tinggal lama di sini – setidak-tidaknya satu bulan.”

“Ya, ya bapa sudah membenarkan saudara tinggal di sini seberapa lama yang saudara kehendaki,” bukan juga aku yang menjawab. Aku memandang muka adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja – ia hanya diam.

Di luar hujan panas masih turun barai-barai yang ibu kalau ia masih hidup pastilah ia akan risau kerana ini satu pertanda tidak baik. Di luar keadaan pokok tidak bergoyang-goyang, daun-daun yang ditimpa air hujan panas dan disinar matahari kelihatan be­kilauan. Ada seekor anjing melintas menyeberang jalan raya, menyuruk di bawah sebuah rumah dan terus tidak kelihatan lagi kerana bawah rumah itu gelap dan anjing itu berwarna hitam. Di udara tidak ada burung layang-layang yang selalu berterbangan ketika hujan. Tidak ada angin yang bertiup. Bilik tamu ini panas walaupun jendela terbuka luas. Aku yang terlupa memasang kipas angin. Aku lalu bangun dan memasang kipas angin. Kipas angin tidak berpusing dan aku baru teringat bahawa kipas angin ini sudah hampir-hampir seminggu rosak.

“Panas ya,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini sambil tersenyum-senyum. “Tapi panas atau sejuk tidaklah menjadi masalah bagi saya berbanding dengan saiz pintu yang kecil.”

Bukan juga aku yang ternanti-nanti apa lagi yang hendak dikatakannya. Aku dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja hanya duduk diam di kerusi bukan empuk.

“Saya akan keluar masuk rumah ini berulang kali,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini. “Saya memerlukan pintu-pintu yang lebih besar.”

“Ya, saudara seorang yang berbadan besar,” bukan aku yang berkata.

“Ya saya sedar,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini. “Sayalah lelaki yang terbesar sekali di dalam dunia ini tapi saya tidak membenarkan nama saya di masukkan ke dalam Guinness Book of Records.”

Aku memandang muka adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja. Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini terus tersenyum-senyum memandang kami berdua. Ia memandang adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja lebih lama dari ia memandangku. Adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja ini baru berumur lima belas tahun, ia tidak menunjukkan bahawa ia telah bercakap tadi.

“Kerana itu,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini, “saya perlu merombak pintu-pintu di rumah ini.”

“Ya, pintu-pintu di rumah ini kecil untuk saudara,” bukan juga aku yang bercakap. “Tapi…”

“Saya akan buatkan pintu-pintu yang lebih besar,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini seolah-olah rumah ini ia yang punya. “Saya sudah pun menelefon dan mengorder barang-barang yang saya perlukan dari kilang papan. Barang-barang tersebut akan mereka hantar esok pagi tapi saya perlu memberitahu mereka alamat penuh rumah ini.”

“Simpang 433 No.25C Jalan Tutong,” bukan aku yang berkata.

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini mendial telefon.

Pada malam ini adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja memberitahu bapaku yang sudah tua tentang rancangan gergasi ini dan bapaku yang sudah tua tidak bercakap apa-apa, seolah-olah ia sedang menyalah-nyalahkan aku untuk semua ini.

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini tidak banyak membuang masa pada esok harinya sebaik-baik saja barang yang dikehendakinya tiba. Ia menggunakan perka­kas-perkakas dari stor pertukangan kami tapi ia tidak menggunakan sebarang alat penyukat.

“Saya boleh mengagak dengan tepat hingga ke perpuluhan seribu,” katanya lalu ia pun mendemonstrasikan akan kebolehannya ini kepada kami. Ia memandang satu penjuru rumah ke satu penjuru rumah dengan pantas. “25.326 meter – cubalah sukat!”

Bukan juga aku dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja menyukat jarak antara penjuru-penjuru tersebut dan memang tepat 25.326 meter!

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini memungut sebilah lidi, mematah-matahkannya secara rambang dan memberikan kami patahan yang paling pendek.

“Nah,” katanya. “Ini 50.245 milimeter – silakan sukat.”

Bukan juga aku menyukat patahan lidi tersebut dan memang tepat 50.245 milimeter! Bukan juga aku yang memberikan patahan lidi ini kepada adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja untuk disukatnya sendiri dan bukan juga aku yang nampak ia amat kagum akan kebolehan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini.

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini bertukang sambil bersiul-siul dan sekali-sekala ia meniru bunyi trompet dan pukulan dram dan gitar dengan mulutnya dan lubang hidungnya yang besar.

Pap pappap pap
Pappap pap pap
Pap pap pappap
Pap padapapppp paaaaap
Pap pap-pap padaaap

Agaknya ia meminati muzik jazz dan aku tidak. Aku meninggalkan ia bertukang dan bersiul-siul dan sekali-sekala meniru bunyi trompet, pukulan dram dan gitar dengan mulutnya dan lubang hidungnya yang besar. Aku tidak suka jazz.

Sejam-dua jam kemudian bukan juga aku yang kembali ke tempat ini semula untuk melihat apa yang sedang berlaku dan aku tidak mendapati adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja sedang bergurau-gurau dengan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini.

Gergasi berkulit cerah berdahi luas ini sedang berbaring dan adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja dengan tertawa-tawa menyukat-nyukatnya dengan pita dari hujung kepala ke hujung kaki, dari hujung tangan ke hujung tangan, dari pergelangan tangan ke hujung jari tengah, dari tumit ke hujung kaki dan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini tiba-tiba bangun dan menjulang adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja tinggi-tinggi beberapa kali dan mereka sama-sama tertawa dan apabila mereka ternampak aku berdiri memerhatikan semua ini mereka berhenti seolah-olah telah melakukan satu kesalahan.

Bukan juga aku yang nampak muka gergasi ini bertukar menjadi kemerah-merahan dan menyambung kerjanya bersiul-siul dan tersipu-sipu. Dan bukan juga aku yang nampak muka adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja bertukar menjadi kemerah-merahan tunduk tersipu-sipu.

Pastilah gergasi berkulit cerah berdahi luas ini seorang tukang yang mahir kerana dalam masa yang singkat ini daun pintu yang dibuatnya sudah hampir-hampir siap dengan pahatan dan ukiran yang seni. Sekarang ia sedang menghalusi seni pahatannya.

“Ini air mulih,” bukan juga aku yang berkata.

“Adikmu yang memberikan contoh corak ini untuk diukir,” kata gergasi berkulit cerah berdahi luas ini. “Saya akan siapkan pintu depan ini sebelum tengah hari ini. Petang nanti saya akan ubahsuai pintu jamban.”

Bapaku yang sudah tua apabila ia turun dari biliknya tengah hari ini memandang pintu depan yang sudah siap diubahsuai ini dari atas ke bawah dari kanan ke kiri, menyentuh dan meraba-raba pahatan dan ukiran-ukirannya dari atas ke bawah dari kanan ke kiri: air mulih di tepi dan corak dari kain songket (barangkali bunga letup-letupan) di tengah-tengah.

“Ini karya seni,” kata bapa. Inilah kali pertama bapaku yang sudah tua bercakap dengan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini sejak hari pertama ia singgah.

Pintu ini tiga kali lebih besar dan tinggi dari asalnya. Bapaku yang sudah tua ini kelihatan amat kerdil di depan pintu yang sudah diubahsuai ini.

“Petang nanti saya akan ubahsuai pintu jamban.”

Sewaktu berehat-rehat pada pukul tiga petang, setelah pintu jamban siap diubahsuai, bukan juga aku yang terlihat bapaku yang sudah tua bercakap-cakap dengan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini yang duduk di sofa paling empuk khusus untuk bapaku yang sudah tua dan bapaku yang sudah tua duduk di sofa tidak empuk tempat kami anak-anaknya selalu duduk sementara adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja menghidangkan minuman petang kopi hangat dan cucur pisang. Adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja duduk di sebelah kanan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini, merenung dengan tersenyum-senyum manis akan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini meneguk minuman petang kopi hangat dengan sekali teguk, makan cucur pisang dengan sekali kulum; ia menuangkan lagi kopi hangat ke dalam cawan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini.

Bukan juga aku yang nampak dirinya sendiri berjalan meninggalkan mereka berehat-rehat minum petang menuju dan masuk ke bilik yang bukan bilikku kerana biliku sekarang sedang dipinjamkan kepada gergasi berkulit cerah berdahi luas itu (barangkali sekarang aku sedang menyalah-nyalahkan dirinya sendiri untuk semua itu), bukan juga aku yang nampak diriku membaringakn dirinya sendiri sebentar di atas katil kemudian bangun semula berjalan menuju ke jendela, sementara di luar hujan panas masih juga turun barai-barai dan kelihatan tidak akan teduh sampai bila-bila, keadaan pokok tidak bergoyang-goyang, daun-daun yang ditimpa air hujan panas dan disinar matahari kelihatan berkilau-kilauan, ada seekor anjing melintas menyeberang jalan raya, menyuruk di bawah sebuah rumah dan terus tidak kelihatan lagi kerana bawah rumah itu gelap dan anjing itu berwarna hitam, di udara tidak ada burung layang-layang yang selalu berterbangan ketika hujan, tidak ada angin yang bertiup dan bilik tidur ini panas walaupun jendela terbuka luas kerana aku terlupa memasang kipas angin lalu aku berjalan menuju ke suis kipas angin dan memasang kipas angin dan kipas angin berpus­ing, mula-mula berpusing-pusing perlahan kemudian berpusing-pusing cepat, semakin cepat dan semakin cepat sehinggalah kecepatan pusingannya menjadi tetap dan seingatku kipas angin ini tidak pernah rosak.

Dalam masa lima hari saja kesemua pintu di rumah yang sederhana besarnya ini siap diubahsuai. Inilah rumah yang memiliki pintu-pintu bilik yang besar, setiap pintu bilik berbeza ukirannya dan mengikut bapaku yang sudah tua tinggi nilai seninya dan gergasi berkulit cerah berdahi luas ini juga mengubahsuai pintu almari dapur, pintu almari baju, pintu kabinet ubat-ubatan. Benarlah ia seorang spesialis dan tukang dalam membuat pintu.

“Pintu peti ais saya tidak dapat buat apa-apa.”

Bukan juga aku yang nampak gergasi berkulit cerah berdahi luas ini berjalan-jalan keluar masuk pintu-pintu yang siap diubahsuainya sendiri ini, sementara adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja duduk di atas bahu kanannya berpegang pada rambutnya.

Bapa menjemput kawan-kawannya untuk mengkagumi pintu-pintu yang tinggi nilai seninya ini.

“Ganya saja pintu-pintu ani basar banar,” kata salah seorang daripada mereka. “Bukan-bukan basarnya.”

Adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja menjemput kawan-kawannya untuk mengkagumi gergasi berkulit cerah berdahi luas ini.

“Basar banar untuk jadi boy friendmu,” bisik salah seorang daripada mereka. “Tapi muanya macam mua anak damit.”

Apabila hujan panas ini teduh gergasi berkulit cerah berdahi luas ini pun meminta diri untuk pergi.

“Tinggallah di sini,” itu kata bapa yang sudah tua. “Tinggallah di sini untuk selama-lamanya.”

“Janganlah pergi,” itu kata adikku yang perempuan yang manis baru naik remaja. Ia seperti hendak menangis.

“Saya pengembara,” kata gergasi ini.

Bapa yang sudah tua tunduk seketika. Kemudian mengangkat kepala.

“Saudara ini sebenarnya orang mana?”

“Aku ani sabanarnya anak tempatan jua.”

Aku nampak diriku tersenyum. Ia anak tempatan katanya. Aku nampak diriku tersenyum. Ia anak tempatan katanya.

PAKSI

Bahana Ogos 1994

Proosyh!Aku tidak terkejut apabila kakiku terperosok dan aku hampir-hampir terjerumus ke dalam lubang gelap ini aku sempat berpegang pada akar kayu yang terjuntai-juntai. Aku terus teringat tentang lubang ini. Lubang ini asalnya sebuah kubu yang dikorek 4x4x5 kaki semasa perang dunia kedua dahulu. Aku melepaskan peganganku kerana aku tidak sanggup hendak bertahan lama-lama lagi. Aku menjunam ke bawah. Lubang ini sudah bertambah dalam mungkin disebabkan erosi yang bertahun-tahun. Semakin jauh aku jatuh ke dalam semakin gelap pendanganku dan keadaan sekeliling terasa semakin dingin dan gelap.

Semasa kecil-kecil dahulu aku pernah bermain-main di dalam lubang ini. Di sini jugalah aku membawa gasing-gasing yang telah kurampas dan kubelah. Apakah jadinya gasing-gasing yang kubelah itu sekarang? Apa pula yang terjadi terhadap paksi-paksinya? Aku budak pengacau perlawanan-perlawanan gasing. Aku meolpat ke tengah-tengah gelanggang sebaik-baik saja gasing yang berpusing-pusing menakpakkan paksinya.

“Hoi!”

“Hoi!”

Tetapi sudah terlambat.

Kegilaanku pada paksi ini bermula sejak aku berumur di antara sepuluh ke sebelas tahun. Sebelum itu aku berminat pada setiap benda yang berpusing-pusing. Pada suatu hari aku menyaksikan satu perlawanan gasing di antara kampungku dengan kampung jiran. Aku terlihat seperti ada garis-garis lurus tegak yang tidak ikut berputar menembusi pusat gasing-gasing tersebut. Garis-garis lurus ini berwarna perak dan berkilat. Sebuah gasing mula hendak berhenti berpusing. Apabila pusingan gasing ini tidak lagi ligat dan mula melenggok-lenggok aku nampak garis lurus ini juga ikut berpusing melenggok-lenggok. Aku nampak satu garis lurus lagi tiba-tiba wujud tidak berpusing-pusing. Ketika inilah aku melompat masuk gelanggang dan mengambil gasing tersebut dan aku berlari kencang menginggalkan gelanggang ini. Aku seorang budak kecil yang boleh menyusup-nyusup ke dalam semak. Aku tidak menaulih-naulih ke belakang lagi. Entah ada orang mengejarku atau tidak. Sebaik-baik saja aku sampai di rumah aku lalu mengambil sebilah kapak dan membelah gasing ini tadi. Aku mahu mengambil garis lurus yang berwarna perak dan berkilat yang menembusi pusat gasing ini. Tentulah perbuatanku ini sia-sia saja kerana aku tidak tahu apa sebenarnya paksi. Ini tidak kuketahui sehinggalah pada suatu hari nanti, beberapa tahun kemudian. Sementara itu aku terus saja merampas gasing dan membelahnya sehingga setiap orang menganggapku seorang budak antigasing.

“Andangnya anak atu inda dapat meliat gasing,” kata orang kampung. “Abis gasing orang dikarajakannya!”

Mereka tidak faham bukan gasing yang kuminati.

Setiap kali ada perlawanan gasing pastilah aku dihalang masuk gelanggang tapi entah macam mana aku boleh menembusi setiap halangan dan tentulah di setiap perlawanan sekurang-kurangnya sebiji gasing berjaya kurampas dan akhirnya kubelah dua. Gasing-gasing ini kubawa ke lubang ini.

Aku masih budak-budak.

Setelah aku boleh berfikir sedikit aku tidak lagi merampas gasing. Merampas gasing itu perbuatan budak-budak. Main gasing pun permainan budak-budak. Aku faham apa sebenarnya yang kucari-cari dan yang kumahu paksi.

Setiap yang berputar itu memiliki paksi. Paksi ialah garis lurus yang menembusi pusat satu benda yang berputar = benda tersebut berputar di atas paksinya. Juga di mana ada paksi pastilah apa saja akan berputar mengelilinginya; jadinya kau mengelilingi aku dan aku mengelilingi kau di samping kita sendiri berputar-putar di atas paksi kita sendiri dan inilah asal-usulnya kepala pening. Bagi orang yang memiliki paksi yang kuat maka orang lainlah yang akan lebih mengelilinginya dari ia mengelilingi orang lain. Jika paksinya terlalu kuat maka ia akan berputar-putar di atas paksinya sendiri dan ia tidak akan nampak orang lain lagi orang seperti inilah yang mudah mendapat pening kepala.

Aku mencari dan membaca keterangan-keterangan mengenai paksi mengikut apa yang telah kubaca paksi hanyalah sesuatu yang hipotetikal tetapi sekarang aku tidak setuju bahawa paksi adalah sesuatu yang hipotetikal. Paksi wujud. Wujudnya wujud yang fizikal. Kamu tahu apa yang akan terjadi jika aku merampas paksi-paksi kamu dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa kerana kamu fikir ia hanya sesuatu yang hipotetikal? Inilah apa yang akan terjadi kepada kamu: kamu tidak akan dapat memikirkan tentang diri kamu lagi. Fikiran kamu, perbuatan-perbuatan kamu akan beralih kepadaku kerana paksi-paksi kamu berada di dalam genggamanku. Kamu akan berputar di kelilingku. Aku menjadi tuan kamu. Apa yang kuperintah akan kamu lakukan. Apa saja! Kamu tidak akan mempunyai pilihan lagi. Kamu akan melakukan sesuatu yang kumahu walaupun aku tidak memerintahkannya.

Aku akan menjadi raja dunia. Kamu tidak percaya? Mari sini aku cabut paksimu! Kau akan terhuyung-hayang. Tapi aku tidak mahu menjadi raja kerana menjadi raja itu satu tanggungjawab besar dan aku tidak mahu memikul sebarang tanggungjawab. Aku akan menjadi bala kepada dunia jika aku menjadi raja.

Buat apa kuceritakan semua ini? Aku mahu membuktikan bahawa aku dan paksi sudah dijodohkan.

Aku tidak berminat pada perempuan.

Aku tidak berminat pada kekayaan dan kemewahan.

Aku tidak berminat pada makanan yang sedap-sedap.

Aku tidak berminat pada ilmu pengetahuan yang tinggi-tinggi dan sukar difahami.

Aku tidak berminat pada nama dan pangkat.

Aku tidak berminat pada kekuasaan.

Aku tidak berminat pada penampilan diri yang berkalibar. Lihatlah pakaianku ini – koyak tidak bertampal – aku tidak ada masa untuk semua ini.

Minatku hanya pada paksi – dan bukan pula pada paksi yang kecil-kecil, seperti paksi dirimu, dan paksi manusia lain yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari itu. Paksi yang kecil-kecil ini sudah terbongkar rahsianya padaku – dan aku mendapati bahawa ia bukan untukku. Paksimu itu remeh untukku. Sekali lagi kuberitahu – pada bila-bila masa jika aku mahu aku boleh mencabut paksimu dan aku boleh mengolah kau sesuka hatiku – tapi bersyukurlah kerana aku tidak berminat pada kekuasaan.

Minatku hanya pada paksi – dan bukan pula pada paksi yang kecil-kecil. Aku berminat pada raja paksi – PAKSI KEWUJUDAN.

Inilah hipotesisku: oleh kerana hanya aku yang berminat pada paksi kewujudan ini dari sekelian khalifah di muka bumi ini maka sudah pastilah aku ditakdirkan akan menemuinya – kalau sudah jodoh tidak akan kemana (aku bukan bercakap pasal perempuan!). Oleh kerana aku sekarang berada di muka bumi ini dan tidak berkemungkinan berada di planet-planet lain sudah pastilah paksi kewujudan ini berada di bumi ini. Oleh kerana aku tidak mampu hendak keluar negeri sudah pastilah paksi ini berada di Negara Brunei Darussalam ini. Paksi kewujudan ini pastilah berada di kampung ini kerana aku tidak tergerak hendak mencarinya di tempat lain. Paksi ini pastilah berada di kawasan bukit-bukau lima ekar ini kerana di sinilah aku mencari-carinya.

Bertahun-tahun aku mencari-carinya di kawasan ini dan setiap saat aku merasakan bahawa aku akan menemuinya. Aku pasti akan menemuinya. Kewujudanku adalah untuk mencari paksi kewujudan ini. Pada saat, tempat dan keadaan yang telah ditetapkan aku akan menemuinya. Satu takdir itu hanya akan berlaku kepada orang yang telah ditentukan, di tempat yang telah ditentukan dan pada saat yang telah ditentukan. Aku yakin bahawa aku akan menemukan paksi kewujudan ini di tempat (kawasan) ini. Apa yang belum ada hanya saatnya saja lagi (aku akan bersatu dengan titik tepat paksi kewujudan ini pada satu saat yang tepat). Sementara saatnya belum tiba lagi biralah aku terus mencari-cari titik tepatnya sambil bercerita-cerita kepadamu untuk menerangkan keadaanku yang sebenarnya agar aku tidak dituduh gila atau sebagainya.

Pernah seorang lelaki datang kepadaku (mungkin ia tidak ada kerja lain) dan bertanya apa yang sedang kucari-cari. Aku tidak perlu memberitahunya dan ternyata ia pun sudah tahu. Apa yang kucari-cari memang sudah diketahui oleh orang-orang kampung dan sudah tentulah mereka tidak faham.

“Mengapa dan buat apa paksi diunjar?” tanyanya. “Apa faedahnya paksi?”

“Mengapa seseorang itu membuat sesuatu pekara?” aku bertanya pula kepadanya.

“Kerana ia mau faedahnya,” katanya.

“Mengapa pula seseorang itu membuat sesuatu pekara yang tidak berfaedah?” aku bertanya kembali. “Apakah kerana ia tidak berfaedah?”

Lelaki yang tiada kerja lain ini diam. Lelaki ini sedikit coklat hitam kulitnya. Ia berkacamata putih.

“Barangkali orang atu inda tau pekara atu inda berfaedah,” katanya.

“Tetapi manusia diberikan akal untuk berfikir dan memikirkan sama ada sesuatu pekara itu berfaedah atau tidak berfaedah,” kataku.

“Barangkali saja ia inda mau menggunakan akalnya,” kata lelaki ini.

“Kalau macam itu,” kataku, “banyaklah orang di dunia ini yang tidak menggunakan akal kerana banyak pekara yang tidak berfaedah telah dilakukan dan ini tentulah bertentangan dengan `mausian diberikan akal untuk berfikir’.”

“Susah bacakap dangan orang gila,” kata lelaki ini. “Bacakap lagi pakai bahasa Melay standard.”

(Barangkali maksudnya bercakap dalam bahawa Melayu baku itu gila.)

Apa yang ingin aku katakan kepada lelaki ini hanyalah bahawa sesuatu pekara itu dilakukan bukanlah kerana faedahnya dan sesuatu pekara itu tidak dilakukan bukanlah kerana ia tidak berfaedah (jika kerana faedahnya tentulah setiap orang akan melakukan pekara-pekara yang berdaedah dan seluruh penghuni dunia ini akan bahagia siapa yang mahu melakukan pekara yang tidak berfaedah?). Seseorang itu melakukan sesuatu pekara hanyalah kerana ia diberikan kebebasab memilih untuk melakukannya atau tidak (dan apa saja pilihannya sudah pastilah ia akan dipertanggungjawabkan kemudian). Seseorang itu melakukan sesuatu pekara kerana ia mahu atau dipaksa melakukannya. Aku mencari paksi kewujudan kerana aku mahu mencarinya dan ia tidak ada kena-mengena dengan berfaedah atau tidak berfaedah.

“Susah bercakap dengan orang gila,” kata lelaki ini lagi.

Ia berpaling dan meninggalkanku. Aku mengira-ngira langkahnya. Sepuluh langkah kemudian aku mencapai paksinya lalu kucabut dan kubengkokkan. Lelaki sedikit coklat hitam kulitnya dan berkacamata putih ini hilang keseimbangannya. Ia tersungkur beberapa kali. Aku mentertawakannya dari puncak bukit ini. Paksinya yang sudah ini kujulang-julang ke langit. Paksi yang bengkok ini kuluruskan semula, kupulangkan kepada lelaki sedikit coklat hitam kulitnya dan berkacamata putih dan keseimbangannya pulih semula.

Lelaki sedikit coklat hitam kulitnya dan berkacamata putih berjalan kembali ke arahku. Ia mencium kakiku.

“Tok guru,” katanya, “aku ingin menuntut ilmu.”

Aku suruh ia bermain gasing jauh-jauh. Aku tidak ada masa melayan budak-budak. Tidak ada apa-apa yang hendak kuajarkan kepadanya dan aku bukan Tok Guru. Ia sebenarnya lebih berminat kepada kekuasaan yang boleh menjatuhkan orang lain seperti yang telah kutunjukkkan tadi daripada menuntut ilmu.

Ada kalanya aku merasakan bahawa aku tidak perlu menerangkan apa-apa kepada sesiapa pun tapi ada pula masanya aku mahu menerangkan segala-galanya kepada sesiapa saja dan kurasa tiada sesiapa yang akan faham apa-apa yang kuterangkan samalah juga seperti aku tidak menerangkan apa-apa inilah kelemahan kata-kata barangkali kita perlu bercakap tanpa kata-kata.

“………………………….”

“………………”

“………”

“…”

“..”

“.”

Bagus kaufaham apa yang tidak kukatakan dan aku faham apa yang tidak kaukatakan. Kita sama-sama faham apa yang tidak kita katakan. Orang lain pun faham apa yang sama-sama tidak kita katakan. Kita pun sama-sama faham apa yang orang lain tidak katakan.

Aku nampak pada hari yang panas ini tidak ada burung-burung terbang di udara dan angin pun tidak bertiup, warna bayang-bayang kelihatan lebih hitam atu barangkali mataku yang berpinar-pinar, langit biru seluas-luasnya, di atas bukit ini aku nampak diriku meneruskan usahanya mencari paksi kewujudan dan apabila kakinya terperosok, ia hampir-hampir terjerumus ke dalam lubang gelap tapi ia tidak terkejut ia sempat berpegang pada akar kayu yang terjuntai-juntai dan terus teringat tentang lubang ini yang asalnya sebuah kubu yang dikorek seperti liang lahad semasa perang dunia kedua, di sinilah semasa kecil-kecil dahulu aku pernah bermain-main, di sinilah juga aku membawa gasing-gasing yang telah kurampas dan kubelah, (apakah jadinya gasing-gasing yang kubelah itu sekarang? Apa pula yang terjadi terhadap paksi-paksinya? Setiap yang berputar itu memiliki paksi. Paksi ialah garis lurus yang menembusi pusat satu benda yang berputar = benda tersebut berputar di atas paksinya.) kerana aku tidak sanggup hendak bertahan lama-lama lagi aku melepaskan peganganku dan aku pu menjunam ke bawah lalu mendapati bahawa lubang yang asalnya 4 x 5 x 3 kaki ini sudah bertambah besar dan bertambah dalam mungkin disebabkan erosi yang bertahun-tahun. Semakin jauh aku jatuh ke dalam semakin gelap pendanganku, aku merasakan bahawa aku berada di mana-mana dalam satu masa, seperti sekarang aku berada di sini dan juga di permulaan cerita. Aku nampak kau sedang membaca teks ini. Aku nampak apa yang berlaku di sana sini. Aku nampak gergasi sedang tidur mendengkur berbaring tubuhnya terus membesar dan membesar, air mukanya sentiasa kelihatan tenang, nafasnya terus turun naik dengan teratur, hanya sekali-sekala ia kelihatan seperti hendak terjaga dan ketika itu nafasnya pun seperti satu keluhan yang keluar dari jauh ke dalam dirinya akan menghembus dengan kuat sehingga kain langsir di tepi jendela berdekatan dengan tempatnya tidur ini akan bergoyang-goyang dan aku nampak diriku di dalam lubang ini masih terus jatuh. Aku nampak muka yang tidak pernah kukenali, biji mata yang besar dan mulut yang kumat-kamit mungkin saja ada orang lain membaca ini terlalu dekat mungkin kerana matanya rabun. Di siling, di sebuah kedai kopi, di sebuah kampung, seekor cicak berdecak cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, cak, tanpa putus-putus selama setengah jam lebih. Sebuah rumah terbakar, asapnya naik, hitam dan kelabu. Seorang lelaki mengerang-ngerang belakangnya luka berdarah. Aku nampak gempa bumi sedang berlaku di sebuah negara asing. Ada sebuah lorong, ada seekor kucing hitam, ada anjing menyalak. Ada peperangan berlaku di sebuah negeri. Ada majlis perkahwinan. Aku nampak seorang lelaki menghumbankan bangkai seekor kucing ke sungai yang airnya mengalir deras, di sisinya seorang perempuan remaja. Di satu tempat di bumi ini sebiji benih mulai tumbuh. Ada kebakaran ladang di tempat lain. Ada daun kering jatu dari sepohon pokok. Aku nampak kelahiranku, aku nampak kematianku dama masa yang sama. Aku nampak bintang-bintang dan cakrawala di langit. Aku nampak seorang wanita berambut ikal berdahi luas terjun dari sebuah tingkap bangunan tinggi. Seekor singa memakan seekor kuda belang. Di sini aku nampak segala-galanya tidak ada dahulu, sekarang atau akan datang. Di dalam sebuah bangunan seorang kerani naip tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak, tak tanpa henti-hentinya sehingga ia jatuh pengsan. Masa, kejadian dan tempat berputar-putar mengelilingiku. Aku nampak diriku melompat ke tengah-tengah gelanggang sebaik-baik saja gasing yang berpusing-pusing menampakkan paksinya, “Hoi!” “Hoi!”, tapi sudah terlambat atau ini masih terlalu awal kerana aku belum lagi dilahirkan di bumi ini dan belum lagi berminat pada benda-benda yang berpusing-pusing dan belum lagi berminat pada paksi-paksinya dan peristiwa hoi-hoi ini belum terjadi lagi, sekarang aku tahu bahawa aku tidak jatuh, bahawa aku tidak bergerak, bahawa aku tidak ke mana-mana sejak dari awal cerita ini lagi tapi aku berada di mana-mana selama aku berada di sini, di dalam lubang ini, dan di sini aku nampak orang sedang mencari-cariku sambil mereka memanggil-manggil namaku, kemudian aku nampak mereka melakukan kerja-kerja lain seolah-olah mereka tida pernah mencari-cariku dan memanggil-manggil namaku, kemudian seorang demi seorang mereka menjadi tua lalu mati, barangkali aku sudah lama di sini, seratus tahun yang juga kosong saat memegang paksi kewujudan ini.

Pastilah sekarang aku di sini memegang paksi kewujudan ini dan berada di mana-mana dan pada kosong saat.

TAI

Bahana Sept 1995

AKU SELALUmimpi helai-helai kertas haribulan jatuh dan langit. Mula-mula helai-helai kertas haribulan ini kelihatan kecil, kemudian semakin mendekat dan mendekat ke mukaku ini, besar dan membesar gugur ke atasku, semakin banyak dan bertambah banyak dikuti oleh bunyi tik tok tik tok. Bunyi tik tok tik tok ini juga mula-mula kedengaran halus kemudian semakin besar mencapai seribu desibel. Aku tertirnbus dan lemas. Waktu inilah aku akan terbangun berpeluh-peluh.Aku berhenti kerja. Mulai sekarang aku akan melakukan sesuatu untuk diriku. Aku membuka lilitan taiku lalu membuangnya ke sungai. Tanpa tai ini leherku terasa lapang – selesa – aku boleh batuk, ketawa atau sebagainya dan tidak perlu serius sangat. Memakai tai sudah menjadi budaya pejabat – ia termasuk dalam kategori berpakaian kemas dan bertamadun. Ia dibawa ke mari oleh orang eropah pada kurun ke sembilan belas semasa mereka berlumba-lumba meluaskan jajahan dan menambah kekayaan. Sekarang kerja mereka sudah selesai, mereka pergi dan tinggalkan kita tai. Jam tangan juga kubaling ke sungai yang airnya jernih dan bersih – tepat jam sembilan pagi aku sempat menengok jam ini sebelum membuangnya. Aku tidak perlu lagi terlalu melihat-lihat jam tangan ini (sudah mustahil untuk kulakukan lagi kerana jam tanganku sudah tidak ada). Sekarang sungai tercemar oleh tai dan jam tanganku. Ia bukan jam tangan mahal sangat dan tai itu pula sudah dua puluh tahun kupakai. Kawan-kawan pernah menasihatkan supaya aku membeli tai baru tapi aku tidak ada masa. Sekarang aku ingin jadi manusia yang tidak perlu sangat memikirkan tentang waktu atau barangkali biarkan waktu memikirkan tentang diriku (jika waktu boleh melakukannya). Ini bukanlah suatu keputusan besar (walupun ini keputusan kecil namun aku mengucapkan tahniah juga untuk diriku – maklum saja pertama kali di dalam hidupku aku melakukan sesuatu untuk diriku dan aku pula cumalah orang kecil yang selama ini tidak ada masa untuk diri sendiri (sehingga untuk kahwin pun aku tidak ada masa – tidak ada masa untuk mencari wang lebih – kawan-kawan pernah juga menasihatkan jika hendak kahwin berhutang saja di bank seperti membeli kereta – jika tidak terbayar kereta/isteri kena tarik. Aku bukan pintar sangat tapi aku kira ini bukanlah nasihat yang baik. Jika aku kahwin (ini bukan iklan diri tapi tak apa ini ikian diri) aku akan mengasihi isteriku dan tidak akan membenarkan bank rnenariknya seperti sebuah kereta – jadi aku tidak akan berhutang dan memang selama ini aku tidak pernah berhutang – aku hidup juga). Hampir-hampir keseluruhan masaku adalah untuk orang lain – aku sendiri tidak tahu siapa pula orang lain ini – yang ada cuma arahan bertaip di atas kertas yang mesti ditunaikan dalam masa-masa ditentukan, tugasku menyelesaikan arahan ini bukan mencari dari siapa ia datang – banyak tanya banyak soal ini kerja orang di atas, di sebelah bawah kertas arahan ini ada tandatangan berlingkar-lingkar yang entah selalu saja mengingkatkan aku pada cacing-cacing halus.

Hampir-hampir setiap orang kulihat memakai jam tangan – tentulah ini bukan urusanku. Mereka berjalan lurus dan hanya memandang ke depan. Kita pun sudah tahu bahawa jalan lurus jalan terdekat dan tercepat untuk sampai ke satu tujuan dari A ke B misalnya. Aku mengelak dari terpijak najis anjing. Najis anjing (atau mungkin saja najis binatang lain) sudah pun lecek dipijak mungkin oleh orang-orang berjalan lurus ini, jika sudah menjadi tabiat berjalan lurus-lurus, najis anjing pun kita tidak akan peduli lagi. Selama ini aku selalu tertanya-tanya pada diri sendiri dari mana datangnya bau tahi anjing – kerana bau ini selalu saja ada di mana-mana. Di ofis paling bersih pun ada baunya. Sekarang aku tahulah siapa punya angkara. Orang berjalan lurus-lurus inilah membawanya ke mana saja mereka pergi. Mungkin juga aku pernah terpijak najis anjing ini dan membawanya kerana aku juga dulu termasuk orang sibuk dan berjalan lurus-lurus dari A ke B. Sejak dari pukul sembilan tadi aku sudah tidak lagi termasuk golongan orang sibuk berjalan lurus-lurus dari A ke B. Aku sudah membuat keputusan jadi orang bebas – merdeka – berjalan-jalan dari A ke nombor sepuluh dari nombor sepuluh ke nun.

Semasa berjalan-jalan bebas ini tiba-tiba datang dua orang lelaki berbadan tegap meminta maaf sambil memayok kedua-dua belah tanganku. Aku terasa sakit memanjang dari otot lenganku menuju ke bahuku. Mereka berdua juga memakai jam tangan. Mereka mengheretku lurus menuju ke sebuah bangunan tinggi. Baru saja kelmarin ada orang terjun atau mungkin saja terjatuh atau ditolak dari tingkat teratas bangunan ini – sebuah bangunan berumur hampir-hampir enam puluh tahun. Jendela bangunan ini tidak pula banyak. Jendela-jendela ini pula berada di tingkat paling atas – barangkali supaya senang orang terjun. Dijamin mati jika terjun dari tingkat teratas ini. Aku kira orang yang terjun atau mungkin terjatuh atau mungkin ditolak kelmarin tidak merasa sakit – terus saja mati ketika menghepap simin di bawah ini. Pap! Habis pekara. Siapa tahu mungkin perjalanan jatuh lurus ke bawah, rambut dan pakaian berkibar-kibar, sesuatu yang menyeronokkan pula. Jika andaianku ini benar tentulah ia mati dengan gembira. Aku tidak keberatan mati dengan gembira – gembira sekurang-kurangnya aku telah menggunakan masa untuk diriku bukan untuk orang lain. Aku kira semua orang mahu mati dengan gembira. Mati dengan senyuman lebar. Mengikut suratkhabar pagi ini orang tersebut tidak mernakai jam tangan tapi ia tidak menyatakan ia mati dengan gembira. Tentu saja ketika ini terfikir olehku mereka akan membawaku naik ke tingkat atas untuk ditolak ke bawah. Untuk mati – aku juga tidak memakai jam tangan walaupun tidak ada undang-undang atau peraturan mengatakan tidak memakai jam tangan ini satu jenayah (kerana ada undang-undang bertulis ada pula tidak). Mereka mengheretku masuk ke dalam lif. Lelaki di sebelah kananku atau mungkin saja di sebelah kiri memberitahu bahawa mereka (entah siapa-siapa) tahu segala-galanya tentang diriku. Mereka tahu apa yang aku sendiri tidak tahu tentang diriku. Jadi aku pun memberitahu mereka bahawa aku merasa berbesar hati kerana bagi orang yang tiada apa-apa sepertiku diberi perhatian seperti ini walaupun dengan cara kurang menyenangkan ini tetaplah juga ia satu penghormatan. Selama ini aku hidup yang jika aku mati tiada siapa tahu dan aku memberitahu mereka bahawa aku baru saja berhenti kerja kerana aku mahu menghilangkan dirika – jadi orang kabanaran atau seumpamanya – tiada sesiapa (setahuku) mahu memberikan perhatian kepadaku kecuali jika mereka ada hajat yang aku dimestikan menunaikannya.

“Susah,” kataku, “kalau kita tidak berwibawa tiada sesiapa yang hendak memberikan perhatian.”

“Bukan masalah kami,” kata lelaki di sebelah kiri atau mungkin di sebelah kanan. Lelaki entah di sebelah mana bertanyakan waktu, “Pukul berapa sekarang?” Tanganku dipayok ke belakang kuat-kuat sambil meminta maaf kerana ia cuma menjalankan tugas.

“Pukul berapa?”

“Pukul sembilan, empatpuluh minit tiga puluh lima suat.”

“Tidak betul!”

“Pukul berapa?”

Agaknya ia sudah tahu pukul berapa.

Lif terasa seperti tidak bergerak – kemudian ting pintunya terbuka. Entah ini tingkat ke berapa. Di dinding koridor tingkat ini terpasang beberapa device elektronik berukuran kira-kira 1.5 m panjangnya dengan lilitan kira-kira 120mm. Setiap kali kami bergerak benda ini ikut bergerak ke arah kami seolah-olah sedang melakukan penelitian. Pada hujung sebahagiannya ada benda seperti mata dan pada sebahagian lain ada benda seperti telinga. Sekarang tanganku digari ke belakang dan aku ditolak keluar – mereka meminta maaf lagi kerana menjalankan tugas. Mereka menerima arahan untuk berlaku kasar – ini termasuk dalam pekerjaan mereka dan mereka menerirna gaji setiap bulan untuk ini, seorang dari mereka menerangkan.

“Kami digaji untuk bersikap kasar,” kata yang seorang lagi. “Kami ada keluarga dan anak-anak untuk diberi makan.”

“Rezeki halal,” kataku.

Aku pula masih bujang. Tiada siapa-siapa hendak diberi makan kecuali diri sendiri dan tentulah aku merasa tidak keberatan diperlakukan dengan kasar. Mereka kelihatan tidak tertarik dengan peneranganku ini. Mereka sudah tahu agaknya. Seorang dari mereka menghampirkan mulutnya ke telingaku – entah telinga kiri atau kanan, aku sudah tidak peduli sekarang ini – tapi sebuah dari device elektronik berbentuk telinga di hujungnya tiba-tiba menghampiri kami, menyelat-nyelat antara mulut lelaki ini dengan telingaku. Lelaki ini kemudian tidak jadi hendak melakukan apa yang hendak dilakukaunya tadi, mungkin ia hendak membisikkan sesuatu. Ia menarik muncung mulutnya dari telingaku kemudian menempeleng mukaku. Peng! Berdengung telingaku.

Ia meminta maaf selepas ini – dan mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih,” katanya seolah-olah baru sebentar tadi ia tidak menempelengku.

“Sama-sama,” kataku, “aku merasa penting diberi perhatian seperti ini.”

Secara ikhlas aku merasa seperti berbakti – sekurang-kurangnya anak bininya dapat terus makan dan hidup. Aku dibawa masuk ke sebuah bilik berbentuk tiga segi dan diperintahkan duduk di satu penjuru menghadap sebuah dinding kosong. Di sini aku disuruh menyain belakang sekeping kad plastik yang tertulis namaku di depannya juga ada nombor yang panjang yang tidak mungkin aku dapat menghafalnya. Duduk di penjuru ini sekurang-kurangnya aku yakin tidak ada sesiapa akan menyerangku dari belakang dan tepi. Segala kemungkinan hanya akan datang dari depan juga dari atas tapi tidak mungkin ada sesiapa yang akan datang dari sinta – tidak ada pintu – tidak ada tangga di sinta). Dan memang dari depan juga datangnya lima orang lelaki bersongkok seorang darinya sudah agak tua memimpin seorang perempuan sederhana cantiknya yang rasanya aku tidak keberatan untuk menjadikannya isteri.

Orang tua ini duduk di depanku dan menjabat tanganku dengan kedua-dua belah tangannya, tegap-tegap, sambil ia melafaskan kata-kata ijab – ternyata perempuan sederhana cantiknya yang rasanya aku tidak keberatan untuk menjadikannya isteri ini anaknya yang mataku tidak dapat kualihkan ke arah lain lagi sambil melafazkan kata-kata kabul. Orang tua ini pun menaulih ke arah lelaki-lelaki lain.

“Sah?”

“Sah!” kata mereka serentak.

Maskahwinnya lima ratus ringgit hutang.

Mereka meminta kad plastik yang baru saja kusain tadi. Agaknya inilah kad kridit caj yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang senang hidupnya. Setelah melakukan apa-apa yang perlu mereka lakukan dengan kad ini – menyuruh aku menyain sekeping resit – mereka pun mengembalikannya. Seorang dari mereka menerangkan kepadaku apa yang sebenarnya sudah kuketahiri bahawa seorang suami seharusnyalah bekerja untuk nafkah isteri dan bakal anak-anak nanti dan untuk membayar hutang. Seorang dari mereka bangun melilitkan sehelal tai ke leherku sambil menerangkan bahawa kebetulan di sini ada kerja yang baru kelmarin dikosongkan. Tentulah aku tidak berupaya menolak pekerjaan ini memandangkan aku sudah ada tanggungjawab sebagai suami pengasih kepada seorang isteri yang bakal memberikanku anak-anak walaupun sekarang ini zaman isteri-isteri bekerja mencari nafkah juga, kewajipan itu kewajipan juga, di samping sekarang aku sudah berhutang lima ratus ringgit, dan seminit kemudian dari depan datang lagi lirna orang lelaki bersongkok seorang darinya sudah agak tua tapi muda sedikit dari yang tadi memimpin seorang perempuan sederhana cantiknya yang rasanya aku tidak keberatan untuk menjadikannya isteri dan aku diijab-kabulkan lagi, maskahwinnya lima ratus ringgit hutang dibayar dengan kad kridit caj, dan kali ini betul-betullah aku tidak berupaya menolak pekerjaan ini memandangkan tanggungjawabku sebagai suami pengasih lagi adil kepada dua orang isteri dengan hutang seribu ringgit dan tepat seminit kemudian dari depan datang lagi lima orang lelaki bersongkok seorang darinya sudah agak tua tapi muda sedikit dari yang kedua tadi memimpin seorang perempuan sederhana cantiknya yang rasanya juga aku tidak keberatan untuk menjadikannya isteri dan perempuan ini lebih muda dari dua perempuan yang sudah menjadi isteriku dan aku diijab-kabulkan lagi, maskahwinnya lima ratus ringgit hutang dibayar dengan kad kridit caj, dan kali ini betul–betullah aku tidak berupaya menolak pekerjaan ini memandangkan tanggungjawabku sebagai suami pengasih lagi adil saksama kepada tiga orang isteri dengan hutang seribu lima ratus ringgit dan tepat seminit kemudian dari depan datang lagi lima orang lelaki bersongkok seorang darinya sudah agak tua tapi muda sedikit dari yang tiga orang tadi memimpin seorang perempuan cantik yang rasanya aku tidak keberatan untuk menjadikannya isteri dan perempuan ini lebih cantik dan lebih muda dari tiga perempuan yang sudah menjadi isteriku dan aku diijab-kabulkan lagi.

“Sah?”

“Sah!”

Maskahwinnya lima ratus ringgit hutang dibayar dengan kad kridit caj. Dan sekarang ini betul-betullah aku sudah terjerat dan tidak berupaya menolak pekerjaan ini memandangkan tanggungjawabku sebagai suami pengasih lagi adil saksama tidak berbelah bahagi kepada empat orang isteri yang bakal memberikanku berpuluh-puluh orang anak dengan hutang dua ribu ringgit. Selesai semua ini datanglah pula orang ramai entah dari mana setiap orang membawa bungkusan bungkusan hadiah yang serupa saja besarnya. Orang-orang ini pun kelihatannya serupa saja. Bungkusan-bungkusan hadiah ini mereka letakan di depanku (sudah semestinyalah) kerana mereka hanya boleh berada di depanku di bilik tiga segi ini dan mereka pun hanyalah boleh datang dari depanku belum ada dari atas atau dari sinta. Bungkusan-bungkusan hadiah ini terlonggok empat meter tingginya membentuk seperti piramid. Orang ramai yang entah dari mana ini bersesak-sesak tidak mahu keluar, tersenyum-senyum (aku agak hairan juga memandang mereka masih mampu tersenyum-senyum – barangkali mereka digaji untuk senyum-senyum – bagaimanapun rasanya tersenyum-senyum tidaklah menyalahi mana-mana undang undang dan peraturan bertulis atau tidak bertulis) – sekali lagi entah apa yang mereka mahu. Seorang dari isteriku, aku tidak pasti isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat, membisikkan di telingaku menyuruhku membuka kotak-kotak hadiah ini, di samping aku sendiri sebenarnya juga ingin tahu apakah agaknya hadiah-hadiah yang banyak ini. Inilah kali pertama aku menerirna hadiah. Aka mengucapkan terima kasih berulang-ulang. Sekarang baru aku tahu bagaimana rasanya menerima hadiah – hadiah yang sebanyak ini pula. Seronok, gembira dan menyenangkan. Aku mencapai sebuah kotak yang terdekat lalu mengoyak bungkusannya, krik, membuka tutup kotaknya. Isinya sepasang tai. Aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lain membukanya. Isinya sepasang tai juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga Aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lain membukanya. Isinya sepasang tal juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lain membukanya. Isinya sepasang tai juga aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga. Aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya. Isinya sepasang tai juga. Sekarang aku yakinlah kotak-kotak hadiah ini kesemuanya berisi tai. Setiap kali aku mengeluarkan sepasang tai dari dari kotak hadiah setiap kali orang ramai bersorak.

“Tai!Tai’.”

“Tahniah!”

“Tai!Tai!”

“Tahniah!”

“Tai!Tai!”

“Tahiniah!” aku terdengar ada orang tersalah sorak atau mungkin saja ia senghaja – entah apa yang sedang difikirnya ketika itu. Antara “tahniah” dan “tahi-ni-ah!” tentulah jelas bezanya tapi mungkin saja kerana terlalu letih menyebut “tahniah” berulang-ulang lidahnyanya tersasul. Mujur tiada undang-undang (bertulis atau tidak bertulis) yang menyatakan ini satu jenayah. Tapi juga mungkin aku silap kerana aku terlihat seorang lelaki yang tidak memakai jam tangan diheret keluar dari bilik tiga segi ini – entah mungkin ia akan ditolak keluar jendela di tingkat teratas. Mudah-mudahan matinya gembira, rambut dan pakaiannya berkibar-kibar, jatuh lurus ke bawah – pap! – habis, tidak sakit, tidak apa-apa. Aku menghadiahkannya bacaan Al-Fatihah.

Sekarang tai berlonggokan di kelilingku – barangkali sudah seribu pasang kukeluarkan dari kotak-kotak hadiah ini. Dengan mata mengantuk separuh buka aku mencapai lagi sebuah kotak lalu membukanya dan pastilah isinya sepasang tai juga. Sorakan kedengaran lebih gemuruh dari yang sudah-sudah dan beberapa orang berlompatan menyalami tanganku – yang lain ikut serta menyalami tanganku berganti-ganti sehingga aku terpaksa meletakkan tangan kananku ini di atas meja kerana terlalu sengal dan letih, mereka pun menyalami tangan kananku yang ampai-ampai di atas meja ini sambil mengucapkan tahniah, tanniah, tahniah, tahniah, tahniah, tahniah, tahniah, tahniah, tahniah, taahiah, tahniah, talmiah, tahniah, tanniah, talmiah, tahniah, tahniah, taimiah, tanniah, tahniah, tahniah, tanniah, tahniah, tahniah, taliniah, talmiah, tahniah, tahniah, tahniah, tahniah, kata tahniah yang berulang ulang ini mejadikan mataku lebih mengantuk dan aku sudah tidak terdaya lagi membalasnya dengan ucapan terima kasih dan hadiah-hadiah ini mencair dan perlahan-perlahan bertukar menjadi helai-helai kertas kalendar terburai jatuh dari langit mula-mula kecil, semakin besar dan membesar dan semakin banyak, nombor satu hingga tiga puluh satu tercetak di atas helal-helal kertas ini, jatuh ke atasku sehingga aku tertimbus dan lemas tenggelam di dalam cecair (mungkin dawat cetak) yang berwarna hitam, dan orang-orang ramai ini sudah tidak lagi mengucapkan tahniah tapi sekarang mulut dan bibir mereka bergerak-gerak mengeluarkan bunyi tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok tik tok yang mula-mula kedengaran halus kemudian besar mencapai seribu desibel dan mulut dan bibir ini bergerak semakin cepat dan cepat, semakin dekat dan semakin besar, tiktoktiktoktiktoktiktoktiktoktiktoktiktoktiktoktiktok, aku tersedar berpeluh – rupa-rupanya bukan tai yang kukeluarkan dari kotak hadiah ini tadi tapi sepasang jam tangan. Sekarang tanganku masih lagi dan terus disalarni. Tidak cukup tangan kanan orang-orang ini menyalarni tangan kiriku pula. Barangkali mereka mahu menyelesaikan ucapan tahniah ini secepat munakin. Ucapan tanniah perlu juga sudahnya, banyak urusan lain hendak dibuat.

“Tah-ni-ah,” orang penghabisan mengucapkanya perlahan dan hati-hati barangkali ia takut.

Di bilik ini tinggal kami berlima (aku dan empat orang isteri) berserta longgokan tai dan sepasang jam tangan. Aku melekapkan jam tangan in ke telingaku tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik tik. Aku melihat jam tangan ini – tepat pukul empat petang – tujuh jam selepas aku berhenti kerja membuang jam tangan dan taiku ke sungai yang jernih airnya.

ADA YANG TIDAK BETUL DENGAN JIRAN SAYA

Bahana Januari 1996

Sudah lama saya tinggal di kampung ini – sudah lapan tahun: jiran saya lebih lama lagi kerana mereka sudah ada di sini semasa saya pindah ke mari. Rumah saya menghadap ke arah 290o53′ 52″ mata kompas – memang senghaja didirikan menghadap ke arah kiblat. Rumah jiran saya berada di sebelah kiri – di sebelah kanan tidak ada rumah sepanjang setengah kilometer – di sebelah kiri selepas rumah jiran saya juga tidak ada rumah sepanjang setengah kilometer. Depan rumah jiran saya ini menghadap ke rumah saya. Rumahnya ini dikelilingi oleh pagar simen setinggi 1.8 meter di atas keluasan tanah 0.2 hektar. Dari jendela sebelah kiri ini saya dapat melihat ke halaman rumah jiran saya – halaman ini terletak di sebelah kanan; di kiri dan kanan luar pintu pagar ada pokok kemboja yang lebat bunganya. Tidak ragu lagi mereka juga boleh melihat saya melihat ke halaman rumah mereka – saya melihat anak-anaknya yang masih berumur di antara lima ke dua belas tahun bermain-main (?) – mereka kesemuanya kelihatan serius – jika ingatan saya betul, saya tidak pernah mendengar kanak-kanak ini ketawa semasa bermain-main.Selama lapan tahun tinggal di sini – anak saya sudah ada enam orang – ketika bermain mereka ini selalunya ketawa (seperti biasanya kanak-kanak). Sekarang saya melihat ke luar dari jendela sebelah kiri ini – anak-anak jiran saja yang kecil-kecil ini semuanya berpakaian serba hitam. Mereka sedang megesat mata dengan perca hitam. Pastilah mereka sedang menangis. Kelmarin kira-kira pukul sepuluh malam saya terdengar ada raungan dari rumah mereka diikuti oleh tangisan anak kecil. Raungan ini kemudian makin menjadi-jadi. Benar-benarlah mereka menangis agaknya.

Kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku – pertama kali ialah setahun selepas saya pindah ke mari. Ketika itu cepat-cepatlah saya pergi ke rumah jiran saya ini kerana saya pasti ada orang meninggal dunia. Raungan seperti ini hanya layak untuk orang mati (walaupun ugama kita sebenarnya melarang meratapi orang mati seperti ini). Menghadiri kedukaan kita tidak perlu diundang – apalagi saya sebagai jiran – saya terus masuk ke rumahnya – mereka yang saya nampak semuanya berpakaian serba hitam dari anak kecil hinggalah ke orang dewasa dan tua. Mereka menangis meraung dan mengesat air mata dengan perca berwarna hitam. Pastilah ada orang mati. Saya masuk (dengan pakaian berbunga-bunga dan berwarna-warna kerana pakaian seperti ini yang saya sekeluarga biasa pakai) dan bertanya jika ada apa-apa yang boleh saya bantu. Mereka menggeleng-gelengkan kepala. Prooob! Seorang daripada mereka menghembuskan hidung ke dalam perca hitam. Saya bertanya lagi dengan penuh sopan (tentunya) jika ada apa-apa yang saya boleh bantu.

“Tidak ada apa-apa yang boleh kita buat,” kata jiran saya. “Tidak ada apa-apa yang boleh kita bantu.”

Jiran saya ini menangis lagi. Tangisnya lebih dari orang lain. Ia meniupkan hidung ke dalam perca hitam – Proob! Kemudian ia mengambil perca hitam baru dari atas meja di tengah-tengah ruang. Perca-perca hitam baru berlipat dan tersusun di atas meja ini. Benar-benarlah mereka sudah bersedia untuk menangis.

“Isteri saya melahirkan anak,” kata jiran saya.

“Isteri abang selamat?” saya bertanya. Saya membahasakannya abang kerana ia kelihatan lebih tua daripada saya tetapi tidak pula tua untuk menjadi bapa saya.

“Isteri saya selamat,” katanya.

“Anak abang?”

“Juga selamat,” ia menangis dan meraung – yang lain juga ikut meraung.

“Ada apa-apa yang boleh saya buat?” saya bertanya lagi.

Jiran saya memberikan saya perca hitam. Saya menengok-nengok perca hitam ini. Betul-betul hitam perca ini.

“Menangislah,” kata jiran saya. “Bantulah kami menangis.”

Tentulah saya tidak dapat menangis tanpa alasan yang munasabah.

Saya pulang ke rumah dengan kepala yang sedikit bingung dan pening. Hal jiran saya ini saya ceritakan kepada isteri saya yang sudah pun tertunggu-tunggu di dapur – ia sudah bersedia untuk ke sebelah.

“Ada yang inda lurus dangan jiran kitani atu,” ujar isteri saya.

Saya yang jarang bersetuju dengan pendapat isteri (walau bernas sekalipun pendapatnya itu – mengapa kita lelaki mesti tunduk kepada pendapat isteri?) kali ini bersetuju – ya, ada yang tidak betul dengan jiran saya itu. Saya pun melarang anak-anak saya berkawan dengan anak-anak jiran saya. Saya katakan kepada mereka ada yang tidak betul dengan anak-anak jiran kita. Mereka pun selalu beringat-ingat sesama sendiri: “Ada yang inda lurus dangan anak-anak jiran kitani.”

Tetapi kadangkala mereka berkawan-kawan juga dengan anak-anak jiran saya. Mereka masih kanak-kanak, sukar untuk terus dilarang-larang – selalu saja lupa pesanan orang tua. Saya pun semasa kecil seperti mereka – apa yang dilarang akan saya buat – apa yang disuruh kadang-kadang saya buat tetapi selalunya saya tidak buat. Dari jendela sebelah kiri ini saya melihat mereka bermain-main basikal di halaman rumah jiran saya – anak-anak saya bermain basikal dengan gembira ketawa dan sebagainya – anak-anak jiran saya juga bermain basikal tetapi dengan serius. Tidakkah anak-anak jiran saya ini pandai ketawa – ini selalu saya tanyakan kepada diri saya. Sepatutnya saya tanyakan ini kepada jiran saya itu.

“Anak-anak sabalah atu – inda pandai katawakah?” saya bertanya kepada anak-anak saya.

“Inda pa,” jawab anak saya yang tua.

“Ada yang inda lurus dangan anak-anak jiran kitani atu,” kata saya kepada anak-anak saya.

Dari jendela sebelah kiri ini (tentulah juga mereka selalu memerhatikan saya memerhatikan mereka) mula mengesan bahawa orang-orang tua yang berkunjung (tentulah ahli-ahli keluarganya) ke rumah sebelah sentiasa kelihatan gembira – ini terbukti dengan cara mereka tertawa – lepas dan besar. Tawa seperti ini tentulah kurang saya senangi. Semakin tua yang datang itu semakin besar dan gembira tertawanya (seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya). Terus-terang saya katakan di sini saya berpendapat bahawa orang-orang tua sudah semestinya mengurangkan tertawa, mereka sepatutnya lebih kepada mengingati mati. Jika kautanya kepada saya – saya akan katakan tidak ada lucunya tentang mati. Adakah kau akan tertawa kalau kau ingat bahawa tidak lama lagi kau akan mati dan dikuburkan 4 meter ke dalam tanah – terperangkap di dalam lubang kecil dan gelap untuk selama-lamanya (sehingga hari kebangkitan)? Aku kira ini tidak lucu!

Betullah, ada yang tidak betul dengan jiran saya! Saya tidak suka anak-anak saya berkawan dengan anak-anaknya tetapi kanak-kanak mempunyai semangat kebebasan – free spirit. Apa yang dapat saya lakukan sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab membesarkan anak-anak di dalam suasana yang normal berhadapan dengan free spirit ini dan dengan jiran yang tidak normal apabila pada satu hari anak saya pulang dari bermain-main di sebelah membawa kad jemputan.

“Pa, orang sabalah atu menjamput datang malam ani,” kata anak saya sambil menghulurkan kad jemputan. Inilah pertama kali saya dijemput ke rumahnya – kalau ada apa-apa majlis selalunya saya tidak dijemput. Saya merasa tersinggung juga apabila ia mengadakan majlis sama ada suka atau duka dan saya tidak dijemput – jadi saya pun akan berdiri di jendela sebelah kiri ini memerhatikan jemputan-jemputannya hadir seolah-olah mengumumkan bahawa saya yang sepatutnya dijemput tetapi tidak dijemput. Sehingga selesai majlis tidak ada orang atau wakil yang datang menjemput saya. Sebagai jiran saya tidak pernah gagal menunaikan haknya – setiap kali saya mengadakan majlis saya akan menjemputnya – ialah yang mula-mula saya jemput. Selalunya ialah yang paling awal datang – tetapi kedatangannya hanyalah untuk mengatakan bahawa ia dan keluarga tidak dapat datang.

Inilah pertama kali saya dijemput ke rumahnya, ini satu pertanda yang baik – barangkali mereka sudah menjadi normal.

Majlis bermula pada pukul lapan setengah malam menurut yang tercatat dalam kad jemputan. Majlis untuk apa tidak pula dinyatakan. Pakaian: kasual. Muzik yang besar dan riang sudah mula kedengaran sejak dari pukul empat petang – dan terdengar pula suara orang tua sedang berkaroake. Tentulah mereka meraikan seorang tua kerana di rumah sebelah ini hanya orang-orang tua yang kelihatan sentiasa gembira. Para jemputannya sudah mula datang dari pukul empat setengah petang. Dari jendela sebelah kiri ini saya hitung bilangan mereka – saya tidak pernah tersalah hitungan sejak perniagaan pisang saya lingkup enam tahun dahulu apabila saya tersalah hitung – cuma lima puluh lima orang sahaja. Tentulah mereka ini terdiri darpadai ahli-ahli keluarganya. Ada yang tua ada yang muda dan juga kanak-kanak. Pakaian mereka berwarna-warni dan berbunga-bunga. Mereka semuanya kelihatan gembira kali ini. Malah kanak-kanaknya juga kelihatan gembira – sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Saya menyuruh isteri dan anak-anak saya supaya bersedia.

“Pakai baju lawa-lawa,” kata saya. Oleh kerana waktu masih awal lagi saya memberikan wang seribu ringgit kepada isteri saya. Saya suruh ia ke pusat kecantikan di bandar – ia sudah begitu lama kelihatan seperti suri rumahtangga. Sekaranglah waktunya untuk merubah penampilannya. “Hias diri atu, bali pakaian baru dan sanang-sanangkan hati!”

Tidak pernah saya memberi wang sebanyak ini sebelumnya. Isteri saya nampak tersenyum-senyum. Ia pergi membawa anak-anak dan juga orang gaji.

Saya sendiri akan mandi terlebih dahulu. Memang menjadi kebiasaan saya mandi lama-lama apalagi jika hendak menghadiri sesuatu majlis. Saya tidak mahu diumpat mempunyai bau badan yang busuk atau sebagainya yang negatif – tidak baik untuk reputasi diri. Saya mulakan mandi dengan berkumur-kumur dan memberus gigi sementara menanti air mandi hangat sedikit. Mandi berendam dengan air hangat membuka rongga-rongga kulit. Selepas memberus gigi mempastikan tidak ada sisa-sisa makanan menyangkut di celah-celah gigi dan mempastikan bau mulut wangi barulah saya membuka paip air untuk memenuhi kolah mandi. Sementara menunggu kolah penuh saya akan mengusai misai dan janggut menggunting atau mencukur mana-mana yang perlu. Kemudian saya akan membersihkan kuping telinga dan mengorek lubangnya dengan pengorek kapas. Sekarang sudah sampai masanya untuk saya melakukan pekara utamanya – mandi berendam di dalam air hangat. Setiap orang mesti mandi walau apa pun pegangan atau falsafah hidupnya. Setiap orang mesti mandi terutama sekali sebelum menghadiri apa-apa majlis – di setiap kad jemputan harus ditulis: mandi dahulu sebelum datang. Saya menuangkan bubble bath yang wangi secukupnya ke dalam kolah dan mengacau-ngacau airnya sehingga timbul buih yang banyak. Saya masuk ke dalam kolah merendamkan diri saya sehingga ke pangkal leher. Selama tidak kurang daripada lima belas minit saya berendam dengan mata yang pejam. Apabila saya rasa rongga-rongga kulit saya sudah terbuka oleh air yang hangat saya mula menggosok-gosok badan melurutkan segala daki di setiap pelipatan anggota. Perhatian yang berat saya tumpukan kepada sebelah belakang kuping telinga – di sinilah orang selalunya cuai. Kalau kau terjumpa orang yang bersih dan harum badannya jangan kaupercaya dahulu sehinggalah kau memeriksa belakang kuping telinganya – sembilan puluh sembilan peratus kau akan dapati belakang kuping telinganya berdaki. Melurutkan daki dari tubuh badan ini mengambil masa tidak kurang dari setengah jam. Ada yang tidak betul dengan diri saya? Saya sedar apa yang saya lakukan. Tentunya kau akan mengatakan mandi berjam-jam seperti ini sesuatu yang tidak normal – satu usaha membasuh dosa yang enggan tanggal barangkali (Will all great Neptune’s ocean wash this blood clean from my hand? No, this my hand will rather The Multitudinous seas incarnadine Making the green one red – A little water clears us of this deed – all the perfume of Arabia will not sweeten this little hand. Oh, oh, oh!). Saya suka mandi berjam-jam, membasuh dan membersihkan diri. Saya juga suka Shakespeare. Tidak menjadi kesalahan kita memberi ruang untuk diri kita melakukan sesuatu di luar batas-batas kebiasaan asalkan ia tidak menyakiti orang lain – seperti mandi berjam-jam ini. Tidak ada yang tidak betul dengan diri saya! Dalam konteks ini barangkali bolehlah saya memberi ruang kepada jiran saya – apalagi ia sudah menjemput saya hadir ke majlisnya: Tidak ada yang tidak betul dengan jiran saya. Saya akan pastikan isteri dan anak-anak saya mengetahui pendapat saya ini. Saya akan beritahu mereka tidak ada yang tidak betul dengan jiran kita. Sepatutnya saya awal-awal tidak bersetuju dengan pendapat isteri saya! Tengoklah inilah yang terjadi apabila kau bersetuju dengan pendapat isteri! Saya menyudahkan mandi saya dengan menyiram air sejuk ke seluruh badan. Segar.

Fikiran saya tenang dan perasaan saya berdamai dengan jiran sebelah. Barangkali kau betul dan perbuatan saya mandi berjam-jam ini (dua jam sebenarnya) sebagai satu cara saya membasuh diri (dari salah anggap terhadap jiran saya selama ini).

Tidak ada yang tidak betul dengan jiran saya.

Bunyi muzik dari sebelah semakin nyaring dan riang.

Isteri, anak-anak dan orang gaji saya belum pulang-pulang lagi barangkali mereka cuba menghabiskan seribu ringgit yang telah saya berikan atau mungkin ada traffic jam. Semua jalan raya di BSB sedang diperbaiki – (buka siap buka?) – negara sedang membangun. Atau mungkin mereka pergi menengok wayang pula – isteri saya memang suka menengok wayang – ia suka pada layar yang lebar dan besar. Saya sendiri tidak pula suka menengok wayang – kalau mahu pun cukup dengan menonton pita video di kaca tv yang berukuran 40 sentimeter x 30 sentimeter. Pukul tujuh setengah isteri saya menelefon mengatakan bahawa mereka tidak akan dapat balik sekarang kerana traffic jam yang teruk di Bandar Seri Begawan – susah mahu keluar. Semua jalan raya ditutup dan kawasan bandar dipagar dan dikawal oleh polis.

“Ada kontrektor tajumpa lombong amas di tangah-tangah Bandar Seri Begawan patang tadi,” kata isteri saya. “Semua jalan raya sibuk kana korek masa ani!”

Kemudian isteri saya memberitahu bahawa mereka akan balik lewat kerana mereka akan terus saja melihat wayang. Saya terus saja tersenyum – traffic jam dan lombong emas hanyalah helah untuk isteri saya melihat wayang. Sementara menunggu pukul lapan setengah saya menonton televisyen dan kebetulan sekarang sudah pukul lapan malam dan warta berita sedang disiarkan. Saya nampak adik saya Hj.Mohd Yussof bin Hj.Marsal yang sentiasa bersama biskita sedang tersenyum- senyum membacakan berita.

“Sebuah lombong emas telah ditemui di tengah-tengah Bandar Seri Begawan petang tadi,” katanya. “Kajian awal menaksirkan bahawa hampir-hampir keseluruhan bawah pusat bandar adalah lombong emas. Dengan ini diumumkan kepada orang ramai bahawa pusat bandar adalah ditutup kepada lalulintas. Pemandu-pemandu adalah diarahkan untuk mengikut arah-arahan pihak polis.”

Di kaca televisyen saya terlihat betapa sesaknya keadaan di BSB, Jalan Sultan sedang dilombong, dipagar dan dikawal oleh polis. Orang ramai berkerumun-kerumun melihat longgokan tanah yang bercampur benda kuning berkilau-kilauan. Saya berharap benda-benda kuning itu benar-benar emas dan bukan sesuatu yang bodoh yang tidak berharga. Pasukan polis kelihatan berkerja keras mengawal orang ramai.

“Sebagai tanda kesyukuran,” sambung Hj.Mohd Yussof bin Hj.Marsal di kaca televisyen, “esok adalah diumumkan sebagai hari kelepasan awam. Masjid-masjid di seluruh negara adalah diarahkan untuk mengadakan majlis kesyukuran dan membaca surah Yaasiin.”

Apalagi yang saya mahu: saya sudah mandi dua jam, badan saya bersih, kuping telinga saya segar dan berbau harum, perasaan syak wasangka terhadap jiran sudah terhapus dan sekarang setelah mendengar berita di televisyen hati saya amat gembira. Negara Brunei Darussalam akan terus makmur walaupun minyak di buminya habis. Kita ada emas! Saya tidak akan menunggu pukul lapan setengah – saya pergi sekarang juga ke rumah jiran.

Muzik dari rumah jiran saya semakin besar semakin saya mendekati pintunya – pintu yang selama ini cuma saya intai-intai dari jendela sebelah kiri ini. Saya disambut dengan gembira, bahu saya ditepuk-tepuk dan dipeluk oleh jiran saya. Isteri jiran saya juga menepuk-nepuk dan memeluk bahu saya. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk.

“Isteri mana?” isteri jiran saya bertanya.

“Terperangkap di bandar,” jawab saya. “Traffic jam!”

“Yah, saya dengar lombong emas ditemui di sana,” kata jiran saya.

“Brunei akan terus kaya raya,” kata saya.

“Anak cucu kita akan terselamat daripada kemiskinan,” kata isteri jiran saya.

“Yah! Sekarang waktu untuk bergembira,” kata jiran saya.

Saya bersetuju – yah, sekarang waktu untuk bergembira seluruh negara.

Saya dijemput masuk dan dibawa terus ke bilik tamu yang luas. Kerusi-kerusi semua diaturkan keliling dinding. Di tengah-tengah ruang ada meja berukuran 6 meter x 3 meter. Di tengah-tengah meja ini, memanjang, ada sebuah kotak kayu berukuran 1.8 meter x 0.7 meter x 0.6 meter. Di keliling kotak inilah ditaruh segala minuman dan makanan. Para jemputan yang lain sekarang sedang menari-menari keliling meja ini diiringi oleh muzik yang nyaring. Mereka minum makan dan menyanyi serta bertepuk tangan – ada yang kelihatan seperti separuh mabuk.

“Minuman keras ada,” kata jiran saya. “Dalam teko itu minuman keras – istemewa diseludup untuk majlis-majlis seperti ini tetapi saudara seorang Muslim tentulah tidak minum.”

“Yah, saya tidak minum,” kata saya. Minuman keras ia simpan (sembunyikan?) di dalam teko. Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini.

“Minuman ringan dalam tin atau botol,” kata jiran saya. “Silakan makan minum dan bergembira.”

Saya menghampiri meja makan. Saya memilih makanan-makanan yang saya tidak ragu-ragu halal haramnya. Saya menjenguk kotak kayu berukuran 1.8 meter x 0.7 meter x 0.6 meter yang diletakkan memanjang di atas meja makan ini sambil menghulurkan tangan untuk mengambil sesuatu (saya menyangka tentulah ada makanan yang instimewa di dalamnya). Jiran saya tiba-tiba berada di sisi saya.

“Itu keranda,” katanya. “Bapa saya baru mati kelmarin. Kita sekarang meraikan kematiannya.”

Di atas meja makan ini ada keranda. Di dalam keranda ini ada mayat bapa jiran saya. Mereka sekarang menari, menyanyi, makan minum, bersorak ketawa dan sebagainya di keliling meja makan ini? Astarghfirullah! Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini!

Saya hilang selera hendak makan. Bagaimana saya hendak makan di dalam suasana ini? Mujur isteri dan anak-anak saya tidak ikut – saya tidak mahu mereka terutama anak-anak saya terdedah kepada hal-hal yang tidak normal seperti ini. Air mata saya menitis apabila melihat muka orang tua di dalam keranda dan melihat perbuatan tidak beradab anak cucunya ini. Bunyi muzik semakin besar, mereka menyanyi beramai-ramai bertepuk sorak, memekik, tertawa dan membuat segala kebisingan – paling besar dan lepas tawanya ialah orang-orang tua yang sepatutnya sibuk mengingati mati – tawa seperti ini tentulah kurang saya senangi. Semakin tua yang tertawa itu semakin besar dan gembira tertawanya (seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya). Terus-terang saya ulangi di sini lagi saya berpendapat bahawa orang-orang tua sudah semestinya mengurangkan tertawa, mereka sepatutnya lebih kepada mengingati mati. Jika kautanya kepada saya – saya akan katakan tidak ada lucunya tentang mati. Adakah kau akan tertawa kalau kau ingat bahawa tidak lama lagi kau akan mati dan dikuburkan ke dalam tanah – terperangkap di dalam lubang 1.8 meter x 0.7 meter x 4 meter yang gelap untuk selama-lamanya (sehingga hari kebangkitan)? Aku kira ini tidak lucu! Ada yang tidak betul dengan jiran saya ini.

Isteri jiran saya menghampiri saya. Ia meletakkan tangan kanannya di atas bahu kiri saya sementara tangan kirinya sekarang berada di atas pinggang saya. Ia mengajak saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – bunyi muzik dibesarkan lagi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk isteri jiran saya ini tetapi di dalam sebuah bilik yang ada orang mati di dalamnya saya tidak pula sampai hati hendak melakukan sesuatu yang kurang adab. Walau macam mana pun saya terpaksa juga berdansa dengan isteri jiran saya ini keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – bunyi muzik dibesarkan lagi.

“Kami menyambut kelahiran dengan kedukaan dan menyambut kematian dengan keriangan,” bisik isteri jiran saya ke kuping telinga saya. “Lahir ke dunia yang rosak ini adalah satu malapetaka bagi kami – tapi dunia ini sangat-sangat menyintai kita jadi kita buat sementara waktu terpaksa juga mencintai dunia ini. Apa yang dapat kita buat di dalam keadaan seperti ini selain daripada menyintai atau belajar menyintai mati. Kerana inilah kami semakin tua semakin gembira – kami telah belajar menyintai mati.”

Ia menyentuh kuping telinga saya dan menghidunya. “Kuping telinga saudara berbau harum!”

Ia terus membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus bersorak-sorak, terus bersiul-siul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – muzik ditukargantikan dengan yang lebih rancak daripada yang tadi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan dipeluk dibawa berdansa isteri jiran saya ini (Love thy neighbour’s wife?) keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain terus saja bersorak-sorak, bersiul-siul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – bunyi muzik dibesarkan lagi. Ia seorang perempuan yang cantik dan berbadan bagus juga. Saya tidak keberatan namun saya tetap berpendapat ada yang tidak betul dengan jiran dan isteri jiran saya ini yang sekarang membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – bunyi muzik dibesarkan lagi. Saya memberanikan diri bertanya kepadanya tidakkah mereka seperti kumpulan-kumpulan cults yang akhirnya akan melakukan upacara bunuh diri beramai-ramai. Ia menerangkan bahawa walaupun mati dan bunuh diri itu sama pada akhirnya tetapi ia berbeza seperti langit dengan bumi. Bunuh diri satu kekalahan, mati selepas hidup yang penuh adalah satu kemenangan.

“Kerana itu kami berusaha untuk hidup lama dan mati kerana tua atau mati atas sebab-sebab yang natural. Mentua saya itu telah menjalani hidup yang penuh dan matinya adalah satu kemenangan yang besar.”

Ia membawa saya berdansa menghampiri meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati dan memang muka mayat mentuanya ini kelihatan gembira, bibirnya masih di dalam keadaan senyum, isteri jiran saya terus membawa saya berdansa keliling meja makan yang di atasnya ada keranda yang di dalamnya ada mayat mentuanya yang baru kelmarin mati sementara para jemputan lain bersorak-sorak, bersiul nyaring menggiat-giat supaya kami terus menari – bunyi muzik dibesarkan lagi kemudian isteri jiran saya menghidu kuping telinga saya.

“Telinga saudara berbau harum!” katanya. “Saya suka telinga saudara.”

Dari jendela sebelah kiri ini saya dapat melihat ke halaman rumah jiran saya. Tidak ragu lagi mereka boleh melihat saya melihat ke halaman rumah mereka – saya melihat anak-anaknya yang masih berumur di antara lima ke dua belas tahun bermain-main (?) – mereka kesemuanya kelihatan serius – jika ingatan saya betul, saya tidak pernah mendengar kanak-kanak ini ketawa semasa bermain-main.

Selama lapan tahun tinggal di sini – anak saya sudah ada enam orang – ketika bermain mereka ini selalunya ketawa. Sekarang saya melihat ke luar dari jendela sebelah kiri ini, melihat dua pohon pokok kemboja yang lebat bunganya di kiri kanan luar pintu pagar rumah jiran saya, saya juga terlihat anak-anak jiran saya yang kecil-kecil semuanya berpakaian serba hitam. Mereka sedang megesat mata dengan perca hitam. Mungkin mereka sedang menangis. Kelmarin kira-kira pukul sepuluh malam saya terdengar ada raungan dari rumah mereka diikuti oleh tangisan anak kecil. Raungan ini kemudian semakin menjadi-jadi. Benar-benarlah mereka menangis agaknya pastilah isteri jiran saya melahirkan anak lagi dan cara mereka menangis pastilah bukan seorang anak, mungkin saja anak kembar (“Kami menyambut kelahiran dengan kedukaan dan menyambut kematian dengan keriangan.”) Kemudian saya terdengar bunyi muzik riang perlahan-lahan mula dimainkan kemudian semakin besar dan semakin nyaring. Sekarang sudah kedengaran suara orang menyanyi. Kemudian saya ternampak anak jiran saya menunggang basikal kecilnya menuju ke rumah saya ini membawa sekeping kad.

Saya cepat-cepat turun membuka pintu depan. Anak jiran saya berdiri di depan pintu. Bibirnya tersenyum lebar. Pakaian hitamnya sudah ditukar kepada pakaian yang lebih cerah namun masih ada sedikit kesan airmata di kelopak matanya. Ia menghulurkan kad jemputan kepada saya.

“Bapa jemput datang malam ni,” katanya. “Ibu dapat menang lahir dua adik.”

Saya…

ADA ORANG TIDAK SUKA PADA SAYA
DAN MELAKUKAN SESUATU YANG SAYA TIDAK SUKAI DI BELAKANG SAYABahana Oktober 1996

Saya tidak faham mengapa ada orang yang tidak suka pada saya dan melakukan sesuatu yang tidak saya sukai terhadap saya di belakang saya. Pagi tadi ada beberapa orang lelaki berbadan tegap menceroboh masuk ke rumah saya dan mengheret saya, isteri dan anak-anak saya masuk ke dalam sebuah kerita Kijang dan membawa kami ke mari. Saya tidak mempunyai apa-apa kegemaran yang mengganggu orang lain.Kegemaran saya hanyalah membeli-belah. Tidak adalah apa-apa yang lain yang lebih saya sukai selain daripada membeli-belah. Tentulah ada orang lain yang juga gemar membeli-belah ( tentu besar juga bilangannya ) tetapi mereka tidak mencapai tahap yang telah saya capai. Membeli-belah ini sekarang sudah menjadi satu seni bagi saya. Jika saya hendak membeli-belah saya akan membuat persediaan-persediaan tertentu. Saya sudah pun membuat sedikit research – tidak ada orang lain yang melakukan seperti yang saya lakukan. Saya berani mengatakan di seluruh dunia ini hanya saya seorang yang melakukannya. Orang-orang yang saya tanya (tentu saja kawan-kawan saya) kesemuanya acuh tak acuh saja menjawab soalan saya, yah kalau mereka hendak shopping mereka pakai baju dan pergi saja shopping – paling-paling mereka menyediakan shopping list (bagi saya shopping list tidaklah diperlukan). Bagi mereka pergi membeli-belah itu sama saja seperti pergi ke tempat-tempat lain atau kurang sedikit daripada hendak pergi ke tempat-tempat lain. Yah, kalau lelaki pakai baju dan pergi saja shopping dan kalau wanita bubuh sedikit makeup pakai baju dan pergi saja shopping – itu saja – tidak ada apa-apa.

“Indada apa-apa,” kata mereka.

Inilah satu sikap yang tidak betul. Kadang-kadang saya ingin sangat hendak mengajar mereka. Kadang-kadang saya mengajar mereka juga kerana sesuatu yang kita lihat tidak betul itu perlu juga kita bertindak membetulkannya tidak sekadar berhenti pada ingin membetulkan saja. Saya bukan tidak pernah menemani (dan memerhati) mereka membeli-belah: ambil barang itu humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil barang ini humbankan ke dalam troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli…cara-cara mereka mengambil barang yang hendak dibeli pun sudah tidak betul: capai saja dan humbankan ke dalam troli – ini tidak bertamadun dan tidak berfalsafah – dalam masa sepuluh minit saja troli penuh – satu jam membeli-belah tentu saja penuh enam buah troli dan beli-belah yang empat lima bulan tentu saja boleh buka kedai runcit sendiri di hujung kampung dan satu dua tahun kemudian tentu saja boleh buka mini supermarket sendiri dan tambah dua tiga tahun lagi bolehlah buka big supermarket sendiri di bandar dan setiap orang akan ada supermarket sendiri – kau ada supermarketmu sendiri dan saya ada supermarket saya sendiri – bapa saya ada supermarket sendiri dan mungkin emak saya pun ada supermarket sendiri, adik saya ada supermarket sendiri, bapa saudaramu ada supermarket sendiri, nenekmu juga ada supermarket sendiri, supermarket di sana sini dan kita semua sama-sama jatuh bankrupt. tahun hadapan. Inilah apa yang akan terjadi jika kita membeli-belah cara ambil barang itu humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil barang ini humbankan ke dalam troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli sampai ke kaunter seluk poket bayar dan buka kedai runcit di hujung kampung.

“Kalau kan membali – bali saja,” kata kawan saya.

“Awueh!” kata yang lain. “Ada usin bali. Indada bausin bali jua – bautang – indatah payah bafalsafah-falsafah indatah payah baseni-seni!”

Kita memerlukan satu revolusi mental. Setiap orang perlu diberi tunjuk ajar cara shopping yang betul. Seorang lelaki tua awet muda berjanggut hitam berkilat lebat di dalam mimpi yang berulang sebanyak tiga kali telah mengajarkan saya bahawa cu katanya, jika dikau hendak membeli sesuatu barang itu hendaklah dikau mencarinya dengan penuh perasaan rindu seolah-olah dikau sedang mencari-cari kekasih yang telah merajuk pergi dan sekarang dikau hendak memujuk-rayunya kembali kepangkuanmu dan ketika matamu bertemu dengannya di atas para di supermarket capailah dia dengan tangan kananmu perlahan-lahan, hatimu sangat girang bertemu kembali dengan kekasih yang telah merajuk pergi dakaplah dia di dadamu sekejap melepas rindu kemudian barulah kauteliti barangan yang hendak kaubeli ini, goncang-goncangkan sedikit kotaknya sekadar untuk meyakinkan diri sendiri bahawa kotak tersebut berisi, rasa-rasa beratnya apakah ia lebih berat atau lebih ringan daripada yang sudah-sudah, bagaimana pula dengan pakaging designnya barangkali ada apa-apa perubahan yang tidak ketara sangat, perhatikan gambar-gambar yang tertera di atasnya dan juga logo syarikat pengeluarnya, jangan cepat percaya bahawa ia sama seperti yang telah pernah kaubeli dahulu-dahulu: lihat setiap huruf dan baca setiap perkataan yang tercetak di atas kotaknya. Bacalah teks di sebelah atas kotak tersebut dahulu. Baca dengan perlahan. Misalnya kotak yang berwarna merah ini:

JAMU Isi : 10 bungkus @ 2 kapsul
KAPSUL KUKU BIMA
Ginseng
Satu-satunya jamu kuat yang menggunakan ginseng asli.
Pabrik Jamu & Farmasi
(ada logo syarikat pengeluar)
PT.SIDO MUNCULSEMARANG INDONESIA
DEP. KES. RI. NO. TR : 942347115Y

Habis teks di sebelah atas kita pusingkan kotak 90 darjah ke atas dan baca lagi

(ada gambar akar ginseng)
KAPSUL KUKU BIMA Ginseng

kemudian pusing 90 darjah clockwise.

KHUSUS UNTUK PRIA

Komposisi : Panax Ginseng 10%, Euricomae Longifolia 15%, Kaemferiae Rhizoma 16%, Zingberis Rhizoma 10%, Zingiberis Aromaticae 13%, Phylianthi Herba 5%, dan bahan-bahan lain hingga 100%.

Khasiat & kegunaan : Meningkatkan kesehatan, menguatkan pinggang dan ginjal, menambah gairah, semangat kerja serta menjaga kondisi tubuh agar tetap perkasa. Mengandung pasak bumi yang diperkuat dengan ekstrak ginseng Korea untuk menjaga agar tetap awet muda.

Cara pemakaian :
Untuk yang berbadan lemah : minum 2 kapsul setiap malam selama 2 atau 3 minggu. Selanjutnya 2 kapsul setiap 2 atau 3 hari.

Kecapaian / sakit pnggang : Minum 2 kapsul sebelum tidur Menjaga kesehatan / perokok / peminum : Tiap 2 atau 3 hari,
2 kapsul sesuai kondisi tubuh           310795 2

kemudian pusing 90 darjah clockwise.

(ada gambar akar ginseng)
KAPSUL KUKU BIMA Ginseng

kemudian pusing 90 darjah clockwise.

MANFAAT KUKU BIMA GINSENG BAGI TUBUH
Meningkatkan protein pada testis (buah pelir) sehingga merangsang produksi air mani.
Meningkatkan stamina / daya tahan tubuh terhadap berbagai macam penyakit.
Berkhasiat meremajakan sel-sel dalam tubuh untuk menghambat proses penuaan.
Mengandung efek anti lelah dan menyegarkan tubuh.
Berkhasiat membuang racun-racun dalam tubuh seperti : alkohol, nikotin, asap kendarran bermotor dll.
2 kapsul sama khasiatnya dengan 1 bungkus jamu
Tidak dianjurkan bagi penderita tekanan darah tinggi
Simpan ditempat kering

Kemudian lihat di bawah kotak (mungkin ada tarikh mansuh dan tarikh dikeluarkan) tidak ada apa yang dicetak di sini. Barulah barangan tersebut ditaruh kedalam troli – bukan dihumbankan ke dalam troli. Beginilah yang sepatutnya kita lakukan bagi setiap barang yang hendak kita beli bukan cara ambil barang itu humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil barang ini humbankan ke dalam troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli sampai ke kaunter seluk poket bayar dan buka kedai runcit di hujung kampung. Lihat gambarnya, lihat setiap hurufnya dan baca setiap perkataanya.

“Payah tu shopping macam atu ji,” kata kawan saya. “Mun miatu sehari pun inda abis shopping.”

“Mun semua kan dibaca!”

“Membari mati tu!”

“Kalau kan membali buku – baca dulu buku atu sampai habis baru membali?”

“Setiap kategori barang atu ada caranya kita membali,” kata saya. “Baca kulitnya saja.”

“Mun semua kan dibaca!”

“Membari mati tu!”

“Mun miatu sehari pun inda abis shopping.”

“Inda kami sanggup shopping dangan kita ani.”

Di sinilah perbezaan saya dengan mereka. Saya membuat persediaan-persediaan tertentu sebelum shopping. Saya menggambil cuti seminggu bermula dari hari berterima gaji untuk shopping. Saya akan bangun satu jam lebih awal daripada biasa. Saya akan lakukan mandi yang khusus untuk shopping. Mula-mula saya mengosongkan perut saya membuang najis dan seterusnya beristinja selesai semua ini barulah saya mulakan mandi dengan berkumur-kumur dan memberus gigi sementara menanti air mandi hangat sedikit. Mandi berendam dengan air hangat membuka rongga-rongga kulit. Selepas memberus gigi mempastikan tidak ada sisa-sisa makanan menyangkut di celah-celah gigi dan mempastikan bau mulut wangi barulah saya membuka paip air untuk memenuhi kolah mandi. Sementara menunggu kolah penuh saya akan mengusai misai dan janggut menggunting atau mencukur mana-mana yang perlu, menggunting bulu hidung. Kemudian saya akan membersihkan kuping telinga dan mengorek lubangnya dengan putik kapas. Sekarang sudah sampai masanya untuk saya melakukan pekara utamanya – mandi berendam di dalam air hangat. Saya menuangkan bubble bath yang wangi secukupnya ke dalam kolah dan mengacau-ngacau airnya sehingga timbul buih yang banyak. Saya masuk ke dalam kolah merendamkan diri saya sehingga ke pangkal leher. Selama tidak kurang daripada lima belas minit saya berendam dengan mata yang pejam. Apabila saya rasa rongga-rongga kulit saya sudah terbuka oleh air yang hangat saya mula menggosok-gosok badan melurutkan segala daki di setiap pelipatan anggota. Perhatian yang berat saya tumpukan kepada sebelah belakang kuping telinga – di sinilah orang selalunya cuai. Melurutkan daki dari tubuh badan ini mengambil masa tidak kurang daripada setengah jam. Mandi yang hampir-hampir serupa seperti ini juga saya lakukan jika saya hendak menghadiri sesuatu majlis – ada detail-detailnya berbeza – paling ketara bezanya terletak pada waktu: mandi khusus untuk shopping hanya saya lakukan sekali sebulan dan hanya pada waktu sebelum subuh sementara mandi untuk menghadiri satu-satu majlis saya lakukan pada bila-bila masa diperlukan tapi itu cerita lain (carilah di dalam cerpen saya yang lain kalau tidak silap ada di dalam cerpen saya bertajuk (ADA YANG TIDAK BETUL DENGAN JIRAN SAYA). Saya akan berpakaian resmi bekerja, pakai tai dan sebagainya. Memakai tai waktu shopping ini penting kerana kita akan lebih digalati atau sekurang-kurangnya pengurus supermarket akan terfikir-fikir mengagak-agak barangkali kita ini pegawai dari EPU bahagian Kawalan Harga dan Barangan. Saya akan memberitahu isteri saya bahawa saya akan shopping.

“Oi mamanya,” kata saya,”ka Hua Ho ku membali-bali. Kalaukan join – join saja bila-bila masa bawa bisia atu!”

Saya akan berada di supermarket sepanjang hari dari ia mula dibuka kira-kira pukul sembilan pagi sehingga ia ditutup pada pukul sepuluh malam setiap hari selama tujuh hari bermula dari hari berterima gaji. Saya sembahyang waktu di supermarket (sekarang semua supermarket ada menyediakan bilik surau). Saya makan di supermarket. Saya buang air kecil dan besar di supermarket. Waktu berterima gaji selama seminggu jangan cari saya di mana-mana cari saja di supermarket saya akan berada di sana. Isteri saya selalunya akan ikut kemudian biasanya selepas waktu bekerja (ia tidak mengambil cuti khusus) membawa anak-anak. Menyurung trolinya sendiri: ambil barang itu humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil barang ini humbankan ke dalam troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, surung troli, ambil lagi barang lain humbankan ke dalam troli, lima mini troli sudah penuh, surung troli sampai ke kaunter seluk beg wang bayar dan buka kedai runcit di hujung kampung. Ia shopping seperti orang lain juga. Saya sudah cuba mengajarnya bahawa shopping itu mestilah dinikmati sepenuhnya.

“Bukannya nak mati shopping – nikmatilah shopping!”

Setiap barang yang hendak kita beli hendaklah kita capai dengan tangan kanan dengan penuh kerinduan, kita timang-timang dengan penuh perasaan cinta dan kasih sayang kemudian baharulah kita teliti dan baca perlahan teks yang tercetak di kotaknya satu per satu sampai tidak ada lagi yang hendak dibaca. Kita lihat tulisan-tulisan cina atau bahasa lain yang kita tidak tahu membacanya satu satu. Setelah selesai semua ini baharulah kita letakkan (bukan humbankan) ke dalam troli. Kemudian ambil lagi barang lain capai dengan tangan kanan dengan penuh kerinduan, kita timang-timang dengan penuh perasaan cinta dan kasih sayang kemudian baharulah kita teliti dan baca perlahan teks yang tercetak di kotaknya satu per satu sampai tidak ada lagi yang hendak dibaca. Kita lihat tulisan-tulisan cina atau bahasa lain yang kita tidak tahu membacanya satu satu. Ulangi ini bagi setiap barang yang hendak dibeli.

“Jangantah kamu ikut stail bapamu atu lai,” kata isteri saya kepada anak-anak, ” kalau shopping, sentimental.”

Pernah juga sekali seorang lelaki kurus berparawakan cina berpakaian kemas bertai yang mungkin sudah lama memerhatikan saya memberanikan diri menegur saya.

“Ada apa-apa problem. Kita bikin apa?” katanya. “Kita baca semua itu kah?”

“Yah saya baca semua,” kata saya.

“Betul-betulkah kita baca semua itu?” katanya lagi.

“Yah saya baca semua,” kata saya.

“Baca sampai habis bah?” katanya.

“Yah baca sampai habis,” kata saya.

“Tulisan cina juga baca sampai habis?” katanya.

“Tulisan cina saya tengok-tengok saja,” kata saya.

Kemudian ia pergi dan saya lihat ia bercakap-cakap dengan tiga orang perempuan berpakain seragam kedai, seorang bangsa melayu, seorang bangsa filifina dan seorang bangsa cina, sambil kepalanya mengangguk-angkuk dua tiga kali ke arah saya dan saya angkat tangan kepadanya dan ia membalas angkat tangan. Ia pergi dan saya tidak nampak ia lagi.

Sepuluh minit kemudian lelaki kurus berparawakan cina berpakaian kemas bertai ini muncul di belakang saya lagi.

“Apa macam?” katanya. “Masih baca itu tin susu lagikah?”

“Yah masih baca,” kata saya. “Ini susu tin besar – saya beli lima tin. Lima kali baca.”

“Lima tin lima kali baca ah?” katanya.

“Lima tin lima kali bacalah,” kata saya.

“Kita kerja mana?” katanya. “EPUkah?”

“Bukanlah,” kata saya. “Saya kerja di RTB.”

“Di RTB bikin apa?” katanya.

“Bikin grafik lukis-lukis,” kata saya.

“Ooo bikin grafik,” katanya. “Di RTB saya ada kawan bah.”

“Adakah?” kata saya.

“Itu yang baca berita melayu itu,” katanya.” Itu Haji Mohamoh Yuso Haji Marlsal – ada kenalkah?”

“Apa tidak kenal,” kata saya. ” Itu Haji Mohammad Yussof Haji Marsal saya punya adik bah.”

“Kita punya adikah, patut kita punya muka ada sedikit selupa. Tapi kita ada nampak sedikit muda,” katanya. “Itu Yuso saya punya best fliend dulu sekarlang jalrang jumpa – tengok di altivi saja.”

Lelaki kurus berparawakan cina berpakaian kemas bertai ini menyalami dan menggoncang-goncang tangan saya. Negara kita ini negara kecil yang berpendudukan kecil juga, jika orang tidak kenal kita tentu mereka kenal salah seorang adik-beradik kita.

“Saya ada dengar itu dia punya abang ada tulis-tulis celita – celpen – itu kitakah?” katanya. “Dalam majalah Regal itu kitakah?”

“Yah itu sayalah,” kata saya. “Dan sekarang lu pun ada di dalam cerpen bah.”

“Yakah,” katanya. “Saya sekalang dalam celpenkah?”

“Ya betul,” kata saya. “Lu sekarang ada dalam cerpen.”

“Dalam celpen mana itu?” katanya.

“Dalam cerpen inilah,” kata saya.

“Jadi saya ini bukan olang benallah?” katanya.

“Ya, bukan,” kata saya. “Lu bukan orang benar, saya pun juga bukan orang benar. Tapi itu orang luar yang baca ini cerpen – itu orang benar.”

“Boleh saya cakap sikit?” katanya. “Cakap sikit saja.”

“Lau mau cakap apa,” kata saya. “Nanti ini cerpen lari dari cerita asal.”

“Saya mau cakap sama itu orang luar,” katanya. “Saya mau bikin sikit advertise”

“Go aheadlah!” kata saya.

Lelaki kurus berparawakan cina berpakaian kemas bertai ini memandang keluar cerpen ini.

“Shop and spend your money with us. Our supermarket is the only one-stop family affordable supermarket in Negara Brunei Darussalam . Our consumer goods and prices you can thrust. ” katanya. “Membali-balahtah biskita di pasarlaya kami. Balang-balang dan halga kami biskita boleh perlcaya! Tidak ada pasarlaya seperti pasarlaya kami di seluluh Belunai.”

Ia memandang saya.

“Telima kasih,” katanya. “Ini betul-betul dalam celpen – mau keluar itu dalam majalah Bahana ah?”

“Lu ada baca itu majalah Bahana jugakah?” kata saya.

“Adabah,” katanya. “Saya ada ambil tuition bahasa melayu sama itu cina dusun Mr.Ah Fok dia pun ada tulis celpen juga – dia ada suruh baca itu majalah.”

“Bila lu baca itu majalah apa lu fikir?” kata saya.

“Saya selalu fikil,” katanya, ” maca mana mau masukkan advertisement ke dalam itu celpen supaya itu intellectual itu literary critics datang beli shopping ini supermarket. Saya punya harlga gelrenti mulrah atau sama dengan di tempat lain. Saya jamin saya tidak jual balrangan-blarangan expired – harga EPU approved. Ta usah baca-baca lagi ambil saja apa-apa balrang mau, masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli terus pegi counter balrayan. Jangan watir cashier tidak boleh salah atau tipu sebab kita sudah pakai barcode reader. Cepat dan efficient. Membali-balahlahtah biskita di supermarket kami!”

Lelaki kurus berperawakan cina berpakaian kemas bertai ini membongkok tiga kali mengucapkan terima kasih, terima kasih, terima kasih, lalu meninggalkan saya.

Sekarang saya meneruskan shopping saya: mengambil lagi barang lain mencapainya dengan tangan kanan dengan penuh kerinduan, menimang-nimangnya dengan penuh perasaan cinta dan kasih sayang kemudian baharulah saya teliti dan baca perlahan teks yang tercetak di kotaknya satu per satu sampai tidak ada lagi yang hendak dibaca. Saya lihat tulisan-tulisan cina atau bahasa lain yang saya tidak tahu membacanya satu satu. Mengulangi ini bagi setiap barang yang hendak saya beli.

Anak-anak saya datang bersama isteri saya. Isteri saya memasukan barang-barang yang diperlukannya ke dalam troli. Anak-anak saya berbuat demikian. Mereka semua menunjukkan tanda-tanda tidak tahu menikmati shopping seperti orang-orang lain yang shopping di supermarket ini juga. Selesai mengambil barang-barang yang mereka perlukan mereka pulang seperti mereka datang – sendiri. Saya akan shopping sampai supermarket ini tutup nanti. Saya akan sambung esok lagi dan seterusnya sampai tujuh hari.

“Jangantah kamu ikut stail bapamu atu lai,” kata isteri saya kepada anak-anak, ” kalau shopping, sentimental banar.”

Itu pendapatnya. Saya suka shopping. Saya suka berbelanja menghabiskan gaji di supermarket. Banyak barang-barang yang belum lagi saya beli. Banyak barang-barang yang masih saya bertangguh-tangguh membelinya. Kemudian datang lagi barang-barang baru, ciptaan terkini yang ingin saya miliki. Saya akan mencari-carinya di supermarket ini mencarinya dengan penuh perasaan rindu seolah-olah dikau sedang mencari-cari kekasih yang telah merajuk pergi dan sekarang dikau hendak memujuk-rayunya. Saya mahu beli semuanya itu. Saya mahu beli semua barang-barang lama yang belum sempat saya beli, saya mahu beli barang-barang baharu ciptaan terkini. Saya akan shopping di sini sampai malam sampai supermarket ini tutup nanti. Saya akan sambung esok lagi dan seterusnya sampai tujuh hari. Saya juga menggalakkan isteri dan anak-anak saya supaya menggemari shopping – cuma masalahnya mereka melakukannya seperti orang lain seperti kata lelaki kurus berperawakan cina berpakaian kemas bertai ta usah baca-baca lagi ambil saja apa-apa balrang mau, masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli, ambil masuk dalam troli terus pegi counter balrayan.

Tetapi nampaknya ada orang yang tidak suka pada saya dan melakukan sesuatu yang tidak saya sukai terhadap saya di belakang saya kerana itu saya berada di sini sekarang. Di belakang saya ada kain rentang bertulis: JUALAN LELONG. Sekarang mereka hendak melelong saya.

Pagi tadi ada beberapa orang lelaki berbadan tegap menceroboh masuk ke rumah saya dan mengheret saya, isteri dan anak-anak saya masuk kedalam sebuah kerita Kijang dan membawa kami ke mari di majlis jualan lelong ini. Anak-anak saya sudah pun selesai dilelong masing-masing mencapai harga yang tinggi lima ratus ribu ringgit tiap seorang. Kedua-duanya sudah remaja dan berangan-angan hendak jatuh cinta. Seorang dibeli oleh seorang tauke cina dan yang seorang lagi dibeli oleh seorang perwakilan jadi saya tidak tahu siapa yang sebenarnya membelinya. Perlelongan mereka berlaku dengan cepat setiap orang yang berminat bersahut-sahutan dan berlawan-lawanan menaruh harga. Isteri saya juga selesai dilelong dan mencapai harga yang baik juga – seratus limapuluh lima ribu ringgit – berganda-ganda lebih tinggi daripada mas kahwin yang saya bayar dahulu.

Sekarang giliran saya pula hendak dilelong. Jurulelong pun membacakan biodata saya dengan panjang lebar:

LAHIR di Bandar Brunei (sekarang BSB) ibu negeri Negara Brunei Darussalam pada tahun 1955, Mussidi nama samaran Hj Morshidi Hj Marsal, anak seorang Guru Besar, pada awal pendidikannya telah bersekolah di beberapa buah sekolah di keempat-empat buah daerah Negara Brunei Darussalam: pada tahun 1961 – S.M.Kiudang di Daerah Tutong , pada tahun 1963 – S.M. Sultan Hassan, Bangar di Daerah Temburong, pada tahun 1964 – S.M. Birau di Daerah Tutong , pada tahun 1966 – Maktab Anthony Abell, Seria di Daerah Belait dan pada tahun 1974 – Maktab Sultan Omar Ali Saifuddin di Daerah Brunei Muara, pada tahun 1974 ia mendapat dermasiswa Kerajaan untuk melanjutkan pelajaran ke Dartington Hall College of Arts dan Design, Totnes, Devon di United Kingdom.

Sekarang ia berkhidmat di Radio Television Brunei sebagai perekabentuk kanan.

Mula menulis cerpen pada awal tahun lapan puluhan dan karya-karyanya telah diterbitkan di Brunei, Malaysia dan Singapura. Cerpen pertama yang diterbitkan ialah “KECOH” di majalah Mastika (Sept. 1981). Cerpen pertama yang ditulis pula ialah “Masalah-masalah” untuk menyertai peraduan menulis cerpen (memenangi hadiah pertama) sempena sambutan Israk Mikraj (1981) anjuran Jabatan Hal-Ehwal Ugama Brunei. Diterbitkan di dalam antologi Suasana (dalam tulisan jawi oleh jabatan yang sama -1983). Cerpen-cerpennya telah diantologikan di dalam beberapa buah antologi perseorangan dan bersama:

KECOH – antologi cerpen perseorangan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka Brunei – 1991.

A4 – novelet dan antologi cerpen perseorangan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka Brunei – 1993

FINATUL KUBRA – antologi cerpen perseorangan yang belum diterbitkan.

TUM! – novelet yang belum diterbitkan – telah disiarkan secara bersiri di Bahana (Februari – Julai 1995)

TAI – antologi cerpen perseorangan yang belum diterbitkan.

SUASANA – Antologi bersama terbitan Jabatan Hal-Ehwal Ugama Brunei – 1983

RANTAU UTARA – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1989

PERGELUTAN HIDUP – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1992

MENITI WAKTU – antologi bersama terbitan DBP Brunei – 1993

CERPEN-CERPEN NUSANTARA MUTAKHIR – antologi bersama terbitan DBP Kuala Lumpur – 1991

BASIKAL IDAMAN – antologi cerpen kanak-kanak (bersama) terbitan DBP Brunei – 1988

Penerima SEA Write Award – Bangkok 1994 bagi Negara Brunei Darussalam.

Sekarang tinggal di

NO 3 BAN 4 Simpang 53

Kg.Mulaut / Kilanas 2780

Jurulelong pun menaruh harga permulaan yang agak tinggi juga bagi saya lebih tinggi daripada harga permulaan bagi isteri dan anak-anak saya.

“Harga permulaan – Limapuluh ribu ringgit!” kata jurulelong.

Tidak ada orang yang mahu membeli saya.

“Empatpuluh lima ribu ringgit!” kata jurulelong.

Masih tidak ada orang yang mahu membeli saya.

“Tiga puluh lima ribu ringgit!” kata jurulelong.

Masih tidak ada orang yang mahu membeli saya.

“Dua puluh lima ribu ringgit!” kata jurulelong.

Masih tidak ada orang yang mahu membeli saya.

Dua jam saya dilelong masih belum ada orang yang mahu membeli saya. Harga saya diturunkan sehingga ke seratus ringgi masih juga belum ada orang yang mahu – perempuan tua pun tidak ada yang mahu membeli saya – atau barangkali mereka malu.

“Barangan mesti dijual – lima puluh ringgit!” kata jurulelong.

Masih tidak ada orang yang mahu membeli saya.

Saya tidak faham mengapa ada orang yang tidak suka pada saya dan melakukan sesuatu yang tidak saya sukai terhadap saya di belakang saya sehingga saya dan keluarga saya dilelong seperti ini.

“Satu ringgit!” kata jurulelong.

Masih tidak ada orang yang mahu membeli saya.

“Limapuluh sen!” kata jurulelong.

Ada orang mengangkat tangan.

“Ya limapuluh sen! Lima puluh sen!”

“Limapuluh lima sen!” ada orang menaikkan harga.

“Ya limapuluh lima sen! Limapuluh lima sen! Limapuluh lima sen!”

Jurulelong menghentakkan tukulnya di atas meja tanda penutup harga.

“Ya dijual dengan harga limapuluh lima sen!”

Saya dijual dengan harga limapuluh lima sen.

Saya tidak faham mengapa ada orang yang tidak suka pada saya dan melakukan sesuatu yang tidak saya sukai terhadap saya di belakang saya sehingga saya dan keluarga saya dilelong seperti ini. Saya tidak mempunyai apa-apa kegemaran yang mengganggu orang lain.

Kegemaran saya cuma membeli-belah.

muka utama
profil penulisan
cerpen pilihan
nota ringkas
wawancara

 

HON!

Bahana Jul 1997

Saya melompatke tepi apabila sebuah kereta Mercedes berhenti di tepi jalan dan mengehon. Mungkin saya yang dihonnya. Kereta ini berwarna hitam berkilat dan bersih seperti baru saja dibeli. Saya tidak ada kawan dari kelas atas jadi saya pun berjalan terus. Kawan-kawan saya cuma yang setaraf dengan saya atau yang lebih rendah kedudukannya daripada saya. Ini bukan kerana apa (bukan kerana mereka sombong) tapi kerana saya tidak tahu bergaul dengan orang kelas atas. Entah mungkin saya saja yang beranggapan bahawa mereka itu orang kelas atas tapi bagi mereka sendiri mereka biasa-biasa saja.Hon! Hoon!

Saya berjalan saja terus kerana menyangka bukan saya yang sebenarnya dihon. Mungkin orang lain yang dihon – orang di hadapan yang sedang berjalan tertempang-tempang bertongkat ketiak sana misalnya. Saya berjalan, kereta mercedes ini pun bergerak juga dengan perlahan seperti perlahannya langkah saya.

Hoon!Hon!

Saya memperlahankan lagi jalan saya. Kereta Mercedes ini pun memperlahankan geraknya. Saya melihat ke dalam cermin kereta ini. Cerminnya berwarna gelap sedikit jadi nampak kurang jelaslah siapa yang ada di dalam. Cuma kelihatan ada kepala yang memandang ke arah saya. Saya menunjuk ibu jari saya ke dada saya sendiri sebagai isyarat apakah saya yang sebenarnya yang dihon-hon itu tadi. Kepala yang di dalam kereta ini mengangguk.

Saya berhenti berjalan dan kereta mercedes ini pun berhenti berjalan. Pintu belakangnya pun dibuka. Nampaklah saya siapa yang di dalamnya. Kawan saya yang lama sudah saya tidak jumpa.

“Masukih,” katanya. “Kau ani Dih inda mau-mau dihon!”

Hanya seorang sahaja di dunia ini yang memanggil saya dengan panggilan ‘Dih’ – Abd.Hamid bin Hj.Ahmad, ia berasal dari Kampung Labi.

“Kau Mid? Manatah kutau kau,” kata saya. “Pikirtah dato-dato pihin-pihin. Aku mana ada kawan orang kelas atas.”

“Eh kau ani inda pandai baubah-ubah dari dulu,” katanya. “Masih lagi bakasta-kasta.”

“Bukan kasta,” kata saya. “Kusta – bakusta!”

“Indatah pandai baubah-ubah kau ani!” katanya. “Apa abarnya kau – cutikah? Macam orang bangkrap saja usulmu ani.”

“Biasa-biasa saja,” kata saya. “Kelas bawah dengan masalah kelas bawahnya. Kelas menengah dengan masalah kelas menengahnya. Kelas atas dengan masalah kelas atasnya.”

“Sadangtah bakelas-kelas ani,” katanya. “Masyarakat ani semuanya sama rata!”

“Atu kuminis tu,” kata saya.

“Yang banarnya kau apa khabarnya – lama sudah kitani inda bajumpa-jumpa.”

“Aku biasa-biasa saja,” kata saya. “Kelas bawah dengan masalah kelas bawahnya. Kelas menengah dengan masalah kelas menengahnya. Kelas atas dengan masalah kelas atasnya.”

“Ada dua belas tahun kali sudah kitani inda bajumpa-jumpa,” katanya.

“Kau apa abarmu?” kata saya.

“Aku baik-baik saja,” katanya.

Saya memandang ke arahnya. Saya tengok badannya yang berpakaian serba mahal. Ia nampaknya sihat. Mukanya berwarna cerah dan bibirnya senyum saja. Rambutnya masih hitam dan lebat (tidak macam saya sudah putih dan semakin lasak). Kulitnya nampak tidak berkedut dan urat-uratnya pun tidak berapa timbul. Ya memang kawan saya ini baik-baik saja.

“Awu memang kau ani baik-baik saja,” kata saya sambil menepuk pahanya. Pahanya keras tidak seperti daging. Bunyinya pula, tung, seperti kosong di dalam.

“Sabalah kakiku inda lagi ada,” katanya sambil ketawa kecil. “Bapotong.”

“Eksiden kah?” kata saya.

“Inda,” katanya sambil ketawa. “Kujual.”

Saya tahu kawan saya ini. Antara kami berdua kami selalu berlawan atas mengatasi – siapa menang akan membantu yang kalah. Dari kecil kami sama-sama bersekolah hinggalah ke sekolah menengah (Maktab Anthony Abell, Seria) kemudian saya melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan balik dengan tidak membawa apa-apa kelulusan sementara itu ia terus saja bekerja di Kuala Belait di sebuah syarikat swasta (katanya di dalam suratnya dahulu sebagai peon). Saya tahu ia tidak berbohong kerana ia tidak pernah berbohong kepada saya atau kepada sesiapa pun. Ia pun dulu pernah mengatakan untuk mengelak dari bercakap bohong seseorang itu adalah lebih baik banyak berdiam diri. Ia memanglah seorang yang pendiam.

“Masih kau karaja peonkah?” Saya merasa bodoh menanyakan ini kerana manalah ada peon berkereta mahal dan berdrebar pula.

“Lama sudah kuberanti karaja,” katanya. “Jangantah banyak soal – minum kitani di kadai.”

Ia mengarahkan drebarnya memandu ke Kompleks Kiarong. Saya memandang drebarnya dan membuat perkiraan di dalam kepala saya. Saya mahir menghitung dan mengira. Drebarnya ini ada kurang 0.01 peratus – apa yang kurang saya tidak pasti. Kami menuju ke restoran Sri Indah. Drebarnya tidak ikut minum ia hanya duduk di kereta saja. Saya memang selalu juga minum di sini bersama P.Bincin [1] seorang penulis cerpen sambil berbincang-bincang sedikit tentang sastera dan projek masing-masing.

“Di sana sanang parking,” katanya kepada saya. Di kedai minum giliran saya pula yang disoal. Saya tidak keberatan pula untuk bercerita. Memang kegemaran saya bercerita. Setiap soalan saya jawab dengan panjang lebar.

“Masih kau bakaraja di DBPkah?” tanya kawan saya ini.

Saya selalu disalah-anggap bekerja di DBP kata saya. Dulu semasa menganggur adalah saya bekerja part-time membuat ilustrasi buku dan majalah tetapi bukan dengan DBP saja juga dengan Borneo Bulletin dan dengan beberapa agensi pengiklanan. Saya cuma sekali sekala menulis cerpen untuk majalah di DBP itu saja.

“Dan muhaku,” kata saya, “memang selalu kelihatan ikut meramai-ramaikan aktiviti yang berkaitan dangan penulisan dan sastera di DBP terutama sekali kalau kutau krew RTB akan membuat liputan.”

“Awu selalu kutaliat muamu di televisyen,” katanya. “Sibuk-sibuk di DBP.”

“Aku bakaraja di RTB,” kata saya.

“Eh glamour tu,” katanya diikuti dengan tawanya.

“Karaja jadi kuli inda jua berapa glamour,” kata saya.

Kami bercerita-cerita panjang di kedai minum dan saya makan nasi ayam, ia yang belanja. Ia menghantar saya pulang ke rumah. Saya ajak ia masuk melihat-lihat rumah saya yang baru saja siap. Drebarnya duduk saja di kereta, belum lagi saya dengar membuka mulut untuk bercakap.

“Okeykah drebarmu atu?” kata saya. “Pendiam jua orangnya.”

“Bukan orangtu,” kata kawan saya diikuti dengan tawanya. “Robot tu.”

Kami masuk ke rumah. Saya baru saja pindah dan barang-barang belum lagi tersusun kata saya. Perabot-perabot belum cukup. Masih banyak lagi kelengkapan rumah yang perlu saya beli – katil, tilam, almari dan rak-rak buku, meja makan – kurang-kurang pun saya memerlukan wang tiga puluh ribu ringgit untuk mengisi rumah ini. Nanti saya ikut peraduan mengarang novel mudah-mudahan saya menang – juga honorarium dari cerpen ini akan dapat membantu sedikit. Tiga puluh ribu ringgit tidaklah terlalu mahal – saya boleh saja meminjam di bank akan tetapi gaji saya sudah pun banyak potongannya kerana membina rumah ini – potongan pinjaman rumah, potongan pinjaman membeli kereta (sebenarnya kereta lama saya reloan semula, wangnya untuk menimbuk tapak rumah ini), potongan api elektrik, potongan air, potongan gaji pembantu rumah, potongan yuran persekolahan seorang anak yang belum layak menerima elaun pelajaran, potongan untuk bayaran kad kridit, potongan hutang membeli Encyclopedia Britannica CD Rom – (saya seharusnya membeli saja CD-Rom yang dicetakrompak – $20 sahaja bukan $3,000!). Setelah ditolak semua termasuk perbelanjaan makan minum ala kadar untuk sebulan, minyak kereta untuk sebulan dan berus gigi, sabun dan serbuk pencuci dan sebagainya – gaji saya dalam sebulan sekarang ini hanya tinggal $55.25 sen.

“Padan usulmu macam orang bangkrap,” kata kawan saya diikuti dengan tawanya..

“Inda lagi dapat enjoi!” kata saya. “Anitah akibat sudah kan pencen baru kan membuat rumah!”

“Razeki atu ada di mana-mana,” kata kawan saya ini. “Jangan susah! Cuma kitani perlu berusaha dan bakorban sadikit.”

“Kau bolehlah cakap macam atu – orang sudah kaya,” kata saya.

“Aku asalku peon jua,” kata kawan saya ini. “Masa ani rumahku tiga kali ganda basarnya daripada rumahmu ani, keretaku ada sepuluh buah – dua buah Lexus, BMW, Mercedes, Audi, Porche, Volvo….”

“Ambong kau ani eh,” kata saya.

“Bukan kuambong – kan membagi contoh saja,” kata kawan saya. “Aku boleh menolong kau. Iatah gunanya kawan ni.”

“Masa sasak-sasak ani apa saja pun sanggup kubuat,” kata saya. “Mengampu, meminta sadakah anugaraha, mengambil usin ikut batadarus, doa selamat saringit dua ringgit inda kira!”

“Semangat kan dapat sanang atu lurus sudah – bakubar-kubar. Cuma caranya saja inda kutapakai, inda berapa mendatangkan hasil,” kata kawan saya ini.

Setelah ia melihat-lihat rumah saya ini – mengomen dan mengomplen di sana sini “inda halus buatannya – kontraktor murah kaupakai ani barangkali” dan “dui balum apa-apa lagi rumahmu ani – tai gigiku ganya ni,” ia pun meminta diri hendak pulang. Sebelum pergi ia meninggalkan kad alamatnya. Sumpah, saya tidak akan datang ke rumahnya. Mulutnya celupar menghina rumah saya. Saya menyesal bertemu dengannya. Saya sumpah ia di dalam hati – mudah-mudahan ia mati di tengah jalan berlanggar dengan trailer minyak Shell – keretanya terbalik, hangus dan ia sendiri menjadi abu.

“Bah, baik-baik jalan mudah-mudahan selamat sampai ke rumah,” kata saya menyalami tangannya. “Kirim salam arah pabinian dan paranakan.”

“Balumku babini,” katanya.

La, kata saya di dalam hati, tua banar balum babini.

“Atu saja yang aku kalah,” katanya. “Siapa manang harus mambantu yang kalah.”

“Selamat jalan,” mudah-mudahan ada trailer minyak Shell di dalam perjalananmu, saya merasa kasihan juga kepada kawan saya ini tetapi saya tidak akan mahu bertemu dengannya lagi, hati saya sudah tersinggung – rumah saya yang cantik dihiasi lampu-lampu kristal seribu ringgit sebiji di setiap bilik, rumah saya yang besar sepuluh buah bilik di bawah sepuluh buah bilik di atas dengan bilik tamu yang boleh muat lima ratus orang dengan jendela-jendela di dalam nampak orang yang di luar, orang yang di luar tidak nampak orang yang di dalam, yang hampir-hampir menjadikan saya papa kedana berhutang di tiga buah bank dikatakannya tai giginya sahaja, dikatakannya belum apa-apa lagi! Betul-betul ia sudah melampau! Orang seperti ini patut dibunuh saja atau dikubur hidup-hidup atau dicincang-cincang sampai lumat dan dagingnya diberi makan kepada anjing! Saya tidak akan membantu mencarikan ia seorang isteri. Lagi pula bukan senang mencarikan isteri untuk lelaki yang selama-lamanya cacat anggota tidak berkaki sebelah bertongkat ketiak ke sana ke mari – biarkan saja ia membujang dan kempunan!

“Datang-datang ke rumahku di Kampung Selayun,” kata kawan saya ini. “Jangan inda datang!”

“Aw – Insya Allah! Nanti kudatang!” saya melambaikan tangan kepadanya.

Dari jendela kereta Mercedesnya yang diturunkannya ini ia mengangkat dan melambai tangan kepada saya. Saya baru sedar bahawa jari-jari tangannya itu sudah putut hanya tinggal jari kelingking dan ibu jari, ia menunjuk saya dengan jari kelingkingnya itu. Saya kurang pasti apakah ini boleh dikira bersifat kurang ajar juga? Jika ia menunjuk dengan jari telunjuknya sudah pastilah ia bersifat kurang ajar – saya ada mengajar anak-anak saya bahawa jari telunjuk harus digunakan untuk menunjuk anjing, babi, najis dan diri sendiri semasa menyebut perkataan ‘aku’ ketika sedang marah-marah.

“Ingat ah,” katanya sambil menunjuk saya dengan jari kelingkingnya, “yang manang harus mambantu yang kalah! Aku kalah inda babini!”

Nampaknya ia betul-betul menagih supaya saya mencarikannya seorang isteri. Saya jadi ketawa besar-besar. Ya, pasti saya akan tolong mencarikannya seorang isteri! Mentua beberapa orang kawan saya ada yang sudah lama menjanda! Saya rasa mereka tidak akan terlalu memilih!

“Nanti kumenyuruh bini-bini datang ka rumahmu,” kata saya sambil menunjuknya dengan jari kelingking saya. “Pilih saja mana yang kautapakai.”

“Nanti kumambantu kau jadi orang kaya macam aku,” katanya. “Siapa manang harus mambantu yang kalah!”

Saya akan lupakan bahawa saya telah bertemu dengannya, saya akan lupakan bahawa saya pernah mengenalinya, saya akan lupakan bahawa saya pernah bersahabat karib dengannya, saya akan padamkan ia untuk selama-lamanya. Namanya tidak akan saya sebut atau ingat atau tulis. Cerita ini tidak akan saya jadikan modal untuk mana-mana cerpen saya. Saya tidak akan menulis cerpen tentang kami berdua ini. Pekara ini tidak akan saya bincangkan lagi untuk selama-lamanya.

“Tapi ani bukan cerpen kan yang kautulis ani?” tiba-tiba P.Bincin muncul berpakaian kerja – berkemeja putih bertali leher dengan asap tebal yang sekejap menghilang. “Cerpen ani pasal kamu dua jua ni!”

“Di mana kaubelajar special effects ani?” kata saya. “Masuk-masuk arah cerpen orang macam hantu baasap-asap lagi tu?”

“Sengaja datang kan maliat-liat rumahmu ani,” kata P.Bincin. “Inda jua basar banar rumahmu ani. Inda jua sampai sepuluh buah bilik di bawah sepuluh buah bilik di atas. Bilik tamumu ani barangkali ganya muat seratus orang baasak-asak. Jendela ani jendela-jendela biasa – orang di dalam nampak orang yang di luar, orang yang di luar nampak orang yang di dalam. Mana lampu kristal seribu ringgit sebiji ah – atu lampu putih panjang tiga ringgit sebiji jua tu. Berapa buah bilik kan rumahmu ani banarnya?”

“Lima buah bilik di atas, lima buah bilik di bawah,” kata saya. “Atu yang banarnya.”

“Ini satu bentuk narrative self-erasure [2] , teks awal dikensel oleh teks yang kemudian,” kata P.Bincin. “Jangan kamu pacaya cakapnya ani. Pencerita inda boleh dipacayai bah ia ani. Indada kumasuk ke dalam cerpennya ani baasap-asap macam hantu. Mustahil orang banar boleh masuk ke dalam dunia teks. Notakaki satunya atu inda banar. Balum ada antologi puisiku atau antologi cerpenku yang terbit. ”

“Bah sudahtah,” kata saya kepada P.Bincin. “Jangantah lagi mengacau-ngacau cerpen ani.”

“Awu awu,” kata P.Bincin. “Aku pun sibuk ni banyak karaja di pejabat. Ada banyak bangsa yang balum lagi kukaji.”

P.Bincin berdiri tegak dan berpeluk tubuh. Ia memejamkan matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka matanya semula. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Sekarang dahinya mulai berpeluh. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya.

“Kenapa kau?” kata saya.

“Inda kudapat melanyapkan diriku. Inda ku dapat jadi asap,” kata P.Bincin dahinya sekarang berpeluh-peluh.

P.Bincin berdiri tegak lagi dan berpeluk tubuh. Ia memejamkan matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka matanya semula dan memandang sekeliling. Ia menggeleng-gelengkan kepalanya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Sekarang baju kemeja putihnya basah oleh peluh badannya. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia memejamkan lagi matanya rapat-rapat – keningnya terangkat sedikit dan dahinya berkedut. Ia menarik nafasnya dalam-dalam dan menahannya selama beberapa saat kemudian melepaskannya. Ia membuka lagi matanya semula dan memandang kelilingnya. Ia menggeleng- gelengkan kepala.

Ia masih gagal menjadikan dirinya asap untuk menghilang.

Ia mengambil keputusan untuk bersembunyi di balik langsir. Katanya ia tidak mahu lagi mengganggu perjalanan cerpen ini.

“Nanti rosak Sastera Melayu Moden Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Sebuah van berwarna kuning krim masuk ke pekarangan rumah saya. Van ini masuk terus ke garaj dan berhenti betul-betul di depan pintu depan rumah saya. Saya keluar dan berdiri di depan pintu. Mungkin kerana keadaan saya yang kusut ‘macam orang bangkrupt’ menyebabkan drebar van ini yang entah bangsa apa, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab menyuruh saya memanggil majikan saya. Bahasa Melayunya baku tetapi pelatnya bukan pelat Melayu. Saya agak ia lebih biasa berbahasa Inggeris.

“I work with the Government,” kata saya. “Do you want me to call the Government?”

“No, no,” katanya,” we mean we want to see Hj.Morshidi bin Hj.Marsal [3] the owner of this lovely house.”

“I am Hj.Morshidi,” kata saya sambil mempersilakan mereka masuk.

Saya merasa kambang sedikit apabila rumah saya dikatakan ‘lovely house’. Mereka lima orang kesemuanya. Perawakan mereka lebih kurang sama antara satu sama lain, entah bangsa apa, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab. Seorang membimbit sebuah beg hitam eksekutif. Mereka semua berpakaian serba putih. Oleh kerana memang sifat saya yang tidak puas hati selagi sesuatu yang menjadi soalan di kepala saya belum terjawab – saya akan tanya terus tidak kira kurang ajar atau tidak.

“Saudara-saudara ini dari mana?” kata saya. “Saudara-saudara ini bangsa apa – bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab?”

“Saya akan terangkan siapa kami secara panjang lebar dan juga terus tentang apa tujuan kami datang ke mari,” kata salah seorang daripada mereka. “Kami ini adalah satu bangsa yang baru wujud sejak kira-kira lima dekad yang lalu. Pada mulanya kami sendiri pun tidak tahu bahawa kami wujud. Kami bermula dari satu kelab eksklusif bagi orang-orang yang seperti kami yang kurang jelas bangsa apa. Untuk menjadi ahli kelab ini seseorang itu mesti boleh membuktikan bahawa ia adalah campuran daripada sekurang-kurangnya sepuluh bangsa. Kami adalah bangsa antarabangsa – bangsa global. Hampir-hampir enam puluh peratus daripada orang-orang yang terbaik di dalam bidangnya adalah daripada bangsa kami. Kami memiliki makmal sains dan penyelidikan yang paling maju di dunia di dalam semua bidang. Teknologi yang ada sekarang ini, yang saudara lihat setiap hari bagi kami sudah seratus tahun ketinggalan zaman. Akan tetapi masyarakat belum dapat menerima akan penemuan-penemuan dan ciptaan-ciptaan kami jadi apa-apa yang terbaru kami cipta hanyalah untuk kegunaan bangsa kami dan untuk memajukan lagi bangsa kami. Ciptaan-ciptaan yang sudah lama tetapi amat baru dan canggih bagi saudara kami salurkan ke pasaran dunia. Bangsa kami adalah bangsa yang termaju sekarang ini dan kami boleh menguasai apa sahaja bahasa di dunia ini paling lama dalam masa lima minit seperti kami menguasai bahasa Melayu saudara. Makmal-makmal penyelidikan kami sentiasa memerlukan bahan-bahan untuk dieksperimen dan kami sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan apa-apa yang kami perlukan – di sinilah saudara boleh membantu kami dan kami membantu saudara. Segala dokumen yang diperlukan sudah pun kami sediakan dan isikan – kami tahu saudara paling benci mengisi borang – saudara hanya perlu membubuh tandatangan sahaja.”

“Ya, saya benci borang,” kata saya. Tahun lepas saya pernah menang peraduan meneka berapa biji tin minuman Pokka yang boleh diisi ke dalam sebuah kereta Mitsubishi Pajero. Peraduan meneka tersebut tidak memerlukan saya mengisi borang. Orang ramai hanya ditanya untuk memberikan bilangan yang dikiranya tepat. Sudah lebih seribu orang yang ditanya dan belum ada yang memberikan jawapan yang dikehendaki oleh pihak penganjur dan penaja. Kebetulan saya lalu dan ditanya.”

“Berapa tin Pokka boleh masuk ke dalam Pajero ani?” [4]

“Saya mempunyai kemampuan matematik yang luar biasa. Saya boleh mengira dengan tepat dan pantas. Sejak saya kecil lagi saya sudah suka menghitung dan mengira. Dari menghitung saya menjadi mahir mengira. Saya boleh meneka berapa banyak sesuatu benda boleh mengisi sesuatu ruang tanpa menghitung. Saya hanya perlu melihat dan kemudian membuat kalkulasi di dalam kepala saya. Mula-mula saya hanya menghitung apa yang saya dengar.  Kegemaran saya ini bermula ketika saya berumur tiga tahun. Pada suatu hari pada tahun 1958 saya terdengar satu letupan senapang. Beng! Saya betul-betul ketakutan. Satu, kata saya. Tidak lama kemudian ayah saya menyuruh kami adik-beradik bersembunyi di bawah meja makan. Keliling kami dikubukannya dengan tiga lapis tilam kapok.”

Beng!

“Dua,” kata saya.

Beng!

“Tiga,” kata saya.

Beng!

“Empat,” kata saya.

Beng!

“Lima,” kata saya.

Beng!

“Enam,” kata saya.

Beng!

“Tujuh,” kata saya.

Beng!

“Lapan,” kata saya.

Beng!

“Sembilan,” kata saya.

Beng!

“Sepuluh,” kata saya.

Beng!

“Sebelas,” kata saya.

Beng!

“Dua belas,” kata saya.

Beng!

“Tiga belas,” kata saya.

Beng!

“Empat belas,” kata saya.

Selepas itu sunyi dan saya menghitung bunyi degup jantung saya yang pantas dup satu dup dua dup tiga dup empat dup lima dup enam dup tujuh dup lapan dup sembilan dup sepuluh dup sebelas dup dua belas dup tiga belas dup empat belas dup lima belas dup enam belas dup tujuh belas dup lapan belas.

Beng!

“Lima belas,” kata saya dengan terkejut.

Kemudian tidak ada bunyi tembakan lagi. Sejak hari itu dan sampai sekarang saya tidak dapat membuang tabiat menghitung apa saja yang saya dengar dan kemudian juga menghitung apa saja yang saya lihat. Sampai sekarang saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Macam-macam cerita yang saya dengar mengenainya. Versi yang paling jelas saya ingat ialah seorang lelaki berumur empat puluh tahun dari luar negeri telah dibuang kerja dan diperintah membayar balik wang kerajaan yang digelapkannya untuk membayar hutangnya yang berjumlah lebih setengah juta ringgit, lalu ia mengamuk dan menembak mati empat belas orang yang melintas di depan rumahnya – sebuah rumah kerajaan di Jalan Tasik, Bandar Brunei (sekarang Bandar Seri Begawan) selang tiga buah rumah  dari rumah kerajaan tempat kami tinggal.  Tembakan yang kelima belas ia menembak dirinya sendiri. Tidak ada sesiapa yang mahu tinggal di rumah tersebut selepas itu kerana ia dipercayai berhantu. Orang mati bunuh diri selalunya jadi hantu. Tentulah ini tidak benar. Manusia tidak perlu menunggu mati atau bunuh diri baru jadi hantu – semasa hidup pun sudah banyak yang menjadi hantu.

“Ji,” kata P.Bincin memekik dari notakaki empat suaranya kedengaran kecil. “Melarat-larat cerpenmu ani – inda tantu ceritanya. Indada baplot. Plot longgar!”

“Kau apa taumu,” kata saya. “Baru jua kau kan belajar-belajar menulis cerita kanak-kanak. Baik pulang kaukaji bangsa orang yang entah bangsa apa, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab ani. Diurang ani sesuai ni untuk dijadikan bahan kajian Pegawai Kaji Bangsa.”

Saya meminta maaf kepada orang-orang yang bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab ini.

“Dia itu memang suka mengacau-ngacaukan cerita,” kata saya. “Teruskan apa yang hendak saudara terangkan.”

“Terima kasih, di sinilah kami boleh membantu saudara,” kata salah seorang daripada orang-orang yang entah bangsa apa, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab ini. “Saudara tidak perlu mengamuk atau membunuh diri memikirkan hutang-piutang saudara. Kami menawarkan kebahagiaan untuk saudara. Saudara hanya perlu menyain dokumen-dokumen yang kami sediakan ini. Saudara akan mendapat sepuluh buah kereta: dua buah Lexus, BMW, Mercedes, Audi, Porche, Volvo, Jaguar, Saab  dan Ferari. Saudara akan kami berikan seorang drebar untuk memandu saudara ke mana sahaja saudara mahu. Ia robot yang kami cipta 99.99 peratus seperti manusia berdaging dan berdarah palsu di luarnya – kurang 0.01 peratus dan di dalam adalah 100 peratus mesin. Saudara juga akan kami berikan wang sejuta ringgit Brunei tunai dan sebuah rumah yang tiga kali ganda besarnya daripada rumah saudara ini yang halus buatannya bukan buatan kontraktor murah, tukang-tukangnya dari bangsa kami yang mahir di dalam bidang masing-masing dan rumah saudara yang ini bolehlah saudara katakan “dui balum apa-apa lagi rumah ani – tai gigiku ganya ni,”. Untuk semua ini saudara hanya perlu berkorban sedikit. Untuk tujuan penyelidikan dan eksperimen sains di makmal-makmal kami, kami memerlukan kaki kanan saudara dari pangkal peha hingga ke hujung kaki dan tiga jari tangan kanan saudara iaitu jari telunjuk, jari tengah dan jari manis.”

Orang-orang ini memang lucu. Pastilah mereka ini gila semuanya. Jika mereka boleh bergurau saya juga boleh bergurau dan untuk melucukan lagi suasana, untuk melayan gurauan mereka saya pun menyain kesemua dokumen-dokumen yang mereka sediakan – satu salinan untuk diri saya sendiri.

“Dokumen-dokumen ini penting agar saudara jangan dituduh apa-apa oleh Biro Pencegah Rasuah,” kata salah seorang daripada mereka. “Mereka akan siasat saudara akan tetapi dokumen-dokumen ini akan membuktikan yang saudara kaya mendadak dengan cara yang tidak menyalahi undang-undang.”

Mereka pun membawa saya masuk ke dalam van kuning krim mereka dan seperti tidak ada apa-apa menanggalkan kaki kanan saya dari pangkal peha hingga ke hujung kaki dan tiga jari tangan kanan saya iaitu jari telunjuk, jari tengah dan jari manis. Saya tidak merasakan sakit dan darah saya tidak tumpah walau setitis pun. Mereka menggunakan peralatan-peralatan yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Saya diberikan tongkat ketiak yang sangat ringan tetapi tegap dan halus buatannya dan kaki kanan saya mereka ganti dengan kaki palsu [5] yang diperbuat daripada fibreglass. Saya ketuk-ketuk  kaki palsu ini tung tung – kosong di dalamnya.

Seorang daripada mereka membuat panggilan telefon dan tidak lama kemudian masuklah sepuluh buah kereta ke pekarangan rumah saya: dua buah Lexus, BMW, Mercedes, Audi, Porche, Volvo, Jaguar, Saab dan Ferari. Saya tidak dapat memastikan siapa di antara pemandu-pemandu kereta tersebut robot yang akan diserahkan jadi drebar saya. Mungkin mereka semuanya robot. Sebuah beg berisi wang tunai diberikan kepada saya, tidak perlu saya hitung, saya cuma perlu pandang beg dan isinya dan saya buat kira-kira di dalam kepala saya – memang sejuta ringgit Brunei di dalamnya. Saya diberikan sebuah dokumen legal hak memiliki sebuah rumah di sebuah kawasan di Kampung Selayun, Mungkim Sengkurong. Selesai segala urusan orang-orang yang entah bangsa apa, bukan Melayu, bukan Cina, bukan India, bukan Eropah, bukan Arab yang sesuai jadi bahan kajian Pegawai Kaji Bangsa ini pun pergi dengan van kuning krim mereka.

Sekarang saya jadi orang kaya. Tidak apa saya bertongkat ketiak.

Saja mengajak P.Bincin ke Kampung Selayun melihat rumah yang diberikan kepada saya. Ia masih belum dapat menjadikan dirinya asap. Ia telah mencuba sehingga berpeluh-peluh dahi, tengkuk dan belakangnya – dan bajunya sekarang sudah basah melekat pula pada kulit badannya. Saya belum lagi memasang alat penghawa dingin di rumah ini. Ini saya akan uruskan segera kerana sekarang wang saya sudah melebihi daripada cukup. Saya sudah jadi orang kaya – tidak apa kaki kanan dan tiga jari tangan kanan saya tidak ada.

“Jual saja paha, jual saja tiga buting jari sudah jadi orang kaya,” kata P.Bincin memanjat keluar dari notakaki empat. “Sanang, inda payah mengisi borang berabut-rabut menulis ikut peraduan mengarang novel!”

Kami masuk ke dalam kereta.

Hon!


* Semua watak di dalam cerpen ini adalah orang-orang benar,  hadir dengan nama-nama mereka yang sebenar. Tempat-tempat di dalam cerpen ini juga benar-benar wujud begitu juga dengan kejadian-kejadian, masalah-masalah dan konflik-konflik yang ada di dalamnya semuanya adalah benar-benar berlaku – bukan imaginasi atau rekaan pengarangnya. Dialog-dialog di dalam cerpen ini adalah benar sepanjang ingatan saya. Jika ada sesiapa yang merasa tersinggung kerananya itu bukanlah salah saya dan saya tidak perlu minta maaf. Harap maklum!

[1] Nama sebenarnya Pudarno bin Bincin berkelulusan B.A (UK) dalam bidang Antropologi bekerja sebagai Pegawai Kaji Bangsa di Muzium Teknologi Melayu telah menghasilkan kertas-kertas kerja dan tulisan-tulisan ilmiah di dalam bidang kajiannya dan juga esei-esei sastera. Ia juga menulis cerpen-cerpen yang memenangi hadiah-hadiah kreatif majalah Bahana dan sebuah novel yang bakal diterbitkan oleh DBP bertajuk Janji Gintamini yang telah menang hadiah penghargaan.. Puisi-pusinya terkumpul di dalam antologi perseorang Kubu Kalbu Kelabu Biru (DBP Brunei – 1990) dan cerpen-cerpennya di dalam antologi perseorangan Bangun Tidur   (DBP Brunei – 1993).

[2] Brian McHale, POSTMODERNIST FICTION  (London and New York , Routledge 1987)  105 – 106 (But characters, of course, are not the only elusive existents in the worlds projected by narrative texts. Such worlds are also ‘peopled’ by non-human organisms, man-made artifacts, landscapes, interiors, and so on; by, in other words, objects of description. And all these existents, too, are like character susceptible to erasure.)

[3] Penulis cerpen yang juga menggunakan nama Mussidi. Cerpen-cerpennya terkumpul di dalam antologi perseorangan KECOH (DBP Brunei – 1991) , A4 (DBP Brunei – 1993) dan TAI (DBP Brunei – 1995). Karya mutakhirnya berupa sebuah cerpen bertajuk HON! yang tidak mahu ketinggalan menampilkan gaya baru dengan menggunakan notakaki. Cerpen tersebut terbit di dalam majalah Bahana keluaran bulan ini.

[4] Saya telah meneka dengan betul dan menang sebuah kereta Pajero yang tidak boleh ditukar-ganti dengan wang atau sebagainya. Urusan-urusan rasmi untuk memiliki kereta Pajero tersebut memerlukan saya mengisi sendiri segala macam borang jadi saya menolak menerima hadiah tersebut. Begitulah betapa bencinya saya akan borang – diupah sejuta ringgit pun saya tidak akan mahu berurusan dengan borang. Peraduan meneka tersebut bubar pada hari itu juga.  Banyak orang marah kepada saya. Ada yang mengatakan saya ini bodoh.

Saya tidak sanggup menghadapi borang. Jika borang diletakan di hadapan saya dan saya disuruh mengisinya – dahi saya akan berpeluh, tengkuk saya akan berpeluh dan seluruh tubuh saya akan menggigil kedinginan dan tangan saya akan terketar-ketar, kepala saya akan pening dan akhirnya saya akan jatuh pingsan. Selalunya urusan mengisi borang ini (jika saya tidak ada pilihan lain) saya upahkan orang lain menyelesaikannya. Banyak kesempatan dan peluang telah saya sia-siakan kerana kelemahan saya ini. Saya percaya bahawa saya telah terkena buatan orang dan saya telah cuba berubat di sana sini mencari dukun dan bomoh. Wang saya banyak habis kerana ini.

“Indaku taho nih mengobat penyakitmu hani.”

“Penyakit jiu toh indoh ji manja menguduh!”

“Nggak bisa diubatin.”

“Penyakit ini tak ada ubatnye.”

Akhirnya saya mengambil keputusan bahawa hidup saya boleh sahaja bahagia tanpa perlu mengisi borang.

“Ji,” P.Bincin muncul entah dari mana. “Ani kalau dibiar-biarkan notakakimu ani jadi sebuah cerpen ni.”

“Kau diam saja kau,” kata saya. “Ani cerita babingkai yang kubuat ani. Orang dulu-dulu macam ani tah bisia bacarita – cerita di dalam cerita di dalam cerita.”

Saya memandang arahnya. Tubuhnya kelihatan kecil daripada biasa – 50% kecil.

“Mangapatah badanmu jadi damit ani?” kata saya.

“Masuk ke dalam notakaki tapaksatah mendamitkan badan,” kata P.Bincin.

Sasuka hatinya masuk ke dalam notakaki orang.

[5]  Jika mereka boleh mencipta robot yang zahirnya 99.99% seperti manusia (berdarah daging palsu) mengapa pula mereka menggantikan kaki saya dengan kaki fibreglass dan tongkat ketiak? Sampai sekarang saya masih memikirkan pekara ini. Mungkin mereka mahu supaya saya selalu ingat bahawa saya telah menjual kaki dan paha saya dan tiga jari saya untuk mendapatkan kesenangan. Ya, ini mungkin saja. Bagaimana pula pendapat awda?

TANGGA [1]

Bahana Disember 1997

CAKAP AKU TAK PANDAI tapi buat tangga aku pandai. Kalau kau tanya nanti aku jawab lain. Nanti kau kata aku bodoh pula. Sudah banyak orang tanya macam mana aku buat tangga. Aku tak tau macam mana mau jawab. Cakap aku tak pandai tapi buat tangga aku pandai. Kerja aku buat tangga. Aku puji diri sendiri. Aku pandai benar dalam kerja ini. Tak ada orang boleh lawan aku. Orang panggil aku raja tangga. Kerja lain aku tak tau buat. Suruh aku buat tiang rumah – mesti condong. Tak ada orang mau aku buatkan tiang rumahnya. Tak ada orang mau tiang rumahnya condong. Aku diajar jua buat tiang rumah. Aku pun mau jua belajar. Jadi aku pun belajar – belajar buat tiang rumah step bai step. Aku belajar benar-benar. Kau tak akan jumpa orang lain lebih rajin belajar dari aku. Aku pun mau baiki hidupku. Aku mau naik pangkat atau paling kurang naik gaji. Tiang rumah yang aku buat condong juga. Jadi fomen pun kata aku ini bodoh sangat.”Bodoh!” kata fomen.

Barangkali memang aku bodoh. Aku tak marah. Kalau aku marah tentu aku dibuang kerja. Kalau aku dibuang kerja apa hendak aku makan? Kata fomen makan saja tiang condong yang aku buat itu. Semua pekerja yang mendengar ketawa kekeh-kekeh. Kalau aku bodoh tentu saja aku terus makan tiang condong yang aku buat itu tapi aku taklah bodoh macam itu. Aku pun fikir sekejap sambil pandang tiang condong aku buat. Aku pandang tiang ini lama-lama. Ia cuma condong sikit saja tak patutlah fomen itu bising-bising tapi tetap juga tiang ini tak boleh dimakan. Kata fomen hah apa lagi? Aku pun kata pada fomen tiang ini simin dan dalamnya ada besi – tentu tak boleh makan. Gigi aku bukan kuat benar. Semua pekerja ketawa kekeh-kekeh. Ada yang ketawa sambil pegang perut. Aku tak nampak apa-apa pun lucu.

Lalu aku pun diajar buat kerja lain – pasang tile. Mula-mula aku disuruh lihat saja. Aku lihat cara pasang tile. Aku duduk tinggung. Aku lihat kawan aku kerja. Tiap geraknya aku tengok. Macam ini cara pasang tile kata kawanku. Nampak macam tak susah. Aku belajar benar-benar. Kau tak akan jumpa orang lain lebih tekun belajar dari aku. Aku pun mau baiki hidupku. Aku mau naik pangkat atau paling kurang naik gaji. Barangkali aku bodoh.

Tile yang kupasang tak pernah puaskan hati fomen. Susunannya lintang pukang dan tak rata. Jadi fomen pun kata aku ini bodoh sangat. Yalah memang aku bodoh. Aku tak marah. Kalau aku marah tentu aku dibuang kerja. Kalau aku dibuang kerja apa hendak aku makan? Kata formen makan saja tile yang aku pasang itu. Aku tak mau makan tile. Bila aku pandang tile lama-lama semua pekerja ketawa kekeh-kekeh. Ada yang ketawa sambil pegang perut. Ada yang ketawa sampai batuk-batuk. Makanlah kata mereka. Patutkah mereka suruh aku makan tile? Aku tak nampak apa-apa pun yang lucu.

Yalah, masa sekolah dulu pun aku selalu kena ketawakan. Kata cikgu di seluruh sekolah akulah yang paling rajin belajar. Aku pula yang paling bodoh. Yang paling senang bagi orang lain susah pula bagi aku. Aku terus juga belajar rajin-rajin. Kerana bodohku guru selalu marah dan aku disuruh lari turun naik tangga sekolah lima puluh kali. Tiap hari ada saja pekara bodoh aku lakukan. Tiap harilah aku disuruh lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Satu pagi aku dapat akal yang lebih baik dari akal guru – aku lari turun naik tangga limapuluh kali sebelum disuruh. Aku lari turun naik tangga sebelum loceng bunyi. Semua orang ketawakan aku. Guru besar panggil aku masuk biliknya. Aku masuk biliknya. Guru besar suruh aku duduk. Aku duduk. Aku pandang guru besar. Tak pula besar badannya. Besar lagi badan guruku.

“Siapa suruh lari turun naik tangga?” tanya guru besar yang tak besar badannya.

“Tak ada cikgu.”

“Mengapa lari turun naik tangga?”

“Saya bodoh cikgu..”

Guru besar macam hendak ketawa. Ketawanya keluar tapi tak besar. Ia suruh aku keluar. Aku keluar. Aku tak tau mengapa ia guru besar. Badannya tak besar. Suaranya tak besar. Ketawanya tak besar. Biliknya pun tak besar. Hari itu guru aku tak suruh aku lari turun naik tangga. Ia marah kerana aku bodoh tapi ia tak suruh aku lari turun naik tangga. Aku tau ia marah. Aku keluar bilik darjah. Aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Ia suruh aku henti. Aku tak mau henti.

“Saya bodoh cikgu.”

Mula hari itu aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali sebelum loceng bunyi.Aku lari turun naik tangga lagi bila guru aku marah. Tiap kali ia marah aku keluar bilik darjah dan lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Tiap kali ia kata aku bodoh aku keluar bilik darjah dan lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Guru besar panggil lagi aku masuk biliknya. Aku masuk bilik gurubesar. Guru besar suruh aku duduk. Aku duduk. Aku pandang guru besar. Tak pula besar badannya. Besar lagi badan guru aku . Ia tanya lagi mengapa aku lari turun naik tangga sekolah.

“Saya bodoh cikgu.”

“Sudah jangan lagi lari turun naik tangga,” kata guru besar yang tak besar badannya.

Aku tak peduli cakap guru besar. Aku tetap lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali sebelum loceng bunyi dan aku lari turun naik tangga lagi apabila guru aku marah. Tiap kali ia marah aku keluar bilik darjah dan lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Tiap kali ia kata aku bodoh aku keluar bilik darjah dan lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Aku rasa tangga sekolah ini tak baik buatannya. Belum sampai dua puluh kali turun naik aku sudah letih. Lima tahun aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali sebelum loceng bunyi dan aku lari turun naik tangga lagi apabila guru aku marah. Gurubesar pun tak peduli lagi. Ia tak sanggup larang aku lagi. Aku hairan mengapa ia guru besar. Badannya tak besar. Suaranya tak besar. Ketawanya tak besar.

Gurubesar mesti besar badannya. Gurubesar mesti besar suaranya. Gurubesar mesti besar ketawanya. Gurubesar mesti besar biliknya. Aku pun masuk ke bilik gurubesar walau ia tak panggil aku masuk. Gurubesar senyum kecil. Senyumnya juga tak besar. Gurubesar suruh aku duduk. Aku duduk. Ia tak panggil aku kata gurubesar.

“Mengapa mau jumpa saya?” kata gurubesar .

“Saya mau tanya cikgu,” aku kata.

“Tanyalah,” kata gurubesar.

“Mengapa cikgu gurubesar tapi badan kecil?”

Gurubesar ketawa besar. Aku terkejut besar.

Aku keluar bilik gurubesar dan lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Kalau orang ketawakan aku macam ini tentulah aku telah buat satu yang bodoh. Aku tahu aku telah buat satu yang bodoh. Tiap kali aku rasa bodoh aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Baru sepuluh kali aku turun naik kakiku sudah mula sakit. Kalau aku yang buat tangga ini tentu aku buat ia macam ini dan macam ini supaya kakiku tak sakit. Tiap kali aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali sebelum loceng bunyi aku fikir tangga ini boleh diubah. Aku gambarkan di kepala tangga yang macam mana. Inilah kerja aku setiap hari di sekolah. Ya, tangga sekolah ini boleh aku baiki biar kaki tak sakit dan pinggang tak sengal. Aku gambarkan di kepalaku tangga yang bagus – tangga yang aku mau. Ini yang aku selalu buat: gambarkan tangga di dalam kepala aku. Guru ajar tolak campur aku pejam mata rapat-rapat gambarkan tangga di kepala. Guru ajar tulisan aku pejam mata rapat-rapat gambarkan tangga di kepala. Guru ajar ejaan aku pejam mata rapat-rapat gambarkan tangga di kepala. Guru suruh eja ayam aku eja tangga.

“T-A-N-G-G-A ayam!”

Semua orang ketawa.

Guru suruh eja api aku eja tangga.

“T-A-N-G-G-A api!”

Guru suruh eja ela aku eja tangga.

“T-A-N-G-G-A ela!”

Eja tangga – itu saja yang aku pandai. Guru kata aku bodoh. Aku keluar bilik darjah. Aku lari turun naik tangga sekolah limapuluh kali. Sudah lari turun naik tangga limapuluh kali aku masuk bilik darjah. Aku duduk pejam mata rapat-rapat. Aku gambarkan tangga di dalam kepalaku.

Aku gambarkan tangga macam mana paling senang aku lari turun naik lima puluh kali. Aku gambarkan macam mana kaki aku turun naik tangga ini lima puluh kali. Aku gambarkan macam mana kaki aku letih tak letih turun naik tangga ini lima puluh kali. Macam mana kalau tangga sekolah ini aku gambarkan macam ini atau macam ini – letih tak kaki aku turun naik lima puluh kali? Kalau aku fikir kaki aku letih aku buat gambar lain. Macam-macam tangga sudah aku gambarkan. Aku gambarkan macam mana condong macama mana ratanya, tinggi rendahnya, lebar sempitnya. Semua ini aku gambarkan di dalam kepala aku. Ini aku buat setiap kali orang kata aku bodoh dan aku lari turun naik tangga lima puluh kali. Ini juga akubuatsetiap kali siap lari turun naik tangga lima puluh kali. Ini juga akubuatmasa duduk di bilik darjah masa guru ajar. Guru pun sudah tak mau ajar aku lagi. Bodoh sangat kata guru. Yalah aku bodoh tapi apa hendak aku buat. Bukan aku mau bodoh. Aku pun tak tau apa benarkah aku ini bodoh. Jadi satu hari aku tanya sama bapa kalau aku ini bodoh kerana semua orang kata aku ini bodoh.

“Pa, aku ani bodoh kah pa?” aku tanya bapa.

Bapa peluk aku kuat-kuat, ia usap-usap rambut aku kemudian ia tolak aku perlahan-lahan dari badannya kemudian ia pegang dua-dua bahu aku kemudian ia tengok dua-dua mata aku kemudian ia senyum sikit kemudian ia kata:

“Lai, orang bodoh atu labih baguna dari orang pandai. Orang pandai atu pandainya menipu pandainya ambil kesempatan. Orang bailmu atu salalu salah pakai ilmunya. Orang bapangkat atu banyak ugutnya, orang rajin …”

Banyak lagi yang bapa cakap kadang-kadang aku ingat sikit kadang-kadang aku ingat banyak. Kalau orang tanya, banyak orang pandai yang tanya aku kalau aku ini bodoh, inilah yang aku jawab. Aku jawab macam bapa cakap yang aku ingat – kadang-kadang aku ingat sikit kadang-kadang aku ingat banyak.

Satu hari bapa tanya aku mau jadi apa. Susah aku mau jawab soalan bapa. Kalau budak lain sudah tentu cepat jawab mau jadi doktor. Atau mau jadi loyar. Atau apa saja. Tak patut kalau aku jawab aku mau jadi doktor. Tak patut kalau aku jawab aku mau jadi loyar. Aku tak dapat jawab soalan bapa. Bapa tanya aku mau buat apa sudah besar nanti. Aku mau buat tangga, hati aku kata. Aku mau buat tangga dalam kepala aku kata.

“Pa, aku mau buat tangga,” aku kata.

Bapa suruh aku baiki tangga belakang rumah. Rumah kami kecil – hanya ada ruang tamu dan dapur. Kami tidur di ruang tamu. Tangga belakang rumah sudah lama rosak. Bapa berikan aku tukul, paku, gergaji, parang dan kayu. Aku sudah tau tangga macam mana yang aku mau buat. Tiap kali aku naik atau turun tangga belakang rumah ini, tiap kali juga aku nampak gambar tangga di dalam kepala aku. Tangga macam inilah yang akan aku buat.

“Aku buat tangga baru,” aku kata.

“Buatlah,” kata bapa.

Aku buat tangga seperti gambar tangga di dalam kepala aku. Tiap hari selepas sekolah aku buat kerja – lima hari siap.Tangga yang aku buat tak macam tangga biasa. Macam tidak saja bapa turun naik tangga yang aku buat ini. Ibu pun macam tidak turun naik tangga ini.

“Inda membari ngalih tangga mu ani,” kata bapa. “Macam bukan tangga.”

Ini cerita masa aku sekolah. Aku boleh cerita sampai pagi dan sambung lagi sampai petang dan sambung lagi sampai malam dan sambung lagi sampai pagi. Sekarang aku sudah kerja. Aku kerja jadi kuli kontrak. Gajiku tak besar. Aku buat kerja sampai fomen suruh aku rehat. Aku buat kerja sampai fomen suruh aku henti. Kalau fomen kata buat kerja sampai pukul dua belas, aku kerja sampai pukul dua belas. Fomen pun tak suruh aku buat lain dari tangga. Buat tangga, itu kerja aku. Buat tangga saja yang aku tau. Buat tangga aku tak payah tengok pelan. Tangga yang aku buat pun tak sama macam yang dalam pelan. Mula-mula dulu fomen marah aku. Tuan punya rumah tak marah aku – ia kata tangga ini lebih baik dari yang dalam pelan. Memang tangga ini lebih baik kerana aku yang buat. Kalau kau lari turun naik lima puluh kali tangga yang aku buat kau tak akan rasa apa-apa. Mungkin aku bodoh tapi buat tangga aku pandai. Banyak orang suka tangga-tangga yang aku buat. Banyak orang mau aku buatkan tangga rumah mereka.

Fomen henti kerja. Ia suruh aku henti kerja. Ia buat kompani sendiri. Kompani buat tangga. Ia ambil aku kerja dengannya. Gaji aku sama macam dulu juga. Fomen yang sekarang sudah jadi majikan aku sudah kaya. Ia kaya dengan cepat. Ia banyak dapat kerja dari orang-orang vip. Namanya terkenal pasal aku yang buat tangga. Semua orang suka tangga yang aku buat. Kata mereka naik tangga yang aku buat tak letih. Kerana tangga yang aku buat fomen yang sekarang sudah jadi majikan aku pakai kereta mercedes. Kawan-kawannya semua orang ada nama. Aku pun ada nama juga [2] .

Pekerjanya cuma aku satu orang. Katanya kalau aku mati bisnesnya mesti lingkup. Tak ada orang lain yang boleh buat tangga yang macam aku buat. Satu hari ia suruh aku ajar lima orang buat tangga yang macam aku buat. Aku tak tau macam mana mau ajar. Cakap aku tak pandai tapi buat tangga aku pandai. Lama-lama aku fikir aku suruh lima orang ini turun naik tangga biasa yang bukan aku buat limapuluh kali. Lima-lima orang ini tak sanggup.

“Bos,” kata mereka kepada fomen yang sudah jadi majikan aku. “Ia suruh kami naik tangga limapuluh kali.”

“Gila!” kata fomen yang sudah jadi majikan aku.

Orang kata aku gila. Itu tak apa. Orang gila itu tak banyak. Orang bodoh juga tak banyak. Permata tak banyak. Emas tak banyak. Aku kata orang pandai banyak. Sampah juga banyak. Tak patutlah aku marah kalau orang kata aku bodoh. Tak patut juga aku marah kalau orang kata aku gila.

Satu hari fomen yang sudah jadi majikan aku bawa satu orang putih. Orang putih ini tengok-tengok tangga yang aku buat. Orang putih ini kemudian lari turun naik tangga yang aku buat. Aku kira sepuluh kali ia lari turun naik tangga yang aku buat. Fomen yang sudah jadi majikan aku tengok orang putih ini turun naik tangga yang aku buat sambil peluk tubuh.

“Gud?” kata fomen yang sudah jadi majikan aku.

“Yes very good,” kata orang putih ini.

Selepas itu banyak lagi orang putih yang tengok tangga yang aku buat. Ada yang lukis tangga yang aku buat. Ada yang sukat tangga yang aku buat. Ada yang gambar tangga yang aku buat. Ada yang gambar aku sedang buat tangga. Satu hari fomen yang sudah jadi majikan aku bawa empat buah majalah orang putih. Dalam majalah-majalah ini ada gambar aku dan tangga-tangga yang sudah aku buat. Kata fomen yang sudah jadi majikan aku orang putih tulis pasal tangga-tangga yang aku buat. Mereka tulis panjang-panjang [3] .

Kata fomen yang sudah jadi majikan aku sekarang aku sudah terkenal di England, Eropah dan Amerika. Tidak lama lagi aku akan ke Paris buat tangga di sana, kata fomen yang sudah jadi majikan aku. Aku juga akan ke England dan Amerika. Tapi sebelum ke mana-mana aku disuruh buat tangga untuk flat sepuluh tingkat. Ini belum pernah aku buat. Fomen yang sudah jadi majikan aku pun tau ini belum pernah aku buat. Buat tangga untuk bangunan sepuluh tingkat. Tapi aku sudah bayangkan tangga macam mana.

“Bagi aku tempoh,” aku kata pada fomen yang sudah jadi majikan aku.

“Satu bulan?” kata fomen yang sudah jadi majikan aku.

“Tidak,” aku kata. “Tiga hari saja.”

Di rumah aku buat lukisan-lukisan tangga untuk bangunan sepuluh tingkat. Aku gambarkan tangga macam mana paling senang aku lari turun naik lima puluh kali. Aku gambarkan macam mana kaki aku turun naik tangga ini lima puluh kali. Aku gambarkan macam mana kaki aku letih tak letih turun naik tangga ini lima puluh kali. Macam mana kalau tangga bangunan sepuluh tingkat ini aku gambarkan macam ini atau macam ini – letih tak kaki aku turun naik lima puluh kali? Kalau aku fikir kaki aku letih aku buat gambar lain. Macam-macam tangga sudah aku gambarkan. Aku gambarkan macam mana condong macama mana ratanya, tinggi rendahnya, lebar sempitnya. Semua ini aku gambarkan di dalam kepala aku. Aku lukis tangga-tangga ini. Sekarang aku sudah tahu tangga macam mana yang akan aku buat. Satu hari saja aku fikirkan – aku sudah tahu tangga macam mana yang akan aku buat. Esoknya aku beri lukisan tangga pada fomen yang sudah jadi majikan aku.

“Satu hari saja siap?” kata fomen yang sudah jadi majikan aku.

“Saya suka buat tangga bos,” aku kata.

Fomen yang sudah jadi majikan aku angguk-angguk kepala. Memang ini cara aku kerja. Lukisan mesti aku beri pada fomen yang sudah jadi majikan aku. Sebelum aku mula buat tangga ia mesti sediakan dulu tiang-tiang tempat aku buat tangga.

Syarikat fomen yang sudah jadi majikan aku jadi lebih terkenal apabila tangga bagi flat sepuluh tingkat ini siap. Turun naik tangga yang aku buat lebih cepat dari turun naik lif yang di sebelah. Kerana tangga ini nama aku pun mula terkenal di dalam negeri. Di luar negeri aku sudah terkenal [4] .

Fomen yang sudah jadi majikan aku pun sudah dapat gelaran Datuk kerana tangga-tangga yang aku buat. Kompaninya banyak buat tangga untuk orang penting dan bangunan penting. Gaji aku pun ia sudah naikkan. Bolehlah aku beli radio baru dan sebuah tv empat belas inci.

Orang tv ada datang mau tanya-tanya aku. Tapi aku bukan suka kena tanya-tanya. Aku tak tau jawab soalan.

“Apakah rahsia kejayaan awda?” tanya orang tv.

“Aku orang bodoh,” aku jawab lain. “Orang bodoh tak banyak macam mutiara. Orang pandai banyak macam sampah! Orang bailmu salah guna ilmu. Ilmu sikit dibasar-basarkan. Orang bapangkat banyak ugutnya. Orang bakuasa banyak gertaknya. Orang malas rajin ngampu. Orang rajin kana ulun orang lain dapat nama…”

Ini pertama kali aku ingat semua cakap bapa. Aku cakap apa yang bapa cakap sampai habis- aku ubah aku tambah sana sini, aku tak tau lagi mana cakap bapa mana cakap aku.

Orang tv tak mau tanya apa-apa lagi. Mereka kata cakap aku tak boleh masuk tv. Mereka kata mereka semua takut mati.

Yalah, cakap aku tak pandai tapi buat tangga aku pandai.


notakaki :


[1] Cerpen ini berasal daripada cerita yang diceritakan kepada saya oleh seorang pekerja kontrak yang membuat tangga rumah saya. Saya edit dan usai di mana yang perlu. Sedapat mungkin saya kekalkan flavournya. Saya tambah juga di sana sini. Asalnya cerpen ini pendek. Saya berjanji kepadanya bahawa honorarium daripada cerpen ini akan saya bahagi dua – ia mendapat sebanyak bahagian yang ia ceritakan dan selebihnya hak saya.


[2] Di sini ia menyebutkan namanya. Atas dasar teknik karya seni kontemporari saya tak mahu menyebutkan namanya.


[3] Di sini ia menyerahkan majalah-majalah yang memuatkan artikel-artikel tentang dirinya. Sebuah majalah bahasa Inggeris, dua buah bahasa Perancis dan sebuah bahasa Jerman. Kesemua majalah tersebut majalah seni arkitek. Tangga-tangga yang dibuatnya dianalisa secara saintifik dan matematik. Saya sendiri kurang faham apa yang mereka tulis. Saya hanya baca yang bahasa inggeris. Ada kisah tentang dirinya  The Magical Stairway Man of Brunei. Gambar potretnya mengisi sehelai mukasurat. Saya percaya kisah tersebut direka oleh si formen. Kisah hidupnya itu tidak sama seperti yang diceritakannya ini. Di dalam artikel tersebut dikatakan bahawa membuat tangga adalah pekerjaan turun-temurunnya.


[4] Tangga-tangga yang dibuatnya memang menjadi kajian akademik oleh pengkaji-pengkaji luar negeri sejak terbitnya artikel-artikel permulaan tentang tangga buatannya dan dirinya. Tangga untuk pangsapuri sepuluh tingkat inilah yang paling magical. Jurutera-jurutera dari luar negeri datang untuk membongkar rahsia tangga ini – bagaimana tangga boleh mengalahkan lif. Dekonstruksi demi dekonstruksi dilakukan terhadap lukisan-lukisan asas tangga yang dibuatnya. Tangga rumah saya yang dibuatnya pun dilakukan kajian. Sudah sepuluh orang pengkaji luar ngeri datang ke rumah saya. Sedang ia membuat tangga rumah saya ini pun sudah ada dua orang pengkaji memerhatikan ia bekerja. Seorang bangsa perancis dan seorang bangsa jerman. Bahasa inggeris mereka tidak selancar bahasa inggeris saya. Jadi tidaklah susah saya menjawab soalan mereka. Mereka menyoalnya melalui saya. Soalan mereka cuma soalan latarbelakang saja.

“Ask him where he learns make staircase,” pengkaji dari Jerman menyuruh saya.

“He learns it from his father,” kata pengkaji dari Perancis. “His father from grandfather, grandfather from great-great-grandfather! Great-great-grandfather from great-great-great-grandfather and so on! I read that in World Architecture Review.”

“How kom hiz fader, grandfader, great-great-grandfader dont make staircase?” kata pengkaji dari Jerman. “Or if dey make but where?”

Pengkaji dari Perancis terdiam. Mungkin ia terfikir benar juga kata pengkaji dari Jerman ini.

“Ask him where he learns make staircase,” pengkaji jerman menyuruh saya.

“He learns it in primary school for five years,” kata saya. “It is a long short story with footnotes and you are in it.”

“What’s he talking about?” kata pengkaji dari Perancis kepada pengkaji dari Jerman.

“Never mind,” kata saya.

“Are you making jokes on us?”

Ia beberapa kali cuba diwawancara   – lain disoal lain dijawab dan cakapnya pula terlalu subersif. Akhirnya majikannya (si formen ) saja yang diwawancara dan menjadi bahan rujukan.

muka utamaprofil penulisan

cerpen pilihan

nota ringkas

wawancara

cerpen ini adalah di antara cerpen yang saya senangi – terhasil ketika rumah saya sedang dibangunkan.

TERCEMAR

Bahana Mei-Jun 2000

Janggutnya putih kira-kira dua ratus milimeter panjangnya.Dalam mimpi ini ia muncul dalam kira-kira lima saat sahaja. Ia tidak berkata apa-apa kemudian ia lenyap. Apabila saya terbangun saya cuba mengingati mimpi ini. Janggutnya putih kira-kira dua ratus milimeter panjangnya – ini saja yang dapat saya ingat.

Ini sudah pasti hanyalah satu daripada beribu-ribu mimpi yang datang sepanjang hidup saya hingga kini, umur saya sudah hampir lima puluh tahun. Mimpi-mimpi tersebut tidak ada yang benar (atau mungkin hanya sedikit yang benar) kerana itu saya suka menceritakannya kepada seorang kawan.

Kawan saya ini akan menafsir mimpi saya akan tetapi saya tidaklah pernah minta tafsirkan mimpi-mimpi saya. Mimpi yang tidak benar tidak pula ada gunanya untuk ditafsir-tafsir. Saya menceritakannya hanyalah kerana mimpi-mimpi tersebut tidak jelas dalam ingatan saya. Apabila kawan saya ini bertanyakan butir-butir mimpi tersebut saya pun menjadi ingat dan mimpi tersebut pun menjadi jelas. Dengan menjadi jelasnya mimpi-mimpi tersebut tidak pula ada apa-apa bagi saya – saya cuma suka kalau saya ingat mimpi-mimpi saya. Saya pula seorang yang selalu didatangi mimpi. Pukul rata saya mimpi 365 kali dalam satu tahun Tetapi tidak semestinya saya mimpi satu kali semalam. Ada kalanya saya tidak bermimpi selama dua hari tetapi akan bermimpi tiga mimpi pada malam yang lain belum dikira lagi mimpi siang hari kalau saya tidur.

Pagi-pagi di pejabat biasanya saya akan ditanya apa mimpi saya semalam. Pernah saya mimpi seekor ayam dan ini saja yang saya ingat dan kawan saya ini pun bertanyakan butir-butirnya.

“Ayam lakikah ayam bini?”

“Ayam bini.”

Ya, soalannya menyebabkan saya terus menjadi ingat.

“Ayam kampungkah ayam karan?”

“Ayam karan.”

“Batalor?”

“Awu.”

“Berapa biji?”

Setelah bertanya seperti ini dan mengumpulkan segala buti-butir yang penting, ia pun mula menafsir. Bagaimana ia memproses butir-butir tersebut dan apa sistem yang ia gunakan sampai sekarang saya tidak tahu dan memang saya tidak ingin hendak tahu. Ia akan membuat sedikit kira-kira dan dalam masa sepuluh minit akan menukar mimpi tersebut kepada nombor empat digit.

“Lawa nombor ani – 3699!” katanya. Ia mengibar-ngibarkan kertas tempat ia membuat kira-kiranya. “Grenti kana nombor satu ni! Ada ong ni?”

Begitu juga dengan mimpi saya yang terbaru ini saya ceritakan kepadanya.

“Laki-lakikah bini-bini?” kata kawan saya ini.

Bagi saya soalan ini tentulah tidak patut.

“Kalau bajanggut laki-lakitah tu,” kata saya. “Indakan bini-bini bajanggut!”

“Inda samestinya,” kata kawan saya. “Dalam mimpi laki-laki boleh basusu basar dan bini-bini boleh bajanggut. Boleh jadi jua pondan.”

Saya terdiam mendengar cakapnya ini. Barangkali betul juga apa yang dikatakan kawan saya ini. Sekarang saya betul-betul tidak tahu apakah yang berjanggut di dalam mimpi saya tersebut laki-laki atau perempuan atau pondan. Sekarang saya ragu-ragu – mungkin saja yang saya mimpikan itu binatang, kambing misalnya.

“Pentingkah kalau ia laki-laki atau bini-bini?” tanya saya. “Zaman sakarang ani inda patut ada diskriminasi seks lagi. Laki-lakikah bini-binikah – cuma anunya saja barbeza.”

“Penting tu,” kata kawan saya. Ia mengangkat tangan kanan separas mulutnya dan jari telunjuknya pun digerak-gerakkan. “Diskriminasi seks atau inda tapi nombor tatap ada nombor laki, ada nombor bini.”

Nada suara dan cara ia mengatakan “ada nombor laki ada nombor bini” bagi saya begitu tegas seolah-olah tidak boleh dibantah-bantah lagi. Di mana ia belajar ilmu matematiknya saya tidak tahu. Saya tidak pernah lulus matematik – matematik subjek paling lemah saya namun saya masih ingat ada nombor ganjil dan nombor genap bukan bini atau laki. Bayangkan jika ada nombor laki dan nombor bini, bagaimanakah seorang guru akan mengajar ilmu matematik? Banyak masalah akan timbul. Nombor laki tidak boleh dicampur dengan nombor laki atas alasan jelas bahawa itu adalah perlakuan seks di luar tabiee (liwat) dan boleh termasuk di dalam kanun keseksaan (ini menyebabkan saya terfikir bahawa lubang dubur itu jabatan undang-undang yang punya). Nombor laki boleh dicampur dengan nombor bini tetapi mesti cukup umur dan nikah dahulu jika tidak akan dituduh bersekedudukan haram (khalwat). Mungkin ini akan menjadikan matematik sangat menarik tetapi tentu sekali juga ia akan menjadi sangat rumit dengan segala macam masalah sosial. Tentu akan ada nombor yang lahir di luar nikah, yang dibunuh dan dimasukkan ke dalam plastik hitam juga pasti ada. Jika ada nombor laki dan nombor bini, ilmu matematik tentunya dicemari unsur seks.

Berbalik kepada mimpi dan kawan saya: ia tidak berjaya buat pertama kalinya mendapatkan butir-butir mimpi saya ini. Saya betul-betul tidak tahu dan tidak dapat ingat.

“Laki-lakikah bini-bini?” katanya lagi.

Saya tidak dapat menjawab. Yang saya ingat hanyalah janggut yang 200 mm panjangnya itu.

“Luan banyak soal kau atu,’ kata saya. “Inda pulang kusure yang kumimpi atu manusia kah binatang?”

“Balum cukup data,” katanya.. “Inda dapat ditafsir dengan tepat.”

Saya bermimpi lagi mimpi yang sama. Ia datang beberapa saat sahaja dan kemudian lenyap. Apabila saya terbangun yang saya ingat cuma janggut yang dua ratus milimeter panjangnya, tetapi sekarang jelas janggut ini berwarna putih. Jarang sekali saya bermimpi mimpi yang sama dan memang sepatutnyalah begitu kerana bermimpi yang sama adalah membuang masa bagi saya. Adalah lebih baik kalau mimpi kita berbeza-beza setiap kali tidur – ada kepelbagaian. Tetapi ada sesuatu tentang mimpi ini yang membuat saya berfikir-fikir. Ia tidak sama seperti mimpi-mimpi biasa. Mimpi-mimpi biasa selalunya meningalkan kesan misalnya lucu, sedih, gembira dan perasaan-perasaan yang lain yang biasa kita rasakan. Mimpi ini tidak meninggalkan kesan perasaan yang biasa kita rasakan. Ia tidak menjadikan saya ketawa, menangis dan senyum akan tetapi sukar juga untuk saya mengatakan atau menunjukkan dengan tepat apa yang saya rasakan. Barangkali bolehlah saya katakan ia adalah seperti api yang marak menyala tetapi tidak ada panasnya atau seperti sepohon kayu yang rimbun yang nampak sejuk untuk kita berteduh di bawahnya pada siang hari yang panas tetapi apabila kita menghampirinya ternyata ia tidak berbayang-bayang sementara pokok-pokok kayu yang lain semuanya berbayang-bayang – saya tidak tahu. Mungkin kerana ini saya tidak mahu lagi menceritakan mimpi ini kepada kawan saya. Saya rasa saya perlu melindungi mimpi ini dari dicemari – saya percaya bahawa janggut ini adalah janggut seorang wali Allah. Menafsir mimpi untuk dijadikan nombor ekor empat digit memang saya anggap sebagai mencemarinya.

Namun demikian saya tidaklah menyalahkan kawan saya ini jika ia mencemarkan mimpi-mimpi saya. Jika pun benar ia mencemari mimpi-mimpi saya – ini adalah kerana sayalah yang memberinya peluang dan juga barangkali setiap kita ada kecendrungan semulajadi untuk mencemari sesuatu. Apa pun yang semulajadi saya rasa tidaklah menjadi satu kesalahan. Hanya saja saya tidak akan memberi peluang kepada kawan saya ini mencemari mimpi saya pada kali ini.

Saya bermimpi lagi mimpi yang sama. Harus saya katakan saya adalah seorang pemimpi yang berpengalaman. Dalam had-had yang tertentu kalau saya mahu saya boleh mengawal mimpi saya, misalnya saya boleh menukar perempuan tua menjadi muda remaja menjadi gundik di dalam mimpi saya dan saya boleh memanjang-manjangkan mimpi saya. Jadi pada kali ketiga ini apabila saja ia muncul dengan janggut putihnya yang dua ratus milimeter itu saya terus bercakap.

“Kita ani datang mangajut-ngajut,” kata saya. “Kemudian tarus saja lanyap inda lagi bacakap-cakap tu. Dangan aku ani inda tah payah biskita babagai-bagai. Tarus tarang saja kalau ada kan dibaritau, cakap saja. Indatah payah bamisteri-misteri macam pohon kayu inda babayang-bayang macam api marak inda panas.”

Sebenarnya saya boleh lagi bercakap dengan panjang lebar kerana ini mimpi saya dan saya adalah pemimpi yang berpengalaman tetapi setelah semakin tua saya sudah tidak suka lagi membuang-buang masa kecualilah kalau ada mimpi yang menyeronokkan dan mimpikan orang berjanggut dua ratus milimeter tidaklah boleh saya katakan menyeronokkan. Sekarang ini pun banyak mimpi saya tidak lagi begitu menyeronokkan dan saya malas sekali hendak menukar-nukarnya. Saya sudah tua agaknya, mungkin ada hormon yang kurang di dalam diri saya. Kalau ada apa-apa pun saya ingin semua mimpi saya selesai dengan segera – masa itu emas.

“Beli paip besi seratus kaki panjangnya,” katanya dan kemudian ia pun lenyap.

Saya masih belum dapat mengecam mukanya dengan tepat tetapi suaranya saya seperti mengenalinya, saya pernah berjumpa dengan orang ini, tetapi setakat ini bolehlah saya katakan ia adalah seorang tua berjanggut, berserban dan berjubah putih. Saya terdiam, selama sepuluh minit saya tidak bergerak-gerak kemudian baru saya mengeleng-gelengkan kepala – di dalam mimpi-mimpi seperti ini, bertemu dengan seorang tua berjanggut dua ratus milimeter panjangnya, berserban dan berjubah putih kita biasanya mengharapkan akan diberi ilmu batin – ilmu boleh terbang atau berjalan di atas air misalnya atau sekurang-kurangnya ilmu kebal atau penyangkil paling tidak ilmu pugai bukan disuruh membeli paip besi seratus kaki panjangnya – membazir juga mimpi ini.

“Membali paip basi tah pulang kitani disuruhnya,” kata saya.

Esoknya saya pergi juga ke kedai besi.

“Mana ada aji,” kata cina tukang jual. “Mana ada jual paip besi satu latut kaki. Itu panjang bah. Sepuluh kaki sepuluh kaki adalah.”

“Tidak eh,” kata saya. “Saya mau beli yang seratus kaki juga.”

“Mana ada itu,” katanya. “Tidak ada olang bikin. Sikalang pun olang tidak pakai paip besi lagi. Semua olang pakai pvc. Sikalang pun olang tidak cakap kaki-kaki lagi. Semua sudah tuka kepade mete. Aji mau bikin apa sama paip besi satu latut kaki ah?”

“Saya pun tidak tau bah mau bikin apa sama itu paip,” kata saya. “Tapi saya mau juga.”

“Aji tidak tau ah?” katanya. “Haiya susah-susah mau cali paip besi satu latut kaki tapi tidak tau mau bikin apa – gila o aji! Hantu bukan olang pun bukan a! Sikalang sudah banyak olang gila o. Itu hali pun ada olang macam aji cali paip satu latus kaki juga.”

“Betulkah!” kata saya. Agaknya bukan saya seorang yang bermimpi mimpi tersebut. “Mana ada paip satu latus kaki,” katanya.

“Dia datang lagi beli paip sepuluh kaki sepuluh kaki punya. Beli sepuluh jadi satu latutlah.”

“Ada dia cakap apa-apa?” kata saya.

“Dia ada cakap, olang bodoh dalam mimpi pun kena malah.”

“Bukan,” kata saya. “Ada dia cakap dia mau bikin apa.”

“Dia pun macam aji juga tidak tau mau bikin apa,” katanya. “Hantu bukan olang pun bukan!”

Dengan kereta Toyota yang warna putihnya sudah kekuning-kuningan yang jalannya kadang-kadang tersentak-sentak, saya pergi dari satu kedai besi ke satu kedai besi. Lima buah kedai menjual barang-barangan besi jumlah semuanya saya lawati. Memang tidak adalah paip besi seratus kaki. Jika ada pun bagaimana hendak saya bawa, jika tidak mustahil tentu pula membahayakan dan menyusahkan pengguna-pengguna jalanraya yang lain.

“Mana ada paip besi satu latut kaki. Itu panjang ba aji.”

“Sikalang mana ada olang pakai paip besi lagi. Semua pvc.”

“Kaki-kaki tidak pakai lagi o. Undang-undang sekalang kita pakai mete o, aji.”

Satu minggu saya mencari-cari paip besi seratus kaki, saya masih belum mendapatkannya juga. Selama seminggu ini pula saya tertunggu-tunggu kedatangan orang tua berjanggut, berserban dan berjubah putih ke dalam mimpi saya. Saya menunggu arahan-arahan lain. Saya mahu memberitahunya bahawa tidak ada paip besi seratus kaki.

Ia tidak muncul-muncul dalam mimpi saya. Meskipun saya berpengalaman akan tetapi saya tidaklah berkuasa mendatangkan mimpi yang saya mahukan. Saya hanya boleh menukar mimpi yang datang dan ini pun hanya dengan cara perlahan-lahan dan senyap-senyap sehingga orang-orang yang di dalam mimpi tersebut tidak sedar yang mereka sudah bertukar menjadi lembu atau lain-lainnya. Saya kira biskita pun tahu jika kita mengharap-harapkan mimpi tertentu datang, ia pasti tidak akan datang. Walau macammanapun saya rasa saya masih mempunyai cara untuk mendatangkan mimpi tersebut. Saya pernah berguru dengan seorang guru tariqat, saya kira mimpi juga sama seperti khusyuk yang saya pelajari darinya. (Untuk ini izinkan saya berpropaganda sedikit – mudahan-mudahan kita semua mendapat sedikit pengajaran.)

“Khusyuk memang dituntut di dalam sembahyang,” kata guru saya. “Tetapi hanya sedikit orang yang khusyuk. Kesilapan utama ialah apabila orang yang mengajar tidak pernah beribadat dengan khyusuk. Kesilapan kedua adalah apabila khusyuk itu diberi keterangan yang panjang lebar. Kesilapan ketiga ialah apabila orang yang diajar cuba mengamalkannya sedangkan mereka belum sebenarnya mengenali apa khusyuk itu. Semakin keras ia mencuba khusyuk semakin khusyuk itu menjauh dan bagaimanakah pula seseorang itu hendak mendatangakan khusyuk kalau ia belum mengenalinya. Tidak kenal maka tidak cinta!”

Ia menyuruh saya duduk seperti duduk tahiyat awal di depannya.

“Hanya guru-guru yang mursyid boleh mengajarkan khusyuk bukan ustaz-ustaz lulusan Al-Azhar dan sebagainya. Tuan Haji bersedialah. Saya akan kenalkan apa itu khyusuk ke dalam hati Tuan Haji..”

Saya bersedia dengan menundukkan kepala dan memejamkan mata.

“Buka mata! Buka mata,” katanya. “Haji sembahyang pejam matakah?”

Ia memberikan saya segelas air untuk diminum. Saya minum air tersebut.

Setelah beberapa saat ada sesuatu yang saya rasakan di dalam hati saya. Ia mengembang, kemudian air mata saya mengalir keluar. Kemudian saya dengar Tuan Syekh membaca surah Al-Fatihah. Saya menangis tidak tertahan-tahan apabila ia sampai kepada kata-kata “Iya kana’ budu” dan saya pingsan apabila ia menyebutkan “wa Iya kanas ta in”.

Apabila saya sedar dari pingsan Tuan Syekh mentertawakan saya. Moodnya memang baik pada hari ini dan tidak semua murid beruntung seperti saya.

“Itulah khusyuk, Haji pegang dan ingat baik-baik,” katanya. “Bukan boleh diajar dengan kata-kata. Khusyuk yang telah saya diperkenalkan ini tidak akan datang dipaksa-paksa ketika sembahyang. Ia adalah seperti gadis kampung yang sangat pemalu.”

Saya adalah murid yang suka membantah jika ada yang hendak dibantah. Saya seronok sekali membantah kata-kata guru kalau ada peluang.

“Tapi Tuan Syekh,” kata saya. “Masih adakah gadis-gadis kampung yang pemalu? Ini zaman modern – mereka sudah dicemari budaya kebendaan. Siapa pemalu akan ketinggalan zaman dan hidup susah.”

“Yalah yalah Tuan Haji,” kata Tuan Syekh. “Sebagai misalan sahaja. Ia seperti gadis pemalu yang mencintai Tuan Haji dan Tuan Haji merinduinnya juga tetapi semakin Tuah Haji mengintai-intainya semakin ia bersembunyi di balik tabir. Kalau Tuan Haji masuk ke rumahnya ia akan masuk ke dalam bilik. Kalau Tuan Haji mengetuk pintu biliknya ia akan mengunci pintu biliknya itu dan Tuan Haji tidak akan menemuinya. Jika Tuan Haji tidak memedulikannya meskipun merinduinya ia akan perlahan-lahan mengintip Tuan Haji dari balik tabir. Jika Tuan Haji terus membiarkannya saja ia akan muncul menampakan wajahnya dari balik tabir memandang Tuan Haji dengan penuh kerinduan juga. Ketika itulah Tuan Haji melepaskan rindu sepenuhnya. Tuan Haji pernah bercinta tak?”

Saya kira mimpi pun mungkin seperti ini juga. Jika kita tunggu ia tidak akan datang jika kita biarkan ia akan muncul sendiri. Semakin diintai-intai semakin ia bersembunyi di balik tabir. Kalau kita masuk ke rumahnya mencari, ia akan masuk ke dalam bilik. Kalau kita mengetuk pintu biliknya, ia akan mengunci pintu biliknya. Jika kita tidak memedulikannya meskipun merinduinya ia akan perlahan-lahan mengintip dari balik tabir. Jika kita terus membiarkannya saja ia akan muncul menampakan wajahnya dari balik tabir memandang kita dengan penuh kerinduan juga. Ketika inilah kita melepaskan rindu sepenuhnya. Saya tidak pernah bercinta.

Setelah seminggu mengharap-harap agar mimpi ini datang lagi saya pun cuba melupakannya. Cuma ada masalah lain yang timbul. Pernahkah biskita cuba melupakan sesuatu? Semakin dicuba semakin kita ingat. Jika kita cuba mengingat, kita semakin sukar untuk mengingat. Tetapi dengan berbekalkan pengalaman bersama guru tariqat tentang khusyuk saya timbulkan rasa rindukan mimpi tersebut – rindu yang tidak mengharapkan apa-apa.

Setelah dua malam mimpi ini akhirnya datang juga. Tetapi kali ini saya kena marah oleh Tuan Syekh guru tariqat (kali ini jelas mimpi saya) yang berjanggut dua ratus meter panjangnya, berserban dan berjubah putih.

“Tuan Syekhnya sendiri pun dia tidak kenal,” katanya. “Murid apa ini?”

“Tuan Syekh,” kata saya. “Sudah puas saya cari. Paip besi seratus kaki tidak ada.”

“Memang tidak ada paip besi seratus kaki,” katanya. “Pakai otak! Beli yang pendek-pendek kemudian sambung-sambung sampai kira-kira seratus kaki.”

Moodnya memang tidak baik agaknya. Ketika mengajar pun 70% biasanya ia akan marah-marah.

“Orang melayu,” katanya, “kalau tidak diajar dengan marah-marah tidak akan dapat apa-apa ilmu.”

Tetapi kalau ia berada lama di dalam mimipi saya sudah pasti saya tukar ia menjadi ‘benda’ lain. Mungkin seronok kalau saya tukarkan ia jadi lembu tua.

Selepas marah kepada saya ia lenyap.

Sekarang saya yakin yang datang di dalam mimpi-mimpi saya ini ialah guru tariqat yang saya pernah belajar tentang khusyuk. Ia telah dua tahun mati tetapi bagi murid-muridnya yang setia ia tidak mati tetapi hanya ghaib. Sebelum ia mati (atau ghaib?) ia telah diharamkan datang ke Negara Brunei kerana ajaran-ajarannya dianggap sesat dan mencemari aqidah dan ia juga tanpa silu-silu mengecil-ngecilkan sebilangan lulusan Al-Azhar yang menyuruh orang awam supaya khusyuk dan mengajar tentang khusyuk tanpa mengenali khusyuk yang sebenar. Sejak ia dilarang datang ke Brunei saya tidak ada kesempatan berguru dengannya lagi tetapi saya telah mempelajari sesuatu darinya. Percayalah apa yang saya pelajari tentang khusyuk ini boleh digunakan untuk apa sahaja, muslihat dunia atau akhirat terpulang kepada kita, tentulah dengan had-had kita sebagai manusia.

Saya pergi ke kedai menjual barang-barang besi.

“Itulah saya sudah cakap dulu-dulu lagi aji,’ kata jurujual di kedai besi. “Beli saja yang sepuluh-sepuluh kaki. Sambung-sambung nanti sampai juga selatut kaki. Apa mau bodo-bodo susah-susah cali balang yang olang tidak jual.”

“Yalah taukey,” kata saya. “Kau memang betul. Orang bodoh macam saya dalam mimpi pun kena marah!”

“Aiya Aji, lu olang ketiga yang cakap itu macam,” katanya. “Apa dia punya elti itu, olang bodoh dalam mimpi pu kena malah?”

“Ini ilmu tariqat, ilmu makrifat,” kata saya. “Tinggi dia punya erti. Dalam dia punya makna. Susah mau faham. Ada experience baru boleh faham.”

Syekh-syekh tariqat memang memiliki berbagai-bagai cara untuk mengajar kita.

Setelah mengenali yang datang di dalam mimpi itu ialah Tuan Syekh tariqat, saya tidaklah lagi sukar mendatangkannya. Saya hanya perlu menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepadanya dan ia akan datang. Tetapi ia tidak mahu lama-lama di dalam mimpi saya kerana ia mengakui kelebihan saya mengawal mimpi, takut nanti saya akan menukarnya kepada ‘benda’ yang lain.

“Saya tidak takut ditukar kepada lembu tua,” katanya. “Tetapi otak Tuah Haji otak kotor. Otak tercemar! Lama-lama boleh bertukar jadi filem lucah.”

Dia terus lenyap. Di alam nyata dialah Tuan Syekh. Saya murid ia mursyid. Di dalam mimpi saya sayalah Tuan Syekh, jika ia lama sedikit di dalam mimpi saya, saya akan tukarkan ia kepada ‘benda’ lain.

Ia memberi arahan secara berperingkat-peringkat tentang apa yang hendak dibuat dengan pain-paip besi ini. Ia menyuruh saya supaya menukul hujung sebatang daripada paip-paip besi ini.

“Tukullah sehingga ia pipih tetapi jangan sampai tertutup penuh lubangnya. Paip inilah yang mula-mula sekali akan digunakan. Kikir dan tajamkan juga hujungnya ini.”

Setelah selesai semua ini saya kerjakan ia datang lagi ke dalam mimpi saya. Ia menyuruh saya membuat beberapa lubang kecil di sekitar lapan kaki dari hujung yang telah ditukul tadi.

“Gunakan drill dengan mata yang kecil,” katanya. “Enam atau tujuh biji lubang cukup.”

Apabila ia datang lagi di dalam mimpi saya, saya sempat bertanya.

“Tuan Syekh,” kata saya. “Tidaklah patut Tuan Syekh saja yang saya mimpi setiap malam. Tidak bolehkah Tuan Syekh beritahu saya apa yang patut saya lakukan dari awal sampai akhir dalam satu mimpi saja? Tidak membuang masa.”

Ia mentertawakan saya dan terus hilang. Orang bodoh dalam mimpi pun kena tertawakan.

Walaupun begitu saya rasa pertanyaan saya adalah wajar. Saya tanyakan lagi apabila ia datang dalam mimpi saya.

“Tuan Syekh,” kata saya. “Tidaklah patut Tuan Syekh saja yang saya mimpi setiap malam. Tidak bolehkah Tuan Syekh beritahu saya apa yang patut saya lakukan dari awal sampai akhir dalam satu mimpi saja?”

Ia menangis dan terus hilang. Jangan beritahu saya – orang bodoh dalam mimpi pun kena tangisi.

“Tuan Haji, ‘ kata Tuan Syekh ketika ia datang lagi. “Pemahaman tentang hikmah satu-satu pekara itu hanya terjadi pada waktu ditentukan di tempat yang ditentukan kepada orang yang ditentukan. Ia tidak terjadi jika satu daripada tiga pekara ini tidak ada. Hikmahnya tidak akan dapat difahami kalau bukan pada waktunya walaupun tempat dan orangnya betul. Atau hikmahnya tidak dapat difahami walaupun waktu dan tempatnya tepat kalau bukan kepada orangnya dan seterusnya.”

Saya suka kalau ia bercakap panjang-panjang. Ini mimpi saya. Tetapi ia lebih cepat menangkap apa yang akan saya lakukan sebagai pemimpi yang berpengalaman. Ia cepat-cepat menghilangkan diri sebelum saya tukarkan ia jadi sapi betina atau apa saja.

Sementara menunggu waktu yang tepat bagi arahan seterusnya ia datang memberi ceramah kepada saya. Ada waktunya saya mendengar dengan diam seperti seorang murid yang baik. Tetapi ada waktunya saya tukarkan ia menjadi benda lain. Jadi saya mimpi botol atau tin minuman coke yang memberi ceramah kepada saya. Atau saya tukarkan ia menjadi jagung – jagunglah yang berceramah kepada saya. Saya tukarkan ia kepada apa saja dan agaknya ia tidak begitu peduli lagi.

“Apapun bentuk tajallinya,” katanya. “Pada hakikatnya saya tetaplah Syekh Tuan Haji.”

Pada waktunya ia pun menyuruh saya memacakkan besi paip yang pertama ke dalam tanah. Ia menunjukkan bagaimana melakukannya: hos dari paip air disambung dengan kemas dan kencang kepada besi paip pertama.

“Air akan memancut kuat dari hujung yang telah ditukul pipih,” kata Tuan Syekh. “Pancutan air ini akan melembabkan tanah dan menjadikan ia becak. Dengan cara ini senanglah membenamkan besi paip ini ke dalam tanah. Buat dengan perlahan-lahan. Lakukan ini setiap hari sebatang paip disambung-sambung walauapapun terjadi teruskan sampai seratus kaki.”

Selama sepuluh malam ia tidak datang di dalam mimpi saya.

“Apa yang kita karajakan ani?” kata isteri saya.

“Menyucuk paip basi ani ke dalam tanah,” kata saya.

“Kan dibuat apa?” katanya.

“Antah aku pun inda tau,” kata saya.

“Awu sadangtah eh,” katanya.

Amah saya seperti tahu apa yang saya buat.

“Bapak mau cari mata air ya?” katanya.

“Antah heh,” kata saya. Saya tidak suka bercakap dengan orang gaji – kecuali menyuruh ia itu dan ini.

“Di Indonesia kami semua bikin macam ini juga,” katanya. “Tiga empat puluh kaki udah cukup. Bisa sampei pada air bersih. Uuh, sedap airnya pak.”

“Apa taumu,” kata saya. “Jangantah bising-bising!”

Setiap hari sepuluh kaki paip besi saya masukkan ke dalam tanah dan hosnya saya buka. Esoknya saya sambung dengan paip besi yang baru dan saya pasang lagi semula hos. Kalau saya berehat, amah saya yang menyambung kerja ini. Saya lihat ia seperti tahu apa yang patut dibuat.

“Mesti dibikin pelan-pelan pak,” katanya. Ia memusing-musing paip besi tersebut. “Tiga puluh kaki udah cukup. Nanti airnya keluar.”

Tiga puluh kaki ke dalam tanah dan hos saya buka, air keluar dari hujung paip besi, seperti yang amah saya katakan.

Anak-anak saya pun ikut melihat air yang keluar ini.

“Air mata air, “ kata anak perempuan saya. “Boleh digunakan untuk bersuci dan berwuduk kerana ia air mutlak.”

Ia baru darjah satu sekolah ugama.

“Air teh boleh diminum,” katanya lagi. “Tapi tidak boleh digunakan untuk bersuci atau berwuduk kerana ia air mustakmal.”

“Air mutanajjis,” kata saya menyambung. “Air yang tercemar oleh najis dan tidak sampai dua kolah tidak boleh di…”

“…gunakan untuk bersuci atau diminum,” kata anak saya. “Apakan tercemar tu pa?”

“Takamah,” kata saya. “Kecuali…,”

“…kalau lebih dua kolah,” kata anak saya.

“…dan tidak…” kata saya.

“…berubah warna, bau dan rasanya,” kata anak saya.

“Bagus, pandai,” kata saya.

“Apakan nya kaka atu pa?” kata anak lelaki saya yang baru berumur tujuh tahun.

“Indada apa-apa,” kata saya. Ia belum bersekolah ugama lagi. “Pasal aing saja tu bah.”

“A..ah,” kata anak lelaki saya.

Amah saya berlari masuk ke dapur dan keluar semula membawa cawan. Ia menyambut air yang keluar ini dan terus meneguknya.

“Sedap, sejuk pak,” katanya. “Bersih.”

“Memanglah bersih bi,” kata anak perempuan saya. “Air mata air, air mutlak.”

“Bibi inda taukah?” kata anak lelaki saya.

“Sambung ke tangki pak,” kata amah saya.

“Eh, jangatah kau macam-macam,” kata saya. “Balum salasai lagi ni.”

Jika selesai kerja ini nanti mungkin saya akan membuat yang satu lagi cukup sedalam tiga puluh kaki dan menyambungnya ke tangki. Saya akan dapat air yang bersih sepanjang masa. Air percuma. Paip air yang ada sekarang mungkin akan saya tutup. Tidak akan ada lagi air berwarna kuning jika kerja-kerja pemeliharaan dilakukan di Bukit Barun. Saya juga tidak perlu lagi ternanti-nanti bil penggunaan air yang sudah lebih tiga tahun saya tidak terima dari Jabatan Air.

Ini rancangan saya tetapi buat masa ini saya selesaikan dulu kerja yang diarahkan oleh Tuan Syekh guru tariqat saya ini. Pesan Tuan Syekh kepada saya bahawa untuk menjadi murid yang baik seseorang itu mesti taat kepada guru tariqatnya meskipun sesuatu arahan itu nampak seperti tidak masuk akal dan ia juga mesti percaya seratus peratus kepada Tuan Syekhnya bahawa Tuan Syekhnya tidak akan menyuruhnya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum-hukum syarak.

Setiap hari satu batang paip besi saya sambung kemudian saya memusing-musing paip besi itu ke kiri ke kanan perlahan-lahan dan ke kiri ke kanan perlahan-perlahan dan ke kiri ke kanan perlahan-lahan. Paip besi ini pun semakin masuk ke dalam tanah. Anak-anak meninggalkan saya bekerja sendiri – mereka sudah tidak tertarik lagi.

“Aku inda sayang bapa lagi,” kata anak saya yang paling kecil.

“Kenapa inda sayang bapa lagi?” kata saya sambil memalit peluh di dahi dengan belakang tangan.

“Bapa karaja saja,” kata anak saya ini. “Nada dangan main.”

Isteri saya melarang amah saya membantu meneruskan kerja ini kalau saya berehat kerana banyak lagi karaja di dalam rumah kan dikarajakan, karaja gila tah pulang kan dibuat. Saya terus dengan diam menyambung dan memasukkan paip besi ini ke dalam tanah, memusing-musingnya dengan perlahan ke kiri ke kanan. Inci demi inci ia masuk ke dalam tanah. Sepuluh kaki setiap hari seperti yang diarahkan. Sebatang paip setiap hari. Jika siang tidak siap, malam saya akan teruskan. Tidak ada yang mahu bercakap dengan saya kalau saya mengerjakan ini lebih-lebih lagi kalau saya melakukannya pada waktu malam kecuali sekali anak lelaki saya menjengukkan kepalanya, sudah hampir pukul sebelas malam.

“Bapa korek minyakkah?” katanya. Saya yakin ada orang mengajarnya.

“Bapa koyek miyakkah?” kata anak saya yang paling kecil.

“Jangan kacau bapa karaja,” kata anak saya yang paling tua. “Bapa sibuk tu! Sasak ia karang!”

Mereka semua belum tidur. Pastilah ada orang yang menyuruh mereka mejenguk saya mungkin khuatir kalau-kalau saya sudah jadi gila.

Akhirnya kerja ini pun siap. Pada malam sebelumnya saya pun diberitahu supaya memasang paip pada besi yang terakhir.

“Gunakan pam elektrik untuk menguatkan keluarnya air,” kata Tuan Syekh. “Dalam masa sebulan lagi semua air di permukaan bumi akan tercemar. Sesiapa meminumnya akan menjadi tidak siuman.”

Ada perasaan takut di dalam hati saya mendengar kata-kata Tuan Syekh. Saya suka kalau semua ini tidak akan terjadi.

“Pencemaran akan berlaku secara perlahan,” katanya. “Pencemaran sepenuhnya berlaku dalam masa sebulan. Hanya air yang berada sekurang-kurangnya 77 kaki ke dalam tanah selamat diminum.”

Hal-hal seperti ini sukar juga untuk saya percayai seratus peratus, namun demikian tidak ada salahnya saya mengambil tindakan berjaga-jaga apalagi air mata air lebih segar rasanya. Saya akan mengusahakan supaya bekalan air ke rumah untuk kegunaan setiap hari datangnya dari paip air mata air ini. Air di dalam tangki tetap dari bekalan air di Bukit Barun – disambung kepada satu paip untuk menyuci kereta. Saya akan lihat dan tunggu dulu. Akan tetapi satu hari nanti bekalan ini akan saya tutup juga – memandangkan hingga kini sudah tiga tahun saya tidak menerima bil penggunaannya. Jika difikirkan dua kali adalah lebih baik saya tutup saja paip air dari Bukit Barun ini. Tidak lagi perlu saya khuatir bilnya akan tinggi. Ya, saya tutup saja. Saya gunakan air percuma dari dalam bumi yang bersih dan segar.

Inilah yang saya lakukan.

Tuan Syekh tidak lagi datang-datang di dalam mimpi saya.

“Selamat tinggal Tuan Haji,” katanya. “Tetapi saya akan sentiasa bersama Tuan Haji. Assalamu alaikum!”

“Wa alaikum salam,” kata saya.

Satu minggu berlalu saya tidak terlihat apa-apa pun yang berlaku – tidak ada pencemaran air yang berlaku. Walaupun ini sesuatu yang baik, saya merasa kecewa juga. Tentu seronok melihat orang lain gila setelah meminum air yang tercemar. Semuanya biasa-biasa sahaja. Saya terus mencarii tanda-tanda perubahan yang akan berlaku pada setiap kesempatan.

Pada hujung minggu saya ikut rombongan peminangan bagi anak sepupu saya.

“Kami ani datang dangan hajat basar,” kata ketua rombongan. “Ingin menangkap kumbang di rumah biskita untuk bunga yang sedang mekar di taman kami.”

Saya pun berbisik kepada orang yang di sisi saya: “Inda tabalikkah tu cakapnya atu,” kata saya. “Narvas kali ia Tuan Aji atu.”

“Lurus tu,” kata orang di sisi saya. “Kitani meminang anak lalakinya.”

“Besar tapak nyiru, tangan kami tadahkan,” kata tuan rumah. “Kumbang kami suka terbang bebas, sudah masanya ia hinggap pada bunga kembang mekar di halaman tuan.”

Terus terang saya katakan bahawa saya gembira semua ini mula berlaku – mimpi saya adalah mimpi yang benar. Air yang tercemar sudah mula membuat orang yang meminumnya jadi gila.

Pada hari-hari berikutnya, isteri saya pun mula terlihat perubahan yang berlaku di pejabatnya.

“Si anu bah,” katanya, “di pejabat kami, ada laki-laki memakai galang amas sampai ke siku, baanting-anting lagi tu – ala ia kan amasnya atu bah.”

“Siapa?” kata saya. “Haji Anu bah, bos kami bah,” katanya.

“Inda lagi lama ni,” kata saya. “Dalam masa sabulan, semua orang akan gila.”

“Kawanku,’ katanya lagi, “yang bini-bini bajalan-jalan ka kadai pakai singlet baseluar pendek lagi tu.”

“Atu inda pulang gila tu,” kata saya. “Andang dari dulu jua tu ada bini-bini bapakaian macam atu.”

“Mangapakan jadi macam ani?” kata isteri saya.

“Semua aing di muka bumi ani tarcamar – siapa minum jadi gila,” kata saya. “Aing yang kitani minum aing dari 100 kaki ke dalam bumi – masih bersih! Iatah yang kukarjakan atu dulu yang kauucapkan gila atu. Selagi kitani inda minum aing yang dipermukaan bumi salagi atu kitani inda jadi gila.”

Ini baru permulaan, ada beberapa masalah yang timbul bagi saya: misalnya pagi tadi saya telah dikejar dan disaman oleh polis trafik kerana memandu laju semasa lampu hijau. Saya disuruh berhenti di tengah-tengah jalan raya. Saya menurunkan cermin kereta.

“Apa, mengapa?” kata saya. “Inda jua ku melanggar peraturan.”

“Inda kita meliatkah lampu hijau atu?” katanya.

“Awu, hijau tu tadi,” kata saya.

“HIJAU BERANTI!” kata polis trafik. “MERAH JALAN TARUS! FAHAM!”

Saya tertawa. Saya diberi dua surat saman, pertama kerana berjalan semasa lampu hijau dan kedua kerana mentertawakan polis.

Saya boleh menyenaraikan lagi kejadian-kejadian yang tidak siuman yang berlaku setiap hari dan senarai ini akan menjadi panjang dan berjela-jela. Cukuplah saya katakan setelah sebulan lebih setiap orang (kecuali ahli-ahli rumah saya dan mungkin ada keluarga yang lain) telah meminum air yang tercemar dan menjadi tidak siuman, ini terjadi di seluruh dunia yang dapat saya ikuti melalui berita di televisyen yang membuat saya tertawa sehingga sakit perut. Di dalam berita tidak ada lagi yang siuman.

Keadaan tidak lagi lucu apabila saya digantung dari bekerja dalam masa yang tidak ditetapkan – tergantung kepada keputusan penyiasatan. Saya telah dituduh melakukan penyelewengan dalam membuat pengiraan dan tuntutan kewangan perbelanjaan di pejabat. Kiraan yang saya buat semuanya salah. Saya menafikan tuduhan tersebut. Matematik saya memang lemah tetapi jika sekadar darab, tolak, campur dan bahagi saya kira saya boleh melakukannya.

“Ini bukan soal lemah matematik atau tidak,” kata juruodit. “Ini soal kejujuran dan niat. Misalnya $100 X 1000 = $0.00. Mengapa dituntut $100,000! Belanjanya inda ada pintanya $100,000!”

Saya terdiam. Kalau ilmu logika seperti matematik sudah tidak siuman lagi – habislah saya!

“Ani tarang-tarang penyelewengan ni,” katanya. “Boleh dibuang karaja dua puluh ampat jam!”

Semakin hari saya dan keluarga saya semakin tersisih kerana apa yang kami lakukan tidak sama dengan apa yang dilakukan oleh orang lain. Di sekolah anak-anak saya menerima tekanan dari guru dan rakan-rakan. Ada saudara mara yang menyuruh saya sekeluarga berubat – disuruh mandi dan minum air yang sudah ditawari- tentunya air yang tercemar.

“Jangan lagi diamalkan ajaran tariqat sasat Tuan Syekh atu,” ada yang menasihati saya. “Tarcamar aqidah! Boleh jadi gila tu!”

Beberapa kali ada orang-orang yang berpakaian seragam putih datang ke rumah cuba memujuk kami menerima rawatan dari Doktor Singh di wad lima – wad sakit jiwa.

“Jangan biskita marah ah Tuan Haji,” kata salah seorang daripada mereka. “Kita ani sekeluarga macam anu bah, macam inda siuman.”

Astarghfirullah! Kitani tah pulang diucapnya inda siuman.

NIPIS

Bahana Jun 2003

“LAIN usul bapa ani,” kata anak lelaki saya yang berumur lapan tahun, anak saya yang bersekolah swasta, sebaik-baik saja saya sampai di rumah. Saya baru pulang dari bekerja.Ada rasa sakit dari bahu sebelah kanan menuju ke pangkal tengkuk saya dari A ke B dan kemudian kembali ke A. Ini adalah satu yang biasa bagi saya. Memandu kereta dari pejabat ke rumah bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan (begitu juga dari rumah ke pejabat). Terlalu banyak orang yang memandu dipandu oleh kereta mereka sendiri dengan laju (dan saya selalu berdoa moga-moga pemandu-pemandu ini mati di atas jalan yang lurus) dan ini menjadikan saya amat letih. Ini juga adalah normal bagi saya. Yang saya rasakan sekarang ini semuanya yang biasa-biasa sahaja setelah pulang dari bekerja: letih, sengal-sengal otot, nafas singkat dan kepala sedikit berdengung. Semua ini saya terima sebagai bahagian saya (dan mungkin ada orang yang lebih teruk daripada saya).

Jadi dengan tersenyum sedikit saya bertanya kepada anak saya ini, anak saya yang bersekolah swasta, apanya yang lain tentang diri saya. Saya bertanya pun hanyalah sekadar untuk memberi respond kepada komennya.

“Anubah,” katanya. “Usul bapa nipis.”

Saya ketawalah – hanya sekadar ketawa. Mungkin saja anak saya ini, anak saya yang bersekolah swasta, tersalah pilih perkataan. Pastilah yang dimaskudkannya ialah kurus. Sebenarnya saya tidak kurus (semasa bujang dulu memang saya kurus tetapi selepas kahwin berat badan saya bertambah – ya susah-susah pun tetap juga senang hati kerana ada bini) namun saya pasti kuruslah yang dimaksudkan anak saya ini, anak saya yang bersekolah swasta. Saya tidak tahu apa yang ia pelajari di sekolah – mungkin gurunya tidak mengajar dengan betul. Jadi saya pun membetulkan kesilapannya sambil di dalam hati terus-menerus menyalahkan guru bahasa Melayu yang mengajarnya di sekolah swasta itu – rugi saja saya membayar yuran sekolahnya setiap bulan, menghantarnya ke sekolah swasta. Saya menghatarnya ke sekolah swasta kerana kata orang sekolah swasta itu lebih berperistij apalagi kawan-kawan saya yang berpangkat tinggi dan terutama sekali bos saya kalau bercakap tentang persekolahan anak-anak mereka akan selalu bercakap seperti ini “ .. anak-anakku yang bersekolah swasta ….” Jadi saya pun tidak mahu kalah saya pun mahu juga berkata “…anakku yang bersekolah swasta…” dan saya hantar anak lelaki saya ini ke sekolah swasta tetapi jika ini yang ia pelajari betul-betul rugilah saya membayar setiap bulan – perbezaan antara kurus dengan nipis pun tidak tahu.

“Kurus,” kata saya, “bukan nipis.”

“Bukan Pa,” katanya. “Bukan kurus – nipis! Kurus lawannya gamuk. Nipisbah, nipis yang lawannya tabal atu!”

Saya ketawalah lagi. Saya selalu bergurau dengan anak-anak saya. Anak-anak saya pun suka juga bergurau dengan saya. Dengan cara ini rasa tegang boleh beransur-ansur hilang dan hubungan antara bapa dan anak pun mesra sedikit. Hidup saya tidaklah terlalu susah dan tidaklah terlalu senang. Saya ke pejabat dengan memandu Toyota Kijang secondhand. Di pejabat memang saya seperti kebanyakan orang juga sentiasa berniat mencari dan memburu kedudukan yang lebih baik – kenaikan pangkat misalnya dan tidak dapat disangkalkan saya irihati kalau ada orang naik pangkat dan gajinya lebih tinggi dari saya. Di rumah pula jika ada waktu saya hiburkan hati dengan menonton vcd – filem-filem aksi kungfu dan juga wayang-wayang hindustan. Jika anak-anak bergurau dengan saya – saya ketawalah. Saya mudah terhibur.

“Ka,” kata anak lelaki saya ini, “ka, cuba kaka turun sakajap. Ni, bapa ni lain usulnya!”

Anak lelaki saya –  anak saya yang bersekolah swasta ini, mungkin tidak berpuas hati dengan pembetulan yang saya buat. Saya memang selalu mengajar anak-anak saya supaya mempertahankan pendirian mereka jika mereka fikir mereka betul – dalam masa yang sama saya juga menggalakkan mereka supaya mendengar pendapat orang lain.

“Malasku kan turun,” kata kakaknya. “Meliat katun ku ni!”

“Aeh! Sakajap sajabah!” kata anak lelaki saya, anak saya yang bersekolah swasta. “Kaka liat dulu bapa ani! Cuba kaka liat, lain usulnya!”

Anak perempuan saya pun turun. Ia baru berumur sepuluh tahun. Ia anak yang tua. Ia lebih berakal dan kurang bergurau dengan saya kerana takut ketulahan. Mungkin ada orang mengajarnya bahawa bergurau dengan orang tua itu terutama sekali dengan bapanya boleh menyebabkan ketulahan – dan pastilah ia takut jadi batu. Ia pun memandang saya ketika ia masih berada di anak tangga ketiga dari bawah.

“Ma!” katanya dengan terpekik. Ia memalingkan mukanya sedikit ke atas ke arah di mana agak-agaknya ibunya berada. “Ma, bapa ma! Lain usul bapa! Nipis!”

Oleh kerana suara anak perempuan saya ini seperti orang terkejut, Isteri saya pun berlari turun dan apabila ia melihat saya ia terus saja pengsan.

Sejak saya kahwin inilah pertama kali isteri saya pengsan. Saya kira semasa bujang pun ia tidak pernah pengsan. Tidak pula pernah ia bercerita kepada saya sama ada ia pernah pengsan semasa bujang atau tidak. Saya pun tidak pula pernah bertanya kepadanyanya – tidak terlintas di dalam kepala saya untuk bertanya. Hal seperti ini saya kira tidak pernah dibincangkan oleh pasangan-pasangan suami isteri – sebelum maupun selepas kahwin. Seingat saya kami sendiri tidak pernah membincangkannya. Cubalah biskita bayangkan semasa biskita bercinta-cinta dahulu: biskita bersiar-siar dengan kekasih biskita di pantai Muara misalnya, mencari tempat duduk yang jauh dari orang ramai – biskita mahu menambat hati kekasih biskita agar cinta membawa ke jinjang pelamin. Bayangkan biskita memandang biji mata kekasih biskita lalu bertanya:

“Lai, pernah kau pengsankah?”

Saya kira ini bukan soalan yang patut – betul-betullah tidak romantik. Saya kira perempuan memang tidak suka kalau kita tidak romantik jadi nasihat saya kepada biskita yang sedang bercinta atau sedang cuba memikat atau menambat hati perempuan janganlah bertanya kalau ia pernah pengsan atau tidak. Tanyalah hal-hal yang lain – bintang zodiaknya misalnya atau kegemarannya – pasti ia suka. Tanyakan buah apa yang digemarinya kemudian katakan biskita pun menggemari buah tersebut (walaupun sebenarnya tidak) dan belikanlah buah tersebut dan makanlah bersama-samanya di tepi pantai dan umumkanlah kepadanya yang cinta biskita adalah seluas dan sedalam Laut Cina Selatan yang sama-sama biskita hadapi sekarang.

Saya tidak tahu apa yang harus dibuat terhadap orang yang pengsan. Saya fikir saya bukan seorang diri dalam hal ini. Mungkin banyak orang lain lagi yang tidak akan tahu apa yang harus dibuat. Ketika inilah saya merasakan ruginya kerana semasa di bangku sekolah dahulu saya tidak menyertai pertubuhan red-cross (sekarang sudah diislamkan menjadi Bulan Sabit) walaupun sudah didesak oleh kawan-kawan. Pertubuhan seperti ini ada melatih ahli-ahlinya menghadapi orang pengsan dan lain-lain situasi yang gawat. Saya tidak pernah menghadapi orang pengsan sebelum ini. Jika diambil kira umur saya yang sudah menghampiri lima puluh tahun (saya lewat kahwin) dan inilah pertama kali saya menghadapi orang pengsan – barangkali ini bukanlah satu hal yang buruk. Ya, hampir-hampir seumur hidup baru sekarang saya menghadapi orang pengsan, isteri saya pula yang pengsan, inilah takdir mengapa ia menjadi isteri saya agar orang pengsan pertama yang saya hadapi ialah ia – jika kita bersikap positif ini sebenarnya sesuatu yang baik, ini menunjukkan kita manusia jarang sekali pengsan. Ini menunjukkan bahawa kita manusia ini sukar untuk digugat dan tidak mudah terkejut. Kita hanya akan terkejut dan pengsan oleh pekara yang benar-benar mengejutkan… barangkali memang ada yang teruk dengan diri saya sehingga menyebabkan isteri saya terkejut dan seterusnya pengsan.

“Pa, mengapa kan mama atu?” kata anak perempuan saya.

“Pengsan,” kata saya. “Pengsan ia tu lai.”

Saya bangun dan berjalan menuju ke cermin panjang. Memang benar seperti yang dikatakan oleh anak lelaki saya yang baru berumur lapan tahun,  anak saya yang bersekolah swasta. Rupa dan bentuk badan saya nampak lain daripada biasa. Badan saya nipis. Saya nipis seperti sehelai kertas. Seperti kata anak lelaki saya, anak saya yang bersekolah swasta, nipis yang lawannya tebal bukan kurus yang lawannya gemuk (gurunya di sekolah swasta itu memang telah mengajarnya dengan betul – anak saya yang bersekolah swasta!). Namun saya tidak pula terkejut apabila melihat diri saya yang nipis ini, saya merasa biasa-biasa saja, ya saya nipis so what? Jadi saya tidak faham mengapa isteri saya terkejut sampai pengsan. Banyak benda, pekara, hal yang nipis di dalam dunia ini, mungkin … bukan lagi mungkin … bahkan sudah pasti berjuta-juta banyaknya dan saya hanyalah satu daripada yang berjuta-juta itu dan isteri saya ini pun pastilah telah menghadapi benda-benda yang nipis ini – misalnya sehelai kertas atau secarik kain. Sudah pasti setiap hari ia menghadapinya dan tidak pula ia pengsan. Bahkan kita semua akan gembira jika helai kertas yang nipis ini ialah sehelai wang seribu ringgit (tak usah seribu ringgit seringgit pun saya akan gembira) dan tambah banyak helai-helai wang kertas yang nipis ini bertambahlah kita gembira. Memanglah kalau yang nipis ini sudah banyak ia tidak lagi nipis tetapi tebal.

Saya mengambil semangkuk air dan memercik-mercikkan air ini ke muka isteri saya – cara merawat orang pengsan seperti ini pernah saya lihat di dalam banyak filem terutama di dalam filem-filem Hindustan. Di dalam filem atau wayang memang saya selalu melihat orang pengsan. Di dalam filem atau wayang manusia memang mudah pengsan – mendengar satu berita buruk wataknya sudah tergugat dan pengsan dan juga dalam filem dengan sekali tumbuk orang boleh pengsan bahkan boleh mati muntah darah (saya pernah bergaduh dan menumbuk lawan saya bertubi-tubi tapi ia tidak juga pengsan dan saya ditumbuk bertubi-tubi tetapi tidak juga pengsan) – ini jika biskita yang jadi krook. Jika biskita jadi hero – ditembak pun biskita tidak akan mati: inilah hal yang saya paling sukai di dalam wayang. Filem seperti ini akan saya tonton berulang-ulang dan berulang-ulang dan berulang-ulang.

“Eh, sudah jua bapa meliat wayang ani,” anak lelaki saya biasanya menegur kerana saya melihat vcd yang sama berulang-ulang. “Balik-balik jua bapa meliat carita ani kan.”

Wayang seperti ini akan saya tonton tanpa jemu-jemunya – misalnya siri Rambo lakonan Sylvester Stallone atau filem-filem lakonan Arnold Schwarzenegger atau filem-filem Bruce Lee. Saya amat gembira ketika melihat mereka membalas dendam dan membelasah lawan mereka yang jahat itu. Saya berangan-angan kuat seperti mereka dan membelasah orang-orang yang tidak saya sukai seperti bos saya yang keretanya Mercedes itu atau pegawai-pegawai atasan saya yang kalau bercakap tentang kereta, mereka akan menyebut brand kereta mereka yang mahal itu misalnya “… BMWku atu kalau rosak terpaksa mengodar partsnya dari kontinen …” sementara saya pula hanya memandu Toyota Kijang secondhand dan menyebutnya dengan sekadar “matukaku atu”.

Isteri saya mulai sedar dari pengsannya. Setelah benar-benar sedar ia mengumpulkan anak-anak dan menjauhkan diri dari saya. Anak-anak dibawanya ke dalam bilik.

“Bukannya bapa kamu tu, iblis tu, iblis.” katanya. “Laju, masuk ke bilik!”

Ia membawa mereka masuk ke dalam satu bilik lalu mengunci bilik tersebut dari dalam. Saya tidak ada masa untuk melayan semua ini. Saya duduk di atas sofa dan menonton tv sebentar – kebetulan ada drama cina tentang cinta lima segi, pelakon-pelakonnya semua jelita dan kacak, ya disamping cerita-cerita aksi lasak saya juga gemar mengikuti drama-drama cinta berbilang segi dan berbelit-belit plotnya yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon wanita jelita yang seksi dan lelaki yang kacak. Kemudian saya bangun lagi untuk mandi dan berwuduk kerana sekejap lagi akan masuk waktu sembahyang fardu maghrib. Dengan badan yang nipis ini satu dua gayung air sudah cukup untuk saya gunakan mandi – memang menjimatkan masa dan air. Jika semua orang nipis seperti saya penggunaan air akan dapat dijimatkan.

Selepas mandi dan berwuduk saya memakai gamis berwarna putih dan memakai serban berwarna putih untuk pergi ke masjid. Sekali sekala saya ke masjid untuk sembahyang berjemaah: saya bukanlah ahli jemaah yang tetap selain untuk sembahyang fardu Jumaat mungkin haya sekali atau dua kali dalam sebulan saya ke masjid. Sebelum pergi saya mengetuk pintu dan memberitahu isteri saya bahawa saya akan ke masjid. Kemudian terfikir pula saya hendak bergurau sedikit lalu saya pun menyusup di celah bawah pintu.

Isteri saya terjerit-jerit melihat saya muncul dari celah bawah pintu yang dikuncinya.

“Ka masjid ku,” kata saya.

“Aku ikut pa,” kata anak lelaki saya, anak saya yang bersekolah swasta.

“Bukan bapamu tu,” kata isteri saya. “Iblis tu!”

“Bapa tu ma,” kata anak lelaki saya, anak saya yang bersekolah swasta. “Ia nipis saja tu bah. Bapa tu majik tu bah.”

Satu dari kegemaran saya kalau bersama-sama anak ialah bermain silap mata: magic. Silap mata yang mudah yang saya pelajari dari buku.

“Adakan iblis babaju macam atu ma?” kata anak perempuan saya. “Bagamis batangkolok? Orang alim jua ganya macam atu.”

“Iblis tu,” kata isteri saya.

“Adakan ma iblis bagamis batangkolok?” anak perempuan saya memajal.

“Bukan bapa kamu tu.”

Saya memusing knop pintu dan keluar. Saya tidak ada masa untuk melayan semua ini lagipun saya takut terlewat pula ke masjid – saya tidak gemar melakukan masbuk (sebenarnya saya kurang faham dan tidak begitu yakin bagaimana hendak melakukan masbuk).

Di masjid bilal terputus qamatnya. Ada ahli-ahli jemaah yang lari tidak tentu arah apabila melihat saya masuk ke masjid. Waktu maghrib memang banyak iblis dan jin-jin kafir berkeliaran – sudah pasti mereka menyangka saya iblis yang menampakkan dirinya tambahan lagi saya berpakaian serba putih. Bilal pun ikut lari juga apabila melihat saya. Qamatnya tidak habis. Tuan imam saya lihat seperti hendak lari tetapi teragak-agak sedikit. Barangkali oleh kerana hendak lari dan teragak-agak pula jadi ia pun tidak dapat bergerak-gerak lagi. Kakinya seperti tergam di atas karpet masjid. Ia memandang saya dengan mata yang besar sambil bibirnya terkumat-kamit entah ayat apa yang dibacanya, mungkin Ayatul Kursi yang boleh meleburkan jin atau iblis dengan izin Allah – pasti akhir ayat ia ulang-ulang sampai tujuh kali – ia sendiri pernah mengajarkan saya ilmu ini. Saya berjalan terus menuju ke saf yang pertama. Semasa orang sibuk-sibuk ini saya rasa saya masih ada peluang untuk sembahyang dua rakaat. Saya mengangkat takbir lalu sembahyang tahyatul masjid.

Selesai memberi salam ada seorang lelaki menghampiri saya – memang ia kenal kepada saya dan saya juga kenal kepadanya. Bukan saja saya kenal kepadanya saya juga kenal kepada adik-adiknya yang sama-sama bersekolah dan tinggal di asrama Maktab Anthony Abell, Seria, dahulu – negara Brunei negara kecil penduduknya tidak ramai. Sekarang ia tinggal di sebuah desa di pinggir laut, sebenarnya saya tidak tahu di mana  ia tinggal tetapi “Desa Di Pinggir Laut” itu judul novel yang telah ditulisnya dan mendapat hadiah pula di dalam satu peraduan tidak lama dahulu.

“Assalamu alaikum, Tuan Haji!” katanya. “Haji Morshidikah ni?”

“Wa alaikum salam Tuan Haji Bujang,” kata saya. “Jauh jua sembahyang ani. Indada masjidkah di Sungai Liang atu?” Saya bergurau.

“Mengapatah Tuan Haji ani,” katanya ia tertawa sedikit. “Leper ni! Nipis!”

“Awu aku ni,” kata saya. “Tapi antah, nipistah ku hari ani. Jadi watak leper.”

“Eh, Tuan Haji ani,” katanya. “Ada-ada saja! Semua kan dibuat macam cerpen. Cerpen mutakhir Tuan Hajikah ni?”

Ia berpaling kepada ahli jemaah lain dan menenangkan mereka.

“O.K..O.K.! Batanang-batanang!” katanya. “Inda ada apa-apa. Ani kawan hamba ni bukannya antu. Hamba kenal ia ani. Ia ni andangnya macam-macam saja. Sembahyangtah kitani – abis waktu karang.”

Ia sendiri yang qamat. Boleh tahan jua ia qamat.

Para jemaah membetulkan saf. Tuan imam mengangkat takbir kemudian membatalkannya. Tiga kali ia mengangkat takbir baru ia dapat memasukkan niat ke dalam hatinya. Kali pertama ia berniat menjadi makmum, kali yang kedua ia berniat menjadi imam tetapi ia sebut pula untuk sembahyang fardu subuh sedangkan sekarang sembahyang fardu maghrib. Para makmum terpaksa mengangkat takbir sebanyak tiga kali juga. Makmum yang di sebelah kiri saya mengangkat takbir dan membatalkannya sampai entah mungkin lebih sepuluh kali baru ia dapat memasukkan niat ke dalam hatinya. Makmum yang di sebelah kanan saya mengulang-ulang membaca niat, mengulang-ulang membaca auzubillah entah sampai berapa kali baru menjadi:

“…uzubillah… auzubillah… auzubillahi minasyaitooonir rajiim… usalli… usalli… usalli….. fardal maghribi arbaa rakaatin  imaman…(empat rakaat dan jadi imam pula!)  auzubillah… auzubillah… auzubillahi minasyaitanir rajiim….”

Makmun yang di saf belakang saya dengar melafazkan niat sembahyang mayat – Usolli ala hazal mayiti arba-a takbiratin fardal kifayati makmuman lillahu Taala – sebutannya betul dan jelas satu-satu – entah apa yang sedang difikir-fikirkannya.

Agaknya banyak orang yang terganggu dengan kehadiran saya pada malam ini. Bukan salah mereka. Mungkin salah saya, akan tetapi saya tidak merasakan apa-apa. Saya biasa-biasa saja hanya badan saya saja yang nipis. Ini bukanlah pekara besar. Sekali lagi saya katakan banyak pekara yang nipis di dalam dunia ini dan tidak pula pernah menganggu sesiapa. Bahkan banyak benda yang nipis, wang misalnya, kita akan menjadi senang dan lapang dada. Saya menarik nafas dalam-dalam – huuuu, dan menghadirkan niat di dalam hati pada pertemuan nafas masuk dan nafas keluar dan terus mengangkat takbir  “Allahu Akbar!” sambil melepaskan nafas.

Selepas tahiyat akhir tuan imam melakukan dua kali sujud sebelum memberi salam. Sujud sahwi agaknya. Saya tidak mendapati tuan imam tertinggal apa-apa pun rukun atau perbuatan-perbuatan sembahyang di dalam sembahyangnya – mungkin ia merasa ragu-ragu. Betul-betullah agaknya semua orang merasa terganggu. Selepas berwirid dan bertasbih bersama Tuan Imam para jemaah pun bersalam-salaman: ada di antara para jemaah ragu-ragu menghulurkan tangan mereka kepada saya. Oleh kerana saya tidak merasakan apa-apa pun perbezaan di dalam diri saya (zahirnya mungkin saya nipis tapi batinnya saya biasa-biasa saja) selepas bersalam-salaman saya tidak lagi begitu memberikan perhatian terhadap orang di keliling saya. Saya duduk dekat dinding di saf pertama menunggu masuknya waktu isyak sambil berzikir dan membaca beberapa surah Al-Quran yang saya hafal. Oleh kerana saya jarang sembahyang berjemaah di masjid maka jika saya ke masjid saya akan memanfaat masa sepenuhnya untuk beribadat sehinggalah masuk waktu sembahyang yang berikutnya – biasanya saya akan membaca Al-Quran sehingga bilal azan. Saya baca diam-diam dan saya tidak akan tahu apa yang berlaku di keliling saya. Samalah seperti malam ini saya tidak tahu apa-apa sehinggalah bilal selesai azan dan saya bangun untuk bersembahyang sunat isyak dan sempat melihat ke belakang dan Masya Allah – masjid yang biasanya cuma ada dua saf sekarang hampir-hampir penuh oleh para jemaah – seperti terawih pada bulan Ramadan. Ada pula kru dari Radio Televisyen Brunei – rasa-rasanya tumpuan perhatian adalah saya.

Selesai sembahyang fardu isyak berwirid dan berdoa bersama imam saya dihampiri oleh seorang lelaki berkacamata, tangan kanannya memegang mikrofon. Ada jurukamera dan jurulampu – ya tumpuan adalah saya. Saya rasa saya akan diwawancara dan oleh kerana sekarang sudah hampir-hampir pukul lapan malam – ya saya akan masuk Berita Nasional tv malam ini – live! Saya pun meminta kepada lelaki berkacamata ini supaya mewawancara saya di luar masjid kerana saya memang tidak suka bercakap-cakap di dalam masjid tambahan lagi saya jarang-jarang ke masjid – takut saya amalan saya yang sedikit ini jadi sia-sia saja. Belum pukul lapan lagi sudah tentu ada masa untuk membuat set up di luar kata saya. Saya pun melangkah keluar masjid cepat-cepat agar saya jangan terpaksa menambah-nambah lagi cakap saya.

Ya, saya muncul di kaca tv dalam Berita Nasional. Live dari Masjid Sultan Syarif Ali, Sengkurung dan lelaki berkacamata menyoal saya dengan soalan-soalan biasa.

“Kejadian-kejadian aneh memang berlaku dan seringkali kita mendengarnya melalui orang kedua. Tetapi kali ini kita akan menyaksikannya secara live. Ini bukanlah trick kamera atau digital. Siapakah nama Tuan Haji?”

“Nama saya ialah Haji Morshidi bin Haji Marsal.”

“Tuan Haji menjadi nipis ya seperti sehelai kertas?”

“Ya, saya menjadi nipis.”

“Sejak bilakah Tuan Haji menjadi nipis?”

“Saya menjadi nipis sejak petang tadi.”

“Apakah yang telah menyebabkan Tuan Haji menjadi nipis?”

“Saya sendiri tidak tahu,” kata saya.

“Bagaimanakah perasaan Tuan Haji setelah menjadi nipis ini?”

Wah ini soalan berat tetapi secara otomatis saya menjawab:

“Alhamdulillah saya bersyukur dan amat gembira kerana telah menjadi nipis … saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang berkenaan dan yang berwajib yang telah menyebabkan saya menjadi nipis …”

Rasa-rasanya saya tidak faham atau sedar apa yang saya cakapkan! Tetapi ini kan jawapan yang selalu diberikan oleh setiap orang yang diwawancara di televisyen Brunei. Soalan ini adalah soalan penutup … apakah atau bagaimanakah perasaan awda … dan jawapannya ialah … saya merasa gembira dan sebagainya …

Lelaki berkacamata menutup laporannya dengan mengatakan bahawa fenomena ini memperlihatkan kepada kita akan kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa Taala: “Jika Pakistan ada manusia yang paling jagau (tinggi) maka kita di Brunei Darussalam yang aman makmur kaya raya dengan minyak dan bilangan penduduknya kecil ini pula memiliki manusia nipis dua dimensi!”

Saya pulang ke rumah seperti tidak ada apa-apa cuma semasa menuju ke kereta tadi ada angin bertiup sedikit dan saya hampir-hampir saja terbang melayang. Dalam perjalanan pulang ini saya berfikir-fikir sebenarnya sejak bilakah saya menjadi nipis ini. Susah saya hendak menentukan saatnya kerana saya tidak merasa nipis bahkan hingga kini saya tidak merasa nipis. Saya hanya sedar bahawa saya nipis ketika melihat diri saya di cermin setelah isteri saya pengsan petang tadi – bila sebenarnya saya menjadi nipis, jam minit dan saatnya sudah tidak dapat diterka lagi. Oleh kerana saya tidak merasa nipis mungkin pada hakikatnya saya sudah nipis sejak lama mungkin berbulan-bulan kebelakangan bahkan bertahun-tahun cuma secara fizikalnya saya nipis baru petang tadi. Apa pula yang menyebabkan saya menjadi nipis – ah peduli apa! Malas saya hendak memikirkannya. Biarlah!

RAJA SEGALA TAMAN

dalam A4 – novelet dan antologi cerpen, DBP 1993

SETELAH SEKIANlama difikir-fikirkan, dimesyuaratkan dan dibincangkan, satu keputusan pun diambil bahawa sebuah taman besar akan dibina di Kampong Anu, bukan saja untuk generasi masa kini tapi juga untuk generasi-generasi akan datang dan taman ini adalah raja segala taman, perancangannya akan dijalankan mulai sekarang, pembinaannya akan dimulakan dalam masa sepuluh tahun akan datang dan pembukaan rasminya akan dilakukan empat puluh tahun sesudah itu, ini adalah idea dari beberapa orang bijak pandai yang berwibawa yang tidak perlu dipersoal-soalkan oleh sesiapa dan kamu semua, tuan-tuan, puan-puan, datuk-datuk, nenek-nenek, bapak-bapak, emak-emak, apalagi anak-anak yang masih mentah dan baru saja hidup, serahkanlah segala-galanya kepada kami biar kami yang menguruskannya, maafkan kami kalau kami bercakap besar, kerana kamu tidak mampu memandang jauh ke depan, tidak akan mampu memikirkan tentang mengapa taman ini mesti dibina, taman raja segala taman, ini adalah projek besar-besaran jangka panjang yang akan menelan belanja berjuta-juta ringgit kerana taman ini adalah mengikut model taman yang tersebut di dalam kitab suci di mana sungai-sungai kecil mengalir di bawah pokok-pokok yang rendang, sungai-sungai yang airnya sentiasa mengalir bersih dan sejuk, yang airnya tidak perlu dimasak untuk diminum, kupu-kupu terbang ria (seperti bernari-nari) dari bunga ke bunga yang sentiasa mekar, harum semerbak, bunga-bunga yang berjuta warna, tuan-tuan dan puan-puan kerana itulah pembinaan taman raja segala taman ini akan menelan berjuta-juta ringgit dan di sinilah sumbangan tuan-tuan dan puan-puan diperlukan dan ini adalah untuk kepentingan kita semua juga dan kerana, maafkan kami jika berlagak terlalu bijak, tuan-tuan dan puan-puan tidak tahu apa-apa, tuan-tuan dan puan-puan mesti menurut apa saja cakap kami demi kejayaan projek segala projek ini, projek yang amat besar faedahnya ini dan bayangkanlah masa seribu tahun lagi ketika semua hutan pupus oleh kemajuan dan pertambahan penduduk dunia maka taman yang sebuah ini sajalah akan tinggal dan anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit kita akan masih dapat mengenal apa itu kupu-kupu, rama-rama dan segala macam unggas dan mergastua, daun-daun hijau, rumput-rumput, anak-anak sungai yang mengalir jemih, tenang dan bebas dari polusi industri, kerana itulah tuan-tuan dan puan-puan dimestikan berkorban dengan memberikan sumbangan dan untuk tidak menyusah-nyusahkan otak tuan-tuan dan puan-puan berfikir maka kami ahli-ahli jawatankuasa tertinggi projek ini telah menetapkan dengan muktamad tentang beberapa yang mesti disumbangkan oleh setiap individu, serahkanlah aktiviti berfikir tentang perkara ini kepada kami dan tuan-tuan dan puan-puan tidaklah perlu berfikir dan kita semua akan bahagia turun-temumn hingga ke akhir zaman nanti, surat keliling sudah pun disebarkan untuk menerangkan projek ini secara kasar (keterangan lanjut yang terperinci boleh didapati dari jawatankuasa induk), setiap orang yang berpendapatan di bawah seribu ringgit mesti menyumbangkan sebanyak lima puluh ringgit sebulan selama sepuluh tahun dan itulah sumbangan yang paling kecil, bagi yang berpendapatan lebih bagi setiap seribu ringgit seratus ringgit mesti disumbangkan setiap bulan untuk selama sepuluh tahun, jangan susah tuan-tuan dan puan-puan wang tuan-tuan dan puan-puan ini tidak akan disalahgunakan kerana semua ini telah kami fikirkan dan tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu lagi memikir-mikirkannya, lalu sibuklah kedai-kedai kopi, lalu sibuklah gerai-gerai makan, lalu sibuklah setiap waktu yang terluang, sibuklah anak-anak kecil yang bam mula belajar berfikir, lalu sibuklah anak-anak besar yang sudah boleh berfikir, lalu sibuklah orang-orang dewasa yang tidak dapat tidak mesti berfikir, lalu sibuklah bapak-bapak dan emak-emak yang sudah mula letih berfikir, lalu sibuklah datuk-datuk dan nenek-nenek yang kalau boleh kami tidak mahu berfikir-fikir lagi tapi otakku ini tidak mahu dan memaksa aku terus berfikir-fikir, projek taman raja segala taman ini adalah satu projek yang baik yang mempunyai tujuan dan pandangan jauh, jauh, jauh ke depan yang hanya dapat difikirkan oleh seseorang yang amat pintar, yang tidak perlu diragu-ragukan lagi tapi berhakkah mereka menentukan bahawa setiap orang mesti memberi sumbangan seperti yang telah mereka tetapkan, bukankah harta yang diambil secara paksa itu tidak halal walau macam mana bagus tujuannya dan mengapa setiap orang mesti menyetujui projek besar raja segala projek ini, lalu mulalah terdengar segala macam sungutan tapi sungutan ini tetap tinggal sungutan kerana segala-galanya telah dimuktamadkan, kerana tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu memikir-mikirkan perkara ini kerana perkara ini sudah pun difikir-fikirkan, kerana fikiran tuan-tuan dan puan tidak akan mampu memikirkannya dengan pandangan yang amat jauh, lalu dihulurkan jugalah sumbangan setiap bulan selama sepuluh tahun, ada yang menghulurkannya dengan diam yang apa boleh buat saja aku terpaksa, ada yang menghulurkannya dengan penentangan tapi tetap juga menghulurkannya, ada yang menghulurkannya dengan hati yang berkata-kata, nah inilah lima puluh ringgit bagi bulan ini untuk projek yang tidak kusetujui ini, lima puluh ringgit yang aku dipaksa menghulurkannya, dipaksa dengan secara halus, inilah lima puluh ringgit setiap bulan yang tidak akan aku halalkan sampai bila-bila dunia dan akhirat, ada yang tidak mahu menghulurkannya sama sekali lalu rezeki mereka menjadi sempit, kehidupan mereka menjadi susah turun-temurun di bumi Tuhan dan tiada maaf bagimu dan anak-anakmu dan cucu-cucumu dan cicit-cicitmu, ada yang menghulurkannya dengan dada yang lapang terbuka penuh rela, nah inilah sumbanganku bagi projek yang amat bagus ini, ada yang menghulurkan lebih dari yang dipinta yang jika boleh aku mahu menyumbangkan lebih banyak lagi bagi projek yang bijaksana ini, projek yang indah ini, projek yang terpuji ini, projek yang tidak ada tolok bandingannya ini tapi sumber kewanganku belum mengizinkan untuk aku berbuat demikian lalu kehidupan mereka menjadi senang turun-temurun dan mereka menjadi pewaris yang diiktiraf sah untuk mendiami bumi Tuhan ini dengan bahagia hingga ke akhir zaman, terkumpullah wang-wang yang halal dunia dan akhirat, lalu bercampurlah wang-wang yang tidak halal dunia dan akhirat dengan wang-wang yang halal dunia dan akhirat, lalu dibinalah taman raja segala taman di bumi dengan wang-wang yang tidak halal dunia dan akhirat dan wang-wang yang halal dunia dan akhirat dan seperti yang dirancangkan oleh pengasas projek, yang sudah meninggal dunia tidak sempat melihat hasil dari fikirannya, taman raja segala taman siap dibina dalam masa sepuluh tahun dan tidak dibenarkan sesiapa masuk, dikawal rapi untuk selama empat puluh tahun untuk memberi peluang bagi unggas-unggas, kupu-kupu dan rama-rama berkembang biak, untuk memberi peluang penuh bagi pokok-pokok, bunga-bunga dan rumput-rumput tumbuh melata subur menghijau, untuk memberi peluang bagi air-air yang senghaja dikawal dan dialirkan di beberapa tempat tertentu menghakis bumi menjadi anak-anak sungai kecil mengalir di bawah pokok-pokok yang rimbun, untuk memberi peluang burung-burung hidup beranak-pinak dengan aman dan pada suatu hari yang aman, pada suatu hari yang bahagia, pada suatu hari yang redup, pada suatu hari ketika angin bertiup perlahan nyaman dan damai berkumpullah setiap orang dari setiap penjuru, para penyumbang wang yang tidak halal dunia dan akhirat, para penyumbang wang yang halal dunia dan akhirat yang sebahagiannya masih hidup tua dan nyanyuk, datang bersama-sama cucu-cicit dengan bangga melaungkan bahawa inilah peninggalan mereka untuk generasi akan datang dan kamujagalah taman ini baik-baik untuk cucu-cicit kamu pula, datanglah mereka berduyun-duyun dengan ria, dengan riang, dengan gelak tawa, dengan gembira dari segenap arah untuk upacara pembukaan rasmi taman raja segala taman yang setelah siapnya mereka dilarang keras memasukinya untuk selama empat puluh tahun ini dan setiap orang sebaik-baik saja memasukinya tercengang-cengang dan tanpa disuruh-suruh terus pergi ke tengah-tengah taman ini kerana di sini di tengah-tengah kesuburan menghijau ini ada sepohon pokok yang hanya tinggal dahan-dahan dan ranting-ranting mati, sebiji buah yang seakan-akan buah epal merah masih tergantung-gantung tidak mahu jatuh, daun-daunnya habis gugur coklat kering di keliling perdunya, perdu pokok yang dililiti seekor ular, seekor ular yang bermata galak, seekor ular yang sentiasa mendesus-desus mengawal pokok yang sudah mati yang hanya berbuah sebiji ini dan tiada sesiapa berani menghampiri, orang-orang yang berduyun-duyun ini hanya berani mengelilingi pokok ini dalam jarak yang selamat, tertanya-tanya sesama sendiri bagaimana di tengah-tengah kesuburan ini boleh terdapat pokok mati dan sehodoh ini dan tidak lama kemudian tersebar sebuah cerita bahawa ada orang yang telah berjaya menyusup kawalan lalu masuk ke taman ini semasa dilarang masuk dahulu dan telah terlihat dua ekor burung hitam yang mula-mula kelihatan mesra berkawan tiba-tiba bersaung, bercakaran, berbunuh-bunuhan untuk mendapatkan sebiji buah berwarna putih, ketika seekor dari burung ini berjaya mendapatkan buah ini dengan paruhnya burung yang seekor tiba-tiba dengan sekuat tenaga mematuk kepala burung tersebut bertubi-tubi sehingga iajatuh terkapar-kapar mati dan buah putih ini bergolek dari paruhnya, burung yang seekor ini memagut buah tersebut dengan cepat lalu memakannya dan burung hitam ini kemudian mencakar-cakar bumi menggali lubang untuk menanam teman yang telah dibunuhnya ini sebelum terbang ia sempat berak di atas kuburan temannya ini dan di situlah tumbuhnya pokok yang hodoh ini.”Ya Tuhan!” Tiba-tiba seorang lelaki yang sudah amat tua menjerit sambil melutut pokok kering ini tangannya tertadah ke langit. “Aku telah banyak melakukan dosa dan aku akan melakukan dosa-dosa lagi!”

Lalu ia pun menyebut dosa-dosa yang telah dilakukannya satu persatu dan kemudian berpaling menghadap orang ramai lalu menyebutkan dan melaungkan dosa-dosa yang sedang dirancang akan dilakukannya satu persatu, tuan-tuan dan puan-puan aku akan melakukan penipuan secara besar-besaran, aku akan memeras ugut dan memaksa secara halus walaupun ia kelihatan seperti tidak lama lagi akan mati, dan selepas ini dengan cepat ia bangkit bergegas keluar dari taman ini dengan muka yang kesal kerana percuma-cuma membuka keaiban diri sendiri dan sebaik-baik saja ia pergi seorang lagi muncul dan beriutut di depan pokok ini melaungkan segala dosa-dosanya dan rancangan buruk yang akan dilakukannya, seorang demi seorang melutut di depan pokok mati berdahan beranting kering ini, dari datuk kepada nenek kepada bapak kepada emak kepada anak kepada cucu kepada cicit melutut di situ menceritakan segala dosa-dosa kemudian berpaling kepada orang ramai lalu memberitahu rancangan dosa-dosa yang akan datang, tuan-tuan dan puan-puan itulah yang akan aku lakukan nanti, tunggulah dengan sabar walaupun aku sendiri merasa tidak sabar-sabar lagi mahu melakukannya.

“Tuan-tuan dan puan-puan!” Seorang lelaki penuh wibawa memekik. “Aku akan menyalahgunakan kuasa yang telah diamanahkan kepadaku!”

Tiba-tiba ia tersedar dari apa yang dikatakannya lalu dengan ia memekik lagi:”Tuan-tuan dan puan-puan kita tebang saja pokok jahanam ini! Jika tidak kita akan menghabiskan masa dengan memfitnah diri sendiri! Jika pokok ini tidak dijahanamkan kitalah yang akan jahanam!”

Dengan sergahan ia menghalau orang yang terkumpul di situ keluar dari taman ini, pergi, pergi, pergi semua keluar, keluar, keluar, keluar, cepat, cepat, keluar sebelum kita membocorkan segala rahsia buruk-buruk! Keluar!

Dan raja segala taman ini untuk sementara waktu buat selama-lamanya ditutup, dikunci dan dikawal rapi kerana tiada sesiapa berani menebang pokok hodoh tinggal ranting dan dahan ini selagi ada ular yang menjaganya.

“Itulah taman syurgawi di bumi,” kata seorang datuk kepada cicitnya. “Tapi kita belum berhak memasukinya.”

MAJLIS

dalam A4 – novelet dan antologi cerpen, DBP 1993

“SILAKAN MASUK.”Tuan rumah menjemput dengan membongkok-bongkok, tangan kiri di atas perut dan tangan kanan digerak-gerakkan mempersilakan kami supaya masuk. Tiga hari yang lalu aku menerima kad jemputan ke majlis ini.

“Terima kasih kerana sudi datang,” katanya lagi.

Majlis tersebut sudah lama dirancang dan aturcaranya sudah pun disusun setelah diubah, ditambah dan difikirkan dan kemudian diubah lagi, dikurangi, ditambah lagi dan difikirkan lagi, diubah, ditambah dan difikirkan lagi dan kemudian diubah lagi semula, dikurangi, ditambah lagi dan difikirkan lagi semula sementara menunggu hari yang paling patut untuk melaksanakannya. Kad undangan ke majlis tersebut juga telah direka khas oleh seorang pereka grafik profesional yang mahal dengan arahan bahawa majlis tersebut adalah sebuah majlis yang istimewa, pertama kali di seluruh dunia dan pembuka bagi mengadakan majlis-majlis yang serupa di mana-mana: rekabentuk kad tersebut telah melalui proses yang ketat, diubah dan diubah lagi untuk akhirnya dirombak lalu direka semula lagi dari awal, lalu diubah dan diubah lagi untuk akhirnya direka semula dari awal, taifografinya saja mengalami tidak kurang dari seratus kali perubahan, layoutnya yang simple ini juga telah melalui perubahan yang berulang kali untuk menepati konsep majlis tersebut sehingga pereka grafiknya yang tidak pernah mengaku kalah ini hampir-hampir saja membunuh diri. (Aku menemuinya pada akhir majlis dan memuji rekabentuk kad tersebut, satu karya seni yang tinggi mutunya kataku – tapi katanya ia sudah berhenti dari kerjayanya ini dan sekarang ia bekerja makan gaji sebagai tukang dobi dan tidak perlu lagi memikirkan tentang segala macam konsep seni, ia seorang gadis yang jelita.)

Semua ini diceritakan kepadaku oleh tuan rumah sebaik-baik saja aku, isteriku berserta anakku yang baru berumur tujuh tahun lebih tiba. Kamilah yang mula-mula sekali datang.

Kumpulan pemuzik undangan tiba kira-kira dua minit kemudian dengan seterak peralatan bunyi-bunyian. Mereka mengangkut peralatan mereka ini masuk dengan bising. Mengikut tuan rumah, mereka seniman-seniman tulen dalam bidang bunyi-bunyian yang dijemput khas dengan bayaran mahal untuk menyerikan majlis ini.

“Seperti yang sudah dimaklumi,” kata tuan rumah tanpa sebarang kekekokan pada suara atau ulahnya, “hal yang hendak dimajliskan adalah pekara yang biasa-biasa saja yang boleh terjadi pada bila-bila masa dan pada sesiapa tapi belum dirasmikan atau diterima sebagai biasa.”

Ia (tuan rumah) memiliki bibir yang tebal dan mulut yang agak besar dan bertahi lalat di sebelah kiri bibir atasnya, tahi lalat tersebut hampir-hampir tersembunyi kerana warnanya sama dengan warna bibirnya ini atau barangkali ini bukan tahi lalat sebenarnya tapi sesuatu yang lain.

“Silakan masuk,” katanya. “Aku telah mencetak seratus keping kad undangan di atas kertas art yang mahal dan semuanya telah dibahagi-bahagikan. Aku harap semua akan datang untuk menyaksikan hal yang hendak dimajliskan.”

Aku sendiri belum pernah melihat hal tersebut walaupun aku selalu terdengar ia terjadi si sana sini. Aku mendengarnya dari kawan-kawan yang juga mendengarnya dari orang lain dan ini pun diceritakan dengan berbisik-bisik, ragu-ragu, putus-putus penuh dengan kekekokan, antara toleh kiri dan toleh kanan untuk memastikan yang tiada orang lain ikut mendengar, diceritakan di antara kawan yang rapat saja.

Kami masuk.

Tuan rumah memandang anakku yang berumur tujuh tahun lebih ini. Aku memandang anakku yang berumur tujuh tahun lebih ini kemudian aku memandang tuan rumah yang rambutnya sudah beruban di sana sini atau mungkin saja semua ini bukannya uban kerana ia kelihatan segak dan muda; rambut-rambut yang putih ini seperti satu fesyen mutakhir sehingga aku sendiri merasa malu kerana ketinggalan zaman dengan rambutku yang hitam keseluruhannya. Kemudian aku memandang anakku semula.

“Ini anakku,” aku memperkenalkan.

“Apa khabar?” tanyanya pada anakku.

“Oo, baik-baik saja,” jawab anakku.

“Kau sudah ada teman lelaki?”

“Ya, tapi baru seorang.”

“Cucuku, umurnya kira-kira macam kau inilah, lapan tahun, sudah sepuluh kali ia putus cinta dan mengadu padaku. Tapi kataku padanya itu tidak apa, semasa kamu masih budak-budak inilah kamu bermain-main cinta sepuas-puasnya. Ia suka pada lelaki yang jauh lebih tua darinya.”

Lalu tuan rumah ini pun memanggil cucunya yang kuat bermain cinta ini supaya keluar untuk ikut menyambut kami, tamu yang awal datang. Ia memang lawa. Ia merenungku lama-lama sambil tersenyum-senyum. Ia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Lama baru ia melepaskan tanganku ini. Aku kira aku sudah jatuh cinta padanya. Isteriku macam cemburu.

Aku cuba menggaru belakangku yang terasa sedikit gatal, tanganku tidak sampai.

Di rumah kemudian aku memberitahu isteriku yang cucu tuan rumah masih budak-budak, baru berumur lapan tahun, tidak perlu dicemburui.

“Ya budak-budak,” jawab isteriku. “Tapi ia juga seorang perempuan. Satu hari nanti ia akan besar juga.”

Cucu tuan rumah membawa anakku masuk ke dalam, ke ruang lain untuk melihat album-album gambar ia bersama teman-teman lelakinya dan sebelum masuk pintu ia sempat menoleh dan melirik padaku sambil tersenyum manis. Aku membalas senyumannya.

Tuan rumah membawa aku dan isteriku masuk ke ruang tamu sambil berulang-ulang menerangkan tujuan sbenar majlis ini diadakan. Ia menerangkan dengan berterus terang seolah-olah kami belum tahu lagi. Belum pernah orang bercakap tentang hal ini secara terus terang seperti ini.

“Hal ini terjadi di sana sini,” kata tuan rumah. “Jadi mengapa kita mesti menyembunyikannya? Kita mesti berfikiran terbuka.”

Aku measa kurang senang mendengarnya mungkin kerana fikiranku masih belum terbuka. Ya, aku akan cuba untuk berfikiran terbuka.

Tuan rumah terus berckap sementara aku memandang-mandang kelilingku. Ruang tamu ini amat besar bagi sebuah ruang tamu yang biasa. Ia kelihatan lebih sperti sebuah galeri mini apalagi di dinding tergantung (terpamer) sepuluh buah karya seni, yang terbesar sekali ialah sebuah kotak kaca yang di dalamnya terkumpul seluar-seluar dalam yang kotor (mungkin saja tidak kotor cuma kelihatannya saja kotor). Ada lima buah arca yang bentuknya boleh saja diberi tafsiran yang berbagai-bagai; di sudut sebelah kiri ada sebuah arca yang bentuknya dari cantuman bentuk-bentuk anggota sulit manusia.

“Kita tidak perlu merasa malu lagi,” kata tuan rumah. “Ini adalah evolusi peradaban manusia yang wajar. Jika tidak wajar ia tidak akan berlaku di sana sini sekarang ini, ya kita tidak perlu malu-malu lagi jika ia berlaku kepada anak-anak kita atau ahli-ahli keluarga kita.”

Seorang anak muda kira-kira berumur dalam dua puluh lima tahun masuk ke ruang tamu itu. Tuan rumah memperkenalkan ia kepada kami.

Anak muda ini anaknya. Telinga kirinya kelihatan seperti telinga anjing.

“Ini anakku yang kedua,” kata tuan rumah.

Aku menghulur tangan untuk berjabat salam dengannya. Ia menghulurkan tangannya – tangan ini kelihatan seperti kaki anjing.

“Apa khabar?” kataku.

“Woof,” kata anak muda ini. “Woofaik.”

Anak muda ini kemudian cepat-cepat beredar dari sini keluar dari ruang tamu. Tidak lama kemudian aku terdengar bunyi derap kaki-kaki kecil seekor binatang berkaki empat sedang berlari-lari anak di tingkat atas. Aku memandang muka tuan rumah. Ia memandang mukaku lalu kemudian aku bertanya padanya jika ia ada memelihara binatang kesayangan seperti anak kijang misalnya tapi cepat-cepat pula aku merasa bahawa soalanku ini kurang wajar dan lari dari kenyataan kerana semua orang tahu bahawa seluruh binatang sudah pupus, yang tingal diam di muka bumi hanyalah manusia dan kemudian aku merasa kurang senang.

“Itulah anakku. Ia berumur dua puluh satu tahun sekarang,” kata tuan rumah. “Ia sedang bertukar menjadi anjing.”

Tuan rumah terus menceritakan kejadian-kejadian serupa yang mula berlaku kira-kira lima tahun lalu (sepuluh tahun selepas pupusnya segala jenis haiwan). Ia bercakap tanpa canggung-canggung. Di sana sini manusia bertukar menjadi binatang. Kita tidak pernah melihat ia terjadi dengan mata kepala kita sendiri kecuali jika ia menimpa pada diri kita sendiri tapi kita mengetahui ia terjadi kerana tiba-tiba kita merasakan akan kehilangan si Anu dan si Anu dan tiba-tiba muncul pula sekor lembu atau musang merayau-rayau di kaki lima kedai di ibu kota sedangkan kita sudah tahu bahawa haiwan telah pupus kesemuanya kemuidan tersebar pula cerita-cerita mengenainya yang penuh dengan penghinaan dan kita tidak mahu menerima hakikat tesebut sedangkan intuisi memberitahu kita yang lembu atau musang ini siapa lagi kalau bukan si Anu dan si Anu, anak kita, ahli-ahli keluarga kita yang tiba-tiba hilang secara ajaib itu. Tiba-tiba orang akan memandangmu dengan pandangan yang lain dan mereka menjadi lebih santun dari biasa terhadapmu tapi kau tahu yang mereka sedang mencercamu di dalam hati, mengapa kaubiarkan anak-anakmu menjadi binatang, mengapa kaubiarkan anak lelakimu menjadi tupai atau anak daramu menjadi tikus atau barangkali mereka sedang memikirkan yang lebih buruk lagi dari ini. Jadi kita yang tertimpa hal tersebut buat-buat seperti tidak ada apa-apa saja walaupun rasanya ingin hendak memulas-mulas tengkuk orang tersebut.

Tuan rumah menjelaskan lagi bahawa selama ini ada berbagai-bagai cara dilakukan orang untuk mengelak dari menghadapi kenyataan ini yang paling jelas sekali ialah tiada sesiapa yang mahu memperkatakannya dengan berterus-terang: selalau saja dengan pandangan mata yang lain dari biasa. Menangguh-nangguh kebenaran telah menyebabkan keluarga yang ditimpa hal tersebut menjadi tertekan perasaannya. Kejadian ini mesti dilaung-laungkan dan diterima dengan terbuka sebagai pekara yang tidak ada apa-apa, sebagai pekara yang biasa-biasa saja.

“Manusia sudah lama mula jadi binatang,” kata tuan rumah. “Dan tidak ada apa-apa yang dapat kita buat selain dari menerimanya.”

Kemudian tuan rumah membidas pendapat seorang pengkritik sastera yang amat berminat pada personifikasi, simile dan metafora, yang juga seorang ahli budaya yang berwibawa yang pendapatnya tidak boleh ditentang. Pengkritik sastera sekaligus ahli budaya tersebut berpendapat bahawa hal ini hanyalah satu metafora. Manusia sudah mula jadi binatang – ini metafora – bukan bererti manusia telah benar-benar jadi binatang: ia harimau jantan atau anakku ini anjing, aku ini binatang jalang dari kumpulanya terbuang juga metafora: lagi pun tiada seseorang yang tampil untuk mengaku pernah menyaksikan kejadian tersebut, semuanya mendengar dari cerita orang lain yang mendengarnya dari cerita orang lain yang mendengarnya dari orang lain yang juga mendengarnya dari orang lain dan seterusnya, jadi semuanya hanyalah sebuah cerita, metafora boleh saja hadir di dalam cerita apalagi cerita yang bersambung-sambung dari mulut ke mulut yang banyak tokok tambahnya itu. Mula-mula tidak ada orang menentang pendapatnya tapi kemudian seorang tukang sapu sampah jalan raya yang telah mengarang buku-buku falsafah menunjukkan tentang kebodohan melihat hidup ini sebagai hikayat atau cerita apalagi sebagai teks (sastera atau bukan sastera). Metafora hanya wujud dalam hikayat atau cerita atau teks yang terbina dari paragraf-paragraf, ayat-ayat perkataan-perkataan dan huruf-huruf. Ia mempelawa pengkritik tersebut untuk keluar dari teks sateranya dan terjun ke dalam kehidupan untuk menghadapi kenyataan yang sebenarnya kerana menganggap hal tersebut sebagai metafora saja sama seperti menganggap hal tersebut tidak benar-benar terjadi, dan ini satu pembohongan terhadap realiti. Dari manakah datangnya anjing-anjing berkeliaran di lorong-lorong kecil di bandar dan buaya-buaya berjemur di tengah-tengah round about-round about di lebuhraya sedangkan binatang-binatang dengan rasminya sudah pupus kesemuanya disebabkan oleh perbuatan manusia ini sendiri dengan membinasakan sungai-sungai, lubuk-lubuk, muara-muara, hutan-hutan dan pohon-ponoh rindang menghijau. Sebagai tukang sapu sampah ia telah menemui longgokan-longgokan najis binatang-binatang tersebut, saudara-saudara kita sendiri, yang berbeza dari bentuk najis manusia tapi sama baunya – bau bahan-bahan kimia; binatang-binatang berdarah daging dan bukan huruf-huruf, ayat-ayat atau paragraf-paragraf di dalam sesebuah teks atau kata-kata yang didengar dari cerita-cerita mulut.

“Kita sekarang berada di dalam kehidupan,” kata tukang sapu sampah, “dan bukan di dalam sebuah puisi atau novel atau cerpen atau cerita lisan, juga hidup ini bukan sebuah esei ilmiah. Kita adalah homo sapiens yang berdarah daging bukan homo fiktus.”

Cerita ini sudah pun kuketahui dan diketahui orang ramai cuma saja tiada sesiapa yang mahu menceritakannya kembali seperti yang dibuat oleh tuan rumah. Itulah perdebatan pertama dan terakhir yang berlaku tentang hal tersebut kerana tiada sesiapa yang mahu bercakap tentangnya lagi. Seminggu selepas berlakunya perdebatan ini tukang sapu sampah yang telah mengarang buku-buku falsafah ini ditemui mati di tepi longkang dan pengkritik sastera yang amat berminat pada personifikasi, simile dan metafora sekaligus ahli budaya ini lenyap diikuti dengan kemunculan seekor musang merayau-rayau di sebuah institusi pengajian tinggi. Cerita tentang peristiwa ini menjadi cerita terkenal yang tidak di-ceritakan. Setiap orang yang kukenal mengetahuinya.

“Aku sependapat dengan tukang sapu sampah jalan raya yang mati di tepi longkang itu,” kata tuan rumah. “Tapi sekadar memiliki pendapat saja tidak cukup jika tidak berbuat sesuatu kerana sekarang ini pendapat sama seperti lubang dubur – setiap orang ada memilikinya.”

Aku sendiri lebih suka pada pendapat pengkritik sastera ahli budaya itu: hidup ini adalah metafora, kita ini adalah tanda-tanda dan simbol-simbol yang sarat dengan tanda-tanda dan simbol-simbol yang lain pula. Aku adalah satu perkataan yang terdiri dari tiga huruf: A, k, dan u. Sekarang aku berada di dalam sebuah ayat di dalam sebuah paragraf di dalam sebuah teks. Seorang ahli falsafah yang yang tiada lain berfikir saja kerjanya ini akan menjadikan aku lebih dari tiga huruf, barangkali aku akan menjadi sebuah buku yang tebal yang tiada sesiapa boleh memahaminya: jahanam dengan semua ahli falsafah!

Ada bunyi guruh, ada bunyi petir, ada bunyi trak, ada bunyi orang berak, ada bunyi jentolak, ada bunyi besi sedang digergaji, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi kentut yang panjang, ada bunyi botol pecah, ada bunyi letupan bom, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi angin kencang, ada bunyi spring tilam, ada bunyi nafas-nafas, ada bunyi enjin motobot, ada bunyi keretapi, ada bunyi orang berlari, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi roket, ada bunyi bedil, ada bunyi burung, ada bunyi jet pejuang, ada bunyi senapang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbipbipbipbipbip, ada bunyi pinggan mangkuk berlaga, ada bunyi tin disurung-tarik di atas simen, ada bunyi petir lagi dan bunyi tandas dipam, ada bunyi jentolak lagi, ada bunyi kereta berlanggar…

Belakangku terasa gatal di tempat yang amat sukar untuk dicapai dengan tangan. Para jemputan sudah mulai datang.

“Aku telah mencetak seratus keping kad undangan di atas kertas art yang mahal dan semuanya telah dibahagi-bahagikan,” ulang tuan rumah. “Aku harap semua akan datang untuk menyaksikan hal yang hendak dimajliskan dan aku harap ia akan diterima sebagai normal saja.”

Hanya dua puluh orang yang datang dan ini amat menggembirakanku kerana aku datang untuk makan, kukira seperti juga orang-orang lain. Harga makanan amat mahal dan makanan-makanan ini pula hanyalah tiruan yang dicipta oleh para saintis permakanan – kelihatannya seperti daging dan sebagainya tapi rasanya dan baunya seperti bahan-bahan kimia – ia perlu diperbaiki lagi. Para saintis tersebut sedang melakukan eksperimen demi eksperimen sejak pupusnya segala tumbuh-tumbuhan dan binatang-binatang sumber makanan manusia kira-kira lima belas tahun dahulu.

Tuan rumah mempelawa kami semua para jemputan setelah tidak ada lagi yang datang untuk beredar ke sebuah dewan kerana majlis sudah tidak dapat ditangguh-tangguhkan lagi.

“Sekarang kita saksikanlah bahawa semua ini benar-benar berlaku dan bukan sekadar sebuah metafora.”

Dewan ini sebuah dewan yang besar, di tengah-tengahnya ada sebuah pentas bulat, kerusi-kerusi diatur mengelilingi dan menghadapi pentas bulat dan antara pentas bulat dan kerusi-kerusi diatur meja-meja yang penuh dengan makanan dan minuman.

Tuan rumah memimpin anaknya masuk menuju ke pentas bulat. Kaki dan tangan anaknya ini keseluruhannya sudah bertukar menjadi kaki-kaki anjing dan tubuhnya tanpa tangguh-tangguh membongkok kuat, diikuti dengan ketar-ketar, kemudian ketar-ketar ini reda.

Kami dipersilakan oleh tuan rumah untuk makan minum sambil menyaksikan peristiwa ini dan silakan bersosial, ketika itula aku merasa tanganku diusap-usap lebut dan apabila aku memandang ke bawah mataku bertentang dengan mata cucu tuan rumah yang merenungku dengan senyum. Ia menarik tanganku supaya duduk dan ia duduk rapat-rapat di sisiku sambil bercerita itu ini. Di tempat lain aku terlihat anak perempuanku yang baru berumur tujuh tahun lebih sedang berbual-bual dengan seorang lelaki yang seumur denganku, kemudian aku terlihat ia menyuapkan makanan ke mulut lelaki tersebut, dan kemudian lelaki tersebut menyuapkan makanan ke mulut anakku pula, dan kemudian mereka tertawa sama-sama.

Di atas pentas bulat tidak ada apa-apa yang berlaku kecuali anak tuan rumah masih lagi membongkok kaku dan sekali-sekala terketar-ketar – mukanya kelihatan seperti orang yang sudah amat bosan. Aku meneruskan makan minum dengan dilayan oleh cucu tuan rumah yang manis itu; tanganku terus saja dipegangnya sambil ia menyuapkan daging tiruan ke mulutku kemudian ia tertawa girang. Daging tiruan ini tidaklah begitu teruk sangat rasanya sudah kurang rasa kimianya, barangkali sudah ada kemajuan di dalam teknologi permakanan.

Anak tuan rumah tiba-tiba melompat tinggi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat lebih tinggi lagi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat rendah sedikit tapi lebih tinggi dari lompatan pertama tadi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat diikuti dengan ketar-ketar kemudian ketar-ketar ini reda, ia membongkok kuat dan kejang, tubuhnya perlahan-lahan bertukar menjadi tubuh anjing, kepalanya (kecuali telinganya) masih lagi manusia.

Ada bunyi guruh, ada bunyi petir, ada bunyi trak, ada bunyi orang berak, ada bunyi jentolak, ada bunyi besi sedang digergaji, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi kentut yang panjang, ada bunyi botol pecah, ada bunyi letupan bom, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi angin kencang, ada bunyi spring tilam, ada bunyi nafas-nafas, ada bunyi enjin motobot, ada bunyi keretapi, ada bunyi orang berlari, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi roket, ada bunyi bedil, ada bunyi burung, ada bunyi jet pejuang, ada bunyi senapang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbipbipbipbipbip, ada bunyi pinggan mangkuk berlaga, ada bunyi tin disurung-tarik di atas simen, ada bunyi petir lagi dan bunyi tandas dipam, ada bunyi jentolak lagi, ada bunyi kereta berlanggar…

Aku makan makanan dengan lebih banyak lagi. Aku minum minuman dengan lebih banyak lagi. Cucu tuan rumah tidak henti-henti menaruh makanan di atas pingganku dan menuang minuman ke dalam gelasku sambil ia membisik-bisik di telingaku bahawa ia mahu mengambil aku jadi kekasihnya yang baru.

Belakangku bertambah gatal.

Anak tuan rumah tiba-tiba melompat tinggi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat lebih tinggi lagi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat rendah sedikit tapi lebih tinggi dari lompatan pertama tadi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat diikuti dengan ketar-ketar kemudian ketar-ketar ini reda, ia membongkok kuat dan kejang, sekarang kepalanya bertukar menjadi kepala anjing. Di belakang, para pemuzik, seniman-seniman tulin dalam bidang bunyi-bunyian, terus memainkan peralatan mereka.

Para jemputan lain terus makan minum seperti tiada apa-apa yang terjadi di atas pentas bulat. Aku terus makan. Aku terus minum. Cucu tuan rumah terus-menerus menaruh makanan di atas pingganku dan menuang minuman ke dalam gelasku sambil terus-menerus membisik-bisik di telingaku.

Ada bunyi guruh, ada bunyi petir, ada bunyi trak, ada bunyi orang berak, ada bunyi jentolak, ada bunyi besi sedang digergaji, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi kentut yang panjang, ada bunyi botol pecah, ada bunyi letupan bom, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi angin kencang, ada bunyi spring tilam, ada bunyi nafas-nafas, ada bunyi enjin motobot, ada bunyi keretapi, ada bunyi orang berlari, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi roket, ada bunyi bedil, ada bunyi burung, ada bunyi jet pejuang, ada bunyi senapang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbipbipbipbipbip, ada bunyi pinggan mangkuk berlaga, ada bunyi tin disurung-tarik di atas simen, ada bunyi petir lagi dan bunyi tandas dipam, ada bunyi jentolak lagi, ada bunyi kereta berlanggar…

“Sekejap lagi ia akan jadi anjing yang total,” kata cucu tua rumah yang berusia lapan tahun itu.

“Ia sudah pun anjing sekarang,” kataku.

“Tapi ia masih belum binatang lagi,” kata cucu tuan rumah. “Ia sekarang masuk tahap penghabisan. Aku ada menyaksikan bapaku bertukar menjadi kera.”

Anak tuan rumah tiba-tiba melompat tinggi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat lebih tinggi lagi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat, kemudian ia melompat rendah sedikit tapi lebih tinggi dari lompatan pertama tadi kemudian ia jatuh di atas pentas bulat diikuti dengan ketar-ketar kemudian ketar-ketar ini reda, ia membongkok kuat dan kejang, kemudian ia seperti termenung berfikir-fikir, kemudian ia melompat tinggi, lebih tinggi dari lompatan-lompatan sebelumnya kemudian ia jatuh di atas pentas bulat diikuti dengan ketar-ketar kemudian ketar-ketar ini reda, ia membongkok kuat dan kejang: memecut keluar ekor dari hujung tulang belakangnya. Ekor ini lebih kurang setengah meter panjangnya dan kuning coklat warnanya.

Hip-hip hooray!

Hip-hip hooray!

Hip-hip hooray!

Cucu tuan rumah bersorak, aku juga ikut bersorak, dan para jemputan lain ikut bersorak.

Hip-hip hooray!

Hip-hip hooray!

Hip-hip hooray!

Para pemuzik, seniman-seniman tulen itu, bertambah rancak permainan mereka.

Ada bunyi guruh, ada bunyi petir, ada bunyi trak, ada bunyi orang berak, ada bunyi jentolak, ada bunyi besi sedang digergaji, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbipbipbipbipbip, ada bunyi kentut yang panjang, ada bunyi botol pecah, ada bunyi letupan bom, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi angin kencang, ada bunyi spring tilam, ada bunyi nafas-nafas, ada bunyi enjin motobot, ada bunyi keretapi, ada bunyi orang berlari, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi roket, ada bunyi bedil, ada bunyi burung, ada bunyi jet pejuang, ada bunyi senapang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi pinggan mangkuk berlaga, ada bunyi tin disurung-tarik di atas simen, ada bunyi petir lagi dan bunyi tandas dipam, ada bunyi jentolak lagi, ada bunyi kereta berlanggar, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbip-bipbipbipbip, ada bunyi pinggan mangkuk berlaga, ada bunyi tin disurung-tarik di atas simen, ada bunyi petir lagi dan bunyi tandas dipam, ada bunyi jentolak lagi, ada bunyi kereta berlanggar, ada bunyi tandas dipam, ada bunyi batuk-batuk, ada bunyi kapal terbang, ada bunyi pekikan yang panjang, ada bunyi bipbipbipbipbipbipbipbipbipbipbip, dan bunyi tandas dipam lagi ….

Anjing ini turun dari pentas bulaaat lalu keluar dari dewan tersebut, kami memberinya laluan menuju ke pintu.

Cucu tuan rumah terus memberikan tepukan tangan, aku terus ikut memberi tepukan tangan dan para jemputan lain juga terus ikut memberikan tepukan tangan.Tuan rumah naik ke atas pentas bulat lalu melakukan bongkokan sebanyak tiga kali sambil mengucapkan terima kasih berulang-ulang seolah-olah ia baru saja menunjukkan satu permainan silap mata kemudian setelah suasana reda ia menerangkan bahawa tanda-tanda awal yang terdapat pada anaknya ini ialah ia merasa gatal yang amat sangat di belakangnya pada tempat yang amat sukar dicapai dengan tangan.

“Jika ini terjadi pada kalian jangan lupa kad undangan untuk saya,” kata tuan rumah. “Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih banyak-banyak!”

Tuan rumah, kedua-dua tangannya diletakkan di atas perut, melakukan bongkokan badan tiga kali lagi lalu turun dari pentas bulat. Ia tersenyum-senyum girang, mukanya menunjukkan bahawa ia seorang lelaki yang sentiasa gembira.

“Terima kasih! Terima kasih! Terima kasih banyak-banyak!”

GAJI

Radio Brunei

ADA KHABARangin tersebar bahawa syarikat tempatnya bekerja ini akan menaikkan gaji di semua cawangan di seluruh negeri. Mendengar khabar seperti ini ingin rasanya Dolah melompat-lompat ke sana ke mari.Siapa yang tidak mahu pada kenaikan gaji? Lebih-lebih lagi kalau kenaikan ini sebanyak tujuh puluh lima peratus. Bayangkanlah kalau seseorang itu gajinya enam ratus ringgit, tiba-tiba saja sudah jadi seribu lima puluh ringgit, kalau selama ini ia sekeluarga boleh hidup dengan enam ratus ringgit maka akan bertambah mampulah lagi ia dengan kenaikan ini.

Ia pun sudah lama mengangan-angankan sebuah kereta baru yang selamat dipandu untuk perjalanan jauh. Keretanya yang sekarang ini sudah terlalu uzur seperti orang yang lanjut umur dan mudah pula rosak di tengah jalan. Dengan kereta baru ini nanti ia akan membawa isteri dan anak tunggalnya, Si Damit, berkelah ke hujung negeri di Pantai Muara misalnya pada tiap-tiap hari minggu.

“Tapi celakanya,” gerutu Dollah dalam hati. “Jika gaji naik, harga barang pun ikut naik!”

Apabila perkara ini dikemukakannya kepada Abdul Hamid, orang mula-mula sekali mengkhabarkannya tentang kenaikan ini, Si Abdul Hamid terus termenung.

“Benar katamu itu Dollah,” kata Abdul Hamid kemudian. Ia memandang Dollah yang berambut kemas bersikat lurus ke belakang. Seperti ada mendung menutupi muka Dollah.

“Begini,” kata Dollah sambil menanggalkan kacamata hitamnya. Kacamata ini dimasukkannya ke dalam saku baju. “Aku ini sudah lama bercadang hendak membeli kereta baru. Aku pun sudah berjanji pada Si Gayah isteriku dan aku pantang sekali mungkir janji. Tapi kalau dengan kenaikan gaji, harga kereta pun ikut naik, sudah tentu aku akan terpaksa sehidup dan semati dengan kereta burukku.”

“Kau pun tau,” sambung Dollah, “keretaku itu akan terkentut-kentut kalau berjalan jauh – ke Pantai Muara misalnya.”

Abdul Hamid menyungging senyum.

“Memang benar katamu itu Dollah.” Abdul Hamid mengerutkan kening. “Tapi kita jangan terlalu pesimis – setiap masalah ada cara penyelesaiannya – asalkan kita benar-benar mau mencarinya.”

Percakapan mereka terhenti di sini apabila Encik Badawi masuk memberi fail untuk dikerjakan Dollah.

“Apa yang kamu bincangkan?” tanya Encik Badawi sambil memandang Abdul Hamid dengan pandangan kucing jantan.

“Tidak ada apa-apa encik,” jawab Abdul Hamid tersipu-sipu seperti tikus.

“Abdul Hamid, encik.” Dollah menerangkan tanpa dipinta. “Katanya gaji akan naik. Apa benar ini encik?”

“Saya juga ada mendengamya. Mungkin benar,” kata Encik Badawi dengan perlahan. “Mungkin juga khabar angin. Saya belum menerima keterangan hitam putih dari tuan besar. Tapi kalau benar saya rasa kenaikan itu tidak adil.”

Encik Badawi yang bertubuh pendek ini berjalan tegak penuh wibawa menuju ke opisnya.

“Apa maksudnya tidak adil?” tanya Dollah pada Abdul Hamid sebaik saja Encik Badawi masuk ke dalam biliknya.

Abdul Hamid bersandar di kerusinya. Dengan penuh bersahaja ia mencapai kotak rokok. Apabila didapatinya kotak ini kosong ia mencapai kotak mancis pula. Dengan sebatang mancis ia mencungkil celah-celah giginya.

“Betullah kau ini tidak tau apa-apa Dollah?” kata Abdul Hamid. Ia menerangkan selanjutnya bahawa kenaikan gaji ini hanya melibatkan orang-orang yang bergaji rendah seperti mereka. Orang-orang yang bergaji tinggi seperti Encik Badawi tidak akan mendapat kenaikan walau satu sen pun.

“Ini adalah untuk merapatkan jurang perbezaan antara orang atas dengan orang bawah supaya jangan terlalu jauh bezanya.”

Abdul Hamid menjelaskan dibantu dengan gerak tangan. Ia menunjuk siling ketika menyebut ‘atas’ dan menunjuk lantai ketika menyebut ‘bawah’.

Dollah terikut memandang siling kemudian memandang lantai.

“Tidak adalah nanti di syarikat ini orang yang merasa dirinya terlalu tinggi kerana gajinya tinggi sangat atau orang merasa dirinya terlalu rendah kerana gajinya cukup makan saja.” Abdul Hamid meneruskan. “Semuanya hampir-hampir sama rata.”

“Cuma sedikit perbezaan saja,” sambungnya sambil menandakan betapa sedikitnya ‘sedikit’ itu dengan hujung ibu jari disentuhkan pada hujung sepertiga jari telunjuknya. “Macam ini!”

“Aaah! Sudahlah!” Dollah merengus. “Gaji naik – harga barang naik!”

Dollah melangkah ke meja kerjanya membawa fail yang telah diberikan Encik Badawi. Fikirannya tidak tertumpu sepenuhnya pada kerjanya. Alangkah bagusnya kalau gaji naik dan harga barang turun. Bukannya ia tidak dapat membeli kereta baru; ia boleh berhutang di bank. Cuma, fikirnya, kalau gajinya yang enam ratus ringgit ini dipotong tiga ratus setiap bulan untuk membayar balik hutang ini, sudah tentu bakinya tiga ratus ringgit ini tidak akan mencukupi untuknya hidup sekeluarga. Dengan gajinya yang enam ratus ringgit ini pun ia sekeluarga cuma cukup makan saja. Dan mujur juga ia mempunyai kebun sayur di belakang rumah yang hasilnya selain dimakan juga mereka jual.

Ada pokok kecil di depan rumah mereka. Di sinilah hasil dari kebun sayur ini disusun rapi; kacang panjang, terung, timun, sawi dan sekali-sekala sayur-sayur hutan seperti pucuk paku dan lamiding yang dicari sendiri oleh Gayah.

Gayah pula tidaklah terlalu meminta itu ini: sangat berasa cukup dengan apa yang ada saja.

“Bersyukur aku mendapat isteri macam Gayah,” kata Dollah di dalam hati. “Tapi kerana inilah juga aku mau membeli kereta baru. Sekali-sekala dapat juga aku membawanya bersiar-siar ke Pantai Muara misalnya. Atau jauh ke Tasik Merimbun.”

Cuma masalahnya, fikir Dollah, kalau gaji naik harga kereta pun pasti naik. Kesudahannya ia tidak akan jadi membeli kereta baru.

“Celaka!” gerutu Dollah.

“Siapa yang celaka?” tanya Abdul Hamid

“Gaji naik, harga kereta pun naik!” sahut Dollah.

“Dapatkan loan bank segera dan beli kereta sebelum harganya naik.” Abdul Hamid menyarankan acuh tak acuh saja. “Sepupuku salesman kereta. Ia boleh tolong menguruskannya asalkan kau membeli kereta itu darinya.”

Dollah terdiam memikirkan saranan ini. Ia ragu-ragu juga untuk menerimanya; terasa penyelesaiannya seperti ini terlalu mudah. Tapi ia tidak pula dapat mencari cara lain lagi.

Pada hari ini seperti diatur-atur pula keretanya membuat ragam dalam perjalanan pulang. Enjinnya lambat hidup, breknya kurang makan dan sterengnya pula terasa seperti sudah terlalu longgar. Mungkin semuanya ini cuma perasaannya saja, fikir Dollah. Tapi sebelum sampai di rumah ia sudah hampir-hampir membuat keputusan.

Pada malam ini selepas sembahyang Isyak, Dollah berbincang dengan Gayah.

Gayah lebih banyak mendengar daripada menyuarakan pendapatnya. Akhirnya ia tidak menyokong, tidak juga membantah: Gayah melepaskan semuanya kepada Dollah.

“Asalkan abang jangan menduakan kasih dan mencari bini baru, itu saja,” kata Gayah tanpa memandang muka suaminya ini.

“Ah, ada-ada saja kau ini, Gayah!” kata Dollah. Matanya tidak lepas-lepas memandang isterinya yang hitam manis dan berambut panjang ini.

Selepas ini Dollah tidak membuang masa untuk mendapatkan pinjaman bank, sebelum gaji naik dan harga kereta naik. Ia berasa beruntung mendapat kawan seperti Abdul Hamid yang bertanggungjawab menolongnya.

Semuanya berjalan dengan lancar dan selesai dengan mudah. Mujur juga sepupu Abdul Hamid senang dibawa berunding.

Pada masa-masa luangnya Dollah sempat memikirkan segala-galanya semula tentang betapa sangat senangnya membeli sebuah kereta baru. Seolah-olah saja ia membeli ikan rumahan di pasar.

Gayah selalu tersenyum melihat Dollah begitu rajin mencuci dan mengelap kereta baru ini sehingga berkilau dipancar cahaya matahari pagi. Kadang-kadang ia berasa cemburu juga melihat suaminya memelihara kereta ini dengan penuh kasih sayang. Pernah hal ini diberitahunya pada Dollah.

“Seolah-olah kereta itu sudah abang jadikan bini baru abang,” kata Gayah memandang tepat ke muka suaminya ini.

“Ah, ada-ada saja kau in,i Gayah,” kata Dollah tersenyum-senyum mengelak pandangan isterinya ini.

Apabila gaji belum juga dinaikkan, Dollah mula berasa cemas. Semakin difikir-fikirkannya semakin sesak dan panik dadanya. Bagaimana ia sekeluarga akan boleh hidup dengan tiga ratus ringgit sebulan, ditolak lagi dengan harga minyak kereta? Perkara ini diadukannya kepada Abdul Hamid.

“Ini semua kau punya fasal!” katanya dengan marah.

“Aku pula kausalahkan,” balas Abdul Hamid dengan nada sesal.

“Kerana kaulah aku membeli kereta baru!” kata Dollah. “Berapa komisyen yang kau dapat dari sepupumu itu?”

Abdul Hamid bangun dan meletakkan wang lima puluh ringgit dengan kasar di depan Dollah.

“Kauambillah!” katanya dengan hati panas.

Dollah menepis wang ini. Wang ini jatuh di atas lantai.

“Aku tidak mau bergaduh dengan kau,” kata Abdul Hamid dengan kecewa. “Kita sama-sama sajalah menunggu suratkeliling kenaikan gaji itu nanti.”

Surat keliling yang diharap-harapkan ini tidak juga ada. Yang ada cuma surat keliling pemotongan gaji sebanyak lima ringgit dari seluruh pekerja syarikat untuk membeli cenderamata dan mengadakan majlis perpisahan bagi beberapa orang kakitangan yang akan bersara. Berkata-kata hati Dollah dibuatnya.

Masalah ini diceritakannya pada Gayah. Gayah buat bena tak bena saja. Hairan juga ia melihat isterinya ini; ketika orang berasa panik dan sesak, ia pula tenang dan sejuk kepala saja macam tak ada masalah langsung.

Malam ini Dollah tidak dapat tidur dengan nyenyak. Fikirannya berserabut, ia berasa iri melihat Gayah yang boleh tidur dengan nyaman di sisinya.

Ah, perempuan, bisik hati Dollah. Entah pukul berapa ia tertidur. Apabila ia terjaga lewat daripada biasa esoknya, ia merasakan seperti ia tidak tidur sepincing pun. Dan Gayah sudah tidak ada di sisinya.

Dengan kelam-kabut ia menyiapkan diri untuk pergi bekerja. Ia tidak sempat bersarapan. Di pejabat ia diam-diam saja. Abdul Hamid langsung tidak ditegurnya.

Sepanjang hari ia memikirkan tentang gajinya yang hanya akan tinggal tiga ratus ringgit ini. Sudah tentu ia sekeluarga tidak cukup makan.

Ia terfikir tentang anaknya Si Damit dan yang baru darjah lima sekolah Melayu. Ia juga memerlukan belanja; pakaian dan buku sekolah. Mujur juga anaknya ini pintar dan cerdas otaknya, rajin pula mengulang kaji pelajaran. Tidaklah Dollah berasa sia-sia membesarkannya selama ini.

Anaknya inilah yang dilihatnya sedang menjaga pondok sayur di depan rumah, pulang dari bekerja. Anaknya ini sambil berjaja begitu tekun membaca buku pelajaran. Jarang benar ia melihat Si Damit mengulang kaji di pondok sayur ini. Selalunya emaknyalah yang duduk-duduk menjaga di situ.

“Mana emakmu, Damit?” tanyanya.

“Di kebun, pak,” jawab Damit singkat.

Dollah masih lagi memikirkan jalan keluar dari masalah kewangannya akibat membeli kereta baru. Ia tidak mahu membuang masa. Penyelesaian mesti ditemui segera. Ketika inilah, melalui jendela belakang rumah, ia terlihat Gayah sedang membanting tulang meluaskan kawasan kebun sayur. Buat seketika Dollah terpaku dan fikirannya kosong.

Kemudian dengan segera ia menukar pakaian. Tanpa memikirkan sama ada ia letih atau tidak, Dollah turun pergi ke kebun sayur ini membantu Gayah.

Kebun sayur ini perlu diluaskan untuk menambahkan hasil. Setiap hari selepas bekerja, Dollah membantu Gayah mengusahakan kebun sayur ini. Pondok sayur di depan rumah dijaga oleh Si Damit.

Pada hari minggu dan hari cuti ia mengerjakan kebun ini sehari suntuk. Keinginannya untuk pergi bermewah-mewah ke Pantai Muara sekeluarga dengan kereta baru dipendamkannya saja, sekurang-kurangnnya buat sementara waktu.

Sibuk.

PEKERJAAN

Radio Brunei

OLEH KERANAia selalu saja dimarahi oleh Ketua Pejabatnya, Mamat merasakan bahawa ia perlu melepaskan geram yang membara di hatinya. Tapi pada siapa ia mau melepaskan geramnya? Di pejabat ini ia cumalah seorang kerani tingkatan rendah yang tidak mempunyai kuasa apa-apa. Apalagi untuk marah-marah.Perasaan geram ini dibekukannya di dalam hati dan dibawa pulang ke rumah ia memarahi isterinya, Siti Rahayu. Apa yang terlintas di kepalanya inilah yang meloncat dari mulutnya. Ia tak peduli. Yang penting ia mesti marah.

“Ayu,” katanya. “Kau sudah tidak cantik lagi!”

Siti Rahayu, yang pernah pada satu ketika dulu mendapat gelaran Ratu tantik, menundukkan mukanya yang bulat dan jernih ini. Rambutnya yang panjang terjuntai menutup kedua pipinya.

Setiap hari ia menerima leteran suaminya ini. Ada saja yang tidak kena di rumah ini atau tentang dirinya. Dan selama ini ia mampu bersabar. Tapi kali ini perasaannya tertusuk juga dan ia merasa amat jauh hati.

Dengan mata yang cengkung dan tidak berkedip Mamat menatap muka isterinya ini, mencari sesuatu di situ untuk diungkit-ungkit: barangkali ada kelemahan atau kekurangan lain yang perlu dileteri.

“Dan lagi,” kata Mamat dengan nada yang keras, “masakanmu tidak sedap!”

Ia merasakan satu kepuasan selepas saja memarahi isterinya ini. Mamat tersandar di kerusi. Lama ia merenung bumbung sambil menarik nafas dalam-dalam dan kemudian melepaskannya dengan perlahan. Perasaan dan fikirannya beransur-ansur tenang. Otot-ototnya yang pada mulanya kejang sudah mulai kendur. Perasaan geram yang dibawanya dari pejabat sudah mulai lenyap.

Ia memandang isterinya Siti Rahayu. Siti Rahayu masih menundukkan muka seolah-olah menanti leteran selanjutnya. Kelopak matanya sebak digenangi air.

Melihat keadaan isterinya yang tunduk sayu ini, hati Mamat terasa sejuk seperti dipercik-percik dengan air yang dingin. Ia merasa kesihan juga pada isterinya yang taat dan penyabar ini.

Dan apabila ia memikirkan semula kata-kata kasar yang diluahkannya tadi, ia mula menyesal. Tidak ada setitik kebenaran pun pada kata-kata ini. Isterinya ini tetap cantik dan mukanya sentiasa jernih mungkin kerana terlalu bersabar dan reda akan keadaan. Tentang masakan pula, ia sendiri yang menggalakkan isterinya ini menyertai Peraduan dan Pameran Urusan Rumahtangga dan setiap tahun Siti Rahayu mendapat nombor satu atau dua dalam bahagian masak-masakan dalam setiap kategori yang dimasukinya.

Ah, keluh Mamat dalam hati, aku saja yang tidak tau bersyukur.

“Ayu,” katanya dengan perlahan dan dengan nada yang rendah dan lembut. “Janganlah kau berjauh hati sangat. Maafkan abang, Ayu. Abang terpaksa marah-marah kerana di pejabat abang selalu saja kena marah. Pada siapa lagi abang hendak melepaskan geram abang kalau tidak pada kau, Ayu? Mungkin abang terpaksa jadi seperti ini sampai pencen.”

Keesokan harinya, pulang saja dari pejabat, Mamat terus memarahi isterinya. Kemudian secepat ini juga ia menyesali dirinya.

Apabila ia melihat muka isterinya yang tenang dan sabar ini, hatinya jadi lembut. Ia bertekad untuk tidak memarahi isterinya lagi. Sehari dua hari ia dapat menahan dirinya dari marah-marah.

Tapi pada hari-hari berikutnya, pulang saja dari pejabat, ia menghamun isterinya semau-maunya.

“Kerjamu tidak pernah sempurna!” pekiknya walaupun rumahnya ini bersih, kemas dan sempurna. “Kau tidak tau mengurus rumahtangga!”

Siti Rahayu tidak pernah menentang balik suaminya ini. Dan inilah yang menjadikan hati Mamat serba-salah: hendak marah terus – kasihan juga Siti Rahayu. Tapi pada siapa lagi ia hendak melepaskan geramnya ini?

Setiap kali selepas memarahi isterinya ini, ia merasa amat menyesal. Ia mengutuk dirinya sendiri.

“Maafkan abang, Ayu,” katanya sambil mengeluh. “Abang kena marah lagi di pejabat. Kerja abang dikatakan tidak sempurna dan abang dikatakan tidak tau mengurus diri.”

Siti Rahayu memandang suaminya ini. Suaminya yang kurus kering ini kelihatan begitu letih dan mukanya seperti resah dan tidak puas hati.

“Kenapa abang tidak mencari kerja lain?” tanya Siti Rahayu dengan perlahan.

“Ah, Ayu!” keluh Mamat. “Kalau kita berkerja makan gaji di sana sini semuanya sama. Kita kena marah dan kena arah-arahkan!”

“Kenapa abang tidak berhenti kerja saja?” Siti Rahayu mengangkat muka.

Mamat memandang muka isterinya ini. Barangkali isterinya ini cuma bergurau saja.

“Kalau abang tidak tahan kena marah dan kena arah-arahkan, abang berhenti saja kerja,” kata Siti Rahayu dengan amat selamba. “Abang tidak sesuai berkerja makan gaji.”

“Kalau abang berhenti kerja, kita hendak makan apa, Siti Rahayu?” kata Mamat sambil membulatkan matanya besar-besar. “Makan batu? Abang tahu masakanmu selalu saja dapat nombor satu – tapi tiak mungkin masakanmu itu dapat menjadikan batu sesuatu yang boleh dimakan.”

Siti Rahayu tersenyum mendengar kata-kata suaminya ini. Terasa sedikit lucu.

“Abang boleh buat kerja sendiri,” kata Siti Rahayu.

“Apa yang abang boleh buat?” soal Mamat.

“Berniaga.”

“Di mana abang hendak mendapatkan modal untuk berniaga?” tanya Mamat.

Siti Rahayu terdiam. Berfikir sejenak.

“Jawab,” desak Mamat.

“Abang boleh jadi tukang gunting, ” kata Siti Rahayu dengan perlahan dan dengan muka yang serius.

Mamat ketawa bergulung-gulung. Tidak terlintas di kepalanya untuk menjadi seorang tukang gunting meskipun ia sedar yang ia mempunyai kebolehan dalam menggunting rambut.

“Untuk jadi tukang gunting, abang tidak perlu modal yang besar,” sambung Siti Rahayu. “Cukup dengan sebilah dua gunting dan sikat.”

Mamat masih ketawa apabila Siti Rahayu meninggalkannya untuk ke dapur. Ia merasa amat beruntung mendapat seorang isteri yang penyabar dan tahu pula membuat gurauan yang menghiburkan hati.

Aku saja yang tidak tahu bersyukur, kata Mamat” dalam hati.

Tapi apabila difikirkannya semula kata-kata isterinya ini, ia merasakan ada juga benarnya. Jadi tukang gunting tidak memerlukan modal yang besar: cukup dengan sebilah dua gunting, sikat, pisau cukur dan cermin. Dan semua ini sudah ada dimilikinya kerana di Kg. Anu ini ia memang dikenal mempunyai kebolehan dalam menggunting rambut; ada saja orang yang datang minta tolong guntingkan rambut. Dan ia tidak suka menolak jika dipinta. Ia melakukannya dengan sukarela dan merasa puas hati pula setelah mengerjakannya.

“Mengapa tidak aku berhenti kerja saja?” soal Mamat pada diri sendiri.”Dan aku jadi tukang gunting. Memang benar kata Rahayu aku tidak sesuai berkerja makan gaji.”

Hal ini bermain-main di dalam kepalanya selama beberapa hari. Tidur Mamat tidak nyenyak. Cadangan isterinya ini amat menarik untuk difikirkan.

Mengapa tidak? Berkali-kali ia menyoal diri sendiri. Ketika berfikir-fikir inilah ia. mula yakin bahawa ia sebenarnya dilahirkan untuk jadi tukang gunting. Rezekinya dan kesejahteraannya pasti terletak di situ. Tuhan itu Maha Pemurah. Sementara itu pula pemuda-pemuda berambut panjang banyak berkeliaran ke sana ke mari, seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu, dan mereka pasti pada suatu hari nanti akan mencari seorang tukang gunting.

Pada suatu malam kira-kira pukul dua pagi Mamat tiba-tiba membanguni isterinya.

Siti Rahayu bangun sambil menggosok-gosokkan matanya. Ia bersandar di katil.

“Ada apa?” tanyanya.

“Abang hendak berhenti kerja dan jadi tukang gunting, ” kata Mamat.

Siti Rahayu diam untuk berfikir.

“Abang minta pendapatmu.”

“Baguslah tu,” kata Siti Rahayu dengan tenang. Ia menguap sekali, kemudian seperti tidak ada apa-apa lagi ia tidur semula dengan nyenyak.

Mamat cuma memandang isterinya ini. Kemudian ia bangun untuk mandi. Malam ini ia mengenakan pakaian yang bersih dan bersembahyang Istikharah, berwirid dan berdoa panjang-panjang – sehingga ia merasa mengantuk.

Pagi esoknya ia bangun dengan tekad yang bulat.

Apabila Mamat mengemukakan tujuannya hendak berhenti kerja ini, Ketua Pejabatnya sangat terkejut. Kebetulan pula Ketua Pejabatnya ini baru saja memarahinya.

Ketua Pejabatnya ini cuba menahannya supaya terus berkerja di situ.

“Janganlah kau merasa jauh hati kerana aku selalu memarahimu Mamat,” kata Ketua Pejabatnya dengan rendah. “Sebenarnya kerja-kerjamu semuanya bagus dan sempurna. Aku memarahimu cumalah kerana aku selalu dimarahi isteriku di rumah. Dan aku tidak berani menentang isteriku itu. Aku cuma menahan geram. Dan perasaan itu kubawa ke pejabat ini. Kepada siapa lagi aku hendak melepaskan geramku ini kalau tidak kepada kau, Mamat?”

Mamat menolak tawaran Ketua Pejabatnya yang hendak mempertimbangkan kenaikan gajinya jika ia terus berkerja di sini.

“Saya sudah membulatkan fikiran saya, Tuan,” kata Mamat. “Dan lagi kerja makan gaji memang tidak sesuai dengan jiwa saya.”

“Jadi kau mau meneruskan rancanganmu hendak jadi tukang gunting itu, Mamat?” tanya Ketua Pejabatnya.

“Ya Tuan, dengan izin Allah!” jawab Mamat.

Pada mulanya terlalu sukar bagi orang-orang di kampungnya ini mahu mempercayai bahawa ia sudah berhenti kerja dan jadi tukang gunting. Mamat terpaksa menggantung papan tanda di depan rumahnya ini:

MAMAT TUKANG GUNTING & TUKANG CUKUR SUMBER BAHAGIA

Mulai saat ini barulah orang percaya dan mulailah ia mendapat pelanggan: kadang-kadang banyak kadang-kadang cuma seorang dua saja dalam sehari. Pendapatannya pun tidaklah seberapa tapi Mamat berpuas hati. Hanya setelah namanya tersebar ke kampung-kampung lain sebagai tukang gunting yang mempunyai guntingan yang bagus lagi halus sajalah pelanggannya bertambah.

Siti Rahayu tidak pula melepaskan peluang yang baik ini: ia menjual minuman dan kuih-muih kepada pelanggan-pelanggan yang menunggu giliran.

Kuihnya laku dan mendapat pujian yang tinggi.

PENYAKSIAN

Borneo Bulletin

AKULAHmasa. Aku terbang bersama angin yang bertasbih dan bertahmid, membuai daun-daun dan aku merangkak bersama semut yang bertasbih dan bertahmid, mencari rezeki di bumi Tuhan. Dan ketika ikan bertasbih dan bertahmid berenang-renang di rahim laut aku bersama mereka. Aku bersama burung yang bertasbih dan bertahmid berterbangan di udara.Aku ingin benar hendak berkata-kata denganmu kerana aku merasa kewujudanku sudah begitu lama dan aku telah menyaksikan segala macam peristiwa yang sudah mula dilupakan.

Aku ada ketika Tuhan menciptakan Adam daripada tanah dan mengajarkannya nama-nama lalu memerintahkan seluruh Malaikat sujud padanya.

Mereka sujud kecuali iblis. Ia enggan.

Aku menyaksikan iblis mendebat Tuhan yang menjadikannya daripada api. Mengapa ia mesti sujud pada Adam yang dijadikan daripada tanah dan mengapa Adam mesti dimuliakan setinggi itu?

“Aku wujud sebelum Adam,” ujar iblis. “Dan aku telah lebih dahulu beramal, dengan khusyuk membuang segala-galanya dalam pengasingan dan pengabdian diri yang total sehingga aku tidak nampak yang lain selain dari Tuhan. Kemudian tiba-tiba aku disuruh sujud pada Adam. Siapa Adam dam siapa aku yang mesti sujud padanya?”

Lalu Tuhan berkata:

“Kau sudah menjadi bongkak dan engkar. Aku tahu apa yang tidak kauketahui!”

Aku mendengar ketika iblis melahirkan dalih-dalihnya yang berputar belit untuk menutupi hakikat yang terbendung di hatinya. Kau tahu apa katanya? Ia tidak akan sujud kepada yang lain selain dari Tuhan.

“Walaupun perintah ini datangnya dari Tuhan?” kau bertanya.

“Ya,” jawab iblis. “Kerana perintah itu berupa dugaan bagiku untuk menguji sejauh mana imanku – apakah aku akan sujud kepada yang lain selain dari Tuhan?”

“Walaupun kau akan menerima kutukan Tuhan dan dicampakkan ke dalam api neraka?”

“Aku berasal daripada api. Dan kepada apilah aku akan dikembalikan.”

Jangan kau dengar cakapnya ini! Terlalu banyak putar belit dan tipu dayanya. Kata-katanya ini hanyalah kata-kata, yang akan menghijabmu dari melihat kebenaran.

“Tapi argumen iblis itu sungguh logik,” katamu dengan gopoh sehingga nafasmu seperti melompat-lompat.

Sabar! Sabar! Dengar sini! Akulah masa dan telah menyaksikan semuanya kerana aku berada di mana-mana, di dalam hati dan jiwa setiap makhluk, sedangkan kau hanya berada di luar di satu tempat dalam satu masa. Aku akan memaparkan sebuah peristiwa bagaimana logika telah digunakan.

Aku berada di sebuah mahkamah. Seorang majikan lelaki telah ditangkap dan didakwa kerana satu kesalahan yang mengaibkan. Tapi ia seorang yang amat dihormati sedangkan yang mendakwa hanyalah perempuan jembel. Pembicaraan berjalan selama dua minggu berturut-turut bukan kerana apa tapi hanyalah untuk memberi peluang kepada peguambela untuk mengatur hujah-hujahnya kerana yang lebih penting bukanlah keadilan tapi mempertahankan kehormatan lelaki ini.

Peguambela menyoal yang mendakwa bertubi-tubi. Yang mendakwa kerana kejembelannya menjawab dengan lurus, tanpa menyedari bahawa jawapan-jawapan yang amat lurus seperti ini di dalam sebuah mahkamah di dunia ini. hanya akan diputar-belitkan.

“Adakah awak menyukai majikanmu itu?” soal peguambela.

“Tidak,” jawab perempuan jembel lurus tanpa memikirkan akan aki-batnya. “Saya tidak suka padanya.”

“Kerana itulah,” peguambela melahirkan hujahnya dengan logika yang amat mudah,dengan gerak tangan dan tekanan suara yang penuh berwibawa. “Kerana itulah awak mengada-adakan cerita untuk memfitnah majikanmu itu!”

Logika hanyalah alat untuk berdebat yang khusus digunakan oleh manusia untuk mempertegakkan pendirian masing-masing. la sama-sama boleh digunakan untuk kebenaran dan kebatilan.

Dan iblis menggunakan logika sebagai senjata untuk menghancurkan anak-anak Adam. la cekap menggunakannya kerana ia tahu segala selok belok fikiran manusia sehingga jika kau melakukan kemungkaran ia akan dengan sukarela membantumu memikirkan dalih-dalih yang logik untuk membenarkan perbuatanmu ini dan kau akan merasa lega dan sama sekali tidak merasa berdosa.

“Sesungguhnya aku ini telah dilantik menjadi penasihatmu yang sebenar-benarnya,” iblis membisik di telingamu dengan mesra.

Aku ada dan menyaksikan ketika iblis berkata: “Terangkan-lah kepadaku,inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diri-ku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”

Kejatuhan iblis adalah kerana kemegahan diri dan hasad dengki atas kemuliaan yang dikurniakan kepada Adam. Itulah yang disembunyikannya di dalam hatinya dan sifat-sifat inilah yang akan ditanamkannya ke lubuk hati semua manusia.

Tuhan telah memberi tangguh kepadanya.

Aku sudah lama dan sentiasa memerhatikanmu tapi kau tidak pernah merasa dan memikirkan akan kehadiranku. Kau terlalu sibuk mengejar kemahuan-kemahuanmu yang berlapis-lapis yang tidak akan pernah terpenuhi sehingga kau terlupa akan hakikat dirimu: untuk apa kau diwujudkan dan ke mana kau akan kembali. Kau tak mahu memikirkannya.

“Tak ada masa,” katamu.

Aku mendengar kau mengulang-ulanginya sehingga kau mempercayai kata-katamu ini sedangkan aku sentiasa ada bersamamu. Aku bersamamu ketika kau sibuk bekerja. Aku bersamamu ketika kau tidur keletihan. Aku tak pernah tidur. Kemudian kau bangun untuk bertarung dengan kehidupan: ada saja yang mesti kausiapkan.

“Masa itu emas,” katamu.

Kau menilai diriku dengan nilai benda kerana jiwamu yang kebendaan dan tak ada masa untuk memikirkan yang selain dari benda dan kekayaan. Tanpa kau sedari kau mendapati dirimu terraasuk ke dalam golongan orang yang apabila membina rumah akan membinanya besar-besar seratus bilik, setiap bilik lengkap dengan segala kemewahan termoden sehingga semua orang kagum dan namamu menjadi terkenal: kau terlupa hakikat rumah sebagai sekadar tempat berlindung dari binatang-binatang liar dan unsur-unsur alam, hujan, angin dan matahari; apabila kau berpakaian kau mengambil masa sejam memikir-mikirkannya, sejam lagi untuk memilih-milih yang mana harus kaupakai dari seribu pasang yang ada, dan sejam lagi untuk mengenakannya pada tubuhmu: kau terlupa bahawa pakaian hanyalah sekadar untuk menutup aurat dan melindungi jasadmu daripada panas atau sejuk; dan apabila kau makan, seratus hidangan pun tidak akan pernah memadai sehingga kau hampir-hampir mati kekenyangan: kau lupa bahawa makan itu hanyalah sekadar yang perlu untuk kesihatan.

Tiga keperluan asas untuk kelangsungan hidupmu, makan, pakaian dan rumah, kaujadikan tujuan hidupmu,yang melahirkan perangkap-perangkap baru untukmu, kekayaan, kemasyhuran dan kekuasaan sehingga kau sanggup benar-benar melampaui batas kerana kau melihat dirimu sudah tidak memerlukan sesiapa lagi.

Aku yang sentiasa mendampingimu selalu membisikkan bahawa sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembalimu, tapi kau tidak pernah mahu mendengar. Kau terlalu sibuk.

“Mengejar masa,” katamu.

Akulah masa. Aku tidak pernah berada di depanmu untuk kau kejar. Aku bersamamu di dalam dirimu. Aku mengurut otot-ototmu dan menjadikannya lembik dan gayut. Aku menjamah kulitmu lalu menjadikannya berkedut seribu sehingga kau tidak sanggup melihat wajahmu di dada cermin. Aku menyikat rambutmu lalu ia menjadi putih kelabu dan sebelum kau sempat berbuat apa-apa rambutmu ini jatuh satu-satu. Aku menggosok-gosok matamu lalu kau menjadi rabun. Aku merayap di tulang-tulangmu, ia mula berkeratupan dan kau mula merasa sengal-sengal, tanpa kau sedari satu hari kau mendapati dirimu berjalan terbongkok-bongkok. Aku memamah otakmu lalu kau menjadi tak keruan dan lali bercakap-cakap seorang diri di satu sudut yang sentiasa samar-samar dan suram bagimu dan kau tak tahu apakah sebenarnya kau sedang berkata-kata atau sedang berfikir kerana kau sudah tidak lagi merasa aman dengan fikiranmu. Kau terdengar suara-suara dari masa-masa silam. Kau memandang ke depan dan terpandang maut tersengih. Kau memusingkan kepalamu, kau memandang ke belakang dan terlihat segala perbuatanmu dan kau tidak mahu mangakuinya kerana kebanyakannya tidak dapat kaupegang sebagai harapan atau kau, sebagai usaha penghabisan, cuba menyembunyikan hakikat sebenarnya dengan mendebat menggunakan logika untuk membenarkan perbuatan-perbuatanmu ini tapi kau sudah terlalu tua untuk menipu dirimu sendiri lalu kau menyalahkan iblis yang menyesatkanmu tapi iblis berpaling ke belakang seraya berkata:

“Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu. Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kau tidak dapat melihat. Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”

Dan Allah sangat keras siksanya.

Kau pun menghisab dirimu: tentang umurmu, untuk apa kau-habiskan; tentang masa mudamu, untuk apa kaupergunakan; tentang hartamu, dari mana kauperolehi dan untuk apa kau-belanjakan dan tentang ilmumu,apa yang sudah kaubuat dengan-nya.

Sekarang kau mula merasakan akan kehadi-ranku. Kau berfikir tentang masa: masa muda sebelum tiba masa tua; masa sihat sebelum tiba masa sakit; masa lapang sebelum tiba masa sibuk; masa kaya sebelum tiba masa papa dan masa hidup sebelum tiba masa mati.

Dan maut tersengih-sengih kepadamu.

Dan kau tidak tahu apa yang harus kaubuat kerana masanya sudah lewat kerana aku tidak akan berpatah balik dan kau baru sedar kenapa kau berjalan terbongkok-bongkok: kau terpaksa memikul masa-masa ini di atas pundak-pundakmu kerana bumi dan langit tidak mahu menerimanya.

“Kerana,” katamu dengan benci pada diri sendiri, “ianya terlalu berat dengan najis!”

Semua ini belum lagi terjadi padamu tapi aku telah dan sedang menyaksikannya berlaku di mana-mana sedangkan saatnya sudah hampir tiba bagiku: aku juga sepertimu adalah ciptaan Tuhan dan setiap ciptaan mempunyai permulaannya, setiap yang mempunyai permulaan akan berakhir juga nanti. Apabila aku sudah tiada untuk mengaturkan segala pergerakan, yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan, maka matahari akan mengejar bulan dan tidak lagi berlari menurut ketetapannya dan bulan tidak lagi kembali sebagai bentuk tandan yang telah tua, dan malam akan mendahului siang, langit terbelah dua, bintang-bintang berjatuhan, gunung-gunung dihancurkan, binatang-binatang ternakan yang bunting sepuluh bulan tidak dipedulikan, binatang-binatang liar dikumpulkan, lautan meluap-luap, bumi digoncangkan dengan goncangan yang maha dahsyat dan manusia bertebaran seperti anai-anai dengan mata yang terbelalak takut, kuburan-kuburan dibongkar, roh-roh dipertemukan dengan jasad dan diberitakan tentang apa yang telah dikerjakannya dan apa yang telah dilalaikannya dan menjadi saksi atas dirinya sendiri: barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat atom akan dilihatnya balasannya dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat atom akan dilihatnya balasannya juga.

Aku berbisik-bisik di telingamu. Apakah kau hanya akan mendengar ketika kau sudah tidak lagi merasa aman kerana perbuatan-perbuatan tanganmu? Ketika inilah kau akan memikir-mikirkan alasan untuk membenarkan dirimu. Tapi bila maut tersengih, tak ada satu alasan pun yang akan dapat kaupegang. Lihatlah ke dalam dirimu: aku sentiasa ada bersamamu. Dan aku sentiasa membawa persumpahan Tuhan bahawa demi diriku (masa) manusia sentiasa di dalam kerugian kecuali bagi orang-orang yang beramal salih dan mengajak kepada kebajikan dan kepada kesabaran.

Aku sentiasa berbisik-bisik di telingamu.

TELANJANG

Borneo Bulletin

SETELAHmengunci pintu aku pun melangkah dengan tenang. Aku memandang ke atas dan mendapati langit begitu cerah, tidak ada tompok-tompok awan hitam di mana-mana. Cuaca baik sekali untukku bersiar-siar sambil membeli-belah sedikit di ibu kota.Sebaik-baik saja aku tiba di pintu pagar seorang posnita menghulurkan seberkas surat untukku. Posnita ini bertelanjang bulat. Aku tercengang. Mataku terbelalak besar. Cuma kepalanya ditutupi topi pos. Posnita ini juga terpegun memandangku. Kemudian ia menjerit kuat dan panjang. Ia melarikan diri ketakutan sambil terus menjerit-jerit. Jarinya menunjuk-nunjuk ke arahku.

Orang ramai berkejaran. Seorang demi seorang mereka muncul dan berkumpul di depanku. Mereka semuanya bertelanjang bulat.

Aku tercegat di sini berpakaian lengkap. Aku tidak berdaya untuk maju atau mundur. Mulutku terlompong dan daguku terasa seakan-akan hendak jatuh ke tanah di hujung kasutku yang berkilat bersih.

Mereka memandang pakaianku dari atas ke bawah. Aku terikut-ikut memandang diriku. Mencari-cari apa yang mereka cari. Kemejaku dan kasutku berwarna putih. Seluar panjangku berwarna kelabu dan tali pinggangku berwarna hitam. Aku memandang mereka semula.

“Awas,” ada orang memekik. “Jangan biarkan ia bebas!”

Seorang lelaki botak mara dengan bengis mengacah-acahkan kayu panjang padaku.

“Undur! Undur!” katanya. “Cepat!”

Aku mengelak tapi enggan berundur sambil cuba-cuba memahami apa yang sedang berlaku. Ia tidak berhak melakukan aku seperti binatang. Ancamannya bertambah galak. Hujung kayu panjang ini mengotori kemejaku yang putih bersih. Aku memandang lelaki botak ini dengan tajam. Inilah kali pertama aku melihat seseorang yang betul-betul bertelanjang dari atas kepala ke hujung kaki.

“Cepat undur!” jerkahnya menggertakku dengan kayu panjang ini lagi. “Awas kau! Awas!”

Orang kian bertambah ramai berkerumun jadi penonton. Lelaki, perempuan, anak-anak kecil, bapak-bapak, emak-emak, mereka semuanya bertelanjang bulat.

Aku memandang lelaki botak ini lagi. Bulu keningnya tidak ada. Begitu juga bulu matanya. Misai, janggut dan bulu-bulu lain di tubuhnya semua dicukur licin. Otot-otot tubuhnya menegang. Ia terus mengacu-acukan kayu panjang ini.

“Hei!” aku menyergahnya dan maju setapak.

Ia terkejut. Hampir-hampir saja kayu di tangannya ini terjatuh. Tubuhnya yang telanjang ini berkilat dipancar matahari.

Lelaki botak ini bertambah bengis. Aku terpaksa berundur. Tiba-tiba tiga biji kerikil berturut-turut mengenai kepalaku. Orang ramai yang bertelanjang ini mula mara ke arahku. Mata mereka bersinar dengan ancaman. Mereka bertambah berani apabila melihat aku berundur. Sebiji batu besar mengenai bahu kiriku. Mereka menyergah hiruk-pikuk dan mula melempar batu ke arahku. Peluh dingin mengalir di tengkukku apabila aku terlihat seorang lelaki tua mara membawa buluh runcing. Terbayang di kepalaku betapa buluh runcing ini akan menembusi perutku. Mereka bersungguh-sungguh hendak menggeronyokku. Dengan cepat aku berpaling dan berlari menuju ke pintu rumah. Tanganku yang geraentar akhirnya berjaya memasukkan kunci pada lubangnya. Pintu ini kubuka. Aku masuk dan menguncinya semula dari dalam. Jantungku berdegup pantas. Aku tercungap-cungap.

Aku mengintai ke luar melalui lubang kunci. Mereka semua masih tercegat di situ bertelanjang bulat.

Kemudian aku duduk bersandar pada daun pintu melepaskan lelah dan menenangkan perasaan. Aku menyeka peluh dan mengurut-urut dadaku yang sesak.

Riuh-rendah di luar beransur-ansur reda. Aku mengintai melalui lubang kunci: seorang demi seorang orang-orang yang bertelanjang bulat ini mula pergi. Cuma tinggal beberapa orang saja lagi yang masih berjaga-jaga.

Lelaki botak masih dalam keadaan berwaspada. Lelaki tua berbuluh runcing sedang bercakap-cakap dengan seorang wanita muda yang mencatat-catat sesuatu di buku notanya. Aku terfikir betapa hodohnya lelaki tua ini tanpa segan silu menggaru-garu pangkal pahanya yang dihidapi sejenia penyakit kulit. Dan wanita itu kenapa ia mempamerkan anggota-anggota peribadinya seperti itu?

Kenapa mereka semuanya bertelanjang?

“Hei!” lelaki botak memekik. “Jangan kaucuba mengacau sesiapa lagi!”

“Kami tidak menyekat kebebasanmu!” laung lelaki tua. “Tapi jika kau berlagak bijak dari kami semua dan mengganggu kententeraman awam, kami akan bertindak!”

Jadi inilah kesalahanku: aku telah berlagak bijak dan mengganggu ketenteraman awam. Tapi posnita itulah yang memekik-mekik tidak tentu pasal – menjerit-jerit seperti dirasuk setan. Akibatnya aku yang nyaris-nyaris kena bunuh.

Aku mengintai lubang kunci. Mereka semua sudah pergi. Keinginanku untuk bersiar-siar di ibu kota sudah jadi tawar. Aku ragu-ragu tentang keselamatan diriku. Tapi aku terpaksa juga keluar untuk membeli sesuatu.

Kubiarkan sejam berlalu. Apabila kurasakan keadaan sudah mengizinkan bagiku aku pun keluar.

Dengan membaca Bismillah aku melangkah dengan hati-hati. Jika aku terlihat seseorang menuju ke arahku aku akan cepat-cepat mencari tempat bersembunyi – di balik pokok kayu atau rumpun bunga. Apabila orang ini sudah lewat dan aku hanya dapat melihat belakangnya telanjang aku pun keluar dari tempat persembunyianku lalu meneruskan perjalanan.

Dalam keadaan aku takut-takut kepada mereka inilah aku mula menyedari bahawa sebenarnya mereka juga takut padaku. Bukankah langkah-langkah mereka jadi ragu-ragu apabila dari jauh mereka sudah terpandang padaku? Jika mereka takut padaku, mengapa aku mesti takut pada mereka?

Aku berjalan tanpa bersembunyi-sembunyi lagi.

Dari jauh aku terlihat seorang lelaki bersama teman wanitanya: kedua-dua mereka bertelanjang bulat. Apabila saja terpandang padaku mereka dengan tergesa-gesa menyeberang jalan. Aku dapat merasakan bahawa mereka tetap mengawasi gerak-geriku. Langkah-langkah mereka menjadi pantas. Mereka seolah-olah hendak berlari tapi merasa malu pula hendak berlari.

Kemudian dengan serentak mereka memandang padaku. Selepas ini dengan segera pula mereka berpaling semula memandang ke depan.

“Ia sepatutnya tidak dibenarkan merayau-rayau,” aku terdengar wanita ini berkata. “Bahaya. ”

Teman lelakinya menganggukkan kepala.

“Kita sudah cukup senang dengan keadaan kita selama ini – tanpa ada orang yang memandai-mandai sepertinya,” sambung wanita ini. Ialah wanita pagi tadi yang mencatat-catat sesuatu di buku notanya. Rambutnya yang hitam dan panjang menutupi belakangnya hingga ke paras punggung. “Kita tidak mahu ada bidaah sepertinya merayau-rayau bebas. Barangkali ia mahu mencari pengaruh dan merobah keadaan. Ia kira ia lebih bijak dari kita semua dengan berkeadaan seperti itu. ”

Teman lelakinya terus-menerus menganggukkan kepala. Ia kelihatannya amat senang berbuat begitu.

Aku ingin hendak menerangkan bahawa aku tidak berniat jahat terhadap sesiapa dengan berpakaian lengkap. Aku juga mahu memberitahunya bahawa aku sebenarnya merasa amat bingung melihat orang bertelanjang lebih-lebih lagi pada wanita muda yang berbentuk tubuh sepertinya.

Tapi mereka sudah pergi jauh dan aku hanya sempat tercegat sebentar dengan mulut yang terbuka luas tanpa suara.

Aku meneruskan perjalananku dan sampai di pusat membeli-belah. Ketika aku hendak masuk ke sebuah pasar raya tiba-tiba langkahku dihalangi oleh seorang lelaki berbadan tegap.

“Keluar!” jerkahnya. “Keluar!”

“Aku hendak membeli sesuatu,” kataku dengan lembut dan berbahasa.

“Baiklah,” katanya dengan kasar. “Tapi lakukan segera!”

Ia menggiringku masuk dan mengawasi setiap langkahku.

Aku jadi tumpuan perhatian setiap orang di sini tapi mereka mengekalkan jarak yang selamat di antara diri mereka dengan diriku.

Aku memandang sekelilingku. Para pembeli, jurujual, gadis-gadis yang manis dan pemuda-pemuda yang tampan mundar-mandir ke sana ke mari semuanya bertelanjang bulat. Mereka membalas pandanganku dengan jijik, ragu-ragu, curiga dan seperti berprasangka.

Aku memandang lelaki tegap yang menggiringku. Aku merasa malu dan cepat-cepat mengalihkan mataku ke arah lain; aku terpandang seorang nenek tanpa sehelai benang menutupi tubuhnya.

“Cepat!” perintah lelaki tegap di sisiku. “Jangan berlengah-lengah lagi!”

Aku memberanikan diri bertanya padanya apakah ia tidak merasa malu.

“Apa?” katanya.

“Apakah Encik tidak merasa malu?” ulangku.

“Malu?” ia menyoal kembali. “Malu kerana apa?”

Ia menggaru-garu pangkal pahanya.

“Sudah!” katanya. “Jangan banyak cakap! Beli apa yang kaumau beli!”

Aku sudah tidak ingat apa yang hendak kubeli. Aku memberitahu padanya bahawa syaitan terkutuk telah telah menyebabkan aku terlupa benda apa yang henddk kubeli. Lelaki berbadan tegap ini jadi marah. Dengan kasar aku ditolak-tolaknya ke depan menuju pintu terdekat dan aku ditendangnya keluar.

“Pergi!” jerkahnya.

Aku pergi jauh. Ketika inilah aku merasa sangat-sangat berharap akan bertemu seseorang yang berpakaian lengkap dan kemas sepertiku atau seorang sahabat yang sudi menerangkan kepadaku tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku. Kenapa setiap orang bertelanjang bulat? Kenapa mereka menayangkan perhiasan-perhiasan peribadi mereka? Dan kenapa mereka memandangku seolah-olah mereka memusuhiku?

Aku berjalan terus dan memasuki sebuah kedai kopi. Aku duduk berehat-rehat di sini. Tiada sesiapa yang mahu melayaniku. Lama-lama aku jadi gusar. Tapi cepat-cepat menyedarkan diri bahawa hakku untuk marah-marah sudah tidak ada kecuali barangkali jika aku bersedia menanggalkan seluruh pakaianku dan bertelanjang bulat seperti orang ramai.

Aku memanggil seorang gadis pelayan dengan lembut. Ia datang menghampiriku dengan ragu-ragu dan takut.

“Berikan aku Coke,” kataku dengan mesra.

Pergerakan orang ramai di kedai kopi ini macam terbantut setengah jalan melihat gadis pelayan membawa minumanku dengan terketar-ketar. Tangannya seolah-olah saja menjadi terlalu pendek untuk menghulurkan dan meletakkan minuman ini di depanku.

Aku memandangnya dari atas ke bawah. Ia memiliki tubuh yang sedap dipandang. Kulitnya halus kuning langsat. Aku merasa amat sayang pada tubuh seperti ini.

Aku mengambil minumanku ini. Ia cepat-cepat menarik tangannya. Ia pergi tergesa-gesa dengan muka yang amat lega.

Aku segera menghabiskan cokeku dan terus berangkat.

Tiba-tiba gadis pelayan ini tercegat di depanku. Aku merasa hairan bagaimana ia yang pada mulanya takut-takut tiba-tiba saja menjadi berani seperti ini. Matanya menusuk tajam ke dalam mataku. Ia menghulurkan tangannya. Tangan ini sudah tidak terketar-ketar seperti tadi.

“Wangnya mana?” katanya dengan lantang.

Aku menerangkan padanya bahawa syaitan yang terkutuk telah menyebabkan aku terlupa hendak membayar. Aku meletakkan beberapa keping wang kertas di atas tapak tangannya yang tertadah ini. Wang ini lebih dari cukup. Kataku selebihnya ambillah untuk tips.

“Terima kasih,” katanya dengan amat lembut dan dengan senyuman yang manis.

Aku cepat-cepat beredar.

Matahari memancar terik. Bayang-bayang membuntar di tapak kakiku. Aku merasa rimas dan mulai berpeluh. Hari sudah tinggi.

Langkah-langkahku terhenti apabila bahuku ditepuk dari belakang.

“Selamat tengah hari!”

“Selamat tengah hari!” jawabku segera sambil berpaling menghadapi orang ini: sahabatku bersama teman wanitanya. Mereka berdua juga seperti orang lain – bertelanjang bulat.

“Kami sedang mencari-carimu,” kata sahabatku ini. “Tidak baik kau merayau-rayau seperti ini. ”

Ia mamandangku dari atas ke bawah penuh simpati.

“Biar kami hantarkan kau pulang,” katanya. “Keretaku tidak jauh dari sini. Mari!”

Ia memegang pergelangan tanganku kejap-kejap seolah-olah ia takut aku akan terlepas lari ke mana-mana. Aku merasa nyanyuk apabila ia mengatakan bahawa dalam keadaan yang seperti ini aku sangat-sangat memerlukan seseorang untuk menjaga diriku.

Di sepanjang perjalanan di dalam keretanya ini, aku memejamkan mata kerana terlalu letih.

Aku terdengar sahabatku ini bercakap-cakap pada teman wanitanya. Aku tidak dapat menjangkau hujung pangkal perbualan mereka: semuanya kedengaran terlalu asing.

Tiba di rumah aku membuka kasutku. Mereka gembira melihat aku membuka kasut. Aku membuka bajuku kerana panas. Mereka bertambah gembira melihat aku membuka bajuku ini. Kemudian mereka menunggu dengan diam. Aku tidak akan membuka seluarku.

Kuajukan soalan yang bertubi-tubi kepada mereka.

Kenapa orang ramai termasuk mereka berdua bertelanjang bulat? Apakah mereka tidak malu? Atau nilai-nilai lama sudah dimansuhkan oleh nilai-nilai baru dan akulah yang ketinggalan zama^ dan tidak tahu menyesuaikan diri? Apakah aku masih berada di dalam abad kedua puluh atau kini sudah abad kedua puluh ribu dan kiamat sudah hampir tiba?

Sahabatku ini tidak menjawab soalan-soalanku tapi ia menjelaskan tentang keadaan diriku yang berbeza dari keadaan dirinya dan masyarakat keseluruhannya.

Ia seorang sahabat yang suka berterus terang.

“Salahmu sendiri juga,” katanya. Ia berpeluk tubuh memandangku dengan serius. Rambutnya nipis disikat lurus ke belakang.

“Apa yang mesti kubuat?” tanyaku.

“Kau mesti mengikuti orang ramai,” katanya. Ia mempunyai mulut yang besar dangan bibir yang sederhana bentuknya. “Jika mereka bertelanjang bulat, kau juga mesti bertelanjang bulat. ”

Mereka memberi beberapa cadangan dan nasihat padaku. Kemudian mereka meminta diri dan pergi.

Apabila mereka sudah tiada aku baru teringat apa yang hendak kubeli tadi.

Aku memperkukuhkan tekad dan bersiap-sedia hendak keluar lagi: kutanggalkan seluarku – aku bertelanjang bulat.

Kupejam mata. Pintu akan kubuka dan aku akan melangkah keluar. Kemudian mata akan kucelikkan.

Malu itu cuma perasaan. Dan peduli apa dengan perasaan!

Bagaimana, tiba-tiba terbayang di kapalaku, bagaimana sekiranya ketika aku mencelikkan mata ini kudapati setiap orang di depanku semuanya berpakaian lengkap dan cuma aku seorang saja yang bertelanjang bulat?

Aku duduk tersandar di daun pintu. Aku tidak jadi melangkah keluar. Peluh dingin membasahi seluruh tubuhku. Aku tercungap-cungap.

Setelah perasaanku reda aku merapatkan mataku ke lubang kunci.

Tidak ada sesiapa di luar.

SEORANG SUAMI, SEORANG ISTERI DAN BEBERAPA ORANG ANAK
        Borneo Bulletin 12 Sept 1992 (hadiah pertama peraduan menulis cerpen QAF Holdings Berhad 1991)
Keputusan suaminya itu adalah muktamad. Sudah berkali-kali Laila cuba mendesak supaya suaminya itu memikir-mikirkannya kembali. Perkara ini sudah pun ditimbulkan oleh suarninya itu beberapa bulan selepas kelahiran Syafikah, anakmereka yangpertama, tapi diaberjaya menangguh-nangguhkan keputusan suaminya itu. Sekarang setelahlahir Amirul anak kedua dan Saiful anak ketiga dan ia sekarang mengandung anak yang keempat, susun bantal, entah lelaki entah perempuan, dan ia sendiri sering mengeluh kerana letih pulang dari bekerja, suaminya menjadi lebih tegas.“Jangan Ila sangka abang tidak sanggup,” kata suaminya itu. “Gaji abang cukup.”

“Abang pentingkan diri abang saja,” kata Laila.

Haji Talib, suaminya itu, seorang lelaki berdahi luas dan berambut nipis dibelah sebelah kiri, mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji tiga ribu ringgit sebulan. la bekerja makan gaji dengan kerajaan. Hutang kereta semua sudah habis dibayar cuma hutang membangunkan rumah saja yang tinggal dan rumah itu pun sudah lama didirikan semasa ia masih membujang lagi dan potongan bayarannya tidaklah begitu membebankan.

“Abang cuma memikirkan tentang anak-anak,” kata suaminya itu. Suaranya rendah dan lembut tapi matanya yang sedikit sepet itu memandang keras dan tegas. “Sampai bila kita mahu membebankan orang-orang tua kita untuk menjaga mereka? Menjaga tiga orang anak bukan senang. Sehari dua hari mungkm seronok tapi jika sudah berbulan-bulan dan bertahun-tahun tentu menyusahkan pula.”

Laila mendengar sambil berfikir-fikir bagaimana hendak membahas kata-kata suaminya itis atau sekurang-kurangnya rnenangguhkan lagi keputusan itu barangkali buat permulaan setahun atau dua tahun dan kemudian minta ditangguh lagi dan seterusnya.

“Kita boleh ambil amah,” kata Laila, “untuk menjaga anak-anak kita itu.”

”Menjaga anakbukan sekadar menjaga, tapijuga mendidik/jawab suaminya.

“Tiada didikan yang lebih berkesan dan lebih berkat selain didikan dari indung-indung yang bukan mendidik kerana gaji tapi kerana kasih sayang yang ikhlas.”

Walau apapun, keputusan suaminya itu terlalu sukar untuk diterima tapi wajib juga dipatuhi kalau mahu menurut hukum agama.

Laila sudah lama bekerja makan gaji seperti suaminya itu dan gajinya pun sudah mencapai seribu ringgit lebih sebulan. Mereka bertemu secara kebetulan semasa membuang sampah pada pagi hari Ahad di tempat pernbuangan sampah di Kampung Kilanas – mula-mula mereka bertukar-tukar senyuman.

Pada hari Ahad berikutnya mereka secara kebetulan lagi sama-sama membuang sampah di tempat yang sama.

Pada kali kedua itulah Haji Talib menawarkan diri untuk menolongnya mengangkat beg-beg sampah dari bonet kereta dan menghumbankannya ke dalam tong yang berbau busuk dikerumuni lalat itu dan ia tidak dapat lagi melupakan gadis hitam manis berambut panjang yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah yang hanyir, berbau busuk, berialat, ada tikus dan bangkai kucing itu.

“Terima kasih daun keladi,” kata Laila setengah malu-malu juga. “Lain kali tolong lagi.”

Sepuluh hari Ahad berturut-turut mereka bertemu secara kebetulan di tempat pembuangan sampah yang hanyir, berbau busuk dan berlalat itu barulahmerekadapatmenjalinkemesraan. Kemudian selepas ini perhubungan mereka menjadi lancar dan mereka tidak lagi bertemu di tempat pembuangan sampah yang hanyir, berbau busuk, berlalat, ada tikus dan bangkai kucing itu – mereka berjumpa di tempat yang lebih romantik. Hampir-hampir setiap tengah hari mereka keluar makan di restoran yang mahal. Mereka sama-sama mengeluarkan belanja tapi Haji Taliblah yang lebih banyak belanja.

Tidak lama selepas itu Haji Talib menyinggahi Laila setiap pagi untuk sama-sama pergi bekerja dan Laila jarang lagi membawa kereta sendiri. Haji Talib tinggal di Sengkurong dan Laila di Kilanas, mereka sama-sama bekerja di Bandar Seri Begawan dan pejabat mereka pula bersebelahan. Sebulan selepas itu mereka sudah pun membincangkan tentang perkahwinan.

“Kerana bercinta lama-lama itu terlalu mahal,” kata Haji Talib berterus terang, “sedangkan kesudaharmya belum tentu apa-apa. Berkahwin itu juga mahal tapi tentu kesudahannya.”

Sebulan selepas itu, Haji Talib menghantar rombongan meminang dan menghantar berian. Tiga minggu selepas itu mereka diijabkabulkan untuk menjauhi fitnah dan menghalalkan pergaulan yang semakin mesra itu.

Enam bulan kemudian barulah mereka bersanding dengan penuh meriah beradat-istiadat: berbedak pada waktu malam, bersanding pada siang harinya di rumah pengantin perempuan, kemudian berambil-ambilan lagi pada waktu malamnya diikuti lagi dengan mulih tiga hari, yang menurut Haji Talib sendiri, yang tidak begitu berminat, bahawa perkara yang tidak penting itu selalunya memerlukan masa untuk membuat persediaan, banyak cerewet dan susahnya, memerlukan belanja yang tinggi pula, kadangkala terpaksa pula berhutang di sana-sini, membuang masa dan tenaga banyak orang dan membuat sibuk tidak tentu pasal saja.

“Jika aku berkuasa aku haramkan majlis-majlis persandingan!” katanya.

Setahun selepas menikah mereka mendapat anak pertama, diikuti dengan anak kedua pada tahun berikutnya dan anak ketiga selepas itu. Anak keempat akan lahir tidak lama lagi.

Laila selalu saja mengadu letih: di pejabat ia bekerja, pulang ke rumah ia bekerja lagi: memandikan anak, mengelap badan mereka, membedak badan mereka, memakaikan mereka baju tidur, menjaga dan memberi mereka makan, menenangkan mereka jika mereka tidak teranah semasa makan malam itu, memujuk mereka jika mereka menangis, mengamankan mereka jika mereka bergaduh, memasak dan mencuci pinggan mangkuk, mencuci pakaian dan menseterika baju, dan melayani kehendak suami pada waktu malam, awal-awal pagi memandikan anak, mengelap badan mereka, membedak badan mereka, memakaikan mereka baju siang, menenangkan mereka jika mereka tidak teranah semasa minum pagi, memujuk mereka jika mereka menangis, mengamankan mereka jika mereka bergaduh.

Sementara suaminya yang dikasihi itu baru saja bangun tidur, kesiangan, kerana keletihan pulang lewat semalam selepas bermain badminton dengan kawan-kawan di dewan Institut Teknologi di Jalan Muara yang berpuluh-puluh kilometer jauhnya itu. Kemudian suaminya itu akan mengharik dari bilik tidur itu sebaik-baik saja ia siap mandi.

“Lai, mana pakaian yang hendak abang pakai hari ini!”

“Abang cari dan pilih sendiri di dalam almari.”

Kemudian ia akan terdengar suaminya yang dicintai itu merungut-rungut kerana seorang isteri yang baik mestilah menyediakan pakaian yang hendak dipakai suaminya pada hari itu di satu tempat, lengkap dengan baju, seluar, talipinggang, talileher dan stokingnya. Selepas berpakaian suaminya yang dicintai itu akan pergi ke dapur meminta buatkan mi goreng kerana perutnya lapar selepas pulang lewat semalam bermain badminton dengan kawan-kawan di dewan Institut Teknologi di Jalan Muara yang berpuluh-puluh kilometer jauhnya itu dan mi gorengnya itu jarang pula mendapat pujian.

“Kurang garam,” kata suaminya yang dikasihi dengan selamba pula. “Aku sendiri boleh buat yang lebih sedap dari ini.”

Sementara suaminya yang dikasihi itu makan mi goreng yang kurang garam yang ia sendiri boleh buat yang lebih sedap dari itu, ia terpaksa pula melayan anak yang menangis kerana bajunya tidak secantik baju abangnya.

Selepas itu dengan tergesa-gesa ia keluar mengisis pakaian yang disasahnya semalam dan awal-awal subuh tadi dan suaminya sudah mula mengharik dari dalam menyuruhnya supaya cepat-cepat menyiapkan kerja kerana masa sudah lewat sedangkan anak-anak mesti pula dihantar ke rumah nenek mereka sebelum mereka ke pejabat.

“Masukkan anak-anak ke dalam kereta,” harik suaminya. “Abang sibuk memakai tie ni.”

Di dalam kereta menuju ke pejabat setelah anak-anak dihantar ke rumah nenek mereka, ia baru merasa dapat berehat.

“Lai,” kata suaminya yang dikasihi, “tolong ambilkan abang tisu di kerusi belakang itu.”

Sepanjang perjalanan itu ia tidak banyak cakap kerana berfikir apa lagi yang belum dibuatnya, kemudian baru ia teringat bahawa ia telah terlupa bersarapan pagi.

Seringkali ia meminta untuk mengambil amah tapi suaminya itu menolak.

“Ila berhenti saja bekerja,” syor suaminya itu.

Hanya orang gila mahu berhenti bekerja setelah mencapai gaji pokok seribu lebih! Ada beratus-ratus orang berkelulusan tinggi sedang mencari pekerjaan sekarang ini dan mereka itu pula tidak terlalu lagi memilih gaji lumayan atau tidak asal tidak menganggur. Dan sekarang ia yang berpendapatan seribu lebih itu yang berkelulusan lidak seberapa tinggi setakat tingkatan enam itu hendak berhenti bekerja dengan begitu-begitu saja! Gila!

Tapi Haji Talib bersungguh-sungguh mahu ia berhenti.

“Kalau Ila berhenti,” kata Haji Talib, “abang akan ambil seorang arnah untuk membantu Ila nanti.”‘

Lagi gila! Kalau ia sudah berhenti bekerja dan jadi suri rumahtangga sepenuh masa apa perlunya pada amah lagi? Apa perlunya? Tapi hukum telah menentukan bahawa seorang isteri wajib patuh pada suaminya selagi suaminya itu tidak menyuruhnya membuat sesuatu yang ditegah agama. Sebagai usaha yang terakhir Laila mengajukan satu syarat pada suaminya itu.

“Ila akan berhenti kerja kalau abang sanggup gantikan gaji Ila yang seribu lebih sebulan itu.”

“Abang akan menggantikarlnya.”

Begitulah bagaimana Laila terpaksa berhenti bekerja.

“Aku sangka lakiku itu tidak akan sanggup pada syaratku itu,” cerita Laila pada kawan-kawan di pejabat. “Apa boleh buat ia sanggup dan aku sudah habis helah.”

Dia memberi nolis sebulan untuk berhenti bekerja sambil menyelesaikan apa-apa yang harus diselesaikan. Rakan-rakan di pejabat ada yang terang-terangan dengan penuh perasaan marah mengatakan suaminya itu bodoh, ego dan ketinggalan zaman – wanita tidak lagi dibataskan ruang pergerakannya di rumah, di dapur memasak dan mencuci pinggan-mangkuk, mencuci pakaian dan menseterika baju, menjaga dan memberi makan anak dan melayani kehendak suami pada waktu malam – semua kerja-kerja rumah seperti itu sudah sepatutnya dikongsi dengan suami dan sekarang ini wanita berganding bahu dengan lelaki keluar dari ruang rumah untruk membangun negara.

Tapi ada juga yang menentang pendapat rakan-rakan yang marah-marah itu dengan mengatakan bahawa membangun negara bukan semestinya bekerja makan gaji dengan kerajaan tapi lebih penting dengan memberikan asas yang teguh yang bermula dari rumah dengan menjaga, mendidik dan mengawasi anak-anak supaya membesar menjadi generasi akan datang yang memiliki ciri-ciri positif dan berwibawa – jika anak-anak sudah dijaga oleh amah-amah yang asal beres saja, yang menuruti segala kehendak anak tersebut asal ia aman, yang lahir nanti ialah generasi yang manja makan disuapi berak dicuci.

“Aku sendiri sanggup berhenti kerja,” kata seorang gadis bertudung, “dengan syarat utama suamiku itu tidak akan berbini baru.”

“Kalau lakimu itu apa-apa – mati kemalangan jalan raya misalnya?” tanya seorang gadis bermekap dan berambut keriting.

“Tawakkaltu Alallah,” jawab gadis bertudung dengan suara mendatar. “Dan kalau aku masih lagi laku, aku kahwin baru, Insya Allah.”

“Macam mana kau hendak kahwin berlaki baru,” kata gadis bergincu bibirnya. “Sedangkan kau sekarang berlaki pun belum.”

“Misalnya saja. Misalnya.”

Terlalu sukar untuk membiasakan diri duduk di rumah sepanjang masa setelah bertahun-tahun bekerja rnakan gaji di pejabat. Di pejabat teman-teman untuk berbual dan berbincang sentiasa ada: berbual dan berbincang sambil berehat sebentar dan minum secawan teh dan sedikit kuih yang dibawa dari rumah kemudian setelah fikiran lapang semula baru meneruskan kerja lagi.

Di rumah ia cuma minum seorang diri. ia rehat seorang diri. Anak-anak dibiarkan bermain sendiri di satu ruang. Jika anak-anak itu tidur akan sunyilah rumah itu. Jika pakaian siap disasah, diisis dan hanya menunggu kering saja lagi dan anak-anak pula sedang tidur ia akan jadi tidak tahu apa yang mahu dibuat lagi. Duduk-duduk berehat minum teh seorang diri tidaklah seronok.

Memasak – terlalu awal pula. Mahu tidak mahu ia keluar rumah menengok kalau-kalau pakaian yang baru sepuluh rninit dijemurnya itu sudah kering.

Tapi kalau anak-anak bangun dan bermain-main, terpanjat sana panjat sini, sorok sana sorok sini, mula mengambil barang itu dan barang ini letih pula ia dibuatnya. Terbayang pula ia betapa susahnya nenek-nenek mereka menjaga mereka itu selama ia masih bekerja dulu – menjaga tanpa upah pula. Sekurang-kurangnya ia sekarang “digaji” oleh suaminya. Anak-anak itu semakin besar semakin lasak pula: main kejar-kejar, lambung dan tendang bola dan bergaduh.

“Adakalanya terlalu sibuk dan bising pula,” katanya pada suaminya setelah seminggu berhenti kerja itu. “Adakalanya terlalu sunyi.”

Setiap hujung minggu mereka berunding dan berbincang tentang masalah-masalah yang timbul dan mencari jalan untuk mengatasinya. Pada hari-har keIepasan awam Hj.Taliblah yang awal-awal pagi memandikan anak, mengelap badan mereka, membedak badan mereka, memakaikan mereka baju menenangkan mereka jika mereka tidak teranah semasa minum pagi, memujuk mereka jika mereka menangis, mengamankan mereka jika mereka bergaduh sementara Laila memasak mi goreng untuk mereka laki-bini bersarapan.

“Sedap!” kata suaminya itu dengan selamba pula. “Cukup garamnya.”

Sebulan lebih duduk-duduk di rumah baru Laila dapat sedikit-sedikit menyesuaikan dirinya: ia baru mula dapat benar-benar mengenali rumah yang didiaminya selama ini: ruang-ruang dan bilik-biliknya. Sekarang ia mula membuat rancangan-rancangan. Ada beberapa buah bilik yang akan diubahsuai kegunaannya. Pertama-tamanya sebuah bilik tempat anak-anak bermain dengan bebas tanpa terlalu diawasi sepanjang masa: di bilik itu tidak akan disimpan benda-benda yang boleh membahayakan anak-anak dan tidak ada perabot yang terialu tinggi apalagi memiliki kaca dan cermin – barangkali hanya akan ditaruh sebuah almari kecil untuk menyimpan barang-barang perrnainan.

Sebuah bilik pula akan dijadikan perpustakaan am mini tempat menyimpan segala majalah-majalah, buku-buku dan novel-novel yang sudah terkumpul bertahun-tahun itu dan juga tempat anak-anak belajar. ia sendirilah yang akan mengajar dan mengawasi perkernbangan anak-anaknya itu walaupun ia sendiri ragu-ragu juga tentang kemampuannya itu.

Semua ini dibincangkannya dengan Hj.Talib, suaminya itu dan mereka sama-sama membuat perancangan.

“Anak-anak mesti dididik mengikut jadual waktu,” syor Haji Talib.

“Tidak semestinya bulat-bulat ikut jadual waktu,” bantah Laila pula. “Merekakan masih kecil lagi.”

“Tapi mesti secara tetap, mungkin jangka waktunya saja dari pendek diansur-ansurkan menjadi panjang.”

“Tapi jangan pula terialu panjang. Waktu main juga mesti ditetapkan.”

“Ya, hanya selepas belajar.”

“Abang cakap senang saja.”

“Yalah, abang faham.”

“Semua belanja abang yang tanggung. Beli buku, papan tulis, meja dan kerusi budak-budak dan educational toys, pensil warna, krayons, buku mari-mewarna dan penting sekali gaji Laila yang seribu lebih itu jangan dipotong-potong untuk belanja semua itu. Wang itu mau disimpan – persediaan untuk hari hujan.”

“Aduuh!”

“Dan amah untuk buat kerja rumah!”

“Aduuh!”

“Abang yang janji dulu.”

Menjalankan rancangan tidaklah semudah merangka-rangka rancangan. Anak-anak yang masih kecil itu tidaklah mahu dikongkong-kongkong dengan sebarang jadual waktu. Belajar dan bermain itu bukanlah dua hal yang tercerai. Mereka bermain sambil belajar dan belajar itu bermain juga. Pada waktu malam anak-anak diberi hak terhadap bapanya. Haji Taliblah yang meluangkan masa melayan karenah mereka – mengajar mereka alif-ba-ta dan membaca Bismillah sebelum tidur, menidurkan mereka dengan bercerita, cerita rakyat dan kisah-kisah Nabi yang ia sendiri terpaksa membaca dulu dari buku-buku dan membacakan buku-buku cerita bergambar. Ia tidak ada masa lagi untuk bermain badminton dengan kawan-kawan di dewan Institut Teknologi di Jalan Muara yang berpuluh-puluh kilometer jauhnya itu.

Semua ini perjanjian dan syarat tambahan yang dipinta Laila isterinya itu semasa merangka-rangka rancangan itu. Pada hujung minggu pula setiap dua minggu sekali mereka sekeluarga pergi melawat Muzium dan melihat ikan di Bangunan Peringatan Churchill, atau makan angin berkelah ke pantai Muara atau Tungku dan sekali-sekala ke Lumut atau Pantai Seri Kenangan, atau ke tempat-tempat peranginan, Bukit Shahbandar atau Taman Mini Kampung Parit dan sekali-sekala ke Sungai Liang, Luagan Lalak di Labi atau Tasik Marimbun di Tutong, pada dua hari Ahad tersebut undangan-undangan sosial apalagi jemputan-jemputan kahwin, persandingan yang amat tidak diminati itu, tidak akan dihadiri.

Dia menghadiri jemputan-jemputan pada dua hari Ahad yang lain. ia membawa anak-anak bersama untuk membiasakan mereka bersama-sama orang ramai.

Kadangkala kawan-kawan lama bermain badmintonnya dulu di dewan Institut Teknologi di Jalan Muara yang berpuluh-puluh kilometer jauhinya itu menelefon ke rumahnya bertanyakan khabar dan kenapa tidak timbul-timbul lagi.

“Sibuk membangun generasi akan datang yang positif,” kata Hj.Talib separuh berseloroh. “Bergaru pun aku tidak ada masa