PERJALANAN
KARYA: NORGADIS LABUAN
AKU mengeluh. Aku segera mencapai kertas tisu untuk mengesat peluh yang sejak tadi mengalir. Aku tertinjau-tinjau. Keadaan sebegini memang amat membosankan bagiku. Aku merungut-rungut sendiri. Saat-saat aku keletihan menunaikan suruhan tuhan, ada saja yang meruntuhkan imanku.
“Syukur… distinasi yang di tuju sudah pun hampir tiba,” aku bermonolog. Kelihatan memang ramai sekali pengunjung di Tapak Jualan Ramadhan. Ada orang yang kecil. Ada orang yang besar. Ada orang yang muda dan ada juga orang yang kelihatan agak tua raut wajahnya.
Tentang warna kulit, jelas sekali si pengunjung bukan saja dari golongan bumiputera. Ada yang berbangsa cina. Ada yang berbangsa India. Ada yang berbangsa Inggeris. Ada juga beberapa suku kaum yang lain. Itu sudah menjadi perkara biasa bagiku.
Setiba saja aku di Tapak Jualan Ramadhan, aku bergegas keluar dari kereta proton sagaku. Aku mencari makanan kegemaranku dari satu gerai ke satu gerai. Namun makanan kegemaranku tidak juga kutemui. Aku mengeluh. Aku mengeluh buat yang entah keberapa kali. Walaupun sinar mentari tidak sekuat tengahari tadi, namun bahangnya masih terasa olehku. Aku terus mencari-cari kuih kegemaranku itu tanpa putus asa. Setelah semua gerai kulewati, fahamlah aku bahawa kuih kegemaranku itu telah habis dijual.
“Kempunanlah aku hari ini. Sebiji pulut panggang pun tak ada, memang nasib aku…” aku kesal sekali waktu itu. Dengan rasa hampa aku terus meninggalkan Tapak Jualan Ramadhan dengan kereta putihku.
Aku menggunakan Jalan Merpati untuk menuju ke rumahku. Aku memang suka melalui jalan itu kerana tidak banyak kereta yang lalu dijalan sempit itu. Namun waktu diambang maghrib begini kadang kala menyeramkan juga. Maklumlah, jalan tersebut tidak jauh dari tanah perkuburan. Pernah juga orang mendengar bermacam-macam bunyi dari tanah perkuburan tersebut. Mungkin itulah penyebab utama orang tidak suka melalui Jalan Merpati.
Tiba-tiba kedengaran satu bunyi yang amat kuat. Aku lupa diri seketika. Setelah aku sedar, kudapati sebuah kereta berwarna biru telah bertembung dengan sebuah kereta proton saga putih. Proton saga berwarna putih itu amat menarik perhatianku. Aku menghampiri kereta tersebut.
“Aku rasa seperti pernah melihat kereta ini, tapi di mana ya?” aku semakin tertarik untuk terus mengenali pemilik kereta tersebut. Aku mendekati kereta putih tersebut dan sekaligus melihat pemilik kereta tersebut.
“Ya Allah!” aku terkejut. Aku terkejut yang amat sangat. Aku tidak sangka. Aku tidak sangka sama sekali.
“Ah! Bermimpikah aku?” aku tidak mengerti. Aku memang tidak mengerti apakah sebenarnya yang berlaku.
Kulihat dia berlumuran darah. Namun wajahnya masih jelas kukenali. Kulihat rambut
panjangnya menutupi separuh wajahnya. Namun wajahnya masih juga jelas kukenali. Apakah aku masih silap. Silap dengan pandangan mataku sendiri. Kulihat pemilik kereta biru itu keluar dari perut keretanya. Ah! Aku juga masih mengenalinya.
“Razlan”. Itulah nama pemilik kereta biru tersebut. Dia adalah sahabat yang paling rapat denganku dulu sebelum aku bertunang dengan Afik. Aku benar-benar tidak mengerti, apakah sebenarnya yang berlaku.
Razlan terus menghampiri dia yang berada di dalam perut kereta putih itu tanpa memperdulikan akan kehadiranku. Aku bagai tidak kelihatan baginya. Atau aku memang tidak kelihatan sebenarnya.
“Mungkin Razlan mahu menyelamatkan dia,” bisik hatiku. Razlan mengeluarkan dia dari perut kereta putih dan meletakannya di tepi jalan dengan begitu kasar sekali. Apa tujuan Razlan? Apa maksud Razlan? Kenapa Razlan tidak menghantar dia ke hospital atau ke klinik? Aku memang tidak mengerti sebenarnya.
Tanpa membuang masa, Razlan terus mengoyak-ngoyak pakaian dia yang tidak sedarkan diri. Kau memang kejam Razlan. Kulihat Razlan bagaikan harimau yang mahu membaham
mangsanya.
“Jangan kau lakukan itu Razlan… jangan kau lakukan itu Razlan…” aku merayu-merayu. Namun rayuanku langsung tidak diindahkan olehnya. Razlan terus mengoyakkan pakaian dia yang tidak berdaya itu sehingga bagaikan anak baru lahir yang diselimuti darah merah.
Aku memekik meminta tolong, namun tiada seorang pun yang mendengarkannya. Aku takut. Aku takut dengan apa yang kulihat sebenarnya.
“Razlan… jangan kau lakukan itu Razlan. Tolonglah Razlan. Razlan… tolonglah,” aku menangis. Aku menangis sekuat-kuat hatiku. Namun tiada setitik air mata pun yang kurasa. Aku menjerit sekuat-kuatnya. Namun tiada sedikit pun terngiang di cuping telinga manusia.
“Sampai hati kau menodai dia yang tidak berdaya Razlan. Kau memang kejam. Kau memang kejam Razlan. Aku tidak akan melupakan peristiwa ini. Satu hari kelak, kau juga akan menerima balasan dari Allah.” Aku terus menangis tanpa berhenti. Razlan yang kulihat hari ini bukan seperti Razlan yang pernah kukenali dulu.
Razlan sahabat yang baik. Dia sentiasa mengambil berat terhadap diriku. Kadang-kala aku terasa bahawa aku bukan dilayani sebagai seorang sahabat. Aku terasa aku bagai seorang kekasih apabila aku berada disampingnya. Aku memang tidak mengerti apakah yang tersirat dihati Razlan ketika itu.
Pernah satu hari Razlan mencurahkan rasa hatinya terhadap diriku. Bukan aku sengaja menolak cintanya, tapi aku tidak menerimanya kerana antara aku dan kekasihku dulu Azmi belum ada kata putus, walaupun antara aku dan Azmi tidak mungkin akan bersatu.
Mungkin kerana kejujuranku menyebabkan hatinya terluka dan akhirnya Razlan tidak pernah bertanya lagi tentang cinta, walaupun dia tahu aku telah berpisah dengan Azmi. Atau pun mungkin kerana dia telah mempunyai kekasih. Atau Norela jiran sebelah rumahnya itu memang kekasihnya. Tapi kenapa dia terus melayaniku seperti seorang kekasih? Ah! Aku memang tidak mengerti dengan perasaan Razlan. Dan apakah motif utamanya melayaniku seperti itu.
Tapi, Razlan yang kupandang didepan mataku ini sudah berubah. Razlan sudah menjadi buas. Entah setan mana yang telah merasuknya sehingga Razlan sanggup melakukan perkara terkutuk itu terhadap dia yang tidak berdaya.
Aku terlalu sedih melihat keadaan dia. Matikah dia? Atau hidupkah dia? Kalau hidup, ada harapankah dia untuk terus hidup? Aku kecewa.
Apa saja yang diperlakukan oleh Razlan terhadap tubuhnya langsung tidak dihiraukannya. Andainya dia sedar tentu dia tidak membiarkan dirinya diperlakukan begitu rupa. Andainya dia berdaya tentu dia tidak rela menerima nasib seburuk itu. Oh! Akukah yang tidak berdaya sebenarnya?
Aku benar-benar tidak berdaya. Aku malu pada diriku sendiri. Aku tidak ingin melihat dia diperlakukan sehina itu. Apakah aku sebenarnya telah kehilangan diri? Atau aku sendiri yang meninggalkan diriku sendiri.
“Maafkan aku, aku tidak sanggup terus melihat kau diperlakukan sehina itu oleh Razlan. Maafkan aku, aku terpaksa meninggalkanmu. Maafkan aku, kerana mungkin kau akan mengatakan aku sekejam Razlan. Tapi aku tidak berdaya lagi sahabatku. Selamat tinggal,” dengan perasaan terharu aku terpaksa meninggalkan dia kesayanganku.
Aku berlari sekuat hatiku. Namun kakiku tidak mencecah bumi. Aku terbang tinggi melayang. Namun aku tidak mempunyai sayap sakti. Aku bukan seperti aku dulu. Aku dulu telah kutinggalkan bersama Razlan di Jalan Merpati. Apakah aku sekarang adalah diriku yang sebenarnya?
Aku tidak tahu ke manakah harus kutuju. Andainya aku pulang ke rumah, tiada sesiapa yang mengetahui akan kehadiranku. Andainya aku meminta tolong, tiada siapa juga akan mengindahkan kata-kata ku.
“Cahaya!” aku terpegun seketika. Cahaya itu amat indah sekali, bagaikan pernah aku melihatnya. Tapi di manakah sebenarnya?
Tiba-tiba aku mendengar satu suara. Satu suara yang pernah kudengari. Tapi aku lupa bilakah aku mendengar buat pertama kalinya. Suara itu terlalu merdu. Suara itu terlalu nyaman. Tetapi suara itu juga cukup tegas mengingatkan aku pada janji yang pernah kulafaskan satu ketika dulu.
Bilakah aku melafaskan janjiku itu. Oh! Aku lupa sendiri. Tapi aku masih ingat bahawa aku pernah mendengar suara ghaib itu. Tapi aku masih ingat bahawa aku pernah melafaskan sebuah janji satu ketika dulu.
Pada waktu itu aku mendengar satu suara yang sungguh aneh bunyinya. Pada waktu itu aku mendengar satu suara yang sungguh ganjil bunyinya. Namun begitu aku cukup mengerti akan maksudnya. Namun begitu aku cukup faham akan ertinya. Lantas kupegang janjiku. Lalu kugengam tanganku. Umpama satu taruhan yang amat tinggi nilainya.
Disaat-saat aku mengenangkan kembali tentang sebuah janji yang kulafaskan satu ketika dulu, tiba-tiba aku dikejutkan oleh sesuatu. Sesuatu yang menyerupai aku. Apakah aku berada di depanku sendiri. Atau aku sedang memandang sebuah cermin yang agak besar mungkin. Fikiranku semakin bercelaru dibuatnya.
“Siapakah engkau?” aku kehairanan. Dia tersenyum kepadaku.
“Aku adalah kau dan aku juga tuhanmu, ikutlah aku,nescaya kau akan berbahagia sepanjang hidupmu,” aku menjadi panik dibuatnya. Dia yang berwajah aku memujukku untuk terus mengikutnya. Aku memerhatikannya. Dia benar-benar berwajah aku. Kelihatan sinar matanya tenang sekali. Senyumannya juga manis sekali. Tidak seperti aku yang begolak dengan perasaanku sendiri. Siapakah dia yang berwajah aku sebenarnya?
“Usahlah kau banyak berfikir, ikutlah aku, aku tuhanmu,” tiba-tiba mulutku bagai mahu bergerak. Aku hanya mampu menurutnya.
“Tidak! Kau bukan tuhanku, Allah tuhanku yang esa,” aku hairan dengan apa yang
kukata sendiri. Apa yang amat menghairankan lagi, apabila dia yang berwajah aku tiba-tiba hancur tidak bertanda selepas aku berkata-kata. Mengertilah aku bahawa dia yang berwajah aku adalah syaitan semata-mata.
Aku menjelangak ke langit. Kelihatan langit membiru lembut. Tiada kelihatan awan kelabu bergerak diarak angin. Aku memandang ke depanku. Kelihatannya membiru bagaikan langit membiru lembut. Tiada sebatang pohon pun yang kelihatan. Di kiri kanan dan belakangku juga membiru bagaikan langit membiru lembut.
Aku terasing dari duniaku sendiri. Ke mana harusku tuju? Sana sini kelihatannya sama saja. Aku resah dibuatnya. Aku bagai kehilangan ketika itu. Aku terharu. Aku tidak berdaya menahan tangisku. Aku menangkupkan mukaku. Aku terasa bertapa kerdilnya diriku.
“Oh tuhan! Ampunilah segala dosaku,” tangisanku semakin kuat. Aku memang tidak berdaya menahan diriku sendiri dari terus menangis. Tangisan itu kurasa bagai ada satu kenikmatan yang sukar diungkapkan.
“Sudahlah nak, jangan menangis lagi, ikutlah kami, kami sudah senang sekarang.” Aku segera mengangkat kepala lalu memandang si pemilik suara itu. Agak lama juga aku memandang si pemilik suara itu. Kelihatan matanya bersinar jernih, kelihatan juga bibirnya tersenyum mesra.
Aku terdiam seketika. Ketika itu juga aku terasa air mataku menuruni pipi gebuku. Wajah itu tidak pernah hilang dari dalam kota ingatanku. Wajah itu adalah wajah yang kurindui sejak dua tahun yang lalu. Wajah itu adalah wajah kedua orang tua ku yang telah meninggal dunia.
“Tak mungkin! Tak mungkin!”
Wajah itu masih lagi merayu dan memujukku untuk terus mengikuti mereka. Wajah itu masih lagi tersenyum mesra. Dan wajah itu juga masih lagi tenang setenang tenangnya.
“Maafkan aku ibu, ayah, aku belum bersedia untuk pergi bersamamu, masih banyak lagi yang harusku selesaikan, masih banyak lagi amalan yang belumku laksanakan. Iinkanlah anakmu ini menunaikan janji sebelum kalian membawakku pergi,” aku menangis.
Tiba-tiba wajah itu hilang. Aku terus meneruskan perjalananku. Aku bertekad untuk mencari dia yang ku tinggalkan. Setibaku di jalan Merpati, kulihat dia telah tiada. Begitu juga dengan kereta proton saga putih serta kereta biru milik Razlan. Semuanya sudah tiada.
Aku berjalan lagi. Sehingga aku sampai ke sebuah tempat. Di sana aku bertemu dia. Dia yang masih terbaring di atas katil tanpa sedarkan diri. Kelihatan juga Pak Long, Mak Ngah dan saudaraku yang lainnya disisi dia yang diam dan kaku itu.
“Pak Long, Mak Ngah, semuanya ada di sini….?” Dia sedar dan aku telah kembali kepadanya.
TAMAT
(Jendela Sabah Ramadhan 1422 / Disember 2001)
LABUAN WILAYAHKU
:: Cerpen NORGADIS LABUAN
(LABUAN-MALAYSIA)
HARI Sabtu, bagaikan ada perhimpunan remaja di Ujana Kewangan Labuan. Keriuhan suasana semakin menghimpit ruang legar. Anak-anak remaja seronok menggayakan fesyen pakaian ala barat. Rambut gaya punk turut dinodai dengan warna-warni. Leher dihiasi rantai perak, bagaikan rantai pengikat haiwan piaraan, turut dihiasi loket berbentuk tengkorak. Baju berlapiskan jaket kulit atau jean bagai berada di luar negara. Anak dara pula bergaun pendek, malah ada lagi yang lebih berani dan merasa seronok berseluar pendek. Juga senang menggayakan baju jarang, yang membayang susuk tubuh yang menarik kaum lawan. Semua dilakukan agar banyaklah mata akan melirik dan tertarik dengan fesyen terbaru yang mereka peragakan.
“Hish! Ramainya budak-budak ni, macam ada pesta remaja pula,” ujar Fatimah sambil meneruskan langkah di sebalik kebanjiran remaja di ruang legar Ujana Kewangan itu.
“Biasalah, hari Sabtu, inilah masa mereka berseronok. Bukan kau tak tau, dari hari Isnin hingga hari Jumaat, dah banyak mereka habiskan masa di sekolah, asyik-asyik menghadap muka cikgu.” Katy terus melangkah menghampiri Fatimah.
“Dah hampir jam satu ni, jom kita makan, aku lapar ni,” Katy memberi cadangan. Fatimah menghentikan langkahnya. Jam tangannya direnung seketika.
“Emm… aku rasa elok kita solat dulu. Lepas solat baru kita makan.” Fatimah meneruskan langkah menuju ke surau untuk wanita di Ujana Kewangan. Katy segera mempercepatkan langkahnya mengejar Fatimah.
“Fatimah tunggu…!” Fatimah menoleh dan mematikan langkahnya.
“Emm… kenapa?” Tanya Fatimah sambil menjeling tajam ke arah Katy.
“Alah… kita makan dululah, nanti lepas makan baru kau pergi solat. Aku lapar ni.” Katy mendesak.
“Hey kawan, bukan aku saja yang pergi solat, kau tu pun patut pergi sama. Kalau kau lapar sangat, kau pergilah makan dulu, aku tetap nak solat, aku tak sukalah melambat-lambatkan solat,” tegas Fatimah. Akhirnya Katy mengalah dengan keputusan Fatimah.
“Hish! Lambatnya Fatimah ni, mengalahkan ustazah pula tu, entah doa apalah yang dibacanya. Menyusahkan aku betullah dia ni, nasib baik kau kawan aku, kalau tidak…” Bentak Katy dalam hati. Jus oren yang dipesannya sudah hampir habis diminumnya.
“Assalamualaikum,” Fatimah memberi salam.
“Dah siap solat? Lamanya engkau, mengalahkan ustazah. Aku lapar ni, kau tengok ni, nasi yang aku pesan pun dah sejuk,” terjah Katy. Fatimah menggeleng kepala melihat telatah kawannya itu.
“Kau ni Katy, salam aku pun kau tak jawab. Menjawab salam tu wajib tau,” kata Fatimah sambil melabuhkan punggungnya di kerusi. Fatimah sedar bahawa kawannya itu tidak selesa dengan caranya selama ini, tatapi bukankah menegur dan mengingatkan ke arah kebaikan itu merupakan satu dakwah juga. Sebagai kawan ianya menjadi tanggungjawab bagi Fatimah menyedarkan kawan rapatnya itu.
“Sudahlah, tak payahlah nak berceramah dengan aku. Aku malaslah nak dengar. Makanlah nasi tu cepat. Asyik menunggu kau, nasi pun dah sejuk.” Fatimah senyum dan mendiamkan diri, dia pun malas menyangkal kata-kata Katy.
“Esok kau ada masa tak?” Katy memecahkan kesunyian dua sahabat itu.
“Esok? Kenapa? Sebenarnya aku memang tak ada cadangan nak pergi ke mana-mana esok. Kau nak datang ke rumahkah? Ada apa dengan esok?” Fatimah bertanya kembali.
“Aku kira dalam jam tiga petang esok, nak minta kau temankan aku ke rumah Misah, nak hantar kain. Aku nak minta dia jahitkan baju kebaya moden aku untuk majlis perkahwinan Lisa. Lepas makan ni kau temankan aku beli manik untuk baju aku tu, aku nak pilih manik jenis baru, cantik tau,” kata Katy bersungguh-sungguh.
“Kalau petang esok, aku minta maaf, aku tak dapat temankan kau,” kata Fatimah.
“Kenapa pula? Tadi kata tak pergi mana-mana. Ini tak boleh temankan pula. Kau takut mak kau marah ya, atau kau mahu aku yang belanja kau. Kau jangan bimbang, semua perbelanjaan esok aku akan tanggung.” Kata katy mengharap.
“Bukan pasal mak atau pasal duit.” Ujar Fatimah ringkas.
“Habis pasal apa pula?” kelihatan sedikit kedut kehairanan di wajah Katy. Makanan di dalam pinggan ditusuk-tusuknya dengan garfu.
“Esok hari minggu. Jam tiga petang ada rancangan Eh Dih Dih. Aku tak mahu ketinggalan mendengaran rancangan kegemaran aku tu,” jelas Fatimah.
“ Rancangan bahasa Kedayan Brunei tu?” Tanya Katy. Fatimah mengangguk sambil menghirup milo ais yang dah habis aisnya itu.
“Hish! Kau ni kolot sangatlah Fatimah, rancangan kampungan itu yang kau suka. Tiada rancangan lainkah yang kau minat? Aku bab-bab cakap kedayan ni malulah aku nak dengarkan kat orang luar. Kita dah dua puluh lima tahun jadi Wilayah, kau masih nak agung-agungkan bahasa kampungan itu, aku hairalah kau ni,” Katy tersenyum sinis melihat kawannya Fatimah.
“Aku masih ingat masa kita sekolah rendah dulu, kau langsung tak pandai cakap kedayan, aku suruh kancing pinjawan pun kau tak tau, adakah patut kau kata aku suruh kencing jendela pula, hehehe… luculah kalau aku ingat masa tu,” Katy ketawa kecil.
“Betullah, masa tu aku memang tak faham bahasa kedayan ni, mak aku cina, kau pun tahukan. Bapa aku memang kedayan, tapi di rumah kami cakap melayu. Aku membesar di Petagas. Aku berkawan dengan orang-orang bajau di sana. Mereka semua cakap melayu dengan aku, sebab aku memang tak pandai cakap bajau pun,”
“Di Sabah, kaum lain cukup bangga dengan bahasa mereka, cina, india, bajau, kadazan, dusun dan banyak lagi suku lain yang cukup fasih dengan bahasa mereka, walaupun mereka pandai berbahasa melayu tapi mereka tak pernah melupakan bahasa nenek moyang mereka. Kau yang memang asal keturunan kedayan sepenuhnya, kenapa pula kau harus malu dengan bahasa nenek moyang kita sendiri. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan mengagung-agungkan bahasa kita tu.” Terselit rasa kesal dihati Fatimah melihat perubahan Katy.
“Aku rasa itu bukan satu isu yang besar untuk kita persoalkan, sepatutnya kau berbangga menjadi penduduk Labuan yang telah maju setelah menjadi Wilayah. Bukannya sibuk nak mempertahankan bahasa kampungan tu.” Katy mencebik bibir.
“Kau tengok Labuan sekarang. Sudah ada Universiti, Martikulasi. Kau tengok Ujana Kewangan ni, ini satu kebanggaan untuk penduduk Labuan. Kita telah dimajukan setelah bergelar Wilayah. Sekolah-sekolah dah dinaik taraf, lapangan terbang juga tidak kurang hebatnya. Kau ni bagaikan menolak kemajuan. Kau tengok sendiri, taraf ekonomi penduduk Labuan juga turut meningkat. Tak perlu lagi kita bersusah payah menanam padi dan mengisar kopi. Kita semua dah mampu membeli di kedai.” Ujar Katy tidak mahu mengalah.
“Katy… Katy… Aku tak pernah menolak kemajuan. Aku juga cukup bangga menjadi penduduk Labuan yang semakin maju ini,”
“Habis tu?” Katy mencelah.
“Bagi aku, sama ada kita di bawah Sabah atau dah menjadi Wilayah seperti sekarang, kemajuan Labuan tetap juga akan berjalan. Kerajaan pusat akan memberikan dana untuk kemajuan setiap negeri sama ada di bawah Wilayah atau tidak. Kau tengok jalan Menumbok Beaufort. Sekarang dah beralas tar. Dulu hanya tanah kuning saja. Jalan-jalan ke daerah lain juga sudah beralas tar, perjalanan sekarang mengambil masa yang singkat untuk sampai ke destinasi yang dituju kerana jalanraya yang cukup baik. Bukankah itu satu kemajuan yang dimiliki rakyat Sabah walaupun bukan dalam Wilayah.” Kata Fatimah.
“Kau ni macam anti Semenanjung saja Fatimah. Hey kawan, jangan biarkan hati dijajah,” pedas juga kata-kata yang dilahirkan oleh Katy itu. Terasa panas pula telinga Fatimah mendengarnya, namun begitu dia masih boleh bertenang menangani kawan baiknya itu. Dia sedar Katy memang suka cakap ikut sedap mulut saja.
“Kau jangan salah faham Katy, aku tak pernah anti Semenanjung atau orangnya. Aku anggap mereka semua tu sama macam kita, sama-sama rakyat Malaysia. Bukankah kita satu Malaysia. Apa yang penting, kemajuan untuk masyarakat Labuan diutamakan.”
“Mungkin kau lupa kata Perdana Menteri kita, satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Maksudnya pemimpin kita akan memberi keistemewaan sama rata untuk rakyatnya, tidak kira sama ada dalam Wilayah atau sebaliknya.” Jelas Fatimah. Katy terpaku mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Fatimah. Selama ini tidak pernah pula Fatimah mempersoalkan tentang kepimpinan seperti itu melainkan soal-soal keagamaan.
“Aku cukup bangga jadi rakyat Malaysia. Tapi tidak bermakna aku akan melupakan bahasa nenek moyang kita. Bahasa kedayan. Apa yang harus kita lakukan agar bahasa Kedayan ini tidak hilang begitu saja? Kita sebagai perwaris sepatutnya berusaha mengekalka bahasa ini agar tidak luput ditelan zaman. Kita perlu berusaha agar bahasa kita dikenali ramai rakyat Malaysia. Kita juga perlu ingat sebelum orang suka bahasa kita, kita kena suka bahasa kita sendiri dulu. Jangan kita malu dengan bahasa kita sendiri.” Kata Fatimah panjang lebar.
“Aku memang tabik betullah bila RTM Labuan F.M berani menerbitkan rancangan bahasa Kedayan Brunei ini. Rancangan Eh Dih Dih, tiap-tiap hari ada siarannya. Aku dengar RTM Sabah pun nak buat ulang siar drama Kedayan Brunei terbitan RTM Labuan F.M ni di sana. Kalau ianya terlaksana, tentu seronok. Kita patut mulakan di sini dulu, barulah kita boleh bawa bahasa kita keluar dari kepompongnya. Andainya kita bawa bahasa Kedayan ni secara mengejut ke Semenanjung, tentu usaha itu akan sia-sia. Kau cakaplah bahasa kedayan di Semenanjung, ada orang faham, ada yang nak dengar?” sambung Fatimah lagi.
“Betulkah RTM Sabah nak buat ulang siar rancangan Eh Dih Dih di sana?” Katy ingin tahu.
“Emm… yang aku dengar-dengar begitulah bunyinya. Harap-harap ianya akan menjadi kenyataan, kita tidak boleh mengharap dari Semananjung yang nak siarkan rancangan seperti itu, di Sabah kita masih punya ramai peminat yang mahu mendengar rancangan bahasa tempatan seperti bahasa Kedayan Brunei. Aku ingat lagi, sewaktu budak-budak sekolah menengah buat persembahan drama pentas dalam bahasa Kedayan tempoh hari. Riuh satu dewan dengan tepuk sorak penonton. Ini membuktikan di luar sana masih ramai yang mengharap agar bahasa tempatan itu ditonjolkan, sedangkan kita masih ketandusan persembahan yang berbentuk kedaerahan.”
Dua puluh lima tahun Labuan menjadi Wilayah, terlalu banyak perubahan kehidupan sosial masyarakat Labuan. Persekitaran Labuan juga ditumbuhi pusat-pusat hiburan, pusat-pusat perjudian yang berlesen. Soalnya kenapa harus diberi lesen? Rokok dan minuman keras juga mudah didapati di sini dengan harga yang cukup murah. Ini sebenarnya amat menggusarkan Fatimah. Sedikit sebanyak ianya telah mendorong generasi muda terjerumus ke dalam aktiviti yang kurang sihat.
Walaupun rokok atau minuman keras tidak dibenarkan dijual kepada remaja bawah umur, namun kerakusan peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tidak mengendahkan keburukan yang bakal diterima menyebabkan undang-undang seperti itu dipandang remeh. Malah dadah juga mudah didapati di sini.
Kes-kes kecurian dan merosakan harta benda awam juga sudah mula timbul. Penipuan di sana sini, rasuah juga semakin berleluasa. Ugut mengugut, kes bunuh, rogol dan banyak lagi yang memeningkan pihak berkuasa.
Tidak dinafikan, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita juga cukup ketara. Anak-anak yang masih berpakaian seragam sekolah, tanpa rasa segan silu berpelukan dan berkucupan di khalayak ramai. Anak-anak sekolah yang mengandung akibat pergaulan bebas, akhirnya terkandas belum sempat menamatkan persekolahan. Penguguran anak juga berlaku walaupun tidak begitu ditonjolkan. Adakah telah terhakis sopan santun yang diajar oleh para guru dan orang tua-tua kita dulu setelah Labuan menikmati kemajuan?
Fatimah merenung sekelompok remaja wanita yang berpakaian singkat. Fatimah menggaru dahinya yang tidak gatal. Terselit rasa kasihan di hatinya melihat gelagat anak remaja masa kini yang masih belum sedar dari fantasi mereka. Apakah puncanya sehingga perubahan itu cukup pantas sekali. Tiada keayuan dan kelembutan seorang wanita yang terpamer. Ianya bagai tiada beza di antara lelaki dan wanita. Juga cukup ketara di sana sini, lelaki berambut panjang manakala wanita pula berambut pendek.
Mungkin terlalu banyak peranan yang menjadi penyebab perubahan ketara di kalangan masyarakat Labuan. Antaranya faktor ekonomi yang memaksa agar ibu bapa mencari pendapatan lebih untuk menyara hidup keluarga. Anak-anak kecil dihantar ke taska atau dijaga oleh pembantu rumah. Kurangnya berinteraksi dan kasih sayang dari ibu bapa kerana kesibukan kerja. Akhirnya anak-anak mengalami stres atau tekanan dan mengambil keputusan sendiri tanpa mengira baik buruknya.
“Termenung panjang nampak? Ingatkan tunang tercintakah?” tegur Katy tatkala melihat Fatimah termenung panjang.
“Eh Katy, tak sedar aku kau datang. Dah dapat manik yang kau nak beli tu?” tanya Fatimah.
“Dah dapat pun… yang kau tu asyik berkhayal tu kenapa? Nak berceramah lagi dengan akukah?” sindir Katy. Fatimah tersenyum melihat gelagat kawannya itu. Katy memang kawan yang baik, walaupun gayanya agak kemodenan tapi sebagai kawan dia cukup memahami Fatimah dan tidak mudah ambil hati.
“Emm… memang banyak lagi tajuk ceramah yang aku nak perdengarkan, bersiaplah kau Katy,” gurau Fatimah sambil menepuk bahu kawannya Katy.
“Kau tengok siapa tu Fatimah? Surat siapa pula yang kau pegang tu, surat dari Arifkah, atau surat dari kekasih baru,” usik Katy tatkala melihat Fatimah yang bagai mencari seseorang sambil memegang sepucuk surat bersampul putih.
“Aku tengah tunggu sepupu aku, surat ni surat dia. Dia guna alamat aku.” Terang Fatimah. Katy mengangguk tanda mengerti maksud Fatimah.
Tidak beberapa lama kemudian, datanglah sepupu Fatimah berbaju kurung biru, siap dengan tudung yang penuh kesopanan. Katy terpegun melihat keayuan dan kemanisan raut wajah sepupu Fatimah.
“Masih ada lagi remaja wanita yang menjaga kesopanan dan kelembutan di zaman moden ini,” bisik hati Katy.
“Assalamualaikum kak,” sepupu Fatimah menyapa sambil menghulurkan tangan berjabat salam dengan Fatimah dan juga Katy. Fatimah dan Katy serentak menjawab salam.
“Maafkan Tijah kak, terlambat sikit, kelas baru selesai. Tadi cikgu lambat masuk, ada hal katanya,” kata sepupu Faimah sopan.
“Tak apalah, kakak faham. Ini surat Tijah, baru semalam sampai,” Fatimah menghulurkan surat bersampul putih kepada sepupunya itu. Tijah tersenyum riang sambil menyambut surat dari tangan Fatimah. Setelah menyimpan surat bersampul putih ke dalam bag sandang, Tijah minta izin untuk pergi ke kedai buku. Pergerakan Tijah diperhatikan oleh Katy dengan penuh minat.
“Hey! Kau tengok sepupu aku tu lama-lama apa hal, kau tu perempuan, kalau lelaki aku taulah kau dah jatuh hati dengannya.” Sergah Fatimah mengejutkan lamunan Katy. Entah apa sebenarnya yang terlintas difikiran Katy masa itu, langsung tidak diketahui oleh Fatimah.
“Hish! Kau ni buat aku terperanjat saja. Siapa nama sepupu kau tu?” tanya Katy ingin tahu.
“Siti Khatijah…” jawab Fatimah ringkas.
“Emm… cantik orangnya, sopan pula tu, semakin kurang remaja sekarang yang bersopan seperti sepupu kau tu,” puji Katy penuh keikhlasan.
“Memang cantik dia tu, secantik namanya, Siti Khatijah, sama seperti namamu Katy. Cuma kau tu tak suka dipanggil Khatijah, seronok pula dipanggil dengan nama Katy. Emm… kau ni bila pula nak pakai tudung,” sindir Fatimah.
“Hello kawan, kau gilakah nak suruh aku pakai tudung sekarang ni. Mahal tau aku bayar salun buat rambut aku secantik ini,” Kata Katy penuh geram.
“Aku belum gila lagi. Cuma aku mau kau sedar, kita sudah dua puluh lima tahun dalam Wilayah, dah banyak kemajuan yang kita rasai, takkanlah kau masih belum sedar, memakai tudung tu wajib. Janganlah kerana mengejar kemajuan, adat resam kita musnahkan, sopan santun kita tinggalkan dan hukum agama kita lupakan.” Ujar Fatimah.
“Aku semakin risau melihat perubahan masyarakat kita di Labuan ni, setelah mengecapi kemajuan, ramai yang berubah laku. Aku tak nafikan, memang ekonomi masyarakat Labuan dah meningkat, aku bersyukur tentang itu, tapi ramai yang hilang sopan santun, malu dengan asal keturunan dan ramai yang lebih berbangga dengan gaya hidup moden.” Tambah Fatimah panjang lebar.
Kalau diimbas kembali zaman dulu, jika ada jiran membuat kenduri kendara, orang-orang kampung dengan penuh keikhlasan membantu agar acara yang dilaksanakan berjalan dengan lancar. Namun begitu, amat ketara di saat ini, jika ada majlis besar kebanyakannya diuruskan oleh seseorang yang dibayar upah. Bantuan percuma seperti dulu sukar ditemui di zaman moden ini. Kalau pun ada, bilangannya amat kecil.
Tidak dinafikan ada juga badan-badan organisasi yang berusaha mewujudkan dan memupuk sifat sopan santun, hormat menghormati, gotong-royong, setia kawan di kalangan masyarakat, namun begitu ianya sukar dilaksana andainya masyarakat Labuan sendiri tidak memberi sokongan yang padu. Ada juga di kalangan masyarakat yang menganggap ianya umpama menjaga tepi kain orang dan membebankan mereka.
Fatimah merenung ke luar jendela rumahnya, kelihatan sebelah menyebelah bangunan Perumahan Taman Mutiara yang mengambil masa lebih sepuluh tahun untuk siap sepenuhnya. Ayah Fatimah sendiri terpaksa membayar bank dan membayar sewa rumah tempat mereka tinggal sebelum ini selama tiga belas tahun dan setelah itu barulah mereka dapat mendiami rumah yang dibeli oleh ayahnya itu.
Waktu itu mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat kerana lebih separuh gaji ayah Fatimah habis untuk membayar rumah di Taman Mutiara, membayar rumah sewa dan membayar kereta yang mereka beli dengan cara ansuran. Namun bebanan berat umpama mimpi di malam hari apabila rumah yang Fatimah dan keluarga tunggu-tunggu itu akhirnya siap dan boleh didiami. Perumahan Taman Mutiara yang dilengkapi dengan surau, taman permainan kanak-kanak, dewan dan bangunan kedai itu cukup memudahkan para penghuninya.
Keriuhan anak-anak bermain di taman yang disediakan di kawasan Perumahan Taman Mutiara itu mematikan lamunan Fatimah. Kelihatan juga para remaja yang berkumpul mengikut kumpulan masing-masing. Teringat kembali oleh Fatimah apabila pintu rumah Ustazah yang tinggal di tingkat bawah pecah dirosakan oleh remaja nakal. Apa yang amat menyedihkan Fatimah, tiada siapa pun jiran yang cuba membantu ketika itu. Benar-benar masyarakat Labuan sudah jauh berubah setelah dilanda kemajuan.
Minggu lepas seorang pelajar mati apabila dilanggar lari oleh sebuah kereta. Ada juga terdengar oleh Fatimah, seorang ibu menyaman seorang guru kerana merotan anaknya. Ada juga kes seorang murid menguggut gurunya sendiri. Lebih teruk lagi apabila seorang bapa memukul guru hingga koma. Di manakah hilangnya rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan kasih sayang di kalangan masyarakat moden dewasa ini.
Kehidupan sosial masyarakat Labuan kini amat memukul jiwa Fatimah. Kegusaran dan kekecewaan bercampur gaul dalam sanubari. Air mata kekesalan mengalir lesu. Fatimah ingin menangis, tapi untuk apa? Apakah dia mampu mengubah gaya hidup yang semakin menghimpit itu.
Tiba-tiba pintu rumah Fatimah diketuk orang, seraya kedengaran suara Katy dari luar. Fatimah segera menghapus air matanya yang masih bersisa dipipi. Pintu rumahnya dibuka perlahan. Katy dipersilakan masuk ke dalam.
“Tahniah…tahniah… aku dengar skrip rancangan drama Eh Dih Dih kau keluar tadi. Aku tak sangka kau boleh menghasilkan skrip bahasa Kedayan Brunei. Patutlah aku ajak keluar kau tak mau, rupa-rupanya kau tunggu skrip kau keluar radio.” Ujar Katy penuh semangat. Fatimah tersenyum namun tiada kata-kata yang terkeluar dari bibirnya.
“Sebagai kawan, aku cukup bangga dengan kau. Kau bukan saja pandai buat skrip tapi pandai juga berceramah dengan aku, sepatutnya kau ni jadi orang politik, baru sesuai. Kau kan banyak kebolehan,” usik Katy.
“Aku tak suka politik. Banyak keburukan di sebalik kebaikan. Banyak juga penipuan di sebalik kebenaran. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sendiri. Sukar mencari pemimpin yang benar-benar telus. Kalau ada pun bilangannya terlalu kecil.” Ujar Fatimah serius.
“Kalau begitu, kau sajalah jadi pemimpin. Pemimpin yang benar-benar jujur dan amanah, pemimpin yang telus seperti yang kau harapkan.” Kata Katy lagi. Fatimah diam.
“Kau ni Fatimah, serius sangat, emak kau mana, kau seorang sajakah?” tanya Katy lagi sambil meninjau-ninjau sekitar rumah Fatimah.
“Emak dan abah pergi Kuala Lumpur, bawa adik-adik bercuti,” ujar Fatimah sambil menghulurkan air tin kepada Katy. Air tea bunga kegemaran Katy disambut segera oleh Katy.
“Wah! Seronok tu, kenapa kau tak ikut? Tak dapat cuti ya, kasihan kau Fatimah, terpaksalah kau tunggu rumah” usik Katy
“Malas nak pergi,” kata Fatimah ringkas.
“Malas? Hai kawan, itu pergi Kuala Lumpur, bukan pergi Kota Kinabalu. Kau boleh kata malas. Atau kau ni anti orang Semenanjung? Kita sudah dua puluh lima tahun dalam Wilayah, kau masih bersikap macam ni, aku hairanlah kau ni,” Katy menggeleng kepala.
“Kau ni Katy, cakap ikut sedap mulut kau saja. Aku bukan anti orang Semananjunglah. Orang Semenanjungkah, orang Sabahkah, sama saja. Dalam pejabat kita tu pun bercampur dengan orang dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Aku baik pun dengan mereka semua. Kitakan satu Malaysia.” Terang Fatimah. Fatimah sebenarnya tahu yang Katy sengaja mahu mengusiknya.
“Hehehe… aku saja nak usik kau, kau tu serius sangat. Bukan apa Fatimah, kita sepatutnya bersyukur, setelah jadi Wilayah Persekutuan ini banyak perubahan yang kita kecapi. Kehidupan masyarakat Labuan pun taklah sesusah dulu. Hampir semua rumah di Labuan ni sudah ada kemudahan air dan elektrik. Kalau diingat-ingat, banyak lagi kemudahan yang telah diberi oleh kerajaan kepada mesyarakat Labuan sekarang ni,” Fatimah yang duduk di sofa ruang tamu rumahnya tekun mendengar kata-kata Katy. Namun begitu ada persoalan yang masih ligat bermain dikepalanya yang ingin dilontarkan kepada Katy.
“Kau yang banyak berdiam diri sedari tadi ni kenapa? Ada masalah?” Tanya Katy kehairanan melihat Fatimah yang banyak membatu diri.
“Sebenarnya ada persoalan yang bermain dalam fikiran aku,” ujar Fatimah
“Apa persoalannya?” Tanya Katy ingin tahu.
“Kalau dulu ada juga orang Labuan yang jadi Ketua Menteri. Semua masyarakat Labuan cukup bangga waktu itu. Jika ada kekurangan masyarakat Labuan, dapat kita suarakan dengan lebih mudah kerana Ketua Menteri pada waktu itu adalah orang Labuan sendiri. Bagaimana pula sekarang? Setelah kita menjadi Wilayah, bolehkah orang Labuan jadi Ketua Menteri lagi?” Tanya Fatimah. Katy terdiam sambil berfikir.
“Nampaknya orang Labuan ni hanya setakat Ahli Parlimen sajalah,” ujar Fatimah sambil tersenyum sinis. Katy kehilangan kata-kata waktu itu.
TAMAT
Saguhati Peraduan Menulis Cerpen 2009
Sempena 25 Tahun Labuan Menjadi Wilayah (Jubli Perak WP Labuan)
Antologi Cerpen “Peluru Cinta Victoria” 2011
MISTERI RUMAH BARU
:: NORGADIS LABUAN
(LABUAN-MALAYSIA)
SUDAH dua malam aku tidak dapat tidur. Bahang air laut dan kepadatan rumah setinggan tempat aku berteduh selama ini mungkin telah mengganggu tidurku. Mungkin juga kerana dua hari lagi aku akan berpindah ke rumah baruku. Tidak hairan jika banglo yang siap dengan peralatan rumah itu yang menyebabkan kesabaranku tercabar.
Kadang kala aku menjadi sangsi, kenapa tuan rumah tersebut menjual rumahnya dengan harga yang sedikit murah. Apatah lagi rumah tersebut cukup dengan peralatan dan perabut rumah. Ah! Aku sepatutnya tidak mempertikaikan tentang itu. Apa yang penting, aku harus bersyukur kerana bertuah dapat membeli rumah semurah itu.
Bukan aku saja yang gembira dapat berpindah ke rumah baru, malah sahabatku Kamal dan Azrul juga akan turut gembira. Sekurang-kurangnya aku mempunyai teman untuk tinggal di rumah yang mempunyai tiga buah bilik itu.
Kamal dan Azrul adalah teman baik ku. Kami sudah tiga tahun tinggal bersama di bilik sempit ini. Kami berkongsi menyewa bilik di salah sebuah kampung air. Kalau dilihat, kawasan tempat kami tinggal ini cukup sesak dengan rumah-rumah lain. Apa yang mengerunkan, apabila terjadi kebakaran. Rumah yang berdekatan akan dijilat api sama. Itulah yang bahayanya tinggal di perumahan setinggan begini.
Alhamdulilah, akhirnya hajat untuk memiliki rumah sendiri nampaknya tercapai juga. Itulah berkat menabung. Kalau diikut kata-kata Dr. Mahathir Muhammad perdana Menteri kita tu, ada juga baiknya.
Angin bertiup tenang pagi itu. Aku, Kamal dan Azrul sudah bersiap sedia untuk berangkat meninggalkan bilik sewa kami. Jauh di sudut hati ini, terasa berat juga untuk meninggalkan tempat kami berteduh selama ini. Namun tempat yang lebih selesa perlu juga dirasai.
Seketika derum enjin perahu penumpang memecah kesunyian pagi. Aku dan dua temanku menjatuhkan punggung di kerusi kayu perahu penumpang tersebut. Kelihatan dua tiga orang lain juga turut menumpang sama.
Sebentar kemudian, tali pengikat pun di leraikan. Maka berlepaslah perahu yang kutumpangi. Hembusan angin agak kuat juga ketika itu, sedikit tempias menampar kewajah tampanku. Aku tidak kisah itu semua. Apa yang penting distinasi yang dituju akan kutemui.
Sesampai di daratan, aku menyewa taksi untuk pergi ke rumah baruku. Syukur alhamdulilah, aku dan dua temanku selamat sampai ke rumah baru yang kubeli itu. Aku cukup bangga memiliki rumah tersebut.
Seharian berkemas di rumah baruku, terasa juga keletihan. Tiba-tiba kesunyian menyapa. Ke mana pula perginya dua sahabatku yang tadinya masing-masing sibuk berkemas. Setelah diselidik, rupa-rupanya mereka sudah nyenyak dibuai mimpi.
“Keletihan agaknya,” aku bercakap sendiri sambil merebahkan tuuhku di atas katil. Terasa nyaman kalau dibandingkan dengan tempat tidurku yang dulu.
Tiba-tiba terasa dingin angin menghembus. Entah dari mana datangnya, aku sendiri tidak tahu.
“Kau tak letih ke?” rasanya aku terdengar satu suara. Suara itu amat asing bagiku. Suara lembut seorang wanita. Mulutku melopong kekejutan. Dari manakah datang suara itu? Ganjil bunyinya. Milik siapakah suara itu? Atau aku sebenarnya sedang berkhayal ketika itu.
“Kau jangan takut, aku cuma mahu berkawan saja, sudah lama aku bersendirian di sini,” suara lembut itu datang lagi. Meremang bulu tengkukku. Degupan jantungku mula deras, sederas kuda belari.
Aku bangun dari pembaringan. Aku cuba mencari pemilik suara itu, namun aku hanya menemui kegagalan. Aku bingung. Aku mengaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Aku mengeleng. Mungkin aku bermimpi agaknya.
Aku keluar dari bilik tidurku. Kulihat kedua temanku sedang asyik menonton berita, sudah bangun rupanya mereka. Aku tidak memperdulikannya. Aku ke ruang dapur dan sekaligus mengambil air sejuk dari peti ais. Sejurus kemudian aku keluar dan duduk di salah sebuah sofa di ruang tamu bersama-sama Kamal dan Azrul.
“Nyenyak tidur, kami panggil pun tak dengar,” Azrul memulakan bicara. Aku menyepi. Kamal senyum sinis memandang aku.
“Ada burger untuk kau, pergilah makan, kami dah makan,” nampaknya giliran Kamal pula bersuara. Aku merenung hambar kedua temanku itu.
“Apa hal dengan kau ni?” suara Kamal agak meninggi sedikit.
“Aku dengar suara perempuanlah, kau dengar tak?” Nampaknya pertanyaanku mengelikan hati Kamal dan Azrul.
“Kau dengar suara puteri bunian ke?” Azrul mengejek. Aku diam. Aku termenung seketika.
“Sudahlah , kau bermimpi tu, aku tengok kau letih sangat, orang letih selalu banyak mimpi, mungkin kau lupa cuci kaki,”
Aku meninggalkan mereka berdua dan terus ke bilik tidurku. Aku duduk di atas kerusi yang tersedia di bilik tersebut. Terasa sedikit tenang.
“Kenapa tak makan, nanti sakit, engkau juga yang susah,” aku terperanjat, suara itu datang lagi. Aku bingkas dari kerusiku. Aku mencari-cari punca suara merdu tersebut. Ada saatnya aku terbayang lembutnya si pemilik suara itu, pasti wajahnya selembut suaranya.
Tiba-tiba hujan turun, kelihatan sekali sekali kilat memancar mancar. Sayup-sayup kedengaran guruh sabung menyabung. Dari kaca jendela jelas kelihatan air hujan berebut-rebut menuruni atap dan terus terjun memasuki parit. Aku terus menutup tabir jendela dan sekaligus menghalang penglihatanku menembusi pandangan di luar sana.
“Hei! Kau dengar tak aku tanya tadi, kenapa engkau tak makan?” Suara itu datang lagi. Aku diam. Aku berfikir. Apakah aku sedang bermimpi atau…
“Hei suara! Engkau siapa? Kenapa engkau selalu mengganggu aku. Kenapa engkau berada dalam bilik aku. Keluarlah engkau tunjukkan dirimu. Suaraku terketar-ketar. Bulu tengkukku mula berdiri. Seram sejuk kurasa ketika itu.
“Janganlah engkau takut, aku ada di sini, bilik ini adalah kepunyaanku dan sekarang menjadi kepunyaanmu juga. Kita berkongsi bilik nampaknya. Oh ya, selamat berkenalan,” Tanganku bergerak sendiri. Aku seperti bersalam dengan seseorang. Tangan itu lembut tapi sejuk. Aku semakin takut dibuatnya. “Hantu…! Aku menjerit. Aku segera menarik tanganku.
Kedua sahabatku Kamal dan Azrul segera masuk ke bilik tidurku. Mereka kehairanan. Aku masih lagi berdiri kaku di tempatku tadi. Peluh membasahi sekujur tubuhku yang tidak berbaju. Kamal dan Azrul bertanya kepadaku tentang apa yang berlaku sebenarnya. Aku cuba menerangkan apa yang telah aku alami, tapi sayang mereka tidak mempercayainya. Mereka menganggap aku sedang bermimpi.
Apa yang pelik, suara wanita yang sering mengganggu aku itu tidak pernah muncul andainya kedua sahabatku berada di dalam bilikku. Suara itu hanya akan datang jika kedua sahabatku tidak bersamaku.
Nampaknya cuti sekolah kali ini aku terpaksa berhadapan dengan misteri rumah baruku yang belum terungkap. Sepatutnya masa beginilah untuk aku berehat. Jika cuti sekolah berakhir, tentu bermulalah kesibukan bersama murid-muridku. Kalau mengingatkan kenakalan-kenakalan anak muridku yang masih kecil-kecil itu, ada kalanya boleh juga menghilangkan kebosanan yang melanda apabila kedua sahabatku pergi bekerja.
Cuti sekolah kali ini aku tidak mengambil kesempatan untuk balik kampung. Aku hanya mahu berehat di rumah baruku. Lagi pun, aku sudah banyak mengeluarkan wang sewaktu membeli rumah baruku ini. Jadi aku perlu berjimat sedikit untuk menambah kembali wang yang telah kugunakan.
“Temenung nampak, fikir apa tu?” aku sudah biasa mendengar suara itu. Sudah hampir seminggu aku ditemani suara itu apabila aku bersendirian.
“Tak adalah, aku sedang mengingat kembali perangai anak-anak muridku. Oh ya, sudah beberapa hari kau menemankan aku, tapi aku belum pernah nampak wajahmu dan aku tidak tahu kenapa kau selalu menggangguku?” terlintas pula dalam fikiran bertanya begitu kepada suara tersebut.
“Apakah aku mengganggumu?”
“Bu..bukan maksudku begitu, tapi…” bicaraku terputus.
“Ah, aku tahu maksudmu, aku pun bukan nak menganggumu, tapi aku kesunyian dan aku gembira apabila berkenalan denganmu. Kau ingin melihat wajahku?” Aku diam. Pertanyaannya membuat aku serba salah.
“Jika kau ingin melihat wajahku, lihatlah wajahku dicermin meja solek,” aku mengalihkan pandanganku ke cermin meja solek yang berada di sudut katilku. Hatiku berdebar-debar.
Aku sedikit terperanjat. Kelihatan wajah jelita seorang gadis sedang berdiri disebelah kananku. Aku cuba menoleh ke sebelah kananku, tapi tiada apa-apa yang kelihatan, melainkan dinding-dinding yang kaku.
Aku melihat kembali ke cermin dihadapanku. Dia tersenyum. Aku pun tersenyum. Oh! Dia sungguh anggun dengan pakaiannya yang kekuningan. Dia menggenggam tanganku. Aku bagai terasa akan genggamannya dan aku nampak jelas dia dari cermin meja solekku. Saat itu, ada getaran yang sukar diungkapkan.
“Akulah selama ini yang menganggumu, kau marah?” dia tidak henti-henti tersenyum. Aku tidak dapat berkata-kata seketika dan aku hanya mampu mengeleng.
Mulai dari hari itu, dia yang mengakui namanya sebagai Seri Ayu Sukma bagai bertaktha di lubuk hatiku. Aku benar-benar menyayanginya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku boleh berperasan sedemekian rupa.
Aku merasakan kehadiran Kamal dan Azrul tidak menganggu hubunganku dengan Seri Ayu Sukma. Aku cukup bahagia bertemu dengannya. Sekarang aku tidak perlu lagi melihat di cermin meja solek untuk menatap wajah Seri Ayu Sukma. Ianya bagai telah ujud seperti manusia biasa walaupun kedua-dua sahabatku tidak pernah melihatnya.
Pada suatu malam disaat bulan empatbelas mengembang, Seri Ayu Sukma datang lagi. Tapi kali ini dia datang agak lewat dari hari-hari biasa. Aku bagai tidak sabar menanti kehadirannya. Hari-hari yang kulalui bersamanya penuh kemesraan yang sukar dilupakan.
“Kenapa kau lambat datang Seri?” Dia diam. Kelihatan kemurungan menyelubungi wajah ayunya. Aku amat hairan, dihatiku tertanya-tanya, apakah dia sedang berduka? Atau akukah yang telah menyinggung mahkota hatinya.
Seri Ayu Sukma menghampiriku dan menyentuh lembut pipiku, lantas jejarinya terlanjur menyentuh bibirku dan kemudian tanpa izin bibirnya yang merah itu bersentuhan pula dengan bibirku. Ada satu kelainan terasa. Ianya terasa sampai ke lubuk hatiku yang dalam dan ianya sukar untuk ditafsirkan dengan sebuah kata-kata.
“Kita tidak boleh meneruskan hubungan kita begini, ianya akan merosakan masa depanmu sayang,” kedengaran lembut suara Seri Ayu Sukma.
“Kenapa?” Terhembur pertanyaan yang spontan dari mulut lelakiku. Dia cuba meleraikan pelukanku yang kemas sejak dari tadi.
“Aku menderita, aku menderita dengan nasibku sekarang ini, aku mahu seperti orang lain yang diuruskan dengan sempurna,” Dia menangis. Menangis tersedu-sedu. Aku kebingungan.
“Apa sebenarnya yang berlaku dengan kau Seri? Maafkan aku kerana tidak pernah terlintas dihatiku untuk bertanya kenapa kau jadi begini. Janganlah kau salah faham dengan maksudku.
Aku tidak bermaksud untuk memperbodohkanmu apatah lagi untuk mempermainkanmu.” Aku duduk berhadapan dengannya kali ini. Aku ingin melihat apakah yang akan berlaku seterusnya.
Seri Ayu Sukma menceritakan akan nasib buruk yang menimpa dirinya sehingga dia jadi begitu. Seri Ayu Sukma mempunyai seorang ibu tiri yang dengki akan kecantikannya. Setelah kematian ibu Seri Ayu Sukma, ayahnya telah berkahwin baru. Maka beribu tirilah Seri Ayu Sukma. Sewaktu ayahnya baru berkahwin dengan ibu tirinya itu, ibu tirinya melayani Seri Ayu Sukma dengan cukup baik sekali, tapi setelah ayah Seri Ayu Sukma meninggal dunia akibat penyakit ganjil, ibu tirinya telah mengurungnya di dalam bilik tanpa memberinya makan dan minum.
“Pada satu saat, aku tidak tahu kenapa aku terkeluar dari jasadku,” Seri Ayu Sukma sedikit mengeluh. Menurutnya, jasadnya akhirnya dimasukan didalam satu ruang yang tersembunyi didalam bilik tersebut oleh ibu tirinya sebelum berpindah dari rumah tersebut.
“Itulah sebabnya aku masih ada di sini, aku sebenarnya sudah mati, aku minta jasa baikmu untuk menyempurnakan jasadku seperti orang lain, mudah-mudahan dengan cara ini aku akan merasa aman,” Alahai berdiri bulu tengkuk aku apabila mendengarkan cerita Seri Ayu Sukma. Rupa-rupanya selama ini aku berkawan dengan hantu. Tapi aku kasihan dengan nasib yang dialaminya.
Petang itu, setelah Azrul dan Kamal balik dari kerja. Aku segera menceritakan kejadian ganjil yang kualami. Oleh kerana mereka maelihat aku bersungguh-sungguh sewaktu bercerita, maka mereka tidak lagi mentertawakanku seperti selalunya.
Aku mengajak mereka ke bilik tidurku. Aku meminta bantuan mereka mengalihkan almari besar yang berada di dalam bilik tidurku. Setelah diusahakan bersama, akhirnya almari pakaian model lama itu pun terpindah.
Alangkah terkejutnya kami bertiga apabila melihat ada terdapat satu ruang agak sederhana besarnya di dinding bilik yang selama ini ditutupi oleh almari besar yang cukup unik ukirannya itu. Apa yang mengejutkan lagi apabila kelihatan samar-samar rangka manusia terdapat di situ.
“Seri Ayu Sukma…?”
TAMAT
(Wardah, April 2002)
JANGAN BIARKAN AKU GEMBIRA
KARYA: NORGADIS LABUAN
Syawal telah tiba. Kelihatan kanak-kanak keriangan belari ke sana sini selepas solat dipagi raya. Nenek yang bangun sejak jam tiga pagi lagi asyik sibuk menyediakan juadah raya. Aku yang tinggal di rumah nenek juga turut membantu mana yang patut. Walaupun rumah nenek tidak sebesar mana, namun ketenangan amat terasa dengan suasana kampung yang ceria dibanding kawasan perumahan tempat kediaman kami sebelum ini.
Kulihat sepupuku adik Masturah yang berusia empat tahun seusia adikku yang tinggal bersebelahan rumah nenek, begitu comel apabila mengenakan tudung biru yang sedondon dengan bajunya. Tiba-tiba saja terbayang wajah adik, kemurungan wajah ayah dan wajah ibu yang sentiasa bergenang dengan air mata meski masih sempat menghadiahkan senyuman kepadaku. Keadaan ini benar-benar mengheret aku kealam yang memilukan.
“Ya Allah, kenapa aku dilahirkan didalam keluarga yang malang ini. Apakah dosaku. Apakah salahku ya Allah,” aku menangis. Aidilfitri tahun ini tidak disambut seperti tahun-tahun yang lalu.
Aku masih ingat lagi kisah sewaktu petang itu, ketika aku sibuk membersihkan halaman rumah. Kulihat ibu sedang mengangkat kain jemuran dan ayah pula asyik dengan membersihkan kereta barunya. Aku rasa adik pasti masih tidur di dalam bilik waktu itu.
“Ira…! Ira tolong sapu halaman rumah kita ya, raya dah nak dekat ni, nanti ayah bagi Ira main bunga api,” kata ayah.
“Betulkah ayah, Ira boleh main bunga api? Seronoknya… Kalau gitu Ira sapu halaman rumah kitalah ayah,” dengan gembiranya petang itu aku terus melakukan apa yang ayah suruh.
“Rajin anak ibu,” aku melemparkan senyuman, ibu yang baru keluar dari rumah terus menuju ke arah kain jemuran sambil membalas senyumanku.
“Ayah yang suruh Ira buat ibu, kata ayah nanti Ira boleh main bunga api,” Ibu memandang ayah seketika, ayah membalas pandangan ibu seketika.
Aku meneruskan kerja-kerja menyapu halaman rumah, sekali sekali bayu menghembus dan menjatuhkan helaian daun mangga yang membuat hatiku bertambah geram. Aku terpaksa menyapu semula kawasan yang tadinya telah kusapu bersih walaupun halaman rumah kami tidaklah seluas mana dibanding dengan kawasan rumah nenek di kampung.
Daun-daun kering kukumpulkan disudut halaman untuk dibakar. Ranting-ranting kayu juga turut kukutip agar halaman rumah kami kelihatan bersih menjelang raya nanti. Tentu ibu dan ayah akan memujiku andainya halaman rumah kelihatan bersih. Ayah pasti akan memberikan aku duit raya seperti tahun-tahun yang lalu.
Adik… Aku berharap jika adik besar nanti, bolehlah adik menolongku membersihkan halaman rumah kami ini. Emm… dalam usia empat tahun, manalah adik pandai menolong, kalau tolong menyemak bolehlah. Aku tersenyum sendiri kalau mengingat telatah adik.
Dalam kesibukan masing-masing, tiba-tiba kedengaran bunyi letupan mercun di kawasan dapur rumah kami, aku terperanjat. Letupan mercun yang berterusan itu membuat aku tergamam.
“Adik…!” Jeritan ibu membuat aku tidak tentu arah. Ayah terpaku dan hanya memandang ibu yang meluru masuk ke rumah. Apakah yang berlaku kepada adik, adakah adik cedera? Terlalu banyak persoalan yang terlintas didalam kotak fikiranku. Kedengaran lagi satu letupan besar dari arah dapur. Aku menjerit, “Ibu…!” Tiba-tiba kelihatan satu benda melayang dari arah dapur dan jatuh benar-benar dihadapanku.
“Adik…!” aku bagai hysteria. Adik yang tadinya kusangka tidur nyenyak di rumah, kini kaku dihadapanku. Kesan terbakar yang memenuh ruang tubuhnya membuatkan aku mati akal dan lemah. Aku tersungkur dihadapan jasad adik.
Aku menangis, aku tidak tahu apa yang harus kubuat ketika itu, dengan pantas juga rumah kami dijilat api. Ayah entah kemana waktu itu. Ibu pula tidak kelihatan lagi. Jiran-jiran di kawasan perumahan itu sibuk memadamkan api yang semakin membara. Tiupan bayu petang itu memburukkan lagi keadaan. Akhirnya rumah kami musnah semuanya.
“Ya Allah, kuatkah aku untuk meneruskan hidup ini, setelah bala menimpa keluargaku?” Kini bulan syawal datang lagi. Aidilfiti yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak seperti aku, pasti akan merasa cukup gembira. Tapi aku, hanya kesedihan yang menyelubungi diriku. Tiada baju raya yang baru untuk kupilih, namun aku masih bersyukur kerana ada jiran yang sudi memberikan baju raya untukku walaupun hanyalah sekadar baju terpakai dari anak-anak mereka yang tidak sesuai lagi utuk mereka.
Ayah. Dimanakah ayah? Ayah masih menjalani hukuman kerana kesalahan menyimpan dan menjual mercun dan bunga api terlarang. Ibu yang terbakar hangus sewaktu kejadian itu menyebabkan seluruh badannya lumpuh. Kini kami hanya bergantung hidup dengan nenek yang telah tua.
Ya Allah, jika hari ini aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiah-Mu. Ya Allah jika aku lemah tidak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga-Mu. Ya Allah, jika diantara kita ada tembuk yang memisah dari aku terus mengingat-Mu, leraikanlah ia segera. Ya Allah, jika hari ini aku terlalu gembira menyambut aidilfitri, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran-Mu dan jika esok aku atau keluargaku lena tanpa terjaga, jadikanlah kami tergolong dalam orang-orang yang beriman.
TAMAT
Tersiar Di Labuan FM pada 10 Sep 2010
Sempena Aidilfitri 2010
PABILA HATI DIJAJAH
Karya : Norgadis Labuan
Sekali imbas, sayur-sayuran hijau yang subur itu bagaikan wang yang bertaburan. Sayur kangkung, cangkuk manis, terung, timun, kacang panjang, serai, peria dan termasuklah ulam-ulaman. Aku juga menanam keledek, ubi kayu, tebu dan jagung pulut. Nun di hujung sana, terdapat pokok-pokok getah yang sudah siap untuk ditoreh. Itulah kerja abang Mat setiap hari. Semuanya mendatangkan hasil untuk keluarga. Tidak sia-sia kalau berbudi dengan tanah.
Petang itu, disaat aku asyik menyiram kebun di belakang rumahku, tiba-tiba saja aku terdengar orang memberi salam. Salamnya segera kusahut.
“Eh Said, Apa hal tergopoh gapah ni?”
“Kak! Abang Mat. Abang Mat, kak…” kelihatan Said seperti orang yang serba salah. Aku bingung dibuatnya.
“Apa hal pula dengan abang Mat. Abang Mat belum balik lagi dari surau,”
“Aku dengar orang-orang Jepun tu, cakap pasal abang Mat, aku harap kakak dapat beritahu abang Mat supaya berhati-hati,”
“Yalah,” jawabku ringkas. Said terus berlalu sambil dua tiga kali menoleh ke arahku. Aku sebenarnya tidak mengerti, apakah yang membuatnya seperti orang yang tidak pernah kukenali. Apa yang kutahu, adik lelakiku itu adalah seorang periang dan tidak pernah bermasalah. Tapi apa pula kaitannya dengan abang Mat.
Tidak beberapa lama selepas Said berlalu, tiba pula tiga orang Jepun. Salah seorang daripada mereka bernama Yokohawa yang merupakan pembantu kepada Jeneral Jepun yang baru datang ke Pulau Labuan. Manakala yang dua orang lagi, langsung tidakku kenali.
“Ini isteri Ahmad?” Yokohawa bertanya tanpa memperkenalkan dirinya terlebih dahulu.
“Ya saya. Ada apa tuan? Nak jumpa abang Mat ya? Dia belum balik lagi dari surau,” terperanjat juga aku dengan kedatangan orang Jepun tersebut. Selalunya jika dia mencari seseorang, pasti akan menimbulkan satu masalah besar.
“Saya Yokohawa. Awak kenal saya?” Aku mengangguk.
“Bila Ahmad balik rumah?”
“Selalunya abang Ahmad balik rumah waktu petang begini. Ada apa sebenarnya tuan?” tanyaku ingin tahu.
“Beritahu Ahmad, saya datang sini nanti malam. Katakan kepada Ahmad, saya nak cakap-cakap sama dia,” biarpun suara itu agak tenang bunyinya, tapi apabila seorang tentera Jepun ingin berjumpa, tentu ada hal lain yang amat penting. Kecualilah kalau penolong Jeneral Jepun itu adalah kawan baik abang Mat. Atau abang Mat adalah tali barut mereka. Apa yang aku tahu, abang Mat bukan orang seperti itu.
“Nanti saya datang lagi,” perbualan kami sampai di situ saja. Dia terus berlalu bersama dua orang pengiringnya. Kegelisahan mula menghantui diriku. Apakah sebenarnya akan berlaku. Kedatangan penolong Jeneral Jepun tadi benar-benar mengganggu emosiku. Ya Allah, cukuplah dugaan yang telah kau turunkan kepada negeriku. Janganlah ada dugaan baru yang tak mampu kuhadapi.
Saat-saat menanti kepulangan abang Mat, ianya terlalu menyakitkan rasanya. Setiap nafas yang kusedut dan kuhembuskan pasti amat mendebarkan. Darah gelisahanku mula mengalir keseluruh tubuhku. Angin yang bertiup kurasakan wap panas yang memeluk tubuhku. Peluh sedari tadi tidak henti-henti mengalir.
“Abang…!” Degup jantungku semakin kencang. Kelihatan suami kesayanganku telah pun pulang dan berada di ambang pintu pagar. Aku segera berlari dan memeluknya.
“Abang…” Abang Mat merenungku. Kelihatan ketenangan bersinar di raut wajahnya.
“Orang Jepun tu nak jumpa Abang?,” Abang Mat bertanya, aku mengangguk.
“Abang mandi dulu, kalau dia datang suruh dia naik ke rumah,” sedikitpun tiada arus kebimbangan di wajahnya. Abang Mat kelihatan tenang saja menaiki anak-anak tangga rumah kecil kami. Setelah menghabiskan air kosong yang aku berikan, Abang Mat terus mencapai kain dan baldi untuk dibawa ke telaga yang tidak jauh dari rumah.
Malam itu suasana agak muram. Sebutir bebintang pun tidak sudi berkerdip. Malah rembulan pun malu menglihatkan dirinya. Sementara menanti kedatangan tetamu yang cukup mengusarkan itu, aku terus membancuh kopi untuk dijadikan hidangan apabila tetamu yang ditunggu tersebut tiba.
Azan maghrib di surau sudah lama berlalu. Malam itu nampaknya abang Mat tidak berjemaah di surau seperti selalu. Setelah siap membaca wirid selepas sembahyang, abang Mat pun keluar dari bilik dan duduk disebelahku.
“Kenapa dia nak datang ke rumah kita ya, abang?” tanyaku.
“Entahlah. Abang sendiri pun tak tahu, selalunya kalau orang Jepun nak datang, mesti ada hal penting. Walaupun dia kata nak cakap-cakap, tapi boleh percayakah orang macam tu? Buat apa dia buang masa nak sembang-sembang dengan abang. Ini mesti ada hal lain.” Sedar tak sedar, tiba-tiba kedengaran suara azan Isyak berkumandang. kami segera menunaikan sembahyang Isyak berjemaah.
Malam semakin larut. Sana sini kedengaran bunyi cengkerik malam. Apakah mereka sedang berdendang lagu atau berzikir menyerah diri kepada Allah yang satu. Siapakah yang
akan perduli.
Nampaknya aku dan abang Mat masih lagi di ruang tengah rumah menanti kehadiran tetamu yang tidak menepati masa itu. Bagiku penantian itu amat membosankan. Tetamu yang ditunggu tidak juga kunjung tiba. Kedua-dua cahaya mataku sudah lama lena. Tapi aku dan abang Mat masih lagi menanti tetamu yang tidak kunjung tiba. Air kopi yang kubancuh tadi, sudah pun sejuk.
“Abang tak mengantuk? Sudah lewat malam ni,”
“Tak Leha, menunggu kehadiran orang asing seperti ini, sudah cukup untuk menghilangkan rasa mengantuk abang. Leha mengantuk? Kalau Leha mengantuk pergilah tidur dulu,” kata Abang sambil menggenggam jari-jemariku.
“Leha akan temankan abang. Abang! air yang Leha bancuh tadi sudah sejuk, nanti Leha bancuh yang baru ya bang,”
“Tak payahah Leha. Abang rasa, mungkin dia tak jadi datang malam ni,” Aku terus merebahkan kepalaku di pangkuan abang Mat. Abang Mat mengusap lembut rambut panjangku.
“Mungkin dia ada urusan penting, itulah dia tak jadi datang ke sini,” Abang hanya tersenyum sambil merenungku.
Tetamu yang ditunggu benar-benar tidak kunjung tiba. Aku tidak sedar, sudah berapa lama aku terlena dipangkuan suamiku. Abang Mat mengejutkanku.
“Leha, Pergilah Leha tidur dibilik, di sini banyak nyamuk,” Aku terjaga dan segera bingkas dari pembaringan.
“Abang tidur sama?” tanyaku ringkas. Abang Mat mengangguk.
Bagaikan tidak puas melayani cerita mimpi, tiba-tiba fajar subuh mula menyingsing. Kedinginan menerpa ke tubuh apabila jendela kubuka luas. Angin lembut pembuka rezeki kusedut puas. Nyaman menusuk kekalbu bagi orang yang mengerti. Seperti biasanya kami akan sembahyang subuh berjemaah. Setelah itu abang pergi ke kebun getahnya. Manakala aku akan menjalankan tugas sebagai surirumah seperti biasa.
“Ah…!” aku mengeluh. Sebenarnya, aku gelisah mengenangkan pekara semalam. Aku takut kalau orang Jepun itu pergi mencari abang Mat di kebun getahnya. Aku takut perkara yang tidak diingini akan terjadi.
Selesai saja aku membasuh kain di telaga, tiba-tiba kelihatan kelibat Said.
“Said…! Kau nak ke mana tu?”
“Ada hal penting kak. Abang Mat…abang Mat kak ”
“Kenapa dengan abang Mat kau Said?” aku kebingungan.
“Ya Allah, apakah ujian yang akan kau turunkan kepada keluargaku. Cukuplah apa yang telah kau uji selama ini.” Menitis air mataku ketika itu.
Pagi itu aku benar-benar rasa gelisah, kegelisahanku semalam nampaknya bertandang kembali. Tiap saat menanti berita dari abang Mat penuh dengan ketakutan. Apakah yang akan mereka lakukan terhadap suamiku itu.
“Abang di tangkap Jepun,” Ya Allah, ini adalah berita yang memeranjatkan dan memedihkan.
“Tapi kenapa Said… Tapi kenapa?” Aku menangis. Aku benar-benar menangis.
“Abang dianggap sebagai pengintip Jepun,” aku tidak dapat berkata-kata. Air mataku tidak dapat kubendung lagi, laju menuruni pipiku. Aku belari menuju rumahku dan terus mendapatkan kedua-dua anakku. Tangisanku tidak dapat kuhentikan lagi. Kalau boleh aku ingin menangis semahu-mahunya.
Dengan perasaan yang amat pedih itu, kulihat Said dan ibu mertuaku yang sedari tadi sudah berada di rumahku juga turut menitiskan air mata. Ibu mertuaku yang sudah separuh abad usianya itu terus memelukku.
“Kenapa anakku ditangkap, anakku tak bersalah, anakku tak bersalah,” rantap ibu mertuaku. Setelah pelukannya direnggangkan, anak-anakku menjadi sasaran pelukannya pula. Pada waktu itu tangisan hiba benar-benar tidak dapat dielakan lagi. Aku lemah, aku rasakan itulah dugaan yang terlalu berat untukku terima. Rumahku ketika itu diselubungi dengan suara tangisan. Tangisan yang sukar dimengertikan. Tidak lama selepas itu, kakak Mariam pula yang datang. Dia menghampiriku dan memelukku erat.
“Sabarlah Leha,” bisiknya.
“Kenapa kau ditangkap Ahmad, kenapa kau ditangkap, kau tak bersalah nak, kau tak bersalah,” Mengenangkan nasib yang akan menimpa abang Mat, tiba-tiba ibu mertuaku jatuh pengsan. Suasana menjadi kelam kabut. Aku tidak tahu apa yang harusku buat. Dan akhirnya aku tidak sedar lagi…
Hari itu, adalah hari untuk aku dan keluarga menemuinya. Pagi-pagi lagi aku dan keluarga sudah bangun dan bersiap untuk meninggalkan rumah Mak Usu yang tinggal di kampung Petagas, Kota Kinabalu. Dari Petagas kami berangkat dan singgah sebentar di salah sebuah kedai kopi di Putatan untuk minun pagi. Setelah selesai menikmati hidangan pagi, aku mengambil kesempatan membeli buah-buahan sebagai buah tangan.
Kira-kira jam sembilan lima belas pagi, aku dan keluarga sudah pun sampai di Kepayan. Rasa-rasanya bagai aku tidak dapat sabar lagi untuk menatap wajah orang kesayanganku itu.
Setiba dihalaman rumahnya, aku memberi salam dan cuba memanggil-manggil. Tiada sahutan. Pintu rumah terkuak luas. Aku masuk. Setiap sudut rumah itu kuperiksa dengan teliti. Namun dia gagal ditemui.
Masyallah, aku hampir kecewa menghadapi keadaan itu. Mama dan abah mula gelisah. Jam ditanganku sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Aku masih lagi belum menemuinya. Mama, abah dan aku mencari-carinya di sekitar kawasan belakang rumah pula. Syukur Alhamdulillah, usaha mencari membawa kejayaan. Namun jawapan darinya amat mengecewakan.
“Kenapa nek?” tanyaku.
“Nenek sudah biasa tinggal di sini, rasanya nenek malas nak pindah ke Labuan,” kedengaran suara tua nenek Leha.
“Nek, dulu nenek tinggal dengan Mak Usu, sekarang nenek tinggal seorang. Kalau nenek tinggal dengan kami, tentu nenek tak kesunyian. Ibu dah sediakan bilik untuk nenek. Nenek jangan bimbang, kalau nenek nak Ani temankan, Ani sudi temankan nenek bila-bila masa.”
Setelah tiga hari tinggal di rumah nenek Leha, kami pun bersedia untuk berangkat pulang ke Labuan. Dari Kepayan, kami ke pasar besar Kota Kinabalu. Dalam perjalanan dari Kota kinabalu, sekali lagi kami melintasi daerah Kepayan. Saat itu air mata nenek Leha semakin deras mengalir. Aku terharu dibuatnya. Sehingga sampai di Pekan Papar, tangisan nenek Leha masih belum reda. Aku tidak mengerti kenapa. Apakah sekembali nenek Leha ke Labuan, akan mengimbas kembali kenangan silam yang menyebabkannya berhijrah ke tanah besar Sabah.
Setelah sebulan berada di Labuan, nenek kelihatannya dapat menyesuaikan diri. Kesedihannya nampaknya sudah jauh ditinggalkan. Apa yang menjadi kesukaan nenek ialah menikmati keindahan pokok-pokok bunga tanaman mama. Pagi-pagi lagi nenek pasti akan berada dihalaman rumah melihat bunga-bunga yang berkembangan mekar.
Pagi itu aku dan mama bersembang-sembang di ruang tamu Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri tentang Labuan yang akan menjadi Wilayah Persekutuan tidak lama lagi. Cerita sensasi itu bukan saja dibualkan oleh kami, malah di kedai kopi, di surau, dipejabat-pejabat dan dimana-mana pun ianya menjadi bualan terhangat pada ketika itu.
Era perubahan diantara pentadbiran Sabah ke pentadbiran Semenanjung akan dirasai oleh semua penduduk Labuan. Cadangan baik kerajaan itu tidak semua disokong oleh penduduk tempatan. Malah banyak saja kemungkinan-kemungkinan dan kebimbangan yang ditimbulkan oleh penduduk setempat.
“Mama bimbang kalau Labuan sudah jadi Wilayah, tentu banyak orang semenanjung datang ke sini. Susahlah anak-anak kita mendapat kerja. Kalau dapat pun mungkin hanya kerani-kerani biasa.”
“Tak semestinya begitu mama, Ani kira, siapa yang mempunyai kelulusan, itulah yang terpilih untuk menjawat jawatan yang tinggi. Tak kiralah orang Semenanjung atau orang Labuan, apa yang penting kita sama-sama orang Malaysia.”
“Apa yang dibincangkan tu, riuh rendah kedengarannya dari luar,” nenek tiba-tiba saja berada di ambang pintu. Entah sejak bila dia berada disitu, kami langsung tidak menyedari.
“Inilah mak, pasal Labuan akan dijual kepada semenanjung,”
“Siapa yang jual Labuan, Munah?” kelihatan raut wajah tua nenek Leha bagaikan laut yang bergelora. Mungkin ada yang meniup angin taufan didalan semudera hatinya.
“Wakil rakyat kita tulah mak,”
“Bukan dijuallah mama, nenek,” aku menyampuk.
“Habis, kalau bukan dijual, apalah ertinya tu,” kelihatannya mama seperti tidak puas hati.
“Labuan cuma akan dibawah pentadbiran Semenanjung. Tak lagi melalui Sabah. Peruntukan untuk penduduk Labuan, terus disalurkan ke sini. Bukankah itu satu jalan yang baik,” kataku.
“Samalah ertinya itu cu, macam dijajah juga. Kalau dulu zaman Jepun, kita dijajah oleh Jepun. Kau tak tahu cu, atuk pernah ditangkap Jepun dulu. Kau masih mentah, kau tak mengerti erti penjajahan. Nenek cukup menderita kerananya. Waktu itu mamamu dan mak
usu Maimun masih kecil lagi.” Nenek menggeleng kepala.
“Nampaknya sejarah berulang lagi. Kalau dulu dijajah oleh orang asing, tapi sekarang ni, kita akan dijajah oleh bangsa kita sendiri. Nenek takut, bukan saja kita yang dijajah, tapi hati dan fikiran kita juga akan dijajah. Waktu itu kita tak akan tenang lagi,” nenek Leha menggeleng kepalanya lagi dan terus berlalu ke kamar tidurnya. Bagaikan ada satu memori
yang memilukan yang ditanggung oleh nenek Leha sehingga tidak dapat dilupakan sampai kesaat ini.
* * *
Nampaknya bahang mentari kian terasa. Waktu zohor sudah lama masuk, namun sekarang tidak lagi kedengaran azan yang dilaungkan oleh abang Mat. Sebulan berlalu, aku tetap setia menanti suami kesayanganku itu. Walaupun banyak cerita orang yang mengatakan suamiku pasti sudah dipancung Jepun, namun kasih sayangku terhadap suamiku tetap menjadi penghalang untukku terus berputus asa.
Sejak kepergian abang Mat, ibu mertuaku kerap kali jatuh sakit. Pemergian abang Mat benar-benar merobek perasaannya. Aku tahu dia kecewa. Ibu mana yang tidak kecewa, apabila anaknya yang dididik sempurna ditangkap tanpa alasan yang kukuh. Akhirnya ibu mertuaku pergi sebelum sempat bertemu anak bungsunya itu.
Suatu hari, tiba-tiba pintu rumah diketuk orang dan kedengaran suara memberi salam. Rasanya suara itu amat kukenali. Suara itulah yang kurindui selama ini dan suara itulah yang kunanti selama ini. Hatiku berdebar. Pintu yang tertutup rapat kubuka perlahan-lahan. Bagaikan aku tidak percaya, lelaki yang berada dihadapanku adalah abang Mat suami kesayanganku yang pernah ditangkap Jepun.
Ya Allah, kelihatan wajah cengkung dan tubuh badan abang Mat yang kurus di ambang pintu. Kulihat matanya masih memiliki sinar ketenangan meskipun kelopak matanya bergenang air jernih. Aku segera memeluk suami kesayanganku itu. Abang Mat mengeratkan pelukannya terhadapku. Saat itulah yang membuatkan aku bertambah terharu. Bertapa menderitanya abang Mat menanggung beban fitnah sendirian tanpa aku disisinya selama ini.
Kulihat bagai tidak puas-puas abang Mat mencium Maimunah dan Maimun yang sedang lena berselimutkan kain batik. Kedua-dua anakku yang terjaga dari lenanya terus menangis ketika itu. Aku sukar meramalkan apakah maksud tangisan anak-anakku itu.
“Bagaimana dengan mak Leha?” Abang Mat merenungku dengan harapan agar aku segera menjawab soalannya. Namun soalan itu adalah soalan yang amat sukar untuk dijawab.
“Abang,” kata-kataku terhenti disitu. Suaraku bagai tidak dapat keluar lagi kerana menahan tangis. Kurasakan pelukan abang Mat semakin kuat bersama esak tangisku.
“Mak… mak… dah meninggal bang,” kataku dengan nada yang sedih.
“Inalillah… mudah-mudahan mak akan ditempatkan dengan orang-orang yang beriman,” tiada siapa yang dapat melawan hukum tuhan. Hakikat itu terpaksa abang Mat terima dengan hati yang tabah.
Menurut cerita abang Mat, waktu dia ditangkap Jepun, macam-macam soalan yang mereka ajukan. Mereka tuduh abang sebagai pengintip.
“Abang sebenarnya tidak tahu menahu hal itu, abang dipersalahkan kerana fitnah bangsa kita sendiri yang belot berhadap agama dan bangsa,” aku adalah pendengar setia ketika itu. Apa yang abang Mat luahkan, pasti akan kudengar dengan penuh rasa terharu.
“Berdoalah Leha, semoga kita tidak akan diduga dengan dugaan berat seperti ini lagi. Mudah-mudahan doa kita akan dimakbulkan, amin…” aku mengangguk sambil mengesat air mata yang membasahi pipi.
“Baiklah abang pergi berehat, abang tentu penat, sama-samalah kita lupakan kenangan pahit itu.”
Aku mengadakan kenduri kesyukuran selepas dua hari abang Mat pulang. Saudara-mara dan orang kampung ramai yang datang menziarahi abang Mat untuk bertanya khabar. Keriangan diwajah mereka jelas terpancar.
Sudah sebulan abang Mat kembali kepangkuan keluarga, namun pagi itu nampak sepi, Selalunya orang-orang kampung kebanyakannya pergi menoreh getah dan pergi ke sawah.
Aku melihat langit mula mendung, tidak beberapa lama kemudian, hujan pun turun membasahi halaman rumahku. Aku yang sedari tadi asyik melihat halaman yang selama ini sudah tidakku indahkan, segera menutup jendela agar hujan tidak tempias masuk kedalam rumah kecilku.
‘Ya Allah! Janganlah kau pisahkan aku dan suamiku lagi,’ kotak hatiku tidak dapat melupakan kenangan pahit itu sebenarnya.
“Leha, esok kita akan berhijrah ke tanah besar, mudah-mudahan di sana kita akan dapat melupakan kenangan yang memilukan ini,” aku hanya menerimacadangan abang Mat tanpa bantahan sedikit pun. Di situlah mulanya kami berhijrah ke tanah besar dan memulakan penghidupan baru bersama anak-anak.
* * *
Apabila malam menjelang, setelah pintu kamar kukuak, tiba-tiba saja, tubuhku semakin lemah, nafasku tersekat-sekat, badanku gementar, jantungku berdegup kuat dan seluruh jasadku mula terasa kebas-kebas. Pandangan mataku mula berpinar. Air mataku jatuh satu persatu. Aku terbaring di lantai semen sudut katil nenek Leha. Aku lemah ketika itu. ‘Apakah yang harusku lakukan?’ Itulah kata-kata yang bermain didalam fikiranku. Aku memaksa diriku untuk bingkas dan duduk di samping tubuh tua nenek Leha. Aku menadah tangan bersama deraian airmata….
“Ya Allah, panjangkan umur nenek Leha.”
“Ya Allah, kaulah yang berkuasa dan tidak ada yang berkuasa selain dirimu di dunia ini ya Allah. Bebaskan nenek Leha dari derita yang ditanggungnya. Kau tunjukkanlah dia jalan yang benar. Kasihanilah dia ya Allah. Andainya aku terpaksa berpisah dengan nenek, kau tempatkanlah dia bersama-sama orang yang bertakwa dan kau kuatkanlah imanku ya Allah.”
Mama dan abah tergamam. Nenek kesayanganku akhirnya pergi juga, pergi bersama hati yang telah dijajah. Aku menjadi lemah dan aku kecewa kerana tidak sempat membuktikan kepada nenek Leha bahawa Labuan pasti maju setelah bergelar Wilayah.
“Nenek, andainya kau masih hidup. Pasti kau dapat melihat ujudnya universiti, bank luar persisir dan hotel lima bintang disaat Pulau Labuan bergelar Wilayah Persekutuan Labuan,” bisik hatiku setelah selesai menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran ketika menziarahi kubur nenek Leha di Tanah Perkuburan Lorong Tujuh, kampung Layang-Layangan, Wilayah Persekutuan Labuan.
TAMAT
07.10.2001 (10:52 pagi)
(Saguhati Peraduan Menulis Cerpen 2007)
ANTOLOGI PUIS/CERPEN DITEL VI 2008 – LAMBAIAN TELUK
AKU DIA DAN KAMERA
* Cerpen di bawah ini adalah penyertaan saya untuk Contest : RM50 untuk dimenangi dari blog Oh!Dawie. Sila click link untuk keterangan lebih lanjut.
Karya: Norgadis Labuan
Dawie. Ganjil sungguh nama itu. Apakah bendanya itu? Adakah ianya boleh dimakan? Apakah ianya boleh dipakai atau apakah ia genatik yang telah diklonkan? Ah… memang ganjil nama itu. Hahaha… nama itu tercipta untuk diriku. Apakah ada pada nama, atau mungkin ada pengertiannya yang menarik disebaliknya. Aku mengeluarkan dairy dari beg hitamku. Aku cuba mencari-cari pengertian di sebalik namaku sendiri.
D ertinya “Dinamik”
A ertinya “Amanah”
W ertinya “Warak”
I ertinya “Ikhlas”
E ertinya “Emosional”
Cheh wah! Hebat juga nama aku, sebagai seorang jejaka yang tampan… tampankah aku? Tapi, memang ramai orang yang mengatakan aku begitu, dari kanak-kanak sehingga ke tua tetap mengatakan aku tampan. Memang aku tampanlah tu. Aku juga dikatakan baik, peramah, pemurah, penyayang dan ada juga yang mengatakan aku sedikit warak orangnya. Warakkah aku? Hehehe… Betulkah semua itu? Biarlah mereka menjawab sendiri. Mereka memang berhak berkata begitu, kerana Tuhan telah menciptakan mulut dan lidah untuk berkata-kata apa yang mereka suka.
Bosan. Mungkin lebih baik aku tidur. Kuperhatikan kipas yang ligat berputar, namun fikiranku jauh melayang. Kipas di pandanganku bukanlah menjadi bahan penting dalam fikiranku.
Pelik. Setampan aku ni, susah juga nak cari gadis idaman. Antara Rozi, Ayu, Ana, Rina dan banyak lagi, adakah mereka boleh dijadikan gadis idamanku? Emm.. sudah banyak aku tangkap gambar mereka dengan pelbagai gaya. Sedikit pun tiada yang menyentuh hatiku. Jangan kata nak berdegup jantung, getar pun tak terasa.
Kamera oh kamera… nampaknya kaulah yang jadi gadis idamanku. Kenapalah kau tak tangkap gambar gadis yang boleh jadi gadis idamanku? Kau tak kasihankah dengan aku. Aku ni dah jadi macam orang gila dalam bilik ni. Nasib baik tak ada orang tengok, kalau ada, sah aku dikatakan dah gila.
Emm… macam ada sesuatu dalam laci aku tu. Aku membuka laci meja aku yang tidak berkunci. Aku mencari-cari sesuatu di dalam laci. Kelihatan sebuah album gambar enam bulan yang lalu. Aku membelek-belek gambar yang ada.
Ya..! Ini yang aku cari. Aku mengeluarkan sekeping gambar seorang gadis tanpa nama. Aku senyum sendiri mengenang saat bertemu gadis itu.
“Assalammualaikum, maaf jika mengganggu.” Aku memberi salam.
“Wa’alaikummusalam. Ya… ada apa-apa yang saya boleh bantu,” jawab seorang gadis yang berada dihadapanku. Keayuan, kelembutan gadis itu membuat aku ingin berkenalan dengannya.
“Awak tunggu siapa?” Tanyaku lagi
“Tengah tunggu mama dan abah. Tadi semasa buat tawaf, kami terpisah. Akhirnya saya buat keputusan untuk menunggu mereka berdua di sini.”
“Oh begitu. Awak asal Indonesia?” Aku ingin tahu.
“Taklah, saya orang Malaysia,” jelas gadis itu sambil tersenyum.
“Maaf, saya ingatkan orang Indon. Dah berapa hari sampai di Mekah ni?” aku bertanya lagi.
“Dah enam hari. Esok hari terakhir. Dah nak berangkat balik ke Malaysia. Alhamdulillah… itu mama dan abah, dah siap pun buat saie. Saya ke sana dulu ya…”
“Tunggu kejap. Boleh saya ambil gambar awak?” Ujarku. Gadis itu mengangguk sambil tersenyum manis bersama pakaiannya yang serba putih ketika itu. Setelah siap aku mengambil gambar, gadis itu pun berlalu sambil melambai-lambaikan tangannya.
Ah… aku tetap aku, aku yang masih kesunyian. Rasa tak puas menatap gambar gadis yang kutemui di Mekah sewaktu membuat umrah enam bulan yang lalu.
Kenapalah aku bodoh sangat, sampai nama pun lupa tanya. Minta alamatkah, minta nombor telefonkah. Mungkin dialah gadis idaman aku. Adakah tanda-tanda atau petunjuk yang aku akan bertemu dengannya lagi? Aduh… aku pun tak tahu. Lebih baik aku jalan-jalan di pantai. Mungkin ada pemandangan yang menarik di sana.
Sebenarnya sudah tiga bulan aku tidak berkunjung ke pantai ini, entah kenapa kali ini kakiku bagai diarah untuk pergi ke sini. Senja ini sungguh indah sekali. Desiran ombak menghempas pantai, bagai melambai mesra bayu dingin agar memeluk tubuh sasaku. Sedikit kedinginan terasa olehku. Alamak… berpuitis pula aku ni.
Lama sudah aku tidak melihat keindahan senja. Kelihatan ramai pasangan yang berdua-duaan di situ juga menikmati keindahan yang kurasa. Aku yang sendirian, masih lagi melihat alam sekeliling sambil mengambil gambar pemandangan yang cukup menarik.
“Assalamualaikum, maaf jika mengganggu.” Aku menoleh ke arah suara lembut itu. Suara itu seperti pernah kudengar satu ketika dulu.
“Awak…” Aku terpaku.
“Tak nak ambil gambar saya lagi?” kata gadis yang kutemui di Mekah enam bulan yang lalu. Pertemuan senja itu akhirnya membibitkan bunga-bunga cinta antara aku dan dia. Dan kamera kesayanganku telah merakamkan kenangan indah waktu itu…
TAMAT
30 Dis 2009, Jam 5.52 petang
*sumber :http://norgadis.blogspot.com/